Sunday, June 27, 2010

Syarah Khas dalam Seminar Penjelasan Amalan Tarekat - Dr Zulkifli al-Bakri

Catatan bebas ana di MIAT pada 26 Jun 2010
Seperti yang diriwayatkan didalam hadith Muslim, Rasulullah saw pernah menegur tiga orang sahabat yang mengerjakan amal ibadah dengan cara yang berlebihan. Salah seorang darinya menyatakan bahawa ia hendak mengerjakan solat sahaja sehingga tidak mahu tidur. Seorang yang lain menyatakan bahawa dia hendak berpuasa sahaja dan tidak mahu berbuka manakala sahabat yang terakhir berkata bahawa dia tidak mahu kahwin kerana hendak menumpukan perhatian kepada ibadah semata-mata. Rasulullah saw menegur mereka dengan berkata bahawa baginda juga mengerjakan ibadah dan juga tidur, makan dan juga berbuka serta berkahwin. Maka dalam hal ini dapatlah disimpulkan bahawa dasarnya adalah wasatiyyah bukannya melampau. Jangan melampau dalam urusan agama. Sesiapa yang berlebih-lebihan maka dia akan kalah. Maksud ‘berlebih-lebihan sehingga dia kalah’ itu adalah merujuk kepada satu perbuatan yang cuba dikerjakannya dalam keadaan berlebih-lebihan sehingga akhirnya menyebabkan dia berada di dalam kerugian kerana meninggalkan terus perbuatan itu atau melampau-lampau menyalahi orang lain yang tidak sependapat dengannya sehingga menyebabkan umat Islam berpecah belah dan sebagainya. Dalam apa jua amal ibadah yang hendak dikerjakan, ia mestilah berlandaskan sunnah. Sekiranya satu amalan itu dilakukan dengan betul tapi tidak dengan hati yang ikhlas maka ia tidak akan mendapat pahala. Begitu juga dengan satu amalan yang dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak dengan cara yang betul maka ia juga tidak akan mendapat pahala. Kita perlu tahu kategori ibadah. Ibadah itu ada yang wajib dan ada yang sunat. Jangan mencampur-adukkan antara keduanya. Adakalanya masyarakat terlalu mengambil berat tentang perkara yang sunat tetapi memandang ringan pada amalan yang wajib. Sebagai contoh, ada orang merasakan mengerjakan solat di rumah lebih baik dari mengerjakannya secara berjemaah di masjid kerana berpendapat ia lebih khusyuk. Katanya khusyuk itu adalah roh sembahyang dan ianya sangat penting. Kalau semua orang berfikiran seperti orang ini maka runtuhlah syiar Islam kerana masjid dibiarkan kosong. Keutamaan perlu diberikan kepada yang wajib. Kepentingan agama adalah perkara utama. Ramai orang suka menggunakan kalimah ‘dakwa’. Mereka men’dakwa’ bahawa mereka sahajalah yang mengerjakan amalan yang betul sedangkan yang lain salah. Hal sedemikian boleh melahirkan sifat taksub dan ekstremis. Sikap ini bertentangan dengan tokoh-tokoh ulama terdahulu yang sentiasa berusaha meraikan hak-hak orang lain. Imam asy-Syahid Hassan al-Banna, tokoh dan juga pengasas Ikhwanul Muslimin apabila ditanya orang tentang pergerakan jemaah Islam yang diasaskannya memberikan jawapan dengan penuh berhemah tanpa menyakiti atau mengguris perasaan orang lain. Katanya, “Kami hanyalah sekumpulan jemaah Islam daripada sekumpulan jemaah-jemaah Islam yang lain.
Apabila timbul dua pertentangan pendapat maka pendapat yang mesti dijulang ialah pendapat syariat. Contohnya tentang masalah solat jemaah di masjid dan solat dirumah, yang mana lebih afdhal. Sudah tentu jawapannya ialah solat jemaah di masjid. Begitu juga dengan mengenakan pakaian seperti ulama misalnya memakan jubah dan sarban. Jika seseorang itu memakainya sehingga menyebabkan dirinya riak maka tidak perlulah ia memakainya tetapi jika hendak menimbulkan rasa iltizam dan berusaha hendak mencontohi peribadi ulama maka tidak salah jika ia memakainya. Hukum syarak bersifat umum manakala hukum warak bersifat tertentu. Hukum syarak tidak menilai dari sudut dalaman atau batin. Imam al-Ghazali melalui perjalanan hidupnya sebanyak dua fasa. Fasa pertama ketika beliau menjadi ahli faqih manakala fasa kedua ketika beliau menjadi ahli sufi. Ketika beliau menjadi ahli faqih, beliau mengeluarkan hujah dari segi syarak manakala ketika beliau menjadi ahli sufi, beliau bercakap atas landasan ilmu warak. Pernah satu hari Imam Ahmad bin Hanbal didatangi oleh seorang wanita yang ingin meminta pendapat darinya. Kata wanita itu, ‘Wahai Imam, kami hanya boleh membuat kerja pada waktu malam sahaja kerana di sebelah siang kami perlu melayan suami. Apabila malam barulah kami mempunyai masa untuk membuat kerja menenun. Malangnya rumah kami tidak mempunyai sumber cahaya. Namun begitu kami mendapat sumber cahaya apabila rumah kami berbetulan dengan laluan tentera-tentera Islam. Jamung-jamung yang dibawa oleh tentera Islam itu menerangi rumah kami dan cahaya dari jamung itu membolehkan kami melakukan kerja-kerja menenun. Adakah halal kami memakan hasil dari duit tenun itu?” Imam Ahmad terdiam. Beliau kemudiannya bertanya, “Siapa nama ahli keluarga kamu?” jawab wanita itu, “Saya adalah saudara perempuan Bisyir al-Khafi”. Mendengar nama itu, Imam Ahmad berkata, “ Kalau begitu maka haram bagi kamu”. Dalam hal ini, Imam Ahmad memberi jawapan kepada wanita itu berdasarkan hukum warak. Ini adalah kerana wanita itu mempunyai hubungan saudara dengan seorang sufi besar pada masa itu iaitu Bisyir al-Khafi yang terkenal dengan kewarakannya. Dalam kisah yang lain yang ada kaitan dengan hukum warak, ada dua lelaki yang kerjanya memungut kayu untuk dijual. Salah seorang lelaki itu telah berumur manakala seorang lagi masih muda. Tiap-tiap hari lelaki tua itu naik ke atas bukit untuk memungut hasil kayu dan menjualnya. Selepas itu dia akan mengerjakan amal ibadah dan mensyukuri nikmat Allah. Lelaki yang lebih muda itu juga mengerjakan kerja yang sama. Sehinggalah pada satu hari, lelaki muda ini terjumpa seuncang emas di tepi akar pokok yang besar. Dia pun mengambil uncang emas itu dan duduk bersandar. Hatinya gembira kerana menemui uncang emas itu. Sedang dia duduk bersandar, datanglah lelaki tua dihadapannya. Kata lelaki muda itu, “Berehatlah dulu. Saya boleh membayar kerja-kerja yang tuan lakukan”. Kata lelaki tua itu, “Sepanjang 20 tahun aku memungut kayu di kawasan ini, tidak pernah sekali-kali aku mengambil uncang emas yang tersorok di akar pokok itu kerana ianya bukanlah hak aku”. Dalam kisah diatas, lelaki tua itu berkata berdasarkan hukum warak maka atas sebab itulah dia tidak mengambil harta tersebut. Manakala dari segi fiqh, lelaki muda itu perlu mewar-warkan penemuan harta itu kepada umum jika beliau mahu mengambilnya. Jika dalam tempoh setahun harta itu tidak dituntut maka bolehlah dia mengambilnya.

