Monday, April 19, 2010

Sairus Salikin Bab Rahsia Zakat - Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 18 April 2010
Zakat menyucikan diri dari sifat bakhil. Mengikut Imam al-Ghazali, ada 3 sifat yang merupakan ibu kepada sifat-sifat tercela iaitu
1. Kikir
2. Ikut hawa nafsu
3. Bangga diri
Sifat pemurah adalah satu sifat yang perlu dipaksa. Maksud dipaksa disini ialah kita perlu melatih diri kita agar membiasakan diri menjadi pemurah. Ini samalah seperti ilmu dimana kita perlu memaksa diri kita untuk pergi mengaji. Begitu juga dengan sabar dimana kita perlu memaksa diri kita bersifat sabar. Zakat maknanya bersyukur. Apabila kita bersyukur, Allah akan menambahkan harta kita. Kata syeikh, belum pernah ada orang jatuh bankrap kerana rajin memberi sumbangan atau mengeluarkan zakat. Pernah satu hari guru syeikh iaitu Syeikh Zaini bertanya ada tak orang yang jatuh bankrap kerana menderma ata membayar zakat. Jawabnya tidak ada kerana harta yang disumbang atau dizakat itu diganti oleh Allah. Orang yang kerugian hartanya bukanlah disebabkan derma atau zakat tetapi disebabkan ia melaburkan hartanya ke jalan maksiat seperti judi, riba, rasuah dan sebagainya. Kata ulama, maksud Allah menggantikan harta yang disumbang atau dizakat itu adalah berupa ganjaran dunia dan akhirat. Untuk ganjaran dunia, Allah menggantikannya dengan melipat-gandakan harta seseorang manakala untuk ganjaran akhirat pula Allah memberi pahala kepada orang yang menyumbang atau berzakat dijalan-Nya. Pokoknya, harta yang disumbang itu tidak akan hilang sebaliknya diganti Allah samada dalam bentuk harta yang berlipat-ganda atau ganjaran pahala.
Seseorang itu boleh menyegerakan pembayaran zakat dimana ia boleh mendahulukan pembayaran sebelum tiba waktu wajibnya. Katalah dia perlu membayar zakat pada bulan Rajab tetapi datang orang miskin yang memerlukan zakat darinya pada bulan Jamadil Awal. Maka dia boleh mendahulukan pembayaran zakat itu. Pada waktu itu diniatkanlah pemberian zakat kepada orang miskin itu (bergantung kepada kesesuaian keadaan dan munasabah). Bila sampai waktu zakat iaitu bulan Rajab, maka dia hanya perlu keluarkan baki yang periu dibayar olehnya dengan cara menolak jumlah zakat yang telah didahulukannya pada bulan Jamadil Awal tadi. Kata syeikh, tanda dunia akhir zaman ialah apabila zakat menjadi hutang. Maksudnya disini ialah orang kaya lambat mengeluarkan zakat kepada orang miskin. Kalau pembayaran ini sengaja dilambatkan setelah cukup haulnya maka ia adalah satu dosa.
Adab yang seterusnya ialah kita disuruh sir (sembunyikan) pemberian zakat untuk menghindarkan diri dari sifat riak dan sum’ah. Walaubagaimanapun kata syeikh, keadaan ini tidak mutlak kerana pada masa-masa tertentu, pemberian zakat ini elok dizahirkan bagi mengelak fitnah masyarakat yang menuduhnya tidak membayar zakat. Kata ulama, zakat tidak mengapa jika dizahirkan dimana keadaannya samalah seperti solat fardu yang elok dizahirkan untuk menampakkan syiar Islam. Yang elok disembunyikan adalah seperti sedeqah dan solat sunat bagi mengelakkan timbul sifat riak dan sum’ah. Harta dalam bentuk zahir seperti kebun atau benda elok jika pemberian zakat ke atasnya dizahirkan supaya tidak timbul fitnah masyarakat bahawa dia tidak menunaikan zakat manakala harta dalam bentuk duit simpanan yang tidak diketahui orang lain tentang jumlahnya maka eloklah disirrkan pemberian zakat ke atasnya. Orang yang mengungkit-ungkit pemberian zakat atau sedeqah akan hilang pahalanya. Hanya dua golongan yang jika mengungkit bukanlah satu kesalahan atas dirinya iaitu ibubapa terhadap anaknya dan guru terhadap anak muridnya. Anak dan anak murid mesti terhutang budi kepada ibubapa dan gurunya. Dalam tradisi ilmu, murid yang betul-betul murid adalah murid yang dibanggakan oleh gurunya.
Seperti yang disebut tadi, ada masanya elok sedeqah itu dizahirkan. Tujuannya adalah untuk menggalakkan orang lain bersedeqah sepertinya. Adab seterusnya ialah jangan bersedeqah dengan niat atau tujuan tertentu sehingga menyakitkan hati orang yang menerima sedeqah itu. Orang yang bersedeqah juga tidak boleh menuntut khidmat orang yang menerima sedeqah. Orang yang bersedeqah tidak boleh menghina orang yang menerima sedeqah. Sepatutnya orang yang memberi sedeqah itu perlu berterima kasih kepada orang yang menerima sedeqah itu kerana orang yang menerima itu sudi menerima sedeqahnya, mudah-mudahan si pemberi itu beroleh ganjaran pahala disisi Allah Ta’ala. Perkara ini samalah seperti menjamu orang makan kenduri. Si penjamu akan berterima kasih kepada tetamu yang hadir kerana kesudian mereka menghadirkan diri untuk makan kenduri. Cuba bayangkan jika orang tidak hadir ke jamuan tersebut? Sudah pasti pembaziran makanan berlaku.
Adab seterusnya ialah jangan membesar-besarkan pemberian zakat atau sedeqah untuk mengelak ujub. Kalau bersedeqah, bersedeqahlah dengan barang yang terbaik. Pilihlah orang yang paling layak untuk menerima sedeqah atau zakat itu. Ada 6 golongan iaitu
1. Orang yang takut kepada Allah Ta’ala seperti fuqara ahli sufiyyah yang tinggal di zawiyah (pondok tempat mengaji) yang bekerja semata-mata kerana Allah Ta’ala. Ramai orang kaya di Malaysia tetapi kenapa banyak pondok ‘mati’? Di India, dan negara Arab seperti Syria, pondok-pondok hidup kerana harta waqaf terlalu banyak. Pelajar-pelajar tidak perlu membayar yuran dan duit makan bagi menggalakkan mereka belajar agama. Kita hendaklah menguruskan harta dengan betul dan perlu memikirkan keutamaan harta. Ramai orang pergi berulangkali mengerjakan umrah sedangkan ada pelajar-pelajar kita yang tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk menimba ilmu. Sepatutnya keutamaan diberikan kepada pelajar-pelajar kita yang hendak menimba ilmu agama.
2. Ahli ilmu yang sibuk dengan urusan ilmu
3. Orang yang benar-benar takut kepada Allah Ta’ala dan dibenar ilmunya dengan tauhid kepada Allah Ta’ala iaitu apabila ia menerima sedeqah, ia memuji kepada Allah Ta’ala dan melihat pemberian itu dengan mata hatinya yang memandang pemberian itu datangnya dari Allah Ta’ala.
4. Beri sedeqah atau zakat kepada orang yang menyembunyikan hajatnya (padahal ia benar-benar memerlukannya)
5. Beri kepada orang yang banyak tanggungannya atau sakit
6. Lebih afdal beri kepada kerabatnya

Fasal orang yang menerima zakat
Golongan yang tidak boleh menerima zakat ialah keturunan Bani Hasyim dan Abdul Muttalib, keturunan Nabi saw dari jalur Hussain dan Hassan dan hamba yang dimerdekakan oleh keturunan Nabi saw[1]. Sebab-musabab golongan ini tidak boleh menerima zakat ialah sebagai penghormatan kepada Nabi saw yang melarang keturunannya menerima zakat supaya tidak dituduh orang bahawa keturunannya ada kepentingan untuk menerima zakat atas tujuan dakwah sedangkan perjuangan Nabi saw adalah ikhlas.
Ada 8 asnaf yang boleh menerima zakat iaitu
1. Faqir
2. Miskin
3. Amil
4. Mualaf[2]
5. Hamba yang mukatab yang dijanji oleh tuannya akan dimerdekakan sekiranya ada duit untuk menebus dirinya
6. Orang yang berhutang (bukan hutang maksiat)
7. Orang yang perang sabil (sukarelawan)
8. Musafir ke negeri lain (bukan kerana maksiat) dan orang yang kehabisan belanja di negeri orang

Sesi soal-jawab
1. Betulkah orang yang tidak memakai songkok dianggap fasiq dan apakah dalilnya? Di zaman salafussoleh, semua orang menyimpan janggut dan menutup kepala. Orang yang sanggup mencukur janggutnya dianggap fasiq. Di Deoband, orang yang tidak menyimpan janggut tidak layak menjadi imam. Memakai songkok atau kopiah ini menandakan maruah. Pakaian pula melambangkan identiti seseorang. Zaman dahulu, majoriti orang berserban dan berjubah maka tidak timbul perasaan ragu-ragu untuk memberi salam sedangkan pada masa ini identiti pakaian bercampur-campur sehingga orang menjadi ragu-ragu hendak memberi salam bimbang salam itu diberi kepada orang yang bukan Islam.
2. Bolehkah kita makan di tempat yang kita tak ketahui samada si penyedia makanan itu orang yang bertaqwa atau tidak? Boleh tetapi kalau ada pilihan carilah orang yang bertaqwa kepada Allah Ta’ala.
3. Boleh tak kita makan ayam yang disembelih oleh orang yang tidak memakai tutup kepala? Boleh.
4. Perlukah kita siasat siapa yang masak kenduri? Tidak perlu kerana ia boleh menyakitkan hati tuan rumah. Lihat pada zahirnya sahaja.
5. Bolehkah isteri bersedeqah guna duitnya sendiri tanpa pengetahuan suami? Boleh. Tapi yang paling afdal ialah isteri bersedeqah kepada suaminya.
6. Tentang sifat 20? Sifat 20 adalah ringkasan tauhid kepada Allah Ta’ala. Ia tidak perlu dipertikaikan kerana ia merupakan salah satu kaedah untuk memudahkan masyarakat memahami ilmu tauhid. Perkara ini samalah seperti sistem pengajian universiti yang memerlukan seseorang itu menghabiskan tempoh-tempoh tertentu sedangkan di zaman Nabi saw dan para sahabat tidak ada sistem sedemikian. Ianya tidak lain adalah untuk memudahkan para pelajar mengikuti silibus dan sistem pengajian.

