Tuesday, January 12, 2010

Syarah Syamail Muhammadiyah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 09 Januari 2010
Martabat ahli hadith ada lima iaitu
1. Penuntut
2. Muhaddith – orang yang mengetahui selok-belok hadith
3. Hafiz – menghafaz 100,000 hadith (sanad dan matan)
4. Al-Hujjah – menghafaz 300,000 hadith
5. Al-Hakim – menguasai hampir kesemua hadith
Imam Ibn Hatim al-Razi menyebut bahawa ahli hafiz akan lahir setiap 40 tahun. Walaubagaimanapun, ada sesetengah ulama berpendapat bahawa kenyataan Imam al-Razi itu adalah merujuk kepada generasi ulama silam kerana pada zaman ini amat sukar sekali untuk menentukan seseorang ulama itu boleh mencapai ke tahap sedemikian rupa. Orang yang mencapai martabat hafiz ini menjadi penghujah dimuka bumi. Kata Imam Ahmad bin Hanbal, tidak ada orang yang paling mulia selain dari ahli hadith. Imam Syafi’i pula menyatakan, Bila aku melihat wajah ahli-ahli hadith, ianya seolah-olah seperti aku melihat wajah Rasulullah saw. Imam Sufyan as-Tsauri ketika melihat seseorang yang menghabiskan usia tuanya tanpa menunjukkan minat untuk duduk didalam majlis hadith berkata, Allah tidak akan membalas terhadap engkau (orang tua itu) sebarang balasan didalam agama. Syeikh Sulaiman al-Abbas (saya tak pasti betul atau tidak nama tokoh ini), berkata, Orang yang tidak mahu didalam didalam majlis hadith maka aku sangat berhajat untuk menempeleng mukanya dengan selipar. Amatlah malang dan hina bagi orang yang tidak berkeinginan untuk belajar ilmu hadith ini.
Nabi Muhammad saw dikurniakan dengan pelbagai mukjizat. Antaranya ialah dari segi struktur tubuh baginda saw. Apabila baginda saw, baginda saw akan kelihatan lebih tinggi dari orang lain. Tetapi setelah selesai bersalam, tubuh baginda saw akan kelihatan sederhana. Nabi saw kelihatan lebih tinggi ketika berjalan kerana tidak ada seorang pun yang lebih tinggi kemuliaannya dari baginda saw. Warna kulit Nabi saw adalah putih kemerahan. Maksud putih kemerahan ini ialah apabila kulitnya disinari matahari maka warna kulitnya akan berubah menjadi merah. Jika tidak disinari matahari, kulit baginda saw berwarna putih. Kata ulama, sesiapa yang mengatakan bahawa kulit Nabi saw hitam maka orang itu adalah kafir kerana menyalahi hadith mutawatir yang diriwayatkan oleh sebilangan besar sahabat, tabi’in dan tabi’in tabi’in.
Hadith yang dibaca pada hari ini ialah tentang bentuk tubuh Rasulullah saw
Daripada Anas bin Malik ra, beliau berkata, Rasulullah saw tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Kulitnya tidak putih seperti kapur, tidak juga hitam. Rambutnya ikal, tidak kerinting dan tidak pula lurus kaku. Baginda saw diangkat menjadi Allah swt (menjadi Nabi) ketika berusia 40 tahun. Baginda saw tinggal di Makkah (sebagai Rasul) selama 10 tahun dan di Madinah selama 10 tahun. Baginda saw wafat ketika berusia 60 tahun. Tidak terdapat di kepala dan janggutnya sampai 20 helai uban.
Kata ulama, tentang tempoh Nabi saw tinggal di Makkah selama 10 tahun dan Madinah juga selama 10 tahun, ianya terkait dengan tiga pendapat berikut,
1. Penurunan surah al-Alaq berlaku ketika Nabi saw belum menjadi Rasul. Dalam tempoh tiga tahun pertama, Nabi saw belum diperintah untuk keluar berdakwah. Maka atas sebab itu, tempoh Nabi saw tinggal di Makkah dihitung setelah baginda saw diangkat menjadi Rasul iaitu tiga tahun selepas Nabi saw menerima wahyu yang pertama itu.
2. Nabi saw berdakwah secara rahsia dalam tempoh 3 tahun terawal ketika tinggal di Makkah. Maka tempoh tersebut tidak dikira sebagai tempoh tahun Nabi tinggal di Makkah, sebab itulah didalam hadith ini ia dinyatakan sebagai 10 tahun sahaja.
3. Hadith ini tidak menyatakan tarikh yang tepat sebaliknya menyebut tempoh tersebut secara anggaran sahaja iaitu ‘sekitar’ atau ‘lebih kurang’.
Dalam hadith diatas, disebut bahawa uban Nabi saw tidak sampai 20 helai. Ada ulama bertanya, kenapa uban Nabi saw sebanyak itu dan kenapa Nabi saw beruban? Lalu dijawab oleh sebahagian ulama yang lain dengan menyatakan, Adapun Nabi saw beruban kerana uban itu menampakkan ketenangan dan memancarkan cahaya (nur) pada diri baginda saw. Manakala ubannya tidak banyak kerana fitrah wanita yang tidak sukakan suaminya beruban banyak. Nabi saw tidak beruban banyak kerana dikhuatiri para isterinya tidak menyukai baginda saw sedangkan perkara ini jika berlaku akan menyebabkan para isterinya menjadi durhaka kepada baginda saw. Isteri-isteri baginda saw tidak boleh durhaka kepada baginda saw kerana hal ini akan menjatuhkan martabat Nabi saw sebagai Rasulullah dan para isteri baginda saw, maka atas sebab itu Allah Ta’ala memelihara baginda saw dengan mengurniakan hanya sedikit sahaja uban di kepala baginda saw yang mulia itu. Selain itu, sifat tidak sukakan kepad rasul adalah bersalahan dengan kemuliaan yang ada pada rasul maka Allah memelihara baginda saw dari terjadinya perkara tersebut.
Nabi saw ada menyimpan janggut. Menyimpan janggut adalah sunnah baginda saw. Pada satu hari, Nabi saw tersenyum melihat seorang lelaki yang mempunyai beberapa helai janggut. Keesokan harinya, Nabi saw tidak lagi tersenyum setelah berjumpa dengan lelaki itu yang telah pun membuang janggutnya. Lelaki itu hairan dan bertanya kepada baginda saw. Lalu Nabi saw menjawab, Semalam aku nampak bidadari bergantungan pada janggutmu sebab itulah aku tersenyum. Hari ini aku tidak tersenyum kerana tiada lagi bidadari bergantungan pada janggutmu.
Ibubapa perlu memaksa anak-anak mereka belajar hadith. Sekiranya kita boleh memaksa anak-anak belajar ilmu alat maka kita juga perlu memaksa anak-anak belajar ilmu hadith. Ibrahim bin Adham berkata, Sewaktu aku kecil, ayahku memaksaku menghafal hadith. Malah ayahku memberi daku hadiah sebanyak 1 dirham sekiranya aku berjaya menghafaz hadith. Ini menunjukkan bahawa ilmu hadith ini sangat penting dalam Islam. Tanpa ahli hadith maka Islam akan terkubur. Anas bin Malik salah seorang periwayat hadith baginda saw pernah didoakan keberkatan hidup oleh baginda saw. Peristiwa itu berlaku ketika Nabi saw tertidur di rumahnya ketika beliau masih kecil. Ketika baginda saw tertidur dalam keadaan berpeluh, ibunya Ummu Sulaim menadah peluh baginda saw untuk dijadikan wangian.[1] Rasulullah saw membenarkan perbuatan Ummu Sulaim itu. Ummu Sulaim selanjutnya meminta Rasulullah saw mengambil anaknya Anas bin Malik menjadi khadamnya. Ummu Sulaim juga meminta Rasulullah saw mendoakan anaknya. Ada 3 perkara yang telah didoakan baginda saw dan kesemua doa tersebut telah dimaqbulkan. Doa tersebut ialah
1. Memanjangkan usia Anas bin Malik. Anas bin Malik berumur panjang sehingga pernah satu hari Anas berkata, Aku berasa bosan kerana hidupku terlalu panjang.
2. Meramaikan anaknya. Anas bin Malik dikurniakan zuriat yang banyak. Disebabkan umurnya yang panjang, beliau berkesempatan mengebumikan 125 orang anak dan cucunya yang terlebih dahulu meninggal dunia sebelumnya.
3. Meluaskan rezekinya. Anas bin Malik dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah. Pokok-pokok didusunnya berbuah dua kali setahun manakala hujan tetap turun di dusunnya walaupun tempat lain menghadapi kemarau.
Anas bin Malik adalah seorang sahabat yang sangat bijaksana. Beliau meminta syafaat dari baginda saw ketika baginda saw masih hidup.[2] Kata baginda saw kepada Anas, Aku akan syafaatkan engkau di hari akhirat kelak. Anas tidak berpuas hati dengan jawapan Rasulullah saw lalu bertanya lagi, Dimana aku hendak bertemu dengan engkau di akhirat kelak wahai Rasulullah? Kata Rasulullah saw, Engkau jumpa aku di mizan. Anas masih tidak berpuas hati lalu bertanya, Kalau aku tidak menemui disitu? Jawab Rasulullah saw, Temui aku di sirat. Anas masih belum berpuas hati lalu bertanya lagi, Kalau aku tidak temu engkau disitu? Jawab Rasulullah saw, Temui aku di Telaga Kautsar. Inilah 3 tempat aku membantu umatku. Nabi saw akan memerhatikan timbangan umatnya di mizan, memimpin tangan umatnya di sirat dan memberi minum kepada umatnya di telaga Kautsar.

