Sunday, June 27, 2010

Syarah Minhajul Abidin - Tuan Guru Haji Ibrahim al-Fathani

*Catatan bebas ana di Sungai Petai, Perak pada 6 Jun 2010
Transliterasi halaman 101
Kemudian kelakuan itu bahawasanya dua jalan terbentang keduanya lagi membinasakan keduanya dan binasalah engkau serta orang yang binasa dan terlebih banyak yang menyeru kepadanya dan terlebih mudah perjalanannya daripada jalan adil kerana bahawasanya engkau apabila engkau tilik pihak al-aman yakni jalan aman nescaya engkau lihat daripada keluasan rahmat Allah Ta’ala dan banyak kurnianya dan sehinga kemurahan-Nya barang yang tiada meninggalkan dikau takut maka berserah kamu atas yang demikian itu segala dan jinak dan sentosa kamu dan jika engkau tilik daripada pihak takut engkau lihat daripada besar siasah kerajaan Allah Ta’ala dan banyak haibah dan halus pekerjaan-Nya dan sehingga mengira-ngirakan serah aulianya dan asfianya barang yang tiada hampir tinggal sertanya harap maka putus asa segala dan qunut ia daripada rahmat-Nya maka berkehendak tiba-tiba bahawa jangan engkau tilik kepada keluasan rahmat hanya hingga engkau serah diri dan sentosa dan tiada pula kepada besar besar hebatnya dan banyak tuntutannya hanya hingga jadi qunut dan putus ia tetapi engkau tilik kepada ini dan kepada ini sekaliannya dan engkau ambil daripada ini setengahnya dan daripada ini setengahnya maka engkau susunkan antara keduanya jadikan satu jalan yang sangat halus dan engkau berjalan didalamnya supaya sejahtera maka keadaan bahawasanya jalan raja’ semata-mata mudah dan luas dan kesudahannya membawa kepada aman dan kerugian dan jalan khauf yang semata-mata mudah lagi luas lagi lebar dan kesudahannya membawa akan dikau kepada seksa dan jalan yang adil itu antara keduanya iaitu jalan khauf dan raja’ dan jikalau ada ia jalan yang harus lagi sukar maka bahawasanya jalan yang sejahtera dan jalan yang nyata membawa kepada ghufran dan ihsan kemudian kepada jinan dan ridhwan dan berjumpa akan Malik al-Rahman Subhanawa Ta’ala tiadakah engkau dengar firman Allah Ta’ala pada abnak yakni anak-anak jalan ini dengan maksudnya, meminta mereka itu akan tuhan mereka itu takut dan loba dan kemudiannya firman-Nya dengan maksudnya, maka tiada mengetahui oleh seorang akan barang yang sembunyikan bagi mereka itu daripada tetap mata balasan dengan barang yang adalah mereka itu mengerjakan daripada taat dan ibadah maka tilik olehmu akan jumlah ini sungguh-sungguh dan ijtihad dan jaga bagi pekerjaannya maka bahawasanya tiada dapat dengan mudah.
Syarah (Catatan bebas ana)
Ada 3 jalan yang terbentang di hadapan manusia iaitu
1. Jalan aman (jalan jur’a) – golongan ini berani melakukan apa sahaja mengikut nafsu. Mereka berasa aman melakukan maksiat kerana merasakan ada harapan mendapat rahmat Allah
2. Jalan al-yaqsu (putus asa) – merasakan tidak ada harapan lagi untuk mendapat rahmat dari Allah Ta’ala. Golongan ini sentiasa berada di dalam kerugian kerana mudah berputus asa
3. Jalan khauf dan raja’ – jalan takut dan harap. Kata Imam al-Ghazali, jalan ini berada antara dua jalan iaitu jalan aman dan jalan putus asa. Kalau seseorang itu melencong samada ke kiri atau kanan alamat binasalah ia. Jalan ini berada di jalan yang lurus.
Kedua-dua jalan ini iaitu jalan aman dan jalan putus asa membinasakan manusia. Apapun jalan ini lebih luas dan lebih mudah memperdayakan manusia. Jalan aman terbentang luas sehingga manusia tidak ada perasaan takut sedikit pun. Bagi golongan ini, mereka tidak sedikit pun takut melakukan kemungkaran kerana rahmat Allah tetap diturunkan kepada mereka. Allah memberi rahmat dan kurnia kepada sesiapa sahaja termasuk orang kafir. Tetapi golongan aman ini terlupa bahawa hisab Allah tidak mengenal sesiapa pun termasuk para wali dan orang-orang yang terpilih. Jika orang-orang terpilih pun dihisab, apatah lagi kita yang kerdil ini. Perihal hisab ini dilihat oleh kelompok yang berada dijalan khauf. Orang yang berada di jalan ini akan merasa terlalu takut kerana setiap perkara walau sebesar zarah pun akan tetap dihisab. Orang yang melihat dari sudut khauf akan merasa seperti tidak ada harapan kepada Allah Ta’ala kerana dosanya yang terlalu banyak. Walaubagaimanapun, terlalu takut kepada seksa Allah juga boleh membinasakan kerana ia boleh membawa kepada sifat putus asa. Oleh itu, ambillah jalan tengah (adil) iaitu jalan khauf dan jalan raja’. Orang yang berada pada jalan ini tidak akan merasa bangga dengan amalannya dan tidak pula berani hendak melakukan dosa. Walaupun jalan ini sangat sukar tetapi jalan inilah yang paling selamat kerana ia membawa kepada jalan ghufran kepada Allah Ta’ala. Walaupun melakukan banyak dosa, kita hendak sentiasa memperbanyakkan istighfar dan berharap Allah akan menerima taubat kita.