[1] Hamba yang dimerdekakan oleh keturunan Nabi saw tidak boleh menerima zakat. Ditaqdirkan ia kaya-raya lalu meninggal dunia tanpa meninggalkan waris maka harta hamba itu akan kembali kepada tuannya tadi yang berketurunan Nabi saw
[2] Ada 5 golongan iaitu orang kafir yang masuk Islam, orang kafir yang masuk Islam dan mempunyai ramai pengikut, orang Islam yang bermuqim di sempadan negeri kafir yang hendak berperang dengan negara Islam, orang yang mendamaikan pemberontak yang hendak melawan pemerintah dan orang yang mengambil zakat dari orang yang menegah zakat

Kitab Penawar Hati - Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam

Catatan bebas ana di Masjid Al-Mukarramah pada 17 April 2010
Hadith berkaitan Mahkamah Qadhi Rabbun Jalil
Daripada ‘Adiy bin Hatim ra berkata, Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada seorang jua pun diantara manusia ini kecuali (pada hari qiamat nanti) akan dipercakapi oleh Allah swt (dihadapkan ke Mahkamah Allah swt). Maka pada waktu itu tidak ada orang lain yang sanggup menjadi jurubicara antara keduanya (sebagai orang yang ketiga atau peguam). Lalu orang yang dipercakapi oleh Allah swt tadi akan melihat ke sebelah kanannya maka ia tidak melihat melainkan hanya pahala kebaikan yang pernah ia lakukan ketika berada di dunia dahulu. Dan apabila ia cuba melihat ke sebelah kiri maka ia tidak melihat kecuali hanya balasan perbuatan jahat yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dahulu . Kemudian apabila ia melihat ke hadapan maka ia tidak melihat kecuali hanya api neraka. Maka tanamkanlah rasa takut terhadap api neraka dan jauhilah seksaannya walaupun kalau kamu hanya mampu bersedeqah dengan sebelah buah kurma sahaja”. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim
Hadith berkaitan Berenang di Lautan Peluh
Daripada Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah sar bersabda, “Seluruh manusia akan berdiri di hadapan Tuhan Pencipta Alam ini (pada hari qiamat nanti), sehingga salah seorang di antara mereka ada yang akan tenggelam didalam peluhnya sendiri sampai ke pertengahan telingannya.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Martabat seseorang berbeza-beza mengikut amalan masing-masing. Suasana dihari qaiamat adalah sangat panas. Kata Syeikh, dikata orang bahawa dunia sekarang panas. Jika dari sudut pandangan saintifik, panasnya dunia ini dikaitkan dengan pemanasan global. Tetapi jika mengikut pandangan rohaniah, panasnya dunia ini adalah kerana dosa-dosa manusia. Bahang panas ini tetap terasa walaupun dunia disirami hujan. Ketika dunia hampir kiamat, tiupan sangkakala akan berlaku dua kali. Tiupan pertama akan mencengangkan seluruh manusia manakala tiupan kedua akan mematikan semua makhluk kecuali 10 perkara antaranya sulbi manusia yang sebesar biji gandum. Tiupan kedua ini mengakhiri kisah dunia. Apabila tiupan ketiga berlaku, semua manusia akan dihidupkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar.
Ada 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah Ta’ala yakni dibawah naungan Arasy-Nya yang mulia
1. Pemimpin yang adil
2. Pemuda yang rajin beribadat
3. Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid
4. Orang yang mencintai sahabatnya kerana Allah Ta’ala
5. Lelaki yang digoda untuk berzina tapi ia menahan diri
6. Orang yang menyembunyikan sedeqahnya
7. Orang yang mencucurkan air matanya kerana takut kepada Allah Ta’ala
Kata syeikh, penyakit akhir zaman ialah apabila orang suka kepada benda-benda yang melalaikan seperti menonton TV. Badan menjadi cergas apabila menonton TV tetapi lemah apabila mengikuti pengajian agama. Dunia akhir zaman juga menyaksikan bagaimana lorong-lorong maksiat terbit dengan banyaknya. Jika kita berjaya menahan diri dari melalui lorong-lorong ini, Insyallah kita akan akan dinaungi Allah Ta’ala ketika hari Akhirat kelak. Zina terbahagi kepada banyak peringkat bermula dari zina mata, zina telinga hinggalah ke zina kemaluan. Sebab itulah agama Islam melarang umatnya mendekati zina (maksudnya dari peringkat awal lagi) kerana dikhuatiri akan sampai ke perbuatan terkutuk yang dilarang dalam agama. Pengaruh TV sangat dahsyat. Adakah seseorang itu boleh khusyuk dalam ibadah selepas menonton TV (menonton cerita yang melalaikan dan penuh dengan maksiat)? Pasti ingatan akan terawang-awang kepada jalan cerita TV yang ditontonnya tadi. Sebab itu, disebut bahawa TV ini adalah satu gangguan yang berupa ‘jenayah’ kerana ia boleh mencabut khusyuk dan nikmat munajat. Sabda Nabi saw, Barangsiapa terlihat kecantikan perempuan lalu ia berpaling maka pastilah Allah akan menambahkan khusyuk dalam munajat dan manis dalam iman. Tentang 7 golongan yang mendapat naungan Arasy, Allah Ta’ala membuka peluang kepada semua umat Islam tidak kira dalam apa jua profesi. JIka dalam pemerintahan, sekiranya ia memerintah dengan adil maka pasti ia mendapat naungan Allah Ta’ala. Begitu juga bagi orang miskin yang tidak menjadi pemerintah tetapi disebabkan ia menangis kerana takutkan Allah Ta’ala maka ia juga akan mendapat naungan Allah Ta’ala di hari Akhirat kelak. Orang yang cinta kepada seseorang yang boleh membawanya ke jalan Allah akan mendapat naungan Arasy. Seorang sahabat bernama Sauban ra kelihatan sakit sehingga ditegur Rasulullah saw. Beliau menyatakan bahawa beliau bimbang tidak akan dapat duduk bersama-sama dengan Rasulullah saw didalam syurga (kerana kasihnya pada Rasulullah saw sangat mendalam). Lalu kata Rasulullah saw, Engkau tidak akan kehilangan pandanganmu terhadap diriku.
Hadith berkaitan Kedalaman Jurang Api Neraka
Daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata, Adalah kami (pada suatu hari) bersama-sama dengan Rasulullah saw, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh dengan keras, lalu beliau bersabda, “Tahukah kamu suara apakah ini?” Kami menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui”. Lalu Nabi saw bersabda, “Ini adalah suara sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak 70 tahun yang lalu, maka batu itu terus saja jatuh menuju dasar neraka dan baru pada saat ini ia sampai ke dasarnya. Maka dari itu kamu mendengar suara jatuhnya”. Hadith riwayat Muslim.