[1] Peluh baginda saw dijadikan wangian menunjukkan Nabi saw bukanlah manusia biasa sebaliknya manusia yang paling mulia disisi seluruh umat bani Adam. Orang yang menyatakan Nabi Muhammad sebagai manusia biasa adalah orang yang paling jahil. Inilah sebesar-besar kejahilan.
[2] Hukum minta syaafat dari baginda saw adalah harus

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 9 Januari 2010. Catatan ini ditulis pada bahagian pertengahan syarahan tuan syeikh (ana masuk lewat dalam majlis)
Seseorang itu hanya layak digelar muhaddith apabila mereka menjadi ahli yang mengetahuai selok-belok ilmu hadith dengan mendalam dan menghafaz sejumlah besar hadith. Syeikh Ahmad Siddiq al-Ghumari, seorang muhaddith besar pernah diundang oleh Syeikhul Azhar datang kerumahnya. Bersama-sama mereka ialah seorang lagi muhaddith besar yang bernama Syeikh Abdul Hayy al-Kattani. Tokoh ini pernah berguru dengan 700 orang ulama besar dizamannya. Dalam perjumpaan tersebut, Syeikhul Azhar sangar memuliakan kedua-dua orang tetamunya itu memandangkan kedua-duanya adalah muhaddith besar. Ketika makan bersama, Syeikhul Azhar tidak menggunakan sudu dan garpu yang merupakan amalan atau protokol rasmi kerajaan. Antara mereka bertiga, Syeikh Ahmad Siddiq adalah yang paling muda tetapi beliau sangat dihormati kerana ketinggian ilmunya. Ketika ditanya tentang permasalahan hadith kepada Syeikhul Azhar, syeikhul besar itu menjawab bahawa beliau telah menyelidik masalah hadith itu dengan membaca dan menghafaz kitab Jami’ul Kabir yang berjumlah 20 jilid kesemuanya (setiap satu jilid mencecah 500 mukasurat). Rupanya Syeikhul Azhar itu juga adalah seorang muhaddith besar.
Ahli muhaddith termasuk dalam golongan orang-orang yang membesarkan ilmu. Kata syeikh, al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw. Al-Quran dinamakan mukjizat kerana ia mampu melemahkan manusia. Tidak ada seorang pun yang berupaya mengarang walau satu ayat seperti yang terkandung didalam al-Quran. Jika al-Quran merupakan mukjizat terbesar baginda saw maka karomah terbesar bagi para wali ialah ilmunya. Disisi para wali, ilmu adalah karomah yang paling mulia bukannya hal-hal yang mencarik adat. Mukjizat yang mencarik adat adalah merupakan satu kemuliaan kepada para Nabi dan Rasul. Ianya merupakan anugerah Allah Ta’ala kepada mereka. Begitu juga dengan karomah yang mencarik adat yang terjadi dikalangan para wali. Ia merupakan anugerah Allah kepada mereka. Apapun hal-hal yang mencarik adat ini bukanlah satu keperluan melainkan anugerah Allah Ta’ala kepada mereka atas kemuliaan mereka. Tanpa hal-hal mencarik adat pun, para Nabi dan Rasul serta wali tetap berada dalam kelompok atau golongan yang menjadi Kekasih Allah. Sufi besar, Syeikh Abu Yazid al-Bustami diriwayatkan pernah berjalan di atas air dan terbang di udara. Karomahnya itu telah menimbulkan rasa takjub masyarakat yang telah menyaksikannya. Lalu Syeikh Abu Yazid berkata, Apalah yang engkau kagum sangat dengan aku padahal maqam aku hanyalah maqam itik dan burung sahaja. Orang tertanya-tanya akan karomah Imam Abu Hasan asy-Syazuli. Mereka beranggapan bahawa karomahnya tentu lebih hebat dari anak muridnya. Ini adalah kerana karomah anak muridnya sangat hebat dimana air kencingnya boleh bertukar menjadi emas. Namun, kata Imam Abu Hasan apabila ditanya oleh orang ramai, Karomah aku ialah apabila aku berjalan, aku tidak ditelan bumi. Sepatutnya dengan segala macam bentuk dosa yang telah aku lakukan maka selayaknyalah bumi menelan aku. Apa yang hendak ditekankan disini ialah bukannya karomah yang mencarik adat tetapi karomah yang paling mulia disisi para wali Allah ialah ilmu. Para nabi dan rasul diperkuatkan dengan mukjizat. Mukjizat itu bukanlah satu keperluan atau syarat yang wajib ada pada mereka tetapi tidak lebih dari anugerah Allah Ta’ala atas sebab kemuliaan mereka. Begitu juga dengan para wali Allah. Bahkan mereka tetap tergolong dalam kelompok kekasih Allah biarpun mereka tidak memiliki karomah. Nabi disangga(disokong) oleh sifat maksum. Sifat ini adalah anugerah Allah yang memelihara mereka dari melakukan dosa kecil dan besar. Hikmah adanya sifat ini kepada mereka ialah agar umat dapat mencontohi mereka. Sekiranya, mereka tidak maksum, bagaimana umat hendak mencontohi mereka.
Salah satu cabang penting dalam mentafsir ayat-ayat al-Quran ialah dengan memahami ilmu balaghah. Dalam ilmu balaghah, ada ayat yang diawal (taqdim) dan ada ayat yang diakhirkan (takkhir). Tafsiran keatas sesuatu ayat al-Quran tidak boleh dilakukan dengan cara menterjemahnya secara bulat-bulat. Sebagai contoh, dalam ayat (dengan maksudnya) yang terkandung dalam kitab tafsir Indonesia seperti berikut, Dan sesungguhnya Zulaikha telah mempunyai keinginan terhadap Yusuf dan Yusuf juga berkeinginan untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada Zulaikha jika tidak ada pertolongan dari Tuhan. Terjemahan ini adalah tidak tepat kerana tidak menepati disiplin ilmu balaghah. Jika dilihat pada terjemahan tersebut, ia seperti membawa makna bahawa Yusuf juga berkeinginan untuk berzina sedangkan perbuatan itu tidak mungkin dilakukan oleh seorang Nabi yang sifatnya maksum. Terjemahannya yang betul adalah seperti berikut, Sesungguhnya Zulaikha telah berkeinginan dengan Yusuf, kalau tidak ada pertolongan Tuhan maka Yusuf pun begitu juga.






Monday, December 28, 2009

Syarah Khas Hari Asyura - Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR, Ampang pada 27 Disember 2009 (10 Muharram 1431)
Telah menjadi tradisi ahli-ahli hadith mengadakan majlis tahdith iaitu meriwayatkan hadith pada hari Asyura khususnya hadith musalsal hari Asyura. Setiap periwayat akan membaca hadith ini pada hari Asyura. Hadith ini boleh dibaca pada hari lain selain dari hari Asyura tetapi tidaklah sempurna dari segi musalsalnya. Syeikh meriwayat hadith ini dari gurunya iaitu al-Muhaddith al-Doktor Abu Sulaiman Mahmud as-Syafi’i. Beliau merupakan guru syeikh yang paling alim dalam ilmu hadith. Seorang lagi tokoh besar yang disebut namanya sebagai periwayat hadith ini ialah Abu al-Fidh Ahmad al-Ghumari yang merupakan abang kepada al-Hafidz as-Sayyid Abu al-Fadhil Abdullah al-Ghumari. Beliau digelar as-Suyuti pada zamannya. Ini adalah kerana beliau banyak mengarang kitab dan menghafaz hadith. Imam Suyuti mengarang 600 buah kitab dan menghafaz 200, 000 buah hadith. Ayahanda Abu al-Fidh adalah seorang kasyaf dan beliau telah meramalkan bahawa anaknya itu akan sampai ke darjat as-Suyuti. Periwayatan hadith musalsal Hari Asyura ini sampai kepada Abi Qatadah al-Ansari ra,
Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda, Puasa Hari Asyura, Saya mengharapkan kepada Allah supaya mengampunkan dosa setahun sebelumnya.

Hadith musalsal lain yang dibaca dan (ada yang diijazahkan) pada malam itu ialah
1. Musalsal memakai cincin dijari kanan
Syeikh meriwayat hadith ini dari gurunya al-Musnid Abu al-Az Muhammad Mu’taz as-Subaini dengan melihat cincin beliau dijari kanannya sehinggalah sampai kepada Abdullah bin Abbas ra yang telah melihat cincin dijari kanan ayahandanya, al-Abbad ra yang telah melihat cincin di jari kanan Rasulullah saw dengan sabdanya,
Sesungguhnya Allah telah mengutuskan saya untuk mencabut perkara yang menyengutukan Allah dan menghubungkan silaturrahim dan supaya Dia ditaati dan tidak diderhakai.
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasa’i,
Sesungguhnya Nabi Muhammad saw memakai cincin dijari kanannya.
Cara Nabi saw memakai cincin ialah dengan memasukkan cincin dijari kelingkingnya dengan keadaan batu cincin berada disebelah dalam. Kata ulama, memakai cincin adalah satu kemuliaan. Cincin adalah pakaian para ulama. Para muhaddith mesti memakai cincin kerana ia adalah sunnah Nabi saw. Cincin dipakai disebelah kanan kerana kanan itu adalah kemuliaan. Ukiran pada cincin Nabi Sulaiman datang dari langit dengan bertatahkan tulisan, Aku Adalah Allah dan Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.

