Tuesday, October 19, 2010

Syarah kitab Penawar Hati

*Catatan bebas pada 16 Oktober 2010 di Masjid al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara
Hadith berkaitan pendakwah yang malang
Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Harithah radiallahu anhuma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Akan didatangkan seorang lelaki pada hari qiamat nanti lalu dilemparkan ke dalam api neraka sehingga terkeluarlah isi perutnya kemudian lalu ia berpusing (ditengah-tengah unggunan api neraka) seperti berpusingnya seekor kaldai di tempat penggilingan gandum. Para penghuni neraka terkejut melihat kejadian ini lalu mereka segera berhimpun di sekelilingnya sambil berkata kepadanya, Hai Fulan! Mengapa engkau jadi begini? Bukankah dahulu (sewaktu di dunia) engkau suka menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang mereka daripada kemungkaran?” Lalu orang itu menjawab, “Ya benar. Dahulunya saya suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi saya tidak melakukannya dan saya suka melarang orang lain daripada melakukan kemungkaran tetapi saya sendiri melakukannya” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud pendakwah yang malang di sini ialah ia mengajar orang lain tetapi ia sendiri tidak beramal dengan ilmunya. Seorang pendakwah yang menyeru amal makruf nahi munkar mestilah terlebih dahulu mempraktikkannya sebelum menyeru kepada orang lain. Apabila ia mempraktikannya kemudian menyeru pula kepada orang lain maka pahalanya luar biasa berganda. Ini adalah kerana ia mendapat pahala amal ibadah atas amal yang dikerjakannya dan pahala dia mengajar kepada orang lain apabila orang lain mengerjakan apa yang diajarnya. Ia akan mendapat pahala yang sempurna dari setiap orang yang mempraktikkan ajarannya. Inilah yang dikatakan pahala yang luar biasa gandaannya. Sebab itulah apabila berdakwah maka ia perlu mempraktikkannya sekali. Jika tidak kesannya terhadap masyarakat sangat buruk kerana masyarakat mengambil teladan daripadanya. Sebagai contoh, jika ia menyeru orang ramai agar menutup aurat sedangkan isterinya sendiri tidak menutup aurat lalu bagaimana masyarakat hendak menuruti perintahnya kerana ia sendiri tidak mempraktikkannya di kalangan ahli keluarganya sendiri. Itulah sebabnya orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan diseksa terlebih dahulu sebelum penyembah berhala. Apapun ini bukanlah alasan untuk kita tidak mencari ilmu. Ibarat orang tidak mahu menggunakan tenaga elektrik kerana takut terkena kejutan elektrik sedangkan menggunakan tenaga elektrik itu adalah satu keperluan dan mempunyai banyak manfaat kepada kehidupan. Begitu jugalah dengan ilmu. Ilmu wajib dituntuti dan perlu beramal dengannya.
Ilmu mudah diperolehi dan dihayati jika didahulukan dengan niat yang betul. Orang yang berada dalam kelompok ini amat mudah hendak beramal dengan ilmunya. Imam al-Ghazali sentiasa menasihati penuntut ilmunya dalam setiap permulaan kitab-kitab yang ditulisnya. Beliau meminta penuntut ilmu agar menuntut ilmu dengan tujuan untuk mencari keredhaan Allah bukannya untuk tujuan kemegahan dunia. Jika niatnya betul maka segala urusannya akan dipermudahkan Allah Ta’ala. Niat yang betul termasuklah niat untuk menghapuskan kejahilan dan ikhlas apabila menuntut ilmu. Salah satu tanda seseorang itu mendapat keberkatan ilmu ialah apabila ia mengaji dengan orang alim yang beramal dengan ilmunya dan mempunyai hubungan sanad atau rantaian yang sampai kepada Rasulullah saw. Orang yang mengaji dengan sarjana yang tidak beramal dengan ilmunya tidak akan mendapat keberkatan ilmu walaupun gurunya itu menguasai pelbagai jenis bidang ilmu. Sebagai contoh, ia mengaji dengan orientalis. Ini adalah kerana keberkatan ilmu tercabut apabila ilmu itu tidak diamal.

Hadith tentang kenapa doa ditolak
Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu berkata, Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah swt itu baik dan Dia tidak menerima kecuali yang baik juga dan sesungguhnya Allah swt telah menyuruh orang-orang yang beriman dengan apa yang ia suruh kepada sekalian Mursalin (para Rasul) maka Allah swt berfirman (seperti yang disebutkan dalam hadith di atas yang maksudnya), “Hai sekalian Rasul! Makanlah daripada yang baik-baik (yang halal) dan beramallah akan amalan yang baik”. Dan Ia berfirman pula, “Hai orang-orang yang beriman! Makanlah dari segala yang baik yang telah Kami berikan rezeki kepada kamu”. Kemudian Nabi saw menyebut seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut rambutnya, berdebu badannya, mengangkatkan kedua tangannya ke atas langit sambil berdoa, “Ya Rabbi! Ya Rabbi! (Ya Tuhanku), sedangkan makannya dari harta yang haram, minumannya dari harta yang haram, pakaiannya dari harta yang haram dan mulutnya disuapkan makanan yang haram maka bagaimana akan diperkenankan doanya”. Hadith Riwayat Muslim
Doa dimaqbulkan apabila cukup syaratnya tetapi tidak semestinya nyata kesannya di hadapan mata. Nabi Musa as berdoa selama 40 tahun. Hanya selepas itu barulah baginda nampak akan kesan doanya itu. Allah Ta’ala Maha Mengetahui akan waktu yang sesuai untuk hamba-hamba-Nya. Oleh yang demikian kita tidak harus berburuk sangka kepada Allah Ta’ala andainya kesan doa itu tidak nampak secara langsung kerana Allah Ta’ala Maha Mengetahui yang terbaik untuk kita. Doa yang ditolak disebut mardud. Doa ditolak apabila syaratnya tidak cukup. Syarat doa itu dimaqbulkan ialah apabila ia memakan makanan yang halal dan memakai pakaian dari sumber yang halal. Orang yang makan dari sumber yang halal amat mudah hendak beribadah kepada Allah Ta’ala. Orang yang makan benda haram tidak berminat hendak beribadah sebaliknya cenderung untuk berbuat maksiat. Antara sebab doa ditolak ialah jika makanan, minuman, pakaian, tempat kediaman dan kenderaannya berpunca dari sumber yang haram. Apabila bertemu dengan orang yang soleh, mintalah ia mendoakan kita. Salah satu sebab kita menghimpunkan orang ramai membaca Yaasiin dan tahlil ialah dengan harapan ada orang yang soleh duduk dalam majlis itu dan berdoa untuk kita. Mudah-mudahan kita dapat menumpang syafaatnya. Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dalam kitab Sairus Salikin Juzuk Ke-2 ada menyatakan bahawa selagi ada benda haram dalam tubuh kita walaupun dalam kuantiti yang sedikit maka ia masih menjadi sebab mengapa doa kita tertolak. Pernah Umar al-Khattab bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang bagaimana hendak mencari rezeki yang halal. Kata Ubai, “ Wahai Khalifah, pernahkah engkau berjalan di satu padang yang penuh dengan onak duri, rumput tinggi dan jalan yang berlubang?” Umar menjawab, “Ya”. “Lalu bagaimana engkau menempuhinya?” Tanya Ubai semula. “Bila aku melangkah, aku teliti dan apabila aku meletak kaki, aku teliti”, jawab Umar. “Nah, maka begitulah caranya umat Islam mencari rezeki yang halal”, kata Ubai. Atas sebab itu, kita hendaklah berhati-hati mencari rezeki yang halal. Imam al-Ghazali pernah berkata dalam kitabnya Ihya Ulumuddin dengan katanya, “Apalah gunanya dikurniakan usia yang panjang sehingga 200 tahun andai kata pengakhirannya ialah didalam api neraka.” Dengan sebab itu maka berhati-hatilah dalam urusan rezeki kerana ia terkait dengan amal ibadah kita.

