Sunday, November 1, 2009

Syarah khas "Tujuan Ilmu dalam Islam" disampaikan oleh Habib Hassan bin Muhammad bin Salem Al-Attas (Imam Besar Masjid Ba’alawee Singapura)

Habib mengimbas kembali sejarah ketika UKM ditubuhkan. Kata Habib, pada ketika university hendak ditubuhkan, Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas pernah berbincang dengannya di rumah Prof Sayyid Muhammad Naquib. Antara perkara yang menjadi pokok perbincangan pada ketika itu ialah lambang UKM. Kata Habib, lambang asal UKM adalah berteraskan kepada kalimah Rabbi Zidni ‘Ilman yang merupakan satu kalimah doa yang membawa maksud, “Ya Allah, Tambahilah kami ilmu”. Alhamdulillah, berkat dari kalimah tersebut, telah ramai lepasan UKM menjadi pendidik, sarjana dan professional yang bertebaran ke seluruh pelusuk tanahair. Apakah tujuan kita belajar mengikut perspektif Islam? Apakah tujuan ilmu pengetahuan?
Ketahuilah bahawa menuntut ilmu itu adalah fardu bagi setiap orang Islam. Tetapi kita harus faham bahawa Tuhan memberi ilmu kepada setiap insan bukan kepada orang Islam sahaja (rujuk balik surah al-Alaq dan lihat perkataan insan). Semua manusia berhak mendapat manfaat ilmu jika mereka mencarinya. Dalam tujuan mencari ilmu, ianya tidak dihadkan pada sekalian anak-anak Adam. Apakah tujuan utama ilmu?
Tujuan utama ilmu ialah untuk menjadi insan yang baik. Insan yang baik ini termasuklah kemuliaan yang meliputi akhlak yang suci dengan tingkah laku yang sangat baik. Ada orang belajar tinggi melangit tetapi dibenci orang maka orang ini tidak layak digelar orang yang berilmu. Orang seperti ini salah faham tentang tujuan ilmu. Rasulullah saw bersabda, Allah swt mendidikku dengan sebaik-baik didikan. Didalam al-Quran, Allah memuji Rasulullah saw, “dan bagimu wahai Rasulullah mempunyai akhlak yang mulia”. Ada dua kata kunci disini iaitu adab (didik) dan akhlak yang mulia.
Adab berasal dari akar kata adaba. Ertinya segala perkara yang baik, mulia dan indah. Sebab itu, bila Nabi saw berkata Tuhan mendidikku maka ia bermakna Tuhan mengurniakan ‘adab’ kepada Rasulullah saw . Adab ini berada di peringkat yang tertinggi kerana ia mengandungi keindahan yang luarbiasa. Sebab itulah dalam bidalan Melayu ada disebut, orang yang tingkahlakunya baik dikatakan beradab manakala orang yang tingkahlakunya buruk disebut biadab. Allah mengurniakan segala macam keindahan adab kepada Nabi saw melalui Jibril as. Tetapi bila Allah memuji Nabi saw, Dia menyebut akhlak bukannya adab. Apakah maknanya itu?
Ianya ada kaitan dengan hubungan antara manusia dan Tuhan. Manusia adalah makhluk manakala Tuhan adalah Khalik. Makhluk adalah apa yang dijadikan oleh Allah sebagai Khalik. Akhlak ini boleh berubah-ubah samada baik atau tidak baik. Apabila Allah menyebut Rasulullah saw mempunyai akhlak yang mulia maknanya Allah memuji peribadi dan akhlak Nabi saw yang jauh terangkat berbanding sebelum Nubuwwah Nabi. Tentang ketinggian akhlak Nabi saw, Habib menceritakan beberapa kisah.
Kisah 1
Pada satu hari, datang seorang Badwi berjumpa dengan Nabi saw. Badwi ini meminta Nabi saw seekor kambing. Nabi saw kemudiannya memberikan semua kambing yang ada kepada Badwi itu. Badwi ini pulang ke kampungnya dengan perasaan yang girang lalu menceritakan perihal Nabi saw memberikan kesemua kambing kepadanya. Perbiadi Nabi saw yang tidak takut dengan kemiskinan itu kemudiannya menarik perhatian seluruh Badwi di kampung itu sehingga akhirnya mereka semua memeluk Islam.
Kisah 2
Dua orang sahabat berkeadaan terlalu lapar. Mereka mengikat batu pada perutnya lalu berjumpa Rasulullah saw. Mereka memberitahu Rasulullah saw betapa mereka dalam keadaan yang sangat lapar sambil menunjukkan batu pada perut mereka menandakan mereka sangat lapar. Rasulullah saw tersenyum lalu membuka kainnya. Kata baginda saw, Jika kamu mengikat satu batu, aku mengikat dua batu. Jika kamu lapar, aku lebih lapar dari kamu.