Tidaklah dapat dibayangkan tempat kemurkaan Allah Ta’ala yang dalamnya sedemikian rupa. Api neraka yang paling ringan panasnya pun boleh mendidihkan otak di kepala apatah lagi api neraka yang paling panas. Neraka bukan sahaja dalam tetapi sangat luas. Keistimewaan umat Nabi Muhammad saw ialah kesemua umat Nabi saw layak untuk masuk ke dalam syurga kecuali mereka-mereka yang tidak dikehendaki Allah Ta’ala. Kepada umat Nabi saw, rahmat Allah mendahului kemurkaan-Nya. Sesungguhnya orang-orang di kalangan umat Nabi saw yang tidak mengambil peluang untuk membuat persediaan masuk ke syurga Allah adalah orang-orang yang sangat rugi. Sebab itulah di akhirat kelak, para malaikat berasa hairan melihat adanya di kalangan umat Nabi saw yang tidak merebut peluang yang disediakan kerana keistimewaan yang diberikan kepada umat Nabi saw begitu banyak. Umat Nabi saw diberi kelebihan malam Lailatul Qadar, solat sunat isyraq yang ganjarannya seumpama pahala haji dan umrah yang sempurna dan sebagainya. Sehinggakan ketika peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Nabi Musa as sendiri pun teringin hendak menjadi umat Nabi Muhammad saw kerana keistimewaan yang diberikan Allah ke atas umat ini tidak terkira banyaknya. Mengikut aqidah ASWJ, kelompok manusia di hari Akhirat kelak terbahagi kepada 3 iaitu
1. Yang pasti masuk syurga – Para Nabi dan Rasul dan orang-orang yang telah disebut namanya sebagai ahli syurga.
2. Yang pasti masuk neraka – Golongan yang telah disebut namanya dalam al-Quran sebagai penghuni neraka seperti Firaun, Abu Lahab dan sebagainya.
3. Yang tidak tahu ketentuannya - Kelompok manusia yang akan ditimbang amalannya terlebih dahulu. Keputusan akhirnya terserah kepada Allah Ta’ala. Kalau Allah memaafkannya maka itu adalah atas adil-Nya dan kurnia-Nya kepada orang itu dan orang itu akan dimasukkan ke dalam syurga berdasarkan amalannya.
Hadith berkaitan majoriti penghuni syurga dan neraka
Daripada Ibnu Abbas ra dan ‘Imran bin Hushain ra daripada Nabi saw, sabdanya, “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan orang-orang yang faqir. Dan aku melihat ke dalam neraka maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada golongan perempuan. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Antara kelompok terawal yang akan masuk syurga ialah kelompok fuqara muhajirin yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dalam keadaan sehelai sepinggang. Ada juga sahabat yang hidupnya sehelai dua pinggang. Maksudnya, kain yang digunakan oleh si suami turut digunakan oleh si isteri. Kisahnya, ada sahabat yang tergesa-gesa pulang ke rumah setelah selesai mengerjakan solat jemaah. Ini adalah kerana dia hendak memberikan kain yang dipakainya kepada isterinya pula untuk menunaikan solat. Para sahabat hidup dalam keadaan faqir kerana tidak mahu terlalai dari mengerjakan amal ibadat. Mus’ab bin Umair adalah seorang sahabat yang syahid dalam Perang Uhud. Beliau adalah salah seorang dari tiga sahabat besar yang gugur dalam Perang Uhud dimana ketiga-tiga nama ini akan disebut dan diberi salam oleh penziarah yang datang berkunjung ke kawasan pemakaman syuhada Perang Uhud. Selain beliau, dua orang lagi ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan Abdullah bin Jahsy. Ketika Perang Uhud berlangsung, Mus’ab memegang panji tentera Islam. Ketika jenazahnya di tempat perbaringan, Rasulullah saw merasa belas apabila melihat keadaan jenazahnya. Kainnya tidak dapat menutupi keseluruhan badannya. Apabila kainnya ditarik ke bawah, mukanya kelihatan dan bila ditarik ke atas, kakinya pula kelihatan. Akhirnya Rasulullah saw memerintahkan agar mukanya ditutup dengan kain manakala kakinya ditutup dengan daun-daun. Rasulullah saw teringat kehidupan Mus’ab ketika Mus’ab belum memeluk Islam. Pada ketika itu, Mus’ab hidup dengan bermewah-mewahan. Beliau seorang yang kacak dan penuh bergaya. Ia memakai wangian yang mahal-mahal sehingga bau wangiannya dikenali oleh orang lain tatkala dia melalui sesuatu kawasan. Apabila selendangnya terjatuh, beliau tidak akan mengutipnya sebaliknya dibiarkan orang lain mengambilnya. Apabila dia memeluk Islam, dia diberi kata dua oleh ibunya samada hendak menuruti Nabi saw tetapi tidak akan diberikan lagi segala kemewahan atau tinggal bersama ibunya dan segala kemewahan akan terus menjadi miliknya. Beliau memilih untuk bersama dengan Nabi saw.
Sahabat pernah berkata kepada Nabi saw, Mungkin dimasa akan datang umat Islam akan semakin rajin beribadat kerana ada banyak kemudahan. Jawab baginda saw, “Tidak, bahkan kamulah yang paling rajin beribadat.” Kemudahan jika disalahgunakan hanya akan melalaikan manusia dari melakukan amal ibadat. Orang yang lalai mencari kekayaan dunia akan menghambat dunia sehingga akhirnya menyesal kerana tidak berkesempatan membuat amal ibadat tatkala ajal datang menjemput. Di hari Akhirat kelak, apabila orang terakhir dikeluarkan dari neraka maka malaikat akan mengumumkan bahawa pintu neraka akan ditutup rapat. Selepas itu penghuni neraka akan mengalami dua seksaan iaitu seksaan zahir dan seksaan batin. Seksaan batin yang dimaksudkan ialah hati mereka hancur lebur kerana tidak ada harapan lagi hendak memasuki syurga. Majoriti orang yang masuk neraka adalah kerana mereka tidak menjaga dua perkara iaitu mulut dan kemaluan.
Tentang penghuni neraka yang majoritinya adalah perempuan. Ia adalah kerana ramai di kalangan mereka yang tidak menunaikan hak suaminya. Diriwayatkan bahawa pada satu hari ketika Rasulullah saw sedang duduk bersama-sama sahabat, datang seekor unta lalu duduk dan sujud dihadapan Rasulullah saw. Unta itu kemudiannya mencium kaki baginda saw. Sahabat berasa tersinggung dengan perbuatan unta itu dan meminta izin dari Nabi saw untuk sujud dan mencium kaki baginda saw yang mulia itu. Nabi saw tidak mengizinkan manusia sujud kepadanya. Sabda baginda saw, “Kalaulah manusia itu dibenarkan sujud kepada manusia yang lain, maka aku akan suruh si isteri sujud pada suaminya.” Begitulah besarnya hak suami kerana tanggungjawab suami terlalu besar . Suami perlu mengajar ilmu agama kepada isteri dan anak-anaknya.