Hadith tentang Jauhi Tujuh Pembinasa
Daripada Abu Hurairah radialallahu anhu, Rasulullah saw bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah tujuh pembinasa itu?” Nabi saw menjawab, “ Menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sihir, membunuh jiwa, yang diharamkan oleh Allah swt melainkan dengan kebenaran menurut syarak, memakan harta riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan pertempuran (di waktu berkecamuk peperangan) dan menuduh berzina terhadap perempuan-perempuan mukminah yang baik yang selalu menjaga diri daripada perbuatan yang keji”. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim
Maksud Tujuh Pembinasa di sini ialah dosa besar yang terbesar. Imam Syamsuddin az-Zahabi menyatakan dalam kitab Dosa-Dosa Besar bahawa terdapat 70 macam dosa-dosa besar. Yang disebut sebagai dosa besar ialah sesuatu yang dilarang yang dinyatakan secara terang-terang di dalam al-Quran dan Hadith tanpa sebarang kiasan. Dari sekian banyak dosa besar itu ada 7 dosa yang paling besar. 7 dosa paling besar itu ialah
1. Syirik kepada Allah
2. Sihir – timbul daripada perasaan hasad dengki sampai boleh membunuh orang. Mengikut Mazhab Syafi’i, penyihir boleh dijatuhkan hukuman bunuh jika sabit kesalahan atasnya.
3. Membunuh
4. Memakan harta riba – Dosa ini lebih besar dari dosa orang yang berzina dengan ibunya sendiri
5. Memakan harta anak yatim – Waris atau orang yang menguruskan harta anak yatim perlu amanah
6. Lari dari medan peperangan – Perbuatan ini boleh melemahkan semangat orang lain yang sedang berperang dan menyebabkan kekalahan, sebab itulah ia diletakkan sebagai dosa yang paling besar
7. Menuduh orang yang baik-baik berzina – Perbuatan ini boleh menjejaskan maruah orang lain.
Dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa besar dan dosa kecil. Dosa besar terbahagi kepada dua iaitu dosa kepada Allah Ta’ala dan dosa kepada makhluk lain. Syarat taubat bagi dosa kepada Allah Ta’ala ialah dengan menyesal segala perbuatan yang lalu, menyesal dengan segala perbuatan sekarang dan berazam untuk tidak mengulanginya di masa hadapan. Syarat taubat bagi dosa kepada makhluk ialah dengan menyesal segala perbuatan yang lalu, menyesal dengan segala perbuatan sekarang, berazam untuk tidak mengulanginya di masa hadapan dan minta halal akan segala kesalahan yang dilakukan.
Agama Islam menjaga 5 perkara dimana jika setiap satunya dilanggar maka pelanggarnya akan dihukum,
1. Agama – orang yang mempermainkan agama akan dihukum
2. Nasab – orang yang berzina akan dihukum
3. Harta – orang yang mengambil harta orang lain akan dihukum
4. Darah – orang yang menumpahkan darah orang lain akan dihukum
5. Maruah – orang yang menjatuhkan atau mengaibkan maruah orang lain akan dihukum

Hadith tentang Golongan yang akan disekat dari Telaga Kautsar
Daripada Asma’ binti Abu Bakar As-Siddiq radiallahu anhuma berkata, “Rasulullah saw bersabda, “Ketika aku sedang berdiri di tepi telagaku (telaga Kautsar, iaitu pada hari qiamat nanti) sambil menunggu orang-orang yang datang meminum daripadanya, maka tiba-tiba ada orang-orang yang disekat daripada sampai ke sisiku (ke tepi telagaku). Lalu aku berkata, “Bukankah mereka itu juga dahulunya daripada umatku?” Maka dikatakan orang kepadaku, “Ya benar, tetapi engkau tidak mengetahui bahawa mereka setelah itu kembali ke belakang (berpaling tadah atau meninggalkan ajaranmu)”. Berkata Ibnu Abi Mulaikah (salah seorang di antara perawi hadith), “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada kembali kepada kekufuran atau kami diuji dengan ujian yang berat”. Hadith riwayat Bukhari
Kita perlu memperbanyakkan salawat untuk mendapat syafaat dari baginda saw. Salah satu cara untuk mendapat syafaat baginda saw ialah dengan menjawab azan yang dilaungkan dengan sempurna dan membaca doa selepas azan. Ketahuilah bahawa Nabi saw memberi syafaat ketika baginda di dunia dan di akhirat. Pernah suatu hari baginda saw bercerita di hadapan para sahabat tentang 70, 000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab. Lalu bangun seorang sahabat (catatan ana: kalau tak salah namanya Ukasyah) dan meminta agar dia dimasukkan ke dalam golongan itu. Mendengar permintaan sahabat itu, Nabi saw lalu membenarkannya. Tentang menjawab azan, Syeikh Zainuddin Malibari dalam kitabnya Irsyaadul Ibad ada berkata bahawa orang yang bercakap-cakap ketika azan dilaungkan dikhuatiri akan mati di dalam keadaan yang tidak boleh mengucap. Ketahuilah bahawa azan itu mengajar (mentalqin) kita untuk mengucap. Orang yang menjawab setiap panggilan azan dengan sempurna ibarat melatih dirinya untuk mengucap ketika berhadapan dengan sakaratul maut. Atas sebab itu, apabila berhadapan dengan sakaratul maut, ia tidak menghadapi masalah untuk mengucap apabila ditalqinkan di telinganya ucapan kalimah syahadah.

