Sunday, December 20, 2009

Syarah khas Sambutan Maal Hijrah 1431 - Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 18 Disember 2009

Syarah Khas ini terbahagi kepada 3 sesi iaitu hadith musalsal, pujian ke atas Rasulullah saw dan periwayatan hadith cabutan dari kitab al-Muwatta karya Imam Malik
Hadith Musalsal bir-Rukyah (Musalsal Melihat)
1. Dinamakan musalsal ini sebagai musalsal melihat kerana semua perawi meriwayatkan hadith dalam keadaan melihat guru masing-masing.
2. Tuan guru yang dikasihi iaitu Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki telah meriwayat hadith ini dengan cara melihat gurunya dengan matanya sendiri iaitu al-Muhaddith As-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani pada 19 Syawal 1424 H. Gurunya, al-Muhaddith as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani telah meriwayatkan hadith ini dengan melihat gurunya iaitu al-Muhaddith al-Allamah Alimuddin Asy-Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani al-Makki dan seterusnya sampai kepada Nafi’ hamba Ibn Umar denga katanya, Saya telah melihatnya dengan mata saya ini, beliau berkata; Telah datang seorang lelaki kepada Abdullah bin Umar bin al-Khattab lalu dia berkata; wahai Abu Abdur Rahman! Adakah kamu telah melihat Rasulullah saw dengan matamu ini? Beliau menjawab; Ya. Lelaki itu bertanya lagi; Adakah kamu telah bercakap dengannya dengan lidahmu ini? Jawabnya; Ya. Lelaki itu bertanya lagi; Adakah kamu telah berbai’ah dengannya dengan tangan kananmu ini? Jawabnya; Ya. Kaya lelaki itu; Bertuahlah kamu, Wahai Abu Abdur Rahman! Abdullah bin Umar berkata kepadanya; Apakah boleh saya memberitahumu sesuatu yang telah saya dengari daripada baginda saw? Saya telah mendengar Rasulullah saw; Beruntunglah bagi sesiapa yang telah melihatku dan beriman denganku, beruntunglah bagi sesiapa yang tidak pernah melihatku tetapi beriman denganku, beruntunglah bagi sesiapa yang tidak pernah melihatku tetapi beriman denganku (diulang tiga kali). Kemudian baginda saw bersabda; Maka sesiapa yang telah melihatku atau melihat orang yang melihatku hingga hari kiamat akan masuk syurga.
Puji-pujian ke atas Rasulullah saw
Syeikh memberi peringatan kepada ikhwan agar tidak mencampuri urusan agama sekiranya tidak mempunyai keahlian didalam bidang tersebut. Kata Syeikh, urusan agama hendaklah diserahkan kepada orang yang benar-benar ahli tentangnya. Setiap bidang itu ada pakarnya. Bukan semua orang boleh memahami urusan agama dengan baik melainkan mereka benar-benar mendalaminya. Tidak mungkin seorang professional dalam bidang kejuruteraan atau kedoktoran mempunyai keahlian didalam bidang agama melainkan mereka benar-benar telah menguasai kesemua bidang penting dalam agama seperti ilmu nahu, sorof dan balaghah agar setiap tafsiran al-Quran dan Hadith bertepatan dengan maksudnya. Kata Syeikh maka atas sebab itu, eloklah masing-masing menumpukan bidang masing-masing. Ahli agama menumpukan perhatian kepada hal-hal agama manakala ahli professional menumpukan perhatian kepada hal-hal teknologi, ekonomi dan sebagainya. Ketahuilah bahawa menuntut ilmu dalam perkara yang menyampaikan kepada yang wajib maka wajib hukumnya. Dengan sebab itu, umat Islam perlu mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang yang lain selain dari agama khususnya dalam bidang-bidang yang mempunyai hubungan langsung dengan agama. Sebagai contoh, umat Islam perlu mempunyai kepakaran dalam bidang pembuatan atau pemanduan kapal terbang kerana ia memudahkan umat Islam mengerjakan haji di Makkah. Maka atas sebab itu, kata syeikh, tumpulah perhatian dalam bidang masing-masing dimana masing-masing mempunyai keahlian dalam bidang tersebut. Seperti yang disebut tadi, tidak salah ahli professional mempunyai keahlian dalam bidang agama atau ahli agama mempunyai keahlian dalam bidang professional asalkan mereka mempunyai pengetahuan yang benar-benar mantap dalam bidang tersebut. Syeikh Mutawalli Sya’rawi diketahui umum sebagai seorang ulama yang sangat alim dalam bidang agama. Walaubagaimanapun, beliau turut mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang perubatan. Diriwayatkan ketika beliau tinggal dengan pelajar kedoktoran, beliau selesai membaca kitab kedoktoran lebih awal berbanding dengan pelajar dalam bidang tersebut.
Tentang puji-pujian kepada Nabi saw, semua wali atau para kekasih Allah tidak pernah lekang di mulut mereka kalimah-kalimah yang memuji Junjungan Besar Rasulullah saw. Perbuatan memuji baginda saw seperti mengadakan maulid adalah sangat-sangat dituntut bahkan ia merupakan satu-satunya amalan yang diketuai sendiri oleh Jibril as, ketua segala malaikat. Allah swt menghantar Jibril as untuk membantu Hasan bin Tsabit kerana amalan Hasan bin Tsabit yang sentiasa memuji baginda Rasulullah saw. Tidak ada manusia semulia Nabi saw. Ketika Makkah dibuka oleh Rasulullah saw, baginda telah membuat keputusan yang sangat mulia yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana manusia sebelum ini iaitu memberi kemaafan dan kebebasan kepada penduduk Makkah atas setiap perbuatan mereka kepada umat Islam sebelum itu. Tidak ada dendam kesumat dalam hati Nabi saw melainkan Nabi saw membebaskan kesemua penduduk Makkah[1] dan meminta mereka bersurai.
Para wali dan kekasih Allah Ta’ala sentiasa rindu terhadap baginda saw. Imam Abu Hanifah telah mengarang sebuah syair yang sangat indah memuji kebesaran Nabi saw. Beliau mengarang syair ini tanpa memberitahunya kepada sesiapapun. Pada satu hari, beliau pergi menziarahi makam Nabi saw di Madinah. Masuk waktu azan, beliau pun segera menunaikan solat berjemaah. Selesai solat, imam masjid telah membacakan sebuah syair yang seperti pernah didengarinya. Alangkah terkejutnya Imam Abu Hanifah apabila mendapati bahawa syair yang dibaca oleh imam tersebut adalah syair yang ditulis olehnya. Lalu beliau mendatangi imam masjid dan bertanya, Dari mana kamu mendapat syair ini? Jawab imam masjid, Aku bermimpi Rasulullah saw membaca syair ini. Berikutan itu, aku langsung menghafalnya.
Janganlah kita merasa terlalu yakin bahawa amal kita boleh membawa kita masuk syurga. Adakah kita yakin bahawa kita telah benar-benar khusyuk dalam solat padahal hanya jasad kita sahaja yang solat sedangkan hati telah terbang ke tempat lain? Adakah kita benar-benar yakin setiap ibadah puasa, zakat, haji dan sebagainya benar-benar diterima Allah Ta’ala sedangkan segala sifat takbur, riak, sum’ah masih wujud dalam benak hati kita? Salah satu jalan untuk kita berada dekat dengan Allah Ta’ala ialah dengan mengharapkan syafaat iaitu dengan menggapai pertolongan dari para kekasih Allah Ta’ala. Syafaat yang paling besar ialah syafaat baginda saw. Untuk mendapatkan syafaat baginda saw maka kita hendaklah sentiasa mengingati baginda saw. Seorang wali Allah di Iraq bernama Shibli dianggap gila oleh masyarakat disitu. Padahal gilanya itu hanyalah terhadap Tuhan. Beliau berzikir terlampau banyak hingga kepalanya terhantuk dan memercik darah. Darah yang keluar membentuk kalimah Allah. Ulama muhaddith besar di Iraq memberi penghormatan tinggi kepada Shibli. Dalam satu majlis, Shibli datang mengunjung seorang ulama besar di Iraq. Ulama besar itu berdiri dan mengucup kening Shibli. Perbuatan ulama itu menghairankan anak muridnya. Kata anak muridnya, Kenapa guru mengucup kening Shibli, bukankah dia itu seorang gila? Kata ulama besar itu, Sesungguhnya aku bermimpi Rasulullah saw mengucup kening Shibli didalam sebuah majlis. Shibli mendapat kemuliaan disisi Allah dan Rasul-Nya kerana beliau tidak pernah lupa menyebut puji-pujian ke atas Nabi saw. Amalan beliau selepas solat ialah dengan membaca ayat Laqad ja’akum dan bersalawat ke atas Nabi saw. Tentang amalan ini, ada seorang lagi ulama besar mengamalkannya dan kesan dari amalan itu beliau dikurniakan umur yang panjang. Sehinggalah pada satu malam, beliau bermimpi Rasulullah saw. Dalam mimpinya itu, Rasulullah bertanya, Sampai bilakah kamu ingin lari dari ku (maksudnya, kesan dari amalan itu beliau dikurniakan umur yang panjang sedangkan Rasulullah saw rindu hendak bertemu dengannya). Keesokannya, beliau tidak meneruskan amalan kebiasaannya dan pada hari itu juga beliau dipanggil mengadap Ilahi.
Para sahabat sangat mengasihi baginda saw. Bahkan segala makhluk Allah Ta’ala mengasihi dan mengikut perintah Nabi saw. Kata bapa saudara Nabi saw, Abbas kepada baginda saw, Aku masuk Islam kerana pada ketika kamu masih kecil, aku melihat bulan berbicara dengan kamu. Jari-jemarimu menunjuk ke langit dan bulan bergerak mengikut arah jari-jemarimu. Dalam peristiwa lain, Rasulullah saw berbaring diatas riba Ali. Pada ketika itu, wahyu turun sehinggalah selesai waktu Asar sedangkan mereka masih belum menunaikan solat. Rasulullah saw kemudiannya mengarahkan agar matahari muncul kembali bagi membolehkan mereka menunaikan solat. Sebaik mereka selesai menunaikan solat, Rasulullah saw memerintahkan matahari agar tenggelam semula.
Orang yang mengasihi Rasulullah saw akan menjunjung segala syariat yang disampai oleh baginda. Seorang wali Allah, Abu Bakar al-Miski (yang wangi) mempertahankan maruahnya ketika digoda wanita. Beliau sanggup melumurkan dirinya dengan najis agar wanita itu menjauhi darinya. Usahanya berhasil apabila wanita itu tidak lagi mendekatinya. Selepas itu, beliau mandi dan semenjak dari itu, badannya menjadi wangi seumur hidup.
Periwayatan hadith cabutan dari kitab al-Muwatta karya Imam Malik
Cita-cita ulama yang sejati ialah menjadi khadam hadith. Kenapa ini menjadi cita-cita setiap ulama yang sejati? Kerana menjadi khadam hadith akan mendapat syafaat khusus baginda saw. Bahkan sesiapa yang duduk didalam majlis ahlul hadith akan berada dalam pandangan Nabi saw. Kita digalakkan membantu para penuntut ilmu hadith dengan segenap tenaga dan harta benda kita. Antara 3 golongan yang masuk syurga iaitu mati syahid, orang alim dan dermawan, golongan dermawanlah yang akan masuk syurga. Ketika Allah Ta’ala menyuruh orang yang mati syahid masuk syurga terlebih dahulu, orang yang mati syahid tidak mahu masuk selagi orang alim tidak masuk terlebih dahulu. Kata mereka, atas asbab didikan agama dari orang alimlah maka mereka telah mendapat syahid. Kemudian, Allah Ta’ala menyuruh orang alim masuk dahulu. Orang alim pula tidak mahu masuk selagi dermawan tidak masuk terlebih dahulu. Kata orang alim, atas asbab dermawan yang telah menyumbang hartalah maka mereka telah berjaya menjadi alim. Maka atas sebab itu, gunalah harta yang ada untuk menyara para penuntut ilmu al-Quran dan Hadith. Ketahuilah bahawa tidaklah seseorang itu mencintai Nabi saw melainkan Nabi saw mencintai mereka yang mengasihi baginda saw.
Hadith yang dibaca oleh Allamah Syeikh Dr Ahmad Darwish al-Misri (muhaddith asal Mesir) dicabut dari kitab al-Muwatta karya Imam Malik (diterjemah dan dikupas ringkas oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki)
Adab Imam Malik ketika membaca hadith ialah dengan menganggap bahawa hadith tersebut dibaca seolah-olah Nabi saw berada dihadapan kita.
Matan hadith pertama adalah berkenaan dengan larangan Nabi saw bagi mereka yang memasuki masjid dalam keadaan mulut berbau bawang putih. Matan berbunyi begini, Sesiapa yang memakan bawang putih maka janganlah mendekati masjid kami kerana ia telah menyakitkan hati kami. Justerulah jagalah bau mulut agar tidak menjejaskan kekhusyukan ibadah orang lain.
Matan hadith kedua berbunyi seperti berikut, Sesungguhnya kepanasan yang melampau adalah bahang api neraka. Di Makkah, jika cuaca terlalu panas maka waktu zohor akan dilewatkan sedikit. Tujuannya ialah supaya jemaah berasa selesa ketika menunaikan solat. Neraka mengadu kepada Tuhan kerana terlalu panas isi didalamnya. Bagi mengurangkan kepanasan itu, Allah Ta’ala menghembus sebanyak 2 kali dalam setahun untuk mengurangkan kepanasan api neraka. Jadi, tidaklah dapat dibayangkan betapa penghuni neraka berada dalam keadaan azab yang sangat menyeksakan dengan keadaan panas yang sangat dahsyat itu.

