Monday, February 8, 2010

Kitab Penawar Hati - Disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara pada 6 Feb 2010
Hadith 1: Pertanyaan Allah tentang umur, ilmu, harta dan anggota badan
Pertanyaan Allah tentang umur
Semua makhluk akan ditanya apa pekerjaan mereka termasuklah para Nabi. Adalah amat menyedihkan jika orang yang dikurniakan umur panjang mensia-siakan hidupnya dengan memperbanyakkan tidur dan membuat kerja-kerja yang tidak mendatangkan manfaat. Orang yang cerdik, tidurnya adalah satu ibadat. Tidurnya adalah tidur orang yang soleh. Tidur menjadi ibadat apabila ia membaca surah-surah atau ayat-ayat yang dianjurkan oleh Rasulullah saw sebelum tidur.
Pertanyaan Allah tentang ilmu
Dari mana ilmu yang kita dapat dan sejauhmana ilmu itu telah kita amalkan? Imam Nawawi ra berkata, amalan sunat sangat banyak dan hendaklah dikerjakan. Amalan sunat ini hendaklah dilakukan dengan sempurna sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dengan cara itu barulah kita benar-benar beramal dengan ilmu tentang sunnah yang telah disampaikan kepada kita. Contohnya, kita hendaklah menunaikan sunnah beriktikaf didalam masjid didalam bulan Ramadhan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Ataupun berpuasa Isnin dan Khamis sekurang-kurangnya sekali seumur hidup atau mengerjakan solat sunat tasbih sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan sebagainya. Ilmu akan ditanya Allah Ta’ala. Kebanyakan penghuni neraka masuk ke neraka bukan disebabkan kejahilan mereka tetapi adalah kerana mereka tidak mengamalkan ilmu yang telah disampaikan kepada mereka. Apabila dimasukkan ke dalam neraka, mereka merintih kerana menyesal tidak beramal dengan ilmu yang telah disampaikan.
Pertanyaan Allah tentang harta
Ada dua perkara yang akan ditanya iaitu dari mana harta diperolehi dan ke mana ia dibelanjakan. Kalau dibelanjakan untuk jalan kebajikan tetapi harta yang dibelanjakan itu diperolehi dari jalan rasuah maka harta tersebut tidak dikira sebagai kebajikan.
Pertanyaan Allah tentang anggota badan
Allah Ta’ala akan tanya kita kemana nikmat yang telah Ia berikan kepada kita di hari Akhirat kelak. Tangan kita guna untuk apa? Mulut kita makan benda apa? Kaki kita bergerak ke mana? Dan seterusnya. Maka atas sebab itu, kita hendaklah menjaga kelakuan dan perbuatan kita dengan sebaiknya kerana setiap anggota badan kita akan menjadi saksi dan berbicara di hadapan Allah Ta’ala. Apabila berbicara di hadapan Allah Ta’ala, anggota badan tidak akan berdusta. Imam al-Ghazali berkata, Hendaklah kita bermuhasabah setiap hari sebelum kita tidur. Fikir apa yang telah kita buat disiang hari sejak dari pagi. Kemudian, pohonlah kepada Allah dan mintalah kepada Allah agar mengurniakan yang lebih baik untuk esok harinya dan bertaubatlah kepada Allah tentang segala keburukan yang telah kita lakukan pada hari itu. Kita hendaklah berazam untuk menambah amal ibadah dan melakukan kebajikan di masa akan datang. Tidur[1] itu adalah satu alat untuk kita berazam melakukan yang lebih baik esok harinya.