Hadith tentang kenapa Neraka yang dipilih
Daripada Jabir radiallahu anhu berkata, Rasulullah saw bersabda, “Perumpamaan aku dan perumpamaan kamu adalah seperti seorang lelaki yang duduk berdekatan unggunan api maka banyaklah belalang dan rama-rama (kelkatu) yang menjatuhkan diri ke dalam api itu maka orang itu berusaha sedaya upaya untuk menyekat binatang-binatang tadi supaya jangan sampai jatuh ke dalamnya, Aku (Rasulullah saw) berusaha memegang simpulan kain kamu supaya kamu jangan jatuh ke dalam jurang api neraka namun ramai di kalangan kamu yang masih juga hendak melepaskan diri daripada peganganku”. Hadith riwayat Muslim
Dan dalam hadith yang lain riwayat daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah saw bersabda, “Semua umatku akan masuk ke dalam syurga melainkan orang yang enggan”. Sahabat merasa hairan lalu bertanya, “Ya Rasulullah! Siapa yang tidak suka masuk syurga?” Rasulullah saw menjawab, “Sesiapa yang taat kepadaku bererti dia mahu masuk Syurga dan sesiapa yang menyalahi ajaranku maka orang itulah yang tidak mahu masuk syurga”. Hadith riwayat Bukhari
Nabi saw menyayangi kita lebih daripada ibubapa menyayangi kita. Atas sebab itu maka lakukanlah segala apa yang diperintah oleh baginda saw agar kelak kita akan mendapat pertolongan baginda saw. Nabi saw sangat kasih kepada umatnya. Baginda saw menunggu umatnya di Telaga Kautsar. Ketahuilah apabila Allah merahmati sesuatu umat maka Allah wafatkan Nabi umat itu terlebih dahulu. Baginda saw wafat sebelum umatnya dan baginda saw menungggu umatnya di akhirat kelak. Berbanding Nabi lain seperti Nabi Nuh, umatnya meninggal terlebih dahulu sebelum Nabinya wafat. Ketahuilah bahawa ada bahagian-bahagian badan yang tidak akan disentuh dengan api neraka iaitu bahagian badan yang disapu dengan air mata yang menangis kerana takutkan Allah Ta’ala. Nabi saw pernah bersabda bahawa mana-mana anggota yang terkena air mata yang menangis kerana takutkan Allah pasti tidak akan disentuh dengan api neraka.

Sunday, October 10, 2010

Syarah Sairus Salikin

*Catatan bebas ana di USJ9 pada 10 Oktober 2010

Bab Kelebihan Membaca Salawat

Ganjaran mengucapkan salawat adalah sangat besar. Sebab itulah para ulama memperbanyakkan salawat. Salawat juga menyejukkan badan. Antara punca suami bergaduh dengan isteri adalah mungkin kerana terlalu sedikit amalan salawat di kalangan mereka. Salawat banyak kelebihannya. Antaranya ialah seperti meredakan pertelingkahan, mengingatkan balik memori yang lepas di kala terlupa, mengukuhkan tali persahabatan ketika berjabat dengan rakan dan sebagainya. Zikir La Ilaha Illallah perlu diseimbangkan dengan bacaan salawat. Zikir itu memanaskan badan manakala salawat menyejukkan badan. Dengan membaca salawat, ia sebenarnya membantu kita membayangkan kehadiran baginda saw di sisi kita. Salawat mendekatkan kita dengan Rasulullah saw. Bermimpi bertemu Rasulullah saw adalah benar. Jika seseorang bermimpi bertemu Rasulullah saw tetapi rupa Rasulullah saw yang dilihatnya itu berbeza dengan apa yang disifatkan oleh para ulama maka berkemungkinan besar Rasulullah saw hendak mengingatkan kepada orang yang bermimpi itu agar memperbaiki amalannya atau ada amalannya yang kurang atau tidak sempurna. Melihat Rasulullah saw dalam keadaan jaga (yaqazah) juga adalah benar tetapi ia hanya berlaku di kalangan orang-orang yang terpilih. Lazimnya orang-orang yang terpilih ini telah pun melihat Rasulullah saw di dalam mimpi mereka. Diriwayatkan ketika almarhum Abuya Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki menziarahi almarhum Habib Ali di rumahnya di Batu Pahat dengan tiba-tiba Habib Ali meminta hadirin lain meninggalkan mereka berdua di dalam rumah. Tetamu yang lain pun keluar dan meninggalkan mereka di dalam rumah. Selepas 20 minit, Habib Ali meminta tetamunya masuk semula ke dalam rumah. Tetamu-tetamu itu kemudiannya mendapati bahawa wajah Habib Ali dan Abuya Sayyid Muhammad Alawi Maliki telah berubah dengan linangan air mata. Rupanya di saat mereka berdua berada di dalam rumah, mereka telah bermusyahadah secara yaqazah dengan Rasulullah saw. Rasulullah saw ada bersabda, “Barangsiapa melihat aku di waktu tidur nanti dia akan tengok aku secara nyata”.

Salah satu cara untuk melihat Nabi saw di dalam mimpi ialah dengan membaca salawat Azimiyah banyak-banyak. Andaikata masih juga tidak bermimpi bertemu Nabi saw maka periksalah dua perkara iaitu adab dengan guru dan hubungan dengan ibubapa. Jika tidak beradab dengan guru maka usahlah berharap untuk bertemu dengan Rasulullah saw di dalam mimpi kerana gurulah yang telah mengenalkan Rasulullah saw kepadanya. Pentingnya kedua-dua perkara ini adalah ibarat peti televisyen dengan wayar dan suis. Guru itu seumpama wayar manakala ibubapa itu seumpama suis. Jika wayar tidak disambung atau suis tidak dipetik maka mana mungkin peti televisyen itu dapat dihidupkan. Begitulah juga dengan mimpi bertemu dengan Rasulullah saw. Jika adab dengan guru dan hubungan dengan ibubapa tidak dijaga maka mana mungkin seseorang itu dapat bermimpi bertemu Rasulullah saw. Nabi saw pernah berpesan kepada Umar al-Khattab agar minta Uwais mendoakannya apabila bertemu kelak. Padahal Umar itu sahabat besar manakala Uwais hanyalah tabi’in. Ini adalah kerana sangat menghormati ibunya menyebabkan dirinya mendapat penghormatan dan darjat yang tinggi di sisi Allah Ta’ala dan Rasul-Nya.

Hari Jumaat hendaklah dikhususkan untuk memperbanyakkan salawat kepada Rasulullah saw. Sabda Nabi saw, “Barangsiapa mengucap salawat atasku di dalam kitab nescaya sentiasalah malaikat mengucap istighfar mereka itu baginya selama-lama ada namaku di dalam demikian kitab itu” (Riwayat at-Thabrani). Atas sebab itu maka lazimilah diri dengan menulis salawat setiap kali mula menulis atau menanda bahagian kitab ketika membaca atau mengaji ilmu. Dalam tahiyat, kita memberi salam secara langsung kepada Nabi (Assalamualaika) seolah-olah Nabi saw berada di hadapan kita. Sebab itulah ada di kalangan para ulama yang mendengar Nabi saw menjawab salam yang disampaikan mereka ke atas baginda saw. Nabi saw menjawab setiap salam yang disampaikan kepadanya cuma orang-orang yang terbuka hijabnya sahaja yang dapat mendengar Nabi saw menjawab salam tersebut.