[1] Melainkan sifolan dan sifolan yang tidak pernah putus-putus mencaci Nabi saw dengan lidah mereka maka baginda saw telah menghukum orang-orang ini agar dibunuh jika ditemui.

Wednesday, December 16, 2009

Kepentingan sanad dalam tradisi pengajian Islam - syarah khas Ustaz Zaidi Abdullah

*Catatan bebas ana di Puchong pada 13 Disember 2009
1. Umat Islam telah belajar secara bersanad selama 13 abad, hanya pada abad yang kebelakangan ini sahaja, ramai yang telah mengabaikan sistem pembelajaran secara bersanad.
2. Barat tidak menganggap agama sebagai satu kebenaran. Bagi mereka hajian kajian dalam bentuk tesis sahaja yang dianggap sebagai kebenaran.
3. Barat menganggap agama sebagai suatu sosiologi iaitu wujudnya perubahan secara beransur-ansur, dari kosong menjadi kompleks.
4. Barat menganggap segala sesuatu itu bermula dengan evolusi. Evolusi kini sudah masuk dalam bidang sejarah.
5. Bagi mereka (yakni Barat), agama juga sudah menjadi evolusi. Apabila agama dikatakan evolusi maka mereka berpendapat ada hukum yang tidak lagi relevan digunakan untuk masa ini. Pandangan ini tidak benar sama sekali.
Wahyu Islam diketahui melalui kaedah-kaedah yang diperkatakan oleh al-‘Allamah al-Fahammah al-Syeikh Abdul Wahhab ibn Ahmad Barakat al-Ahmadi al-Shafi’i al-Tandatawi nazil Makkah al-Musharrafah dalam Rad’ al-Dolalah wa Qam’ al-Jahalah. Katanya,
Maka kami (yakni al-Tandatawi) mula-mula yang patut diketahui;
1. Bahawa syariat yang suci Muhammadi sebenar paksinya atas nukilan daripada sahabat kemudian dari tabi’in kemudian dari pengikut tabi’in semoga Allah meredhai mereka dan begitulah seterusnya sehingga hari kiamat
2. Dan sedia diketahui bahawa sumber ambilannya sebenarnya dari kitab Allah dan Sunnah Rasulullah saw
3. Dan sedia diketahui juga bahawa para ulama ialah pewaris Nabi-Nabi
4. Dan sedia diketahui juga umat Islam ini tidak sepakat atas sesuatu kesesatan.
Maka apabila empat muqadimah ini diketahui yang tidak diingkari oleh orang alim dan tidak diingkari oleh orang jahil dan empat muqadimah jelas nyata.

Berkata Abdul Wahhab asy-Sya’rani,
Wahai saudaraku, sesungguhnya paksi semua Ahlus Sunnah Waj Jamaah berlegar sekitar atas paksi dua kutub salah satu dari keduanya iaitu Syeikh Imam Abu Mansur al-Maturidi dan Abu Hasan al-Asya’ari maka setiap bagi orang yang mengikuti imam keduanya atau salah satu dari keduanya dan sejahteralah orang yang mengikutinya dalam aqidahnya. Dan sesungguhnya telah zahir (nyata), pengikut-pengikut Maturidi pada barang sebalik sungai dan nyata pengikut Abu Hasan al-Asy’ari di negeri-negeri besar seperti Khurasan, Iraq, Syam, Mesir dan Maghribi dan negeri-negeri Islam yang lain. Dan berkata mereka itu, sifulan itu beraqidah Asy’airah (kerana terlalu ramai) tetapi bukan bermakna aqidah lain dari Asy’airah sesat (maknanya Maturidiah).

Berkata Imam Muhammad bin Muhammad al-Husni al-Zubaidi,
Apabila disebut Ahlus Sunnah wal Jamaah maka murad (maksud) mereka itu Asy’airah dan Maturidiah.

Kata Syeikh Ahmad bin Idris,
Bahawa Rasulullah saw bersabda, sentiasalah (lazimilah) kamu istighfar dan menyebut La Ilaha Illallah. Maka perbanyakkanlah kamu keduanya. Maka sesungguhnya iblis itu berkata, Aku membinasakan manusia dengan dosa-dosa dan manusia membinasakan aku dengan istighfar dan La Ilaha Illallah maka tatkala demikian itu, apabila manusia membacanya maka aku akan membinasakannya dengan hawa nafsu.

Maksud hawa nafsu disini ialah manusia yang menyangka zikir yang dibacanya betul padahal dirinya telah dipesongkan oleh Iblis dan Syaitan. Sebab itulah amalan tariqah mesti dilakukan dengan baiah dan bersanad supaya ia disampaikan dan diamalkan dengan betul. Setiap zikir yang hendak dijadikan amalan mestilah diterima dari guru yang menerima amalan tersebut secara bersanad.

Sairus Salikin Bab Rahsia Haji - Disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam


*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 13 Disember 2009. Doa yang dinyatakan dalam syarahan ini boleh dijadikan amalan harian


Fasal menyatakan segala perjalanan daripada permulaan keluar daripada rumahnya hingga berihram
Doa dibawah ini elok dibaca untuk berlindung dari kejahatan, binatang buas dan sebagainya ketika berada didalam perjalanan.

Wahai Tuhanku! Tuhan tujuh petala langit dan barang yang didalamnya dan Tuhan tujuh petala bumi dan barang yang didalamnya, dan Tuhan segala syaitan dan barang yang disesatkannya, dan Tuhan segala angin dan barang yang diterbangkannya dan Tuhan segala laut dan barang yang diperlakukannya. Aku memohonkan akan Engkau akan kebajikan tempat turun ini dan kebajikan penghuninya, dan aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan tempat turun ini dan daripada kejahatan segala isinya dan daripada kejahatan barang yang didalamnya. Maka jauhkan oleh-Mu daripadaku akan kejahatan segala mereka itu.
Apabila sampai disuatu tempat eloklah sembahyang sunat manzil dua rakaat dan baca doa berikut,




Aku meminta peliharakan dengan beberapa kalimat Allah yang sempurna yang tiada melampaui akan dia oleh orang yang baik dan orang yang jahat daripada segala kejahatan yang dijadikan Allah Ta’ala.
Disebelah malamnya pula eloklah dibaca doa berikut,


Hai bumi! Tuhanku dan Tuhanmu itu Allah. Aku meminta peliharakan dengan Allah Ta’ala daripada kejahatanmu dan kejahatan barang yang didalammu dan daripada kejahatan barang yang melata diatasmu. Aku meminta peliharakan dengan Allah Ta’ala dari segala kejahatan harimau dan ular besar dan ular yang kecil dan kala jengking dan daripada kejahatan yang di dalam negeri dan daripada kejahatan yang beranak dan barang yang diperanakkannya. Dan bagi Allah Ta’ala barang yang diam didalam malam dan siang itu dan Allah Ta’ala itu Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Mengetahui.
Kenapa kita disuruh berbicara dengan bumi dan tanah? Tujuannya ialah untuk memberi ingatan bahawa bumi dan tanah juga adalah makhluk/hamba Allah.
Takdir berhenti waktu siang, janganlah kita berjalan banyak di siang hai. Apatah lagi waktu malam. Jangan terpisah dari kafilah. Jika hendak bersiar-siar, perlulah dimaklumkan kepada amir kafilah. Jika tudur pun, bergilir-gilirlah. Kalau terganggu didalam perjalanan, hendaklah dibaca ayatul Kursi, Syahidallah hingga akhir ayat (surah Ali Imran ayat 18) dan tiga Qul. Selepas itu, bacalah doa berikut,


Aku meminta peliharakan dengan nama Allah. Barang yang dikehendaki Allah Ta’ala itu nescaya jadi. Dan tiada kuat dan tiada kuasa melainkan dengan Allah Ta’ala. Telah memadalah Allah Ta’ala akan daku. Aku bertawakkal atas Allah Ta’ala. Barang yang dikehendaki Allah Ta’ala itu nescaya jadi. Dan tiada mendatangkan dengan kebajikan itu melainkan Allah Ta’ala. Dan barang yang dikehendaki Allah Ta’ala itu nescaya jadi. Dan tiada yang memalingkan dan tiada yang menjauhkan kejahatan melainkan Allah Ta’ala. Dan memadalah Allah Ta’ala itu akan daku dan menanggung Ia akan daku. Dan mendengar Allah Ta’ala bagi orang yang berdoa akan dia. Dan tiada selain dari pada Allah Ta’ala itu tempat kehinggaan hajat dan ibadat dan ma’rifat dan tiada yang lain daripada Allah Ta’ala itu tempat persandaran dan menyerahkan diri. “Dan telah menyuratkan Allah didalam firman-Nya, sesungguhnya Akulah dan rasul-Ku-lah yang ghalib yakni menang. Sesungguhnya Allah Ta’ala yang kuat lagi mulia.” Dan aku meminta peliharakan dengan Allah Ta’ala yang Maha Besar. Dan aku meminta tolong dengan Tuhan yang hidup yang berdiri pada memeliharakan segala alam dan mendirikan Ia akan dia pada segala perbuatannya dan Allah Ta’ala itu yang hidup yang tiada mati. Wahai Tuhanku! Peliharakan oleh-Mu akan kami dengan penglihatan-Mu yang tiada tidur dan peliharakan oleh-Mu akan kami dengan pendengaran-Mu yang kekal yang sentiasa tiada putus. Wahai Tuhanku! Beri oleh-Mu rahmat akan kami dengan kuasa-Mu ke atas kami dan jangan Engkau binasakan akan kami padahal Engkau tempat kami percaya dan tempat kami mengharapkan. Hai Tuhanku! Beri oleh-Mu atas kami kasih-sayang didalam hati segala hamba-Mu yang laki-laki dan didalam hati segala hamba-Mu yang perempuan dengan kasih sayang dan rahmat daripada-Mu kerana engkau yang terlebih kasih dari orang yang kasih sayang.
Apabila berjalan ditempat tinggi maka sunat ia mengucapkan takbir tiga kali kemudian dibacanya;


Wahai Tuhanku! Bagi-Mu kemuliaan atas tiap-tiap yang mulia dan bagi-Mu pujian atas tiap-tiap kelakuan.
Dan apabila ia turun ia daripada tempat yang tinggi maka sunat ia mengucapkan tasbih.
Dan apabila hasil didalam hatinya takut akan sesuatu didalam perjalanannya itu maka sunat dibacanya,