Ulama meletakkan dua perkara ini (jalan khauf dan jalan raja’) menjadi satu. Kata ulama,
1. Takut sahaja tanpa harap tak jadi
2. Tak takut dan harap saja pun tak jadi.
Nikmat dunia ini sedapnya hanya pada permulaannya sahaja. Kereta yang paling mahal dalam dunia pun, nikmatnya hanya ketika mula-mula pakai sahaja. Sedangkan nikmat akhirat adalah nikmat yang indah dipandang dan semakin lama semakin menggembirakan dari sehari ke sehari tanpa rasa jemu. Contoh nikmat akhirat adalah perasaan orang-orang yang sentiasa taat mengerjakan amal ibadah kepada Allah Ta’ala. Ada sebahagian dari hamba Allah yang bangun tengah malam, beribadah dan membri sumbangan kepada jalan Allah. Mereka berasa gembira melakukan perkara ini kerana terbit dari dalam perasaan mereka satu nikmat yang dianugerahi Allah Ta’ala. Walaupun Allah menyebut banyak perkara nikmat di dalam al-Quran tetapi sebenarnya banyak lagi nikmat yang Allah sembunyikan dan salah satunya adalah perasaan orang-orang yang dianugerahi Allah ini.
Kata ulama, apa jua amalan yang dianjur dalam agama mesti kita tunaikan. Ada yang amalan yang sangat mudah untuk dikerjakan tetapi itupun tidak mampu kita buat. Kita kenalah teliti balik segala amalan kita. Kena raja’ dalam hal ini. Sifat raja’ akan menggerakkan semangat kita untuk beribadah seperti mengerjakan sunat rawatib, wirid dan sebagainya. Harapan semata-mata tidak memadai tetapi perlu disertakan dengan amalan. Seseorang berangan-angan hendak menjadi jutawan tetapi ia hanya menanam sekitar 3 atau batang pokok sahaja maka tidak mungkin ia boleh menjadi jutawan.
Segala nikmat yang Allah sembunyikan tidak akan dapat dengan mudah. Kata Sayyidina Umar ra, “Jangan kamu harap hujan akan menurukan emas”. Untuk mendapat nikmat akhirat, kita kenalah berusaha dengan mengerjakan amal ibadah. Bagaimana hendak berjumpa Nabi saw jika amalan selawat tidak dikerjakan? Bagaimana hendak berjumpa Allah Ta’ala jika segala suruhan Allah tidak ditunaikan?

Syarah Bughyat at-Tulab - Dato Haji Salleh Haji Ahmad

*Catatan bebas ana di Sungai Petai, Perak pada 6 Jun 2010
Transliterasi teks halaman 62-63
Keduanya, syarat tayammum itu hendak adalah tanah tayammum itu suci menyucikan tiada dipakai lagi pada fardhu maka tiada memadai tanah yang musta’mal iaitu tanah yang bertaburan tatkala menyapu ke mukanya dua tangannya atau tanah yang tinggal pada anggota yang disapunya yakni nisbah kepada anggota yang lain bersalahan juga pada dirinya jika adalah lagi suku yang belum rata memadai sapu dengan dia. Dan jikalau mengangkatkan akan tangan yang menyapu itu daripada yang disapunya dahulu daripada rata menyapu kemudian berkehendak bahawa dikembalikan dia kerana meratakan yang tinggal harus pada qaul yang asah kerana belum lagi dinamakan tanah musta’mal nisbah pada anggota itu selama lagi berkehendak kepadanya adapun nisbah pada anggota yang lain jadi musta’mal tanah yang tinggal pada anggota yang menyapu dan pada disapunya. Maka difaham daripada kata ini yakni menghingga tanah musta’mal pada perkara yang tersebut itu jikalau berkehendak seorang atau jemaah tayammum beberapa kali daripada tanah yang sedikit yang pada umpama perca atau lainnya harus sekira-kira tiada gugur suatu daripada tanah musta’mal itu padanya seperti harus seorang mengambil air sembahyang beberapa kali daripada bejana yang satu.
Ketiganya, daripada syarat tayammum itu adalah tanah itu yang tiada bercampur dengan suatu daripada tepung atau kapur atau za’faran jikalau sedikit sekalipun kerana menegahkan dia sampai tanah itu kepada anggotanya sebab mendinding ia akan dia.
