Sunday, July 12, 2009

Syarah Khas Habib Umar bin Abdul Rahman al- Jifri sempena kunjungan ke Al-Jazari Bukit Indah pada 10 Julai 2009

Ramai orang mempertikai tentang sufi, apakah sufi itu dari Islam atau sebaliknya. Banyak pandangan yang meragukan tentang hal ini sehingga mengelirukan umat Islam sendiri. Namun begitu, kata Habib, sufi itu memang asal dari Islam. Kata Habib, Rukun Islam itu terdiri dari 5 perkara. Rukun Iman pula enam perkara. Satu lagi perkara yang perlu diketahui oleh seorang Muslim ialah Ehsan. Ehsan ini satu sahaja iaitu menyembah Allah Taala “seolah-olah engkau nampak Allah Taala dan Allah Taala melihat apa yang engkau lakukan”. Lazimnya, orang yang berjalan diatas landasan tasawwuf akan mendapat kedudukan ini. Kata Habib lagi, Sufi itu sebenarya Husnul Ibadah iaitu memperkemaskan ibadah atau memperelokkan ibada. Bermula sufi itu mestilah dengan ilmu. Sesiapa yang mengikuti amalan sufi tanpa ilmu maka orang itu adalah zindiq.
Penuntut ilmu mestilah mendahului ilmu dari amal yakni mengetahui ilmu sebelum melakukan zikir atau perkara-perkara sunat yang lain. Masa yang panjang untuk menuntut ilmu itu lebih diutamakan. Menuntut ilmu itu adalah penting dari ibadah-ibadah sunat yang lain kerana apabila kita menuntut ilmu maka ibadah lain akan menjadi lebih mudah samada dari segi kefahaman untuk mengamalkannya dan penghayatannya. Sebab itulah disebut bahawa satu rakaat yang dilakukan oleh orang alim itu lebih baik dari 1000 rakaat yang dilakukan oleh orang jahil.
Mereka yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu pengetahuan sehingga mendatangkan keyakinan maka Allah Taala akan menghadirkan didalam hati mereka dengan satu ilmu yang disebut sebagai ilmu laduni, iaitu ilmu yang sangat istimewa disisi Allah Taala. Kata Habib, dalam tradisi sufi, penuntut ilmu yang sebenarnya ialah orang yang menjaga hatinya. Sesungguhnya Allah Taala maha mengetahui apa yang ada didalam hati. Hati perlu dikawal kerana apa yang ditutur atau dikata mestilah diredhai Allah Taala. Di zaman Rasulullah saw, pernah terjadi ketika Rasulullah saw sedang duduk lalu masuk seorang lelaki kedalam majlis sehingga kelihatan bercucuranlah jatuh air wudhu’nya. Lalu Rasulullah saw berkata kepada para sahabat, Kalau nak tengok ahli syurga maka inilah orangnya sambil menunjukkan kepada lelaki yang baru masuk tadi. Salah seorang sahabat besar, Abdullah ibnu Umar begitu kepingin hendak melihat apa amalan yang dilakukan oleh lelaki tadi sehingga disebut oleh Rasulullah saw sebagai ahli syurga. Lalu Abdullah ibnu Umar pun berhajat untuk bermalam di rumah lelaki itu untuk mengetahui rahsia lelaki itu sehingga diangkat menjadi ahli syurga. Pada malamnya, lelaki itu membentangkan tilam untuk Abdullah ibnu Umar. Pada masa yang sama, Abdullah ibn Umar melihat setiap amalan yang dilakukan oleh lelaki itu. Didapatinya, tiada amalan istimewa yang dilakukan oleh lelaki itu melainkan amalan-amalan yang biasa dilakukan oleh orang lain. Sehinggalah pada malam yang berikutnya juga sama, tiada amalan istimewa yang dilakukan oleh lelaki tersebut. Hal ini membuatkan Abdullah ibnu Umar berasa pelik lalu Abdullah ibnu Umar bertanya kepada lelaki itu. Tanya Abdullah ibnu Umar kepada lelaki itu, Sepanjang aku tinggal dua malam disini, aku lihat tidak ada amalan istimewa yang dilakukan olehmu. Tapi anehnya bagaimana kamu diangkat darjatmu menjadi ahli syurga?” Lalu lelaki itu menjawab, Benar katamu, ibadahku tidak berlebihan. Apa yang kamu lakukan itu yang aku lakukan. Cuma sebelum aku tidur, aku memohon keampunan atas apa yang telah aku lakukan kepada orang lain dan aku memaafkan orang lain atas apa yang telah mereka lakukan padaku. Aku sentiasa menjaga hatiku dan membuang segala hasad yang ada dalam diriku. Dan disebabkan hati inilah, aku dilihat oleh Rasulullah saw sebagai ahli syurga.
Begitu juga dengan sahabat besar yang bernama BIlal. Kata Rasulullah saw, aku mendengar bunyi kasut Bilal didalam syurga. Lalu Rasulullah saw bertanya amalan yang dilakukan oleh Bilal. Jawab Bilal, ibadah aku sama seperti orang lain cuma apabila aku dalam keadaan berhadas, aku segera mengambil wudhu’ lalu aku solat dua rakaat.
Jadi secara kesimpulannya, untuk mencapai kedudukan sebegitu walaupun nampak mudah, sebenarnya penuntut ilmu hendaklah sentiasa bermujahadah dan bersabar. Kata Habib bagi mengakhiri syarahnya, seorang penuntut ilmu itu hendaklah mengikut gurunya yakni dipandu oleh guru dan janganlah berguru dengan kitab tanpa dipandu oleh guru.