Maha Suci Tuhan yang mempunyai kerajaan lagi yang maha suci iaitu Tuhan segala malaikat dan Tuhan segala roh padahal Engkau beri kebesaran akan tujuh petala langit itu dengan kemuliaan-Mu dan dengan sifat jabaruut iaitu sifat qahhar dan gagah yakni dengan kebesaran-Mu.
Antara adab ihram daripada miqat hingga masuk ke Makkah ialah
1. Menyempurnakan sunat-sunat bersuci seperti yang disebut dalam sunat Hari Jumaat
2. Memakai kain seperpinggangan iaitu sekadar menutup aurat bagi laki-laki. Pakaian yang diharamkan ialah pakaian yang mengurung badan (disebabkan jahitan). Bagi orang yang telah berniat ihram, maka wajiblah ia menjaga pantang-larang walaupun kenderaan yang membawanya berpatah balik ke tempat halamannya disebabkan menghadapi masalah dan sebagainya.
3. Sunat menyertakan talbiah. Dalam haji dan umrah, hanya ada dua rukun sahaja yang perlu dipatuhi iaitu rukun qalbi dan rukun fi’li. Ini berbeza didalam solat yang mempunyai 3 rukun iaitu rukun qalbi, fi’li dan qauli. Rukun qalbi ialah niat, rukun fi’li ialah perbuatan manakala rukun qauli ialah bacaan khusus. Tidak ada bacaan khusus ketika mengerjakan haji dan umrah. Sebab itu, ketika mengerjakan tawaf, menjaga bahu iaitu memastikan Kaabah sentiasa berada disebelah kiri bahu itu hukumnya wajib sedangkan membaca doa hanyalah sunat sahaja. Orang yang mengerjakan haji dan umrah boleh membaca apa-apa sahaja zikir ataupun doa.
Dalam kitab Irsyadul Ibad, ada diceritakan bagaimana seorang pemuda yang kematian ayahnya setelah selesai mengerjakan haji dalam perjalanan pulang kerumahnya. Apabila si ayah meninggal dunia, mukanya berubah menjadi anjing. Lalu si anak ini menutup muka ayahnya dan dalam keletihan itu, beliau tertidur. Dalam tidurnya, beliau bermimpi Rasulullah saw datang menziarahi mereka dan membuka tutup muka ayahnya kemudian menutupnya kembali. Apabila terjaga, dia pun membuka tutup muka ayahnya dan dilihatnya muka ayahnya telah berubah menjadi sediakala semula dan bersinar-sinar. Si anak kembali tertidur dan bermimpi sekali lagi bertemu Rasulullah saw. Rasulullah saw memberitahunya bahawa wajah ayahnya berubah menjadi anjing disebabkan maksiat dan dosa yang dikerjakannya. Adapun wajahnya kembali bercahaya kerana beliau banyak bersalawat. Memang ketika dalam mengerjakan haji tadi, si ayah tidak berhenti-henti membaca salawat sejak dari awal ihram hingga selesai mengerjakan haji.
4. Apabila selesai bacalah doa yang maksudnya seperti berikut,
Wahai Tuhanku! Aku berkehendak mengerjakan haji maka mudahkan oleh-Mu akan dia bagiku dan tolong oleh-Mu akan daku atas menunaikan fardunya itu dan terima oleh-Mu akan haji itu daripadaku. Wahai Tuhanku! Bahawa aku sengaja mengerjakan fardu-Mu didalam haji maka jadikan oleh-Mu akan daku daripada mereka yang memperkenankan bagi seru-Mu dan percaya mereka itu dengan janji-Mu dan mengikut mereka itu akan suruh-Mu. Dan jadikan oleh-Mu akan daku daripada orang yang ziarah kepada-Mu yang Engkau redha akan mereka itu dan Engkau tuntut redha akan dia dan Engkau terima akan dia. Wahai Tuhanku! Mudahkan oleh-Mu bagiku akan yang aku niatkan aan dia daripada mengerjakan haji. Wahai Tuhanku! Telah berihram bagi-Mu segala dagingku dan rambutku dan darahku dan kulitku dan otakku dan tulangku dan aku haramkan atas diriku akan perempuan dan bau-bauan dan memakai pakaian yang meliputi kerana berkehendak menghampirkan diri kepada-Mu dan kepada negeri akhirat.
5. Sunat memperbanyakkan talbiah selama ia berihram haji atau umrah. Bagi orang yang mengerjakan umrah, talbiahnya sampai waktu tawaf. Bagi orang yang mengerjakan haji, talbiahnya sampai waktu melonjar di jamratul aqabah. Bila mula melontar tak perlu talbiah sebaliknya ganti dengan takbir.
Tentang masalah berhimpunnya dua solat jemaah dalam satu hari seperti solat hari raya dan solat Jumaat dalam hari yang sama maka mengikut mazhab Syafi’I, kedua-dua solat tersebut wajib dikerjakan. Sementara dalam mazhab Hanafi, solat rayanya adalah wajib manakala solat Jumaat boleh diganti menjadi waktu Zohor untuk tujuan musafir sahaja.
Antara lain hikmah menziarahi Makkah dan Madinah ialah di Makkah, kita mempertebalkan iman kita (menguatkan tauhid) manakala di Madinah, kita memupuk kecintaan kita kepada Rasulullah saw.
Fasal pada menyatakan adab masuk ke dalam Makkah hingga tawaf
Apabila hendak masuk ke Makkah maka sunat ia mandi di telaga Zu Thuwa. Telaga ini letaknya kira-kira 3km dari Masjidil Haram. Telaga ini merupakan tempat persinggahan Nabi saw sebelum meneruskan perjalanan ke Masjidil Haram. Sunat masuk Makkah daripada jalan yang bernama Tsaniyatul Kada iaitu jalan yang dekat Ma’la dan sunat keluar daripada jalan yang bernama Tsaniyatul Kuda iaitu jalan yang dekat dengan Kubah Syeikh Mahmud (jalan yang melalui kawasan Misfalah). Sunat memasuki pintu Bani Syaibah yang kini dikenali dengan nama Babussalam. Setiap pintu dan lokasi di Masjidil Haram mempunyai kedudukan/adhal yang berbeza. Pintu Babussalam adalah yang paling afdhal kerana dengan memasukinya, seseorang akan dapat melihat telaga zam-zam, maqam Ibrahim, pintu Kaabah, multazam dan Hijr Ismail yang merupakan tempat-tempat musjatab doa. Tawaf di Shazruwan tidak sah. Shazruwan ialah kaki lima Kaabah. Kita mesti tawaf diluar Kaabah. Multazam ialah tempat yang paling mustajab untuk berdoa. Dua perkara yang perlu diminta ketika berdoa ialah takut pada seksa Allah dan harap pada rahmat Allah. Kata Syeikh Yasin Isa al-Fadani, aku berdoa disitu dan doaku maqbul.
Pada zaman Rasulullah saw, Rasulullah saw dan para sahabat sentiasa diperhatikan penduduk Makkah ketika mereka mengerjakan haji dan umrah. Ramai orang Muhajirin apabila berhijrah ke Madinah menghidap sakit-sakit kerana tidak biasa dengan cuaca Madinah. Maka atas sebab itu, apabila Rasulullah saw dan para sahabat datang ke Makkah, mereka akan berlari-lari anak ketika mengerjakan tawaf dan saie. Tujuannya ialah untuk membuktikan kepada penduduk Makkah bahawa mereka tidaklah lemah atau sakit seperti yang disangka oleh penduduk Makkah. Tawaf atas masjid hukumnya sah kerana masih didalam kawasan masjid.
Doa yang perlu dibaca apabila sampai pada Rukun Yamani (sunat disapu dengan tangan kanan maka dikucup akan tangan itu)


Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku meminta peliharakan dengan Dikau daripada papa dan aku minta peliharakan dengan Dikau daripada seksa kubur dan daripada fitnah pada ketika hidup dan daripada fitnah ketika mati. Dan aku meminta peliharakan dengan Dikau daripada kebinasaan didalam dunia dan didalam akhirat.
Dan baca olehmu pada antara dua rukun Yamani dan Hajarul Aswad itu,


Wahai Tuhanku! Datangkan oleh-Mu akan kami didalam dunia kebajikan dan didalam akhirat kebajikan dan peliharakan oleh-Mu akan kami dengan rahmat-Mu akan fitnah kubur dan seksa api neraka.

Doa yang sunat dibaca setelah selesai solat sunat tawaf,


Wahai Tuhan! Mudahkan oleh-Mu bagiku segala yang mudah dan jauhkan oleh-Mu akan daku dari segala yang susah dan ampuni oleh-Mu bagiku didalam akhirat dan didalam dunia. Wahai Tuhanku peliharakan oleh-Mu akan daku dengan anugerah-Mu sehingga tiada aku berbuat maksiat akan Dikau dan tolongi oleh-Mu akan daku atas berbuat taat akan Dikau dengan taufik-Mu dan jauhkan oleh-Mu akan daku daripada maksiat akan Dikau dan jadikan oleh-Mu akan daku daripada seorang yang kasih akan Dikau dan kasih akan segala malaikat-Mu dan kasih akan pesuruh-Mu dan kasih akan hamba-Mu yang soleh-soleh. Wahai Tuhanku! Jadikan oleh-Mu akan daku kasih kepada segala pesuruh-Mu dan kasih kepada hamba-Mu yang soleh-soleh. Wahai Tuhanku! Maka seperti telah Engkau beri akan daku hidayah bagi masuk didalam agama Islam maka tetapkan oleh-Mu akan aku atas agama Islam dengan anugerah-Mu dan dengan wilayah-Mu yakni pertolongan-Mu dan dengan petunjuk-Mu atasnya. Dan jadikan oleh-Mu akan daku daripada amal dengan taat akan Dikau dan akan pesuruh-Mu dan peliharakan oleh-Mu akan daku daripada fitnah yang menyesatkan.

Doa yang perlu dibaca ketika hendak memulakan saie (dengan menghadap kiblat)


Allah Yang Maha Besar. Segala puji tertentu bagi Allah atas barang yang memberi petunjuk Ia akan kami. Segala puji tertentu bagi Allah. Aku memuji akan Allah Ta’ala dengan sekalian puji atas segala nikmatnya. Dan tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah yang Esa yang tiada sekutu baginya. Baginya kerajaan dan baginya segala puji. Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan dan yang menjadikan Ia dengan tangan kudrat-Nya akan segala kebajikan. Dan Dia yang kuasa atas berbuat segala suatu. Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya hanya Allah Ta’ala yang Esa yang membenar janji-Nya dan yang menolong hamba-Nya, dan yang muliakan Ia akan segala tentera-Nya yang muslim, yang memecahkan Ia akan segala perhimpunan kaum yang kafir dengan sendiri-Nya. Tiada Tuhan selain Allah yang semata-mata baginya agama Islam dan jikalau benci akan dia oleh segala kafir sekalipun. Tiada Tuhan melainkan Allah Ta’ala. Semata-mata baginya agama Islam. Segala puji bagi Allah Ta’ala Tuhan Sekalian Alam maka baginya segala tasbih pada waktu petang dan pada waktu pagi-pagi dan baginya tahmid yakni pujian didalam tujuh petala langit dan didalam tujuh petala bumi dan pada waktu petang dan pada waktu pagi. Allah Taala iaitu Tuhan yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan sesuatu yang mati daripada yang hidup dan yang menghidupkan akan bumi kemudian daripada matinya. Dan seperti yang demikian itu dikeluarkan sekalian kamu. Dan setengah daripada tanda-Nya itu bahawa menjadikan Ia akan kamu daripada bumi kemudian tiba-tiba jadi kamu manusia yang bercerai-berai. Wahai Tuhanku! Aku memohon akan Dikau akan iman yang sentiasa kekal dan aku pohonkan akan Dikau akan yakin yang benar dan ilmu yang memberi manfaat dan hati yang khusyuk dan lidah yang berzikir dan aku pohonkan akan Dikau akan maaf dan ‘afiat dan maaf yang berkekalan didalam agama dan didalam dunia dan didalam akhirat dan rahmat Allah Ta’ala dan salamnya atas penghulu kita Nabi Muhammad saw dan atas keluarganya dan sahabatnya.
Doa yang perlu dibaca ketika berjalan turun ke Marwah sewaktu saie