2. Musalsal riwayat yang pertama (hadith galakan berkasih sayang)
Beberapa istilah yang disebut oleh Syeikh ketika meriwayat hadith ini ialah
1. Haqiqi – hadith diriwayatkan ketika hadir dan bertemu dengan guru yang meriwayatkan hadith ini buat pertama kali dan tidak pernah mendengar hadith dari mulut guru tersebut sebelum ini.
2. Idhafi – Hadith diriwayatkan dari mulut seorang guru dalam keadaan hadith tersebut pernah didengari dari guru itu ditempat lain dan dimasa lain.
3. Thabat – Kitab yang memuatkan biografi periwayat hadith. Kitab ini adalah satu keperluan kerana ia adalah hujjah penerimaan ilmu dari guru-guru sebelumnya. Periwayatan hadith hendaklah diambil dari seorang guru hinggalah ke guru berikutnya sehinggalah salasilah sanad itu sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah saw kerana hanya dengan cara itu sahaja maka barulah ilmu itu sah diterima.
Antara nama ulama besar yang menjadi periwayat hadith musalsal ini ialah
1. Al-Muammar asy-Syarif Abdul Kabir bin Muhammad al-Mahi bin Ibrahim al-Sikili al-Husaini – nasabnya sampai kepada Saiyidina Hussain ra. Beliau merupakan guru kepada masyaikh syeikh, iaitu Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki.
2. Asy-Syeikh Hasan Masyat – ulama besar ini sangat berpengaruh kepada pemikiran Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki. Beliau dikebumikan di Ma’la. Ketika makamnya digali semula untuk dipindahkan jasadnya, terpancarlah karomahnya dimana jasadnya langsung tidak terjejas. Maqamnya adalah bersebelahan dengan Sayyid Alawi Abbas al-Maliki dan Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki.
Hadith ini diriwayat secara musalsal sehingga ke Sufyan bin Uyaynah selepas itu berkahir tasalsul dimana hadith diriwayat oleh Amru bin Dinar daripada Abi Qabus hamba Abdullah bin Amru bin al-As daripada Abdullah bin Amru bin al-As berkata,
Bersabda Rasulullah saw, Orang-orang yang pengasih dan penyayang akan dikasihi oleh ar-Rahman Tabaraka wa Ta’ala, kasihilah penduduk bumi nescaya kamu akan dikasihi pula oleh penduduk langit.
Tentang hadith ini, Syeikh memperingatkan kepada ikhwan betapa penuntut ilmu itu hendaklah sentiasa berkasih-sayang. Orang yang sedang menuntut ilmu tidak boleh mencerca atau mengeji orang lain tidak kiralah orang itu tua atau muda, jahil atau alim dan lelaki atau wanita. Hadith ini sangat besar kedudukannya. Orang yang ada ilmu walaupun sedikit tidak boleh berlagak dengan memandang rendah pada orang lain. Tentang amalan berkasih-sayang ini, banyak kisah dahulu yang boleh dijadikan iktibar,
1. Pada satu hari dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat subuh, Saiyidina Ali bertembung dengan seorang tua yang berada di hadapannya. Kerana menghormati orang tua itu, Saiyidina Ali memperlahankan langkahnya dan mengikutinya dari belakang. Apabila sampai ke masjid Nabawi, orang tua itu tidak masuk ke dalam masjid dan berjalan ke tempat lain. Tahulah Saiyidina Ali bahawa orang tua tadi beragama Nasrani. Saiyidina Ali bergegas masuk ke masjid kerana takut terlepas solat berjemaah. Dilihatnya Rasulullah saw masuk dalam keadaan rukuk. Selesai solat, para sahabat bertanya kepada baginda saw tentang perbuatan baginda saw yang rukuk terlalu lama. Kata baginda saw, Ketika aku rukuk, Jibril datang mengembangkan sayapnya menahan aku dari bangkit untuk melakukan iktidal. Kata Jibril kepadaku, Allah menyuruh aku menahan dirimu supaya menunggu Ali sampai kerana Ali telah memuliakan orang tua Nasrani itu.
2. Setelah Saiyidina Umar ra wafat, ada ulama bermimpi bertemu dengannya. Lalu ulama itu bertanya kepada Umar tentang bagaimana segala dosanya diampunkan. Kata Umar ra, Allah mengampunkan dosaku bukan kerana kezuhudanku atau keadilanku tetapi Allah mengampunkan dosaku kerana aku telah menggembirakan seekor burung kecil dengan membebaskannya dari dibuli oleh kanak-kanak. Ketika aku melalui sebatang jalan, aku melihat kanak-kanak sedang bermain dengan burung itu. Kerana kasihankan nasib burung itu, aku berunding dengan kanak-kanak itu dan membeli burung itu darinya. Selepas itu, aku bebaskan burung itu. Maka dengan sebab burung itu, aku diampunkan segala dosaku.
3. Ada ulama pernah bermimpi bertemu Imam al-Ghazali lalu bertanya kepada beliau tentang bagaimana beliau diampunkan segala dosanya. Kata Imam al-Ghazali ra, Allah mengampunkan segala dosaku dan menyenaraikan aku sebagai ahli syurga bukan kerana kitab-kitab karanganku atau amal ibadahku tetapi kerana seekor lalat. Ketika aku menulis kitab, datang seekor lalat menghirup dakwat. Lalu aku biarkan lalt itu menghirup dakwat sehingga ia kenyang dan berlalu pergi. Maka atas sebab itu, aku diampunkan segala dosaku.
Ulama besar Imam Abdullah ibn Al-Mubarak pernah berkata,
Orang yang kedekut ilmu akan dibalakan dengan 3 perkara iaitu
1. Mati
2. Dilupakan ilmu tersebut
3. Difitnah jadi khadam/juak-juak kepada raja-raja yang sewenang-wenang menghalal atau mengharamkannya

3. Musalsal menyatakan kasih
Antara nama ulama besar yang menjadi periwayat hadith ini ialah
1. Asy-Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani – Beliau merupakan penghafaz 100, 000 buah hadith di Mesir.
2. Asy-Syeikh Saleh bin Muhammad al-Ja’fari – Beliau menjadi Imam MAsjid al-Azhar selama 50 tahun. Isterinya tinggal di Sudan. Karomahnya ialah apabila keluarganya di Sudan berhadapan dengan masalah, beliau akah terpacul dirumahnya di Sudan biarpun pada ketika beliau berada di Mesir.
3. Asy-Syeikh Umar Hamdan – muhaddith Makkah dan Madinah
Periwayatan hadith ini sampai kepada Muaz bin Jabal ra yang menerimanya dari Rasulullah saw,
Muaz berkata, Telah bersabda kepada saya Rasulullah saw;
Wahai Muaz, Sesungguhnya aku mengasihimu dan ucapkanlah (dengan maksudnya), Ya Allah!Bantulah aku agar dapat mengingati-Mu, mensyukuri-Mu dan memperbaiki ibadah terhadap-Mu, pada setiap kali selesai mengerjakan solat.
Muaz mendapat kemuliaan yang luar biasa kerana beliau mendapat ucapan kasih dari Rasulullah saw. Malah Muaz juga turut dipesan oleh Rasulullah saw dengan satu zikir (seperti yang disebut diatas).
4. Musalsal memakai selendang dan mentalqinkan zikir
Musalsal hadith ini iaitu dengan cara guru memakaikan selendang kepada anak muridnya adalah sebagai satu simbol dimana guru mencabut sifat mazmumah anak muridnya dan menanam sifat mahmudah kedalam diri anak muridnya menerusi kepalanya.
Salasilah sanad hadith ini menunjukkan bahawa kesemua perawi dalam sanad ini mencapai darjat qutub. Salah seorang darinya ialah Asy-Syeikh Abbas al-Mursi. Selama 40 tahun, ingatan beliau dihadapkan kepada Rasulullah saw. Katanya, jika aku terlupa dari mengingati Rasulullah saw maka tidaklah aku ini seorang Islam.
Sanad hadith sampai kepada al-Hassan al-Basri yang menerimanya dari Saiyidina Ali ra yang menerimanya dari Rasulullah saw. Sabdanya, Perumpamaan umatku seperti hujan (maksudnya tidak diketahui yang mana satu yang paling mulia iaitu samada yang awal atau tengah atau akhir).
Zikir yang ditalqinkan ialah La Ilaha Illallah. Sanad hadith ini juga sampai kepada al-Hassan al-Basri yang menerimanya dari Saiyidina Ali ra yang menerimanya dari Rasulullah saw. Berkata Ali kepada Rasulullah saw,
Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah kepadaku jalan yang paling dekat kepada Allah dan yang paling mudah untuk hambanya serta yang paling afdhal disisi Allah Ta’ala. Maka baginda saw bersabda, Wahai Ali! Hendaklah engkau sentiasa berzikir mengingati Allah ditempat yang sunyi. Ali ra, berkata, Itu adalah kelebihan zikir dan semua manusia berzikir. Sabda Rasulullah saw, wahai Ali! Tidak berlaku kiamat ketika masih ada di atas muka bumi ini orang yang mengucapkan; Allah Allah. Maka Ali ra berkata, Bagaimanakah caranya aku hendak berzikir, wahai Rasulullah? Maka jawab Rasulullah saw, La Ilaha Illallah sambil memejamkan matanya dan mengangkat suaranya, manakala Ali ra mendengarnya kemudian Ali ra pula mengucapkan La Ilaha Illallah sebanyak tiga kali sambil memejamkan matanya dan mengangkat suaranya manakala Nabi saw mendengarnya.
Kemudian Ali mentalqinkan Hasan al-Basri dan beliau pula mentalqinkan Habib al-Ajami dan seterusnya hinggalah sampai kepada masyaikh syeikh iaitu As-Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki.

5. Musalsal bersalaman dan menyilangkan jari
Hadith Nabi saw yang berkaitan dengan bersalaman adalah seperti berikut, Sesiapa yang bersalaman denganku atau bersalaman dengan orang yang pernah bersalaman denganku hingga hari kiamat akan masuk syurga.
Hadith Nabi saw yang berkaitan dengan menyilangkan jari (musyabakkah) adalah seperti berikut,
Wahai Ali, bermusyabakkahlah denganku, maka sesiapa yang bermusyabakkah denganku akan masuk syurga dan sesiapa yang bermusyabakkah dengan orang yang pernah bermusyabakkah denganku hingga hari kiamat akan masuk syurga.
Dalam satu lagi hadith, telah bersalaman al-Imam Hasan al-Basri dengan Ali bin Abi Talib, beliau berkata, Saya telah bersalaman dengan Rasulullah saw dengan tangan saya ini, sabda Rasulullah saw,
Telah bersalaman tanganku ini dengan tiang-tiang Arasy Allah Ta’ala.

6. Musalsal menyuapkan manisan
Antara ulama besar yang menjadi perawi hadith ini ialah
1. Abu Abdullah Muhammad bin Abbad – Antara karomah beliau dikatakan bahawa burung-burung pun turut hadir mendengar majlis ilmunya dan akan mematuk-matuk ke tanah tanda faham atas sesuatu perkara yang disampaikan.
2. Asy-Syeikh Abu Madyan Syu’aib bin al-Hasan al-Syibli – Merupakan Syeikh asy-Syuyukh dimana anak muridnya terdiri dari 1000 orang wali-wali Allah.
3. As-Sari as-Saqti – Beliau tidak tidur selama 98 tahun dan hanya tidur apabila terkalah (maksudnya apabila terlelap ditempat duduknya). Beliau tidak pernah melunjur kaki kerana berpendapat setiap tempat dihadapannya mempunyai tanda-tanda kekuasaan Allah Ta’ala.
Hadith ini diriwayatkan oleh at-Tabrani secara marfu’,
Sesiapa yang menyuapkan saudaranya sesuap manisan maka Allah memalingkan daripadanya kepayahan (kesusahan) padang mahsyar.
Dinaqalkan oleh al-Munawi dari kitab al-Muntajab min al-Firdaus daripada Abi al-Darda’ secara marfu’,
Apabila seseorang kamu makan bersama tetamu maka hendaklah menyuapkan dengan tangannya, apabila dia melakukannya, ditulis untuknya pahala beramal setahun, berpuasa pada siangnya dan solat pada malamnya

7. Musalsal memberikan minuman
Hadith ini sanadnya sampai kepada Saiyidina Ali bin Abi Talib dan beliau berkata, Rasulullah saw telah memberikan saya minum air lebihannya dari cawannya dan baginda saw bersabda,
Lebihan makanan/minuman orang mukmin itu adalah ubat yang menyembuhkan.