Keempatnya, daripada syarat tayammum itu hendak ia menuntut air dahulu daripada tayammumnya dan jikalau dengan diizinkan seorang yang kepercayaan maka tiada memadai tuntut seorang baginya dengan tiada izinnya dan tuntut orang fasiq melainkan ghalib zannya akan benarnya dan memadalah yang diizinkan menuntut air itu seorang bagi orang yang banyak. Dan membangkitkan segala jemaah perhimpunan yang banyak seorang yang kepercayaannya menuntut bagi mereka itu memadalah. Dan lagi disyaratkan adalah tuntutnya itu di dalam waktu dengan yakin maka tiada memadai jika syak akan masuk waktu dan jikalau benar ia masuk waktu pada hakikatnya sekalipun (tetapi sah) izinnya itu dahulu daripada waktu disuruh menuntut di dalam waktu atau ia itlaq jua dan jika ia suruh menuntut dahulu daripada waktu tiada memadai izinnya itu dan jikalau menuntut wakilnya didalam waktu sekalipun (hasil) menuntut air ini jika ada yakin ia pada tempat itu ketiadaan air maka harus ia tayammum dengan ketiadaan menuntut lagi kerana ketiadaan faedah dan jikalau tiada yakin akan ketiadaan seperti diharuskan adanya maka wajib menuntut akan dia dan jikalau dengan diizinkan kepada seorang akan gantinya bagi tiap-tiap berkehendak tayammum di dalam waktu pada tiap-tiap tempat yang diharus akan adanya padanya daripada rihlahnya dan pada taulannya yang dibangsakan bersama-sama dengan dia diratakan seperti menyeru ia di dalam mereka itu siapa-siapa yang ada syaratnya air yang dimurahkan dengan dia dengan memberi atau jual atau pinjam atau lainnya maka jikalau tiada pada mereka itu maka hendaklah ditilik pada kelilingnya pihak kanan dan kiri hadapan dan belakang hingga kepada had ghaus
[1] yakni sepelihat mata jikalau ada tempat itu sama rata dan jika ada tempat itu tinggi rendah hendaklah ia pergi kepadanya kepada hingga didengar suara teriak akan mereka itu di dalam hingar binger maka jika tiada dapat akan air tatkala itu harus tayammum ia. Dan jikalau diketahui akan ada bersatu tempat yang sampai akan dia oleh orang yang musafir bagi hajatnya seperti mengambil kayu atau rumput maka ini had al-ba’di yakni jauh nescaya wajib menuntut akan dia daripadanya jika aman atas dirinya dan hartanya dan anggotanya melainkan harta atau ikhtisas yang wajib dibuangkan dia air taharahnya maka tiada disyaratkan amannya tetapi disyaratkan hendak aman ia daripada keluar waktu dan jikalau tiada maka tiada wajib menuntut dia bersalahan jika ada sertanya air dan jikalau mengambil wudhu dengan dia nescaya keluar waktu maka tiada harus ia tayammum kerana ia dapat air. Maka disyaratkan sah tayammum menuntut air dahulu daripada tayammum jikalau tayammum sebab ketiadaan air. Adapun jika tayammum sebab sakit maka tiada wajib padanya menuntut air kerana tayammumnya itu kerana sakitnya bukan kerana ketiadaan air dan barang yang pada maknanya daripada takut sebab sejuk dan umpamanya.
Kelimanya, syaratnya yakin pada tempat itu tiada air seperti yang telah tersebut dahulu maka tiada disyaratkan lagi padanya menuntut air.
Keenamnya, daripada syarat tayammum ada uzur daripada sakit atau ketiadaan air.
Ketujuhnya, syaratnya Islam orang yang tayammum itu seperti bagi barang yang telah terdahulu pada wudhu’ melainkan tayammum pada perempuan yang kitabiah daripada haidnya atau umpamanya supaya menghalalkan bagi suaminya atau penghulunya samada Islam atau kafir maka sahlah tayammumnya dan jikalau kafarah sekalipun kerana darurat.
Syarah (catatan bebas ana)
1. Tuan Guru memaklumkan bahawa isi kandungan kitab ini sangat halus (terperinci), oleh itu hendaklah beri sepenuh perhatian terhadap perbahasan atas isi kitab ini.
2. Tayammum adalah cara wudhu’ ketika darurat sahaja.
3. Tayammum untuk satu fardhu sahaja. Tidak ada istilah ‘tayammum simpan’. Contohnya, tayammum tidak boleh dilakukan pada pukul beberapa jam sebelum sembahyang zohor. 4. Tayammum hanya boleh dilakukan bila masuk waktu sahaja dan hanya boleh digunakan untuk fardu (waktu) itu sahaja.
4. Usaha untuk mencari air perlu dilakukan sebelum boleh bertayammum. Kalau sebab sakit (tidak boleh terkena air), maka boleh terus bertayammum tanpa mencari air.
5. Ibadah perlu disertakan dengan niat. Sebab itu orang kafir tidak sah ibadatnya kerana tidak ada niat.

[1] Sekadar yang mendengar jeritan kita

Syarah Aqidatun Najin - Dato Mufti Haji Hassan Ahmad

*Catatan bebas ana di Sungai Petai, Perak pada 6 Jun 2010
Transliterasi teks halaman 133
Dan hendaklah engkau mengikut bagi haq dan murad dengan haq itu Allah swt kerana bahawasa haq itu satu ghadar pada segala namanya Ta’ala erti mengikut bagi agama haq dan ihtimal(kemungkinan) bahawasa murad ada dengan dia segala hukum yang sebenar dan tiada tersembunyi atas engkau hai orang yang diberi taufik bahawasa engkau tiada ada mengikut bagi haq melainkan apabila adalah engkau berpegang dengan dia mengikut bagi awamirnya (jamak amru yang bermaksud perintah) lagi manjauhkan nawahinya (jamak larangan). Telah berfirman Allah Ta’ala dengan maksudnya, Dan barang yang mendatang akan kamu oleh Rasul maka kerjakan oleh kamu akan dia dan barang yang menegah ia akan kamu daripadanya maka tertegah oleh kamu. Berkata Ibn Ruslan didalam Zubadnya[1],
Maka tiap-tiap barang yang telah menyuruh ia akan dia dikerjakan dia dan tiap-tiap barang yang menegah ia daripada mengerjakan dia dijauhkan dia .