Wahai Tuhanku! Ampuni oleh-Mu akan daku dan beri oleh-Mu akan daku rahmat dan maafkan oleh-Mu daripada dosa yang Engkau ketahui kerana Engkaulah yang terlebih mulia dan yang terlebih murah. Wahai Tuhanku! Beri oleh-Mu akan kami di alam dunia akan kebajikan dan didalam akhirat akan kebajikan dan peliharalah kami daripada seksa api neraka

Monday, December 14, 2009

Muqadimah Hadith 40 Penawar Hati - Disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam al-Banjari

*Catatan bebas ana di Masjid al-Mukarramah Bandar Sri Damansara pada 12 Disember 2009
Hati merupakan anggota manusia yang paling mulia. Hati ialah raja. Hati menjadi tempat pandangan Allah Ta’ala. Allah Ta’ala memandang ke hati kita. Ibadah yang dilaksanakan mestilah bersama hati kita. Jika kita mandi wajib tetapi hati tidak bersama maka mandi wajib itu masih belum tertunai. Jika kita berpuasa tetapi tidak disertakan dengan niat maka kita hanya akan dapat bahagian lapar sahaja. Ikhlas juga terletak pada hati kita. Seperti kita yang duduk didalam majlis ini, pahala setiap seorang antara kita adalah berbeza-beza mengikut niat kita. Kalau hati tidak ikhlas datang kesini maka langsung tidak mendapat apa-apa manfaat. Sebaliknya apabila hati kita ikhlas maka kita akan dikurniakan dengan bermacam-macam ganjaran pahala walaupun kita mengerjakan satu perkara atau perbuatan sahaja. Sebagai contoh, seseorang itu datang ke sini dengan niat mengaji maka dia akan mendapat pahala mengaji. Kemudian dia berniat untuk beriktikaf didalam masjid maka dia akan dapat satu lagi pahala. Kemudian dia berniat untuk berhimpun dengan orang-orang soleh maka dia akan dapat satu lagi pahala. Kemudian dia berniat untuk menjauhi orang-orang yang membuat maksiat maka dia mendapat satu lagi pahala. Kemudian dia berniat untuk menunaikan solat sunat, maka dia mendapat satu lagi pahala. Kemudian dia berniat untuk menunggu masuknya solat zohor maka dia akan mendapat satu lagi pahala dan begitulah seterusnya. Pahala ganjaran itu tidak terkira banyaknya padahal asalnya dia hanya datang untuk mengaji di masjid. Tetapi atas asbab datangnya ke masjid itu maka bermacam amal ibadah yang boleh dilakukannya. Allah Ta’ala menujukan perintah-Nya yang berupa suruhan atau larangan kedalam hati kita. Manusia dikatakan sebaik-baik makhluk kerana manusia mempunyai hati. Lebih tepat lagi ialah hati nurani yakni Latifah ar-Rabbaniyyah yang merupakan satu abstrak dan berada didalam ketulan hati kita. Inilah yang disebut mata hati yang senantiasa menjunjung titah perintah Allah Ta’ala. Seseorang manusia itu menjadi baik kerana hatinya bersih sebaliknya seseorang itu menjadi jahat kerana hatinya kotor. Kebanyakan orang hanya menumpukan masalah jasmani tanpa memberi perhatian kepada masalah hati. Sebagai contoh, apabila ditimpa sakit, maka bersegeralah seseorang itu berjumpa doktor itu mengubat kesakitannya tetapi penyakit hati tidak pernah diberi perhatian.
Hati ibarat lampu. Jika lampu adalah punca cahaya maka hati adalah punca iman. Hati akan memberi arahan kepada anggota lain. Jika cahaya lampu putih maka putihlah keadaan sekelilingnya. Begitu jugalah dengan hati. Jika hati jernih maka semua anggota akan terarah kepada perbuatan kebaikan. Sebaliknya kalau hati kotor maka buruklah segala perbuatan. Itulah sebabnya kita digalakkan membaca doa penerang hati supaya memancar segala cahaya dari dalam hati kita. Apabila hati berkehendakkan sesuatu maka semakin mudahlah sesuatu pekerjaan. Hati memberi kekuatan kepada anggota badan. Ada orang yang mempunyai banyak kitab al-Quran dirumah tetapi jika hatinya liat untuk memberi arahan maka orang itu pasti tidak akan berkeinginan untuk membaca al-Quran. Pada masa ini, wang menjadi raja. Ada orang sanggup pergi ke bank dalam keadaan berpanas dan berlapar semata-mata kerana wang. Apabila hatinya telah terarah kepada wang maka ringanlah anggotanya untuk menunaikan kehendak hatinya itu . Sepatutnya kaedah yang sama juga dipraktikkan dalam usaha untuk mengerjakan amal ibadah. Hati hendaklah ditumpukan kepada Allah Ta’ala maka barulah seluruh anggota ringan untuk mengerjakan amal ibadah.
Kita hendaklah memastikan agar hati kita menjadi qalbun salim. Ada 3 golongan yang akan dihisab di Padang Mahsyar iaitu
1. Orang Alim. Kepada orang ini, Allah bertanya, Apakah yang telah kamu lakukan ketika kamu di dunia? Jawab orang alim, Aku bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah. Allah menjawab, Bohong. Kamu menjadi alim dengan niat untuk mendapat sanjungan manusia. Kamu menyalahgunakan ilmu untuk tujuan sanjungan dan pujian manusia. Lalu orang alim diseret dan dihumban ke dalam neraka.
2. Orang Kaya. Kepada orang ini, Allah bertanya, Apakah yang kamu perbuat ketika kamu di dunia? Jawab orang kaya, Aku menyumbangkan kekayaanku ke jalan agama. Allah menjawab, Bohong. Kamu hanya menderma untuk tujuan mendapat pujian manusia. Maka orang ini pun mengalami nasib yang sama iaitu diheret dan dihumban ke dalam neraka.
3. Orang mati syahid. Kepada orang ini, Allah bertanya, Apakah yang kamu perbuat ketika kamu di dunia? Jawab orang mati syahid, Aku niat di jalan mu dan akhirnya aku syahid. Allah menjawab, Engkau tidak mendapat pahala syahid kerana engkau mengharapkan orang memuji engkau atas keberanian engkau. Orang ini juga lalu diheret dan dihumban ke dalam neraka.
Ketahuilah bahawa hati menentukan hala tuju kita. Kalau hati baik dan sedikit amalannya maka pahalanya berlipat ganda kerana hati yang baik akan menghasilkan niat yang baik. Niat yang baik akan mendapat pahala yang sempurna. Apatah lagi dengan orang yang berhati baik dan banyak pula amalannya maka bertambah-tambah lagilah ganjaran pahalanya. Diriwayatkan bahawa seorang pemuda Bani Israel dikurniakan ganjaran pahala sempurna padahal dia hanya berniat. Katanya, kalau pasir ini gandum nescaya akan aku agih-agihkannya kepada orang lain. Orang yang dapat menguasai hati lazimnya bijak membuat pertimbangan. Orang ini akan memilih perkara yang lebih baik walaupun dia melakukan perkara yang baik pada awalnya. Sebagai contoh, dia berpuasa sunat hari Isnin pada hari itu. Tiba-tiba saudaranya datang mengunjungi rumahnya. Untuk meraikan tetamu itu, maka dia berbuka (tanpa memaklumkan kepada tetamu bahawa dia sebenarnya berpuasa). Orang ini sebenarnya mendapat dua pahala sempurna tanpa berkurang walau sedikit pun iaitu pahala puasa sunat dan pahala meraikan tetamu.
Fitrah manusia diisi oleh Allah Ta’ala ke dalam hati. Sebab itulah fitrah semulajadi manusia adalah mengikut hati. Fitrah manusia pada asasnya menyukai kebaikan. Walaupun ada orang melakukan kejahatan hakikatnya, hatinya itu tidak merestui perbuatan jahat yang dilakukannya itu. Firaun mengaku tuhan padahal hati kecilnya tidak pernah menyatakan dirinya tuhan. Berdasarkan fitrah manusia itulah maka Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as agar berdakwah kepada Firaun mudah-mudahan pintu hatinya terbuka untuk menyembah Allah Ta’ala. Manusia kononnya menolak kebenaran sedangkan hati kecilnya menerima kebenaran. Maka atas sebab itu, adalah menjadi tugas bagi orang Islam untuk menjalankan dakwah terhadap orang-orang yang menolak kebenaran kerana suatu hari nanti mungkin mereka akan berubah. Ini adalah kerana hati kecil mereka tidak pernah menolak kebenaran.
Selain fitrah, akal juga berada didalam hati. Jangan biarkan akal dikuasai nafsu. Selain fitrah dan akal, hikmah (kebijaksanaan) juga berada didalam hati. Orang Melayu bahasanya sangat halus dan hebat. Untuk perkataan hikmah, orang kita menggunakan perkataan bijaksana. Maksud bijaksana ini ialah berpandangan jauh. Orang yang bijaksana, pandangannya ‘tembus’ ke masa hadapan. Mereka dapat ‘melihat’ apa yang akan berlaku di masa akan datang dan merancang untuk masa hadapan. Ilmu dan iman juga berada didalam hati. Kita hendaklah sentiasa memeriksa hati kita samada kita memliki ketiga-tiga komponen ini iaitu fitrah, akal dan hikmah.
Hati nurani kecil juga dipanggil basirah yakni mata hati. Basirah inilah yang membezakan manusia dengan binatang. BInatang cuma ada penglihatan kasar tetapi tidak memiliki basirah. Sebab itulah lembu kalau dipakaikan kaca mata hijau akan memakan habis rumput kering kerana menyangka rumput itu adalah rumput hijau! Ini adalah kerana lembu tidak mempunyai basirah. Adakalanya manusia menipu mata hatinya. Sebagai contoh, ada perempuan tidak mahu memakai tudung kerana berpendapat bahawa orang yang memakai tudung belum tentu hatinya bagus. Alasan tersebut digunakan olehnya untuk tidak memakai tudung. Orang seperti ini menipu hati kecilnya sedangkan hati kecilnya menyatakan bahawa memakai tudung itu adalah satu kewajipan. Pada zaman Nabi saw, ada seorang sahabat yang asyik menggaru sana sini ketika solat. Kata sahabat lain, agaknya tak mengapa menggaru disana sini ketika solat.Lalu dijawab baginda saw, andai hatinya khusyuk maka sudah tentu anggotanya juga khusyuk. Maka jelaslah disini jika hati yang baik akan menghasilkan perbuatan yang baik. Hanya orang yang baik sahaja yang akan memilih untuk memakai tudung. Hanya orang yang hatinya bersih akan khusyuk didalam solat.
Asal-muasal hati manusia adalah baik, suka kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan. Orang ada yang fitrah maka ia adalah mukallaf iaitu mengerti apa itu baik dan apa itu tidak baik. Setiap anak yang lahir adalah fitrah iaitu suka kepada kebaikan dan tidak suka kepada yang jahat. Anak yang lahir kemudiannya dicorakkan oleh kedua ibubapanya kerana setiap anak itu mempunyai potensinya sendiri. Potensi ini dikurniakan Allah Ta’ala. Manusia mukallaf yang mempunyai fitrah diutuskan rasul untuk memberi contoh kepada mereka. Manusia diberikan kitab agar dapat dijadikan rujukan atau pedoman. Allah Ta’ala menyempurnakan nikmat zahir dan batin. Nikmat zahir adalah anggota yang sihat manakala nikmat batin adalah iman. Setelah sempurna keduanya, barulah kita akan mendapat kebahagiaan yang sebenar. Di Jepun, ramai orang bunuh diri walaupun mereka kaya-raya. Kekayaan bukanlah kebahagiaan. Kebahagiaan berkait-rapat dengan Iman. Iman membahagiakan seseorang. Manusia tidak akan mengecap kebahagiaan jika hati mereka tidak tenang. Hati tenang apabila menyebut nama Allah. Hati tenang dengan zikrullah. Sebab itulah majlis zikir dan salawat perlu sentiasa dianjurkan kerana ia memberi ketenangan kepada hati-hati manusia. Bagi orang awam, eloklah berzikir secara beramai-ramai kerana ia memberi kekuatan dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.
Setiap manusia yang lahir menjadi rebutan dua pihak iaitu pihak malaikat dan pihak iblis. Sebab itulah, bayi yang baru lahir perlu di azan dan di qamat bagi melindungi mereka dari gangguan iblis dan syaitan. Bahkan sebelum bayi lahir lagi iaitu ketika bersama isteri, pasangan suami isteri hendaklah bermohon kepada Allah Ta’ala agar zuriat yang lahir terlindung dari pengaruh iblis. Bahkan sebelum berkahwin lagi, seseorang itu perlu memilih calon pasangan yang baik supaya mendapat zuriat yang baik-baik. Pengalaman rohaniah syeikh ketika mengazankan anak ialah anak itu seakan-akan mengucapkan terima kasih kepadanya. Anak kecil yang menangis tengah malam akan berhenti menangis jika dilaungkan azan. Syaitan menganggu anak kecil ini supaya ibubapanya terlepas solat subuh. Maka atas sebab itu, kita perlu sentiasa membentengi anak-anak kecil ini dengan membaca ayat-ayat al-Quran.