Hadith 2: Siapa teman setia kita yang bersama dengan kita sampai ke kubur?
Teman kita didalam liang kubur ialah amalan kita. Adik-beradik, isteri, anak-anak hanya menghantar kita sehingga ke liang kubur sahaja, selepas itu mereka pun balik ke rumah masing-masing. Harta-benda semuanya sudah ditinggalkan kepada waris manakala kita didalam kubur hanya berbantalkan tanah sahaja. Didalam al-Quran, banyak ayat yang menceritakan perihal keadaan penghuni alam kubur dan neraka. Semuanya menyesal kerana banyak melakukan dosa dan perkara sia-sia. Nabi saw bersabda, Orang yang paling bijak ialah orang yang senantiasa menghitung diri dan banyak bekerja untuk kehidupan setelah mati. Kata Imam al-Ghazali ra, Orang yang bijak ialah orang yang memilih yang kekal dari yang fana’ dan memilih yang panjang dari yang pendek. Jangan tertipu dengan diri sendiri. Firaun tertipu dengan dirinya sehingga mengaku Tuhan kerana beliau tidak pernah sakit sepanjang hayatnya. Orang yang bijak ialah orang yang sanggup hidup dalam kesusahan walau beratus tahun di dunia untuk mengecap kenikmatan selama-lamanya di akhirat kelak. Kata Imam al-Ghazali ra, Orang yang bijak akan menggunakan dunia untuk pekerjaan akhirat. Syeikh Zakaria Kandahlawi ra menyatakan bahawa kebaikan dunia itu ialah untuk bekalan di akhirat. Maksudnya, kebaikan dunia itu kita gunakan untuk jalan Allah.
Tiga perkara yang sampai kepada si mati ialah
1. Sedeqah – seperti mendirikan pondok pengajian, masjid dan sebagainya kerana selama mana ia dipakai selagi itulah orang yang mendirikannya atau menyumbang ke arahnya akan mendapat pahala.
2. Ilmu yang bermanfaat – orang yang mengajar ilmu akan mendapat pahala kerana ilmu itu diturunkan pula oleh anak muridnya kepada generasi berikutnya. Imam asy-Syafi’i wafat pada tahun 204 H tetapi hingga ke hari ini ia masih ‘berkata-kata’ kerana umat Islam mempelajari kitabnya.
3. Anak yang soleh yang mendoakan kita (termasuk anak angkat)
Tanpa ketiga-tiga perkara ini, kita akan jadi ‘miskin’ didalam kubur.
Hadith 3: Seringan-ringan seksaan dalam neraka
Api neraka merupakan tempat berhimpunnya kemurkaan Allah Ta’ala. Di hari Akhirat kelak, manusia terbahagi kepada 3 golongan mengikut ASWJ iaitu
1. Orang yang terus (pasti) masuk neraka seperti Firaun dimana namanya disebut didalam al-Quran
2. Orang yang pasti masuk syurga seperti para Nabi dan sepuluh sahabat yang telah dijanjikan syurga keatasnya
3. Orang yang tidak pasti samada syurga atau neraka. Orang yang beriman tetapi melakukan dosa maka ia terpulang kepada Allah Ta’ala dimana jika Allah mengampun kesalahannya maka ia akan terus masuk syurga tetapi jika Allah berkira dengannya maka ia akan dihisab dan jika ada kesalahan maka ia akan dimasukkan ke dalam neraka mengikut kadar kesalahannya.
Kata syeikh, jadikanlah amalan membaca Allahumma ajirni minannar (Ya Allah, lindungilah aku dari api neraka) sebanyak tujuh kali (kerana ada 7 pintu neraka) setiap kali selepas solat. Seksa yang paling ringan dalam neraka ialah seorang yang diletakkan dibawah tapak kakinya bara api neraka sehingga mendidih otak di kepalanya dan dia menyangka dialah yang paling teruk seksaannya padahal itulah seksaan yang paling ringan dalam neraka.
Hadith 4: Perihal mengambil harta orang lain
Jika tidak bertaubat atau minta halal dari orang yang diambilnya maka seseorang itu boleh terjerumus kedalam api neraka. Hak milik orang lain walau setakat kayu miswak hendaklah dijaga sebaik-baiknya kerana jika disalah guna maka tempatnya di api neraka. Kita juga hendaklah sentiasa warak supaya jauh dari benda-benda yang diharam. Ini termasuklah menjaga akhlak kita. Pada satu hari Aisyah berasa sangat cemburu kepada Safiyyah Binti Uyay kerana berkahwin dengan Rasulullah saw. Aisyah berkata kepada Rasulullah saw, Eloklah tuan berkahwin dengannya (sebab Safiyyah rendah orangnya). Lalu Rasulullah saw menjawab, Jagalah mulutmu kerana air liurmu jika dicampur dengan tujuh air lautan sekalipun pasti akan berubah rasanya. Maksudnya disini ialah benda yang tidak elok walaupun sedikit tetapi jika dicampur dengan benda yang elok dan suci tetap akan merosakkan benda yang elok itu. Sebab perkara mengumpat ini boleh membawa kepada kebinasaan.
Ada lima perkara yang perlu dijaga oleh orang Islam iaitu
1. Agama – keluar darinya maka dihukum murtad
2. Harta – tidak boleh mengambil harta orang lain
3. Darah – tidak boleh menyakiti orang lain
4. Maruah – tidak boleh menjatuhkan harga diri orang lain termasuk mengumpat atau menuduh orang lain berzina tanpa bukti yang kukuh
5. Nasab – tidak boleh merosakkan keturunan dengan berzina
Dalam kitab Bustanul Ariffin yang ditulis oleh Imam Nawawi ra, ada diceritakan kisah seorang lelaki yang bermimpi bertemu gurunya. Gurunya sangat alim tetapi hanya setelah setahun meninggal dunia barulah lelaki itu dapat bermimpi bertemu gurunya. Kata lelaki itu, Rindu sungguh hendak bertemu dengan tuan. Kata gurunya dalam mimpi, Saya baru sahaja habis bicara selama setahun. Bicara itu adalah kerana saya pernah mengambil sedikit bahagian kayu ketika berjalan dipasar untuk dijadikan cungkil gigi. Saya mematahkan sesedikit bahagian kayu itu tanpa meminta keizinan tuannya. Dalam satu kisah lain, ada seorang lelaki setelah selesai menulis surat, beliau pun melekatkan surat itu pada debu-debu yang berada di dinding rumah jirannya dengan tujuan untuk mengeringkan dakwat pada surat itu. Pada sebelam malamnya, beliau bermimpi dan terdengar suara berkata padsanya, Tidakkah kamu takut debu itu akan menyoal kamu kelak? Pada satu hari Nabi saw bertanya kepada sahabat, Tahukah kamu siapakah orang yang sebenar-benarnya paling rugi? Nabi saw kemudiannya bersabda, Orang yang paling rugi ialah orang yang berpuasa, solat, zakat dan sedeqah tetapi terpaksa menyerahkan pahalanya kepada orang yang dianiayainya, orang yang diumpatnya dan orang yang diambil hartanya sehingga dia tidak memiliki apa-apa lagi pahala.
Kata ulama, syarat taubat ada 3 (dosa antara makhluk dengan Allah) iaitu
1. yang lepas - disesali,
2. yang sedang berlaku - dijauhi dan
3. yang akan datang – berazam untuk tidak melakukannya
Jika kita ada dosa dengan makhluk maka perlu tambah satu lagi iaitu minta dihalalkan dan redha dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini.
Hadith 5: Siapa orang yang muflis
Orang yang muflis ialah orang yang tertipu dengan amalannya tanpa menjaga akhlaknya. Pahala amalannya kelak akan dituntut oleh orang yang dianiayai, disakiti atau yang difitnahnya.
Hadith 6: Menghadapi sakaratul maut
Aisyah bangga dengan 3 perkara
1. Nabi saw wafat diatas pahanya
2. Air matanya jatuh diatas wajah Nabi saw
3. Air liurnya berada didalam mulut Nabi saw (ketika Nabi saw berada dalam keadaan gering, baginda saw menggunakan kayu miswak[2] milik Aisyah. Kayu tersebut agak keras lalu digigit oleh Aisyah untuk dilembutkan)
Nabi saw berasa panas ketika di ambang sakaratul maut. Nabi saw meletakkan tuala yang direndam air diatas dadanya untuk meredakan kepanasan. Jika Nabi saw berasa panas sedangkan baginda saw adalah kekasih Allah lalu bagaimanakah keadaan kita kelak ketika berhadapan dengan sakaratul maut? Kata Nabi saw, barangsiapa di akhir kalamnya menyebut La Ilaha Illallah, maka orang itu pasti masuk syurga. Maka kita hendaklah melembutkan lidah kita dengan senantiasa menyebut kalimah ini sekurang-kurangnya 100 kali setiap pagi dan petang. Dalam kitab tazkiratul Qurtubi, ada diceritakan tentang keadaan seorang peniaga ketika diambang maut. Disebabkan beliau sentiasa melaungkan harga promosi jualannya, maka laungannya itu terbawa-bawa sehingga ke nafasnya yang terakhir. Para aulia sangat risau dengan kesudahan hayat mereka. Sebab itulah, mereka memperbanyakkan zikir. Khalifah Harun al-Rasyid di hari keputeraannya telah menganugerahkan pelbagai bintang kebesaran kepada rakyatnya. Hanya ada seorang rakyatnya yang tidak meminta apa-apa dari khalifah. Lalu khalifah bertanya kepadanya, Tidakkah kamu mahu meminta apa-apa dariku? Kata lelaki itu, Adakah tuanku boleh pastikan aku boleh mengucap kalimah La Ilaha Illallah di akhir hayatku kelak? Khalifah terdiam.
Kata ulama, Raya yang sebenar bukanlah raya dalam ertikata sambutan secara zahir tetapi raya setelah berjaya menuturkan kalimah La Ilaha Illallah ketika di ambang maut. Imam al-Ghazali ra berkata, Usaha untuk mencapai Husnul Khatimah ada dua iaitu doa dan kerja. Ianya umpama kita dikejar harimau dimana kita berdoa untuk selamat dari harimau dan berlari untuk mengelak dari diterkam harimau. Ada para aulia yang mati dalam keadaan mudah. Lalu dibahas oleh ulama adakah mereka lebih mudah wafat dari baginda saw. Kata ulama, Nabi saw boleh wafat dengan mudah kerana baginda saw adalah kekasih Allah tetapi baginda wafat dengan cara sedemikian agar mendapat pahala yang lebih. Ini samalah dengan kehidupan baginda saw dimana baginda saw boleh hidup dengan senang tetapi baginda saw memilih jalan sederhana agar dikurniakan pahala yang sempurna untuk bekalan di akhirat. Seseorang akan diperlihatkan kedudukannya di akhirat sebelum mati. Orang yang dimasukkan kedalam syurga akan diperlihat dengan pandangan syurga lalu ia mati dalam keadaan tersenyum dan tenang manakala orang yang dimasukkan kedalam neraka akan berasa sedih. Malaikat akan turun untuk menghiburkan penghuni syurga sebelum ia meninggal dunia. Kata malaikat, Jangan kamu bersusah hati kerana kami akan menjaga keluargamu dan kamu akan masuk syurga dengan tenang. Syed Qutb dalam syairnya sebelum dia digantung menyebut,
Saudaraku bila kita mati (syahid), kita akan berjumpa kekasih-kekasih kita
Aku sudah pun nampak lambaian daun-daun syurga
Burung-burung syurga berkicauan menyambut selamat datang
Untung sangatlah negeri yang kekal abadi

Kata Syeikh, Sesungguhnya orang yang terlalu rindu kepada Allah Ta’ala tidak akan takut menghadapi kematian.



[1] Untuk mudah bangun awal, Syeikh anjurkan amalan membaca empat ayat terakhir dalam surah al-Kahfi. Kata Syeikh, jika niat kita baik, Insyallah badan kita tidak terasa letih ketika bangun awal walaupun disebelah malamnya tidur lewat. Selepas baca empat ayat terakhir dalam surah al-Kahfi, bacalah pula doa, Ya Allah, dengan keberkatan ayat ini, kejutkanlah diriku untuk bangkit awal.
[2] Bagus bersiwak untuk memudahkan ruh keluar dari jasad.

Kesempurnaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR pada 7 Feb 2010
Bentuk tubuh badan Rasulullah saw banyak diriwayat oleh ahli keluarga Nabi saw seperti Ali bin Abi Talib dan khadamnya, Anas bin Malik. Sahabat Nabi saw sangat ramai tetapi bukan semua berada hampir dengan baginda saw dan bukan semua sahabat sentiasa berada disamping Nabi saw. Oleh itu, ahli keluarga dan khadam Nabi saw yang senantiasa berada rapat dengan Nabi saw telah meriwayat segala perbuatan, perkataan dan perihal keadaan anggota tubuh badan Nabi saw untuk disampai kepada sahabat yang lain bagi menzahirkan kecintaan mereka terhadap baginda saw.
Sifat tubuh badan Rasulullah saw
1. Tubuh badan Rasulullah saw sederhana dan sasa
2. Rambutnya tidak terlalu kerinting dan tidak terlalu lurus
3. Jasad Nabi saw adalah pertengahan bertepatan dengan maksud, “Sebaik-baik perkara adalah pertengahan”
4. Kulitnya putih kemerahan (barangsiapa mengatakan kulit baginda saw hitam maka hukumnya adalah kufur kerana menyalahi riwayat hadith yang mutawatir dan disepakati oleh para ulama. Bagi siapa yang mengatakan kulit Nabi saw hitam dengan niat hendak mencaci maka orang itu boleh dihukum bunuh).
5. Baginda saw berjalan dengan cepat – menunjukkan kegagahan dan himmah (keazaman yang sangat tinggi). Kata Syeikh, ahli hadith perlu mencontohi langkah Nabi saw ini.
6. Kata al-Bara’ ibn Azib[1], Allah swt menciptakan Nabi saw berperawakan sederhana. Bahunya bidang dan sasa.
7. Nabi saw memanjangkan rambutnya hingga ke cuping telinga. Imam Abdullah al-Haddad dan Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki pernah menyimpan rambut hingga ke cuping telinga bagi menyempurnakan maksud hadith Nabi saw.
8. Nabi saw memakai pakaian merah. Memakai baju merah bukanlah haram zaati cuma ulama memakruhkan pakaian warna ini (dan ada ulama sampai mengharamkannya) kerana warna merah itu adalah simbol atau warna kegemaran orang-orang fasiq. Oleh itu, pakailah baju merah dengan niat hendak menyempurnakan sunnah Nabi saw bukannya dengan niat hendak mengikut jalan orang-orang fasiq.
9. Nabi saw sangat tampan. Sabda Nabi saw, Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan ia paling tampan dan paling mulia nasab antara kaumnya. Keturunan Nabi saw adalah keturunan yang paling hebat. Keseluruhan jalur nasab baginda saw adalah paling mulia dizamannya sehingga ke Nabi Adam as. Bonda dan ayahanda Nabi saw adalah golongan orang-orang yang mulia. Pernah ulama hadith satu masa dahulu telah mengeluarkan kenyataan bahawa ibubapa Nabi saw adalah kufur. Maka ketika beliau wafat, wajahnya bertukar menjadi hitam. Syeikh Soleh al-Ja’fari, imam Masjid al-Azhar ditangkap ketika mempertahankan ibubapa Nabi saw. Beliau dibawa ke penjara kerana menyatakan ibubapa Nabi saw wafat dalam keadaan Islam ketika mengajar di Masjid Nabawi. Sewaktu lalu di hadapan maqam Nabi saw, Syeikh Soleh Ja’fari mengadu dengan katanya, Inikah kesudahanku akibat mempertahankan ibubapamu wahai Rasulullah. Syeikh Soleh kemudiannya dibebaskan tanpa masuk kedalam sel penjara. Syeikh Soleh bertanya kepada pengawal kenapa beliau dibebaskan. Lalu pengawal itu memberitahu, Majikanku bermimpi Rasulullah saw malam tadi meminta beliau membebaskan engkau kerana engkau telah mempertahankan ibubapamu. Adapun imam Masjid Nabawi yang menyatakan bahawa ibubapa Nabi saw wafat dalam keadaan kufur meninggal dalam keadaan jasadnya terpaksa disokong dengan konkrit. Ini adalah kerana jasadnya telah berpaling dari arah kiblat ketika dimasukkan kedalam liang lihad.
Kita perlu sedar bahawa Nabi saw bukanlah manusia biasa seperti kita. Kata ulama, sesiapa yang menyatakan Nabi saw itu manusia biasa tanpa menyandarkan kistimewaan kepada tubuh baginda saw maka ia tergolong dalam kelompok jahiliyah. Ini adalah kerana orang kafir jahiliyyah memandang Nabi saw seperti mereka memandang manusia biasa tanpa mempunyai apa-apa keistimewaan. Hati mereka terhijab dari melihat kenabian Rasulullah saw. Sedangkan orang-orang yang beriman sentiasa nampak dan menyaksikan tanda-tanda kenabian baginda saw. Kata Umar al-Khattab, aku masuk Islam setelah Nabi saw memandangku dua kali. Pandangannya yang pertama telah mengeluarkan aku dari kekufuran manakala pandangannya yang kedua telah mengisikan iman didalam benak hatiku. Bahkan para wali juga dihijab dengan pakaian kemanusiaan. Kata ulama, kalau diangkatlah hijab tersebut sehingga menampakkan nur cahaya para wali nescaya semua orang akan menyembah wali itu bukannya tuhan. Sahabat adalah orang yang paling kenal dan arif tentang Nabi saw maka dengan sebab itu mereka sangat memuliakan Nabi saw. Adakah kita betul-betul sayang Nabi saw? Lemahnya umat Islam pada hari ini ialah kerana mereka tidak cinta kepada Nabi saw dengan sebenar-benar cinta. Kekuatan umat Islam terdahulu adalah kerana cinta dan rindu yang sangat mendalam terhadap Allah dan Rasul-Nya. Khalid al-Walid melaungkan slogan “Wahai Muhammad, Wahai Muhammad, Wahai Muhammad” ketika berperang menentang pemuka Nabi palsu, Musailamah al-Kazzab. Laungan itu telah mendatangkan kekuatan luarbiasa kepada tentera Islam sehingga musuh melihat mereka seperti singa-singa yang menerkam dalam keadaan lapar.


[1] Sahabat kecil Nabi saw. Beliau lahir sama tahun dengan Abdullah bin Umar. Beliau pernah ikut Nabi saw berperang dalam Perang Ahzab. Beliau wafat pada tahun 72 H.

Kalam Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 7 Feb 2010
Kalam Hikam Abi Madyan,
Tidak dituntut bagimu sesuatu seumpama idhtirar (desakan), dan tiada sesuatu yang lebih segera melimpahkan anugerah-anugerah kepadamu seumpama menghinakan diri dan iftiqar.
Pertolongan Allah Ta’ala datang apabila kita menghampirkan diri kepada Allah Ta’ala dengan cara sentiasa merasakan kekerdilan dan kehinaan diri kita dihadapan Allah Ta’ala. Sifat ujub membinasakan manusia. Inilah faktor kekalahan umat Islam dalam Perang Hunain. Apabila sifat ini hadir dalam diri kita, Allah Ta’ala akan merendahkan martabat umat Islam. Sebaliknya orang yang mengutamakan sifat kehinaan dalam diri maka darjatnya akan ditinggikan Allah Ta’ala. Sifat idhtirar (desakan) dan iftiqar (hajat) akan mendekatkan kita dengan anugerah Allah Ta’ala. Sifat faqir perlu ada didalam diri. Faqir yang dimaksudkan bukanlah faqir dihadapan makhluk tetapi faqir dihadapan Allah. Orang yang sempurna kefaqirannya akan mendapat pertolongan Allah Ta’ala. Ini bersesuaian dengan maksud, “Sesungguhnya sedeqah itu adalah untuk orang-orang faqir”. Jadi, supaya pertolongan Allah sentiasa datang kepada kita maka kita hendaklah berada dalam keadaan faqir dihadapan Allah Ta’ala. Jika kita masih ada lagi perasaan “mempunyai” atau “berkeupayaan” maka ia hanya akan membawa diri kita ke lembah kebinasaan dan kecelakaan diri. Ini adalah kerana sifat takabbur, riyak, suma’ah dan sebagainya yang buruk masih berada dalam benak hati kita. Sebaliknya kita hendaklah sedar dan insaf bahawa segala kepunyaan dan keupayaan itu adalah milik Allah Ta’ala. Semua yang berlaku adalah atas kekuatan Allah Ta’ala bukannya kita.
Para masyaikh dan ulama menggelarkan diri mereka al-faqir kepada Allah iaitu berkehendakkan kepada Allah dengan harapan, mudah-mudahan Allah Ta’ala mengkayakan mereka sehingga mereka tiada lagi berkehendak kepada manusia. Apabila kita banyak kekurangan maka Allah Ta’ala akan melimpahkan anugerah-Nya kepada kita tetapi apabila kita berada dalam keadaan senang maka ramai pula yang akan menolong dan menghampirkan diri kepada kita sehingga menyebabkan kita lalai kepada Allah Ta’ala. Kebiasaannya semasa kita dalam keadaan gawat, kita akan lebih banyak mengingati Allah dan benar-benar hampir kepada Allah untuk memohon pertolongan kerana tidak ada orang yang hendak menolong kita pada waktu itu. Sebaliknya keselesaan akan menyebabkan kita bersandar kepada makhluk. Nabi saw tidak takut umatnya jatuh miskin tetapi Nabi saw takut umatnya menjadi kaya. Kita hendaklah merasakan diri kita seperti dalam keadaan hendak tenggelam didalam lautan kerana pada masa itu harapan kita hanyalah pada Allah Ta’ala. Tidak ada yang boleh beri bantuan kepada kita selain Allah Ta’ala pada waktu itu.
Idhtirar adalah setinggi-tinggi sifat perhambaan. Bila ada sifat ini, Allah akan memelihara, mengurus dan mengawal diri kita. Allah akan menurunkan sifat Rububiyyah untuk menjaga kita. Kasih-sayang Allah dilimpahkan kepada kita. Kalau kita berkehendakkan kekayaan Allah Ta’ala maka kita hendaklah sahihkan kefaqiran kita dihadapan Allah Ta’ala. Apabila kita beramal kita hendak merasakan bahawa diri kita adalah yang paling hina, paling fasiq dan paling kerdil. Kita hendaklah merasakan bahawa keberadaan kita telah menyebabkan doa orang lain tertolak. Kita perlu menyerlahkan sifat kefaqiran bukan menyerlahkan kehebatan yang ada pada diri kita. Satu masa dahulu, ada seorang wali Allah datang ke Makkah untuk mengerjakan haji. Beliau berniat mengerjakan haji untuk bondanya, ayahandanya dan untuk orang-orang yang hajinya tidak diterima Allah Ta’ala. Ketika berada di tempat wuquf, beliau menyempurnakan maksud faqir dengan menyatakan bahawa keberadaan beliau disitu telah menyebabkan doa orang lain tertolak. Maka pada waktu itu, para wali Allah yang lain berpendapat bahawa semua orang yang mengerjakan haji pada waktu itu telah diterima Allah akan amalan mereka atas sebab sahihnya kefaqiran wali Allah tadi dan benar-benar ikhlas di hadapan Allah Ta’ala.
Lazimkanlah diri dengan membaca doa berikut,