Bab kelebihan mengucap istighfar

Orang yang muttaqin adalah mahfuz iaitu jarang berbuat dosa. Imam Junaid al-Baghdadi pernah ditanya, “Apakah mungkin orang yang dah jadi wali berzina?” Maka Imam Junaid pun menundukkan kepalanya dan berfikir lalu berkata, “Kalau itu telah menjadi ketetapan Allah maka wali pun tidak mustahil berzina”. Maksudnya disini hatta wali sekalipun tidak boleh duduk berdua-duaan dengan perempuan yang bukan muhrimnya kerana godaan iblis dan nafsu itu cukup kuat. Kata Imam al-Ghazali, “Kalau kita hendak menasihati diri sendiri untuk beristighfar maka tundukkanlah nafsu terlebih dahulu dengan cara menyertakan perasaan takut terhadap singkatnya usia”. Ketahuilah bahawa istighfar adalah punca kebahagiaan diri. Orang yang bertaubat dari dosa ibarat tidak pernah melakukan dosa. Periksalah hati kita. Sewaktu malam, letaklah tangan di atas dada dan tanyalah pada hati kita samada kita sudah mempunyai bekal yang cukup untuk dibawa ke akhirat andai kata maut datang menjelma pada saat itu.

Syarah Khas sempena majlis pengijazahan sanad Sunan Sittah

*Catatan bebas ana di Ba 'Alawi pada 9 Oktober 2010

Pengajian hadith berdasarkan sanad adalah satu keperluan bagi umat Islam. Ketahuilah bahawa ciri-ciri ilmu dalam Islam adalah dengan adanya sanad. Sanad adalah ciri istimewa dalam Islam. Dengan adanya sanad kita akan dapat mengetahui dari siapa ilmu itu diambil misalnya dari seorang syeikh yang menerimanya dari gurunya dan gurunya itu menerima pula dari gurunya sehinggalah sampai kepada Imam al-Bukhari lalu sampai pula kepada para sahabat dan seterusnya Rasulullah saw. Sanad sangat penting dalam Islam kerana ia menjadi bukti bahawa ia bukanlah sesuatu yang diada-adakan. Rasulullah saw menerangkan isi kandungan al-Quran kepada para sahabat lalu disampaikan pula dari satu generasi kepada satu generasi sehinggalah sampai kepada kita. Memahami makna al-Quran mestilah selari dengan apa yang telah disampaikan dan diterangkan oleh Rasulullah saw bukannya dengan mengikut akal fikiran atau fahaman sendiri. Orientalis dan pengikut-pengikut mereka putus asa kerana usaha mereka untuk menyelewengkan al-Quran menemui jalan buntu. Ini adalah kerana isi kandungan al-Quran dipelihara Allah Ta’ala. Allah menjamin isi kandungan al-Quran agar terpelihara sehingga ke akhir zaman. Orientalis kemudiannya berpindah pula kepada Hadith memandangkan al-Quran dan Hadith adalah merupakan dua sumber utama agama Islam. Orientalis berusaha menyelewengkan isi kandungan hadith sehingga menyebabkan umat Islam sendiri menjadi ragu-ragu dengan kebenaran sesuatu hadith. Umat Islam secara ijmak menyatakan bahawa kitab yang paling sahih selepas al-Quran ialah Sahih Bukhari tetapi ada golongan tertentu membuat kacau sehingga menyebabkan ada umat Islam berasa ragu-ragu samada sahih atau tidak. Hadith adalah sumber agama Islam yang sangat penting kepada umat Islam. Tidak mungkin isi kandungan al-Quran itu dapat difahami jika seseorang itu tidak merujuk kepada hadith. Nabi saw menerangkan isi kandungan al-Quran kepada umatnya. Sebagai contoh perkara yang sangat penting seperti solat disebut dalam al-Quran. Namun perincian tentang bagaimana hendak mengerjakan solat tidak disebut didalam al-Quran. Perincian tersebut dinyatakan oleh Nabi saw. Untuk mengetahui cara-cara hendak mengerjakan solat maka seseorang perlu merujuk kepada hadith-hadith Nabi saw. Aneh sekali ada golongan yang hanya berpegang kepada al-Quran dan menolak Hadith sedangkan ada ayat di dalam al-Quran yang menyuruh umat Islam agar berpegang kepada Rasulullah saw. Inilah golongan anti-hadith yang menolak kebenaran hadith.

Seseorang mestilah sentiasa bersama dengan Al-Quran dan Hadith Nabi saw. Ilmu-ilmu agama mestilah dipelajari mengikut tradisi sebagaimana ulama terdahulu yakni cara bagaimana ulama salaf dahulu belajar. Bagaimanakah caranya kita hendak mempelajari sesuatu ilmu mengikut cara yang telah dilalui oleh ulama salaf? Imam Muslim menaqalkan kata-kata dari Imam Ibnu Sirin seperti berikut, “Ilmu adalah bicara agama maka hendaklah kita mengambil tahu dari siapa ilmu itu diambil”. Sebab itulah kita kena tengok dari mana dan dari siapa ilmu itu diperolehi. Sistem universiti membolehkan seseorang menimba ilmu dari orientalis termasuk ilmu agama sedangkan orientalis itu tidak pernah mempraktikkan atau mengamalkan ajaran Islam. Jadi, bagaimanakah seseorang itu hendak memperolehi keberkatan ilmu sekiranya ilmu yang diterimanya itu diperolehi dari guru yang tidak mengamalkan ajaran Islam. Disinilah letaknya kepentingan sanad. Sanad sangat penting kerana ia bukan sahaja mengwujudkan keberkatan ilmu tetapi juga menyambungkan rantaian ilmu itu kepada para guru sehinggalah sampai kepada Rasulullah saw. Seorang sahabat sanggup berhijrah dari Madinah ke Syam dengan perjalanan memakan masa selama sebulan semata-mata hendak mendengar sepotong hadith. Hadith ini hendaklah dipelajari dengan penuh ketakwaan. Ijazah sanad seumpama majlis ini bukanlah satu tiket keseronokan atau lambang kemegahan sebaliknya ia adalah satu amanah atau tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Setiap orang yang menerima ijazah sanad ini perlu bekerja untuk mengembangkan dan menyebarkan ilmu hadith. Ulama muhaddithin seperti Imam al-Bukhari bersungguh-sungguh menghafal hadith. Beliau menghafal 600,000 hadith (sedangkan kita (*ketika diulas oleh Syeikh Fahmi) hendak menghafal Hadith Arbai’n (Hadith 40) pun belum tentu lagi). Imam Bukhari mencintai hadith semenjak dari kecil lagi. Kata beliau, “Aku diilhamkan Allah dengan perasaan yang sangat kasih dan cinta untuk menghafal hadith semenjak usiaku masih kecil lagi (semenjak tadika)”. Imam Bukhari akan mandi dan mengerjakan solat istikharah setiap kali beliau hendak memulakan penulisan hadith. Ulama-ulama dahulu sangat teliti dalam urusan agama apatah lagi dalam ilmu yang berkaitan dengan hadith. Ketelitian ini termasuklah dalam urusan kehidupan dan makanan. Bagi mereka, perbuatan tidak menutup kepala dan makan di kedai itu boleh menghilangkan maruah. Ulama dahulu sanggup belayar jauh untuk mencari hadith khususnya hadith yang ‘ali. Salah seorang anak murid Imam Bukhari bernama Abu Yusuf al-Firubari. Beliau menghadiri majlis Imam al-Bukhari sebanyak 100,000 kali. Majlis ilmu yang dipimpin Imam al-Bukhari adalah satu majlis yang besar. Ribuan murid menghadirinya. Apabila Imam Bukhari menyampaikan sesuatu maka murid-muridnya akan menyampaikan pula kepada yang lain sehingga sampai kepada mereka yang duduk di barisan belakang dan apa yang disampaikan itu adalah sama seperti yang diucapkan oleh Imam Bukhari. Begitulah gigihnya para ulama terdahulu dalam mempelajari dan menyebarkan ilmu agama khususnya ilmu hadith. Kita juga perlu begitu. Semua umat Islam perlu buat kerja mengikut kemampuan masing.masing. Kita perlu bekerja keras untuk memastikan hadith Nabi saw ini terpelihara dan disampaikan kepada generasi berikutnya.