Orang-orang dulu tradisinya tidak suka memuji anak. Mereka lebih suka mengatakan anak mereka hodoh dan sebagainya dari menghamburkan puji-pujian bagi mengelakkan si anak terkena ‘ain ketika tidur (‘ain bererti tidak boleh tidur malam). Orang-orang dulu akan memanggil anak-anak mereka masuk ke dalam rumah sebelum waktu maghrib kerana pada waktu itulah syaitan banyak berkeliaran.
Manusia fitrahnya memiliki nafsu. Nafsu inilah yang menyebabkan kita ada pada hari ini. Atas asbab nafsu, kedua ibubapa kita berkahwin dan melahirkan kita. Nafsu tidak boleh jadi raja tetapi perlu ditundukkan. Nafsu perlu dijinakkan. Dengan nafsu, manusia makan, berkahwin dan sebagainya. Kata Imam al-Ghazali, manusia terdiri dari 4 unsur iaitu
1. Unsur nurani malaikat – dengan unsur ini manusia berkeinginan untuk melakukan ibadat seperti malaikat (meniru malaikat)
2. Unsur binatang – dengan unsur ini manusia berkeinginan untuk makan, minum, bersetubuh dan sebagainya tapi mengikut batas syari’at
3. Unsur syaitan – dengan unsur ini manusia menjadi bijak dan cekap (tapi bukan meniru amalan syaitan). Bijak dan cekap yang dimaksudkan ialah seperti mengatur masa dan sebagainya.
4. Unsur binatang buas – dengan unsur ini manusia menjadi berani (sifat ini perlu ada jika tidak manusia akan menjadi dayus atau pengecut)
Kata Imam al-Ghazali ra, ambillah yang pertengahan setiap satu unsur itu. Manusia melakukan maksiat apabila fitrahnya tertutup. Bagaimana caranya hendak mengembangkan fitrah secara sihat? Fitrah tidak boleh tertutup. Hati manusia seperti kertas putih. Apabila seseorang mengerjakan dosa maka satu titik hitam akan terbentuk. Bila satu kebajikan dilakukan, titik hitam yang terbentuk tadi akan terhapus. Apabila seseorang itu bertaubat, maka segalanya akan terampun seperti orang yang tidak pernah melakukan dosa. Sebaliknya jika dosa dilakukan berulang kali maka semakin banyaklah titik hitam akan terbentuk sehingga kertas yang asalnya putih tadi menjadi hitam. Kekerapan melakukan dosa menyebabkan diri tidak lagi menjadi sensitif terhadap dosa. Apabila keadaan ini dibiarkan dan tidak dicuci dengan air taubat maka hati yang tergores dengan titik hitam akan terus menjadi hitam sehingga hatinya dikuasai iblis sepenuhnya. Iblis menganggap orang yang berhati hitam sebagai rakannya. Orang yang selalu mengerjakan maksiat akhirnya akan berasa seronok untuk melakukannya berulang kali.
Imam Abul Hasan Syazuli berkata, Orang yang tidak mengaji bab ilmu tasawwuf (kebersihan hati) maka ia merasakan seperti tidak berdosa padahal dosa besar yang telah dikerjakannya berlambak-lambak. Sebab apa? Sebab beliau tidak pernah rasa berdosa melakukan maksiat atau dosa-dosa besar. Keadaan ini samalah seperti diri kita yang menyangka bahawa kita sentiasa sihat tetapi selepas membuat pemeriksaan doktor sekali-sekala maka dapatlah dikesan bahagian anggota dalaman yang berada dalam keadaan sakit. Begitulah juga keadaannya dengan hati. Bila mengaji bab tasawwuf maka barulah kita sedar betapa banyaknya dosa yang telah kita lakukan.
Pakar emas tahu betapa tingginya nilai sesuatu emas itu kerana dia pakar dalam bidang itu. Dalam bab hati, Rasulullah saw dan para sahabat adalah orang-orang yang paling ahli tentangnya. Mereka dapat mengetahui isi hati seseorang dengan hanya melihat wajah orang itu. Setiap kali ditanya oleh para sahabat tentang amalan terbaik yang patut dilakukan maka Rasulullah saw akan memberikan jawapan yang berbeza-beza berdasarkan amalan mereka yang paling kurang. Untuk sahabat pertama, Nabi saw menjawab amalan paling baik yang patut dilakukan ialah solat pada awal waktu. Nabi saw menjawab demikian kerana Nabi saw tahu itulah amalan yang paling kurang dilakukan oleh sahabat itu. Untuk sahabat kedua, Nabi saw menjawab amalan paling baik yang patut dilakukan ialah berbakti kepada kedua ibubapa. Untuk sahabat berikutnya, Nabi menjawab tinggalkan amalan marah dan seterusnya. Orang yang boleh berikan teguran dengan ikhlas maka itulah orang yang disebut sebagai guru mursyid.
Kita semua sedia maklum bahawa Nabi saw adalah maksum (tidak ada dosa) tetapi Nabi saw mengerjakan ibadah seperti orang yang paling banyak melakukan dosa. Adapun kita terlalu banyak dosa yang dikerjakan tetapi mengerjakan ibadah seperti orang yang tidak ada dosa. Kita perlu meneliti diri kita. Adakah kita pernah berasa susah hati selepas mengerjakan solat takut-takut solat kita tidak diterima Allah Ta’ala? Hati Nabi saw adalah yang paling bersih kerana baginda tidak pernah lalai menyebut nama Allah hatta dalam keadaan tidur sekalipun. Nabi saw setiap kali masuk dan keluar tandas akan membaca doa memohon ampun kepada Allah Ta’ala sedangkan Nabi saw tidak mempunyai dosa. Kenapa Nabi saw meminta ampun? Nabi saw memohon ampun kerana baginda saw tidak dapat menyebut nama Allah (berzikir) ketika berada didalam tandas. Orang yang hatinya tertutup amat susah menerima nasihat orang lain. Orang yang hatinya bersih amat mudah menerima berterima kasih kepada orang yang memberi nasihat. Kita tidak boleh berputus asa untuk menjauhi maksiat. Pintu taubat adalah pencuci hati kita. Pintu taubat tertutup apabila roh sampai ke halkum (individu) atau matahari terbit dari sebelah barat (umat). Firaun pernah berusaha untuk bertaubat tetapi taubatnya tidak diterima kerana rohnya sudah sampai ke halkum. Kata malaikat kepada Firaun, Kenapa baru sekarang kamu hendak bertaubat? Ketika waktu senang kenapa kamu tidak melakukan demikian?
Para ulama mufassirin berkata, Andainya orang-orang yang berdosa diterima untuk kembali ke dunia maka mereka tetap akan kembali melakukan kejahatan kerana iman mereka tidak kuat. Sifat manusia sentiasa lupa. Kata ulama, jika 40 hari tidak melazimi diri untuk mengikuti majlis ilmu maka hati akan menjadi keras. Mengikuti majlis ilmu ini adalah dengan duduk bersila dihadapan guru. Mengaji dihadapan guru tidak sama dengan mengaji didepan TV atau mendengar radio. Ini adalah kerana adab terpelihara apabila mengaji dihadapan guru. Hati (qalbun) sentiasa berbolak-balik (berubah-ubah). Contoh, hati yang berubah-ubah dalam masa sehari ialah tukang sihir Firaun. Asalnya mereka berkhidmat kepada Firaun tetapi setelah melihat mukjizat Nabin Musa as dimana ular Nabi Musa as menelan kesemua ular sihir mereka, maka langsung mereka beriman kepada Allah Ta’ala pada waktu itu juga. Dan pada hari yang sama, mereka menemui syahid disalib oleh Firaun setelah berpaling tadah dengan menyebelahi Nabi Musa as. Kesimpulannya, tidak mustahil orang yang sentiasa berbuat jahat berubah menjadi baik. Sahabat besar, Saiyidina Umar al-Khattab asalnya amat kuat menentang Islam tetapi setelah mendengar bacaan al-Quran yang dialunkan oleh adiknya, terusnya hati berubah untuk mendekati Islam. Surah yang dibaca oleh adiknya ialah Surah Taha Ayat 1 hingga 5. Surah ini sangat elok dibaca kepada anak-anak yang degil kerana kandungannya berisi doa penawar yang boleh diamalkan untuk melenturkan hati-hati yang degil dan keras.
Hamba-hamba Allah Ta’ala yang soleh sentiasa rindu untuk bertemu Allah Ta’ala. Orang yang hatinya rindu kepada Allah Ta’ala mempunyai hati yang sihat. Bagaimana caranya kita hendak memeriksa hati?
Apabila bangun solat tengah malam, letakkanlah tangan di atas dada dan serulah nama kita. Bayangkan jika kita ini dipanggil menghadap Allah Ta’ala pada waktu ini, adakah kita sudah bersedia? Firman Allah Ta’ala, Bila hamba-Ku kasih kepada-Ku maka Aku rindu untuk berjumpa dengannya dan dia rindu untuk berjumpa dengan-Ku. Telah menjadi sifat manusia iaitu tempat dimana asset atau hartanya banyak maka disitulah dia akan tinggal berdiam. Begitu jugalah dengan orang yang hatinya sentiasa kasih kepada Allah Ta’ala. Orang ini hartanya disyurga maka disitulah tempat tinggalnya nanti. Isri Bilal ra menangis apabila Bilal berada dalam keadaan sakaratul maut. Isterinya hiba kerana suaminya akan meninggalkan dunia yang fana tidak lama selepas itu tetapi Bilal ra berada dalam keadaan yang sungguh gembira. Kata Bilal ra, Sebentar lagi aku akan bertemu dengan para kekasihku, Rasulullah saw dan sahabat-sahabatku yang mulia.
Orang yang hatinya sentiasa mengingati Allah Ta’ala tidak akan jemu-jemu mengerjakan ibadah. Kata Nabi saw, jika aku diizinkan hidup di muka bumi nescaya aku akan mengerjakan ibadah sebanyak-banyaknya. Tradisi orang Madinah selepas usia 40 tahun, mereka akan membeli tongkat dan tasbih. Kedua-dua peralatan ini dibeli bagi menggalakkan mereka mengerjakan ibadah dan menjadi simbol bahawa usia mereka sudah semakin hampir sampai ke hujung jalan. Diriwayatkan bahawa satu masa dahulu, seorang pemuda Bani Israel telah membunuh 99 orang. Beliau berniat hendak bertaubat lalu beliau berjumpa dengan seorang pendita. Pendita itu terkejut apabila beliau menyatakan bahawa beliau telah membunuh orang seramai itu. Lalu pendita ini berkata taubatnya tidak mungkin dapat diterima Tuhan. Berang dengan kata pendita itu langsung dibunuhnya pendita itu lalu genaplah 100 orang yang telah dibunuhnya. Disebabkan hatinya berasa ingin sangat hendak bertaubat, lalu ia pun mencari pendita lain. Kata pendita yang ditemuinya tidak lama selepas itu, Taubatmu diterima Tuhan tetapi dengan syarat
1. Kamu hendaklah menyesal bersungguh-sungguh atas setiap ketelanjuran yang telah kamu lakukan.
2. Kamu hendaklah berniat bersungguh-sungguh tidak akan mengerjakan lagi pada masa ini.
3. Kamu hendaklah berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengerjakan lagi dimasa akan datang.
Kata Syeikh, ketiga-tiga syarat diatas adalah merupakan syarat taubat makhluk kepada Tuhan. Manakala urusan antara makhluk dengan makhluk perlulah ditambah satu lagi syarat iaitu hendaklah menyelesaikan segala yang tertunggak dengan orang lain seperti harta, maruah dan sebagainya.
Merawat hati memerlukan masa. Diriwayatkan bahawa ulama besar satu masa dahulu mengambil masa selama 20 tahun untuk membersihkan hatinya. Cara untuk merawat hati ini ialah dengan mengaji ilmu kebersihan hati, bersahabat dengan orang yang telah bersih hatinya dan mengamalkan ilmu kebersihan hati yang telah dipelajari. Bersahabat dengan orang yang telah bersih hatinya bermaksud kita melihat kehidupan guru kita (dengan syarat guru itu menerima ilmunya secara bersanad iaitu mempunyai salasilah sehingga sampai kepada Rasulullah saw) yang telah melihat kehidupan gurunya dan seterusnya sehinggalah sampai kepada para sahabat yang melihat kehidupan Rasulullah saw. Dengan cara itu, kebersihan hati akan tersebar kepada orang lain.