Maksudnya
Ya Allah! Fahamkanlah kami tentang-Mu, kerana sesungguhnya kami tidak dapat memahami-Mu melainkan dengan pertolongan-Mu. Hanya kepada-Mu kami sembah dan minta pertolongan. Ya Allah! Janganlah Engkau mencabut keimanan dari hati kami setelah Engkau menunjuknya kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi.
Kalam Hikmah Abi Madyan
Tidaklah orang yang dipakaikan dengan kehinaan lemah seperti orang yang dipakaikan dengan ketinggian kuasa
Orang yang bersifat lemah sebenarnya dipakaikan dengan sifat ubudiyyah sebaliknya orang yang berada dirinya hebat sebenarnya merampas sifat Allah Ta’ala. Orang yang kuat melakukan taat dan kuat melawan nafsu akan dilimpahkan taufiq Allah Ta’ala manakala orang yang kuat fizikalnya tetapi lemah taatnya adalah orang-orang yang celaka kerana menyangka kekuatannya itu adalah miliknya. Kita perlu bermuhasabah dan menilai semula kemana kekuatan kita diarahkan, adakah ke jalan agama atau ke jalan dunia. Ada masyaikh dan ulama yang telah berusia lanjut tetapi masih gagah mengerjakan amal ibadah seperti menulis berjilid-jilid kitab dan melakukan solat malam. Ini adalah kerana Allah menganugerahkan kekuatan rohaniah kepada mereka untuk berkhidmat di jalan Allah walaupun dari segi fizikalnya, tubuh mereka tidaklah gagah seperti tubuh orang muda. Imam Ahmad Hanbal menulis musnadnya yang mencecah 52 jilid. Dari mana datangnya kekuatan beliau menulis padahal pada masa itu, belum ada lagi kemudahan moden seperti hari ini. Anehnya beliau tidak pula melakukan kesilapan dalam penulisan walaupun tanpa kemudahan moden seperti hari ini. Kita harus sedar bahawa apa yang kita ialah Allah bukannya apa yang Allah sediakan. Sebab itu kita kena mujahadah untuk mendapatkan Allah. Jalan untuk sampai kepada Allah terlalu banyak sebanyak nafas yang ditarik dan dihembus keluar dari hidung dan kerongkong. Segala perkara sunat adalah sebab atau jalan untuk sampai kepada Allah manakala mengerjakan fardu itu adalah modalnya. Pada suatu hari, Imam Syafi’i ra pergi ke satu majlis pengkebumian tanpa memakain jubah dan sarban. Kelibatnya tidak disedari oleh orang ramai. Esoknya, orang bertanya kepadanya kenapa beliau tidak hadir padahal beliau memang ada disitu. Begitulah pemikiran orang awam terhadap ilmu dimana mereka hanya nampak luarannya sahaja. Ketahuilah bahawa doa mestilah seiring dengan usaha yang bersungguh yakni mujahadah. Buatlah amal ibadah tanpa mengharapkan anugerah maqam dari Allah Ta’ala.