Rasulullah saw meminta ibubapa supaya mengajarkan anak-anak mereka akhlak yang baik. Insan yang mulia ialah
1. Dia kenal dirinya dan mempunyai hubungan yang baik antara dirinya dengan Allah swt
2. Dia menjaga dirinya supaya melakukan segala kebaikan terhadap semua makhluk-makhluk Allah swt
Kita tidak sempurna jika hubungan kita antara salah satunya (yang disebut diatas) tidak baik. Disamping kita taat pada perintah Allah Ta’ala, hubungan kita antara satu sama lain perlu dijaga. Hubungan kita suami isteri, hubungan kita dengan jiran dan hubungan kita dengan saudara-mara semuanya akan ditanya kelak. Kita harus ingat bahawa apabila disebut tentang makhluk Tuhan, ianya meliputi semua manusia dan semua makhluk. Pernah satu masa dahulu ada seorang perempuan pelacur dari suku Bani Israel berjalan di padang pasir. Dalam perjalanannya beliau terlihat seekor anjing yang sedang berada dalam kehausan. Kasihan dengan anjing itu, perempuan tersebut kemudiannya menanggalkan kasutnya dan membuka selendangnya. Selendangnya diikat pada kasut lalu diturunkan kasut itu perlahan-lahan ke dalam telaga untuk dijadikan timba. Setelah agak penuh, perlahan-lahan kasut itu dinaikkan ke atas lalu air yang ada didalamnya diberikan kepada anjing itu. Kata Nabi saw, kerana sifat perempuan ini memberi seteguk air kepada anjing ,maka Allah swt mengampunkan kesemua dosanya dan memasukkan ia kedalam syurga. Pengajaran disini ialah sedangkan berbuat baik dengan haiwan yang seperti anjing pun boleh menghapuskan dosa apatah lagi jika kita berbuat baik dengan manusia.
Orang yang berakhlak mulia akan menghargai setiap barang yang kecil-kecil yang dikurnia oleh Allah swt. Ada satu benda yang tidak boleh dibeli dengan emas atau berlian bahkan dengan sebab benda ini, ada negara yang sanggup berperang kerananya. Benda ini sering bersama kita tetapi kita tidak dapat melihat nilainya. Apakah benda itu? Benda itu ialah air. Nabi saw pernah diperlihatkan akan peristiwa dua orang sahabat yang dihisab di hari kiamat. Selepas dihisab, seorang sahabat masuk ke syurga manakala seorang lagi masuk ke neraka. Ketika dalam perjalanan menuju ke neraka, sahabat itu terpandang kepada sahabatnya yang masuk syurga lalu teringat peristiwa lama ketika didunia. Katanya, Ingatkah kamu pada ketika kamu dalam kehausan dan kamu datang meminta air lalu diberikan olehku. Sahabatnya itu berkata, Ya, engkau pernah berikanku segelas air ketika aku kehausan. Kata sahabat yang dalam perjalanan ke neraka tadi, Wahai sahabat, bertawassullah kamu kepada Allah swt moga-moga pemberian aku itu akan membolehkan aku masuk syurga. Lalu sahabatnya itu berdoa dan doanya dimustajabkan Allah swt lalu sahabatnya itu pun dimasukkan kedalam syurga.
Setiap yang disebut tadi, setiap sesuatu itu ada nilainya. Sebab itulah Nabi saw menamakan setiap benda yang ada disekelilingnya kerana setiap benda itu mempunyai nilai dan fungsi tersendiri. Sebagai contoh, Nabi saw memberi nama kepada cermin, gelas dan pedang yang digunakannya. Sebelum mengakhiri syarah, Habib berpesan bahawa semua ilmu yang baik itu adalah tergolong dalam ilmu-ilmu Islam. Seseorang itu tidak boleh dikatakan alim jika ia tidak mengetahui ilmu yang sepatutnya diketahuinya. Sebagai contoh, orang yang mempelajari ilmu faraid tidak boleh dikatakan alim jika ia tidak mahir dalam ilmu hisab. Ini adalah kerana ilmu hisab itu mempunyai kaitan dengan ilmu faraid. Begitu juga dengan ilmu lain seperti ilmu falak, perubatan dan sebagainya. Ulama dahulu mencipta kejayaan dalam bidang ilmu kerana mereka tidak pernah menghadkan ilmu. Ini adalah kerana mereka berjaya menghayati takrif ilmu dan faham bahawa segala ilmu yang baik itu adalah termasuk dalam ilmu-ilmu Islam.