Friday, December 11, 2009

Syarah Khas Syeikh Jibril

* Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 10 Disember 2009

Syaitan adalah musuh yang paling nyata bagi orang Islam khususnya bagi orang-orang yang berilmu. Cara syaitan menghasut orang-orang yang berilmu ialah dengan mencetuskan perasaan takabbur didalam hati mereka. Kata syaitan, Membesarkan diri adakan pakaianku manakala bersikap takabbur itu adalah kemegahanku. Jangan kita membanggakan diri apabila menghadiri majlis ilmu. Jangan kita menyangka ilmu kita sudah terlalu banyak sebaliknya bersikaplah tawaduk kerana itulah yang lebih baik bagi orang mukmin. Amanah orang yang berilmu ialah menyampaikan apa yang dimiliki atau yang dikurniakan Allah Ta’ala terhadapnya.
Setiap pekerjaan mempunyai bidang masing-masing. Seorang jurutera atau doktor adalah ahli didalam bidangnya. Setiap pekerjaan itu ada pengkhususannya. Doktor ada kemahiran untuk mengenal pasti sakit yang dihidapi pesakit. Setelah sakit dikenalpasti maka barulah ubat diberikan. Begitulah juga dalam bidang dakwah. Dakwah itu mengikut bidang kepakaran masing-masing. Orang berilmu lain dakwahnya dengan orang awam. Orang berilmu menyampaikan ilmunya kepada orang lain manakala orang awam berdakwah dengan cara menunjukkan akhlak atau suluk yang baik kepada orang lain. Rasulullah saw berhadapan dengan pelbagai ragam dan bentuk manusia. Ada seorang Badwi masuk kedalam masjid dan kencing didalamnya. Para sahabat berang dan mahu memukulnya tetapi dihalang oleh Rasulullah saw. Rasulullah saw menunjukkan akhlak yang terpuji dengan tidak memarahi orang Badwi sebaliknya menanganinya dengan baik dan berhemah malah mampu tersenyum mengenang peristiwa itu. Hikmahnya yang lain pula ialah jika orang Badwi itu dimarahi maka pasti air kencingnya akan bersepah merata-rata didalam masjid.
Dalam satu kisah yang lain, datang seorang pemuda bertanya Rasulullah saw. Katanya, Wahai Rasulullah saw, adalah boleh aku berzina? Sesiapa sahaja akan jawapannya. Dalam al-Quran sendiri ada disebut bahawa penzina perlu disebat 100 kali rotan. Rasulullah saw bagaimanapun menggunakan pendekatan mantik untuk menjawab soalan pemuda itu. Rasulullah saw menghampiri pemuda itu dan merapatkan lututnya yang mulia kepada lutut pemuda itu. Baginda saw meletakkan tangannya yang mulia pada dada pemuda itu sambil berkata, Adakah kamu rela berzina seperti orang yang menzinakan ibu atau saudara perempuan kamu? Rasulullah saw kemudiannya berdoa, Ya Allah! Ampunkanlah dosanya dan berilah hidayat kepadanya. Rasulullah saw menyelesaikan sesuatu masalah dengan menunjukkan akhlak yang terpuji dan berlemah-lembut. Bukan semua perkara boleh diselesaikan dengan cara cara marah atau tegas sebaliknya adakalanya perlu diselesaikan dengan menggunakan pendekatan psikologi. Tidaklah satu tangan itu boleh membersihkan tangannya dengan sebelah tangan sahaja melainkan hanya setelah menggosok kedua belah tangan. Begitulah keadaan orangmukmin iaitu saling melindungi antara satu sama lain. Allah memberi rahmat kepada mereka yang membantu umat Islam yang lain.
Satu lagi contoh ialah kisah Ibrahim bin Adham menjawab soalan pemuda dizamannya. Ibrahim bin Adham sangat alim. Ilmunya sangat luas tetapi beliau sangat tawadhuk. Pada satu hari, beliau didatangi seorang pemuda. Pemuda itu bertanya kepada Ibrahim, Bolehkah saya melakukan maksiat? Ibrahim Adham dengan tenang menjawab, Boleh tetapi setelah kamu menyempurnakan lima syarat yang aku sebutkan ini. Kata pemuda tadi, Sebutkan sahaja lima syarat itu nescaya mampu aku tunaikan. Balas Ibrahim bin Adham, Baiklah. Syarat yang pertama, jangan kamu makan sebarang rezeki Allah. Kata pemuda itu, bagaimana mungkin aku dapat memakan sebarang makanan selain dari pemberian Allah Ta’ala. Sambung Ibrahim bin Adham, Syarat yang kedua, jangan kamu duduk di tempat yang dimiliki Allah. Jawab pemuda tadi, Ini lagi teruk dari syarat yang pertama. Kalau aku tidak boleh duduk di bumi Allah, dimana pula aku hendak tinggal? Sambung Ibrahim bin Adham lagi, Syarat ketiga, pergilah kamu ke suatu tempat dimana Allah tidak boleh melihat kamu. Pemuda tadi langsung tergamam. Sambung Ibrahim bin Adham, Syarat keempat ialah apabila datang malaikat maut cubalah kamu minta tarikh kematian kamu dilewatkan. Pemuda tadi langsung tidak berkata apa-apa. Sambung Ibrahim bin Adham lagi, Dan syarat terakhir, Jika kamu diheret ke neraka, cubalah kamu menolak permintaan Malaikat Zabaniyah.
Wahai saudara-saudara sekalian! Tidakkah kita berasa malu melakukan maksiat sedangkan rezeki yang kita makan datangnya dari Allah Ta’ala, kita duduk diatas bumi Allah dan setiap gerak-geri kita diperhati Allah Ta’ala. Tidakkah kita berasa malu dan gentar melakukan maksiat apabila malaikat maut datang hendak mencabut nyawa kita kemudiannya mengheret pula masuk ke neraka? Mudah-mudahan kita semua berada didalam rahmat Allah dan terpelihara dari sebarang kejahatan.