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 6 Feb 2010
Imam al-Asbahani ra menyatakan bahawa karya paling mulia yang pernah dihasilkan oleh manusia ialah tafsir al-Quran. Sebab itu para ulama berlumba-lumba menulis tafsir. Bila tafsir mereka terhasil, mereka berharap agar mereka mendapat kemuliaan dari Allah Ta’ala kerana berkhidmat dijalan-Nya. Orang-orang yang bergelumang dengan tafsir adalah orang-orang yang sangat mulia. Orang-orang yang bergelumang dengan tafsir bukan sahaja orang yang menulis tafsir tetapi juga orang-orang yang mendengar atau belajar ilmu tafsir. Ini bertepatan dengan sabda baginda saw yang berbunyi, Sesungguhnya sebaik-baik manusia ialah orang yang belajar dan mengajar al-Quran. Apabila seseorang itu dikurniakan nikmat menghafaz dan mahir menghuraikan makna al-Quran maka janganlah ia memandang atau mengatakan nikmat lain lebih besar. Kata Imam Nawawi ra dalam kitabnya yang bernama Tibyan, Sesiapa yang telah dikurniakan Allah Ta’ala kepada mereka nikmat mengetahui rahsia al-Quran kemudian mereka merasakan nikmat orang lain lebih besar dari mereka maka orang-orang ini telah memperkecilkan sebesar-besar nikmat yang telah dianugerah Allah Ta’ala kepadanya. NIkmat al-Quran adalah nikmat yang paling besar dan tidak sebanding dengan nikmat-nikmat yang lain. Ulama ketika menyusun buku-buku diatas mereka meletakkan kitab tafsir di rak yang paling atas diikuti dengan kitab hadith dan kitab-kitab lain. Ini selaras dengan ketinggian dan kemuliaan kitab tersebut yang menghimpunkan segala kelebihan dan memancar pelbagai hikmah Kalam Allah. Salah satu sifat Allah ialah berkata-kata, oleh itu, kalam yang paling mulia ialah Kalam Allah. Jadi apabila kita membicarakan kalam yang paling mulia maka ia sebenarnya merujuk kepada Kalam Allah. Begitu juga dengan doa dimana doa yang paling mulia adalah doa yang terdapat didalam al-Quran. Ini diiikuti dengan doa Nabi saw kerana Nabi saw adalah kekasih Allah yang paling maqbul doanya. Ada seorang sahabat berdoa kemudiannya doanya didengar oleh Nabi saw. Dalam doanya, sahabat itu memohon kepada Allah Ta’ala agar mengurniakan istana putih kepadanya didalam syurga. Lalu Nabi saw menegurnya agar memohon syurga sahaja dan jangan mensifatkan apa-apa didalam syurga (contoh seperti memohon istana putih). Bagi sahabat yang berdoa dengan kata-kata pujian yang indah kepada Allah Ta’ala, Nabi saw memberikan penghargaan kepadanya dengan memberi hadiah yang hebat-hebat seperti emas dan sebagainya. Nabi saw turut menegur sahabat yang berdoa dengan mengkhususkan doa itu untuk dirinya sahaja. Sebaik-baik doa ialah dengan berdoa untuk sekalian umat Islam. Kata baginda saw, perumpamaan doa umum dengan doa untuk diri sendiri adalah seperti langit dengan bumi. Sebab itu para ulama bersungguh-sungguh memohon hajat untuk kesejahteraan umat ketika sujud di akhir rakaat solat ketika mengimamkan jemaah kerana mereka tahu bahawa itulah sebaik-baik doa untuk kesejahteraan umat Nabi Muhammad saw dunia dan akhirat. Dalam sujud yang akhir, mereka akan membacakan doa, “Ya Allah, Ampunkanlah dosa umat Muhammad dan rahmatilah mereka”. Orang-orang yang berdoa didalam sujud di akhir solat lazimnya diangkat menjadi wali abdal. Kata ulama, wali abdal ini terdiri dari 40 orang pada satu-satu masa dan kebanyakannya berhimpun di Syam.
Kata para ulama apabila menghuraikan keadaan sahabat, Di zaman sahabat, ramai orang faqih tetapi sedikit khutaba’ (pemidato). Ini berbeza dengan keadaan umat pada masa ini dimana ramai orang pandai berkata-kata tetapi terlalu sedikit orang yang faqih. Para sahabat tidak suka bercakap banyak sebaliknya mereka lebih suka beribadah. Kata ulama, para sahabat tidak suka kepada 3 perkara iaitu,
1. Mengeluarkan fatwa
Kata para sahabat, sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu maka ia seolah-olah menyembelih orang ramai tanpa menggunakan pisau. Kata Nabi saw, sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu dan kemudiannya fatwa itu betul maka perbuatannya itu tetap dikira salah kerana ia memberi pendapat tanpa mempunyai keahlian didalam bidang itu. Sahabat sangat berhati-hati dalam hal ini kerana tanggungjawabnya sangat berat. Ini adalah kerana orang yang mengeluarkan fatwa dianggap sebagai wakil Allah apabila ia bercakap tentang hukum-hukum agama dan perlu memikul tanggungjawab atas umatnya. Sahabat apabila ditanya tentang sesuatu hukum tidak akan menjawabnya terus sebaliknya meminta sahabat yang lain menjawabnya kerana mereka sangat berhati-hati dalam soal hukum ini.
2. Menerima sedeqah
Para sahabat tidak suka menerima sedeqah dan jika disedeqah kepada mereka, mereka akan memintanya agar barang itu disedeqah sahaja kepada orang lain yang lebih memerlukannya.
3. Menjadi imam
Sahabat tidak suka menjadi imam kerana tanggungjawabnya sangat berat. Imam itu adalah penjamin solat makmum. Kata sahabat, aku benci menjamin orang lain kerana tanggungjawab yang perlu di pikul sangat besar. Pernah berlaku di zaman sahaat dimana sahabat tidak mahu jadi imam. Hatta ketika Nabi saw gering, sahabat tidak mahu menjadi imam sehinggalah Nabi saw memerintahkan Aisyah ra agar memberitahu ayahandanya, Abu Bakar ra untuk memimpin sahabat untuk menunaikan solat.[1]
Jadi, kesimpulannya, para sahabat tidak suka dikenali bahkan menjauhkan diri dari kemahsyuran. Kata mereka, Zaman kami, amal lebih utama dari ilmu (kerana para sahabat semuanya berilmu belaka). Adapun, kita pada hari ini, ilmu lebih utama dari amal. Maka kata syeikh, kepitlah buku atau kitab dan tadahlah kitab di hadapan fuqaha’ dan janganlah tertipu dihadapan khutaba yang hanya pandai bermain kata. Kata Nabi saw, Akan berlaku fitnah terhadap umat aku dimana tidak ada seorang pun yang akan terlepas dari fitnah it melainkan orang-orang yang telah dinugerahkan Allah Ta’ala dengan ilmu.
Said bin Jubir ra berkata, Apabila orang itu sentiasa merasakan dirinya perlu belajar maka ia tergolong dalam kelompok orang yang berilmu. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal sejuta hadith tetapi didalam poket bajunya sentiasa disematkan sebatang pen. Tujuannya ialah untuk mencatit apa yang didengarnya walaupun dari orang yang lebih rendah martabatnya. Adalah menjadi keaiban bagi seorang penuntut ilmu jika tidak membawa pen bersama. Kata Imam Ahmad bin Hanbal, aku akan membawa pen sehingga ke liang lahad. Sesungguhnya sejahil-jahil manusia ialah mereka yang merasakan ilmu mereka telah cukup.
Tokoh besar yang dikaitkan dengan ilmu tafsir dikalangan para sahabat ialah Ibnu Abbas. Ibnu Abbas (Abdullah bin Abbas) dilantik menjadi anggota kabinet kerajaan khlaifah Umar al-Khattab. Kehadiran beliau dalam barisan kepimpinan Umar tidak disenangi oleh sahabat besar lain yang lebih tua darinya[2]. Perkara itu disedari oleh Umar lalu Umar memanggil mereka semua menghadiri satu majlis ilmu. Dalam majlis itu, Ibnu Abbas menunjukkan kebijaksanaannya mentafsir ayat al-Quran hingga mencengangkan para sahabat lain. Semenjak dari itu para sahabat menghormati kewibawaan Ibnu Abbas walaupun usianya sangat muda pada waktu itu.

[1] Aisyah ra adalah isteri Rasulullah saw yang sangat bijaksana. Beliau tidak mahu memberitahu ayahandanya tentang hal itu kerana khuatir menjadi fitnah umat khususnya di kalangan orang-orang munafik yang beranggapan bahawa ayahandanya seorang yang tamakkan jawatan. Lalu Aisyah ra meminta Rasulullah saw memerintahkan Umar ra untuk memimpin sahabat. Kata Aisyah ra, Ayahandaku tidak sesuai menjadi imam kerana ia seorang yang mudah hiba. Rasulullah saw tahu apa yang tersirat di hati Aisyah ra. Lalu Nabi saw berkata, Engkau ini Aisyah ra sama seperti Zulaika (Nabi Yusuf as) yang mengalihkan perhatian orang lain. Wahai Aisyah, aku tahu bahawa engkau tidak membenarkan ayahmu menjadi imam bukan sebab dirinya mudah hiba tetapi sebab engkau bimbang orang akan berkata bahawa ayahmu seorang yang tamakkan jawatan. Apapun, Abu Bakar tetap dipilih untuk memimpin sahabat. Kata Umar ra, Kalau Abu Bakar ditujukkan Nabi saw untuk menguruskan hal agama (dengan menjadi imam), apatah lagi urusan dunia. Oleh itu, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah.

[2] Ramai diantara sahabat ini pernah berjuang didalam Perang Badar. Ahli Perang Badar mendapat perhatian Allah Ta’ala sehinggakan semua dosa mereka diampun Allah Ta’ala.