Tuesday, April 6, 2010

Syarah Kanzul Minan Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 4 April 2010 waktu dhuha
Dan sungguhnya kelakuan sekaliannya pada faham didalam kitab yang diturunkan atas sekalian hati yang suci daripada aghyar dan lagi barang yang dinaqal daripada Sayyidi Abi al-Abbas al-Mursi ra pada firman Allah Ta’ala yakni dikeluarkan yang hidup daripada yang mati dan dikelarkan yang mati daripada yang hidup. Katanya seperti manusia mengerjakan dosa maka didapat akan dia dengan minta uzur dan inkisar maka ini hidup dan iaitu minta uzur keluar ia daripada yang mati iaitu dosa dan seorang pula mengerjakan taat dan dirobohkan dia dengan ujub dan bermegah-megah maka ini mati iaitu ujub dikeluar daripada yang hidup dan iaitu taat.
Imam as-Suyuti didalam kitabnya yang mahsyur al-Itqan fi Ulumul Quran menyatakan syarat yang paling sukar untuk menjadi mufassir ialah seseorang itu mestilah dikurniakan ilmu muwahabbah. Ilmu ini adalah merupakan satu anugerah yang diperolehi setelah mereka mengamalkan ilmu yang mereka pelajari lalu dinatijahkan ke atas diri mereka satu ilmu yang tidak boleh didapati dari suratan tetapi terpahat didalam benak hati mereka. Ianya berlaku apabila hati mereka menjadi jernih ketika mereka bersunyi-sunyian dengan Allah Ta’ala. Ilmu muwahabbah adalah nur (cahaya) yang dipancar Allah Ta’ala. Kata seorang mufassir yang mahsyur, Imam Abdullah Mas’uddin, “Sesungguhnya ilmu itu bukan dengan periwayatan yang banyak atau pengkahataman kitab yang banyak tetapi ilmu itu sbenarnya adalah nur (cahaya) yang dicampakkan Allah Ta’ala ke dalam benak hati hamba-Nya. Kata ulama, kefahaman tentang sesuatu itu adalah melalui malaikat yang diberikan kepada sahabatnya yakni orang-orang yang bersahabat dengan malaikat. Maksud orang-orang yang bersahabat dengan malaikat ialah orang-orang yang duduk didalam majlis ilmu. Didalam majlis ilmu terdapat malaikat-malaikat yang menghembus kefahaman kepada orang-orang yang duduk didalamnya. Malaikat bersama-sama dengan penuntut ilmu. Guru syeikh iaitu Syeikh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki akan berasa sangat marah apabila ada orang yang mempermain-mainkan penuntut ilmu. Bahkan Syeikh Sayyid Muhammad sangat memuliakan penuntut ilmu dan membelanjakan mereka. Kata Syeikh, “Tahukah tuan-tuan apa sebabnya kita buka majlis dengan membaca salawat? Apakah sir atau rahsianya?” Jawabnya ialah, apabila salawat dibacakan maka malaikat Jibril akan hadir bersama kita. Kata ulama, tugas Jibril as telah selesai apabila Rasulullah saw wafat. Apabila Rasulullah saw wafat, baginda saw diberi pilihan samada hendak hidup di bumi atau dilangit. Rasulullah saw kemudiannya memilih untuk duduk dengan sahabat-sahabat yang mempunyai darjat yang tinggi disisi Allah Taa’ala. Lalu kata Jibril as, “Inilah kali terakhir aku menjejakkan kaki ke bumi”. Walaubagaimanapun, kata Imam as-Suyuti, “Jibril as tetap turun dengan membawa kefahaman/ma’rifah kepada orang-orang yang dikehendaki”. Apabila seseorang itu wafat dalam keadaan berwudhu’ seperti dalam solat atau ketika membaca al-Quran maka sabda Nabi saw, “Jibril as akan bersama dengannya menyaksikan perpisahan roh dengan jasad”. Ketahuilah bahawa qasidah/madah yang dibaca adalah merupakan jalan yang paling hampir kepada Allah Ta’ala. Kata Syeikh Yusuf Ismail al-Nabhani, “Jalan yang paling hampir kepada Allah ialah dengan membaca puji-pujian kepada Rasulullah saw atau mendengarnya kerana ia mampu menggapai mahabbah dan kasih kepada Rasulullah saw. Orang Arab sangat menghargai puji-pujian. Sebab itulah al-Quran diturunkan dengan tujuan untuk melemahkan bahasa syair orang-orang Arab. Sabda Nabi saw, “Kata-kata yang indah lebih menikam perasaan diri dari dihujan anak-anak panah”. Anak panah hanya sakitkan zahir tetapi kata-kata mampu menyayatkan hati. Ketika pembukaan kota Makkah, Nabi saw menghimpunkan penduduk Makkah di Tanah Haram. Kemudian Nabi saw bertanya, “Apakah pandangan kamu terhadap aku? Agak-agak kamu apakah yang akan aku buat hari ini?” Kata penduduk Makkah, “Kami rasa kamu akan melakukan kebaikan wahai saudara yang mulia anak kepada keturunan yang mulia”. Kata Nabi saw, “Pergilah kerana aku bebaskan kalian. Tetapi jika kalian bertemu dengan si polan dan si polan maka bunuhlah mereka sekalipun mereka berlindung di balik kiswah Ka’abah”. Kata Syeikh, Nabi saw kecualikan beberapa orang dari pengampunan walaupun orang itu duduk didalam Ka’abah. Maksudnya disini, Nabi saw memaafkan orang-orang menyakiti jasadnya tetapi tidak hatinya. Perkara yang paling dibenci baginda saw ialah orang-orang yang mencacinya. Maka atas sebab itu kata ulama, tidak ada perkara yang paling mulia melainkan orang-orang yang memuji Nabi saw. Jibril as berada dengan orang-orang yang memuji baginda saw. Ketika Nabi saw bersama dengan sahabat, terdengarlah seorang sahabat bernama Hasan ibn Tsabit sedang memuji Nabi saw didalam masjid. Umar al-Khattab menegur Hasan, “Tidakkah di hadapan Nabi saw engkau mendendangkan syair (kerana dibuat dldalam masjid) ini satu perbuatan yang salah atau ganjil?” Kata Nabi saw kepada Umar, “Biarkanlah Hasan. Sesungguhnya Allah Ta’ala akan menolong Hasan ibn Tsabit selagi mana Hasan ibn Tsabit memuji aku”. Abu Bakar juga seperti Umar pada mulanya. Abu Bakar menyangkakan majlis memuji Nabi saw itu satu perkara yang tidak bagus. Peristiwa itu berlaku di rumah Aisyah. Pada ketika itu, ada orang Habsyah sedang menari, bermain senjata dan berkompang. Rasulullah saw kelihatan tidur disebelah Aisyah. Abu Bakar kemudiannya menyergah Aisyah dengan berkata, “Adakah syaitan dibunyi didalam rumah ini?” Nabi saw bangun dari tidur dan berkata, “Biarkanlah mereka kerana hari ini adalah hari kegembiraan”. Majlis memuji Nabi saw mengundang roh-roh para aulia untuk hadir bersama-sama. Sebab itulah majlis sebegini mempunyai nilai rohani yang sangat tinggi.
Kata syeikh, berapa ramai yang keluar mati dari hidup yakni terbit ujub atau maksiat selepas melakukan taat seperti solat dan berapa ramai pula yang keluar hidup dari yang mati iaitu terbitnya taat selepas bertaubat melakukan dosa. Nabi saw selepas mengerjakan solat akan berada dalam keadaan inkisar (pecah hati), malu dan hina serta beristighfar banyak-banyak selepas solat. Inilah adab yang diajar oleh baginda saw dan sepatutnyalah kita mengikuti langkah sebegini. Sayyidi Abbas al-Mursi yang dikurniakan ilmu ladunni pernah diuji oleh seorang sultan dizamannya. Sultan yang bernama Sultan Yaakub ingin melihat kebijaksanaan Sayyidi Abbas. Beliau menyediakan dua ekor ayam dimana salah satunya disembelih dan satu lagi tidak disembelih. Kedua-duanya dimasak gulai. Kemudian beliau meminta pembantunya memanggil Sayyidi Abbas masuk dan menjamah makanan. Sayyidi Abbas berkata kepada pembantu itu, “Engkau angkatlah ayam ini kerana ayam ini tidak disembelih. Kalaulah gulai ini tidak bercampur dengan ayam itu, nescaya gulai ini akan ku makan.” Pada masa itu, terlihatlah kehebatan batin Sayyidi Abbas di kacamata Sultan Yaakub. Sebab itu kata ulama benda-benda yang brcampur halal dengan haram maka hukumnya adalah haram. Begitulah juga dengan pemakaian cincin suasa yang bercampur emas dan perak. Kata syeikh, salah satu sebab utama hati terhijab atau hati menjadi mati ialah kerana makanan. Makanan menentukan samada seseorang itu boleh menjadi waraq atau tidak.
Dan hasil daripadanya bahawasanya orang yang salik itu apabila disucikan zahirnya dan batinnya dan jernih hatinya daripada segala aghyarnya[1] dengan jalan tariqat al-Muhammadiyyah nescaya bersihlah cermin hatinya daripada kekeruhan kauniyah[2] dan hapuslah daripadanya segala karat tulis nafsiyyah[3] maka jadi ahli ia ketika itu hatinya bagi tempat turun limpah nur ar-Rabbaniyyah dan jadi ahlilah ia bagi musyahadah[4] dan mukalamah[5] maka fahamlah ia daripada al-Quran barang yang tiada mafhum oleh orang yang lainnya dan turunlah pada hatinya makna asrari ditentu akan dia dan dapatnya akan hukum rabbaniyyah kerana inilah ‘Arif Ibn Atha’Illah, “Selesaikan[6] olehmu akan hatimu daripada segala aghyar, dipenuhkan akan dia dengan ma’rifah dan asrar dan tiada tertentu hai saudaraku akan turun ini dengan al-Quran tetapi didapat yang demikian itu oleh orang yang arif didalam hatinya daripada tiap-tiap akwan[7] yakni mengenal ia akan tuhannya pada tiap-tiap zar daripada akwan kerana tiada suatu itu melainkan dan tiada menyeru akan dikau kepada maula dengan lidah halnya dan munajatlah engkau didalam sirr engkau jika ada engkau daripada ahlil asrar dengan fasih perkataannya dan adalah pada tiap-tiap suatu baginya tanda yang menunjukkan atas bahawasanya ia Tuhan yang Esa.
Kata Syeikh, al-Quran akan terus ‘turun’ tetapi turun yang dimaksudkan disini bukanlah turun 30 juzuk kerana ia telah lama selesai tetapi maksudnya disini ialah kefahamannya yang terus turun. Imam al-Ghazali berkata, Kalau seseorang itu tidak dikurniakan nur maka orang itu tidak akan mampu berjalan di atas jalan yang lurus. Ada masyaikh yang fana’ pada nama dan sifat. Mereka sentiasa ‘melihat’ sifat Allah walaupun pada saat menyebut nama orang yang menziarahinya. Kata Syeikh, pati segala ilmu yang menemannya ketika berada didalam kesunyian ialah ilmu tasawwuf. Kata syeikh lagi, manfaatkan masa yang ada untuk belajar ilmu tasawwuf. Kita sekarang sudah tidak mempunyai banyak masa kerana barokah masa telah dicabut.
Dan kerana inilah berkata setengah daripada ‘ariffin bermula jalan kepada Allah Ta’ala itu dengan sekira-kira nafas segala makhluk dan lagi kata yang lain pula bermula jalan kepada Allah Ta’ala dengan sebilang-bilang zarratil maujudat maka tiada di suatu zarah itu melainkan ia menunjukkan jalan kepada maulanya.
Ada wali Allah bermimpi Abu Yazid al-Bistami. Dalam mimpi itu, dilihatnya Abu Yazid berada di bawah arasy. Allah Ta’ala berfirman kepada malaikat, “Adakah kamu kenal orang yang diletakkan dibawah Arasy ini? Ketika seluruh makhluk menuntut apa yang Aku sediakan, Abu Yazid pula mencari Aku dan merasai nikmat sebelum orang lain menemuinya”. Kata syeikh, ketahuilah bahawa pandangan orang-orang Arif adalah ibrar yang menyampaikan kepada haqiqat Allah Ta’ala. Sebagai contoh, apabila melihat kekayaan makhluk maka ia akan mengingati kekayaan Allah.
[1] kotorannya
[2] Alam dan makhluk
[3] Tulisan nafsu yang bertakhta didalam hati
[4] Allah melihat kita dan kita melihat Allah
[5] Allah berbicara dan kita menjawab dengan ma’rifah. Selepas itu barulah kita memehami isi al-Quran. Selain al-Quran yang diturunkan kepada manusia, ilham, nafaat juga diturunkan.
[6] Kosong dan bersihkan
[7] Pengetahuan terhadap Allah setelah melihat makhluk

Monday, April 5, 2010

Syarah khas Dr Syeikh Salim Alwan al-Hasaniy (Pengerusi Majlis Tertinggi Islam Australia)