Syarah khas tentang Hasan al-Basri dan peristiwa pembunuhan Saiyidina Hussain ra
Ahli bidaah sering menyatakan bahawa Hasan al-Basri tidak pernah bertemu Saiyidina Ali padahal sanad hadith musalsal memakai selendang/khirqah, talqin zikir (mengambil ilmu) dan bersalaman jelas membuktikan bahawa Hasan al-Basri pernah berguru secara langsung dengan Saiyidina Ali ra. Hasan al-Basri sentiasa menyatakan bahawa beliau meriwayat hadith dari Nabi saw padahal beliau tidak pernah bertemu Nabi saw. Pernah anak saudara Hasan al-Basri bertanya kepada beliau bagaimana beliau boleh mendengar dari Nabi saw sedangkan Nabi saw telah wafat. Lalu dijawab oleh Hasan al-Basri, Aku menyebut bahawa aku mendengar dari Nabi saw tetapi pada haqiqatnya aku mendengar dari Ali ra. Sebab-musabab hasan berkata sedemikian kerana pemerintah pada masa itu sangat membenci Ali ra.
Cucunda baginda saw iaitu Hasan pernah dilantik menjadi khalifah tetapi meletakkan jawatan bagi mengelakkan perpecahan umat Islam di kala itu. Beliau menyerahkan jawatan khalifah tersebut kepada Muawiyah tetapi dengan bersyarat iaitu selepas kewafatannya, hendaklah jawatan khalifah itu diserahkan semula kepada umat Islam untuk memilih siapa calon yang benar-benar layak memegang jawatan itu. Malangnya setelah Muawiyah wafat, jawatan it uterus dipegang oleh anaknya iaitu Yazid. Adinda Hasan iaitu Hussain tidak bersetuju dengan perbuatan itu lalu mengambil keputusan untuk keluar dari Makkah dan Madinah dan bertolak menuju ke Kufah. Dikhabarkan bahawa di Kufah, ada seramai 17, 000 orang pengikut setianya yang menunggu disana padahal khbar itu hanya direka-reka oleh musuhnya untuk memerangkapnya. Abdullah bin Abbas berjumpa Hussain dan menasihatinya agar tidak melanjutkan keputusannya itu. Kata Abdullah bin Abbas, Itu semua adalah tipu daya musuh-musuhnya. Saiyidina Hussain lalu berkata, “Aku tahu tapi dimana sahaja pun mereka tetap mahu membunuhku kerana aku dianggap penentang dinasti mereka. Aku tidak mahu darahku tumpah di bumi Haramain ini. Aku lebih rela mati di luar Haramain.”
Apabila sampai di pertengahan jalan, Saiyidina Hussain berasa kasihan kepada pengikutnya dan mengarahkan mereka untuk kembali ke Madinah. Pengikutnya menolak dan berkata, Tidaklah kami sanggup membiarkan kamu terbunuh sedangkan kami berseronok dirumah kami. Pada satu pagi dimana hari beliau syahid, Sayidina Hussain memakai baju nendanya, Rasulullah saw disebelah dalam sementara disarungkan bajunya di bahagian luar. Kakaknya Zainab bertanya kepadanya tentang kenapa beliau memakai baju nendanya disebelah dalam. Jawab Saiyidina Hussain ra, Aku memakai baju nenda disebelah dalam supaya aku tidak berada dalam keadaan telanjang sebaik sahaja aku dibunuh. Saiyidina Hussain sangat dihormati umat Islam baik kawan mahupun lawan. Musuhnya sendiri masih tetap mahu berimamkannya dalam solat walaupun selepas itu beliau dibunuh oleh musuhnya. Saiyidina Hussain mengarahkan ahli keluarganya berada di barisan hadapan sedangkan pengikutnya berada di barisan belakang. Telah menjadi tradisi keluarga Rasulullah saw iaitu berjuang dibaris hadapan untuk mempertahankan umatnya. Namun pengikutnya berkeras meminta mereka berada di barisan hadapan sementara ahli keluarganya tinggal di barisan belakang. Akhirnya Saiyidina Hussain bersetuju. Saiyidina Hussain tertidur seketika diatas kudanya dan tidak lama selepas itu beliau terjaga. Beliau melihat musuh dihadapan dan kemudiannya menangis. Zainab melihat beliau menangis lalu menegurnya, Apakah engkau takut akan kematian sedangkan ayahanda dan nenda tidak pernah berasa gentar di medan perjuangan? Kata Saiyidina Hussain, “Aku menangis bukan kerana aku takutkan kematian tetapi aku menangis kerana mereka (musuh-musuhnya) akan berada di dalam neraka. Sedangkan aku mengharapkan mereka mendapat nikmat syurga.” Begitulah mulianya Saiyidina Hussain yang masih tetap mendoakan kebaikan atas musuhnya walaupun ketika berada dalam keadaan yang sangat genting. Sambungnya, “Ketika aku tertidur tadi, aku bermimpi Rasulullah saw berkata, Engkau akan berbuka puasa denganku.” Saiyidina Hussain berpuasa pada hari itu kerana hari itu adalah hari Asyura. Anak saudaranya iaitu anak kakandanya Saiyidina Hasan turut ikut berjuang walaupun masih kecil. Ketika anak saudaranya sedang mengikat tali kasut, beliau ditetak oleh musuhnya. Saiyidina Hussain pada ketika itu sedang sibuk berlawan dengan musuh. Setelah selesai mengerjakan musuhnya langsung didapatkan anak saudaranya yang sedang berlumuran darah itu. Anak saudaranya itu menemui syahid. Anak kecilnya yang bernama Abdullah pula berada dalam keadaan kehausan. Kawasan tadahan air telah dikuasai musuh. Saiyidina Hussain meminta ehsan musuh agar memberikan segelas air kepada anaknya tetapi tidak ada seorang pun yang mengendahkannya. Tiba-tiba datang sebatang anak panah lalu menembus halkum anak kecilnya yang dikasihinya itu. Saiyidina Hussain lantas berdoa, Ya Allah, Hauskanlah orang yang membunuh anakku ini dan biarkanlah ia dalam keadaan kehausan selama-lamanya. Serentak dengan itu, orang yang membunuh anaknya terus berasa haus dan mati dengan serta-merta. Semua anak Saiyidina Hussain menemui syahid kecuali Ali Zainal Abidin. Ali Zainal Abidin pada ketika itu berada dalam keadaan sakit dan tinggal di dalam khemah. Apabila beliau mendapat tahu tinggal ayahandanya sahaja yang sedang berlawan dengan musuh, beliau pun segera mengambil sebilah pedang dan tongkat dan keluar dari khemah. Menyedari kelibat Ali Zainal Abidin, Saiyidina Hussain segera mengarahkan Ali Zainal Abidin agar kembali masuk ke dalam khemah. Katanya, Kalau kamu keluar juga maka terputuslah zuriat aku. Maka kakak dan ibu saudaranya iaitu Sukainah dan Zainab menahan Ali Zainal Abidin agar tidak keluar dari khemah.