Maka sayugia bagi orang yang mempunyai hemah yang tinggi itu menuntut ia akan keredhaan Allah dengan bersegera ia mengerjakan tiap-tiap barang yang disuruh Allah dan menjauhkan tiap-tiap pekerjaan yang ditegahnya maka sentiasa ia mengerjakan yang demikian itu yakni menuntut keredhaan Allah dengan mengerjakan barang yang disuruh dan menjauhkan segala yang ditegah itu hinga jadilah dikasihi Allah akan dia maka jadilah ia seperti katanya,
Maka jadilah ia kekasih bagi tuhan yang menjadikan manusia dan manakala ia kasih nescaya adalah ia pendengarnya yang mendengar ia dengan dia dan pena(m)parnya yang ia mena(m)par dengan dia dan penglihatannya yang ia melihatnya dengan dia seperti firman-Nya didalam hadith Qudsi yang bermaksud, Dan sentiasa hamba-Ku mendamping ia akan Daku dengan mengerjakan segala yang sunat hingga Aku kasih akan dia maka apabila Aku kasih akan dia adalah Aku pendengarnya yang ia mendengar dengan dia, dan penglihatannya yang ia melihat dengan dia dan tangannya yang ia mena(m)par dengan dia dan kakinya yang ia berjalan dengan dia dan hatinya yang ia menyembunyikan dengan dia maka tartib atas kasih Allah Ta’ala baginya itu memelihara segala anggotanya dan pa(n)ca inderanya maka tiada mendengar ia melainkan bagi Allah dan tiada melihat ia melainkan bagi-Nya dan tiada mena(m)par ia melainkan kerana-Nya seperti sabda baginda saw, “Barangsiapa kasih kerana Allah dan marah ia kerana Allah dan memberi ia kerana Allah dan menegah ia kerana Allah maka sungguhnya telah sempurna imannya”.
Dan adalah ia bagi Allah Ta’ala wali ertinya orang yang arif billah yang arif dengan syuhud akan tuhannya jika menuntut ia diberinya akan dia kemudian dilebihkan akan dia daripada barang yang kasih ia pada soalnya. Dan bermula wali itu orang yang arif dengan Allah Ta’ala dan dengan sifatnya lagi yang mengekali atas taat yang menjauhi bagi segala maksiat dengan makna bahawasanya tiada mengerja ia akan maksiat dengan ketiadaan taubat dan tiada murad bahawasanya tiada jatuh daripadanya maksiat sama sekali kerana tiada ia maksum lagi yang berpaling daripada tenggelam pada lazat dan syahwat yang mahabbah dan adapun asal mencapai maka tiada menegah daripadanya istimewa apabila ada ia dengan qasad terkuat atas ibadat dan dinamakan dia wali kerana bahawasa Allah Ta’ala memerintah ia akan pekerjaannya maka tiada menyerah ia kepada dirinya dan tiada kepada orang lainnya satu lahzah dan kerana bahawasanya memerintah ia akan ibadat kepada Allah atas berkekalan daripada ketiadaan menyelangi akan dia oleh is’yan.
Syarah (catatan bebas ana)
Apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah saw hendaklah kita lakukan manakala apa-apa yang ditegah oleh Rasulullah saw hendaklah kita jauhkan. Orang yang bercita-cita tinggi sepatutnya mencari keredhaan Allah dengan segera melakukan apa yang disuruh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang Allah Ta’ala. Ini berbeza dengan orang yang tidak bercita-cita tinggi dimana ia tidak mengambil kisah untuk mencari keredhaan Allah. Melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya tidak boleh dilakukan secara bermusim tetapi perlu dilakukan secara berterusan. Orang yang melakukannya secara berterusan akan menjadi kekasih Allah. Orang-orang yang mencintai Allah Ta’ala akan dikasihi Allah Ta’ala. Orang yang mendampingkan dirinya kepada Allah tidak hanya melakukan perkara yang wajib sahaja tetapi juga turut melakukan perkara-perkara sunat agar dikasihi Allah Ta’ala. Apabila seseorang itu menjadi kekasih Allah Ta’ala maka Allah akan memberi kekuatan kepadanya untuk hanya melakukan perkara-perkara yang baik sahaja seperti mendengar perkara-perkara yang baik, melihat perkara-perkara yang baik, menggunakan kuasa untuk perkara-perkara yang baik dan berjalan ke arah perkara yang baik yakni ke tempat yang diredhai Allah Ta’ala. Orang yang menjadi kekasih Allah akan melakukan apa jua perkara dengan penuh keikhlasan. Kesan (tartib) menjadi kekasih Allah ialah Allah akan memelihara segala anggotanya. Seseorang itu tidak akan mendengar melainkan untuk mencari keredhaan Allah, seseorang itu tidak akan melihat melainkan untuk mencari keredhaan Allah.
Orang yang menjadi kekasih Allah juga dikatakan waliyullah. Orang ini hatinya sentiasa mengingati Allah Ta’ala. Apabila dia berdoa, doanya diperkenankan/dimustajabkan. Orang ini dilebihkan dari apa yang dimintanya. Maksudnya, Allah bukan sahaja memperkenankan apa yang dimintanya tetapi menambahkan lagi apa yang dimintanya. Siapakah wali itu? Iaitu orang yang arif mengenali Allah Ta’ala yang mengekali taat kepada Allah dan sentiasa bertaubat dan tidak bergelumang dengan syahwat. Allah mengawal segala tindak-tanduknya. Allah tidak menyerahkan urusan dirinya kepada dirinya dan juga orang lain. Allah memerintahkan ia mengerjakan ibadah secara berterusan. Allah memberi kekuatan kepada dirinya untuk mengerjakan ibadah.
[1] Matannya terdiri dari syair yang menghimpunkan lebih dari 1000 bait. Isi kandungannya berupa tasawwuf dan ilmu kitab

Kanzul Minan Ala Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana pada 23 Mei 2010
Maka yang terlebih hampir hamba itu daripada Tuhannya tiada melihat ia baginya hampir maka barangsiapa melihat akan dirinya itu hampir, maka iaitulah orang yang jauh kerana melihat akan dirinya hampir itu keluar daripada redha ia daripadanya nafsunya dan menyebutkan dia maka yang demikian itu menafikan fana’nya didalam fana’ iaitu jalan sampai kepada Tuhannya.