Tuesday, June 23, 2009

Syarah Khas Ihya Awal Rejab - Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki

Amal Rejab
Syarah 1: Amal Rejab
Tahun Islam berdasarkan bulan-bulan Qamariah, berbeza dengan tahun Masehi yang berdasarkan bulan-bulan Syamsiah. Jelas Syeikh, bulan-bulan Qamariah yang berjumlah 12 itu telah tercatat di Loh Mahfuz. Tahun Islam mempunyai 355 hari, kurang 10 hari dari tahun Masehi. Oleh itu, kata Syeikh, hitunglah betul-betul usia kita, mungkin usia kita sudah semakin jauh kehadapan berbanding dengan usia kita dalam Tahun Masehi. Disebut bahawa bulan Rejab itu termasuk dalam bulan-bulan haram. Haram disini maksudnya tidak dibenarkan berperang atau menganiayai orang lain khususnya orang-orang Islam. Ada 4 bulan haram semuanya iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Kata Imam Qatadah, sesiapa yang melakukan kebaikan dibulan Rejab maka Allah akan gandakan pahala kebajikannya itu sebaliknya bagi sesiapa yang melakukan kejahatan di bulan Rejab maka Allah akan gandakan balasan yang setimpal dengan kejahatan itu. Disebabkan bulan Rejab ini sangat istimewa maka ia mempunyai banyak nama dan gelaran. Istimewanya bulan Rejab ini adalah dari sudut kemuliaannya seperti yang sering disebut-sebut oleh para ulama salafussoleh.
Imam Nawawi bila ditanya tentang masalah puasa dalam bulan Rejab yakni apa hukumya berpuasa dalam bulan Rejab. Maka kata beliau, Tidak ada suruhan berpuasa dalam bulan Rejab tetapi tidak juga ada hadith yang melarangnya. Oleh itu, puasa di bulan Rejab bukanlah sesuatu yang bersalahan malah digalakkan. Menyingkap kisah Saiyidatina Aisyah r.a yang berpuasa setahun lamanya kecuali di hari-hari yang diharamkan syarak selepas kewafatan baginda Rasulullah saw jelas menunjukkan bahawa Saiyidatina Aisyah juga sebenarnya telah berpuasa dalam bulan Rejab. Saiyidatina Aisyah berpuasa tanpa mengira bulan dan tidak mengkhususnya mana-mana bulan untuk berpuasa. Itulah sebabnya umat Islam patut beramal sepajang masa tanpa mengira bulan tertentu, cuma pada bulan-bulan tertentu itu digalakkan untuk kita melipatgandakan amalan kita. Yang menjadi kesalahan kita ialah melakukan sesuatu amalan pada bulan tertentu sedangkan bulan lain tidak langsung beramal. Allah swt menerima taubat hambanya dalam setiap ketika. Oleh itu, pohonlah taubat kepada Allah sepanjang masa. Cuma dalam bulan Rejab, kita digalakkan supaya melipat-gandakan taubat kerana ada peristiwa besar yang berlaku dalam bulan tersebut. Peristiwa besar yang dimaksudkan ialah Peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Di malam Isra’ dan Mi’raj, Allah swt telah mengurniakan darjah tertinggi kepada Nabi saw iaitu Habibullah yang bermaksud Kekasih Allah. Dalam peristiwa yang sama juga, Nabi saw telah berhubung secara langsung dengan Allah tentang ibadah solat. Maka dengan sebab kemuliaan Isra’ dan Mi’raj itu memang patut sangatlah kita mengenang bulan Rejab dan menghayati sungguh-sungguh kemuliaan bulan ini. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang sangat bersejarah itu tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebaik sahaja turun kembali ke dunia, semua orang tidak mempercayai kata-kata Nabi saw tentang perjalanannya dalam peristiwa itu kecuali Abu Bakar as-Siddiq. Itulah sebabnya Abu Bakar digelar as-Siddiq, satu darjah tertinggi yang diberikan kepada sahabat kerana ia membenarkan setiap kata Nabi saw. Bahkan sehingga ke hari ini pun, masih ada golongan yang tidak percaya dengan peristiwa itu sedangkan kita sebagai umat Islam mestilah meyakini sepenuhnya peristiwa tersebut. Ketika Nabi saw hendak menceritakan peristiwa itu kepada khalayak ramai, Abu Jahal terlebih dahulu mengumpulkan penduduk Makkah. Tujuan asalnya ialah hendak mengejek-ngejek kata-kata Nabi saw dihadapan orang ramai. Dihadapan orang ramai itulah, Nabi saw menceritakan kisah Isra’ dan Mi’raj yang dilaluinya. Maka atas sebab itu, kita sepatutnya membawa keluarga kita dan berhimpun bersama-sama untuk mendengar kisah Isra’ dan Mi’raj ini kerana itulah yang dilakukan oleh Nabi saw ketika baginda menyampaikan kisah Isra’ dan Mi’raj kepada penduduk Makkah.
Syarah 2: Istighfar Hasan al-Basri