Monday, December 7, 2009

Mafahim Yajibu an-Tusohhah - Perbezaan maqam khaliq dengan makhluk - Syarah oleh Syeikh Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 6 Disember 2009
Orang yang menyerupakan khaliq kepada makhluk dan sebaliknya adalah orang yang mensyirikkan Allah Ta’ala. Ramai yang menyembah Allah Ta’ala tetapi belum tentu mereka meyakini Allah itu dengan yakin yang sebenar-benarnya malah ada yang meyakini Allah itu bersekutu dengan lain-lain makhluk. Semoga kita dilindungi Allah swt. Maka atas sebab itu kita hendaklah menisbahkan diri kita dengan tauhid yang sahih yang telah dibawa oleh Rasulullah saw. Tidak wajar atau tidak patut seseorang itu mempelajari ilmu-ilmu lain melainkan ia telah memahami ilmu tauhid dengan sebenar-benarnya. Tidak sepatutnya seseorang itu belajar ilmu tafsir atau hadith selagi mereka belum benar-benar menguasai ilmu tauhid. Maka atas sebab itu, ada ulama menjadi sesat kerana kesalahfahaman mereka dalam mentafsirkan al-Quran dan Hadith sehingga menyebabkan munculnya mazhab-mazhab yang menyimpang. Mereka beranggapan bahawa penafsiran mereka itu bersandarkan kepada al-Quran dan Hadith sebaliknya mereka hanya memahami sebahagian ayat sahaja sebaliknya sebahagian lagi ditinggalkan (memilih-milih mana yang sesuai mengikut acuan mereka). Orang yang benar-benar menguasai ilmu tauhid akan mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan Hadith itu dengan cara yang betul iaitu mengaitkan satu ayat dengan ayat yang lain kerana sesuatu ayat itu akan mensyarah ayat-ayat yang lain. Apabila tidak mantap dengan ilmu tauhid tetapi cuba untuk terjun dalam bidang tafsir maka terhasillah andaian-andaian yang mengelirukan umat yang jelas menyimpang dari apa yang telah ditafsirkan oleh ulama-ulama salafussoleh. Golongan yang keliru ini lazimnya mentafsir ayat berdasarkan lughah semata-mata. Sebagai contoh, ayat yang menyebut tentang tangan Allah. Bagi orang yang mentafsir mengikut lughah, mereka beranggapan bahawa Allah itu mempunyai anggota sedangkan ini tidak betul. Semoga kita dilindungi Allah swt. Maka atas sebab itu, kita hendaklah benar-benar menguasai ilmu tauhid supaya kita tidak mentafsir sesuatu ayat sesuka hati. Generasi terdahulu yakni nenek moyang kita, walaupun mereka tidak boleh membaca namun penghayatan mereka dalam ilmu tauhid sangat mantap. Mereka boleh mengupas sifat dua puluh dengan baik. Kita hendaklah sedar dan jangan terjebak kepada pemahaman yang mengelirukan. Orang yang keliru tidak akan dapat membezakan khaliq dengan makhluk. Sedangkan pemahaman yang mengelirukan akan menjerumuskan seseorang itu ke lembah kemerbahayaan malangnya orang-orang ini tidak berhati-hati akan kemerbahayaan itu. Sebagai contoh, samada sedar atau tidak, ada golongan yang tidak memahami makna khilaf dengan menggantikan makna khilaf kepada bidaah. Perbuatan menggoyang jari dalam tahiyat, meletak tangan diatas dada ketika solat dan qunut adalah soal khilaf sebaliknya ada golongan terlebih ekstrim dengan menyatakan itu bukanlah khilaf sebaliknya bidaah. Mereka tidak berhati-hati kesan maksud bidaah ini kerana bidaah ini bererti orang yang mengerjakannya adalah sesat dan tempat bagi orang-orang yang sesat adalah di neraka. Adakah perbuatan khilaf boleh disamakan dengan bidaah?
Syeikhul Azhar, Az-Zahrawi dalam kitabnya yang berjudul Yahudi Lahabinatan ada menyebut bahawa golongan yang berfahaman Wahhabi sebenarnya beriktiqad sama seperti Yahudi. Mereka tidak boleh dikatakan mengikut mazhab Hanbali sebaliknya lebih condong ke arah Yahudi. Kata syeikh, persamaan ini boleh dilihat jika dirujuk pada kitab Talmud dimana iktiqad orang Yahudi tidak jauh berbeza dengan puak Wahhabi. Sedangkan iktiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah amat jelas iaitu Allah Maha Suci dari berjisim, beranggota dan bertempat. Adakah kita sebagai Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh berdamai dengan orang-orang yang tersasar dari iktiqad yang sebenar? Imam Syafi’i ra pernah berkata, sesiapa yang patut marah tetapi tidak marah maka itu namanya kaldai. Wajarkah kita berdiam diri apabila Imam-Imam Mazhab dicerca dan dilanyak sedemikian rupa sedangkan mereka inilah ‘ayah-ayah’ kita yang telah mengenalkan Allah Ta’ala kepada kita.
Puak Wahhabi menyatakan bahawa Allah itu duduk di atas arasy dan arasy itu ditanggung oleh para malaikat. Sedangkan ini tidak benar. Jika Allah duduk diatas arasy maka Allah berhajat kepada sesuatu dan jika arasy itu ditanggung oleh malaikat dan Allah duduk diatasnya maka itu bermakna Allah memerlukan pengawal. Ketahuilah bahawa Allah tidak berhajat atas sesuatu dan Allah tidak memerlukan pengawal. Semoga kita dilindungi Allah swt dari fahaman sebegini.
Golongan yang keliru akan mencampur-adukkan sifat khaliq dengan makhluk. Mereka tidak dapat membezakan antara sifat khaliq dengan makhluk. Maka atas sebab itu, golongan ini dengan mudahnya mengecam perbuatan orang-orang yang mengalunkan puji-pujian keatas Nabi saw. Mereka menganggap bahawa puji-pujian itu adalah suatu perbuatan bidaah kerana mereka menganggap bahawa golongan yang memuji Nabi saw itu telah meletakkan kedudukan Nabi saw setara dengan kedudukan Allah Ta’ala padahal itu tidak benar. Ahlus Sunnah wal Jamaah memuji Nabi saw kerana memuliakan Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Ahlus Sunnah memuji Nabi saw kerana Nabi saw adalah makhluk Allah Ta’ala yang paling mulia. Ahlus Sunnah wal Jamaah faham dalam hal membezakan makam khaliq dengan makam makhluk malangnya golongan yang keliru ini tidak memahami tentang perkara ini. Perbuatan memuliakan orang yang mulia adalah sunnah baginda saw dan menjadi amalan para kekasih Allah. Ketika Nabi saw mengunjungi anakandanya, Fatimah maka Fatimah akan brdiri menyambutnya kerana memuliakan baginda saw. Begitu juga ketika Fatimah menziarahi ayahandanya, Nabi saw akan berdiri menyambut kedatangan anakandanya yang dikasihi. Imam Muslim memuliakan gurunya Imam Bukhari ketika Imam Bukhari menziarahinya. Ketika Imam Bukhari sampai kerumahnya dan melangkah masuk, Imam Muslim berdiri tanda memuliakannya. Kemudian, beliau mengucup Imam Bukhari dan mengucapkan kalimah berikut, Selamat datang wahai para ustaz muhaddith dan doktor hadith. Para sahabat memuliakan Nabi saw atas dasar mencintai Allah Ta’ala dan Rasul-Nya. Kecintaan mereka terhadap Allah Ta’ala dan kekasih-Nya yakni Rasulullah saw sangat luarbiasa. Para sahabat akan bergembira sekiranya dapat bersama-sama dengan Nabi saw pada setiap detik dan berasa kecewa jika tidak dapat menyertai Nabi saw. Pada ketika perang Khaibar hendak meletus, Nabi saw telah mengumpul para sahabat di Masjid Nabawi. Nabi saw membuat pengumuman dengan menyatakan bahawa pada hari esok baginda saw akan menyerahkan bendera umat Islam kepada seorang lelaki yang Allah dan Rasul-Nya dan Allah dan Rasul-Nya mencintai lelaki ini. Semua sahabat tahu bahawa perang Khaibar bukanlah perang biasa. Perang ini sangat dahsyat kerana umat Islam perlu bertempur dengan puak Yahudi yang paling kuat. Namun begitu para sahabat tidak pernah gentar sebaliknya masing-masing bercita-cita untuk turut serta dalam perang ini. Bahkan semua sahabat bercita-cita untuk memegang bendera yang akan diberikan oleh Nabi saw keesokan harinya kerana mereka tahu tentang kedudukan orang yang akan memegang bendera itu iaitu menjadi kekasih Allah dan Rasul-Nya. Semua sahabat berangan untuk menerima bendera dari tangan Nabi saw yang mulia termasuklah sahabat besar, Umar al-Khattab. Kata Umar, Aku tidak pernah bekeinginan untuk menjadi ketua melainkan pada hari tersebut. Keesokan paginya, sahabat telah memenuhi masjid Nabawi dan tidak sabar-sabar menunggu pengumuman dari Nabi saw. Nabi saw keluar dari rumah dan bertanyakan tentang Ali. Ada seorang sahabat mengatakan bahawa Ali tidak dapat hadir kerana sakit mata. Nabi saw tetap mahu memanggil Ali. Ali datang dan mara kearah Nabi saw. Nabi saw meludah mata Ali dan mata Ali sembuh seperti sediakala. Kata baginda saw, Sesungguhnya Allah akan membuka pintu Khaibar bagi engkau. Ali dikurniakan kekuatan luar biasa. Pintu Khaibar sangat kukuh. Ketika dala peperangan, ianya tidak mampu dibuka dengan kekuatan 70 orang sahabat. Ali kemudiannya membuka pintu itu dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Begitulah kekuatan al-Qawiy yang dikurniakan Allah Ta’ala pada Ali. Ali seorang yang sangat gagah dan tidak gentar dalam medan peperangan. Beliau akan melompat ke atas kuda dan menunggang kuda dengan gagahnya. Beliau tidak akan turun dari kudanya melainkan setelah memenggal sekurang-kurangnya 100 orang musuh. Seorang lagi sahabat yang juga merupakan saudara Nabi saw yang sangat memuliakan baginda saw ialah Jaafar bin Abi Talib. Jaafar merupakan saudara kandung Ali. Ketika Nabi saw menyatakan kepada beliau, Sesungguhnya akhlak dan tubuhmu adalah seumpama aku, maka beliau berasa sangat gembira seraya menggoyang-goyangkan badannya. Hanya dua orang yang mempunyai tubuh badan yang mirip kepada Nabi saw iaitu Ali dan Jaafar. Tentang perbuatan bergoyang, ia bukanlah satu kesalahan kerana yang mengerakkannya itu bukanlah jasadnya tetapi dari hatinya yang sangat-sangat mengasihi Allah dan Rasul-Nya. Sebab itu Imam Ahmad bin Hambal tidak menegur orang yang menggoyang-goyangkan badannya ketika berzikir kerana beliau tahu bahawa hati orang itu sedang tertumpu kepada Allah Ta’ala. Jaafar bin Abi Talib syahid dalam perang Mu’tah.[1] Ketika Nabi saw sedang berkhutbah, Nabi terlihat Jaafar sedang menziarahinya (Jaafar telah pun wafat). Kata Nabi saw, Jaafar baru sahaja menziarahi aku. Jaafar turun dari syurga untuk bertemu Nabi saw kerana terlalu rindukan Nabi saw. Walaupun Jaafar telah wafat dan ditempatkan di syurga namun hatinya tidak berasa gembira kerana Nabi saw tidak berada disitu. Seorang lagi sahabat yang begitu mengasihi Nabi saw ialah Talhah. Beliau menjadi perisai kepada Nabi saw ketika mereka dihujani panah pihak musuh dalam Perang Uhud. Pada ketika itu, pasukan pemanah musuh dipimpin oleh Khalid al-Walid (belum Islam pada waktu itu). Kata Nabi saw kepada Talhah, Sesungguhnya wajib syurga bagi engkau. Sahabat mengasihi Nabi saw dengan kasih yang sangat mendalam. Kerinduan mereka terhadap Nabi saw tidak dapat digambar dengan kata-kata. Kahak Nabi saw ditadah oleh para sahabat dan disapu ke muka mereka. Begitu juga dengan air wuduk Nabi saw yang jatuh pasti akan ditadah sahabat. Ketika Nabi saw bercukur dan menggunting rambut, setiap helaian rambut Nabi saw tidak akan jatuh ke tanah melainkan jatuh ke telapak tangan para sahabat. Bukan sahaja para sahabat mengasihi Nabi saw bahkan tunggul pokok turut mengasihi baginda saw. Pernah satu hari, sebatang tunggul menangis kerana Nabi saw tidak bersandar kepadanya. Ketika Nabi saw membaca khutbah, tangisan tunggul semakin kuat hingga didengari oleh para sahabat. Nabi saw turun dari mimbar dan memeluk tunggul tersebut untuk memujuknya. Nabi saw berbisik kepada tunggul itu, Adakah kamu hendak terus tinggal di bumi ini atau kamu hendak menjadi ahli syurga dimana buah-buahmu menjadi makanan kekasih Allah? Tunggul itu menjawab, Aku memilih syurga. Kata Nabi saw kepada para sahabat, Aku terpaksa memujuknya kerana jika tidak ia akan menangis hingga ke hari kiamat. Nabi saw kemudiannya mengebumikan tunggul itu dan pada hari ini kawasan maqam tunggul itu telah disimen dimana diatasnya telah dipacak sebatang tiang.

[1] Di dalam satu kisah, Rasulullah S.A.W menghantar surat kepada beberapa orang raja mengajak kepada Islam yang suci. Salah satu raja yang diutus surat itu ialah Raja Busra dimana Haris bin Umar Azdi r.a menjadi utusan Rasulullah. Takdir Allah, Haris telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, yakni salah seorang gabenor Kaisar. Tindakan ini sangat bertentangan dengan tatacara undang undang kerana Haris hanya merupakan seorang utusan. Rasulullah berasa sangat sedih dengan kejadian ini lantas menghantar 3000 tentera Islam untuk memerangi musuh yang jahat itu. Perang ini dinamakan sebagai Perang Mu’tah kerana kejadian ini berlaku di Mu’tah, Jordan. Di sinilah terjadinya peristiwa yang memaparkan semangat kepahlawanan dan kecintaan kepada syahid oleh tentera Islam. Rasulullah SAW, melantik Zaid bin Harithah sebagai ketua pasukan. Kemudian Baginda SAW, bersabda kepada para pejuang yang akan ke medan pertempuran: “Sekiranya Zaid terbunuh maka Jaafar bin Abi Talib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Jaafar juga terbunuh maka Abdullah bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranya Abdullah juga terbunuh maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu orang yang kamu kehendaki.” Seorang Yahudi yang kebetulan berada di situ berkata: “Pasti ketiga-tiga mereka ini akan terkorban kerana ini adalah lumrah sebagimana para-para Nabi yang terdahulunya selalu meramalkan.” Rasulullah tidak turut serta di dalam perang ini. Baginda menyerahkan sehelai bendera putih yang dibuat oleh baginda sendiri kepada Zaid. Kemudian baginda berdoa: “Semoga Allah SWT akan mengembalikan kamu semua dengan selamat dan memperolehi kejayaan. Semoga Allah memelihara kamu semua dari segala kejahatan.” Seraya itu, Abdullah bin Rawahah menyampaikan serangkap syair: “Aku hanya menginginkan keampunan terhadap segala dosa-dosaku dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar keluar seperti air yang mengalir keluar dari mata air. Atau sebilah tombak untuk menembusi masuk keliang hatiku dan isi perutku. Dan ketika insan-insan melalui di tepi kuburku, mereka akan berkata: Semoga engkau telah gugur kerana Allah…. berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur.” Pihak musuh telah mengetahui akan kedatangan tentera Islam. Lantas mereka mempersiapkan tentera mereka dengan kekuatan 100 000 tentera yang diketuai oleh seorang panglima, Sarjil. Ketika Sarjil hendak mara,mereka mendapat khabar bahawa Kaisar juga sedang mara dengan tenteranya yang berjumlah 100 000 orang. Jadi, semuanya berjumlah 200 000 orang! Bayangkan 3000 orang berlawan dengan 200 000 orang! Jadi ketika itu, ada di kalangan sahabat yang menyuruh menghantar maklumat kepada Rasulullah akan perkara ini andai kata ada rukhsah untuk tidak berperang. Dalam keadaan ragu ragu itu, Abdullah bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang: “Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua. Apakah tujuan sebenar kamu semua datang kesini? Bukankah kamu semua datang kesini untuk mati syahid. Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah SWT ke atas setiap kita pejuang-pejuang agamaNya. Kita hendaklah mempastikan salah satu antara dua: Kemenangan atau syahid.” Lantas saja, semangat tentera Islam membakar kembali umpama api yang membaham kertas.Lalu,kedua dua pihak berperang bermati-matian. Dalam pertempuran yang sengit itu gugurlah Zaid bin Harithah sebagai syuhada. Terus sahaja, Jaafar bin Ali Talib r.a memikul tanggungjawab sebagai panglima. Beliau sengaja melumpuhkan kaki kudanya supaya beliau tidak ada alasan melarikan diri dari medan pertempuran yang kian menggila itu. Beliau menggenggam bendera dengan tangan kanannya,tetapi musuh datang menetak. Lalu, berpindah ke tangan kirinya. Ditetak jua. Lantas, didakap bendera Islam itu dengan kedua tangannya yang kudung. Darah mengalir seperti kepala paip yang kehilangan penguncinya. Akhirnya,riwayat beliau diakhiri dengan satu tetakan dari belakang yang menyebabkan badannya terputus. Abdullah bin Umar ra. menceritakan, “Ketika kami mengangkat beliau keluar dari medan pertempuran. Kami dapat mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau.” Allah telah menganugerahkan sepasang sayap buat Jaafar di syurga nanti. Dengan sebab itu Jaafar bin Abi Talib digelar sebagai Jaafar al-Tayyar yang bermaksud Jaafar yang terbang. Selepas itu, Abdullah bin Rawahah pula memimpin tentera Islam di mana beliau juga turut menyertai para syuhada’ yang lain. Kegigihan Abdullah dapat dilihat apabila beliau sanggup memutuskan jari-jarinya yang telah ditetak oleh musuh kerana mengganggu pergerakannya. Seterusnya,tentera Islam dipimpin oleh seorang panglima yang selepas itu menjadi salah seorang panglima yang agung di dalam sejarah Islam. Beliau ialah panglima yang ulung, Khalid bin Al Walid. Khalid berjaya melakukan satu taktik pengunduran yang berjaya mengelirukan tentera musuh dan berjaya meminimakan kerugian di pihak Islam. Di dalam perang ini,seramai 1000 tentera Muslim telah syahid manakala di pihak musuh kira-kira seramai 20 000 orang telah terkorban. Perang ini telah menggoyah keyakinan Kaisar dan telah menambahkan lagi keyakinan di pihak Muslim.