Syarah kitab Shahih al-Bukhari - Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana pada 17 Jun 2010
Ramai orang tidak suka belajar dengan guru yang tegas dan garang sebaliknya suka belajar dengan guru yang suka menyanjung dirinya. Guru yang suka menyanjung atau memuji anak-anak muridnya bukanlah guru yang sebenar kerana ia akan membuatkan anak muridnya mudah tunduk pada nafsu. Padahal guru yang sebenar-benar guru ialah guru yang menunjukkan kekerdilan kita. Kata Imam al-Ghazali, “Tanda ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang ‘mengaibkan’ diri kita” (maksudnya menyedarkan diri kita bahawa kita ini tidak punya apa-apa, hamba yang sangat hina dan kerdil di sisi Allah Ta’ala). Imam al-Bukhari ada menyebut dalam satu bab penting iaitu “bab marah ketika beri peringatan dan mengajar”. Marah yang dimaksudkan ini bukanlah satu sifat atau perilaku yang berterusan tetapi marah bertempat yakni tegas apabila melihat perkara-perkara yang bersalahan dengan hukum-hakam, adab, dan syarak. Sayyidina Umar ra pernah memegang kaki Nabi saw ketika Nabi saw menzahirkan kemarahannya. Sebenarnya marah itu adalah tanda kasih sayang seseorang kepada orang yang dimarahinya itu. Guru yang bersikap tegas dan tidak sambil lewa adalah lambang atau tanda kasih dirinya kepada anak muridnya. Kata Syeikh, masyaikhnya iaitu Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki sentiasa tegas terhadap anak muridnya. Janganlah kita menyangka bahawa senyuman guru itu adalah tanda kasih dirinya kepada kita. Ini adalah kerana lazimnya seseorang memberi senyuman atau bermanis muka kepada orang yang tidak dikenalinya. Justeru, jika seseorang guru itu memberikan senyuman atau bermanis muka bermakna belum tentu diri kita ini hadir dalam dirinya. Sebaliknya, ketegasan dan kemarahan guru pada anak-anak muridnya sebenarnya adalah tanda diri anak murid itu hadir dalam hatinya kerana guru berkenaan sangat mengambil berat hal ehwal anak muridnya. Kasih sayang guru terhadap anak-anak muridnya ibarat kasih sayang ibubapa terhadap anak-anaknya. Apabila guru tegas dan marah pada anak muridnya maka itu adalah tanda bahawa anak muridnya itu adalah di kalangan ahli keluarganya. Ibubapa tidak akan memarahi anaknya melainkan mereka mahukan anak mereka berada dalam keadaan selamat. Begitulah juga dengan guru yang memarahi anak muridnya dengan tujuan supaya anak murid berada dalam keadaan selamat.
Dalam kitab Sairus Salikin, ada diceritakan tentang adab murid pada gurunya. Salah satu darinya ialah anak murid perlu serahkan semua harta kepada gurunya. Tujuannya ialah supaya harta tersebut dibelanjakan ke jalan yang diredhai Allah bukannya ke jalan maksiat dan sebagainya. Abu Bakar as-Siddiq menyerahkan semua hartanya kepada Rasulullah saw agar harta tersebut digunakan untuk jalan Allah. Seorang guru seharusnya ‘menahan’ harta anak muridnya dari mengalir ke tempat-tempat yang tidak ada kaitan dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Adalah menjadi tanggungjawab Ahlus Sunnah Wal Jamaah untuk mempertahankan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Justeru semua pihak perlu memainkan peranan. Janganlah kita hanya tahu bermaulid tetapi pada masa yang sama tidak upaya mempertahankannya. Hari ini, ASWJ diserang dari segenap penjuru. Apabila ulama-ulama ASWJ wafat maka berlubanglah kubu ASWJ. Jika lubang ini tidak ditutup dengan segera maka fitnah akan menyelinap masuk dan binasalah kubu ASWJ. Sebab itu dalam zaman ini kita perlu banyak berfikir. Fikir sesaat lebih baik dari beribadat 70 tahun. Seperti yang disebut tadi, peranan perlu dimainkan oleh semua pihak bagi mempertahan ASWJ. Guru dengan peranannya manakala murid dengan peranannya pula. Murid perlu menunjukkan akhlak yang baik. Akhlak yang baik boleh menjadi dakwah atau tarikan kepada orang lain. Murid yang baik perlu membanggakan gurunya. Andai kata tidak dapat membanggakan gurunya, jangan pula menjejaskan reputasi atau nama baik gurunya. Kata Ibn Abbad, “Jangan kita jadikan hujah golongan zahir”. Sebab itu anak murid dan setiap orang perlu menjaga/memelihara akhlak dan disiplin. Anak murid hendaklah sentiasa menjaga nama baik gurunya. Jangan sampai guru dihina orang lain kerana masalah yang ditimbulkan oleh si anak murid.