Iktikad Ahli Sunnah wal Jama'ah disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 31 Oktober 2009


Kerajaan Ottoman (Uthmaniyyah) kalah sebab munculnya Wahabbi. Sejarah menunjukkan bahawa Islam tidak kalah dengan musuh luaran tetapi dengan musuh dalaman antaranya ialah seperti Wahabbi. Inilah sebab utama kekalahan umat Islam. Musuh dalaman ini telah memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Golongan ini tidak mahu mengikut arahan pemimpin. Apabila Wahabbi masuk ke Alam Melayu maka umat Melayu dengan tiba-tiba menjadi berpecah belah dan bergaduh antara satu sama lain akibat perkara-perkara yang tidak sepatutnya diperbesar-besarkan. Kata Syeikh, terdapat hukum-hukum atau fatwa-fatwa yang berbeza mengikut tempat. Malangnya golongan Wahabbi ini cuba berlagak pandai dengan membawa masuk hukum atau fatwa yang menjadi amalan di tempat lain untuk diamalkan pula ditempat ini. Masyarakat berada didalam kekeliruan apabila golongan ini mula mengkritik ulama dengan cara yang berlebih-lebihan apabila mendapati sesuatu fatwa atau hukum tidak sejalan dengan pemikiran mereka. Kata Syeikh lagi, langkah ulama menetapkan perbezaan disatu tempat atau masyarakat dengan tempat yang lain atau masyarakat yang lain memunculkan perbezaan sesuatu hukum atau fatwa. Inilah yang dikatakan rahmat Allah kerana ulama-ulama ini mengeluarkan pendapat-pendapat yang berbeza untuk kesesuaian dan kemaslahatan masyarakat disesebuah tempat. Sebab itu apabila kita sampai ke sesuatu tempat itu, kita kenalah mengikut hukum atau fatwa yang telah ditentukan oleh ulama disitu.
Kerja utama pemerintah ialah mengawal ajaran Islam. Konsep ini sebenarnya telah diamal sejak dari zaman Nabi saw. Nabi saw mengawal para sahabat dan menentukan sahabat mana yang berkelayakan untuk mengajar, berkhutbah dan menyebarkan dakwah. Nabi saw sendiri yang mentauliahkan atau mengijazahkan kepada sahabat yang berelayakan untuk mengajar dan memperluaskan ilmu-ilmu Islam. Kita harus sedar dan faham bahawa bukan semua orang berkelayakan untuk mengajar dan bercakap di khalayak ramai. Tetapi pada hari ini kita dapat lihat ramai orang yang bukan ahli dalam sesuatu bidang itu dibenarkan bercakap di hadapan khalayak. Para hukama’ ada menyebut, diantara ucapan-ucapan dan perkataan itu ada yang ‘memukau’ orang lain seumpama sihir walaupun ilmu yang disampaikan itu tidak betul/benar. Kata Syeikh, terlalu ramai orang pada masa ini yang mengaku ulama tetapi hakikatnya tidak. Mereka hanya pandai bermain kata-kata dan sangatlah dibimbangkan pengaruh mereka ini terhadap masyarakat. Berbalik kepada fahaman-fahaman yang terkeluar dari iktiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWJ) antaranya seperti golongan Wahabbi ini, munculnya golongan ini telah menyebabkan kasih-sayang sesama umat Islam dilenyapkan. Hubungan kasih-sayang sesama umat Islam lenyap kerana tuhan yang disembah mengikut faham yang berlainan. Golongan Wahabbi menyamakan sifat Tuhan dengan sifat makhluk sedangkan iktiqad ASWJ bukan begitu. Golongan Wahabbi menyamakan tugas Nabi saw seperti posmen yang kerjayanya hanya menghantar surat. Mereka mendakwa bahawa Nabi saw hanya membawa risalah dari Tuhan tanpa wujud apa-apa hubungan dengan Tuhan dan umat Islam. Sedangkan dalam iktiqad ASWJ, kita mempunyai hubungan dengan Nabi saw semenjak berada di alam dunia hinggalah ke alam barzakh. Semua manusia termasuklah rasul dan nabi mempunyai hubungan dengan Nabi saw bahkan mereka masuk ke dalam syurga pun atas syafaat Nabi saw. Iktiqad ASWJ menyatakan bahawa Nabi saw sentiasa berhubungan dengan umatnya. Nabi saw melihat amalan umatnya. Ini amatlah bertentangan sekali dengan fahaman Wahabbi yang mengatakan bahawa tugas Nabi saw itu tidak lebih dari membawa risalah sahaja tanpa mempunyai apa-apa hubungan. Kata Syeikh, asas kasih sayang perlu disiapkan terlebih dahulu dan inilah yang menjadi tunjang kepada kejayaan Nabi saw dan para sahabat satu masa dahulu. Apakah asas kasih sayang itu? Ianya tidak lain dan tidak bukan ialah kalimah La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah. Bila masa para sahabat berkasih sayang? Sahabat berkasih sayang apabila disemai benih tauhid yang benar. Ketika dizaman jahiliah mereka tidak kenal erti kasih sayang yang sebenar. Hari ini, nilai kasih sayang sudah hilang dari umat Islam! Nilai itu hilang kerana umat Islam berpecah-belah dan masing-masing mempunyai fahaman tauhid mereka sendiri.
Berhati-hatilah dengan perkataan bidaah. Janganlah kita mudah sangat membidaahkan orang lain. Kata Imam asy-Syafi’i, bidaah terbahagi kepada dua iaitu bidaah mahmudah (yang dipuji) dan bidaah mazmumah (yang dikeji). Setiap perkara baharu yang tidak diamal oleh Nabi saw tetapi selari atau sejalan dengan sunnah dan disepakati oleh ulama maka ia adalah bidaah yang terpuji. Kalau ia tidak selari dengan sunnah maka ia adalah bidaah yang dikeji. Malangnya golongan Wahabbi ini tidak tahu membezakan bidaah mana yang dipuji dan bidaah mana yang dikeji. Mereka menganggap semua bidaah itu dikeji belaka. Majlis maulid walaupun tidak pernah dilakukan oleh Nabi saw tetapi ia tergolong dalam bidaah terpuji. Sesiapa yang mengerjakannya akan mendapat pahala. Cubalah renungkan aturcara program majlis maulid tersebut, adakah terdapat perkara-perkara yang tidak selari dengan sunnah? Kalau hendak dikatakan bidaah maka perbuatan kita pada hari ini boleh dikatakan hampir semuanya bidaah belaka. Di zaman Nabi saw, majlis pengajian tidak diadakan diatas karpet, tidak mempunyai pembesar suara, tidak mempunyai mushaf ketika membaca al-Quran bahkan masalah ilmu tajwid juga tidak timbul di zaman Nabi saw. Tetapi pada hari ini, semua perkara yang disebut diatas dilakukan oleh umat Islam, jadi bolehkah dikatakan semua yang disebut itu bidaah yang dikeji? Sudah tentu tidak kerana ia memberi kemudahan kepada umat Islam itu sendiri. Kesimpulannya, jika hendak menjadi orang yang alim jadilah orang alim yang memudahkan umatnya dan jagalah lidah dengan tidak mengata orang lain. Demi menjaga lidahnya, sahabat besar, Abu Bakar as-Siddiq as akan meletak batu kerikil didalam mulutnya supaya lidahnya tidak berkata perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat atau mendatangkan dosa seperti mengumpat, fitnah dan sebagainya.
Sabda Rasulullah saw,