Sunday, December 20, 2009

Muqadimah Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan di Taman TAR Ampang pada 20 Disember 2009
Tafsir dan takwil adalah sama maksudnya. Itulah yang telah didoakan oleh Rasulullah saw kepada Abdullah bin Abbas, Ya Allah Ya Tuhanku, Faqihkanlah dia dalam urusan agama dan ajarkan dia tafsir al-Quran. Berkat dari doa Nabi saw itu, Abdullah bin Abbas menjadi sahabat yang paling alim dalam ilmu tafsir al-Quran. Bukanlah suatu tugas yang mudah untuk mentafsir al-Quran. Abu Bakar as-Siddiq langsung tidak berani menjawab apabila ditanya tentang maksud sesuatu kalimah. Kata beliau, Mana bumi yang hendak aku pijak, mana langit yang hendak aku bernaung jika aku mentafsir al-Quran tanpa mengikut makna yang sebenar. Para sahabat sangat berhati-hati dalam bab tafsir ini. Berbeza dengan keadaan sekarang dimana ramai yang berlumba-lumba mentafsir al-Quran sedangkan mereka tidak menguasai dan memahami bahasa Arab dan disiplin ilmu tafsir dengan fasih. Ketahuilah bahawa ilmu yang paling mulia ialah ilmu tafsir kerana ianya adalah berkenaan dengan mentafsir dan memahami kalam Allah. Mempelajari dan menguasai ilmu tafsir bermakna seseorang itu telah mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu Islam kerana didalam tafsir itu terkandung bidang Islam yang lain seperti fiqh, tauhid dan sebagainya. Begitu juga dengan ilmu hadith dimana seseorang yang menguasai ilmu hadith secara tidak langsung akan menguasai kesemua ilmu-ilmu Islam yang lain kerana didalam ilmu hadith itu terkandung ilmu Islam yang lain. Walaubagaimanapun, syarat untuk menjadi mufassir dan muhaddith adalah sangat ketat dan bukan sebarang orang boleh bergelar samada mufassir mahupun muhaddith. Ini adalah kerana kerja mentafsir al-Quran ini sangatlah susah dan berat bahkan jauh lebih susah dan berat bebanannya berbanding dengan kerja membina bangunan yang besar-besar seperti KLCC umpamanya. Ini adalah kerana kesilapan mentafsir sesuatu ayat boleh merosakkan aqidah umat Islam.
Pernah seorang ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah di Masjidil Haram menyatakan bahawa anaknya menjadi sesat kerana kesalahfahamannya mentafsir al-Quran. Sesat memahami al-Quran akan menyebabkan seluruh kehidupannya menjadi tidak bermanfaat. Malangnya, orang yang sesat sebeginilah yang menjadi tumpuan umat manusia. Antara tanda berlakunya kiamat ialah ilmu diambil dari orang-orang kecil (saghir). Ianya seumpama orang mengelilingi seorang budak kecil lalu mengambil ilmu dari budak kecil itu. Budak kecil ini adalah tamsilan kepada pereka bidaah. Kata ulama, Tanda berlakunya kiamat ialah halaqah pemuka bidaah diminati oleh umat Islam. Guru Imam Hasan asy-Syazuli hanya mempunyai seorang anak murid iaitu Imam Abu Hasan sendiri. Kata Imam Abu Hasan asy-Syazuli, Sesungguhnya seorang murid yang boleh menyimpan rahsia Allah lebih aku sukai dari 1000 orang murid yang tidak boleh menyimpan rahsia Allah. Kata para ulama, sesiapa yang bersalaman dengan ahli bidaah maka ia telah merungkai tali-tali Islam, oleh itu berhati-hatilah dengan para pemuka bidaah. Nabi saw pernah bersabda, Mereka kuat membaca al-Quran tetapi bacaan mereka tidak lepas dari kerongkong. Maksudnya, wujud golongan-golongan yang membaca al-Quran tanpa memahami isi kandungan yang dibacanya. Bahkan mereka menggunakan al-Quran untuk menyokong mazhab-mazhab yang telah mereka dirikan. Misalnya puak Muktazilah mentafsir ayat al-Quran mengikut kepentingan mazhab mereka, puak Syiah dengan cara mereka dan sebagainya.
Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala memberi hikmah atau kefahaman kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tidak mustahil orang yang tidak pernah belajar al-Quran semenjak dari kecil memahami al-Quran lebih baik dari orang yang pernah belajar al-Quran semenjak dari kecil. Yang selalu menjadi kekeliruan para pentafsir dan masyarakat Islam ialah ayat-ayat mutasyabihat (samar-samar). Ayat muhkamat kebiasaannya tidak mengundang apa-apa masalah. Contoh ayat mutasyabihat ialah berkaitan dengan istiwa. Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan istiwa Allah adalah seperti yang dikhabarkan Allah bukannya yang terlintas dalam hati manusia. Ini adalah kerana hanya Allah Ta’ala sahaja yang lebih memahami maksud yang sebenar. Kata para ulama, tentang ayat mutasyabihat itu, setiap makhluk hanya perlu beriman dan jangan melakukan banyak pentafsiran tentangnya. Kata ulama lagi, Aku beriman ayat ini (mutasyabihat) seumpama aku orang yang lemah. Ayat mutasyabihat khususnya yang berkaitan dengan istiwa walaubagaimanapun telah ditafsir oleh ulama khalaf[1] sebagai ‘menguasai’.
[1] Ulama khalaf merujuk kepada kelompok ulama selepas ulama salaf (sahabat, tabi’in dan tabi’in tabi’in). Ianya dalam lingkungan 300 tahun selepas kelompok ulama salaf.

Titisan Hujan Lautan Sufi - Bab Perbahasan Ilmu Tasawwuf - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 20 Disember 2009

Adapun tajuk perbahasan ilmu tasawwuf ialah membezakan khalik dengan makhluk. Tujuannya ialah supaya kita tidak mensifatkan Allah Ta’ala dengan makhluk dan sebaliknya. Hati juga hendaklah fana’ yakni dihilangkan dari benak hati selain sesuatu melainkan Allah Ta’ala. Tidak ada kecintaan selain Allah Ta’ala. Jika kita mencintai makhluk, itupun adalah kerana Allah Ta’ala. Kita kasih kepada ibubapa dan ahli keluarga kerana Allah Ta’ala menyuruh kita kasihkan mereka. Hakikatnya, cinta itu adalah milik Allah Ta’ala. Adapun kita hari ini mencintai sesuatu kerana nafsu. Kita cinta kepada ibubapa kerana hormat dan mengenang jasa mereka. Maka perbuatan kita ini tidak ada bezanya dengan orang bukan Islam yang juga mengasihi ibubapa mereka atas sebab mengenang jasa mereka. Begitu juga dengan kasih terhadap isteri. Kebiasaannya, si suami kasih pada isteri tidak lebih dari kerana nafsu. Maka atas sebab itu, apabila isteri sudah tua, tidak cantik dan sebagainya maka si suami bertindak kasar, menghalau isteri atau lebih buruk lagi menceraikan isteri. Inilah yang akan terjadi apabila kasihnya seseorang itu bukan kerana Allah Ta’ala.
Kita perlu melihat dengan mata hati. Allah Ta’ala berfirman, Kamu melihat mereka memandang kamu wahai Muhammad (saw) tetapi pada hakikatnya mereka tidak melihat. Mata orang kafir seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain melihat Nabi saw sama seperti mata orang Islam melihat Nabi saw. Bezanya adalah dari segi mata hati dimana orang Islam seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali melihat Nabi saw dengan penuh kebesaran, keagungan dan kemuliaan. Mata hati seperti ini tidak ada pada orang-orang kafir, lantaran itu mereka menganggap Nabi saw sama seperti orang biasa. Maka atas sebab itu, jika kita menganggap bahawa mata kasar itu adalah satu kemuliaan maka tidaklah ada bezanya kita dengan binatang bahkan binatang itu jauh lebih mulia dari kita kerana mereka tidak memerlukan kaca mata untuk melihat seperti sesetengah orang yang memerlukan kaca mata untuk melihat sesuatu. Yang menjadikan manusia itu mulia dan darjatnya lebih tinggi dari sekalian makhluk adalah atas sebab adanya mata hati. Zaid bin Abdillah ketika diberitakan tentang kewafatan Nabi saw langsung saja menadah tangan ke hadrat Allah Ta’ala berdoa meminta Allah Ta’ala mencabut nikmat pandangannya. Dalam doanya dia berkata, Ya Allah, Ya Tuhanku, Cabutlah penglihatan mataku kerana aku tidak mahu melihat seseorang selepas (kewafatan) Rasulullah saw. Allah Ta’ala mengabulkan permintaannya. Beliau tidak mahu melihat sesuatu atas sebab nikmat dunia sebaliknya matanya hanya dikhususkan untuk melihat Rasulullah saw. Maka atas sebab itu, kita juga hendaklah melihat Rasulullah saw dengan mata hati kita. Jika kita tidak melihat Rasulullah saw dengan mata hati, maka kita hanya akan memandang Rasulullah saw sebagaimana pemuka-pemuka bidaah memandang Rasulullah saw seumpama orang-orang biasa. Padahal Nabi saw bukanlah manusia biasa melainkan insan yang diberi penuh kemuliaan kerana diturunkan wahyu kepadanya. Nabi saw bukanlah manusia biasa kerana Nabi saw dikhususkan puasa misal (puasa bersambung yang tidak mampu dikerjakan oleh umatnya), berkahwin lebih dari 4 orang dan memberi hak kepada yang berhak. Nabi saw tidur dengan ingatan yang tidak pernah luput kepada Tuhan. Kata Nabi saw, Aku tidur bersama dengan Tuhanku. Aisyah pernah bertanya kepada Nabi saw, Adakah engkau tidur sebelum engkau solat witir terlebih dahulu? Jawab baginda saw, Kami para Nabi, walaupun mata kami tidur tetapi hati kami tidak pernah tidur. Ketika didalam tidur, Nabi saw mendapat makanan dari Allah Ta’ala. Makanan yang dimaksudkan ialah makanan rohani. Allah Ta’ala mencampakkan ilmu dan ma’rifah ke dalam hati Nabi saw sehingga kenyang hati rohani Nabi saw. Dengan sebab itu, jasad Nabi saw beroleh kekuatan tanpa bergantung kepada makanan yang lazimnya dimakan oleh orang biasa. Kata Syeikh, masa tidur itulah roh akan keluar dari jasad dan berhimpun dengan orang-orang yang dikasihinya. Jika orang yang dikasihinya ialah para kekasih Allah, maka berhimpunlah roh tadi dengan para kekasih Allah. Nabi memberi hak kepada yang berhak maksudnya Nabi sentiasa adil dalam memutuskan sesuatu perkara. Pernah Nabi saw memberi sebentuk cincin kepada tiap-tiap isterinya dan minta tiap-tiap isterinya merahsiakan pemberian cincin itu. Apabila kesemuanya isterinay berkumpul dan bertanya kepada baginda saw tentang siapakan yang paling baginda kasihi diantara semua isterinya itu, maka baginda saw menjawab, Aku mengasihi isteriku yang telah menerima cincin pemberianku. Setiap isterinya menyangka merekalah yang paling dikasihi baginda saw padahal baginda telah mengurniakan cincin kepada tiap-tiap seorang. Inilah contoh keadilan Rasulullah saw yang tidak ada pada orang lain. Akhlak Rasulullah saw adalah akhlak terpuji. Pernah satu hari, seorang perempuan membawa limau lalu memberinya kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw memakan limau itu sehingga habis tidak seperti kebiasaannya dengan berkongsi makanan bersama para sahabat yang lain. Setelah Rasulullah saw memakannya sehingga habis, langsung perempuan tadi mengucap dua kalimah syahadah lalu memeluk Islam. Terpinga-pinga para sahabat melihat kejadian itu. Lalu kata baginda saw, Aku tidak memberi limau itu kepada kalian kerana isinya sangat masam. Aku khuatir kamu tidak akan dapat menahan sabar sedangkan perempuan tadi hanya ingin melihat akhlak dan kesabaranku. Nabi Ibrahim as digelar Kekasih Allah (Khalilullah) kerana baginda tidak pernah fikir tentang rezekinya bahkan semuanya diserahkan kepada Allah Ta’ala dan baginda tidak akan makan melainkan makannya adalah bersama-sama dengan orang lain biarpun terpaksa berjalan berbatu jauhnya semata-mata kerana ingin mencari teman untuk makan bersama. Kata Imam al-Ghazali, tidak akan dihisab sesuatu makanan yang dimakan bersama orang lain dimana barakah turun keatas makanan tersebut. Begitu juga dengan setiap masa kita berbual, makan dan minum sesama ikhwan juga tidak akan dihisab dan tidak dikira sebagai perkara yang membazir asalkan perbualan, makanan dan minuman kita itu adalah kerana Allah Ta’ala. Sabda Rasulullah saw, Sesiapa yang bersama kawan dan menggembirakan kawannya dengan memberi makan maka tidaklah ada mudarat pada makanan itu.
Telah menjadi amalan ahli tasawwuf dimana mereka berusaha memupuk hati mereka agar sentiasa menyebut kalimah Allah biarpun lidah tidak bergerak. Maksudnya pada setiap ketika, ingatan hati hanya pada Allah Ta’ala. Kata Ibn Ato’illah, Maha Suci Allah yang telah menghijab seseorang dengan memakai pakaian kemanusiaan. Maka dengan sebab itulah, puak kafir Quraisy tidak dapat melihat kebesaran Nabi saw bahkan tidak dapat menerima kerasulan dan kebenaran yang dibawa oleh baginda saw. Seorang Sultan bertanya kepada ulama di zamannya, samada mereka pernah berhimpun mendengar kalam sufi besar Imam Abu Yazid al-Bustami. Salah seorang dari ulama yang berhimpun menjawab ada. Lalu ditanya oleh Sultan apakah kalam yang paling hebat yang diucapkan oleh Imam besar itu. Kata syeikh tersebut, Sesiapa yang menziarahi makam aku maka jasadnya tidak akan disentuh oleh api neraka. Terkejut Sultan mendengar kata-kata syeikh itu. Lalu beliau mula memikirkan tentang perihal Abu Lahab dan Abu Jahal yang dihumban ke neraka padahal mereka pernah melihat Nabi saw. Lalu maksud sebenar kalam tersebut ialah, sesiapa yang mengasihi para kekasih Allah yang mengasihi kekasih Allah dan kekasih Allah mengasihinya dan Allah mengasihinya maka jasadnya tidak akan disentuh dengan api neraka.