Tuesday, February 2, 2010

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang pada 31 Januari 2010
Bab Keperluan kepada tafsir
Abu Zar al-Harawi ra meriwayatkan kelebihan al-Quran daripada Sa’id ibn Jubir ra daripada Ibnu Abbas ra, beliau mengatakan,
Orang yang membaca al-Quran tanpa mengetahui pentafsirannya samalah dengan orang Arab yang tidak mengetahui syair
Sa’id ibn Jubir ra adalah murid kepada Abdullah ibn Abbas. Ramai anak murid Abdullah ibn Abbas menjadi ahli tafsir yang hebat-hebat (Abdullah ibn Abbas menjadi ahli tafsir terulung berkat doa Nabi saw keatasnya). Bagi orang Arab, tidak reti membaca syair atau tidak tahu bersyair adalah merupakan satu keaiban bagi mereka.
Mengetahui makna setiap lafaz al-Quran itu adalah sangat penting. Bahkan amat digalakkan mencari orang-orang yang saleh untuk menyembahyangkan jenazah supaya jenazah itu didoakan oleh mereka yang benar-benar mengetahui makna doa yang hendak dihadiahkan kepada si mati. Selain itu, kita juga disunatkan menyaksikan keadaan jenazah dan mendoakan jenazah atas segala kebaikan (apatah lagi jika jenazahnya dizahirkan kebaikannya)
Imam al-Baihaqi ra dan lain-lainnya meriwayatkan hadith marfu’[1] daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata,
I’rablah (tafsirlah) al-Quran dan perhatikan lafaz-lafaznya yang ganjil.
Ibnu al-Anbari ra meriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq ra, beliau berkata,
Mengi’rab satu ayat daripada al-quran lebih saya sukai daripada menghaal satu ayat daripadanya.
Ibnu al-Anbari ra mengetengahkan satu riwayat daripada Abdullah ibn Buraidah ra daripada salah seorang sahabat Nabi saw berkata,
Seandainya aku tahu, apabila aku telah bermusafir selama 40 malam barulah aku boleh meng’irab satu ayat dari al-Quran nescaya aku akan lakukannya.
Imam Syafi’i ra berkelana ke kampung orang-orang Arab Badwi untuk menimba kefahaman bahasa Arab yang asli. Hanya kampung orang Arab Badwi sahaja yang memahami dan menggunakan Bahasa Arab yang asli. Itulah sebabnya orang-orang Arab dibesarkan di kampung orang Arab Badwi. Tujuannya ialah untuk mempelajari Bahasa Arab yang asli. Keadaan ini samalah seperti Nabi saw ketika kecil dimana baginda saw disusu oleh wanita Bani Sa’ad dan dibesarkan di kampung itu. Kata Syeikh, ramai orang Mesir sendiri tidak boleh berbahasa Arab dengan bahasa Arab yang fasih. Satu-satunya kampung yang menggunakan bahasa Arab Quraisy di Mesir ialah Mahallah Abil Hayatim. Kampung ini merupakan tempat kelahiran ulama besar iaitu Ibn Hajar al-Haithami yang merupakan pengarang kitab Tuhfah. Selain kampung itu, ada satu lagi kampung yang berdekatan dengan Manufiyah yang mempunyai penduduk seramai 7000 orang dimana kesemuanya merupakan huffaz belaka.
Jika pendapat Imam Syafi’i bertembung dengan pendapat Imam Abu Hanifah dalam bab berkaitan dengan tafsir al-Quran, maka pendapat Imam Syafi’i lebih banyak dipakai ulama kerana beliau lebih memahami bahasa Arab dan mempelajari bahasa Aab asli yang mirip seperti bahasa al-Quran yang diturunkan. I’rab bukan setakat memahami struktur ayat kerana itu adalah zahirnya sahaja sedangkan i’rab yang sebenarnya ialah menghurai makna al-Quran itu sendiri. Para sahabat sangat mementingkan keperluan memahami ayat-ayat al-Quran. Satu kerugian kepada kita jika kita tidak faham kandungan al-Quran maka atas sebab itu kita hendaklah berusaha menghadirkan majlis-majlis ilmu dan berguru dalam bab ini. Pentingnya majlis ilmu seumpama ini sehingga wali Allah seperti Syeikh Soleh al-Jafari pernah merayu kepada orang ramai agar menghadiri majlis ilmu yang diadakannya.
Ibnu al-Anbari juga meriwayatkan daripada al-Sya’bi beliau menceritakan bahawa Umar ra pernah berkata,
Sesiapa yang membaca al-Quran lalu mengi’rabnya, baginya disisi Allah pahala mati syahid.
Al-Sya’bi merupakan guru kepada Imam Abu Hanifah. Sebelum bertemu al-Sya’bi, Imam Abu Hanifah tidak suka belajar walaupun beliau seorang yang sangat cerdik. Pada satu hari ketika beliau berjalan ke pasar, beliau bertemu dengan al-Sya’bi yang sedang mengajar di hadapan murid-muridnya. Al-Sya’bi berkata kepada Imam Abu Hanifah, Siapa ulama yang engkau pernah temui? Al-Sya’bi kemudiannya menyuruh Imam Abu Hanifah pergi duduk dengan ulama sebab menurutnya Imam Abu Hanifah berpotensi menjadi ulama besar. Pada satu malam, Imam Abu Hanifah bermimpi menggali maqam Nabi saw dan menyusun tulang-tulang Nabi saw. Beliau terjaga dari mimpinya dan kemudian duduk termenung. Beliau risau memikirkan mimpinya kerana beranggapan ia adalah mimpi yang buruk. Sehinggalah pada satu hari beliau didatangi oleh anak murid Ibnu Sirin[2] (tokoh yang sangat mahir dengan ilmu tafsir mimpi). Lalu anak murid Ibnu Sirin itu pun bertanya kepada Imam Abu Hanifah kenapa beliau bermenung sedemikian. Imam Abu Hanifah menceritakan perihal mimpinya. Anak murid Ibnu Sirin berkata, Sesungguhnya itu bukanlah petanda buruk sebaliknya engkau akan menjadi orang penting yang akan menyusun semula hadith-hadith Nabi saw. Semenjak dari itu, Imam Abu hanifah sentiasa melazimkan diri dalam majlis ilmu. Beliau pernah berguru dengan 4000 orang masyaikh. Beliaulah yang telah meriwayatkan hadith yang berbunyi, “Menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap orang Islam” dengan hanya satu perantaraan sahaja untuk menyampaikan dirinya kepada Rasulullah saw iaitu menerusi Anas bin Malik.
Sebelum menutup majlis, sekali lagi Syeikh menekankan kepentingan berguru. Kata Syeikh, sebesar-besar musibah adalah menjadikan kitab sebagai syeikh. Ilmu disisinya seolah tiada yang kemudiannya mengheret si pembaca itu ke lubuk kesesatan. Asal kesesatan ialah apabila mereka bersandar kepada kitab tanpa faham huraian kitab (hanya membacanya sahaja tanpa menghadiri majlis ilmu). Selanjutnya kata syeikh, Jangan ambil ilmu dari orang yang lututnya tidak pernah berlaga dengan lutut para ulama. Sedangkan Nabi saw berlaga lututnya yang mulia dengan lutut Jibril as ketika menghuraikan makna Islam, Iman dan Ihsan.
[1] Marfu’ bererti hadith yang disandar terus kepada Nabi saw. Selain dari marfu’ ialah mauquf dan mursal. Mauquf adalah hadith yang disandarkan kepada sahabat bukannya terus kepada Nabi saw. Sesuatu hadith disebut mauquf apabila si periwayat tidak menyatakan kalimah “Aku mendengar dari Nabi saw”. Mursal bererti hilang dua perawi iaitu sahabat dan Nabi saw dimana hadith tersebut disandarkan terus kepada tabi’in. Hadith mursal yang sanadnya terputus ditolak oleh Imam Syafi’i kecuali hadith yang diriwayat oleh Said bin Musayyib (nama asal bapanya ialah Musayyab). Imam Syafi’i mengenali peribadi Said bin Musayyib maka dengan sebab itu beliau langsung tidak meragui hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyib. Said bin Musayyib adalah seorang ahli ibadah yang pintar dan hebat. Menurut khadamnya, Said bin Musayyib akan sentiasa berada di saf hadapan setiap kali azan dikumandangkan. Said bin Musayyib adalah penghulu tabi’in di Madinah dan beliau sezaman dengan Sa’id bin Jubir.
[2] Anak murid kepada Anas bin Malik