Nabi saw tidak pernah menyebelahi orang-orang yang dikasihinya jika didapati orang yang dikasihinya itu ada membuat salah. Sahabat besar, Muaz bin Jabal ra adalah sahabat yang sangat dikasihi baginda saw. Pernah satu hari Muaz menjadi imam solat dan membaca surah panjang (surah al-Baqarah) sehingga menyebabkan seorang lelaki mufaraqah. Lelaki tersebut kemudian dikutuk oleh orang lain dan berita itu akhirnya sampai kepada pengetahuan Rasulullah saw. Rasulullah saw memanggil lelaki itu lalu lelaki itu menyatakan bahawa Muaz telah membaca surah yang panjang di dalam solat. Nabi saw kemudiannya berkata kepada Muaz, “Adakah engkau telah melakukan fitnah manusia?” Nabi saw kemudiannya memberi peringatan yang sangat tegas, “Wahai manusia, kamu me’lari’kan orang dari jemaah. Sesiapa yang solat bersama (jemaah) hendaklah meringkaskan solat tersebut kerana ada orang yang lemah, sakit dan berhajat.” Syeikh teringat akan pengalaman bersama masyaikhnya ketika solat berjemaah bersama-sama. Masyaikhnya mengimamkan solat dengan bacaan yang ringkas tetapi sempurna rukun dan syaratnya.

Majlis pembukaan pembacaan kitab Shahih al-Bukhari - Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana pada 13 Jun 2010
Penulis kitab ini iaitu Imam al-Bukari menulis kitab ini dengan penuh keikhlasan hati. Sebab itulah pada permulaan kitab, hadith yang mula-mula sekali dinyatakan oleh Imam al-Bukhari ialah tentang niat dan ikhlas walaupun bab permulaan menceritakan tentang penurunan wahyu. Imam al-Bukhari memberi peringatan kepada dirinya agar menulis kitab tersebut dengan keadaan ikhlas tanpa mengharapkan kesenangan dunia. Katanya, “Tidaklah aku menulis melainkan aku lihat kesahihan hadith dan aku mandi lalu aku solat istikharah sebelum aku memilih hadith untuk diletakkan di dalam kitab ini. Imam al-Bukhari menulis kitab ini setelah mendapat ilham dan petunjuk dari Allah Ta’ala bahawa sesuatu hadith itu wajar diletakkan di dalam kitab tersebut. Imam al-Bukhari telah menulis 600,000 buah hadith dalam masa 16 tahun. Jikalau kitab asal tersebut dikekalkan maka sudah tentu umat Islam pada hari ini tidak akan mampu membacanya. Maka Imam al-Bukhari telah meringkaskannya dari 600,000 buah hadith kepada 7000 buah hadith. Tanpa keprihatinan Imam al-Bukhari terhadap umat Nabi Muhammad saw, beliau telah berhempas-pulas mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk meriwayatkan hadith. Katanya, “Aku mampu menaqal 500 buah hadith dalam bab hadiah apatah lagi bab-bab lain. Aku telah meriwayatkan hadith dari 1060 orang masyaikh dan meriwayatkan 10,000 buah hadith setiap seorang masyaikh itu. Imam al-Bukhari menguasai ilmu dirayah iaitu ilmu tentang hukum-hakam hadith (sahih, hasan dan dhaif) dan ilmu rijal iaitu ilmu tentang periwayat hadith. Katanya, “Aku tidak meriwayat sesuatu hadith melainkan aku tahu siapa mereka, gelaran mereka, ayah mereka, keturunan (nasab) mereka, dimana mereka tinggal, guru mereka dan sebagainya”. Maknanya, Imam a-Bukhari mengenali setiap periwayat hadith dengan sebenar-benarnya. Imam al-Bukhari sangat teliti dalam meriwayat hadith. Ini adalah kerana ia melibatkan urusan agama. Urusan agama adalah urusan terpenting. Kata Imam Ibnu Sirin, “Sesungguhnya ilmu itu adalah agama. Maka hendaklah kamu lihat dari mana kamu ambil dan siapa yang menerangkan ilmu tersebut kepada kalian.” Ilmu itu adalah asas agama sebab itu orang yang tidak berakal tidak ada agama. Kata Imam al-Haramain al-Juwaini, “Ada 6 perkara yang melayakkan seseorang itu mendapat ilmu pengetahuan”. Antaranya ialah cerdik dan tamapk terhadap ilmu. Kalau seseorang itu cerdik tapi pemalas tak layak bagi dirinya untuk mendapat ilmu pengetahuan.
Imam al-Bukhari meriwayat hadith dari orang-orang yang benar beliau telah kenali. Beliau akan memastikan samada periwayat hadith itu adil, warak dan sebagainya. Tujuannya untuk meyakinkan umat Islam bahawa hadith tersebut adalah sahih. Di akhir zaman kelak, syaitan-syaitan yang dipenjara oleh Nabi Sulaiman di tengah lautan hampir-hampir terbuka dan kelak akan memakai pakaian ulama dan membaca hadith kepada manusia. Maka atas sebab itu, kita kena tahu siapa guru kita dan rantaiannya. Ilmu Islam tidak sama dengan ilmu orang-orang bukan Islam. Ilmu Islam berhajat kepada kesinambungan dari satu generasi ke generasi seterusnya iaitu sanad. Hari ini umat Islam menghadapi ujian yang sangat berat. Ini adalah kerana jika tersalah ambil ilmu dari tempat-tempat yang tidak berautoriti maka hilanglah keberkatan ilmunya. Apa yang dibimbangi ialah jika ilmu itu sesat dan menyesatkan orang lain di atas muka bumi ini.
Ketika wahyu pertama diturunkan, baginda saw sedang beribadat di Gua Hirak di atas Jabal Nur. Allah Ta’ala mengkehendaki Nabi saw mengasingkan dirinya secara zahir dan batin dari makhluk. Baginda saw meninggalkan keluarganya kerana cintanya kepada Allah. Itulah syarat untuk mendapat kurnia dari Allah Ta’ala. Apabila balik ke rumah, Nabi saw meneruskan ibadatnya sama seperti ketika baginda berada di dalam gua. Justeru ini menunjukkan bahawa tidak ada sebafang penyembahan berhala berlaku di rumah baginda dan isterinya, Sayyidah Khadijah ra. Sayyidah Khadijah di gelar perempuan suci kerana berpegang kepada agama Nabi Ibrahim ketika di zaman jahiliyyah. Ketika wahyu pertama diturunkan, Jibril mengulang bacaan sebayak 3 kali dan memeluk erat baginda saw sehingga baginda saw sukar untuk bernafas. Sebab itu apabila kita mengajar anak murid maka kita hendaklah mengulangnya sebanyak 3 kali supaya dia benar-benar faham tentang ilmu yang disampaikan. Jika ia faham maka benarlah ia seorang penuntut ilmu. Ketika mengajar, kita perlu tegas. Jibril tegas ketika mengajar Nabi saw dengan memeluknya sehingga baginda saw payah hendak bernafas. Maka dalam bab mengajar, kita perlu tegas dengan anak murid kita. Justeru, menghukum anak murid dengan niat mendidik itu adalah sunnah Nabi saw.