Hasan al-Basri merupakan anak murid Anas bin Malik. Keilmuan dan kewarakannya diiktiraf oleh gurunya itu. Anas bin Malik adalah sahabat besar Nabi saw. Beliau merupakan khadam Nabi saw sepanjang baginda berada di Madinah selama 10 tahun. Selain dari Anas bin Malik, Hasan bin Basri dikatakan sempat berguru dengan Saiyidina Ali bin Abi Talib dan dipakaikan dengan pakaian sufi dan ditalqinkan oleh Saiyidina Ali sebagaimana Saiyidina Ali ditalqinkan oleh Rasulullah saw. Hasan al-Basri diangkat sebagai penghulu Tabien di Basra manakala Uwais al-Qarni pula adalah penghulu bagi segala Tabien kerana namanya disebut oleh Rasulullah saw. Uwais al-Qarni tingal di Yaman. Walaupun hidup sezaman dengan Nabi saw tetapi beliau tidak pernah berjumpa dengan Nabi saw kerana menjaga ibunya yang sedang sakit. Hanya selepas Nabi wafat, barulah beliau berpeluang datang ke Madinah dan hanya sempat bertemu dengan sahabat. Sebab itulah, beliau tidak digelar sahabat sebaliknya tabien kerana tidak pernah bertemu dengan Rasulullah saw. Rasulullah saw ketika hayatnya telah dilihamkan oleh Allah swt tentang kemuliaan Uwais lalu berpesan kepada sahabatnya supaya meminta Uwais memohon keampunan (istighfar) kepada Allah swt sekiranya bertemu dengan Uwais kelak.
Berbalik kepada cerita Hasan al-Basri, beliau merupakan tokoh besar dikalangan tabien kerana mengasaskan mazhab tariqah yang berasaskan khauf (takut). Hasan al-Basri dikatakan tidak pernah senyum. Apabila ditanya kenapa beliau tidak senyum, lalu beliau menjawab, Seseorang itu hanya akan senyum apabila berjaya melintasi titian sirat al-mustaqim. Seluruh hidupnya di tumpukan mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah serta takut akan kemurkaan Allah. Maka dengan sebab itulah Hasan al-Basri telah menghimpunkan istighfar-istighfar yang diamalkannya lalu himpunannya itu ditinggalkan kepada kita menjadi satu khazanah yang sangat berharga. Doa Hasan al-Basri sangat mustajab. Tatkala beliau mendengar berita pembunuhan tabien Said bin Jubair oleh Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi, beliau langsung mengangkat tangan berdoa kepada Allah swt moga diberikan balasan setimpal kepada Hajjaj. Tiga hari selepas itu, Hajjaj mati dengan keadaan kerongkongnya berulat. Kata Syeikh, Said bin Jubair itu juga bukan calang-calang tabien. Doanya juga mustajab. Said ini mempunyai seekor ayam yang kerjanya berkokok menggerakkan Said bangkit dari tidur untuk menunaikan solat tahajjud. Hinggalah pada satu hari, Said tidak bangkit solat tahajjud kerana ayamnya tidak berkokok. Lalu Said mendoakan ayamnya supaya lebih baik ayamnya itu mati sahaja kerana tidak menunaikan tugasnya. Dengan tidak semena-mena, ayamnya menggelupur lalu mati. Semenjak dari itu, tahulah Said bahawa doanya sentiasa dimakbulkan Tuhan dan tidak pernah lagi dia selepas itu mendoakan kebinasaan makhluk lain.
Hasan al-Basri selain doanya yang mustajab turut dikurniakan pelbagai karomah. Antara karomahnya yang masyhur ialah solat lima waktunya di Masjidil Haram Makkah sedangkan tinggalnya di Basra. Sehinggalah pada saat beliau hendak wafat, beliau telah pengsan dan dalam pengsannya itu beliau telah diperlihatkan akan keindahan syurga. Ketika dikejutkan oeh anak muridnya, beliau berkata, Engkau ini telah mengejutkan aku dari melihat syurga-syurga Allah. Kata syeikh, sebelum ajal, seseorang itu akan diperlihatkan tempatnya ketika di akhirat kelak samada beliau layak bergelar ahli syurga atau ahli neraka. Hasan al-Basri dihari kewafatannya telah mendapat khabar gembira dari Allah swt apabila pintu langitnya dibuka luas.
Kata Syeikh sebelum menutup syarah, bulan Rejab adalah bulan Istighfar, bulan dimana orang membersihkan ‘ladang’; bulan Sya’aban adalah bulan salawat ke atas Nabi sawi, bulan dimana orang menanam ‘benih’ dan bulan Ramadhan adalah bulan membaca Al-Quran, bulan dimana orang menuai ‘hasil’. Tambah syeikh memetik kata ulama-ulama sufi, bulan Rejab adalah bulan takhalli, bulan dimana orang membersih hati dari sifat mazmumah; bulan Sya’aban adalah bulan tahalli, bulan dimana orang menghiasi diri dengan sifat mahmudah dan bulan Ramadhan adalah bulan tajalli dimana Allah mengurniakan nur makrifah kedalam hati hamba-hamba-Nya.