Hampir yang dimaksudkan bukanlah jasad tetapi hampir dengan marifat dan mahabbah-Nya. Orang yang sentiasa dekat dengan Allah tidak akan merasakan dirinya hampir dengan Allah tetapi orang yang mendakwa diri mereka hampir dengan Allah sebenarnya mereka adalah jauh dari Allah Ta’ala. Hal ini samalah seperti orang yang mendakwa dirinya soleh padahal mereka tidak soleh. Begitu juga orang yang mendakwa dirinya alim padahal dirinya itu penuh dengan kejahilan. Orang yang soleh tidak akan mendakwa dirinya soleh dan orang yang alim tidak akan mendakwa dirinya alim. Nabi Yusuf as dilahirkan dalam susur galur keturunan yang sangat mulia. Apabila membicarakan tentang susu galur baginda, maka ulama menyifatkanya seperti berikut , orang yang mulia anak kepada orang yang mulia anak kepada orang yang mulia anak kepada orang yang mulia. Bapa Nabi Yusuf iaitu Nabi Yaaqub adalah seorang Nabi yakni orang yang mulia. Bapa Nabi Yaaqub iaitu Nabi Ishak juga seorang Nabi yakni orang mulia. Bapa Nabi Ishak iaitu Nabi Ibrahim juga seorang Nabi yakni orang yang mulia. Walaupun baginda berada dalam keturunan yang mulia namun baginda tetap memohon kepada Allah Ta’ala agar dapat dapat dikumpulkan dengan orang-orang yang soleh. Dalam kisah Ashabul Kahfi, seekor anjing telah tinggal bersama-sama dengan kumpulan orang yang soleh. Atas sebab perkumpulannya dengan orang-orang yang soleh maka anjing yang bernama Kithmir itu mendapat kurnia syurga dari Allah Ta’ala. Antara haiwan lain yang juga dikurniakan syurga oleh Allah Ta’ala adalah ikan paus yang menelan Nabi Yunus. Ketika di hari akhirat kelak, apabila orang-orang kafir melihat binatang-binatang mejadi debu dan melekat kepada muka mereka maka berkatalah mereka kepada diri mereka bahawa lebih baik mereka menjadi tanah agar tidak di soal sehingga menyebabkan mereka dicampak ke dalam api neraka. Berbalik kepada kisah haiwan yang dikurnia syurga kepada mereka, jika haiwan-haiwan ini boleh masuk syurga, apatah lagi dengan kita yang sentiasa berusaha untuk mencintai Nabi saw.
Abu Bakar as-Siddiq menjelang wafatnya telah berdoa ke hadrat Allah, “Matikanlah aku dalam keadaan Islam dan himpunkanlah aku dengan orang-orang yang soleh”. Dalam kalangan orang-orang yang dicintai Allah Ta’ala, orang-orang soleh merupakan pangkat yang paling bawah. Padahal Abu Bakar adalah sahabat yang paling hampir dengan Nabi saw dan dijamin masuk syurga tanpa hisab namun beliau tidak mendakwa dirinya orang yang soleh sebaliknya memohon ke hadrat Allah untuk berhimpun dengan orang-orang yang soleh yang berada di peringkat terbawah dalam kelompok hamba yang dicintai Allah. Kata syeikh, inilah pandangan orang-orang yang hampir kepada Allah Ta’ala. Orang-orang yang berani mendakwa dirinya wali Allah sebenarnya ia berada jauh dari hadrat Allah Ta’ala. Sebaliknya orang-orang yang berada dalam halaman kesucian Allah sentiasa berada dalam keadaan khauf (takut) tetapi pada masa yang sama mereka berharap kepada Allah Ta’ala agar dapat duduk dalam halaman kesucian Allah Ta’ala.
Para malaikat tidak pernah meninggalkan amal ibadat tetapi pada hari akhirat ketika mereka bertajalli di hadapan Allah, mereka menyebut, “ Maha Suci Allah, Tidaklah kami beribadat kepada-Mu dengan sebenar-benar ibadat”. Ini adalah kerana mereka telah berada dalam keadaan fana’ dan mencapai maqam qurb (hampir kepada Allah Ta’ala). Seperti yang disebut tadi, seorang wali tidak akan mendakwa diri mereka wali. Diriwayatkan bahawa ulama besar, Habib Zain Sumait yang bergelar Syafi’i Saghir (Syafi’i Kecil) ketika menziarahi Habib Ali[1] (Batu Pahat) menyatakan kepada Habib Ali bahawa Habib Ali adalah wali Allah. Habib Ali tidak mengaku dirinya wali Allah sebaliknya dia mengatakan bahawa Habib Zain adalah wali Allah. Sehinggalah akhirnya masing-masing tidak mengaku dirinya adalah wali Allah. Orang yang mendakwa diri mereka hampir kepada Allah Ta’ala sebenarnya adalah orang yang redha kepada nafsunya. Orang jenis ini akan melenting jika orang lain mengatakan dirinya itu fasiq atau jahil sebaliknya suka jika orang mengatakan dirinya adalah seorang wali Allah dan sebagainya. Keadaan inilah yang disebut sebagai menafikan fana’ kerana fana’ itu telah hilang dari benak hatinya. Diriwayatkan bahawa pernah satu hari, Allamah Syeikh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki hendak menghadiahkan syair yang dikarang oleh Syeikh Amin Qutbi al-Hasani. Pada bahagian bawah syair itu ada tertulis perkataan qutub zaman. Apabila melihat perkataan itu, Syeikh memadamkannya dan menegur anak muridnya agar jangan menulis perkataan sebegitu. Katanya, “Kita meyakini kewujudan wali qutub tetapi kita tidak pernah menentukan diri itu wali qutub. Kalau tulis gelaran lain seperti muhaddith zaman ini dan sebagainya maka itu tidak mengapa”.