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang selepas solat maghrib pada 3 April 2010
Syeikh memulakan syarah dengan membacakan firman Allah Ta’ala dengan maksudnya, “Dan tidaklah kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan memberi rahmat sekalian alam”. Allah Ta’ala mengutus seluruh Nabi dan Rasul bermula dari Nabi Adam as hinggalah ke Nabi Muhammad saw dengan membawa agama yang satu iaitu Islam. Dan Islam adalah agama yang sahih dan benar yang diterima Allah Ta’ala. Dan tidak ada agama langit melainkan Islam. Allah Ta’ala memaksumkan kesemua Nabi dan Rasul dari kekufuran samada sebelum dilantik atau sesudah dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Allah Ta’ala memelihara para Nabi dan Rasul dari dosa kecil dan besar. Seluruh Nabi dan Rasul bersifat sidq (benar), amanah, fathonah dan tabligh (dakwah). Seluruh para Nabi dan Rasul dianugerahkan Allah kefasihan berbicara. Seluruh para Nabi dan Rasul diperintah untk berdakwah. Allah Ta’ala memustahilan para Nabi dan Rasul dari dusta, khianat, dosa-dosa dan juga sifat-sifat seperti lembap dan tidak pandai. Seluruh para Nabi dan Rasul tidak bersifat penakut atau ditimpa dengan penyakit yang boleh menyebabkan orang lain lari dari menerima dakwah seperti keluar cacing dari badan dan sebagainya. Dan tidak ada Nabi dan Rasul yang menyuruh umatnya meminum arak dan memakan daging khinzir.
Ada golongan mendakwa bahawa Nabi Isa as pernah berkata bahawa arak itu boleh diminum dengan kadar yang sedikit dengan tujuan untuk menghiburkan hati. Dakwaan ini benar-benar satu pendustaan. Nabi Isa as sama seperti nabi-nabi yang lain yang membawa ajaran Islam. Nabi Isa as dikurniakan mukjizat tetapi orang-orang dizamannya sangat benci kepadanya dan ingin membunuhnya. Nabi Isa as mengumpul 12 orang anak muridnya lalu berkata, “Sesungguhnya sebahagian di kalangan kamu akan kufur selepas ia beriman”. Kemudian Nabi Isa as berkata lagi, “Adakah sesiapa di kalangan kamu yang sanggup dibunuh di tempat aku dan jika mati akan bersama denganku kelak?” Maka bangunkan seorang anak muridnya yang paling muda yang sanggup mati ditempatnya. Nabi Isa as meminta anak muridnya itu duduk dan baginda bertanya soalan yang sama. Tidak ada anak muridnya yang lain bangun melainkan anak muda tersebut. Ketika Nabi Isa as bertanya soalan yang sama buat kali terakhir, anak muda itu jugalah yang tetap berdiri sehinggalah Nabi Isa as berkata, “Benarlah engkau akan dibunuh dan akan bersama denganku kelak”. Selepas itu, Nabi Isa as diangkat ke langit oleh para malaikat. Nabi Isa as hidup dengan jasad dan roh di langit dalam keadaan jaga. Anak murid Nabi Isa as yang paling muda tadi telah ditukar rupanya seperti wajah Nabi Isa as. Orang-orang kafir masuk didalam majlis itu. Ada periwayat mengatakan jumlah orang kafir itu semuanya 7 orang dan ada juga kata jumlahnya 9 orang. Orang-orang kafir itu mendapati ada 12 orang sahaja didalam majlis itu. Kata mereka, “Sepatutnya ada 13 orang”. Mereka tidak sedar bahawa Nabi Isa as telah diangkat ke langit. Apabila orang kafir terpandang wajah anak muda yang mirip seperti Nabi Isa as, mereka mula bergaduh sesama sendiri kerana keliru dengan anak muda itu. Kata Syeikh, wajah Nabi Isa as tidaklah putih tetapi tidaklah pula gelap. Ini adalah kerana baginda dilahirkan di Palestin. Wajahnya tidaklah seperti yang digambarkan oleh orang-orang kafir yang melukisnya dengan wajah muka berwarna putih dan bermata biru dan sebagainya. Walaupun orang-orang kafir ini berada didalam keadaan keliru dan ragu-ragu namun mereka tetap menangkap anak muda itu lalu menyalibnya. Mereka menyangka bahawa mereka telah menyalib Nabi Isa as tetapi sebenarnya Nabi Isa as telah diangkat ke langit dan akan turun ke bumi sebelum berlakunya kiamat. Selepas peristiwa itu, orang-orang kafir mula mengubah makna dan lafaz didalam kitab Injil. Diriwayatkan terdapat 70 buah kitab Injil yang telah diubah isi kandungannya. Raja Konstantin yang menganut agama Nasrani kemudiannya telah menerima hanya 4 buah kitab sahaja dan membakar baki kitab tersebut. Apapun Raja Konstantin ini mula mengharamkan apa yang halal dan menghalalkan apa yang haram. Semenjak dari itu, dunia berada dalam kegelapan sehinggalah Nabi Muhammad saw diutuskan. Dunia bercahaya apabila Nabi saw dilahirkan.
Nabi Muhammad saw adalah Nabi yang terakhir, paling mulia, paling cantik dan paling sempurna akhlaknya. Wajahnya putih bersinar-sinar dan sedikit kemerah-merahan. Janggut dan rambutnya hitam, kadang-kadang rambutnya panjang ke hujung telinga dan kadang-kadang panjang ke bahu. Nabi saw mempunyai 21 helai uban (terdiri dari janggut dan rambut). Keningnya seperti hilal (bulan sabit). Bulu matanya lebat. Rasulullah saw fizikalnya sederhana. Dada dan perutnya sejajar. Barangsiapa melihat Rasulullah saw maka orang itu pasti menyatakan bahawa matahari telah terbit. Tubuh Rasulullah saw harum mewangi walaupun Rasulullah saw tidak memakai minyak wangi. Mana-mana tempat yang dijejak atau disentuh dengan telapak tangannya akan mendapat keberkatan. Pakaiannya penuh dengan keberkatan. Sahabat-sahabat bertabarruk dengan jubah Nabi saw. Mereka merendam jubah Nabi saw dan airnya digunakan untuk mandi, minum dan menyembuhkan penyakit. Para sahabat bertabarruk dengan air wudhu’ Nabi saw. Para sahabat bertabarruk dengan air peluh Nabi saw. Dalam hadith Muslim diriwayatkan bahawa Rasulullah pergi ke rumah Ummu Sulaim. Ummu Sulaim tidak ada dirumah pada waktu itu. Para sahabat lain memberitahu kepada Ummu Sulaim, “Wahai Ummu Sulaim, tidakkah kamu tahu bahawa Rasulullah saw ada dirumah kamu?” Mendengarkan itu, Ummu Sulaim bergegas pulang. Ketika sampai dirumahnya, Ummu Sulaim mendapati bahawa Rasulullah saw sedang tidr dan peluh keluar dari wajahnya. Peluhnya sangat jernih seperti mutiara. Peluhnya disapu dengan kain oleh Ummu Sulaim. Kain itu kemudiannya diperah ke dalam botol kecil. Rasulullah saw bangun lalu bertanya Ummu Sulaim, “Apa yang kamu buat ini, Ummu Sulaim?” Ummu berkata, “Kami berharap agar peluhmu dapat memberi keberkatan kepada anak-anak kami”. Kata Rasulullah saw, “Benarlah katamu wahai Ummu Sulaim”. Pada suatu hari, seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah saw tentang keadaan matanya yang telah buta. Rasulullah saw menyuruhnya pergi ke masjid, mengambil wudhu’, mengerjakan solat dua rakaat dan membacakan doa tawassul serta meminta hajat selepas mengerjakan solat. Sahabat yang buta tadi kemudiannya keluar dari majlis dan melakukan apa yang dierintah oleh Nabi saw. Seorang perawi bernama Uthman bin Hunaif berkata, “Kami belum berpisah dari majlis dan kami lihat dia telah celik semula (tatkala apabila melihat sahabat yang buta tadi masuk kembali ke dalam majlis setelah selesai menyempurnakan perintah Nabi saw)”. Hadith ini telah disahihkan oleh 15 orang huffaz termasuk Imam at-Tabrani didalam kitabnya Mu’jam Saghir dan Kabir. Kesimpulannya, periwayatan hadith-hadith diatas menunjukkan dalil harusnya bertawassul dengan Rasulullah saw. Dalil inilah yang dipegang oleh ASWJ.
Kita perlu mengetahui siapa ASWJ yang sebenar agar kita tidak tertipu. Ada golongan mendakwa mreka beraliran ASWJ tetapi haqiqatnya mereka mengkafirkan orang Islam yang lain. Ada golongan yang melaungkan slogan “Mari belajar Arab dan al-Quran “ tetapi pada masa yang sama mereka mengajar perkara-perkara yang bercanggah dengan al-Quran. Ada kelompok yang mencanang hendak mendirikan khilafah tetapi pada masa yang sama mereka menghalalkan darah ASWJ. Kata syeikh, baru-baru ini ada sekelompok golongan di Jawa Timur yang tergamak menghancurkan kubur para wali dan orang-orang soleh. Begitu juga kira-kira enam hari yang lepas dimana terdapat satu golongan yang telah menghancurkan kubur para wali. Mereka mengorek tanah dan mengambil tulang-tulang orang yang soleh. Kita tidak boleh berdiam diri tentang hal ini. Janganlah kita sekali-kali menerima aqidah baru yang songsang ini. Ajarlah anak-anak kita dengan aqidah ASWJ yang sebenar. Sekarang, ramai ibubapa tidak mengambil berat tentang anak-anak merka sehinggakan anak-anak ini belajar ilmu aqaidah yang salah. Ajaran yang disampaikan oleh ulama-ulama lama seprti Sifat 20 perlu diteruskan. Ketahuilah bahawa jika kita memberi tumpuan tentang hal ini maka ia akan memberi manfaat yang cukup besar. Didalam kitab-kitab ini, ada penjelasan tentang keesaan Allah. Setiap sesuatu adalah ciptaan Allah. Semua perkara baik dan buruk, iman dan kufur, perbuatan manusia tanpa niat atau dengan niat adalah ciptaan Allah Ta’ala. Allah mencipta jisim khafif (yang boleh dipegang dengan tangan) dan jisim latif (yang tak boleh dipegang). Allah mencipta Arasy. Allah tidak menyerupai mana-mana makhluk. Allah tidak memerlukan tempat. Allah telah pun ada sebelum makhluk wujud. Allah Ta’ala tidak ada permulaan dan pengakhiran, tidak ada depan dan belakang, tidak ada kiri dan kanan dan tidak ada atas dan bawah. Tidak boleh bertanya dimana Allah. Allah Ta’ala wujud tanpa tempat. Inilah aqidah ASWJ yang sejati. Allah Ta’ala wujud sejak azali dan abadi tanpa arah. Kita tidak boleh kata bahawa Allah ada disetiap tempat. Sifat kalam Allah bukanlah suara atau huruf. Allah mencipta Arasy tetapi memerlukannya dan juga tidak memerlukan apa-apa yang diciptanya. Jika ada orang bertanya kenapa kita mengangkat tangan ke langit sewaktu berdoa maka jawabnya, “Kerana langit adalah kiblat bagi doa”. Mengangkat tangan ke langit tidak bererti Allah Ta’ala ada di langit. Ini adalah kerana langit adalah makhluk yang mempunyai permulaan dan pengakhiran dan akan hancur bila tiba masanya sedangkan Allah Ta’ala tidak ada mula dan akhir. Sebab itu dinyatakan bahawa langit adalah kiblat bagi doa sama seperti Kaabah yang menjadi kiblat bagi solat.
Aqidah ASWJ adalah kunci syurga Allah. Dalam seluruh kitab fiqah, perlu dijelaskan satu bab iaitu riddah (murtad). Murtad bererti terbatal aqidahnya. Ulama menjelaskan 3 perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad,
1. Akidah yang salah
2. Perbuatan yang salah
3. Ucapan yang salah
Setiap satu dalam ketiga-tiga perkara ini adalah menghukum kepadanya. Maksudnya jika seseorang itu melakukan salah satu dari 3 perkara tersebut maka ia sudah cukup untuk dihukumkan atas dirinya sebagai murtad walaupun dalam keadaan bergurau, marah atau jahil. Kerana itu, kita perlu belajar supaya kita dapat menjauhinya. Diantara ucapan lidah yang boleh menyebabkan seseorang itu terbatal aqidahnya ialah sekiranya ia menghina Allah, menghina Nabi, menghina malaikat, menghina Islam dan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal (walaupun bergurau). Jika seseorang itu membuang naskhah al-Quran ditempat yang tidak sepatutnya maka ia boleh jatuh murtad. Orang yang menyamakan Allah seperti cahaya atau duduk di atas arasy atau duduk di langit maka aqidahnya terbatal. Imam Syafi’i mengeluarkan hukum bahawa tidak sah mengerjakan solat di belakang orang-orang yang menganut fahaman sebegini. Kata ulama, barangsiapa yang melakukan salah satu dari perkara-perkara ini maka ia tidak boleh bertaubat dengan sekadar melafazkan istighfar tetapi hendaklah ia mengucap semula kalimah syahadah dengan niat untuk memeluk Islam semula.
ASWJ perlu bersatu. Hanya dengan cara itu, umat Nabi Muhammad saw akan menjadi gagah dan berhasil meraih kejayaan. Insya Allah, Baitul Maqdis akan bebas. Ini semua akan berlaku jika aqidah kita bersatu didalam hati-hati kita.