Monday, June 15, 2009

Hidayatush Shibyan - al-Fadhil Ustaz Osman Noh

Kitab Hidayatush Shibyan – disyarah oleh Ustaz Haji Osman Noh
Kata al-Fadhil Ustaz, menghadiri majlis ilmu itu lebih baik dari solat seribu rakaat, lebih baik dari menziarahi seribu pesakit dan begitulah seterusnya. Tanya sahabat kepada baginda Rasulullah saw, Yang mana lebih afdal, menghadiri majlis ilmu atau membaca al-Quran? Jawab baginda saw, menghadiri majlis ilmu itu lebih baik dari membaca al-Quran. Sebab membaca al-Quran itu jika tanpa ilmu tidaklah ada manfaatnya. Sebab itulah para sahabat tetap hadir ke majlis ilmu walaupun dikatakan terpaksa dalam keadaan merangkak sekalipun. Barangsiapa yang didatangi maut dalam keadaan ia sedang menuntut ilmu dengan tujuan hendak menghidupkan agama nescaya diangkat darjatnya dekat dengan Nabi saw. Pernah satu masa di zaman Rasulullah saw, ada orang mencuri kain kafan kemudian dilihat pula jenazah yang mempunyai rupa paras yang cantik lalu dirogolnya. Lalu dia berjumpa sahabat meminta pandangan tapi kemudian dihalau oleh sahabat. Lalu beliau berjumpa dengan baginda saw tetapi juga dihalau sehinggalah selepas 40 hari maka barulah ia diampunkan oleh Allah. Allah berfirman, kalau Aku mengampunkannya kenapa kamu tidak mengampunkannya? Lalu si pemuda itu bertaubat bersungguh-sungguh sehingga berkata eloklah sahaja dibakarkan aku dari aku dibakar dengan api neraka sebab terlampau takut dengan azab Neraka.
Bermula pekerjaan yang sunat, kerja akan dia dahulu dari dua perkara iaitu bang (azan) dan iqamat sebelum sembahyang
Orang yang azan mempunyai kedudukan istimewa di hari akhirat. Orang ini diberi pahala yang sangat banyak sehingga dikhabarkan keadaannya seperti dalam keadaan timbunan kasturi. Maka sunat bagi laki-laki untuk buat akan kedua-duanya (yakni azan dan iqamat) tetapi kalau tidak dilakukan sebelum sembahyang tidaklah mengapa. Cuma kata al-fadhil Ustaz, perjalanan sembahyang tu nampak tak cantik jika tidak dimulakan dengan azan dan iqamat. Untuk perempuan pula sunat dikerjakan iqamat sahaja. Perintah menunaikan solat di masjid adalah satu kewajipan kecuali uzur syarie. Barangsiapa yang mendengar suara azan dan tidak menjawabnya dengan tidak datang ke masjid maka tidak sah solatnya kecuali dengan uzur syarie. Masyarakat jadi rosak jika tidak menjaga solat jemaah dimasjid. Solat tidak terangkat apabila bercampur dengan kemungkaran. Kelalaian mendatangi masjid menyebabkan kita bercampur dengan kemungkaran lalu solat kita tidak terangkat. Kita perlu perhati isteri dan anak kita. Jika ada yang melawan atau engkar maka ia mungkin berpunca dari keengkaran kita menyahut seruan azan dengan tidak mendatangi masjid. Orang yang layak mengerjakan azan ialah orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, mumaiyiz dan lelaki. Azan perlu dilakukan dengan ikhlas. Sekiranya orang yang sama mengerjakan azan dan menjadi imam maka ada enam syarat
1. Islam
2. Akil – tidak gila
3. Baligh
4. Orang yang dipercayai
5. Laki-laki
6. Menepati waktu
Sekiranya orang yang sama mengerjakan azan dan qamat maka syarat-syaratnya ialah
1. Tertib sekalian kalimah kedua-duanya
2. Berturut-turut sekalian kalimahnya
3. Dilafaz dengan nyaring agar didengar jemaah sekalian
4. Masuk waktu sembahyang fardhu (melainkan waktu subuh dimana azan waktu subuh sebenarnya boleh dikerjakan pada pukul 3 atau 4 pagi tapi jarang-jarang dibuat orang)
5. Ketiadaan dihubung dengan orang lain, maknanya hanya seorang sahaja yang azan sampai selesai
Sela masa antara iqamat dengan sembahyang sunat tidak harus terlalu panjang masa perceraiannya. Untuk orang yang azan, sunat dikerjakan bagi orang yang bersuara kuat. Orang yang azan hendaklah suci dari hadas dan najis. Disunatkan agar mengambil wuduk. Orang yang azan juga hendaklah adil yakni tidak zalim. Ketika azan dan qamat, eloklah berdiri dan mengadap qiblat ditempat yang tinggi. Disunat ketika azan, berpaling pada sebelah kanan dan kiri ketika melafaz hayya alassolah dan hayya alalfalah. Sunat memasukkan jari kedalam telinga ketika azan. Sunat dilakukan secara tanjir yakni ulang pada kalimah syahadah secara nyaring. Sunat dilakukan secara sirr dahulu pada syahadah sebanyak dua kali. Sunat bagi orang yang azan dan iqamat lalu kita menjawabnya. Dan tatkala selesai orang dari azan dan iqamat lalu orang yang menjawabnya pun selesai maka hendaklah membaca doa selepas azan.
Tujuan azan ini tidaklah lain iaitu hendak memanggil orang datang mengerjakan solat berjemaah. Tambah al-fadhil Ustaz sebelum mengakhiri syarah,
1. Dakwah ini bukannya kerja senang. Tak boleh putus asa. Kena guna pelbagai cara. Kalau perlu hantar surat untuk mengajak orang datang ke masjid maka hantarlah surat. Banyak cabaran dalam mengajak orang ke masjid. Tetapi mestilah banyak bersabar.
2. Pengumuman didalam masjid hanya boleh dilakukan jika ia berkaitan dengan masjid. Misalnya jika barang masjid yang hilang maka ia boleh diumumkan didalam masjid sebaliknya jika barang peribadi hilang maka ia perlu dilakukan di luar masjid.