[1] Meninggal dunia pada 13 Mei 2010

Syarah Kesempurnaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana pada 15 Mei 2010
Abu Rimthah ra pernah menemui Rasulullah saw dan dia bercerita, “Aku dan anakku menemui Rasulullah saw. Rasulullah saw bertanya, “Apakah ini anakmu?” Aku menjawab, “Ya, benar!” Rasulullah saw bersabda, “Jadilah saksi di atas ucapanku ini, bahawa dia tidak akan disiksa disebabkan dosamu dan kamu juga tidak akan disiksa disebabkan dosanya”. Abu Rimthah ra berkata, “Ketika itu aku melihat uban Rasulullah saw berwarna merah (kerana dicelup dengan inai)”.
Seseorang itu tidak menanggung beban dosa orang lain kecuali
1. Jika orang itu tidak mengajar ilmu agama kepada tanggungannya
2. Jika orang itu mengajar benda-benda maksiat sehingga kemudian hari si anak itu melalaikan orang lain dengan muziknya. Lalu orang itu mendapat saham dosa akibat dari muzik yang dimainkan oleh anaknya itu.
Maka atas sebab itulah kita digalakkan menganjurkan kebaikan kerana kita akan mendapat pahala yang berpanjangan. Sesungguhnya pahala yang diberikan Allah Ta’ala menunjukkan betapa rahmat Allah itu maha luas. Pahala merupakan hadiah kurniaan Allah yang tidak ternilai. Sebagai contoh, orang yang menghadiahkan bacaan al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia akan mendapat pahala sama seperti orang yang dihadiahkannya itu. Begitu juga dengan bacaan tahlil dan Yasiin dimana bukan sahaja orang yang menerima hadiah bacaan itu mendapat pahala malah orang yang menghadiahkannya juga akan mendapat pahala yang sempurna. Ini adalah menurut fuqaha Syafi’i yang menyatakan bahawa orang yang membaca al-Quran akan dapat pahala yang sempurna dan orang yang menerima hadiah bacaan itu juga akan mendapat pahala yang sempurna. Ini berbeza dengan ganjaran dunia dimana orang yang memberi hadiah akan berada di sisi yang rugi kerana yang untung ialah orang yang menerima hadiah tersebut. Sedangkan hadiah berupa pahala itu, kedua-duanya mendapat untung iaitu si pemberi dan juga si penerima.
Orang yang melakukan perkara-perkara yang buruk seperti membuka tempat maksiat kemudian diwarisi pula oleh anak-anaknya maka ia menjadi pengasas kepada kejahatan. Maka dosa tersebut akan berpanjangan selagi tempat maksiat itu terus digunakan orang. Begitu jugalah orang yang melakukan perkara-perkara yang baik maka pahalanya akan berterusan selagi mana kebaikannya it uterus dimanfaatkan oleh orang lain. Sebab itu ulama ada berkata, ada orang yang dirinya hampir mati tetapi dosanya seakan berterusan manakala ada orang yang telah mati tetapi pahalanya berterusan.
Islam menang dalam peperangan menentang golongan kuffar kerana Rasulullah saw sangat pintar menyusun strategi. Kepintaran baginda saw menyiapkan barisan bala tenteranya telah menyebabkan musuh berasa gerun. Tidak ada seorang pun di kalangan para sahabat yang beruban rambutnya dan bergigi rongak. Mana-mana sahabat yang beruban akan disuruh menginaikan rambutnya. Tidak ada seorang pun sahabat yang bergigi rongak kerana mereka melazimi siwak. Apabila musuh melihat tentera Rasulullah saw, mereka berasa gerun kerana tentera Rasulullah saw kelihatan muda dan tegap. Tentang amalan siwak, ianya adalah sunat yang sangat dituntut. Sahabat bersiwak apabila melihat Nabi saw bersiwak. Antara hikmah bersiwak ialah menguatkan ingatan dan memudahkan roh keluar. Nabi saw bersiwak sebelum rohnya yang mulia diangkat keluar. Ketika Nabi saw sedang gering, masuk saudara kandung Saiyidatina Aisyah ra bernama Abdul Rahman sambil membawa kayu siwak. Nabi saw kemudiannya meminta kayu siwak untuk bersiwak. Apabila melihat kayu siwak itu agak keras, Saiyidatina Aisyah ra mengambilnya dan melembutkannya dengan air liurnya. Kata Saiyidatina Aisyah ra, “Aku bangga apabila air liurku bercampur dengan air liur Rasulullah saw”. Imam Ghunaimi (Imam Mazhab Hanafi) ada menulis sebuah kitab tentang kelebihan siwak ini.
Selain bersiwak, menyelat gigi (membuang sisa makanan yang terlekat di gigi) dan berkumur dengan air biasa selepas minum susu juga adalah satu sunnah. Hikmah berkumur selepas minum susu ialah supaya susu itu tidak melekat pada gigi kerana dikhuatiri akan menyebabkan gigi menjadi rongak. Tentang menyelat gigi, ianya ada kaitan dengan sabda Nabi saw dengan maksudnya seperti berikut, “ Tidak sesuatu perkara itu menyakitkan malaikat melainkan seseorang itu solat dengan tidak menyelat giginya”. Apabila seseorang itu membaca ayat al-Quran, para malaikat akan duduk dicelah gigi orang tersebut untuk mendapat berkah dan haruman wangian orang itu. Atas sebab itu maka gigi hendaklah dibersihkan supaya para malaikat berasa selesa untuk berdamping. Menyelat-nyelat janggut yang tebal ketika berwuduk juga adsalah sunnah. Kata syeikh, orang yang melazimkan dirinya dengan menyelat gigi dan menyelat janggut akan mendapat rahmat Allah Ta’ala.