Pembentangan khas Lagenda Beting Beras Basah oleh Tuan Haji Ariffin Mohd Dahlan

*Catatan bebas ana di Persatuan Sejarah Malaysia pada 19 Disember 2009
Fakta
1. Lokasinya terletak di Kuala Sungai Perak dalam kawasan Bagan Datok, Perak.
2. Merupakan tempat pertabalan Sultan Perak semenjak dari zaman Sultan Muzaffar Shah 1, Sultan Perak yang pertama yang ditabal pada tahun 1528.
3. Setiap bakal Sultan yang akan menduduki takhta negeri Perak dimestikan menjejakkan kaki diatas beting pasir.
Catatan dan pengalaman peribadi pembentang
1. Dalam takhta kerajaan negeri Perak, ada 7 jin kerajaan yang menjaga Sultan Perak yang diketuai oleh Sultan Ahmadin Shah. Kapit kepada Sultan Ahmad Shah ialah ketua segala jin kerajaan yang menetap di Bukit Khuf Makkah.
2. Kawasan air pusar di Beting Beras Basah dikenali sebagai Tasik Pauh Janggi bagi pengamal perubatan tradisional, ilmu persilatan dan ilmu batin. Asal nama Pauh itu disebut sebagai Pawa. Kawasan ini menjadi tempat pawang memenjarakan makhluk ghaib. Kawasan ini juga merupakan tempat perhimpunan makhluk ghaib diseluruh dunia.
3. Mengikut penyelidikan Abdullah Jumain, UKM, Raja Muzaffar Shah (1528 M) terpaksa menyelam ke dasar laut selama 7 hari 7 malam untuk mengadakan perjanjian dengan orang ghaib yang menjaga kawasan tersebut. Pada ketika itu bahtera baginda tersangkut dikawasan lubuk pusar di Beting Beras Basah. Mengikut catatan pembentang pula, telah keluar jin setinggi langit dari lubuk pusar. Namanya ialah Datuk Mahkota Maharaja Si Raja Jin. Kata jin tersebut, kalau Raja Muzaffar Shah hendak menjadi raja, baginda hendaklah membuang mahkotanya kedalam laut. Setelah mahkota tersebut dibuang, barulah bahtera itu dapat bergerak semula
4. Sejak dari peristiwa itu, negeri Perak tidak lagi memakai gelaran Tengku Mahkota. Gelaran tersebut ditukar kepada Raja Muda. Ini adalah kerana mahkotanya telah diambil oleh jin yang menjaga negeri tersebut iaitu Dato Mahkota Maharaja Si Raja Jin.
5. Selama lebih 30 tahun pembentang mengadakan kajian tentang Beting Beras Basah. Pada tahun 1975, beliau mendapat mimpi yang menyuruhnya pergi ke Beting Beras Basah. Sejak mendapat mimpi itu, beliau terus membuat kajian dan mendaftar menjadi ahli penyelidik sejarah. Ketika usia remaja sekitar umur 15 tahun, beliau pernah diberitahu oleh ayahandanya bahawa beliau berketurunan Panglima Hitam, seorang raja ghaib. Namun ayahandanya tidak pernah menceritakan perkara itu dengan lebih lanjut.
6. Pembentang bertemu dengan pawang yang bernama Abdul Wahab bin Musa (Allahyarham) di Teluk Intan untuk mendapat penerangan lanjut tentang mimpinya itu. Dalam mimpi tersebut, seorang lelaki berpakaian ihram diatas sejadah menyuruh beliau pergi ke Beting Beras Basah dengan membawa kain 7 warna. Katanya, Orang Beting sedang menunggu beliau.
7. Pembentang lalu menyewa sebuah bot dan membawa bersama isteri, almarhum bonda dan beberapa orang saudara (semuanya berjumlah 14 orang) menaiki bot dan bergerak menuju ke Beting Beras Basah dari jeti Sepani, Kampung Kayan.
8. Ketika sampai di Beting Tepi, beliau turun kedalam laut dan mengambil segenggam tanah dan kemudian menyambung perjalanan menuju ke Beting Tengah.
9. Di beting tengah, kelihatan lubuk pusar sedang berpusing. Hujan panas tiba-tiba turun. Apabila air surut, beting timbul dan ditengahnya ada kolam.Kelihatan 7 bendera timbul dari tengah kolam dengan jarak setiap bendera adalah sekitar 3 kaki. Bendera itu pula tercacak menjulang diatas kayu bakar setinggi 15 kaki. Air kolam pula sangat jernih. Pada batang bendera itu ada terdapat daun pemulih yang gunanya adalah untuk mengikat bendera-bendera tersebut. Pembentang tidak boleh mengikatnya kerana terasa seperti ada halangan di hadapannya. Selepas beliau menyatakan bahawa beliau adalah keturunan Panglima HItam dari raja yang berdaulat maka barulah beliau diberi ‘izin’ untuk mengikat daun pemulih tersebut.
10. Setelah semuanya selesai, kolam air pusar dan beting tersebut tenggelam semula.
11. Selepas 3 hari kejadian itu, beliau diilhamkan oleh satu suara yang menyuruhnya membuat pertukaran nama diraja dan dikurniakan dengan alat-alat kebesaran seperti bendera tubuh, pending, bengkong, pakaian rasmi adat istiadat diraja (5 jenis pakaian), keris sakti dan lain-lain. Keris panca indera sakti yang berasal dari Demak, Jawa diperolehi dalam keadaan sedar. Seorang tua berjubah kuning menyuruh beliau berbaring. Tiba-tiba orang tua itu mengecilkan badannya dan duduk diatas badannya. Orang tua itu juga turut mengijazah beberapa ayat. Geliga gunung berapa Krakatau diperolehi setelah ianya keluar dari mulut pembentang sewaktu beliau makan. Geliga petir diperolehi selepas berlakunya peristiwa sambaran petir.
12. Kata pembentang, sesungguhnya segala peristiwa yang dialami beliau terlalu besar hikmahnya kepada diri beliau. Beberapa persolan terungkai setelah mengalami peristiwa tersebut. Antaranya ialah seperti
a. Jalinan hubungan dengan jin kerajaan dan bertemu dengan cucu cicit Raja Sayyid Hitam
b. Punca terpinggir dan terputusnya keturunan bermula selepas peristiwa Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah, Sultan Perak ke-25 dibuang ke Johor. Baginda digelar Marhum Skudai di Bukit Mahmudiah Johor Bharu. Moyang pembentang adalah kakanda kepada Sultan Ismail yang telah menyisihkan dari takhta kerajaan negeri Perak.
13. Moyangnya itulah yang bergelar Raja Sayyid Syeikh Abdur Rahim (Rijalul Ghaib), seorang wali Allah yang merendah diri dan zuhud kepada Allah. Beliau bertapa di Gunung Bubu. Ketika Raja Idris (pada ketika itu belum menjadi Sultan) mencari gajahnya yang bernama Kulup Chandan hilang didalam hutan, beliau telah bertemu dengan Raja Sayyid Syeikh Abdur Rahim di Gunung Bubu. Ketika bertemu, Raja Sayyid Syeikh Abdur Rahim berkata kepada Raja Idris, Kelak tuanku akan bergelar Sultan. Selepas 7 hari tuanku ditabal menjadi Sultan maka tuanku hendaklah membeaskan Kulup Chandan. Kemudian, janganlah tuanku bersemayam di Sayong tetapi diatas bukit di pinggir Batang Hari Perak. Bukit itulah yang kini dikenali dengan nama Bukit Chandan. Raja Idris patuh kepada arahan tersebut dan ternyata perpindahan tempat persemayaman itu amat besar hikmahnya. Dengan berpindahnya tempat persemayaman itu maka terselamatlah pihak istana dari bencana banjir kerana kedudukannya di tempat tinggi.
14. Bendera 7 warna yang timbul pada permukaan lubuk pusar tadi mewakili 7 jin kerajaan. Sarjana Barat terkemuka, R.O Winstedt ada menyebut dalam tulisannya tentang 7 warna yang mewakili 7 jin kerajaan ini.
15. Dibawah Tasik Pauh Janggi (tempat lubuk pusar), ada sebuah kerajaan yang diketuai oleh sultan ghaib. Sultan ghaib itulah yang bernama Sultan Ahmaddin Shah yang dikapit dengan Dato Mahkota Si Raja Jin.
16. Moyang pembentanglah iaitu Raja Sayyid Syeikh Abdur Rahim (rijalul ghaib) yang memberitahu pembentang bahawa keturunannya adalah keturunan raja yang sebenar yang mempunyai jin kerajaan di Beting Beras Basah dan Sulawesi. Moyangnya jugalah yang menyuruh beliau menukar nama kepada Tengku Sarintaka bin Raja Ajibol. Tentang jin Sulawesi itu yang ada kaitan dengan kerabat diraja Bugis, ia adalah merujuk kepada jin jelmaan buaya putih yang sangat terkenal sejarahnya di Sungai Perak. Khabarnya buaya putih ini kepalanya di kuala Sembilan manakala ekornya di Kuala Kangsar. Buaya putih ini namanya Dato Panglima Haji Jin Putih.