Syarah khas sempena kunjungan Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi

*Catatan bebas ana di Sirajul Munir pada 6 Oktober 2010

Muqaddimah oleh Syeikh Fahmi ZamZam

Alhamdulillah kita dipertemukan dengan seorang guru atau lebih tepat lagi seorang mahaguru pada hari ini. Kata Syeikh Fahmi, beliau berguru dengan Maulana Sayyid Salman pada tahun 1981. Antara kitab yang dipelajarinya ialah Misykatul Masabih dan Sunan at-Tirmizi. Menurut Syeikh Fahmi, pada masa itu (iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu), Maulana telah hampir menghafal keseluruhan isi kandungan Sunan at-Tirmizi. Semalam, Maulana berada di Banjar dan bersyarah di hadapan 200 orang alim-ulama Banjar. Di sebelah malamnya pula Maulana menyampaikan syarahan kepada 4000 orang yang hadir dengan penuh semangat. Pagi tadi, kami semua bangun sekitar jam 4 pagi. Selanjutnya kami berangkat pula ke Jakarta kemudian barulah sampai di sini. Dengan penuh tawadhuk, Maulana sudi bersama-sama dengan kita pada hari ini. Pada hari ini kita pohon kepada Maulana untuk mendoakan madrasah ini. Singgahnya Maulana di sini bukan sekadar singgah di madrasah ini tetapi juga adalah singgah di rumah saya kerana saya sering menginap di sini sepanjang saya berulang-alik ke Kuala Lumpur.

Syarah Maulana

Maulana melahirkan rasa syukur kerana dapat bertemu dengan para jemaah di sini di tempat yang mulia sebegini yakni pusat pengajian ilmu. Kali terakhir Maulana datang ke Malaysia ialah pada tahun 1988 (kira-kira 22 tahun yang lalu). Maulana mengunjungi Maahad Derang, Kedah pada ketika itu. Di Nadwatul Ulama, banyak penuntut ilmu dari Asia Tenggara datang belajar di situ. Hubungan di antara guru dengan murid bukanlah satu hubungan yang rasmi sebaliknya ia merupakan hubungan kekeluargaan umpama hubungan antara ayah dengan anak. Kata Syeikh Fahmi, “Ketika kami mengadakan haflah di India, datang Sayyid Abu Hassan al-Nadwi. Pada ketika itu, kami mengwujudkan Persatuan Pelajar-Pelajar Luar di Nadwatul Ulama. Perbuatan kami ditegur oleh Sayyid Abu Hassan al-Nadwi. Katanya, “Nampaknya kamu memandai-mandai membuat persatuan orang luar. Padahal kamu adalah sebahagian dari kami, bahkan sebahagian hati kami”.

Itulah yang dimaksudkan dengan hubungan guru dengan murid. Tahun 1980-an menyaksikan ramai pelajar dari Malaysia, Indonesia dan Thailand datang menimba ilmu di Nadwatul Ulama. Kini pelajar-pelajar tersebut telah kembali ke tanahair masing-masing dan menabur bakti kepada masyarakat. Ketahuilah apabila seorang muslim bertemu dengan muslim yang lain apatah lagi jika muslim itu berada dalam kelompok minoriti maka hubungan persaudaraan menjadi lebih kuat. Hubungan persaudaraan ini wujud tanpa mengira bahasa dan warna kulit. Perumpamaan persatuan orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang hatinya saling berkait antara satu sama lain adalah seperti jasad yang satu, binaan yang satu. Ukhwah Islamiyyah melebihi hubungan kekeluargaan. Satu keluarga ada kemungkinan tidak bersatu di akhirat tetapi jika semuanya beriman maka semuanya adalah bersaudara. Sebarang persatuan yang berdasarkan bukan kerana Allah seperti persatuan kerana harta dunia maka persatuan ini terdiri dari golongan yang sangat rugi. Persatuan yang beruntung di sisi Allah ialah persatuan orang-orang yang bertakwa dan beriman kerana Allah. Alhamdulillah, dengan payung iman, kita menjadi satu tanpa mengira bangsa.