Celak yang digunakan Nabi saw namanya Ithmid. Celak ini digunakan untuk menguatkan mata dan menjernihkan pandangan (yakni untuk tujuan kesihatan) bukannya untuk perhiasan. Ithmid ini warnanya meah. Nabi saw memakai celak ini pada waktu malam.

Syarah I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana pada 16 Mei 2010
Kalimah Amma Ba’du digunakan sebagai pemisah antara muqadimah dengan pokok atau tajuk perbahasan. Diriwayatkan bahawa orang yang pertama mengucapkannya ialah Nabi Daud as. Kalam adalah lafaz yakni satu suara dimana setengahnya mengandungi huruf hijaiyah. Kalam terdiri dari lafaz yang murakkab iaitu tersusun. Kalam yang dapat difahami mendatangkan faedah. Sesungguhnya dijadikan lisan itu sebagai dalil hati seseorang. Imam asy-Syafi’i sangat berhati-hati apabila menyusun kata-kata. Bila orang bertanya, dia tidak terburu-buru menjawabnya sebaliknya akan senyap terlebih dahulu. Apabila orang bertanya kepadanya kenapa dia berbuat demikian maka Imam asy-Syafi’i berkata, “Senyap itu tandanya berfikir samada aku perlu jawab atau tidak”. Adab bertanya dan adab menjawab hendaklah dijaga. Sebab itu soalan tidak patut ditanya melalui telefon dan tidak patut juga dijawab melalui telefon. Ini adalah kerana seseorang itu perlu tahu dan melihat wajah orang yang bertanya sebelum menjawab sesuatu soalan itu. Sebagai contoh, ada orang datang berjumpa Nabi saw dan bertanya kepada Nabi saw tentang perkara taubat bagi orang yang membunuh. Lalu Nabi saw bersabda, “Ada taubat bagi orang yang membunuh”. Datang pula orang berikutnya yang bertanya soalan yang sama tetapi Nabi saw menjawab, “Tidak ada taubat bagi orang yang membunuh”. Tercengang sahabat mendengar jawapan Nabi saw yang tidak sama antara kedua orang itu sedangkan soalan yang sama diajukan. Lalu jawab baginda saw, “Adapun orang yang pertama itu bertanya sebab hendak mengetahui hukum sedangkan yang kedua itu bertanya sebab hendak pergi membunuh”. Maka atas sebab itulah kita kena tengok dan lihat siapa yang bertanya soalan supaya sesuatu jawapan yang diberikan tidak menimbulkan fitnah kemudian hari. Imam Malik pernah ditanya 40 soalan dari ulama Iraq. Imam Malik hanya menjawab 4 soalan sahaja sedangkan bakinya dia tidak menjawab. Lalu dia berkata kepada ulama Iraq itu, “Apabila pulang ke Iraq, naiklah ke menara dan umumkanlah bahawa Imam Malik hanya dapat menjawab 4 soalan sahaja”. Imam Malik tidak berasa malu atau segan jika dia tidak tahu tentang sesuatu perkara.
Penulisan adalah dalil atau bukti kecerdikan seseorang. Kata ulama, “Apabila engkau menulis, ianya seolah-olah engkau meletakkan otak engkau diatas dulang dimana orang lain dapat melihat otak engkau”. Apabila berbicara tentang i’tiqad ASWJ maka kita hendaklah tahu sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah Ta’ala dan Rasul. Ini adalah perkara-perkara yang wajib kita pelajari. Bagaimana kita hendak beriman jika kita tidak mengetahuinya? Apabila Allah menyebut “fa’lam” yang bermakna “ketahuilah” bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah kepada Nabi saw maka kalimah fa’lam itu menunjukkan bahawa untuk memahaminya maka kita kena belajar/talaqqi dan tidak cukup dengan ibadah semata-mata. Imam Abdul Wahab Asy-Sya’rani ada menulis sebuah kitab yang berjudul “Peringatan bagi orang yang tertipu”. Isi kandungannya menceritakan tentang orang-orang yang beramal tanpa mempunyai ilmu pengetahuan. Kata Imam Abdul Wahab asy-Sya’rani, “Pada suatu hari aku berjumpa seorang syeikh yang mengajar ilmu yang tinggi-tinggi kepada anak muridnya. Apabila aku bertanya perkara-perkara asas seperti rukun wudhu’, solat dan sebagainya, Syeikh itu tidak upaya menjawabnya”. Ketahuilah bahawa tariqat tidak meminggirkan syariat. Kata Junaid al-Baghdadi, “Sesungguhnya ilmu pada hari ini dilihat atas dasar al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sesiapa yang tidak tahu membezakan Al-Quran dan Hadith maka jangan ikuti mereka”. Apabila tidak ada ilmu, maka mereka akan membuat kerosakan sehingga tergamak menyamakan Allah dengan makhluk.