Bahrul Mazi Jilid 2 - disyarah oleh Syeikh Muslim

Bahrul Mazi jilid 2 mukasurat 83
Lafaz yang disunatkan untuk diucap ketika muazzin azan ialah lafaz yang sama dengan apa yang diucapkan oleh muazzin kecuali pada lafaz Haiyya alassolah dan haiyya alalfalah dan juga sewaktu dalam azan subuh (assolah tu…) dimana lafaznya adalah berlainan dari muazzin. Mengikut mazhab Hanafi dan Mazhab Dawud az-Zahiri, menjawab azan itu adalah wajib bukan lagi sunat. Mazhab Dawud az-Zahiri adalah satu lagi mazhab selepas empat mazhab yang masyhur dan ianya disebut mazhab kelima. Mazhab ini berbeza dengan empat mazhab yang masyhur itu dari segi pendapat tentang masalah al-Quran seperti pendapat mazhab ini menyatakan bahawa al-Quran boleh dipegang tanpa ada wuduk.
Orang yang diluar sembahyang seperti orang yang sedang membaca al-Quran, berzikir, duduk diam atau berhadas digalakkan menyahut orang yang sedang azan. Orang yang berada didalam sembahyang fardhu atau sunat digalakkan jangan menyahut azan. Bahkan elok dihabiskan sembahyangnya. Kalau jawab azan dalam sembahyang, tiadalah sembahyangnya itu batal melainkan makruh. Apabila sudah habis menunaikan sembahyang, bolehlah jawab azan sekiranya azan yang dilaungkan belum selesai. Orang yang bersembang digalakkan menjawab panggilan azan namun tidaklah berdosa jika tidak menjawabnya.

Kifayatul Muhtaj - Syarah oleh Tuan Guru Haji Salleh Haji Musa

Kifayatul Muhtaj
Bukit khauf itu berada diluar langit. Cahaya bukit yang kelihatan berwarna hijau sampai ke bumi. Bukit khauf dijadikan dari batu permata (zamrud) hijau yang mahal. Matahari berada dilangit keempat, besi berada dilangit ketiga, tembaga berada dilangit kedua dan air dilangit pertama. Lalu bagaimana matahari boleh menyuluh bumi yakni cahayanya sampai ke bumi sedangkan langit ketiga adalah besi manakala langit kedua pula adalah tembaga. Kata Tuan Guru ketika memetik kata gurunya yang mulia yakni Syeikh Yasin Isa al-Fadani, besi dan tembaga itu ibarat cermin dimana cahaya matahari boleh tembus melepasinya. Lalu cahaya itu sampai ke bumi. Kursi dijadikan dari batu permata yang putih yang bernama yaqut. Ia berada selepas langit ketujuh. Tuan Guru meminta kami menyalin ayat ini dengan bersungguh-sungguh, KURSI IALAH JIRIM YANG BESAR YANG MELINGKUNGI LANGIT DAN BUMI. KURSI IBARAT TELUR PUTIH MANAKALA LANGIT DAN BUMI IBARAT TELUR MERAH.
Ulama berkata, kalau kita campakkan langit dan bumi diatas Kursi, ianya yakni langit dan bumi adalah ibarat cincin yang dicampak diatas padang. Arasy pula dijadikan dari yaqut atau jauhar berwarna hijau. Ketika Nabi naik ke langit pertama bersama Jibril, mereka perlu melepasi pintu di langit pertama. Jibril lalu meminta izin dari penjaga pintu langit agar membenarkan mereka lalu ke langit berikutnya. Hikmahnya disini ialah meminta izin itu adalah satu adab yang tinggi darjahnya. Kata Tuan Guru, orang yang sombong tidak akan dibuka pintu langit pertama. Jadi bayangkanlah Nabi dan Jibril pun perlu meminta izin untuk melepasi pintu langit pertama, apatah lagi kita?