Sunday, January 31, 2010

Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang selepas solat asar 31 Januari 2010
Kalam Hikmah Abi Madyan
“Tiada bermanfaat suatu amalan yang disertai sifat takabbur, tidak memudharatkan pahlawan yang mempunyai sifat tawadhu’. Jika Allah mendirikan kamu nescaya akan tetap pekerjaan kamu. Jika kamu berdiri dengan sendiri, nescaya kamu akan gugur (tidak kekal). Ya Allah! Fahamkanlah kami tentang-Mu kerana sesungguhnya kami tidak memahami tentang-Mu melainkan dengan pertolongan-Mu”
Apabila muazzin mengumandangkan azan, hendaklah kita menyahut dan menyegerakan langkah ke masjid kerana kita tidak akan berjaya tanpa pertolongan Allah Ta’ala. Kita tidak ada kekuatan jika tidak ada keizinan dari Tuhan. Amatlah jelik jika kita boleh mengerjakan perbuatan lain tetapi pada masa yang sama tidak mampu hendak menunaikan solat atau menghadiri majlis ilmu. Salah satu hizib yang menjadi amalan bacaan para masyaikh ialah hizib saifi. Hizib itu dinamakan sedemikian kerana “ketajaman” hizib ini seumpama pedang. Hizib ini sangat mujarab kepada si pengamalnya. Bagaimanapun disebabkan ‘‘ketajamannya’’ itu maka ia tidak boleh diamalkan sebelum mendapat keizinan dari para masyaikh yang mengamalkannya. Dalam hizib yang disusun oleh Saiyidina Ali bin Abi Talib ini, beliau berkata, “Aku bebaskan diriku dari keupayaanku dan memohon kekuatan dengan kemuliaan Engkau, kerana tidak ada kekuatan melainkan Engkau, Ya Allah.” Kata Syeikh, hizib ini adalah asas pertama bagi orang yang suluk yakni berjalan kepada Allah Ta’ala. Wali Allah, Syeikh Soleh al-Ja’fari yang merupakan Imam masjid Al-azhar adalah merupakan seorang ahli kasyaf. Beliau mengamalkan hizib ini. Pada satu hari seorang masyaikh Syeikh bernama Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani berhajat hendak bertemu dengan Syeikh Soleh untuk meminta amalan hizib itu. Tetapi dalam hatinya beliau berkata, “Aku berasa sungguh malu hendak memintanya kerana malu aku hendak meminta dari seorang wali Allah”. Syeikh Soleh yang dikurniakan ilmu kasyaf dapat membaca isi hati Syeikh Muhammad Ibrahim. Katanya, “Sesungguhnya Saiyidina Ali telah mewasiatkan amalan ini kepada ali keluarganya”. Syeikh Ibrahim apabila mendengar kata-kata Syeikh Soleh berasa sangat lega kerana beliau berketurunan Saiyidina Ali menerusi jalur Saiyidina Hussain. Tentang hizib ini, Imam Abu Hasan asy-Syazuli menganjurkan kita beramal dengannya kerana terlalu banyak khasiat yang terkandung didalamnya. Berbalik kepada cerita Syeikh Soleh wali Allah yang dikurniakan ilmu kasyaf, pernah suatu hari seorang daripada anak muridnya membaca surah al-Kahfi lalu bertemu kepada ayat yang menceritakan keadaan dimana anjing Ashabul Kahfi berada dalam keadaan duduk menghamparkan tangannya. Anak muridnya cuba untuk membayangkan keadaan anjing ini menghamparkan tangannya tetapi tidak berjaya lalu berhajat bertemu Syeikh Soleh. Syeikh Soleh pada ketika itu sedang mengajar. Apabila terpandang kelibat anak muridnya itu, beliau secara spontan mengubah tajuk perbahasan dengan menceritakan tentang bagaimana keadaan anjing itu duduk sambil menghamparkan tangannya. Syeikh Soleh memberikan jawapan tanpa anak muridnya itu sempat bertanya soalan kepadanya. Kata Syeikh, Syeikh Soleh ini adalah wali Allah yang sangat alim dan sentiasa melazimkan diri dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran dan Hadith. Kata Syeikh Soleh, “Sahih Bukhari disisi aku seumpama surah al-Fatihah.”
Selanjutnya kata Ibn Atoillah didalam Hikamnya, Diantara tanda bersandarnya orang-orang dengan amal iaitu bersandar dengan solat, zikir, umrah dan haji dan sebagainya ialah kurangnya pengharapannya kepada Allah ketika dia melakukan maksiat.
Maksudnya mereka menyangka mereka diterima Allah disebabkan amal mereka padahal Allah Ta’ala tidak memandangkan amal mereka kerana Allah Ta’ala tidak berkendakkan amal mereka. Mereka lupa bahawa Allah Ta’ala mengurniakan rahmat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Banyak kesalahfahaman berlaku pada masa ini antaranya ialah seperti
1. Mengkiaskan alam roh dengan alam jasad
Ada orang yang tidak memahami perjalanan alam roh dengan perjalanan alam jasad. Orang yang tidak memahami perkara ini terhijab dengan kebendaan. Justeru akal fikiran mereka dikuasai oleh logik semata-mata. Alam roh berbeza dengan alam jasad. Jika alam jasad terbatas mengikut masa dan tempat, alam roh adalah sebaliknya. Roh bebas dan boleh pergi ke mana sahaja. Sebab itu, ulama berkata roh para alim-ulama akan hadir bersama apabila kitabnya dibaca. Golongan yang menyanggah perjalanan alam roh ini agaknya lupa bagaimana malaikat maut dapat mencabut nyawa ramai manusia dalam sekelip mata secara serentak di tempat yang berbeza-beza. Adakah hal ini dapat dibayangkan oleh akal logik semata-mata?
2. Menyamakan sifat makhluk dengan sifat Allah
Ada segelintir puak yang gagal membezakan sifat makhluk dengan sifat Allah. Kita hendaklah tahu membezakan sifat makhluk dan sifat Allah. Sebab itu kita kena pohon kepada Allah agar Allah Ta’ala memahamkan kita tentang hakikat ketuhanan supaya kita tidak tersalah faham. Kata Saiyidina Ali, “Aku kenal Tuhan dengan Tuhanku (maksudnya kalau Allah tidak mengurniakan kefahaman tentang hakikat-Nya maka kita tidak akan dapat memahaminya)”. Pendidik adalah sangat penting dalam memahami hakikat ketuhanan. Sebab itu kita kena berguru. Kata Saiyidina Ali, “Kalau tidak ada pendidik maka tidak ada orang yang mendidik aku tentang tuhanku”. Allah Ta’ala memiliki nama khusus bagi-Nya. Ada sifat Allah yang tidak boleh disifatkan kepada manusia iaitu nama Allah yang berkaitan dengan kebesaran dan keagungan. Sebaliknya sifat Allah yang berkaitan dengan akhlak boleh disifatkan kepada manusia seperti al-Latif, al-Rahman dan sebagainya. Ada orang banyak beramal tetapi tetap tidak mengenal Tuhan sebaliknya ada orang yang amalannya tidak seberapa tetapi mengenal Tuhan sehingga Allah mengangkat mereka ke darjat tertinggi. Ada dikalangan wali-wali Allah asalnya orang-orang fasiq tetapi kemudiannya diangkat Allah menjadi orang-orang soleh. Antaranya ialah seperti Ibrahim bin Adham dan Fudhail bin Iyadh.
3. Tidak tahu membezakan batas-batas Islam dengan batas kuffar
Ada orang Islam pada masa ini yang suka membesar-besarkan pakaian kuffar. Di al-Azhar sendiri, ramai ulama disana berpakaian moden dari mengenakan jubah.
4. Suka mengekalkan tradisi budaya Barat
Masyarakat pada masa ini suka menggunakan bahasa Inggeris dan cenderung kepada gaya Barat. Kata Syeikh, belajar-belajarlah berbahasa Arab untuk mengambil sunnah Nabi saw. Mulakanlah dengan bahasa perbualan yang mudah.