Sunday, September 26, 2010

Ceramah Khas Syeikh Jibril

*Catatan bebas ana di USJ9 pada 18 September 2010
Segala puji bagi Allah Ta’ala sebagaimana Dia memuji ke atas Diri-Nya Tuhan Sekalian Alam. Salawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw sebaik-baik makhluk. Kami berdoa ke rahmat Allah Ta’ala agar dilindungi di bawah lembayung dan mendapat curahan air dari telaga Nabi saw. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Ramadhan telah berlalu. Persoalannya apakah yang perlu kita lakukan selepas berakhirnya Ramadhan? Adakah kita menjadi hamba Ramadhan atau kita menjadi hamba Allah? Andai kata kita menjadi hamba Ramadhan maka kita akan hanya duduk di rumah sahaja selepas berakhirnya bulan Ramadhan tetapi jika kita menjadi hamba Allah maka pasti kita akan tetap memenuhi masjid walaupun Ramadhan telah berakhir. Kita hendaklah memeriksa balik apa yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan. Nabi saw diberi pilihan samada hendak bertemu Allah Ta’ala iaitu diwafatkan atau terus hidup. Nabi saw memilih untuk bertemu Allah Ta’ala. Pada saat wafatnya Nabi saw, Sayyiduna Umar menjadi marah terhadap orang yang mengatakan Nabi saw telah wafat. Katanya, “Barangsiapa berkata Nabi saw telah wafat maka aku akan memancung kepalanya”. Ketika itu datang Sayyiduna Abu Bakar untuk menenangkan keadaan. Kata Sayyiduna Abu Bakar, “Wahai Umar dan seluruh umat Islam, ketahuilah bahawa barangsiapa yang menyembah Nabi saw sesungguhnya Nabi saw telah wafat. Barangsiapa menyembah Allah Ta’ala sesungguhnya Allah Ta’ala hidup selama-lamanya”. Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi saw menuruti jejak-jejak Rasul terdahulu yang telah wafat. Orang-orang yang murtad selepas kewafatan baginda saw tidak akan memberi mudarat kepada Allah Ta’ala dan Allah Ta’ala memberi ganjaran kebaikan kepada orang-orang yang bersyukur. Ketahuilah bahawa barangsiapa menyembah Ramadhan maka Ramadhan telah berlalu tetapi barangsiapa menyembah Allah maka Allah hidup selama-lamanya. Disini timbul satu soalan, “Bagaimana kita hendak tahu samada amalan kita dalam bulan Ramadhan diterima Allah Ta’ala? Tandanya ialah amal ibadah dan sikap kita semakin bertambah positif selepas berakhirnya bulan Ramadhan. Sebagai contoh, seseorang itu suka berbohong sebelum masuk bulan Ramadhan. Apabila masuk bulan Ramadhan, ia meninggalkan tabiat suka berbohong itu. Selepas bulan Ramadhan, ia langsung meninggalkan amalan buruk itu. Andai kata amalan dan sikap seseorang itu semakin bertambah baik maka itu tandanya ia menjadi hamba Allah Ta’ala bukan hamba Ramadhan. Perbuatan-perbuatan mulia seperti berbuat baik sesama makhluk berzikir kepada Allah Ta’ala dan bersedeqah jika dilakukan secara berterusan akan meletakkan seseorang itu sentiasa berada pada jalan yang lurus.
Ketahuilah sesungguhnya kita semua akan mati dan kematian itu datang tanpa isyarat. Yang menjadi persoalan ialah samada kematian itu dalam bentuk husnul khatimah atau su’ul khatimah? Untuk mendapatkan penyudah yang baik (husnul khatimah) maka kita hendaklah terus-menerus melipat-gandakan amalan pada setiap ketika bukannya di bulan Ramadhan sahaja. Sesungguhnya mereka yang tidak mengambil peluang untuk beramal di bulan Ramadhan adalah golongan yang sangat rugi. Nabi saw ada menyatakan bahawa mereka yang tidak merebut peluang di dalam bulan Ramadhan untuk beramal dan memohon untuk mendapat keampunan Allah Ta’ala adalah golongan yang sangat rugi. Pada suatu hari Nabi saw dan para sahabat melihat seorang ibu memeluk erat anaknya. Kata para sahabat, “Sesungguhnya ibu itu sangat menyayangi anaknya”. Sabda Nabi saw, “Sesungguhnya kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya melebihi kasih sayang ibu terhadap anaknya”. Buktinya ialah Allah Ta’ala melimpahkan ganjaran dari satu waktu sembahyang ke waktu sembahyang berikutnya (sebagai contoh, menanti waktu isyak selepas selesai solat maghrib), dari satu bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya, dari satu umrah ke umrah berikutnya. Sebab itu Nabi saw pernah bersabda dengan menyatakan bahawa sesungguhnya dosa-dosa terhapus antara dua waktu itu selagi mana ia tidak melakukan kemungkaran.
Ketahuilah bahawa pintu taubat masih terbuka selagi nafas masih ada melainkan dua perkara. Pertama, taubat tidak akan diterima tatkala nyawa sudah sampai ke halkum. Kisah yang berlaku pada Firaun adalah satu pengajaran. Ketika hampir tenggelam dan nyawanya berada di hujung halkum, Firaun menyatakan keimanannya kepada Allah Ta’ala tetapi Allah menolak keimanannya kerana perbuatan maksiat dan kerosakan yang dilakukannya sepanjang hayatnya. Kedua, taubat tidak diterima apabila matahari terbit dari sebelah barat. Ini adalah tanda kiamat besar. Nabi Ibrahim as pernah berkata kepada Namrud, “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari sebelah timur dan cubalah kamu terbitkan dari sebelah barat”. Gerun Namrud mendengar kata-kata Nabi Ibrahim as itu. Pada Hari Akhirat kelak, Allah bertanya, “Siapa yang paling berkuasa pada hari ini?” Tidak ada siapa pun yang berani menjawab. Siapakah yang berani memberi jaminan bahawa masih ada ruang untuk bertaubat? Tidak ada siapa pun yang mampu untuk memberi jaminan. Maka atas sebab itu kita hendaklah merebuat peluang yang ada agar sentiasa bertaubat kepada Allah Ta’ala. Tiket yang ada pada kita hanyalah dengan melakukan amal ibadah yang berterusan. Allah mengalu-alukan kedatangan mereka yang bersedia untuk bertemu dengan-Nya. Dunia adalah tempat bercucuk-tanam untuk hari Akhirat. Tempat bercucuk-tanam ibarat seorang pelajar yang perlu belajar sepanjang tahun kemudian menduduki peperiksaan untuk tempoh satu atau dua hari dan seterusnya mendapat keputusan. Bagaimana pula dengan kita hendak meletakkan kedudukan kita berdasarkan keputusan kita? Allah meletakkan darjat kepada kita atas apa yang kita usahakan. Dunia ini manis dan hijau manakala manusia sebagai khalifahnya. Dalam satu hadith ada dinyatakan bahawa dunia ini rumah bagi orang yang tidak mempunyai rumah dan harta bagi orang yang tidak mempunyai harta. Ada orang yang mempunyai rumah yang besar tetapi tidurnya adalah dalam bilik yang kecil sahaja. Ada orang yang tidur di tepi jalan dan itulah rumah baginya. Siapakah insan yang paling afdhal? Yang paling afdhal ialah insan yang bertakwa kepada Allah Ta’ala. Seorang menteri, ketua kerajaan dan sebagainya bukanlah jaminan bahawa ia insan yang yang mulia. Ini adalah kerana insan yang mulia adalah insan yang bertakwa. Orang kaya yang bersyukur lebih baik dari orang miskin yang sentiasa beribadat. Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh orang-orang yang soleh.
Dunia ibarat jambatan yang menghubungkan kita untuk bertemu Allah Ta’ala. Dunia tempat kita bermusafir untuk bertemu Allah Ta’ala. Apakah kita sudah bersedia untuk bertemu Allah Ta’ala? Jika belum, lakukanlah amal ibadah, berbuat baik dengan orang lain dan perkara kebajikan yang lain. Ketahuilah apabila telah datang ajal maka ia tidak akan tertangguh, tidak akan terlewat dan tidak akan tercepat. Barangsiapa suka bertemu dengan Allah maka Allah suka bertemu dengannya. Suka disini bermakna kita suka melakukan perkara-perkara yang disuruh Allah. Ibarat orang yang suka membaca sebelum menduduki peperiksaan. Kita bertawakkal kepada Allah bukan setakat amalan tetapi mengharapkan rahmat Allah Ta’ala. Ketahuilah bahawa Allah menimpakan musibah atau ujian di dunia adalah dua sebab iaitu pertama, untuk mengkaffarahkan dosa dan kedua, untuk mengangkat darjat kita di Hari Akhirat kelak. Pernah seorang sahabat dalam tempoh seminggu tidak diturunkan ujian dari Allah Ta’ala lalu ia berkata, “Adakah Allah melupakan daku?” Maksudnya disini ialah bukanlah kita memohon agar ditimpa ujian dari Allah Ta’ala tetapi setiap ujian yang datang itu adalah tanda bahawa Allah hendak mengkaffarahkan dosa dan mengangkat darjat seseorang itu di sisi-Nya.