Aqidatun Najin - Syarah oleh Tuan Guru Haji Salleh Haji Musa

Aqidatun Najin
Benih yang bakal membawa kepada kekufuran
1. Berpegang ia kepada sifat-sifat Tuhan mengikut zahir al-Quran dan Hadith yakni pada ayat-ayat mutasyabihat yang jika tidak berguru atau difahami dengan betul boleh jadi keliru. Contoh, ayat yang menyatakan tangan Tuhan diatas tangan kamu. Tangan Tuhan tidak boleh disamakan dengan tangan manusia.
2. Bertaklid kepada tok ketua yang menyeleweng dengan berjanji, mengangkat sumpah, taat setia, patuh pada pemimpin yang menyeleweng boleh menjurus kepada kufur.
3. Jahil dengan kaedah-kaedah akliah. Kaedah-kaedah akliah ialah mengetahui yang wujud yang wajib dan mengetahui lughah-lughah Arab, ilmu bayan dan sebagainya. Itu sebabnya nak dapat imu itu ada beberapa cara. Antaranya ialah jika pandai jangan nak menunjuk, cerdik, bersungguh-sungguh, berguru kepada yang mursyid/pandai dan ada belanja ketika menuntut ilmu.
Kena faham juga apa itu majaz. Contoh, hujan adalah sebab tetapi yang menurunkannya ialah Allah. Jadi bila disebut hujan itu menumbuhkan pokok, itu diertikan sebagai majaz.

Sunday, June 14, 2009

Sairus Salikin - Bab Rahsia Sembahyang (4)

Sairus Salikin – pengajian pada 14 Jun 2009 - disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam

Adalah di hari Jumaat itu, apabila masuk didalam masjid, adalah sunat jika tidak terus duduk sebaliknya mengerjakan solat 4 rakaat dengan 1 kali salam serta membaca 50 kali surah al-Ikhlas di setiap rakaat. Ganjarannya ialah dapat melihat tempat duduk didalam syurga atau orang lain dapat melihat tempat duduknya didalam syurga sebelum ia menutup mata. Kata Syeikh, untuk sembahyang sunat malam, hendaklah dikerjakan setiap satu tu dua rakaat dengan 1 kali salam. Adapun sembahyang sunat sebelah siang boleh dikerjakan empat rakaan dengan 1 kali salam.
Membaca surah didalam rakaat sembahyang jika tidak mengikut tertib mushaf, hukumnya makruh. Contoh kalau baca surah al-Ikhlas dirakaat pertama kemudian surah al-Kafirun di rakaat kedua maka kata Syeikh hukumnya makruh walaupun diperbolehkan. Kata Syeikh, kalau baca surah an-Nas dirakaat pertama, maka dirakaat kedua pun eloklah dibaca surah an-Nas juga sebab surah an-Nas adalah surah yang akhir.
Lazimilah malam Jumaat dengan membaca surah-surah berikut; Yasin, Sajadah, Dukhan dan Tabarak (al-Mulk). Elok juga ditambah satu lagi surah iaitu surah al-Waqiah atau surah Nuh dan sebenarnya kalau boleh, diamalkan bacaan surah-surah diatas setiap malam bukannya dengan mengkhusus di malam Jumaat sahaja. Yasin itu jantung al-Quran sebab itulah elok dibaca di malam Jumaat dan juga dihari-hari yang lain. Nabi saw berkata, Aku mahu surah Yasin ini ada dihati setiap orang Islam. Maksudnya kalau tak mampu hafal al-Quran maka sekurang-kurangnya hafallah surah Yasin sebab ianya jantung al-Quran. Dimalam Jumaat (dan juga dimalam-malam yang lain), elok dibaca surah al-Ikhlas sebanyak-banyaknya. Digalakkan juga bersembahyang sunat Tasbih. Seperti yang ditegas oleh Syeikh sebelum ini, jangan mengkhusus ibadat pada hari dan malam Jumaat sahaja sebaliknya konsisten dihari-hari yang lain juga. Ini bersesuaian dengan pesan Nabi saw kepada bapa saudaranya, Abbas. Kata Nabi saw, Hendakkah aku bagi engkau ganjaran yang istimewa, wahai bapa saudaraku? Jawab Abbas, Tentulah hendak. Balas Rasulullah saw, Amalkanlah sembahyang sunat tasbih tiap-tiap malam. Kata Syeikh dalam hal ini, jika tidak mampu dilakukan tiap-tiap malam buatlah sekurang-kurangnya pada satu malam tetapi janganlah dengan niat memilih malam yang khusus kerana sebenarnya hokum memilih malam yang khusus itu adalah makruh. Ini samalah seperti mengkhususkan puasa pada hari Jumaat sahaja yang hukumnya adalah makruh.
Dari pagi Jumaat hingga gelincir matahari, elok dilakukan solat sunat. Dari solat Jumaat hingga Asar, elok dibuat majlis ilmu dan selepas Asar pula, eloklah mengucap tasbih dan istighfar. Kata Syeikh, jangan tidur selepas Asar kerana kalau diamalkan tidur selama 40 hari berturut-turut selepas Asar nescaya boleh terkena penyakit gila. Kata Syeikh lagi dengan memetik sabda Nabi saw, mimpi yang baik-baik itu adalah satu juzuk dari juzuk kenabian. Ini adalah kerana mimpi Nabi itu semuanya benar-benar belaka bahkan Nabi tidak pernah bermimpi junub. Jadi, untuk mendapat mimpi yang baik-baik, eloklah dibuat pekerjaan yang baik-baik.
Adab seterusnya di hari Jumaat ialah bersedakah sebanyak-sebanyaknya melebihi hari-hari yang lain. Tabung derma jangan diedar pada ketika khatib membaca khutbah sebab makruh jemaah memberi sedekah kepada orang yang memintanya sewaktu khatib membaca khutbah. Kata Ibn Mas’ud, Orang yang meminta sedekah didalam masjid, jangan diberi sedekah kepadanya kerana ia mengganggu konsentrasi ibadah orang lain. Begitu juga dengan orang yang meminta-minta dengan cara menjual bacaan Al-Quran, jangan diberi sedekah kepadanya. Makruh juga memberi sedekah kepada orang yang melangkah-langkah didalam masjid melainkan jika orang itu berdiri atau duduk disatu tempat khusus dan bukan ketika khatib membaca khutbah. Makruh juga berjual beli didalam masjid. Amalan yang sangat baik dan digalak untuk dilakukan pada hari Jumaat ialah, bersedekah dengan memberi makan, bersegera ke masjid, tidak mengganggu atau menyakiti orang lain dan membaca doa selepas memberi salam di kahir rakaat solat (rujuk halaman 274 kitab Sairus Salikin yang disusun oleh Syeikh Fahmi edisi Jawi). Bagi mereka yang mengerjakan amalan diatas nescaya Allah swt akan memustajabkan setiap amalan mereka. Kata Imam Ghazali, jadikanlah hari Jumaat itu hari akhiratmu. Maksudnya hari Jumaat itu elok digunakan sebaik-baiknya untuk beramal dan beribadah. Maka dengan itu, elok bermusafir pada hari Khamis atau selepas Jumaat. Kalau bermusafir selepas Jumaat terutama bagi orang yang berniaga, Insyallah rezekinya akan digandakan oleh Allah swt. Haram bermusafir pada pagi Jumaat jika diketahui di sepanjang jalan tidak ada masjid untuk disinggah bagi menunaikan sembahyang Jumaat (kecuali ikut fiqh, kalau dia mengikuti rombongan dan khuatir ditinggalkan oleh rombongan maka diperbolehkan, tetapi inipun dalam keadaan darurat sahaja). Kata Syeikh sebagai selingan, orang yang pandai/alim fiqh tetapi tidak dalam ilmu tasawuf mendekatkan diri kepada kefasikan kerana suka bermain-main dengan hukum Allah. Maksudnya, orang ini sentiasa cuba melarikan diri dari menunaikan kewajipan kepada Allah kerana bermain-main atau menukar ganti dari satu hukum ke hukum yang lain untuk mengelakkan dari menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam.