Monday, March 29, 2010

Adab-adab Salikin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 28 Mac 2010, waktu dhuha

Tanda-tanda murid yang sodiq
1. Sodiq ialah murid yang benar, percaya, yakin dan menyempurnakan janji dengan syeikhnya.
2. Kazib ialah murid yang berdusta, pembohong dan tidak menyempurnakan janji taat setia dengan syeikhnya.
Berkata Daud al-Toei[1],
Diantara tanda murid yang sodiq dari kalangan penuntut ilmu zahir ialah dia tidak menyibukkan diri untuk ikut serta dalam perbahasan sesuatu ilmu dan tidak suka berjidal (berdebat). Bahkan murid yang sodiq ialah murid yang menghadiri majlis ulama’ dalam keadaan merasakan dirinya tidak mengetahui walau sedikit pun tentang apa yang diperkatakan oleh ulama tersebut. Keadaan ini wajib dikekalkan sehinggalah murid tersebut sampai ke tingkatan seorang rijal[2] dan dia diizinkan untuk bercakap bagi menghindarinya daripada terjerumus kedalam sifat-sifat buruk yang terhasil daripada perbuatan tersebut seperti riya’, ‘ujub dan takabbur.
Beliau juga berkata,
Diantara tanda murid yang sodiq ialah dia tidak melangkah walau selangkah untuk memenuhi keinginan nafsunya kerana berasa malu terhadap Allah Ta’ala.

[1] Beliau merupakan murid kepada Imam Abu Hanifah. Beliau pernah menjadi mufti majlis Imam Abu Hanifah. Daud al-Toei tidak pernah makan makanan yang perlu dikunyah. Beliau tidak mahu membuang masa dengan mengunyah makanan. Katanya apabila ditanya oleh anak muridnya, “Masa untuk mengunyah itu aku boleh gunakan untuk membaca 50 ayat al-Quran”. Beliau menghabiskan masanya dengan mengerjakan amal ibadah sehinggakan beliau tidak sedar atap rumahnya telah bocor. Beliau hanya mengetahuinya itupun setelah ditegur oleh anak saudaranya yang baru pertama kali memasuki rumahnya. Ketika mensyarahkan bab ini, Syeikh teringat pesanan terakhir yang disampaikan oleh masyaikhnya, Syeikh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, “ Tidak ada lagi yang tinggal melainkan ikhlas.”
[2] Orang yang mantap dalam suluk

Syarah Kanzul Minan Hikam Abi Madyan - Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang 28 Mac 2010 waktu dhuha