Syarah Hikam Abi Madyan - Bab Ilmu yang paling bermanfaat - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 6 Disember 2009
“Ilmu yang paling bermanfaat ialah mengetahui hamba dengan hukum perhambaan dan ilmu yang paling tinggi ialah mengetahui seseorang akan keesaan Allah swt”
Setinggi-tinggi ilmu ialah ilmu tauhid. Ilmu inilah yang menjadi penentu kedudukan kita disisi Allah Ta’ala. Semua orang Islam mengaku hamba Allah tetapi ia hanyalah sekadar ucapan lidah sahaja. Ini adalah kerana jika benar orang Islam mengaku bahawa mereka adalah hamba Allah maka sudah tentulah mereka menjauhi segala perbuatan yang dimurkai Allah swt. Pada satu masa dahulu, ada seorang wali Allah namanya Bisyru al-Hafi yang asalnya berada dalam keadaan jahil. Beliau merupakan anak bangsawan yang hidup dengan segala kemewahan dan sering berfoya-foya. Pada suatu malam ketka beliau sedang berseronok di kediamannya, datanglah seorang yang tidak dikenali mengetuk pintu rumahnya. Pembantu rumahnya bertanya, Siapakah yang berada diluar? Orang yang berada diluar itu tidak menjawab sebaliknya mengembalikan satu soalan, Adakah tuan yang berada didalam rumah ini seorang yang merdeka atau hamba? Pembantu rumahnya menjawab, Sudah tentulah tuan punya rumah ini adalah seorang yang merdeka. Mendengar jawapan itu maka orang di luar rumah itu pun berkata, Patutlah dia membuat perkara-perkara yang dibenci Allah Ta’ala kerana dia tidak bertuan. Tuan punya rumah itu seakan faham apa yang disampaikan oleh orang itu. Beliau segera keluar dari rumah dengan keadaan tidak berkasut serta tidak menutup kepala untuk mendapatkan lelaki tadi. Beliau berjaya menemui lelaki tersebut dan kemudiannya lelaki itu memintanya bertaubat. Beliau kemudiannya bertaubat bersungguh-sungguh dan selepas itu menjadi wali besar. Bagi mengenang peristiwa taubat itu, beliau tidak lagi memakai kasut ketika berjalan kemana-mana. Pada satu hari, sedang ia berjalan disekitar kota Baghdadm terjumpalah ia dengan secarik kertas yang tertulis didalamnya kalimah Allah. Beliau mengambil kertas tersebut dan menyimpannya. Dengan wang sebanyak 4 dirham, beliau membeli wangi-wangian dan membersihkan kertas yang dijumpainya tadi. Wangian itu kemudiannya disapu pada kertas tersebut. Pada malamnya beliau bermimpi. Dalam mimpinya itu, Allah berfirman, Oleh kerana engkau mewangikan nama Aku maka Aku mewangikan nama engkau.
Seorang wali Allah yang dikenali sebagai pemidato hebat asalnya bukanlah seorang pemidato yang baik. Wali Allah yang bernama Mansur al-Wa’iz tidak begitu fasih berkata-kata. Pada satu hari, beliau terjumpa kertas yang mengandungi kalimah Bismillah. Bagi menjaga kehormatan dan kesucian kalimah tersebut, beliau menelan kertas itu. Asbab dari kejadian itu maka Allah Ta’ala telah memuliakannya dengan mengurniakannya kehebatan berkata-kata. Lidahnya fasih dan mampu mempesonakan para pendengar.
Ketahuilah bahawa martabat yang paling tinggi ialah martabat ubudiyyah iaitu perhambaan. Menjadi hamba adalah tujuan sebenar kita ini diturunkan ke muka bumi. Ulama menyatakan bahawa ilmu yang paling bermanfaat ialah ilmu untuk mengenal sifat hamba. Ilmu tersebut terbahagi dua iaitu ilmu zahir yakni syariat dan ilmu batin yakni tariqat. Ilmu zahir merujuk kepada ilmu yang mengarahkan penuntutnya agar menjunjung titah perintah Allah Ta’ala dengan seluruh anggota jasadnya. Kegagalan masyarakat zaman ini menghayati ilmu ini telah menyebabkan ramai yang berada dalam keadaan jahil. Natijahnya, ramai yang keliru tentang amalan yang patut dilakukan dan amalan yang patut ditinggalkan. Mendalami ilmu tariqat tidak bermakna membelakangkan ilmu syariat sebaliknya ilmu tariqat itu gunanya ialah untuk mengukuhkan lagi ilmu syariat yakni amalan anggota jasadnya. Wali Allah yang sangat masyhur, Abu Yazid al-Bistami mendapat khabar bahawa disatu kampung tinggal seorang wali. Dengan penuh tawadhuk, beliau mengajak anak muridnya mengikuti beliau berkunjung kerumah orang yang dikatakan wali itu. Tujuannya ialah untuk mendapat berkat dari wali tersebut. Setibanya beliau dirumah orang itu, beliau terlihat orang yang dikatakan wali itu telah meludah kea rah kiblat. Beliau langsung mengajak murid-muridnya balik tanpa bertemu dengan orang yang dikhabarkan wali itu. Apabila ditanya oleh anak muridnya, beliau menjawab, Masakan orang ini layak dipanggil wali jikalau sunnah yang sebegini asas pun tidak dapat dipeliharanya.
Imam Abu Hasan al-Syazuli berkata, Sesiapa yang tidak hadir untuk mengerjakan solat secara berjemaah maka jangan dipedulikan orang yang sedemikian itu sekiranya orang ini mendakwa mereka adalah wali atau kekasih Allah. Mana mungkin orang sebegini layak dipanggil wali kerana sunnah Nabi saw tidak dijaga dengan baik. Nabi saw tidak pernah meninggalkan solat berjemaah. Berdasarkan kenyataan Imam Abu Hasan ini maka dapatlah disimpulkan bahawa antara syarat seorang itu boleh digelar sebagai wali ialah apabila beliau melazimkan dirinya dengan solat lima waktu secara berjemaah. Seperti yang dinyatakan tadi, tariqat tidak pernah meminggirkan syariat. Tariqat menjadikan penuntutnya semakin kuat beribadah. Imannya juga bertambah sepanjang masa. Nabi saw beribadah sehingga menitis darah ke paras kakinya. Melihat kejadian itu, Aisyah berkata kepada baginda saw, Ya Rasulullah, kenapa engkau begitu kuat beramal sedangkan dosa engkau telah pun terampun? Nabi saw lalu menjawab, Wahai Aisyah, adakah salah aku menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah Ta’ala yang telah mengurniakan segala macam nikmat kepadaku? Para wali Allah yang lain juga begitu. Mereka beribadah sehingga menimbulkan kerisauan orang lain yang melihat mereka. Imam Abdullah al-Haddad beribadah dengan tidak berhenti-henti sehingga merisaukan nendanya. Bagi mengurangkan kerisauan nendanya, Imam Abdullah al-Haddad pun mengurangkan ibadahnya. Adapun ibubapa zaman sekarang risau melihat anaknya tidak menunaikan solat. Kata para ulama, orang yang umurnya mencecah usia 40 tahun tetapi masih meninggalkan solat maka syaitan akan menyapu mukanya dan menganggap orang itu sebagai temannya.
Para kekasih Allah melazimi diri mereka dengan mengerjakan ibadah tanpa henti. Semakin bertamah umur mereka maka semakin bertambah kuatlah mereka beribadat. Iman mereka juga bertambah sepanjang masa. Ketika di alam kubur, iman dan pahala mereka akan terus bertambah. Ini adalah kerana mereka telah meninggalkan sunnah yang baik seperti madrasah, sekolah dan ilmu yang dimanfaatkan oleh satu generasi ke generasi berikutnya. Makam Nabi saw bertambah kerana ramainya umat Islam yang membaca hadith, mengajar solat dan mengajar haji. Nabi saw adalah pencetus segala kebaikan, oleh itu makamnya diangkat. Orang yang membaca Yasin dan menghadiahkan bacaan tersebut kepada si mati akan mendapat pahala yang sempurna sama seperti pahala bacaan yang dihadiahkan kepada si mati. Begitu juga dengan orang yang mengajar zikir atau apa jua ilmu yang benar kepada orang lain akan mendapat pahala yang sempurna sama seperti si penerimanya. Ulama berfatwa bahawa sesiapa yang menyatakan kedudukan Nabi saw berkurang selepas wafatnya baginda saw maka hukum ke atas orang itu adalah kufur. Makam orang biasa tidak sama dengan makam Nabi saw. Makam orang biasa boleh berkurang sekiranya orang ini mempunyai saham didalam tempat-tempat maksiat.
Ilmu tariqat adalah satu ilmu yang membawa penuntutnya berjalan di atas Sunnah Rasulullah saw. Wali-wali Allah sentiasa berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan akan berasa cemburu kepada yang lain sekiranya tidak dapat melakukan kebaikan. Para sahabat akan berasa terkilan jika tidak dapat membantu Nabi saw. Apabila Rasulullah saw tidak mengizinkan Ali pergi berperang, maka kecewalah Ali. Malah ada yang memerlinya dengan mengatakan bahawa Nabi saw sudah tidak sayang lagi kepadanya. Menyedari akan hal itu, Nabi saw memanggil Ali dan menyatakan kepada Ali seperti berikut, Engkau dengan aku ibarat Musa dengan Harun. Ketika mukjizat bermunajat di Tursina, Harun akan menjaga Bani Israel. Aku ini ibarat Musa sementara engkau itu ibarat Harun. Apabila aku pergi berperang maka engkau tinggal disini menjaga Madinah.
Ketahuilah bahawa untuk masuk ke hadrat Allah Ta’ala maka seseorang itu perlulah suci zahir dan batin.Ibarat orang yang ingin masuk kedalam istana berjumpa raja, kenalah seseorang itu mempersiapkan diri terlebih dahulu. Untuk menyucikan zahir dan batin, lafaz bukan sahaja melalui lidah tetapi juga hati. Hati kena menyucikan dan membesarkan Allah Ta’ala dari perkara-perkara lain. Ada orang bersolat tetapi hatinya tidak seronok kerana ingatan hatinya ditumpukan kepada perkara lain selain Allah Ta’ala. Sedangkan solat di sisi Nabi saw menjadi penyejuk mata hati baginda saw. Kata baginda saw, Keseronokan aku bukan kepada pergerakan solat tetapi atas sebab khusyuk dan khuduknya solat itu.