Fasal pada menyatakan syarat sah sembahyang Jumaat
Syarat sah sembahyang Jumaat sama dengan syarat sah sembahyang lain kecuali enam perkara takni tambahan syarat iaitu;
1. Mesti dikerja pada waktu zohor (Solat Jumaat tidak boleh diqadha’ sebab itu niat jangan ada ‘ado’an’ dalam usalli
2. Mesti di tempat pemukiman
3. Mesti ada sekurang-kurangnya 40 orang lelaki yang akil dan baligh yang bermastautin. Bagi tempat yang hanya ada cukup-cukup 40 orang (bermastautin) maka haram bagi penduduk disitu bermusafir pada hari Jumaat. Tambah Syeikh, lebih afdal atau sunat bagi orang yang berkhutbah kemudiannya menjadi imam solat Jumaat.
4. Mesti dikerjakan secara berjemaah. Jika terlepas iaitu jatuh masbuk dua rakaat maka solat zohor 4 rakaat perlu dikerjakan.
5. Dalam satu kariah hendaklah ada satu masjid sahaja. Jika ada dua masjid yang sangat berdekatan (tanpa syarat-syarat tertentu) maka masjid yang paling awal takbirnya dikira sah solat jumaatnya. Maknanya tidak boleh berbilang masjid dalam satu kariah. Maksud syarat-syarat tertentu tadi ialah wujud dua atau lebih masjid yang sangat dekat tetapi dipisahkan oleh sungai, jalanraya yang bahaya untuk dilintas atau masjid yang sudah penuh (t idak muat). Maka solat Jumaat boleh dikerjakan di mana-mana masjid tersebut. Jika telah sedia ada berbilang masjid tanpa tertakluk dengan syarat diatas maka solat Jumaat perlu dilakukan secara bergilir. Maksudnya, minggu ini dikerjakan solat Jumaat di masjid A, minggu depan dimasjid B, kemudian balik di masjid A dan begitulah seterusnya.
6. Mesti ada dua khutbah. Pengalaman Syeikh ketika di India, khatib disana membaca khutbah dalam tempoh yang sangat singkat. Hanya rukun sahaja yang dibaca. Tujuannya untuk mengelakkan jemaah dari tertidur dan memberi perhatian sepenuhnya kepada isi khutbah. Di India, syarahan panjang diberikan selepas solat Jumaat. Dengan itu, rukun khutbah dapat dipelihara dengan sebaiknya. Kata Syeikh, kalau ikut fiqh, khutbah elok diringkaskan atau dipendekkan supaya masa solat lebih panjang. Untuk solat pula, lazimilah dengan surah-surah yang dibaca oleh Nabi saw ketika solat Jumaat iaitu rakaat pertama, surah al-A’la dan rakaat kedua, surah al-Ghasyiyah. Adakalanya jika solat hari Raya jatuh pada hari Jumaat, Nabi saw akan membaca kedua-dua surah diatas ketika solat Hari raya dan kemudiannya mengulang lagi surah-surah tersebut dalam solat Jumaat.