Dua faktor yang telah menyebabkan Imam al-Bukhari mula mengarang kitab ini
1. Ketika beliau tinggal bersama-sama dengan gurunya, Ishak bin Rawahiah, gurunya itu berkata kepadanya, “Kalau engkau dapat menghimpunkan hadith-hadith sahih kepada umat Nabi Muhammad saw alangkah eloknya”.
2. Beliau bermimpi mengipas-ngipas Nabi saw. Apabila bangun pagi, beliau berjumpa dengan ahli tadbir mimpi. Kata ahli tadbir mimpi, “Itu tandanya engkau akan mempertahankan sunnah Rasulullah saw”.
Semua orang bercita-cita hendak menjadi penolong Nabi saw. Inilah pekerjaan yang paling besar iaitu mempertahankan Nabi saw. Sebab itulah Waraqah (ketika Nabi saw dan Khadijah bertemu dengannya untuk menceritakan peristiwa baginda saw didatangi Jibril as) bercita-cita hendak mempertahankan Nabi saw.
Mempelajari hadith ini adalah sangat penting. Dengan mempelajari hadith kita akan kenal dan kasih kepada baginda Rasulullah saw. Dengan mempelajarinya juga kita akan dapat mengetahui kesesatan orang-orang yang sesat. Setiap hari, Imam al-Bukhari menghabiskan 500 dirham semata-mata hendak meriwayat hadith. Sampai satu masa ketika beliau berjumpa Iyaz bin Abi Adam, beliau telah kehabisan duit dan terpaksa memakan rumput untuk mengisi perutnya. Imam al-Bukhari belajar hadith hingga kehabisan duit. Pernah satu masa beliau tidak mempunyai baju yang hendak dipakai lalu sahabat-sahabatnya mengumpulkan duit dan membelikannya baju agar beliau dapat keluar rumah untuk belajar hadith. Imam al-Bukhari meninggal dunia pada usia 62 tahun.

Syarah Sairus Salikin - Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah, USJ 9 pada 13 Jun 2010
Adab membaca al-Quran
Imam asy-Syafi’i mengkhatam al-Quran tiap-tiap hari. Apabila tiba bulan Ramadhan, beliau akan mengkhatam dua kali sehari. Saiyidina Uthman pula akan tidur selepas isyak dan tidak lama selepas itu, beliau bangkit untuk mengerjakan solat sunat malam. Beliau akan mengkhatam al-Quran dalam solat sunatnya itu. Kata Syeikh, kadar yang sederhana ialah dengan mengkhatam seminggu sekali atau paling kurang pun sebulan sekali. Al-Quran perlu dihafal, dibaca dan diamal untuk mengelak diri dari dilaknat Allah. Dalam kitab Zubad (menghimpunkan lebih dari 1000 bait) yang isinya tentang fiqh, ada diceritakan tentang orang yang alim yang tidak mengamalkan ilmunya lalu ia diseksa sebelum orang yang sembah berhala diseksa. Ramai qari jadi munafik kerana mereka ‘menjual’ al-Quran untuk mencari duit. Ada juga qari yang menjadi riak dengan menghebahkan kepada orang lain bahawa suaranya sedap. Tidak kurang juga qari yang bersifat ujub dengan mengharapkan pujian orang lain. Kesimpulannya terdapat golongan yang membaca al-Quran untuk mencari kemegahan dunia.
Adab zahir ketika membaca al-Quran
1. Suci daripada hadas kecil yakni berwudhu’. Bahkan untuk menyentuhnya perlulah ada wudhu’. Andai kata beg yang digunakan untuk menyimpan al-Quran adalah beg yang khusus untuk tujuan itu, maka untuk menyentuh beg itu mestilah dalam keadaan berwudhu’. Begitu juga denganbenda-benda lain yang di’kawan’kan dengan al-quran, mestilah ada wudhu’ untuk menyentuhnya. Inilah kesempurnaan adab dan akhlak bagi mengangkat ketinggian dan kemuliaan al-Quran. Kenapa kita perlu memuliakan al-Quran? Ini adalah kerana al-Quran menjadi teman dan memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak.
2. Hendaklah duduk dengan menghadap qiblat, menundukkan kepala dan membacanya seolah-olah ada guru dihadapannya. Cara duduk yang paling betul ialah seperti duduk tahiyat awal. Inilah cara duduk ketika Jibril mengajar Nabi saw. Jangan duduk bersandar dan duduk seperti orang yang takabbur.
3. Al-Quran seelok-eloknya dibaca di dalam solat khususnya solat sunat. Yang mana lebih afdhal, memanjangkan bacaan al-Quran ketika berdiri dalam tahajud atau memanjang sujud? Kata ulama, yang paling afdhal ialah memanjangkan bacaan al-Quran ketika berdiri di dalam solat. Membaca al-Quran di dalam solat lebih besar pahalanya dari membaca al-Quran di luar solat. Tertib pahala membaca al-Quran adalah dalam keadaan berdiri (dalam solat), duduk dan baring.
4. Al-Quran termasuk dalam bab zikir yang terbesar dan paling afdhal.
5. Kita kena peruntukkan masa untuk membaca al-Quran,
a. Orang yang tidak mempunyai apa-apa kerja selain dari beribadat maka ia perlu mengkhatam al-Quran sekurang-kurangnya dua kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis.
b. Orang yang sibuk dengan aktiviti lain seperti mengajar dan bekerja maka sebaik-baiknya mengkhatam al-Quran seminggu sekali.
c. Orang yang mentadabbur al-Quran sebaik-baiknya mengkhatam al-Quran sebulan sekali.
6. Al-Quran perlu dibaca dengan tartil iaitu dengan memberikan hak pada setiap huruf dengan sempurna. Yang lebih afdhal ialah kualiti bukannya kuantiti. Maksudnya yang lebih afdhal ialah kualiti bacaan bukannya kuantiti bacaan. Ibnu Abbas membaca al-Quran secara tadabbur dan tartil.
7. Sunat membaca al-Quran dalam keadaan menangis / bernada sedih (bit-tahazzun). Air mata yang keluar kerana takutkan Allah tidak akan disentuh api neraka. Bahkan orang-orang yang menangis kerana takutkan Allah akan mendapat naungan Arasy di akhirat kelak.