I'tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah

*Catatan bebas ana di Ampang pada 18 September 2010
Tiada yang mengetahui hakikat Zat Allah Ta’ala melainkan Allah juga yang mengetahuinya.
Para malaikat ketika Allah mentajalli di Padang Mahsyar akan sentiasa menyatakan kekurangan diri mereka untuk mendapat makrifat Allah. Malaikat sentiasa menuruti perintah Allah. Adapun manusia sentiasa pula mengingkar perintah Allah. Orang-orang yang berusaha memikirkan hakikat Zat Allah akan menjadi bingung apabila melihat Jamalullah (kecantikan), Jalalullah (keagungan) dan Kamalullah (kesempurnaan). Atas sebab itu, jangan fikir hakikat Allah sebaliknya pelajarilah nama, sifat dan perbuatan Allah. Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala mahu melihat hemah/keazaman hamba-Nya dan usaha hamba-Nya. Justeru kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu dalam usaha mengenal Allah. Dalam kitab Ittihaf al-Saadah al-Muttaqin yang ditulis oleh Imam Zabidi (Zubaidi), ada dinyatakan bahawa meluasnya makrifat dan idrak (pengetahuan) seseorang itu berlaku pada makrifatnya tentang Nama-nama dan Sifat-sifat Allah sahaja bukan Zat-Nya. Kata Imam Abu Hasan Asy-Syazuli, “Semua bumi ini adalah tempat sujud. Maka aku berhias untuk membesarkan Allah”. Kita juga perlu berhias untuk mengadap Allah Ta’ala. Di mana sahaja kita mengadap maka kita akan mendapati kebesaran Allah. Pada tiap sesuatu itu ada dalil yang membuktikan Dia adalah Yang Maha Esa. Makhluk adalah kesan perbuatan Allah. Manusia, pokok-pokok, gunung-ganang dan sebagainya semuanya adalah perbuatan Allah. Maka sebab itu, para masyaikh akan berwuduk terlebih dahulu sebelum menikmati hidangan. Kata mereka, “Aku berwuduk bukan kerana mengadap makanan tetapi kerana Allah yang memberi diriku makan”. Ini berbeza dengan kita yang tidak mengenali yang mana hak Allah dan yang mana hak makhluk. Inilah kejahilan kita sebagai hamba kepada Tuhannya. Ketahuilah setinggi mana ilmu seseorang itu tetap ia tidak akan sampai pada hakikat Zat Allah Ta’ala. Imam Sarir al-Saqati pada suatu malam melunjurkan kakinya ke arah kiblat. Dengan tiba-tiba dia terdengar suatu suara, “Macam inikah caranya engkau duduk di hadapan pemerintah?” Semenjak dari itu Imam Sarir al-Saqati tidak pernah melunjurkan kakinya selama-lamanya dalam apa jua keadaan sekalipun. Apabila para wali Allah mencapai makamnya maka mereka akan merendahkan diri mereka serendah-rendahnya di hadapan Allah. Sebagai contoh, Imam asy-Syafi’i pernah berkata, “Aku beriman dengan Engkau sebagaimana berimannya aku seperti orang-orang yang lemah”. Ini adalah kerana akal manusia tidak mampu mencapai hakikat Zat Allah Ta’ala. Orang musyrik pula sebaliknya. Mereka dipanggil musyrik kerana tidak mampu mensifatkan Allah Ta’ala.

Sunday, August 29, 2010

Syarah Sairus Salikin - Adab-Adab Berdoa

*Catatan bebas ana di USJ pada 29 Ogos 2010

1. Memilih masa untuk berdoa
Contohnya seperti berdoa pada hari Arafah di mana hari itu adalah merupakan hari penganugerahan. Begitu juga dalam bulan Ramadhan di mana terdapat malam Lailatul Qadar. Malam Lailatul Qadar adalah malam di mana hajat dikabulkan. Kita disunatkan mencari-cari malam Lailatul Qadar. Mengikut pengalaman rohaniah alim-ulama, malam Lailatul Qadar ini lazimnya berlaku pada malam ganjil dan sering pula jatuh pada malam Jumaat. Pada ketika itu, khususnya di waktu sahur, kita dianjurkan agar memperbanyakkan amal ibadah dan berdoa. Terdapat 3 tanda pada diri seseorang yang menemui malam Lailatul Qadar iaitu,
a. Air mata sangat mudah turun ketika berdoa
b. Berasa hiba hati
c. Badan menggeletar ketika bermunajat kepada Allah Ta’ala.
Sementara tanda-tanda luaran pula adalah seperti
a. Jika hujan, hujan tidak turun dengan lebat
b. Jika panas, panasnya tidaklah terlalu panas.
c. Di sebelah malam pula, anjing tidak menyalak kerana terlalu ramai malaikat turun.
d. Di sebelah pagi, matahari turun dengan keadaan cahaya yang pucat (tidak panas)
Tanda seseorang itu telah menemui malam Lailatul Qadar ialah amal ibadahnya semakin bertambah hebat pada malam-malam selepasnya. Orang yang menyangka ia telah menemui malam Lailatul Qadar kemudian mengendurkan amal ibadahnya pada malam-malam berikutnya sebenarnya ia belum lagi menemui malam tersebut. Orang yang telah menemui malam Lailatul Qadar akan melipat-gandakan amalan pada malam berikutnya sebagai tanda syukur kepada Allah Ta’ala yang telah mengurniakan padanya anugerah yang tidak ternilai itu. Nabi saw melipat-gandakan amalannya walaupun baginda saw adalah ma’sum. Baginda saw menambah amal ibadahnya sehingga adakalanya sampai bengkak-bengkak kaki baginda saw kerana baginda saw bersyukur kepada Allah Ta’ala yang telah memberikan anugerah yang paling tinggi kedudukannya kepada baginda saw.
Berdasarkan pengalaman rohaniah para alim-ulama, mereka telah menyusun satu jadual atau kaedah bagi menentukan malam Lailatul Qadar
a. Jika puasa mula pada hari Rabu, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 (malam Isnin)
b. Jika puasa mula pada hari Khamis, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 23 (malam Jumaat)[1]
c. Jika puasa mula pada hari Jumaat, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 29 (malam Jumaat)
d. Jika puasa mula pada hari Sabtu, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 21 (malam Jumaat)
e. Jika puasa mula pada hari Ahad, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 (malam Jumaat)
f. Jika puasa mula pada hari Isnin, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 29 (malam Isnin)
g. Jika puasa mula pada hari Selasa, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 25 (malam Jumaat)
Kata Syeikh, penentuan hari-hari tersebut tidak bermakna bahawa amal ibadah pada malam-malam lain diabaikan begitu sahaja. Penentuan hari-hari itu juga bukanlah bermakna malam Lailatul Qadar pasti jatuh pada hari tersebut. Sebaliknya penentuan hari tersebut dibuat dengan tujuan untuk menambahkan amal ibadah pada malam tersebut sementara amal-ibadah pada malam-malam lain tetap dilaksanakan tanpa berkurang sedikit pun. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, tanda orang itu telah menemui malam Lailatul Qadar ialah amal-ibadahnya semakin bertambah pada malam-malam berikutnya. Jika dilihat pada kaedah yang dirangka oleh alim-ulama, nyatalah bahawa ia selari dengan maksud hadith Nabi saw yang menyatakan bahawa carilah malam Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil sepuluh yang terakhir iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Jika dilihat pada kaedah di atas, dapatlah dinyatakan bahawa kebanyakan malam tersebut jatuh pada malam Jumaat diikuti malam Isnin di mana hari Jumaat merupakan hari yang paling mulia diikuti hari Isnin mengikut urutan hari dalam seminggu.
Kata Syeikh, jangan doakan anak ketika sedang marah apabila melihat kenakalan sang anak itu sebaliknya berdoalah pada sebelah malam. Lihat keadaan anak yang sedang tidur dan pada ketika itu pasti akan timbul kasih sayang terhadap dirinya. Apabila melihat keadaan anak yang sedang tidur maka sudah tentu timbul perasaan belas terhadap dirinya. Itulah masa yang paling sesuai untuk mendoakan kesejahteraan sang anak kerana perasaan yang terbit itu adalah perasaan kasih sayang yang sangat ikhlas, tambahan pula berdoa pada waktu malam adalah merupakan waktu terbaik untuk memohon hajat kepada Allah Ta’ala.
Waktu sahur adalah waktu yang sangat sesuai untuk berdoa. Yang dimaksudkan dengan waktu sahur ialah sepertiga (1/3) malam yang akhir. Sepertiga malam yang pertama merujuk kepada jam 7.30 malam hingga 11 malam. Sepertiga malam yang kedua merujuk kepada jam 11 malam hingga 2.30 pagi. Dan sepertiga malam yang akhir merujuk kepada jam 2.30 pagi hingga 6 pagi. Sepertiga malam yang akhir inilah waktu sahur yang paling mustajab untuk berdoa. Pada ketika ini, elok sangatlah kita bangun untuk mengerjakan amal ibadah seperti solat tahajjud dan sebagainya. Wasiat Abuya (Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki), “Hendaklah kalian bangun mengerjakan solat tahajjud walaupun sekadar 2 rakaat sahaja”. Lazimilah diri mengerjakan qiamullail kerana ia merupakan amalan orang-orang soleh yang terdahulu. Orang-orang soleh yang hebat-hebat yang telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada umat Islam amat menitikberatkan amal ibadah di sebelah malam.
Menyingkap semula akan sejarah penurunan wahyu, Nabi saw menerima wahyu berikutnya (selepas wahyu pertama diturunkan) yang berkaitan dengan suruhan untuk bangun mengerjakan amal ibadah di waktu malam (rujuk Surah al-Muddatsir dan Surah al-Muzzamil). Allah Ta’ala menyuruh baginda saw meminta pertolongan kepada-Nya pada waktu malam. Hikmahnya ialah amal ibadah di sebelah malam itu memberi kekuatan rohani kepada baginda saw untuk berdepan dengan cabaran-cabaran getir disebelah siang. Maka atas sebab itulah umat Islam dianjurkan agar mengerjakan amalan di sebelah malam. Ini adalah kerana amalan malam itu menjadi bekal yang sangat ampuh untuk melaksanakan pekerjaan di sebelah siang.