"Apabila berkata seseorang lelaki kepada saudaranya, "Wahai kafir!" Maka perkataan tersebut akan terkena kepada salah seorang dari keduanya." - Hadith ini diriwayat oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra. Dipetik dari kitab Iktiqad Ahli Sunnah wal Jama'ah halaman 21, dikarang oleh Al-Allamah Muhammad Mukhtar ibn 'Atorid dan disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

Thursday, October 29, 2009

Syarah Khas Haul Imam al-Haddad oleh Habib Soleh al-Jufri

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 23 Oktober 2009
Tema haul kita pada tahun ini ialah akhlak dan adab. Dalam kitab-kitab Imam al-Haddad, ada diceritakan tentang kelebihan-kelebihan akhlak dan adab. Ketahuilah bahawa amalan yang paling tinggi dan timbangan yang paling berat tidak lain dan tidak bukan ialah akhlak. Akhlak ialah adab yang juga melibatkan budi pekerti yang paling berat ditimbang. Tanda sempurna iman seseorang itu bukan terletak pada puasanya atau solatnya atau sedeqahnya tetapi adalah pada akhlaknya. Akhlak yang paling baik itulah yang paling berat timbangannya. Kita wajib berakhlak mulia. Akhlak adalah dakwah yang paling tepat. Nabi saw mendidik kita supaya berakhlak dan beradab bukan sahaja sesama manusia tetapi juga kepada tumbuhan dan haiwan. Rasulullah saw mendidik kita adab-adab apabila hendak menyembelih binatang. Antara adabnya ialah harus menggunakan pisau yang tajam ketika hendak menyembelih. Makruh jika kita menunjukkan pisau dihadapan binatang. Ini adalah kerana perasaan binatang itu juga perlu dijaga. Kemudian binatang yang hendak disembelih itu perlulah diletak ditempat yang baik-baik. Jika menyembelih dengan kadar yang banyak, adalah makruh jika kita menyembelih seekor binatang itu dihadapan kawan-kawannya. Adabnya ialah hendaklah kita lakukan sembelihan itu ditempat yang agak berjauhan dari kawan-kawannya. Ketika Nabi saw berwudhu', sisa-sisa air yang terdapat didalam kendi, baginda tuangkan diatas tanam-tanaman. Begitulah cantik dan indahnya akhlak dan adab yang diajar oleh baginda Rasulullah saw kepada kita. Ketika berada di Tanah Haram, adab dan akhlak berada di kedudukan tertinggi. Kita dilarang mencabut tumbuhan atau mengganggu binatang yang berada di sekeliling tanah suci itu. Ketahuilah ada 3 tingkatan akhlak;
1. Awal tingkatan akhlak itu ialah dengan menjaga lisan, lidah dan tangannya. Tanda orang itu mencapai tingkatan ini ialah apabila orang lain berasa aman dengannya. Walaupun orang itu tidak mendatangkan manfaat kepada orang lain, tetapi dia juga tidak merugikan masyarakat atau mendatangkan ancaman kepada masyarakat.
2. Tingkatan pertengahan akhlak ialah apabila masyarakat boleh mengambil manfaat darinya dan berasa aman apabila bersama dengannya.
3. Tingkatan tertinggi akhlak tercapai apabila menyempurnakan empat perkara ini iaitu pertama, tidak mendatangkan kerugian kepada orang lain; kedua, jika ada orang memusuhinya maka beliau membalasnya dengan kebaikan dan menyambungkan tali persaudaraan (orang yang mempunyai sifat pemaaf akan mendapat syurga yang seluas langit dan bumi); ketiga, mengeluarkan harta ketika berada dalam keadaan lapang (senang) dan keempat, berbuat ehsan.