8. Adakalanya sesuatu ayat itu diulang-ulang bacaannya. Nabi saw mengulang-ulang bacaannya sehingga basah seluruh wajah, janggut dan jubahnya yang mulia. Ulama tabi’in, Muhammad bin Wasiq mengulang-ulang bacaan dua ayat sehingga air matanya membasahi janggutnya. Ayat yang dibacanya (dengan maksudnya) ialah “Tidak ada seorang pun manusia dari Adam hinggalah yang ke terakhir hidup kecuali semuanya akan melintasi api neraka untuk sampai ke syurga”. Kata syeikh, orang yang menangis teresak-esak dalam sembahyang dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyangnya. Kata syeikh lagi, kita kena ‘pukul’ hati kita bagi pecah agar dapat mengalirkan air mata. Diriwayatkan Imam Syafi’i dalam usia yang masih kecil (kira-kira umurnya 7 hingga 10 tahun) sering diminta membaca al-Quran kerana bacaannya yang menusuk jiwa. Ketika itu beliau berada di Makkah dan belum berguru dengan Imam Malik. Setiap kali beliau membaca al-Quran, semua orang akan berteriak menangis mendengar bacaannya. Ini adalah kerana beliau membaca al-Quran dari hatinya bukan sekadar suaranya.
9. Sunat sujud apabila bertemu dengan ayat-ayat sajadah. Dalam solat, jika imam tidak sujud maka makmum tidak boleh sujud. Jika makmum sujud juga maka terbatallah solatnya. Sunat membaca tasbih apabila bertemu denan ayat-ayat tasbih, sunatmembaca doa bila berjumpa dengan ayat-ayat doa, sunat beristighfar bila jumpa ayat istighfar, sunat baca a’uzubiha bila jumpa ayat-ayat yang ditakuti dan sunat membaca doa khatam apabila selesai mengkhatam al-Quran.
10. Adab membaca al-Quran ialah dengan sekurang-kurangnya bacaan kita itu didengari oleh telinga kita. Kalau tidak didengari oleh dirinya maka tiada sah bacaannya. Tapi jika takut riak atau was-was menganggu orang lain sedang solat maka eloklah disirrkan.
11. Sunat memperelokkan bacaan. Suara yang sedap mempunyai jazbah iaitu daya tarikan untuk menghayati isi kandungan al-Quran.
Adab batin
1. Baca al-Quran dengan mengingati makna. Kalau hilang makna maka ulang balik bacaannya. Makna bacaan perlu lekat dalam hati yakni tadabbur (memikirkan) dan tafahhum (memahamkan). Nabi saw mengulang-ulang bacaan Bismillah sebanyak 20 kali untuk menghadirkan makna-makna yang terkandung di dalam ayat itu.
2. Al-Quran perlu difahami dan diamal. Apabila al-Quran diamalkan maka Allah akan menambahkan ilmu ke dalam diri iaitu ilmu rasa (dzauq). Ilmu ini menyebabkan seseorang berasa bertambah lazat untuk beramal. Ilmu ini tidak dikurniakan kepada orientalis (kafir) walaupun mereka mahir dalam ilmu tafsir kerana mereka tidak beramal dengannya. Ilmu ada dua iaitu ilmu kasbi (yang diusahakan) dan ilmu laduni (yang beri Allah Ta’ala). Ilmu laduni dikurniakan Allah Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa dan beramal dengan ilmunya.

Syarah dan kupasan kitab kelebihan ahli hadith -Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

Tidak lama lagi, kita akan memasuki bulan-bulan mulia dalam kalendar Islam. Bulan-bulan yang dimaksudkan ialah Rajab, Sya’aban dan Ramadhan. Imam Nawawi ra menyatakan bahawa amalan doa yang dimustajabkan ialah pada malam awal Rajab, Isra’ dan Mi’raj dan Nisfu Sya’aban. Apabila masuk bulan Ramadhan, kita hendaklah mengingati peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam antaranya ialah seperti ingatan kita terhadap peristiwa Perang Badar, peristiwa kewafatan pembantu Rasulullah saw yang paling agung iaitu Sayyidah Khadijah ra dan pembukaan kota Makkah. Dengan mengingati hari-hari besar dalam Islam maka kita akan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah dan Rasul-Nya. Telah menjadi kelaziman ahli hadith mengkhatam kitab Sahih al-Bukhari dalam bulan Rajab. Tradisi mengkhatam kitab hadith ini adalah jalan bagi kita untuk mendekatkan diri kepada Rasulullah saw. Apabila kita dekat kepada Rasulullah saw maka secara automatik, kita akan dekat kepada Allah Ta’ala. Kata ulama, “Sesungguhnya engkau ya Rasulullah saw adalah pintu bagi setiap makhluk untuk sampai kepada Allah Ta’ala. Sesiapa yang bercita-cita hendak sampai kepada Allah Ta’ala tetapi tidak mahu mengikuti pintu Rasulullah saw maka mereka tidak akan sampai kepada Allah Ta’ala”. Ulama bersungguh-sungguh menyuruh anak muridnya membaca hadith kerana terlalu besar rahsia amalan ini (walaupun ada diantaranya tidak memahami apa yang dibaca).
Ketahuilah bahawa tujuan kita diciptakan bukan untuk makan dan minum serta melakukan hubungan suami isteri semata-mata. Kalau inilah tujuan kita maka tidaklah ada bezanya antara diri kita dengan binatang. Andai kata kita makan atau minum atau membuat hubungan lebih banyak dari apa yang dilakukan binatang tanpa memikirkan ada perkara lain yang lebih penting dan besar maka tidak gunalah kita hidup di atas muka bumi ini. Ketahulah bahawa tujuan sebenar kita diciptakan adalah untuk mengenal Allah Ta’ala. Dalam satu ayat al-Quran yang berbunyi, “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menghambakan diri kepada Allah Ta’ala”, Ibnu Abbas ra telah mentafsirkan maksud menghambakan diri dengan makna mengenal Allah. Setiap sesuatu yang ada di atas muka bumi ini adalah dalil bukti kewujudan Allah Ta’ala. Manusia tidak dapat melihat Allah sedangkan Allah dapat melihat mata-mata yang memandang tersebut. Dalam satu hadith Qudsi, dengan maksudnya seperti berikut,” Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi maka Aku suka dikenali. Aku ciptakan makhluk untuk mengenal Aku” menunjukkan bahawa kita kena berusaha untuk mencapai maqam mengenal Allah (makrifatulllah). Allah tidak akan mengenalkan Zat-Nya kepada orang-orang yang tidak bersungguh-sungguh untuk mengenal-Nya. Nabi saw pernah bersabda bahawa usaha untuk mengenal Allah ini bukan sahaja dilakukan oleh manusia tetapi juga oleh para malaikat. Dalam satu hadith baginda saw dengan maksudnya, “Mereka itu (penduduk langit yang tidak pernah melakukan dosa) mencari Allah seperti mana kamu mencari Allah Ta’ala”. Kata Allamah Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, “Aku sentiasa mencari ma’rifah yang merupakan suatu kalimah karomah”. Maka ketahuilah bahawa hubungan kita adalah berusaha untuk mencari ma’rifat Allah. Dengan cara ini kita tidak akan sesat kerana kita akan dapat melihat dengan pandangan mata hati.