Hikam Ibn Atoillah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Pusat Pengajian al-Jazari Bukit Indah Ampang pada 29 Januari 2010
Seorang lelaki bertanya kepada Junaid as;
Apakah ilmu yang paling berguna? Jawabnya, “Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah swt dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu.”
Kita perlu mencari ilmu yang menyampaikan diri kita kepada Allah. Ilmu yang dipelajari perlu diamalkan. Dalam ilmu tasawwuf, ilmu itu perlu diamalkan kerana tanpa amalan, maksud ilmu tidak akan sampai kedalam diri. Bacalah sebanyak mana buku pun tetapi jika tidak beramal maka ia tetap tidak akan berhasil. Orang yang membaca kitab zikir tetapi tidak mempraktikkannya maka sia-sia sajalah kitab yang dibacanya itu. Ahli tasawuf mencari ilmu disebelah siangnya dan beramal disebelah malamnya. Adab dalam mempelajari sesuatu ilmu ialah kita tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya ilmu kita masih belum cukup dan mempelajari sesuatu ilmu itu hendaklah dilakukan secara bertahap (peringkat demi peringkat).
Kata Syeikh, ilmu lain seperti ilmu fiqh tidak boleh dipelajari jika diri tidak bersedia dengan ilmu itu. Ini adalah kerana ilmu ini akan mendatangkan bala kepada si penuntutnya jika ia tidak bersedia menguasai dirinya di landasan yang betul. Orang yang tidak bersedia dengan ilmu ini akan didatangkan sifat takabbur dalam diri kerana apabila mempelajari ilmu ini, ia akan sentiasa berasa dirinya lebih hebat dari orang lain. Apatah lagi apabila ia berjaya mematahkan hujah atau debat orang lain apabila mengeluarkan sesuatu hukum atau pandangan lalu ia sebenarnya telah dikuasai oleh nafsu dan syaitan dan mula bermegah-megah dengan dirinya sendiri. Imam Malik jika dalam soal ilmu fih amat pantang sekali ditanya oleh orang lain yang memulakan soalan dengan “Jika diandaikan….”. Kata Imam Malik, “Inilah kerja ahli fiqh yang suka melebih-lebihkan dalil-dalil dan andaian.” Tambah Imam Malik, “Aku lebih suka jika yang bertanya itu melebihkan zikir dan bertasbih dari bertanya soalan yang bukan-bukan.”
Belajar fiqh memerlukan kekuatan mental untuk mengelakkan diri dari dipengaruhi oleh sikap takabbur. Selain itu, orang yang belajar ilmu fiqh perlu berhati-hati ketika mengeluarkan pendapat dan tidak boleh dikuasai denganpemikiran mereka sendiri yang kelak boleh membinasakan umat. Sebab itu disarankan agar kita membuat persiapan diri untuk belajar ilmu mengenal Allah terlebih dahulu. Selain ilmu fiqh, ilmu hadith juga bukanlah ilmu yang mudah untuk dikuasai. Bahkan dikalangan para sahabat bukan semua sahabat yang berjaya menghimpunkan kesemua hadith Nabi saw. Ini adalah kerana ada sahabat yang hanya bersama Nabi saw disebelah siang sahaja manakala ada sahabat yang berada bersama Nabi saw pada masa-masa tertentu sahaja. Dikalangan isteri baginda saw, Aisyah ra[1] adalah merupakan periwayat hadith dikalangan wanita yang paling banyak meriwayat hadith. Walaubagaimanapun, hadith yang diriwayat Aisyah ra kebanyakannya adalah berkenaan dengan pekerjaan dan pengucapan Nabi saw ketika berada dirumah bukannya di luar rumah. Justeru, ada hadith ketika Nabi saw berada di luar rumah tidak diriwayat oleh Aisyah ra. Rasulullah saw selepas bermusafir dan pulang ke Madinah tidak akan terus kembali ke rumahnya sebaliknya akan menunaikan solat terlebih dahulu di Masjid Nabawi dan berjumpa dengan para sahabatnya. Setelah menyelesaikan urusan umatnya, barulah baginda saw pergi kerumah anaknya, Fatimah ra untuk bertanyakan khabar mereka sekeluarga.[2] Selepas itu, barulah baginda saw berjumpa dengan para isterinya. Contoh bagaimana ada hadith yang pernah didengar oleh sesetengah sahabat tetapi tidak pada sahabat lain ialah kisah Abu Bakar ra dengan Fatimah ra. Selepas Nabi saw wafat, Fatimah datang menuntut harta peninggalan Rasulullah saw dari Abu Bakar. Abu Bakar menolak permintaan Fatimah menyebabkan Fatimah terkilan dan diriwayatkan oleh ahli sejarah bahawa semenjak peristiwa itu Fatimah tidak pernah bertegur sapa dengan Abu Bakar sehinggalah beliau wafat enam bulan selepas kewafatan ayahandanya, Rasulullah saw. Abu Bakar tidak memenuhi permintaan Fatimah kerana beliau patuh kepada hadith Nabi saw yang menyatakan bahawa harta yang ada tidak boleh diberikan kepada ahli keluarganya. Sabda Nabi saw, “Tidak boleh waris dan mewarisi dan apa yang ditinggalkan adalah sedeqah.” Kenapa Nabi saw menyebut sedeqah? Ini adalah kerana Nabi saw hanya “wafat” pada zahirnya sedangkan hakikatnya Nabi saw tidak wafat sebaliknya hanya berpindah dari alam fana’ kea lam baqa’. Inilah perkara yang gagal difahami oleh sesetengah orang. Sebab itu, tidak ada iddah bagi isteri-isteri Nabi saw dan mereka kekal menjadi isteri Nabi saw selama-lamanya. Mereka diharamkan berkahwin selepas kewafatan Nabi saw kerana Nabi saw bukannya “wafat” tetapi hanya “berpindah”. Kewafatan Nabi saw tidak sama seperti manusia biasa. Jasad Nabi saw tidak terjejas bahkan berbau harum walaupun selepas dua hari baginda saw meninggalkan alam fana’.[3] Tentang hadith tersebut, Fatimah tidak pernah mendengarnya sebaliknya Abu Bakar telah diwasiat oleh Rasulullah saw. Walaubagaimanapun, kisah ini telah dijadikan hujah oleh puak syiah yang menyatakan bahawa sahabat telah mengkhianati keluarga Rasulullah saw.
Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawadhu’, sentiasa bermujahadah, menjaga sir (rahsia), muraqabah zahir, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntutnya, memencilkan dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara’, memuliakan wali-wali Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.
Kata Ibn Atoillah, Sesiapa yang melihat rahsia hamba Allah tetapi mereka belum berakhlak dengan akhlak Rahman maka apa yang dilihat itu akan mendatangkan fitnah dan bala kepada mereka yang belum diketahui akhir hujung mereka.
Kata syeikh, orang yang suka mendoakan kebinasaan orang lain adalah orang yang belum mencapai tahap akhlak Rahman walaupun dia seorang ulama besar dari segi zahirnya. Mana mungkin seseorang yang bergelar ulama tergamak mendoakan kebinasaan orang lain sedangkan beliau sendiri belum pasti bahawa kemungkinan orang yang didoakannya itu akan bertaubat kemudian hari atau bertaubat sebelum ia mati.
Wali-wali Allah kebanyakannya kasyaf. Mereka dibukakan hijab oleh Allah Ta’ala tetapi mereka tidak pernah mendoakan kebinasaan orang lain sebaliknya membantu memberi peringatan kepada mereka. Seorang wali Allah bernama Syeikh Abdul Salam al-Fadhl al-Hasani ketika sedang membaca khutbah terpandang seorang lelaki muda masuk kedalam masjid. Apabila kelibat lelaki itu masuk kedalam masjid, Syeikh Abdul Salam terus menukar tajuk topik khutbah kepada peringatan tentang keutamaan mengerjakan solat subuh dan dosa sekiranya meninggalkan solat subuh. Rupanya Syeikh Abdul Salam dapat membaca isi hati pemuda itu yang telah terlajak waktu subuh hari itu.
Tentang perihal melihat aib orang lain, Nabi saw pernah berdoa agar aib umatnya tidak diperlihatkan kepada orang lain sebaliknya cukuplah hanya Allah Ta’ala, baginda saw dan si pelaku itu sahaja yang mengetahuinya. Lalu Allah Ta’ala berfirman, Sesungguhnya mereka adalah umat engkau dan mereka adalah hamba Aku. Oleh itu, ia (aib) adalah antara Aku dengan dia sahaja sebab Aku yang paling kasih pada mereka. Dengan sifat Rahman, Allah Ta’ala tidak menzahirkan aib pada orang lain.
Tokoh-tokoh besar tasawwuf bukanlah orang yang meninggalkan urusan dunia. Junaid al-Baghdadi yang digelar penghulu ahli tasawwuf yang wafat ketika sedang membaca al-Quran adalah seorang pengeluar kaca yang sangat terkenal di seluruh Baghdad. Beliau membekalkan kaca untuk keperluan penduduk Baghdad pada waktu itu. Pekerjaan beliau ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak memencilkan diri dari masyarakat dan tasawwuf itu juga bukanlah dengan hanya duduk bertasbih sebaliknya urusan dunia dan akhirat itu perlu diseimbangkan. Sebelum beliau memulakan pekerjaannya, beliau akan menurunkan sedikit tirai di biliknya bagi membolehkan dirinya menunaikan solat sunat terlebih dahulu. Lazimnya beliau akan menunaikan solat sebanyak 400 rakaat sebelum memulakan kerjanya.
Kata syeikh sebelum mengakhiri majlis, apabila kita sayang pada seseorang itu maka gugurlah adabnya. Nabi saw sangat sayang kepada hamba yang juga merupakan anak angkatnya iaitu Zaid bin Harithah. Hubungan antara Nabi saw dengan Zaid sangat rapat kerana Nabi saw sangat sayangkan kepadanya. Begitu juga dengan anak Zaid iaitu Usamah dimana Nabi saw sangat sayang kepadanya. Kata Syeikh, Usamah ini kulitnya hitam sedangkan ayahandanya berkulit putih. Dalam satu peristiwa Nabi saw hendak bertolak ke Mudzalifah, Nabi saw tidak berangkat selagi Usamah tidak menunjukkan mukanya. Apabila Usamah muncul barulah Nabi saw bertolak ke Mudzalifah. Ketika Usamah muncul, ada yang berbisik-bisik menyatakan kenapa Rasulullah saw beria-ria menunggu budak kecil yang berkulit hitam ini. Hal itu telah menyinggung perasaan Rasulullah saw kerana Rasulullah saw sangat menyayangi keluarga Zaid. Sebab itu kata Syeikh, sesiapa yang membenci kekasih Kekasih Allah maka dia membenci Kekasih Allah. Oleh itu berhati-hatilah dan jagalah percakapan kita kerana orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya akan diazab di dunia dan di akhirat.

[1] Aisyah ra merupakan wanita yang paling cerdik dizamannya. Nabi saw menggelarnya ‘orang yang diberi taufik oleh Allah Ta’ala”
[2] Adab yang diajar oleh Nabi saw iaitu seorang suami/bapa hendaklah mengambil berat terhadap anaknya terlebih dahulu baru isterinya kerana hubungan bapa dengan anak tidak akan terputus sampai bila-bila
[3] Nabi saw wafat pada hari Isnin dan dimaqaman pada hari Rabu