Syarah Khas Haul Imam al-Haddad oleh Syeikh Afifuddin al-Jilani

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 23 Oktober 2009
Perhimpunan kita pada malam ini adalah satu sunnah yang sangat hebat iaitu mengingati mereka-mereka yang telah berjasa besar terhadap umat Islam. Keikhlasan mereka berdakwah terpancar menerusi kitab-kitab dan dakwah-dakwah mereka yang tersebar luas ke seluruh dunia. Imam al-Haddad digelar Qutb Irsyad. Apa yang dimaksudkan dengan Qutb Irsyad ini? Irsyad merujuk kepada mursyid atau penunjuk jalan. Pada hari ini, banyak buku terjual dipasaran tetapi buku atau kitab yang menjadi penunjuk jalan amat sukar ditemui. Buku atau kitab yang dikarang oleh Imam al-Haddad sebaliknya menjadi penunjuk, pemimpin kepada generasi-generasi berikutnya agar sentiasa menurut jalan yang lurus. Didalam kitab-kitab yang dikarangnya, terserlah penerangan tentang akhlak. Ramai orang boleh menulis tetapi pokok isinya belum tentu boleh sampai terus ke hati. Karya Imam al-Haddad termasuk dalam golongan ini. Selain daripada itu, contoh terbaik isi-isi kitab yang boleh sampai terus ke hati boleh dilihat menerusi isi-isi kitab yang dinukilkan oleh Imam al-Ghazali. Ada seorang profesor berbangsa Amerika setelah membaca kitab Imam al-Ghazali terus berminat untuk mendalami ajaran Islam. Katanya, setelah membaca kitab Imam al-Ghazali, barulah dia menemui 'dirinya' yang sebenar. Profesor itu juga turut membaca kitab yang dikarang oleh Imam al-Haddad. Setelah membaca kitab-kitab yang dikarang oleh Imam al-Haddad dalam tempoh sebulan, pintu hatinya akhirnya terbuka untuk memeluk Islam. Begitulah hebatnya kaitab-kitab yang dikarang oleh ulama-ulama besar ini. Kitab-kitab mereka berjaya mengetuk pintu hati si pembacanya. Kata Syeikh Afifuddin, untuk kenal peribadi Imam al-Haddad maka bacalah kitab-kitabnya. Kitab-kitabnya mampu menjadi teman kala kita dilanda kesusahan. Imam al-Haddad walaupun kehilangan penglihatan namun Allah telah menggantikannya dengan mengurniakan penglihatan hati. Kata Syeikh, jika hendak dekat dengan Allah dan Rasul-Nya maka hati hendaklah sentiasa bersih dan jernih. Keistimewaan Imam al-Haddad boleh ditelusuri berdasarkan dua maksud hadith qudsi. Pertamanya, hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi seperti berikut, Allah mencintai hamba yang mencintai-Nya oleh itu cintailah hamba ini wahai Jibril. Imam al-Haddad tergolong dalam kelompok ini. Beliau dicintai dimana-mana. Kitab-kitabnya dicintai oleh umat Islam diseluruh dunia. Pendapatnya diterima oleh majoriti umat Islam. Imam al-Haddad menulis kerana cintanya kepada Allah Ta'ala. Lalu kecintaannya itu terserlah dan terbalas apabila semua umat Islam mencintainya seperti yang terzahir pada hari ini dimana kitab-kitabnya menjadi kecintaan kepada umat Islam diseluruh dunia. Hadith yang kedua adalah seperti yang tercatat didalam 40 hadith yang disusun oleh Imam Nawawi yang berbunyi seperti berikut, Aku bersamanya bila hamba-Ku menyebut namaku (dengan ikhlas). Imam al-Haddad tergolong dalam kelompok ini. Beliau menyebut nama Allah dengan ikhlas. Imam al-Haddad memperuntukkan malam untuk mengingati Allah kerana beliau tahu Allah akan bersamanya. Apabila kita berhimpun mengingati Allah dan berselawat ke atas Rasul-Nya maka nama kita akan dikenali di syurga-syurga Allah. Sifat seorang ulama sejati sentiasa tawadhuk dan berusaha mencari ilmu untuk dekat kepada Allah Ta'ala. Imam asy-Syafi'i didatangi oleh seorang sahabat lalu ditanya oleh sahabatnya itu, Betapa hebat ilmu kamu? Jawab Imam asy-Syafi'i, ilmu aku seperti seorang bayi yang baru hendak merangkak. Begitulah jawapan seorang ulama besar yang sentiasa tawaduk dan tidak jemu-jemu menimba ilmu semata-mata mencari keredhaan Allah Ta'ala.