Salah satu jalan untuk membuka pandangan mata hati ini adalah dengan membaca kalam-kalam Nabi saw iaitu hadith-hadith Nabi saw. Ini adalah suatu jalan yang sukar tetapi kita tidak boleh jemu membacanya. Sabda Nabi saw, “Sesungguhnya syurga itu dibentangkan dengan jalan-jalan yang tidak disukai oleh hawa nafsu”. Kata syeikh, di pintu rumah Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, terpampang satu hadith Nabi saw dengan maksudnya seperti berikut, “Sesiapa yang menempuh satu jalan dengan tujuan untuk mencari ilmu lalu hidup dengan ilmu pengetahuan maka mereka dimudahkan Allah jalan ke syurga”. Jalan ke syurga tidak menggembirakan jasad dan hawa nafsu sebaliknya menggembirakan roh. Adapun jalan neraka itu adalah menyeronokkan hawa nafsu. Jalan ke syurga ini amat sukar kerana syaitan sentiasa berusaha untuk memutuskan jalan ini.
Ketahuilah bahawa bertabarruk dengan mengambil berkat orang-orang soleh tidaklah salah di sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah. Amalan tabarruk adalah amalan turun-temurun yang wajar dilakukan selagi mana baik sangkaan kita pada orang soleh itu. Ketahuilah bahawa setiap orang itu ada keberkatannya. Di mana sahaja orang soleh berada maka pasti tempat tersebut diberkati Allah Ta’ala. Kata Nabi Isa as, “Allah menjadikan diri aku diberkati dimana sahaja aku berada”. Maka setiap tempat yang dijejak Nabi Isa akan mendapat keberkatan Allah Ta’ala. Pembacaan hadith juga begitu. Amalan ini membawa keberkatan kepada tempat dimana pembacaan itu dilakukan. Ahli bidaah memperlecehkan hadith musalsal sedangkan kalau tidak kerana jalan sanad maka sudah pasti Islam tidak akan sampai kepada kita pada hari ini.
Kita hendaklah melazimi hadir dalam majlis ilmu. Kata Syeikh Soleh al-Ja’fari kepada khalayak awam di Masjid al-Azhar, Mesir, “Tolong aku dengan hadir dalam majlis ilmu agar kita dapat bangunkan majlis yang menjadi kubu yang paling ampuh bagi umat Islam”. Kalau kita benar-benar memahami perjuangan Nabi saw maka kita hendaklah hadir dalam majlis pembacaan hadith. Ketahuilah bahawa mengasihi hadith Nabi saw adalah amalan Ahlus Sunnah waj Jamaah. Orang yang tidak mempedulikan hadith Nabi saw adalah ahli bidaah. Pada zaman mutaakhkhirin ini, apabila muncul golongan bidaah maka sunnah adalah satu keutamaan. Korbankanlah sedikit masa dengan menghadiri majlis hadith. Majlis hadith ini sangat penting malah lebih penting dari ijazah seperti PhD dan sebagainya. Maka atas sebab itu, tekadkan diri untuk hadir dalam majlis hadith dan jauhkan dari segala macam kekangan yang menghalang kita dari hadir dalam majlis hadith ini. Umar al-Khattab pernah berkata, “Berjalan di belakang singa lebih baik dari berjalan di belakang seorang perempuan”. Maksud kata Umar ini adalah jangan terikut-ikut dengan kehendak perempuan. Abaikan segala kehendak perempuan (maksudnya isteri) jika ia menghalang kita dari menghadiri majlis hadith. Lazimnya orang lelaki akan tunduk pada kemahuan perempuan jika tidak kukuh pendirian.
Kata syeikh, berusahalah untuk memperuntukkan cuti bagi setiap hari-hari kebesaran Islam. Bercuti pada hari-hari tersebut amat penting bagi memantapkan rohani kita. Ini adalah bagi memastikan kita dapat hadir dalam program-program yang diadakan pada hari tersebut. Kata syeikh, “Kalau cuti lain kita boleh jadualkan secara tahunan takkanlah cuti untuk hari-hari kebesaran Islam kita tidak boleh peruntukkan”. Ketahuilah bahawa membaca hadith lebih afdhal dari mengerjakan solat sunat. Menuntut ilmu hadith adalah lebih afdhal dari semua amalan sunnah.

Syarah kitab Penawar Hati - Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Mukarramah pada 12 Jun 2010
Hadith berkaitan dengan menghindarkan diri dari doa orang yang dizalimi
Doa orang yang dizalimi adalah mustajab dan diterima Allah Ta’ala. Oleh sebab itu, jauhilah dari doa orang yang dizalimi walaupun orang itu kafir kerananya doanya tidak terdinding. Jangan berlaku zalim pada orang lain. Walaubagaimanapun, orang yang mazlum (teraniaya) maka doanya makbul untuk bahagian yang dizaliminya sahaja. Dalam konteks doa yang dimakbul, syarat bagi seseorang untuk mendapat doa yang makbul ialah makanan, harta dan pakaiannya adalah dari sumber yang halal. Tanda Allah sayang kepada kita ialah apabila Allah menyembunyikan kekayaan kita. Jangan kita sangka bahawa jika kita tidak kaya maka Allah tidak mengasihi kita. Allah menyembunyikan kekayaan seseorang dimana kekayaan itu boleh jadi diperolehi di masa akan datang dan di akhirat kelak. Kata Syeikh, adakah orang yang kaya memberi duit belanja yang banyak kepada anaknya untuk pergi kesekolah misalnya RM 200 setiap hari? Tidak mungkin ia memberi duit sebanyak itu kerana hal sedemikian pasti akan memudaratkan anaknya. Sekaya mana pun orang itu, duit belanja yang diberikan kepada anaknya hanya sekadar mencukupi keperluan sekolahnya sahaja. Inilah tanda kasih seorang ayah kepada anak kerana tidak mahu anaknya rosak kerana duit dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar. Orang yang berbuat zalim kepada orang lain ketika di akhirat kelak akan dapat melihat bagaimana haiwan contohnya seperti kucing diadili. Perbalahan ketika di dunia diadili di akhirat kelak. Jika kucing yang besar menganiayai kucing yang kecil maka di akhirat kelak kucing yang besar itu akan mendapat balasan yang setimpal. Selepas urusan pengadilan itu selesai, Allah akan menjadikan mereka tanah. Apabila melihat kejadian itu, orang-orang yang berbuat zalim berkata, “Alangkah eloknya jika menjadi tanah asalkan tidak masuk ke neraka”. Namun semua itu sudah terlambat.