Syarahan Perdana Syed Muhammad Naquib al-Attas

* Ini adalah catatan bebas ana yang ditulis dengan bahasa yang sangat ringkas dan dicatat secara langsung ketika dalam majlis syarahan Prof pada 13 Disember 2009 di IIM. Dengan penuh rendah diri dan ampun maaf, segala kelemahan dalam tulisan ini adalah atas sebab ana yang mungkin tidak berupaya memahami segala apa yang telah disampaikan oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Bagi sesiapa yang memahami dengan lebih jelas, harap dapatlah memberi komentar kepada isi syarahan yang dicatat oleh ana dalam serba kekurangan ini.

Al-Quran berbicara tentang ilmu. Al-Quran berbicara tentang roh. Al-Quran berbicara tentang dunia ghaib dan dunia nyata. Al-Quran berbicara tentang sejarah. Pendek kata, al-Quran merangkumi segala fundamental asas yang perlu diketahui oleh manusia. Pandangan alam antara satu tamadun dengan tamadun lain berbeza disebabkan faham masing-masing terhadap kebenaran mutlak. Perbezaan ini timbul disebabkan pemahaman yang berbeza-beza tentang tuhan, manusia, ilmu dan sebagainya. Perbezaan ini berlaku di peringkat asas lagi. Perbezaan fahaman ini telah mengwujudkan pandangan yang mengelirukan. Ada golongan yang keliru bermula dari peringkat asas lagi. Kekeliruan yang muncul ini menyebabkan mereka menyangka bahawa anjakan paradigma itu adalah satu kemestian. Natijahnya, mereka cuba menyusun semula pandangan itu dengan andaian bahawa selepas menyusunnya, pandangan mereka akan kembali benar. Mereka menyusun ibarat mereka sedang menyusun puzzle. Mereka menyangka bahawa apa yang mereka susun itu benar belaka padahal kesilapan memasukkan sesuatu petak di tempat yang salah boleh merosakkan keseluruhan gambaran puzzle yang mereka kehendaki. Hal ini samalah seperti pandangan alam. Kesilapan mereka membuat perubahan walaupun perubahan itu kecil boleh merosakkan keseluruhan gambaran pandangan alam. Kita tidak boleh bercakap tentang sains politik sekiranya kita tidak memahami pandangan alam yang sebenar. Satu masa dahulu modernis Mesir menyerang sejarah lampau orang Islam. Mereka berusaha mempengaruhi pemikiran umat Islam masa kini dan beranggapan bahawa sejarah umat Islam satu masa dahulu tidak relevan dengan masa kini. Jika kita terikut-ikut dengan rentak golongan modernis ini yakni menyerang sejarah lampau Islam bermakna kita termasuk dalam golongan yang memusnahkan pokok yang telah kita semai dan tanam. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menebang atau mencabut akar pokok itu sehingga menyebabkan tamadun yang kita bina akhirnya runtuh. Menurut modernis, sejarah lampau yang merujuk kepada akar pokok itu perlu ditebang. Akar sejarah itu perlu diapungkan dan dibiarkan berjalan dengan sendirinya. Mereka cuba untuk melepaskan ikatan dari sejarah lampau umat Islam. Mereka beranggapan bahawa mereka boleh menjadi maju dengan melepaskan diri dari sejarah lampau. Tidak ada perkataan maju dalam Islam. Parkataan maju itu dipinjam dari Barat. Barat tidak memahami Islam seperti orang Islam memahami Islam. Barat tidak memahami Nabi Muhammad saw seperti orang Islam memahami Nabi Muhammad saw. Barat menyangka bahawa Nabi Muhammad saw itu sama seperti manusia lain. Itu tidak benar. Nabi saw adalah sebaik-baik makhluk yang dijadikan Allah Ta’ala dan Nabi saw menerima wahyu. Al-Quran menyuruh kita berfikir. Soalnya adakah kita berfikir? Al-Quran berbicara tentang gunung. Dalam satu ayat al-Quran, ada disebut betapa al-Quran jika diletakkan di atas gunung maka gunung akan bergoncang dan akan hancur. Soalnya kenapa gunung? Gunung dianggap sesuatu yang suci oleh kebanyakan tamadun besar dunia. Ada tamadun yang menganggap gunung sebagai tuhan dan sebagainya. Orang Melayu juga tidak terlepas dalam hal ini. Orang Melayu juga mempunyai kepercayaan tersendiri terhadap gunung. Ada gunung yang dianggap istimewa bagi orang Melayu misalnya Mahameru dan Bukit Siguntang. Dalam bahasa Arab, gunung dianggap sesuatu yang berkuasa. Jadi, apabila al-Quran diturunkan kepada manusia bermakna manusia itu lebih berkuasa dari gunung. Kita tidak menerima al-Quran dan Rasul begitu sahaja sebaliknya kita perlu berfikir. Betapa Rasulullah saw itu insan yang benar-benar hebat kerana menyampaikan isi al-Quran itu kepada manusia.
Nabi Muhammad saw adalah Qudwatun Hasanah dan Rahmatan Lil Alamin. Rahmat disini bukanlah bermaksud belas kasihan tetapi memberi cahaya kepada seluruh umat manusia. Nabi saw berkata, aku dijadikan sebelum Adam dicipta dari tanah liat. Dalam satu hadith lain, Nabi saw bersabda, aku dijadikan dari cahaya. Rasul-rasul terdahulu telah diperintah untuk memberitahu kedatangan Nabi saw. Sebelum diangkat menjadi Rasul, mereka perlu berikrar dihadapan Allah Ta’ala dengan meyakini bahawa Nabi Muhammad saw adalah Pesuruh Allah dan penutup bagi segala Rasul. Ada sesuatu yang tidak kena dengan umat Islam pada masa ini. Adakah ia berkaitan dengan sistem pendidikan yang pincang? Umat Islam pada masa ini menyangka bahawa Islam itu hanya pada solat lima 5 waktu dan mengucap dua kalimah syahadah. Barat dan kepercayaan lain juga meyakini adanya Tuhan. Tetapi adakah kepercayaan mereka sama dengan kepercayaan umat Islam? Ada orang Islam yang keliru tentang kepercayaan kepada Tuhan. Secara lahiriah, semua orang percaya adanya Tuhan. Ketika di alam roh, semua manusia telah membuat perjanjian di hadapan Allah Ta’ala dan mengakui kebenaran bahawa Tuhan mereka adalah Allah Ta’ala. Maka atas sebab itu, sebaik sahaja lahir, keyakinan terhadap Tuhan akan muncul tetapi kepercayaan terhadap Tuhan mengikut kepercayaan umat Islam adalah berbeza dengan kepercayaan orang-orang kafir. Iblis juga percaya adanya Tuhan tetapi dia angkuh. Ketahuilah bahawa agama selain Islam adalah tidak sama. Semua manusia percaya adanya Tuhan tetapi agama-agama lain selain agama Islam tidak dipandu dengan wahyu maka kepercayaan terhadap Tuhan itu berbeza-beza. Aristotle juga percaya pada Tuhan tetapi ia hanya percaya pada peringkat intelektual sahaja. Aristotle tidak meletakkan praktikal sebaliknya hanya menggunakan spekulasi untukmempercayai adanya Tuhan. Pemikiran seperti ini perlu dijelaskan bukan hanya di peringkat sekolah tetapi di peringkat tinggi. Inilah matlamat utama ISTAC ditubuhkan. Pemikiran-pemikiran yang mencabar perlu ditangani dengan serius. Apabila kita berbicara tentang al-Quran, kita sebenarnya berbicara tentang isi kandungannya iaitu bagaimana kita menghayati isi kandungan al-Quran. Al-Quran diturunkan dengan menggunakan perkataan bahasa Arab yang baru. Ada perkataan didalam al-Quran yang tidak ada dalam istilah bahasa Arab. Maka sebab itu, kita hendaklah mempelajari dan mendalami al-Quran dengan betul. Apabila kita tidak dapat memahami al-Quran dengan makna yang betul maka kita akan terkeliru. Ada pemimpin kita yang tidak faham atau keliru dengan makna liberal. Sebagai contoh, mereka beranggapan bahawa wanita bebas melakukan apa sahaja sedangkan ini tidak betul. Kebebasan ada hadnya. Sebagai pemimpin, mereka tidak boleh bercakap sesuka hati. Satu lagi contoh kesilapan pentafsiran makna dari kalangan pemimpin ialah apabila mereka mengatakan bahawa solat boleh dilakukan dengan membelakangkan kiblat. Itu tidak betul. Solat dalam keadaan sedemikian hanya boleh dilakukan jika berada dalam keadaan darurat.