Tuesday, October 27, 2009

Syarah Khas Haul Imam al-Haddad oleh Habib Abdul Rahman bin Hussain As-Seqaf

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ pada 23 Oktober 2009
Kenapa ulama tertentu diperingati haulnya? Kenapa untuk ulama tertentu diadakan acara seperti ini? Gunanya ialah untuk menyambungkan hubungan kita dengan mereka. Dengan mempelajari ilmu-ilmu mereka, kita akan dapat mengenal dan meneladani peribadi mereka sekaligus menyambungkan hubungan kita dengan mereka. Kita juga perlu mengenal kesemua para daie yang telah menyebarkan dakwah dipelusuk muka bumi ini. Ini adalah kerana sumbangan mereka sangat besar dalam menegakkan agama Allah. Maka atas sebab itulah, Rasulullah saw mengajak para sahabat datang ke Bukit Uhud setiap tahun untuk memuji-muji dan menyebut-nyebut (memperingati) kegagahan para syuhada Uhud yang telah berjuang di jalan Allah. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membangkitkan rasa semangat bagi menyebarkan agama Islam dan seterusnya meningkatkan semangat untuk terus-menerus beramal dengan ajaran Islam. Selanjutnya Rasulullah saw dan para sahabat akan mendoakan para syuhada di Bukit Uhud. Demikianlah juga dengan generasi penerus yakni kita. Generasi penerus perlu mendoakan generasi-generasi terdahulu yang telah meneruskan usaha dakwah di jalan Allah. Dengan mengingati dan mendoakan generasi terdahulu, mudah-mudahan kita akan dapat mengambil semangat mereka dalam usaha untuk meningkatkan amalan dan dakwah di jalan Allah.
Betapa umat Islam pada hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang sangat meruncing. Syaitan adalah musuh bagi kita maka kita harus sentiasa waspada. Syaitan dan soldadunya boleh melihat kita sedangkan kita tidak boleh melihat mereka. Selain syaitan, nafsu yang mendiami tubuh kita juga adalah musuh yang paling berat. Atas sebab itu, Allah Ta'ala mewajibkan kita memohon petunjuk dari-Nya sebanyak 17 kali setiap hari. Do'a wajibnya ialah Surah al-Fatihah yang wajib dibaca 17 kali setiap hari. Hayatilah doa-doa yang terkandung didalam surah ini. Golongan Yahudi sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan umat Islam. Begitu juga golongan Nasrani. Kedua-dua golongan ini tidak pernah redha dengan Islam selagi umat Islam tidak mengikuti cara hidup mereka. Mereka akan sentiasa berusaha untuk menarik semua kaum Muslimin meninggalkan segala akhlak, budaya dan adab Muslim untuk menurut gaya hidup mereka. Mereka hanya menarik umat Islam meninggalkan cara hidup Islam tetapi tidak menyuruh masuk kedalam agama mereka. Bagi golongan Yahudi, agama mereka hanyalah untuk mereka. Ini adalah kerana mereka menganggap agama mereka adalah khusus untuk bangsa mereka sahaja. Seorang pemimpin Yahudi pernah berpidato di New York dengan menyatakan bahawa seluruh umat manusia khususnya umat Islam adalah sampah. Bumi harus dibersihkan dari mereka. Bagi mereka, membunuh umat Islam adalah satu pekerjaan yang mulia. Inilah sifat ta'sub. Inilah sifat assobiyah. Sifat ini tidak diredhai dalam agama kita. Rasulullah saw diutus untuk menghancurkan fahaman Assobiyah ini. Aus dan Khazraj ketika di zaman jahiliah mereka sering berperang kerana kepentingan suku masing-masing. Yahudi dan Nasrani pula kerjanya memperkotak-katik negara Islam. Mereka meniupkan semangat assobiyah sehingga umat Islam berpecah belah. Umat Islam lebih sayangkan sukunya. Kita perlu sedar bahawa Eropah walaupun terpecah-pecah negaranya tetapi tetap bersatu khususnya dari segi ekonomi, matawang, akta-akta, pertahanan dan sebagainya. Eropah sentiasa sepakat walaupun berlainan bangsa. Musuh Islam merosakkan semuanya. Moral, tradisi dan semangat Islam akan sentiasa dirosakkan oleh musuh umat Islam. Suatu bangsa dikatakan wujud apabila akhlak, moral dan tradisinya masih ada. Jadi kita perlu renungkan tentang diri kita, apakah yang masih tinggal? Ekonomi kita pada hari ini dipenuhi dengan riba yang sudah tentunya bukan dari ajaran Islam dan penampilan lelaki dan wanita juga bukan dari ajaran Islam - ada lelaki yang berpenampilan wanita dan sebaliknya, ada wanita yang memakai pakaian yang menjolok mata. Ingatlah bahawa 3 golongan manusia yang tidak akan masuk syurga SELAMA-LAMANYA iaitu
1. orang yang minum arak
2.perempuan yang penampilan seperti lelaki
3.dayus (kepala keluarga yang tidak peduli dengan orang luar yakni lelaki yang keluar masuk rumahnya berjumpa dengan isteri dan anak perempuannya sesuka hati)

Pengenalan ringkas Imam al-Haddad - Disampaikan oleh Habib Abdul Rahman Isa al-Haddad (pengasas Hawi al-Khairat Malaysia)