Kitab yang bernama Kanzul Minan ‘Ala Hikam Abi Madyan ra
Kanzul Minan bererti perbendaharaan anugerah. Minan adalah jamak bagi minna yang bererti banyak anugerah. ‘Ala Hikam Abi Madyan[1] merujuk atas syarah kata-kata hikmah, yakni kata-kata hikmah yang dikurnia Allah kepada Abi Madyan ra.
Menterjemahkan dia al-‘Abd al-Faqir al-Fani’ Daud Abd Allah Fathani (semoga Allah mengampunkan dosanya dan kedua ibubapanya, Amin)
Al-Fani’ bermaksud yang binasa dan ia adalah sifat makhluk sedangkan al-Baqi’ adalah sifat Allah yang bermakna kekal.
Hai Tuhanku, Jadikan oleh-Mu akan zahir kami berhias dengan syariat dan batin kami berpakai dengan tariqat
Kata Syeikh, zahir ikut syari’at dan batin ikut tariqat. Inilah langkah yang perlu dilalui oleh ahli sufi untuk mencapai maqam haqiqat. Sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya maka mereka akan mencapai haqiqat yakni kefahaman sesuatu perkara dalam perjalanan tariqat menuju jalan Allah. Kata Imam Malik ra, “Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh iaitu fiqhul asghar[2] dan fiqhul akbar[3] tetapi tidak belajar ilmu tasawwuf maka mereka adalah fasiq[4]. Sesiapa yang belajar tasawwuf tetapi tidak belajar fiqh dan tauhid maka mereka adalah kafir zindiq. Sesiapa yang menghimpunkan antara keduanya (fiqh, tauhid) dan tasawwuf maka benarlah ia menjadi ahli muhaqqiqin dalam perjalanan menuju kepada Allah. Nabi saw bersabda,
“Wali-wali Allah melihat kepada batin dunia di saat manusia melihat zahir dunia”
Sebab itu antara doa para masyaikh berbunyi seperti berikut,
“Ya Allah, Ya Tuhanku, Perlihatkanlah kepadaku sesuatu perkara itu akan haqiqat perkara itu”
Sebab utama masyaikh berdoa sedemikian agar tidak tertipu dengan kepalsuan yang ditonjolkan secara zahir (lahiriah) sepanjang hidupnya. Orang yang beristiqamah atas jalan tariqat akan diberi air (minuman) yang mencurah-curah oleh Allah Ta’ala kedalam benak hati mereka tanpa ada sebarang perantaraan. Mereka dikurnia ilmu ladunni. Ilmu ini adalah ilmu yang tidak ada batasnya. Ini berbeza dengan orang yang mengambil ilmu dari kitab. Ilmu dari kitab ada batasnya sebab ilmu itu terhad pada bilangan buku atau bilangan mukasurat yang dibacanya. Ilmu Nabi saw tidak ada batasnya disisi makhluk Allah kerana Allah telah berfirman kepada Nabi saw,
Katakanlah wahai Muhammad dan aku ijazahkan kepadamu dengan berkata, “Tuhanku, tambahkanlah bagiku ilmu”
Tentang keluasan ilmu Nabi saw, seorang sahabat bernama Huzaifah ibn Yaman berkata, pernah suatu hari Nabi saw berkhutbah dari Subuh hingga ke Isyak. Nabi saw berkhutbah tentang peristiwa akhir zaman dan memperincikan satu-persatu tentang keadaan manusia hingga ke hari kiamat termasuklah keadaan pemimpin yang zalim.
Supaya benderang atas kami beberapa cahaya haqiqat dan jadikan oleh-Mu akan ma’ani pohon kayu La Ilaha Illallah Muhammad Rasul Allah itu tetap lagi biasa pada kami hingga mendatangkan buahnya pada tiap-tiap ketika dengan kurnia tuhannya.
Semua perkara atas muka bumi ini adalah bersumber daripada kalimah La Ilaha Illallah Muhammad Rasul Allah. Pohon ini hendaklah hidup dan berbuah didalam hati kita.
Dan masakkan buah kayu ini hingga bersedap memakan dengan dia dan hingga kami bahagikan padanya akan segala saudara
Menjadi kelaziman kepada wali Allah untuk tidak memakan buah seorang diri melainkan berkongsi dengan segala ikhwan. Kerana itu mereka akan mengajak anak-anak murid mereka menanam pohon kayu itu sebelum disiram oleh mereka (wali Allah). Inilah wawasan wali Allah yang mursyid dan murabbi. *Pohon kayu ini adalah untuk orang awam.
Dan dijiruskan oleh-Mu akan dia daripada beberapa sungai kurnia dan ehsan hingga kami merasa akan manis buah kayu la hawla wa la quwwata illa billah
Kalimah La Ilaha Illallah Muhammad Rasul Allah adalah pohon syariat. Pohon ini hendaklah dibiarkan berbuah. Setelah itu, tanam pula pohon tariqat iaitu la hawla wa la quwwata illa billah. Pohon ini adalah tempat dimana kita bersandarkan segala kekuatan kepada Allah Ta’ala.
Dan hingga kami bahagikan daripada bendaharaan ini dan kami lengkapkan sekalian dan kami tentukan akan tiap-tiap hati yang khusyuk tiada daya bagiku dan tiada kuat bagiku adalah pada aku itulah dan harap sejahtera.
Pohon tariqat dibahagikan kepada orang-orang yang telah mencapai kesempurnaan dalam syariat mereka. Pohon ini hanya dikongsi dengan orang-orang yang telah merasai buah dari pohon La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah. Orang yang benak hatinya tidak layak merasai buah ini. Sahl al-Tasturi memilih orang tertentu sahaja belajar tentang pohon ini. Untuk belajar pohon tariqat ini, Sahl akan menjempt anak muridnya yang terpilih datang ke rumahnya. Beliau akan mengunci pintu rumah dan meletakkan kunci diatas pahanya. Begitu juga dengan wali Allah yang lain seperti Sayyid Ahmad Idris ra. Beliau hanya mengajar pohon tariqat ini selepas waktu Isyak kepada murid-murid yang khawass sahaja. Kata Syeikh, kita harus sedar dan faham bahawa untuk memahami sesuatu perkara bukanlah atas kecerdikan atau kekuatan kita melainkan itu semua datangnya dari Allah Ta’ala. Dalam Hizib Saifi, Sayyiduna Ali ra ada menyebut,
“Ya Allah, Sesungguhnya aku membebaskan diriku dari keupayaan dan kekuatanku.”
Inilah syarat untuk masuk belajar ilmu tasawwuf. Untuk belajar ilmu ini, kita hendaklah masuk dalam keadaan yang faqir. Inilah yang telah berlaku kepada Imam Abu Hasan asy-Syazuli ra ketika hendak berguru dengan Imam Abd Salam bin Masyis. Sebelum bertemu dengan Imam Abd Salam bin Masyis, Imam Abu Hasan telah bermusafir sehingga ke Iraq untuk mencari guru mursyid. Sesampai disana, Imam Ahmad Rifa’i baru sahaja meninggal dunia. Imam asy-Syazuli berjumpa dengan anak murid Imam Ahmad dan menerima ijazah darinya. Kata anak murid Imam Ahmad Rifa’i, “Engkau bersusah-payah datang ke Iraq untuk mencari wali qutub sedangkan wali qutub it ada didalam negeri engkau.” Terkejut Imam Asy-Syazuli mendengar kata-kata anak murid Imam Ahmad Rifa’i. Beliau bergegas pulang sehinggalah ia bertemu dengan Imam Abd Salam bin Masyis. Imam Abd Salam bin Masyis tinggal didalam gua di atas sebuah bukit. Diriwayatkan beliau tidak pernah mempunyai anak murid atau pengikut melainkan Imam asy-Syazuli sahaja. Imam Asy-Syazuli pada ketika itu telah pun mencapai kemahsyuran sebagai professor yang sangat terkenal dalam dunia ilmiah. Untuk berguru dengan Imam Abd Salam, beliau sanggup mengenepikan segala kemahsyuran dan naik ke puncak bukit dengan penuh tawaduk. Beliau mengambil wudhuk dan menanggalkan seliparnya untuk berjalan naik ke atas. Di tengah jalan, dia bertemu dengan Imam Abd Salam. Imam Abd Salam menyambutnya dan menyebut nama keturunannya sehingga sampai ke Sayyiduna Ali ra seolah-olah beliau sudah kenal lama dengan Imam Asy-Syazuli (Kata Sayyid Ahmad Idris, amalkanlah salawat al-muzhib al-nisyaan untuk mengingat peristiwa alam roh, penyaksian atas Allah dan agar diri tidak lalai dari menyebut kalimah syahadah). Imam Abd Salam berkata kepada Imam Asy-Syazuli, “Oleh kerana engkau naik ke gua aku dengan pakaian faqir maka aku pakaikan engkau dengan pakaian ma’rifah”. Kata syeikh, untuk faham tentang ilmu tasawwuf ini, seseorang itu mestilah datang dalam keadaan faqir agar mendapat kurnia dari Allah Ta’ala. Kata ulama, “Tanggalkan akal engkau dan datanglah (untuk belajar). Hikmahnya ialah supaya si penuntut ilmu tidak membangkang perjalanan tasawwuf. Imam Abd Wahab asy-Sya’rani, syeikhul Azhar yang sangat mahsyur pernah berguru dengan seorang ahli khawass yang kerjanya bertukang kasut dihadapan al-Azhar yang sangat terkenal itu. Ahli khawass menyuruh Imam Abd Wahab asy-Sya’rani membakar kesemua buku-bukunya. Inilah perkara yang paling sukar hendak dilakukan oleh Imam Abd Wahab. Kata ahli khawass, “Engkau mesti bakar semua kitab engkau supaya engkau tidak menyandar ilmu engkau pada kitab tetapi menyandar kepada Allah Ta’ala semata-mata”.[5]
Hai orang-orang yang gemarkan berjalan kepada Allah yang berkehendak akan merasai dengan dzauq manis ma’rifah. Jangan engkau mengenderai didalam jalan kepada Allah melainkan dengan kenderaan zul (hina) dan iftiqar (berkehendak) dan jangan engkau mengambil bekal kepadanya didalam padang ini melainkan dengan taqwa dan inkisar (pecah hati). Maka tatkala demikian itu adalah engkau orang yang melentangkan diri bagi nafahat lagi berjalan bagi yang terlebih hampir jalan ahli muamalat (orang yang berurusan dengan Allah) lagi berhias bagi turun fidh yakni limpah pemberian rahmat daripada Tuhan yang memberi akan beberapa pemberian
Untuk mengikuti jalan yang paling hampir menyampaikan diri kepada Allah Ta’ala, kenderaan yang hendak diguna adalah kenderaan zul dan iftiqar manakala bekal yang perlu dibawa ialah taqwa dan inkisar. Firman Allah dalam Hadith Qudsi, “Aku bersama dengan orang yang pecah hatinya kerana Aku”.
Telah muwafaqat segala masyaikh atas mentakzimkan dan membesarkan dia[6] dan mereka itu beradab pada hadapannya dan adalah radiallahu anhu sangatlah elok rupanya lagi bersih tubuhnya lagi banyak tawadhu’ lagi zahid akan dunia lagi wara’ lagi adalah muhaqqiq ilmunya. Sanya telah menghimpunkan atas baik kelakuannya dan baik perangainya dan karamatnya amat banyak. Maka adalah suatu hari lalu ia atas himar dan harimau memakan dia setengah tubuhnya dan empunyanya itu melihat ia akan dari jauh tiada kuasa hampir akan dia maka berkata Syeikh ra bagi empunya himar, “Mari kita pergi kepadanya”. Dan berkata ia, “Pegang olehmu dengan telinganya dan pakaikan dia akan ganti tempat himar engkau selama hari hidupnya”. Maka mengambil empunya himar itu akan telinga harimau dan ditunggangnya akan dia dan duduk ia kerjakan pekerjaannya hingga mati harimau itu beberapa tahun dengan karamat Syeikh ra.