Syarat dua khutbah ada 9 perkara iaitu
1. Berdiri bagi orang yang berkuasa
2. Rukun disampai dengan lafaz Arab (Kata Syeikh, orang kita semua pandai cakap Arab sebab solat kan dalam bahasa Arab, tapi adakah kita faham sepenuhnya apa yang kita sebutkan?)
3. Khutbah jatuh dalam waktu zohor.
4. Duduk diantara dua khutbah
5. Didengar oleh 40 orang jemaah (sekurang-kurangnya) yang bermastautin). Khatib kena angkat suaranya supaya didengar jemaah.
6. Muallat yakni berturut-turut antara dua khutbah dan muallat antara khutbah dan sembahyang Jumaat.
7. Suci daripada hadas kecil dan besar.
8. Suci daripada najis pada pakaian dan badan.
9. Menutup aurat.

Syarat wajib Jumaat
1. Mukallaf – akil baligh
2. Laki-laki
3. Merdeka
4. Mukim yakni didalam tempat didirikan sembahyang. Untuk kanak-kanak, musafir dan hamba, hukumnya sunat dikerjakan solat Jumaat.
5. Sihat tubuh badan. Uzur yang dikecualikan ada dua kategori iaitu uzur am dan uzur khas. Uzur am ada 7 iaitu, hujan sehingga membasahkan pakaian, angin yang sangat sejuk, cuaca yang sangat panas, cuaca yang sangat sejuk, angin yang sangat keras, jalan yang sangat berlumpur/lecak dan gempa. Uzur khas ada 11 iaitu sangat mengantuk (bukan bagi orang tabiatnya suka mengantuk), sangat sakit dan masyaqat (yang ada kesusahan), merawat orang yang sakit, menjinakkan kerabat yang sakit (contoh, mententeramkan anak yang menangis yang tak boleh ditinggalkan sebab sakit), menunggu kerabat yang nazak/hampir mati, takut binasa diri dengan sebab ada binatang buas diluar rumah, ditunggu oleh si pemiutang padahal dia dalam keadaan papa, takut dituntut oleh waris yang dibunuhnya atau dilukainya atau orang yang dituduhnay berzina/liwat yang tiada harapan mendapat kemaafan darinya, sangat hendak qadha’ hajat atau perut kembung, sangat lapar dan dahaga, tiada baju yang bersesuaian dengan maruahnya, takut ketinggalan dalam rombongan dan makan sesuatu yang busuk sehingga mulut berbau.


Fasal pada menyatakan segala sembahyang sunat
Sembahyang fardu ibarat modal perniagaan manakala sembahyang sunat itu ibarat menambah laba perniagaan. Ada sembahyang sunat yang terkait dengan dengan waktu seperti dhuha, ada sembahyang sunat yang terkait dengan sebab seperti gerhana dan ada yang mutlak yang boleh dikerjakan bila-bila masa kecuali di waktu yang diharamkan. Sunat yang dikerjakan berulang-ulang hari ialah seperti ialah
Qabliah subuh – ganjaranya sangat besar kerana kekayaannya melebihi dunia dan isi dunia didalamnya. Bacalah surah al-Kafirun di rakaat pertama dan surah al-Ikhlas di rakaat kedua atau surah al-Insyirah di rakaat pertama atau al-Fil di rakaat kedua kerana ia menjadi amalan nabi saw. Surah al-Insyirah dan surah al-Fil jika dibaca didalam solat akan memelihara si pembaca dari gangguan dan kejahatan. Qabliah subuh, sunat dikerjakan dirumah. Bila sampai dimasjid, terus sahaja dikerjakan solat sunat tahiyatul masjid. Selepas solat subuh, banyakkan berzikir dan berfikir tentang kematian.
Solat sunat sebelum zohor dan selepas zohor adalah solat sunat yag sangat dituntut untuk dikerjakan oleh ahli sufi. Solat sunat yang dituntut untutk dikerjakan ialah sebanyak 4 rakaat samada 2 kali salam atau 1 kali salam.
Qabliah asar – Bagi ahli sufi, solat sunat Asar yang sangat dituntut dikerjakan ialah sebanyak 4 rakaat.