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 Pada 23 Oktober 2009
Kehidupan Imam al-Haddad diwaktu usia kecilnya sangat istimewa. Kesukaan beliau ialah singgah dimasjid-masjid dan mengerjakan solat beratus-ratus rakaat. Sekiranya masjid itu dikunci, beliau akan memanjat untuk masuk kedalam agar dapat mengerjakan solat sunat. Hatinya berasa puas setiap kali dapat menunaikan hajatnya itu. Beliau tidak seperti kanak-kanak yang seusia dengannya. Hal ini agak aneh memandangkan beliau buta semenjak usianya masih kecil tetapi tetap berkeinginan menziarahi dan memasuki masjid untuk menunaikan solat. Ketika berusia 7 hingga 8 tahun, beliau tidak bermain seperti kanak-kanak yang lain sebaliknya beliau lebih gemar menghabiskan masanya dengan mengerjakan ibadah. Beliau sentiasa berusaha untuk menyempurnakan sunnah-sunnah nendanya, Rasulullah saw. Ketika berusia 40 tahun, beliau menyatakan bahawa beliau telah menyempurnakan kesemua sunnah Nabi saw kecuali satu yang belum tertunai lagi di kala itu iaitu menyimpan rambut sehingga ke paras bahu. Walaubagaimanapun, ada riwayat menyebut bahawa beliau berjaya menyimpan rambutnya sehingga ke paras bahu ketika usia tuanya. Ilmu-ilmu Imam al-Haddad adalah berasaskan atau berpandukan dari tokoh besar Islam abad ke 5 Hijrah iaitu Imam al-Ghazali. Ilmu-ilmunya dicurahkan dalam bentuk tulisan. Apabila kita membaca kitab-kitab Imam al-Haddad, kita akan tahu bahawa ilmu-ilmu yang tercurah didalam tulisannya itu lahir dari hatinya sendiri. Hatinya bercakap terus kedalam hati kita (pembaca). Beliau berbicara dengan sangat halus dari segi bahasa dan adabnya. Ianya menggambar ketinggian akhlak dan adabnya. Ini dapat dilihat dari tulisannya apabila beliau memulakan setiap fasal/bab dengan kalimah "Wahai Saudaraku" yang menunjukkan betapa beliau menulis dengan penuh beradab.
Kata habib, kitab-kitab Imam al-Haddad disimpan didalam tanah ketika rejim komunis memerintah Yaman sekitar tahun 1970-an. Selepas itu, nenda habib menggali tanah tersebut untuk mengambil kitab-kitab Imam al-Haddad lalu dibawa keluar dari situ. Dari Mesir kitab-kitab itu kemudiannya dibawa ke Malaysia. Sekitar tahun 80-an, kitab-kitab Imam al-Haddad mula diterjemah kedalam Bahasa Melayu untuk kepentingan dan kemudahan umat Islam di Alam Melayu. Kata nenda habib kepada habib, satu hari nanti kamu akan buka kitab Imam al-Haddad dan akan ketahui rahsia-rahsianya,.
Tentang ratib al-Haddad, kata habib, ratib ini sangat istimewa. Ratib ini meliputi ayat-ayat al-Quran dan Hadith. Sejarah penulisan ratib ini bermula apabila Imam al-Haddad didatangi oleh sahabatnya. Sahabatnya memberitahu bahawa orang-orang di kampungnya telah menjadi sesat. Imam al-Haddad kemudiannya diilham oleh Allah swt untuk menyusun sebuah ratib yang mempunyai susunan yang sangat istimewa. Ada yang perlu diulang 3 kali, ada yang perlu diulang 7 kali dan sebagainya tanpa perlu dibuang atau ditambah. Ratib ini kemudiannya diberikan kepada sahabatnya untuk diamalkan. Kesan daripada amalan ratib yang berterusan maka kampung sahabatnya itu bersih dari ajaran sesat. Kata habib, ratib ini sangat mudah dibaca. Antara rahsianya ialah memudahkan roh keluar dari jasad ketika berhadapan dengan sakratul maut dan menenangkan jiwa yang gelisah.