2. Bila ada peluang yang baik seperti ketika berperang di jalan Allah, ketika turunnya hujan kerana hujan itu adalah rahmat Allah[2], selepas sembahyang fardhu terutamanya selepas solat Jumaat[3], doa antara azan dan iqamah, orang yang sedang berpuasa dan sujud ketika sedang solat[4].

3. Berdoa dengan menghadap qiblat dengan mengangkat kedua belah tangan sehingga ternampak ketiak (maksudnya angkat tinggi sedikit) dan hadapkan muka. Sunat menyapu muka selepas berdoa dan selepas solat. Ketika berdoa, mata hendaklah kebawah (jangan angkat pandangan ke atas) kecuali jika berada di hadapan Kaabah.

4. Jangan menjerit-jerit ketika berdoa. Cukuplah dengan mengangkat suara agar orang lain dapat mendengarnya. Contoh, imam membaca doa dan diaminkan oleh makmum yang mendengarnya. Andainya doa tidak didengar oleh makmum disebabkan speaker rosak dan sebagainya maka sunat bagi makmum membaca sendiri doa.

5. Jangan memberatkan diri untuk bersajak dalam doa. Maksud bersajak ini ialah dengan berusaha untuk memastikan agar baris doa untuk mempunyai rima (nada bunyi yang sama di hujungnya) dan kelihatan cantik susunannya. Dikhuatiri dengan usaha memberatkan ini maka makna doa tersebut mungkin tidak menepati dengan isi yang hendak disampaikan. Doa yang utama ialah doa dari al-Quran, Nabi saw, para sahabat, tabi’in dan ulama yang Ariffin.

6. Berdoa dengan tadharruk, khusyuk dan rahbah. Makna tadharruk ialah dengan menyatakan papanya dan sangat hajatnya. Makna khusyuk ialah dengan merendahkan diri dan menghinakan diri. Makna rahbah ialah khauf (takut). Ketahuilah bala yang diturunkan Allah ke atas seseorang itu sebenarnya adalah tanda cinta Allah terhadap orang itu. Apabila bala turun maka orang akan bersungguh-sungguh untuk meminta kepada Allah. Bala yang diturunkan Allah sebenarnya memberi ruang kepada seseorang itu untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ketahuilah bahawa bala dan afiat itu kedua-duanya adalah rahmat Allah.

7. Berdoa dengan optimis (yakin bahawa doa pasti diperkenankan Allah Ta’ala)[5]. Apabila berdoa seseorang itu mesti mempunyai kekuatan dalam diri dengan menghadirkan hati.

8. Mengulang-ulang doa

9. Memulakan doa dengan al-Fatihah dan Salawat. Sebaik-baiknya kapit doa dengan Puji-Pujian kepada Allah dan Salawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw (kapit disini bermaksud mula dengan puji-pujian kepada Allah Ta’ala dan Salawat ke atas Nabi saw dan akhirinya juga dengan puji-pujian kepada Allah Ta’ala dan Salawat ke atas Nabi saw). Salawat yang dibaca pasti diterima Allah Ta’ala walaupun dibaca oleh orang yang fasiq. Berusahalah untuk menghayati doa agar sampai rasa dzauq dalam diri. Dengan cara itu, hati akan lebih terkesan ketika berdoa. Salah satu caranya ialah dengan mempelajari Bahasa Arab untuk memahami isi kandungan doa.

10. Adab batin iaitu bertaubat dari perkara maksiat dan kembalikan sesuatu yang bukan haknya atau yang dizaliminya.

[1] Kata Syeikh, gurunya iaitu Sayyid Abu Hasan Ali an-Nadwi wafat pada hari Jumaat tanggal 23 Ramadhan (malam Lailatul Qadar)
[2] Air hujan adalah berkat. Sebab itu orang dulu-dulu membuat air penawar dari air hujan yang turun khususnya pada malam Jumaat.
[3] Berdoalah banyak-banyak pada masa ini kerana rahmat Allah turun dengan banyaknya pada waktu itu.
[4] Apatah lagi jika sujud pada malam Lailatul Qadar ditambah pula jika malam itu jatuh pada malam Jumaat maka bertambah hampirlah doa itu dikabulkan.
[5] Samada disegerakan atau disimpan di Hari Akhirat