Kita tidak mempunyai banyak masa. Oleh itu, kita hendaklah memanfaatkan masa yang ada dengan mendalami ilmu. Imam Nawawi wafat pada usia 46 tahun tetapi apa yang ditinggalkannya yakni karangannya terlalu banyak seolah-olah beliau hidup beribu tahun. Begitu juga dengan Imam al-Ghazali yang hidup selama 55 tahun tetapi karangannya jauh melebihi usianya. Fitnah pernah berlaku di zaman Nabi Sulaiman as. Nabi Sulaiman as difitnah oleh umatnya dimana mereka termakan hasutan syaitan menyatakan bahawa baginda as mengamalkan sihir sehingga menyebabkan jin tunduk kepadanya. Fitnah ini didalangi oleh syaitan. Maka Nabi Muhammad saw diutus untuk membersihkan nama Nabi Sulaiman as. Nabi Sulaiman as wafat dalam keadaan berdiri tanpa disedari sesiapapun termasuk golongan jin. Mereka hanya sedar apabila tongkatnya mereput. Jasad baginda as tidak dimamah oleh masa. Bagi para Nabi dan Rasul telah diharamkan tanah memamah jasad mereka yang mulia. Dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Nabi saw menziarahi beberapa maqam sebelum sampai ke Masjidil Aqsa. Maqam-maqam yang diziarahinya adalah maqam para Nabi dan Wali Allah. Ini menunjukkan bahawa menziarahi maqam adalah satu sunnah. Seperti yang disebut tadi jasad para Nabi dan Rasul tidak terjejas bahkan mereka hidup dan solat dan solat di dalam kubur. Begitu juga dengan Wali Allah dimana jasad mereka tidak terjejas. Diriwayatkan pernah satu hari maqam yang mengandungi jasad Umar al-Khattab runtuh sehingga terkeluar sebahagian kakinya. Lalu apabila ditanya orang kepada cucunya yang bernama Salim bin Abdullah bin Umar maka dia menjawab, “Itu adalah kaki datukku, Umar.” Jasad para syuhada juga tidak terjejas. Diriwayatkan pernah berlaku satu masa dahulu dimana saliran air yang dibina perlu melalui kawasan pemaqaman syuhada Uhud. Pada satu ketika, seorang petugas mencangkul tanah di kawasan itu dan dengan tiba-tiba beliau tercangkul kaki Saiyidina Hamzah sehinga terpancut darah dari kaki tersebut. Ianya adalah bukti bahawa jasad para syuhada tidak terjejas dimamah bumi.
Belajar ilmu tauhid hukumnya wajib. Seseorang perlu belajar dengan orang yang mahir dengannya. Sifat wajib bagi Allah ada 13 sifat yang perlu diketahui secara terperinci (tafsili) manakala selebihnya perlu diketahui secara umum (ijmali).[1] Sifat dan nama Allah pada hakikatnya tidak ada batasannya. Tentang sifat 20, ia adalah ijtihad ulama dimana ia merupakan kunci kesempurnaan sifat Allah. Tujuan mempelajari sifat 20 ini adalah untuk mengukuhkan iman. Nabi saw berdoa dengan tawassul atas kemuliaan segala nama Allah yang diketahui dan yang tidak diketahui (kata Syeikh, doa itu adalah doa untuk menghilangkan perasaan gundah gulana). Maksud nama Allah yang diketahui dan yang tidak diketahui ialah
1. Ada nama Allah yang diketahui dalam kitab al-Quran tetapi tidak diketahui didalam kitab lain seperti Taurat dan sebagainya
2. Ada nama Allah yang diilham kepada Nabi
3. Ada nama Allah yang diilham kepada Wali Allah
4. Ada nama Allah yang terkandung dalam ilmu ghaib
Ilmu hendaklah diserahkan pada orang yang berkeahlian. Ilmu hendaklah dipelajari dari orang yang benar-benar arif tentangnya. Seperti yang disebut tadi, kita hendaklah belajar ilmu tauhid dengan orang yang benar-benar mahir dan menguasai sepenuhnya bidang ini. Pernah orang bertanya Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki ra dalam satu seminar di Pahang. Orang bertanya, “Adakah lepasan al-Azhar itu semuanya ulama?” Jawab Sayyid Muhammad Alawi ra, “Adakah semua yang solat berjemaah tadi diterima solatnya?”

[1] Ada 50 sifat yang perlu dipelajari iaitu 20 sifat wajib Allah Ta’ala, 20 sifat mustahil Allah Ta’ala, 1 sifat harus Allah Ta’ala, 4 sifat wajib Rasul, 4 sifat mustahil Rasul dan 1 sifat harus Rasul

Agamamu dalam Bahaya - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana pada 15 Mei 2010
Al-Quran tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ini adalah kerana pentafsiran secara harfiah boleh menyebabkan makna atau maksud yang disampaikan tidak tepat. Dalam hal ini, Syeikh mengingatkan balik akan kisah yang telah disampaikan oleh Habib Umar al-Jailani yang berkaitan dengan murraqabah baru-baru ini. Kisahnya adalah seperti berikut,
Pada satu masa dahulu, ada seorang syeikh yang mempunyai ramai anak muridnya. Pada satu hari, ia meminta anak muridnya masing-masing menyembelih seekor ayam tetapi dengan syarat tidak ada orang yang melihat mereka menyembelih ayam tersebut. Akhirnya murid-muridnya pun akur dengan perintah gurunya dan masing-masing menyembelih mengikut cara mereka sendiri. Hanya seorang sahaja anak muridnya tidak menyembelih ayam hingga ditempelak oleh sahabatnya yang lain kerana tidak patuh kepada arahan gurunya. Lalu syeikh bertanya kepada anak muridnya kenapa dia tidak menjalankan suruhan gurunya itu. Anak muridnya kemudian berkata, “Bagaimana saya hendak melaksanakan tanggungjawab ini kerana di setiap tempat Allah melihat perbuatan saya”. Lalu syeikhnya pun berkata, “Benar katamu itu. Hanya engkau seorang sahaja yang mengerti apa yang hendak aku sampaikan”. Maka anak muridnya itu pun diangkat menjadi khalifahnya.