Adab adalah satu perkara yang sangat penting khususnya dalam pendidikan. Ilmu tanpa adab adalah tidak berguna kepada si pencari ilmu. Kata Imam al-Ghazali, orang yang mencari ilmu tanpa adab ini ibarat orang buta yang membawa lilin masuk kedalam gua. Maksudnya disini ialah lilin yang dibawa oleh orang buta itu tidak memberi apa-apa manfaat kepadanya. Adab berkait-rapat dengan melakukan sesuatu perkara dengan betul ditempat yang betul. Untuk melakukan perkara yang betul, ilmu diperlukan. Keadilan tercapai apabila sesuatu perkara itu diletakkan ditempat yang betul. Orang-orang yang berkeahlian didalam sesuatu bidang perlu diletakkan didalam bidangnya. Inilah yang dikatakan sebagai keadilan. Apabila telah diletakkan ditempat yang betul maka mereka perlu menjalankan tanggungjawab. Maka ini disebut sebagai amanah. Ramai orang keliru tentang perkara ini. Pemerintah keliru tentang perkara ini bahkan pihak agama dan universiti juga terkeliru dalam hal ini. Mereka tidak meletakkan orang yang betul ditempat yang betul. Justeru, pihak yang bertanggungjawab perlulah memikul tanggungjawab untuk meletakkan orang yang betul di tempat yang betul. Inilah amanah. Kebanyakan ulama yang ada pada hari ini adalah mukallim yang bertaqlid pada fuqaha (ulama besar generasi terdahulu). Ulama pada masa dahulu sangat tawadhuk. Mereka sentiasa berkata bahawa mereka ada membuat silap tetapi dalam kebanyakan masa yang dihabiskan, mereka sebenarnya jarang atau mungkin terlalu sedikit berbuat silap. Ini adalah kerana mereka faham tentang makna adab dan ilmu. Masalah utama yang melanda umat Islam pada masa ini ialah kejahilan terhadap ilmu. Kita harus sedar bahawa Internet itu bukannya ilmu. Sebab itu kita kena soal diri kita semula samada kita kah yang mengurus ilmu atau ilmu itu yang mengurus kita? Keadilan tercapai apabila kita tahu siapa yang benar dan kita menyebelahi pihak yang benar. Tidak ada konsep sekerat-sekerat yakni setengah benar dan setengah salah. Pengadilan didasarkan kepada kemutlakan yakni samada benar atau salah. Banyak perkara tidak didefinisikan dengan betul akhirnya ramai menjadi keliru. Kekeliruan akan menggejala melainkan kita semua kembali kepada wahyu yang merupakan asas kepada semua perkara. Seperti yang disebut tadi, ramai yang keliru tentang fungsi al-Quran dan Hadith. Al-Quran ditafsir dari satu sudut hanya untuk kepentingan satu pihak sahaja. Sebagai contoh, pengamal undang-undang mentafsir al-Quran dari sudut perundangan sahaja. Sedangkan isi kandungan mencakupi semua aspek kehidupan. Begitu juga dengan hadith. Ada golongan ulama yang mengambil hadith untuk keperluannya sahaja manakala hadith lain tidak diguna pakai. Hadith-hadith yang hendak digunakan dibukukan manakala hadith-hadith yang tidak digunapakai diabaikan. Maka atas sebab itu, banyak hadith tidak sampai kepada kita dan akhirnya kita sendiri meragui akan kesahihan hadith itu. Sebagai contoh, hadith yang berbunyi seperti berikut, Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang yang tidak beriman. Ada orang yang tidak percaya ini adalah hadith. Mereka menyaring hadith mengikut kepentingan mereka sendiri. Golongan ekonomi misalnya melihat hadith ini sebagai sesuatu yang merugikan umat Islam kerana umat Islam menjadi mundur. Inilah yang berlaku pada Hamzah Fansuri. Banyak hadith yang disebut oleh Hamzah Fansuri dianggap bukan hadith pada masa ini. Ini adalah kerana ada golongan yang telah menolak hadith yang tidak sependapat dengan mereka lalu mengabaikan hadith-hadith tersebut.
Tentang soal sekularisasi, ia adalah masalah luaran yang dihadapi oleh umat Islam pada masa ini. Umat Islam tidak menentang kehidupan di dunia tetapi yang ditentang itu ialah ideologi yang menyatakan bahawa tidak ada dunia lain selain dari dunia yang ada pada masa ini. Ada orang menyatakan kita negara sekular. Itu tidak betul kerana subjek agama masih diajar di sekolah-sekolah. Berbalik kepada soal Nabi Muhammad saw, kita tidak boleh memanggil Nabi saw dengan panggilan namanya sahaja. Kita perlu tahu meletakkan kedudukan Nabi Muhammad saw sebagai makhluk Allah Ta’ala yang paling mulia. Para sahabat begitu memuliakan Nabi saw. Peluh baginda saw dijadikan minyak wangi manakala rambutnya yang dipotong ditadah oleh para sahabat lalu disimpan. Nabi Muhammad saw mengangkat darjat wanita. Nabi Muhammad saw berkata bahawa syurga itu dibawah tapak kaki ibu. Umat Islam memuliakan Nabi saw tetapi tidaklah meletakkan kedudukan Nabi saw sebagai Tuhan seperti mana Kristian menjadikan Nabi Isa as sebagai tuhan mereka. TIdak ada manusia seumpama Nabi saw dalam mana-mana tamadun manusia baik dahulu, sekarang mahupun yang akan datang. Tokoh-tokoh lain seperti Buddha hanya tertumpu kepada soal moral tetapi Nabi saw memberi perhatian kepada seluruh kehidupan manusia. Kaum Kristian tidaklah sepenuhnya mengikut ajaran Nabi Isa as kerana jika mereka mengikut secara mutlak sudah pasti tidak ada generasi Kristian selepas Nabi Isa diangkat ke langit. Ini adalah kerana Nabi Isa as tidak berkahwin sepanjang hayat baginda sebelum baginda diangkat ke langit.
Soal-jawab
Adakah ahli politik adalah orang yang paling tepat atau paling layak untuk memimpin umat Islam?
Ahli politik penting dan memang ada keperluan untuk jadi pemimpin. Ini ada disebut dalam Aqaid an-Nasafi. Apapun ahli politik yang baik adalah ahli politik yang mempunyai akauntabiliti, bertangunggjawab dengan memegang amanah dan faham serta tahu dalam banyak perkara.
Penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam. Adakah ia dibolehkan?
Dahulu pernah timbul isu ini dimana pihak gereja dari Pulau Pinang memohon untuk menggunakan kalimah Allah. Satu mesyuarat telah diadakan di ISTAC bagi menjawab permasalahan isu ini. Soalnya kenapa mereka mahu menggunakan kalimah Allah? Mereka menyatakan bahawa mereka ingin berdoa dalam bahasa Melayu dan mahu menggunakan kalimah Allah. Sebenarnya kita harus faham, kalimah Allah bukanlah terjemahan kepada God. Terjemahan God dalam bahasa Melayu ialah Tuhan. Jadi, jika mereka ingin berdoa dalam bahasa Melayu maka gunalah istilah Tuhan sahaja. Kita tidak boleh membenarkan golongan bukan Islam menggunakan nama Allah kerana mereka tidak faham makna Allah sebagaimana kita faham Allah. Seperti yang disebut tadi Allah bukanlah terjemahan dari God. Sebab itu dalam syahadah disebut, “tiada tuhan melainkan Allah” bukannya “tiada tuhan melainkan tuhan”. Sekali lagi dijelaskan bahawa kita tidak boleh membenarkan perkara ini terjadi.
Tentang Tariqah dan sufi
Kebanyakan tariqah yang ada pada masa ini tersasar dari maksud tariqah yang sebenar. Ramai ahli sufi tidak faham tentang makna sufi. Ibnul Arabiy pernah berkata, Ramai orang menggunakan perkataan sufi sedangkan mereka langsung tidak tahu tentang makna perkataan itu. Saya (kata Prof Syed Muhammad Naquib) telah mengkaji 9 tariqah sufi di Tanah Melayu satu ketika dahulu dimana ketika itu mereka masih berpegang kepada amalan sufi yang sebenar iaitu mengajar manusia menjadi baik. Ini adalah asas tariqah. Sufi bukannya ilmu rahsia. Sebab itulah Durr al-Manzhum, kitab sufi yang terkenal satu masa dahulu telah diperintah oleh Sultan Melaka untuk diterjemah di Pasai supaya ianya dipelajari.
Transcendental Unity of Religion
Faham ini ada kaitan dengan cubaan politik yang hendak menguasai dunia. Jika pun sarjana Islam bersetuju pendapat dengan sarjana bukan Islam itu tidak bermakna kesatuan agama itu boleh dilakukan. Jika perkara ini berlaku di sini, maka ianya perlu diawasi kerana ianya pasti berkaitan dengan agenda politik yang ingin menguasai pemerintahan. Cubalah kita andaikan, adakah kemungkinan penganut agama lain mahu bersolat jemaah bersama-sama umat Islam didalam masjid. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa agama-agama itu boleh disatukan?
Sifat 20 Allah. Adakah diambil dari Greek?
(Kata Prof Syed Muhammad Naquib) Siapa kata? Orang Greek tidak menerima wahyu. Jika ada orang Greek menerima wahyu maka ia pastilah dari wahyu yang telah dibawa oleh Nabi-nabi dari Bani Israel. Sifat 20 bukan dari Greek atau sebagainya sebaliknya adalah dari al-Quran.
Tentang Islamisasi
Islamization tidak boleh disebut sebagai Islamisization. Prof mengaitkannya dengan istilah metaphysic of Islam yang tidak boleh disebut sebagai Islamic metaphysic. Islamic bermakna kita memasukkan elemen Islam. Ini bukanlah maksud sebenar yang hendak disampaikan. Keadaan ini samalah seperti religion of Islam bukannya Islamic religion. Sebab itu Islam bukannya terletak pada elemen atau benda dan sebagainya seperti islamic bicycle dan sebagainya. Kita kena perlu faham betul-betul makna Islam.
Tulisan (Isi Kandungan buku) Prof yang susah hendak difahami
Saya (kata Prof) menulis dengan meneliti terlebih dahulu setiap perkataan yang betul sebelum ia dimasukkan. Maka si pembaca perlu mengikut setiap patah perkataan yang saya tulis dan cari maknanya. Buku yang saya tulis bukan buku cerita dan isi kandungannya memerlukan tafakkur. Ada professor yang membacanya berpuluh kali tetapi masih tidak faham. Ada orang mengatakan bahawa tulisan saya yang berkaitan dengan metafizik susah hendak difahami tetapi buku saya yang bukan berkaitan dengan metafizik pun mereka tidak juga faham. Sebagai contoh, buku Trengganu Inscription masih ramai yang belum faham tentang isi kandungannya padahal ia bukannya berkaitan metafizik. Inilah yang berlaku apabila manusia lebih percaya kepada mesin bukannya daya intelek. Sebab itu daya pemikiran manusia menjadi terbatas.