Monday, October 19, 2009

Titisan Hujan Lautan Sufi - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR selepas solat Maghrib 18 Okt 2009
Ada 3 orang ulama Alam Melayu yang sangat terkenal dan sezaman yang pernah menimba ilmu di Makkah di satu masa dahulu. Ulama-ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Daud Abdullah Fathani, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Ketiga-tigannya merupakan pengarang kitab yang hebat-hebat. Syeikh Daud Abdullah mempunyai hasil karya yang sangat banyak dan karya-karyanya masih lagi digunakan hingga ke hari ini. Beliau sangat rajin menulis sehingga beliau dikatakan sering tertidur diatas meja. Penulisannya mencakupi pelbagai disiplin ilmu. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga merupakan pengarang kitab yang sangat hebat. Kitabnya yang sangat terkenal dan masih lagi dipelajari orang sehingga ke hari ini ialah Hidayatus Salikin dan Sairus Salikin. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari juga tidak kurang hebatnya. Kitab fiqhnya iaitu Sabilal Muhtadin menjadi rujukan ulama pada zaman ini. Baik, kitab yang disyarah pada hari ini merupakan nukilan seorang ulama besar abad ke-20 iaitu Tuan Hussain Kedah. Beliau mempunyai pertalian nasab dengan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Kata Syeikh, sebelum memulakan perbahasan tentang kitab ini, adalah lebih baik kita menghadiahkan al-Fatihah kepada empunya kitab iaitu Tuan Hussain Kedah yang telah banyak berjasa kepada umat Islam abad ini dari segi perkembangan ilmu dan penyebaran dakwah Islam.
Kitab ini dimulakan dengan lafaz kalimah Bismillahirahmanirrahim. Adalah menjadi kebiasaan para ulama’ memulakan perbahasan dengan kalimah ini. Sabda Nabi saw (lebih kurang maksudnya), setiap amalan yang mempunyai kedudukan di sisi syarak yang tidak dimulakan dengan nama Allah, maka terputuslah keberkatan dari Allah. Maka atas sebab itulah para ulama’ memulakan perbahasan dengan bacaan Bismillah agar majlis ilmu itu beroleh keberkatan dari Allah Ta’ala. Dalam membicarakan hukum tentang Bismillah, ia terbahagi kepada empat iaitu wajib, sunat, makruh dan haram. Dalam Mazhab Syafi’i[1], Bismillah wajib dilafazkan ketika membaca surah al-Fatihah[2]. Jika tidak membaca Bismillah di awal surah al-Fatihah didalam solat maka solatnya terbatal. Kita tidak boleh mengikut imam yang tidak menyempurnakan rukun solat di sisi mazhab atau yang telah batal disisi makmum. Maksud “yang telah batal disisi makmum” ialah apabila kita melihat imam tersebut terang-terangan berpegang kepada Mazhab lain. Sebagai contoh, pada ketika itu kita melihat beliau bersalam dengan wanita bukan muhrim. Disisi mazhabnya, perbuatan bersalam itu tidak membatalkan wuduknya sedangkan disisi kita yang bermazhab Syafi’i, perbuatan bersalam dengan wanita bukan muhrim akan membatalkan wuduk. Jika kita meneruskan niat kita untuk berimamkan imam tadi maka solat kita tidak sah sedangkan solat imam tadi sah kerana mengikut mazhabnya. Berbalik kepada soal surah al-Fatihah tadi, didalam mazhab Syafi’I, kalimah Bismillah termasuk dalam 7 ayat surah tersebut. Sebab itu, solat mengikut mazhab Syafi’i tidak sah jika tidak membaca Bismillah dalam surah al-Fatihah. Tentang persoalan imam tadi, seharusnya imam meraikan makmum yang berlainan mazhab. Diriwayatkan bahawa Imam asy-Syafi’i sangat menghormati Imam Abu Hanifah walaupun berbeza mazhab. Pada suatu hari, Imam asy-Syafi’i menziarahi makam Imam Abu Hanifah. Imam Asy-Syafi’i menziarahi makam tokoh besar itu sebelum waktu subuh. Telah menjadi kelaziman Imam asy-Syafi’i menziarahi makam ulama besar tersebut dan setiap kali beliau berdoa di makam itu doa’nya pasti dimakbulkan Allah Ta’ala sebelum sempat beliau sampai kerumahnya. Disebelah makam Imam Abu Hanifah, ada masjid yang juga dinamakan Masjid Imam Abu Hanifah mengambil nama sempena nama tokoh besar itu. Apabila waktu subuh hampir, Imam asy-Syafi’I akan bersolat subuh dimasjid tersebut. Masjid tersebut merupakan tempat perhimpunan pengikut-pengikut Imam Abu Hanifah yang rata-rata bermazhab Hanafi. Apabila melihat sahaja kelibat Imam Asy-Syafi’i, terus sahaja mereka meminta beliau menjadi Imam. Apabila menjadi imam, Imam Asy-Syafi’i tidak menyaringkan lafaz Bismillah ketika membaca surah al-Fatihah. Beliau juga tidak membaca qunut. Perbuatannya itu mencetuskan kehairanan pengikut Imam Abu Hanifah. Apabila selesai solat, mereka bertanya kepada Imam Asy-Syafi’i, Mengapa tuan tidak menyaringkan Bismillah dan tidak membaca qunut? Bukankah itu dua rukun solat dalam mazhab tuan? Jawab Imam asy-Syafi’I, Aku berbuat demikian kerana aku memuliakan empunya maqam disisi masjid ini iaitu Imam Abu Hanifah. Dalam mazhab Hanafi, lafaz Bismillah tidak dinyaringkan ketika membaca surah al-Fatihah (dalam setiap kali solat berjemaah yang memerlukan bacaan dinyaringkan) manakala doa qunut tidak dibaca dalam solat Subuh. Imam asy-Syafi’i tidak melakukan kedua-dua perkara tersebut kerana menghormati Imam Abu Hanifah dan pada masa yang sama meraikan makmum masjid tersebut yang bermazhab Hanafi. Inilah adab para ulama besar yang sentiasa mengutamakan jemaah. Ada inilah yang harus diteladani oleh generasi pada zaman ini. Berbalik kepada soal lafaz Bismillah tadi, lafaz tersebut sunat dibaca apabila disertakan dengan perkara-perkara sunat. Lafaz tersebut menjadi makruh apabila dibaca ketika melakukan perbuatan makruh seperti menghisap rokok dan lafaz tersebut menjadi haram apabila dibaca ketika melakukan perbuatan yang diharamkan disisi agama seperti membeli nombor ekor atau minum arak. Ada juga beberapa amalan tidak memerlukan lafaz bismillah misalnya ketika berzikir menyebut kalimah La Ilaha Ilallah. Ketika berzikir La ilaha ilallah, tidak perlulah menyebut lafaz bismillah apabila setiap kali hendak memulakan zikir tersebut. Begitu juga ketika memberi salam, tidak perlulah kita menyertakan lafaz bismillah sekali. Ramai orang tidak tahu adab memberi salam. Sebagai contoh, dalam satu pidato atau ucapan, telah menjadi budaya si pemidato atau pengucap memberi salam ketika di pertengahan pidato atau ucapan setelah menyebut nama-nama kenamaan dan tetamu yang hadir. Ini adalah satu budaya yang salah. Salah hendaklah diberi sebelum memulakan pidato atau ucapan. Begitu juga dengan adab solat tahiyatul masjid. Solat ini hendaklah dikerjakan sebaik sahaja masuk ke perkarangan masjid. Jika sudah duduk didalam masjid kemudian baru hendak berdiri mendirikan solat tahiyatul masjid maka solat itu tidak akan dikira sebagai solat tahiyatul masjid.
[1] Pengasasnya ialah Imam Asy-Syafi’i. Amal ibadahnya sangat halus sehinggakan dikatakan sunatnya didalam solat sahaja ada sekitar 500 jenis. Didalam rukun solat pula ada rukunnya misalnya salah satu rukun solat ialah rukuk. Didalam rukuk itu ada rukunnya.
[2] Menurut kata ulama’, surah al-Fatihah ini diturunkan sebanyak dua kali iaitu satu di Makkah dan satu di Madinah. Ketika di Makkah, yang diturunkan ialah ayat-ayatnya manakala yang diturunkan di Madinah ialah fadilatnya.