Kalau kita dizalimi seseorang, maka apa yang patut kita buat?
1. Tuntut balik haq kita. Maksudnya selesaikan urusan dengan penzalim agar si penzalim itu tidak mendapat balasan di akhirat.
2. Serah urusan kepada Allah Ta’ala jika sesuatu urusan itu tidak dapat diselesaikan. Sebagai contoh, kasut kita dicuri orang yang tidak dikenali jadi bagaimana hendak menyelesaikan urusan tersebut.
Jangan kita mendoakan orang yang berbuat zalim kepada kita dengan doa yang bukan-bukan dengan niat hendak mencelakakan dia. Ini adalah kerana jika dia ditimpa celaka dan mendapat kecelakaan yang lebih besar dari apa yang kita alami maka ia pula yang akan menuntut keadilan terhadap diri kita di akhirat kelak. Justeru kata Imam al-Ghazali, serahkanlah sahaja urusannya kepada Allah Ta’ala.
Hadith tentang orang yang diusir dari syurga
Sifat takabbur adalah merupakan dosa besar yang terbesar. Amat bahaya orang yang mempunyai sifat ini. Kenapa sifat takabbur ini menjadi dosa besar yang terbesar? Ini adalah kerana sifat ini tidak layak dimiliki manusia. Walaupun ia tidak menzalimi orang lain tetapi ia telah mencabar Tuhan. Hanya Allah sahaja yang layak membesarkan diri-Nya. Takabbur adalah haq Allah. Manusia tidak boleh mengambil sifat Allah. Orang yang bersifat takabbur tidak akan mencium bau syurga. Iblis yang pernah tinggal di dalam syurga telah diusir keluar kerana bersifat takabbur. Iblis tidak mahu sujud kepada Nabi Adam apabila Allah memerintahkan atas dirinya. Iblis bersifat takabbur apabila ia membandingkan kejadiannya dirinya yang dianggap lebih tinggi darjatnya apabila dijadikan dari api berbanding kejadian diri Nabi Adam as yang dijadikan dari tanah. Takabbur bererti menolak kebenaran dan menghinakan orang lain (memandang rendah pada orang lain). Sifat ujub berada di bawah sedikit dari takabbur. Ujub tidak membandingkan dengan orang lain sedangkan takabbur membandingkan diri dengan orang lain. Pernah sahabat bertanya kepada Nabi saw, “Adakah rumah yang bagus, kenderaan yang bagus dan pakaian yang bagus itu takabbur? Lalu Rasulullah saw menyatakan bahawa Allah suka pada keindahan. Maknanya jika perasaan takabbur dan ujub tidak bersarang di dalam hati maka tidak mengapa jika seseorang itu memiliki rumah, kenderaan dan pakaian yang baik-baik. Sifat angkuh adalah sama dengan sifat takabbur. Orang yang angkuh tidak dapat menerima teguran dari pihak orang lain atau menolak sesuatu kebenaran. Ketahuilah bahawa sifat takabbur ini tidak mengenal sesiapa. Ia boleh bersarang di dalam hati seseorang dan jika bersarang maka berjaga-jagalah terhadap balasan Allah. Seperti yang dinyatakan tadi bahawa sifat ini adalah milik Allah. Di hari akhirat kelak, Allah akan bertanya kepada semua makhluk, di mana Namrud atau Firaun atau Qarun yang sombong, mana pula si raja yang angkuh anu dan anu dan sebagainya. Pada ketika itu, semua makhluk tidak berani bersuara. Lalu Allah berkata, “Yang berkuasa adalah Allah Yang Maha Esa. Maka yang jadi raja yang sebenar-benarnya pada hari tersebut adalah Allah Ta’ala.
Hadith berkaitan dengan penat dan letih berjaga malam
Riak tergolong dalam syirik khafi. Amalan yang dilaksana dengan sifat riak tidak akan mendapat pahala. Ini adalah kerana ia tidak ikhlas mengerjakan ibadah kerana Allah Ta’ala. Sebab itu dikatakan bahawa amalan yang sedikit tetapi ikhlas jauh lebih besar pahalanya berbanding dengan amalan yang banyak tetapi tidak ikhlas. Kata ulama, satu cupak gandum dengan amalan yang ikhlas lebih mahal dari segunung emas dengan amalan yang tidak ikhlas. Diriwayatkan bahawa Perang Tabuk antara perang yang paling sukar pernah dihadapi oleh umat Islam. Perang ini dikatakan sangat sukar kerana jaraknya yang sangat jauh iaitu kira-kira 700 km dari Madinah. Selain itu, tiada tempat persinggahan antara perjalanan dari Madinah ke Tabuk. Ini adalah kerana tiada sumber makanan sepanjang perjalanan tersebut. Orang Islam terpaksa membawa bekalan yang banyak dalam perjalanan itu. Perang Tabuk juga menguji ketabahan dan keimanan umat Islam. Dalam keadaan cuaca yang panas, musim menuai buah kurma pun tiba. Buah kurma yang paling sedap ialah ketika dalam cuaca sedemikian. Orang Islam yang tabah dan beriman tidak akan menghiraukan perkara tersebut sebaliknya melanjutkan perjalanan ke Tabuk. Bagi menghadapi perang tersebut, sahabat-sahabat telah menginfakkan harta mereka. Ada dikalangan sahabat yang menderma secupak gandum mengikut kemampuan dirinya. Secupak gandum yang diderma oleh sahabat ini walaupun nilai tampak kecil namun ianya jauh lebih baik dari derma sebesar gunung Uhud yang disumbangkan oleh umat pada zaman mutakhir ini kerana ikhlasnya para sahabat itu menyumbangkan hartanya apatah lagi dalam keadaan menghadapi peperangan yang sangat sukar itu.