[1] Syu’aib nama dirinya, Maghribi negerinya, Bijadiyah tempat kediamannya dan TIlmizani tempat quburnya.
[2] Merujuk kepada fiqh ilmu zahir seperti solat, puasa dan sebagainya
[3] Merujuk kepada ilmu tauhid. Kitab tauhid yang paling awal ditulis adalah al-Fiqhul Akbar. Kitab ini ditulis oleh Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah adalah seorang tabi’in yang pernah belajar dengan para sahabat termasuk Anas bin Malik ra. Anas ra adalah sahabat yang paling akhir wafat. Imam Abu Hanifah telah meriwayatkan sebuah hadith yang sangat mahsyur dari Anas bin Malik ra dengan maksudnya, “Menuntut ilmu adalah kefardhuan ke atas setiap orang Islam”. Kata Syeikh, ramai orang tidak faham dengan maksud hadith ini malah ada yang menambah perkataan muslimin dan muslimat (maksudnya menuntut ilmu adalah kefardhuan keatas setiap orang muslimin dan muslimat). Langkah menambah perkataan ini tidak tepat kerana Nabi saw menyebut muslimin sahaja yang mencakupi keseluruhan umat Islam. Muslimin yang disebut didalam hadith itu ibarat wajah yang mewakili keseluruhan jasad. Nabi saw dianugerahi Jawami’ Kalim dimana ucapan baginda saw ringkas tetapi padat dan penuh makna. Nabi saw tidak bercakap meleret-leret kerana para sahabat benar-benar memahami apa yang disampaikan oleh baginda saw. Ada juga pihak yang langsung tersalah tafsir maksud hadith diatas dimana mereka beranggapan bahawa menuntut ilmu adalah fardhu ke atas lelaki sahaja (kerana penggunaan perkataan muslimin). Alasan inilah yang digunakan oleh puak tertentu sehingga mereka melarang keras golongan wanita menuntut ilmu padahal menuntut ilmu itu wajib atas setiap orang Islam.
[4] Kata syeikh, ketahuilah bahawa taat dan maksiat itu terbahagi kepada dua. Taat terbahagi kepada zahir seperti solat, puasa dan sebagainya dan batin seperti redha, mahabbah dan sebagainya manakala maksiat juga terbahagi kepada dua iaitu maksiat zahir seperti judi dan sebagainya dan maksiat batin seperti riak, takabbur dan sebagainya. Kata ulama, jauhilah maksiat apa yang zahir dan apa yang batin.
[5] Dalam satu kisah lain yang disampaikan Syeikh, ada seorang ulama nahu namanya Sibawaih. Beliau sangat leka menulis sehingga tidak mempedulikan isterinya. Sehinggalah pada satu hari, isterinya membakar kesemua kitab Sibawaih kecuali satu kitab yang bernama al-Kitab. Kata ulama, ada hikmahnya kitab-kitab itu dibakar kerana jika tidak dia tidak akan habis-habis menulis kitab nahu.
[6] Dia yang dimaksudkan disini ialah pengarang kitab Hikam ini iaitu Syeikh Abi Madyan

Monday, March 22, 2010

Kitab Kesempurnaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 21 Mac 2010
Bentuk tubuh Nabi saw seperti yang diriwayatkan oleh Ali ibn Abi Talib, al-Hasan ibn Ali dan Jabir ibn Samurah dapatlah dirumuskan seperti berikut,
1. Tubuh Nabi saw adalah sederhana besarnya
2. Dada dan perut Nabi saw adalah sejajar
3. Kata Syeikh, setiap binatang yang menjadi tunggangan Nabi saw tidak berubah jasadnya dari segi fizikalnya yang sentiasa kelihatan muda dan tidak pernah sakit berkat ditunggang oleh Nabi saw. Ibu susuan Nabi saw iaitu Halimah ketika hendak datang mengambil Nabi saw untuk disusuinya ketika Nabi saw masih bayi bergerak dengan sangat perlahan kerana binatang tunggangannya lembap pergerakannya. Setelah Nabi saw menaiki tunggangan itu, dengan serta-merta binatang tunggangan Halimah menadi cergas malah rombongan Halimah terpaksa pula mengearnya dari belakang. Kambing-kambing di kampung Halimah menadi gemuk dan mengeluarkan susu yang banyak berkat kehadiran Nabi saw di kampung itu.
4. Tubuh Nabi saw tidak gemuk. Amalan Nabi saw ialah makan sehari dan lapar sehari (diulang secara selang-seli) dengan tujuan untuk menyempurnakan maqam sabar dan syukur iaitu sabar bila berlapar dan bersyukur bila menikmati hidangan. Nabi saw hanya makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
5. Kulit Nabi saw adalah putih kemerahan dan ini disepakati oleh para ulama secara mutawatir. Barangsiapa menyatakan bahawa kulit Nabi saw adalah hitam maka hukumnya adalah kufur.
6. Mata Nabi saw hitam pekat dan inilah secantik-cantik mata. Anehnya orang sekarang berlumba-lumba hendak mencantikkan mata dengan warna lain seperti biru atau hijau.
7. Bahu Nabi saw bidang menandakan bahawa tubuh Nabi saw sangat gagah perkasa.
8. Apabila baginda saw berpaling, seluruh badannya ikut berpaling. Ini adalah tanda betapa Nabi saw sangat tawaduk apabila bercakap dengan seseorang. Kata syeikh, orang yang tidak memandang muka orang yang bercakap dengannya adalah tanda orang-orang yang takabbur. Apabila kita bercakap dengan seseorang hendaklah kita memandang muka orang itu. Hikmahnya supaya orang itu berasa dihargai walaupun apa yang dicakapnya itu mungkin tidak seberapa. Ketahuilah bahawa bahasa badan (body language) lebih berkesan dari bahasa lisan (lidah) kerana dari situ seseorang akan tahu samada ia disukai atau tidak oleh orang lain. Takabbur tidak dapat disembunyikan samada menerusi percakapan atau pergaulan/perbuatan. Orang yang bersifat takabbur akan dizahirkan menerusi kedua-duanya. Kata ulama, Sesungguhnya kalam/ucapan/lafaz yang keluar dari mulut seseorang pada hakikatnya adalah berdasarkan dari hati. Ini termasuklah lisan lidah atau lisan perbuatan. Ramai orang boleh menarik perhatian orang lain dengan menggunakan lisan lidah. Sabda Nabi saw, “Sesungguhnya bayan (penerangan menerusi lidah) boleh mensihir orang yang mendengar”. Maksudnya disini ialah betapa percakapan seseorang itu yang mahir berkata-kata boleh memukau atau mempersona orang-orang yang mendengar. Pada hari ini, lisan lebih banyak tertumpu kepada kepetahan berkata-kata yang tidak bersandarkan kepada kebenaran ilmu. Kata syeikh, lisan perbuatan adalah lisan yang sangat sukar hendak dilaksanakan. Lisan perbuatan bererti sesuatu perbuatan itu boleh berkata-kata. Sebagai contoh perbuatan yang boleh diterjemah dalam bentuk dakwah untuk menarik perhatian orang ramai. Lisan perbuatan Nabi saw telah berjaya menarik ramai orang kafir Quraisy memeluk agama Islam. Contoh lisan perbuatan Nabi saw ialah baginda saw meringkaskan khutbah Jumaat tetapi memanjangkan solat Jumaatnya. Sabda Nabi saw, “Tanda ketidak-faqihan (ketidak-aliman) seseorang itu ialah apabila khutbahnya panjang dan solatnya pendek”.
9. Nabi saw mempunyai khatam nubuwwah yang terletak diantara belikat Nabi saw tetapi condong disebelah kiri. Seluruh Nabi dan Rasul Allah mempunyai cop mohor masing-masing yang letaknya diatas tangan kanan mereka. Hanya baginda saw mempunyai cop mohor yang terletak diantara belikat baginda saw.
10. Nabi saw mempunyai hati yang paling pemurah. Nabi saw mengambil berat masalah umatnya dan semua orang mendapat pembelaan Nabi saw. Berbeza dengan keadaan masyarakat pada zaman ini yang mementingkan diri sendiri, tidak ada perasaan belas dan kasih pada orang lain dan tidak mahu mengambil tahu hal-ehwal umat Islam dan ini merupakan satu musibah besar kepada umat Islam. Sabda Nabi saw, “Sesiapa yang tidak prihatin perihal umat Islam maka ia bukan di kalangan kami”. Kata syeikh, jangan ambil remeh tentang frasa “bukan di kalangan kami" seperti yang disebut dalam hadith tersebut kerana kesannya cukup dahsyat. Umat Islam seharusnya berasa amat bimbang jika kelak tidak dapat berhimpun dengan baginda saw di Hari Akhirat sedangkan semua Nabi dan Rasul berada di bawah panji baginda saw. Kata syeikh, ada orang yang taat beribadah dan melazimkan diri dengan mengerjakan umrah tetapi tidak mahu mengambil tahu hal umat Islam. Jika ada ulama bersifat seperti ini maka binasalah umat Nabi saw. Umat akan jadi jahil jika ulama bersikap mementingkan diri sendiri. Sebab itulah ulama kena fikir masalah umat. Lazimkanlah diri dengan sentiasa mengambil berat hal umat Islam terutamanya dalam urusan yang bersangkutan dengan hidup berjiran, menziarahi orang sakit dan mengambil bahagian dalam menyembahyangkan jenazah.
11. Nabi saw tidak pernah bercakap bohong dan pandangan Nabi saw semuanya benar belaka kerana Nabi saw adalah maksum. Nabi saw tidak pernah bercakap bohong kerana sifat Nabi adalah as-Siddiq.
12. Perangai Nabi saw tidak sombong bahkan senang digauli.