Pada hari ini, ramai orang yang mengerjakan ibadat tetapi ikhlasnya sedikit. Kata Sayyidina Umar, Ramai orang pergi ke Makkah tetapi yang mngerjakan haji adalah sedikit. Ramai orang sembahyang tetapi yang mendirikan sembahyang adalah sedikit. Makna orang sembahyang disini ialah asal sembahyang sahaja tanpa memahmi apa yang dilakukannya. Sedangkan tujuan mengerjakan ibadah tersebut ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah Ta’ala dan mengingati Allah Ta’ala. Sebab itu kena jaga betul-betul kualiti ibadat. Maksud orang yang mendirikan sembahyang ialah orang yang menyempurnakan syarat-syaratnya, rukunnya dan sunat-sunatnya. Begitu juga dengan haji. Orang yang menyempurnakan syarat, rukun dan sunatnya sangat sedikit. Ada orang yang sembahyang tetapi sembahyangnya itu menjadi pemukul atas dirinya. Ini adalah kerana ia tidak menjaga adab dan tertib dalam sembahyang. Dalam ibadat sembahyang, kita perlu menyempurnakan zahir dan batin. Yang dimaksudkan dengan zahir ialah menyempurnakan syarat, rukun dan sunatnya manakala yang dimaksudkan dengan bati ialah menyempurnakan khusyuk. Khusyuk ini ibarat roh di dalam badan. Khusyuk melahirkan kekuatan dalaman dalam badan. Satu daripada 8 syarat khusyuk ialah dengan memahami ayat yang dibaca. Kalau tidak faham ayat yang dibaca, bagaimana hendak mendapat khusyuk dalam sembahyang.

Syarah Tafsir Nurul Ihsan - Ustaz Mutalib

*Catatan bebas ana di Sungai Petai, Perak pada 6 Jun 2010
Transliterasi teks Kisah Nabi Nuh (Surah al-A’Raf ayat 59-64) halaman 71-73
Demi Allah Sungguhnya telah kami suruh akan Nabi Nuh jadi Rasul kepada kaumnya nama Abdul Ghaffar bin Lamik bin Metusyalih bin Nabi Idris dijadi Rasul umurnya empat puluh tahun kata qil lima puluh kata qil seratus kata qil dua ratus lima puluh dan duduk menyeru kaumnya sembilan ratus lima puluh tahun. Kemudian taufan dua ratus lima puluh tahun jumlah umurnya seribu dua ratus empat puluh tahun tukang kayu perbuat bahtera dua tahun.
Maka kata ia hai kaumku sembah oleh kamu akan Allah Yang Esa tiada bagi kamu daripada tuhan yang mustahak disembah itu lainnya bahawasanya aku itu aku takut atas kamu jika sembah lain daripada Allah Taala itu akan azab hari yang amat besar huru hara kesusahan iaitu hari Qiamat.
Berkata orang besar-besar daripada kaumnya bahawasanya kami sungguhnya kami lihat engkau pada dhalalah yang nyata hai Nuh. Kata Nabi Nuh hai kaumku tiada dengan aku itu dhalalah sesat dan tetapi aku ini pesuruhan daripada Tuhan Rabbul Alamin. Aku fardu akan kamu risalah Tuhanku dan aku nasihat bagi kamu jalan kebajikan.
Dan aku ketahui daripada Allah Taala barang yang tiada kamu ketahui dengan wahyu kepada aku daripada azab dunia dan akhirat jika kamu tiada ikut aku dan adakah kamu ajaib bahawa datang akan kamu oleh pengajaran daripada tuhan kamu atas seorang lelaki daripada kaum kamu supaya menakut ia akan kamu azabnya jika kamu tiada beriman dengan Allah ikut rasul-Nya dan supaya kamu takut akan Allah dengan beriman dan junjung suruh tegahnya dan mudah-mudahan kamu dapat rahmat Allah dengan syurga.
Maka dusta mereka itu akan dia Nuh maka kami lepas akan dia dan segala mereka yang beriman sertanya pada dalam bahtera empat puluh lelaki empat puluh perempuan dan tiga anaknya Sam, bapa Arab, Ham, bapa Sudan dan Yafit bapa Turki. Panjang bahtera tiga ratus hasta lebarnya lima puluh tinggi tiga puluh, tiga lapis, atas burung-burung, tengah manusia, bawah binatang-binatang jinak dan liar, naik pada 10 Rajab turun 10 Muharram.
Dan telah kami karam akan segala mereka yang dusta dengan segala ayat hukum kami iaitu dusta Nabi Nuh dan mukjizatnya dan suruhannya dengan taufan iaitu hujan daripada langit dan keluar air daripada bumi hingga hapus bukit terlebih tinggi dua belas hasta mati sekalian ahli bumi melainkan lapan puluh orang yang dalam bahtera sahaja. Dikata Nabi Nuh Adam Thani (Adam ke-2) bahawasa mereka itu kaum Nuh itu kaum yang buta mata hati.

Syarah (catatan bebas ana)
1. Nabi Nuh mengatakan kaumnya sesat sebaliknya kaumnya pula berkata Nabi Nuh sesat. Alasan kaumnya ialah Nabi Nuh mengatakan bahawa orang yang mati hidup balik.
2. Nabi Nuh adalah antara nabi terawal. Nabi Nuh berusaha mengajar umatnya malangnya umatnya menyangka mereka lebih tahu dari Nabi Nuh. Tentang perkara ini, Nabi saw bersabda, “Adakalanya urusan keduniaan kamu lebih tahu dari aku akan tetapi dalam soal wahyu, aku lebih tahu”.
3. Umat Nabi Nuh tidak dapat menerima ajaran Nabi Nuh kerana menganggap Nabi Nuh adalah manusia biasa seperti mereka. Sedangkan para Nabi adalah manusia pilihan Allah Ta’ala.
4. Umat Nabi Nuh ini walaupun jasadnya telah lenyap namun ‘roh’nya masih hidup hingga kini. Perangai umat Nabi Nuh ini nampaknya diwarisi hingga ke umat hari ini. Ramai yang tidak mahu mendengar kata alim-ulama. Padahal alim-ulama juga adalah pilihan Allah. Bukan semua orang terpilih menjadi ulama walaupun ramai yang mengaji pondok. Ulama ibarat lampu. Semakin banyak lampu maka semakin teranglah sesuatu kawasan. Begitu juga ulama. Semakin banyak ulama, semakin teranglah umat.