Monday, November 9, 2009

Syarah Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Taman TAR pada 8 Nov 2009

Kalam Hikmah 26

“Maka pantang bagi penyakit badan ialah meninggalkan perkara yang bersalahan dengan anggota (menjaga anggota daripada melakukan perkara-perkara yang menyalahi syariat). Pantang bagi penyakit hati ialah meninggalkan kecenderungan kepada agyar (selain Allah). Pantang bagi nafsu ialah meninggalkan dakwaan (mempunyai hakikat)”

Pepatah Arab ada menyatakan bahawa sesungguhnya berpantang itu lebih baik dari berubat. Di zaman Imam al-Ghazali ra, ada seseorang bertanya kepada beliau tentang yang mana lebih utama iaitu adakah beribadat tetapi pada masa yang sama membuat maksiat atau meninggalkan maksiat tanpa mengerjakan ibadat. Imam al-Ghazali ra menjawab, Sesungguhnya meninggalkan maksiat itu adalah lebih baik. Meninggalkan maksiat yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali ra adalah seumpama berpantang. Ini selaras dengan pepatah Arab yang disebut tadi iaitu berpantang yakni meninggalkan maksiat lebih baik dari berubat iaitu mengerjakan ibadat.[1]

Imam Abi Madyan didalam kitab ini memperkenalkan pantang-larang bagi para salik

1. Pantang bagi tubuh

Pantang bagi tubuh ialah dengan memelihara pancaindera. Ubat bagi tubuh ialah dengan membuat ibadah. Untuk mengetahui keterangan lanjut tentang cara-cara memelihara pancaindera bolehlah rujuk kepada kitab Ihya Ulumuddin dan Bidayatul Hidayah karya Imam Ghazali ra. Kita hendaklah mengetahui bahawa tujuan kejadian kita adalah untuk berbuat ibadah. Kita hendaklah menyibukkan diri dengan perkara-perkara ibadah. Untuk memelihara pancaindera, ia bukanlah satu kerja yang mudah. Memelihara pancaindera samalah seperti meninggalkan maksiat. Kerja meninggalkan maksiat ini sangatlah sukar berbanding dengan membuat ibadah. Untuk membuat ibadah ia lebih mudah ibarat orang yang memakan ubat apabila sakit. Tetapi yang payahnya ialah berpantang iaitu meninggalkan maksiat. Ibarat orang yang lazimnya memakan berbagai jenis lauk tetapi apabila berpantang beliau terpaksa makan satu dual auk sahaja jadi cabarannya adalah lebih besar. Sebab itulah bagi orang yang berjaya melepasi halangan ini mereka akan mencapai ketinggian darjat dua makam iaitu makam sabar dan makam syukur. Sabar apabila dia berpantang dan syukur apabila ‘penyakit’nya telah sembuh yakni berjaya melepasi halangan dengan meninggalkan perkara maksiat.

2. Pantang bagi hati

Pantang bagi hati pula ialah meninggalkan kecenderungan kepada aghyar. Aghyar ini ialah kekeruhan hati akibat terlalu asyik dengan nikmat dunia padahal ianya tidak kekal. Seorang salik hendaklah berusaha menghadapkan hatinya kepada Allah Taala. Hendaklah kita berusaha dan berikhtiar agar sampai ke makam muroqobah dan seterusnya ke makam musyahadah yakni hati kita disingkapkan hijab untuk ‘melihat’ Allah Taala dan ke makam-makam seterusnya. Sebagai seorang salik, tiadalah pekerjaan lain melainkan dengan menyibukkan diri dengan sentiasa mengingati Allah Taala. Caranya ialah dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Berzikir ini juga bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Hendak menyelaraskan hati dengan lidah sangatlah sukar. Lidah boleh berzikir tetapi hati belum tentu. Meneybut nama Allah Taala dengan bertasbih sebanyak 100 kali atau lebih itu ibarat orang yang berjalan sejauh 10 km, amat sukar untuk dilakukan apatah lagi bagi orang yang baru hendak memulakannya. Tokoh besar satu masa dahulu iaitu Imam Abu Yazid al-Bistami mengambil masa selama 30 tahun untuk melatih dengan zikir. Kata beliau, pada peringkat permulaan, keadaan aku sungguh teruk (untuk mengamalkannya) tetapi lama-kelamaan aku seumpama ikan. Zikir dan aku tidak dapat dipisahkan. Ibarat ikan keluar dari air, begitulah diriku tanpa zikir, aku akan mati tanpa zikir. Ulama besar lain seperti Suhail al-Tustari dan Sayyid Ahmad bin Idris juga begitu. Masing-masing menyatakan bahawa, Sesungguhnya sebesar-besar makanan aku adalah zikir.

Kita kena tolakkan semua perkara selain dari Allah Taala agar dapat bersama dengan Allah Taala. Hal inilah yang disebut fana dan baqa. Fana apabila kita lenyapkan semua perkara-perkara lain selain Allah Taala dan baqa apabila kita bersama dengan Allah Taala. Ubat bagi hati adalah sangat keras. Kita kena bersungguh-sungguh menjaga hati. Jangan sampai hati binasa. Apabila binasa hati maka kita tidak akan dapat merasakan kenikmatan beribadah. Tiada lagi keseronokan ingatan terhadap Allah Taala apabila hati telah rosak. Apabila hati telah rosak binasa maka al-Quran yang dibaca pun tidak akan mendatangkan kesan, zikir tidak akan mendatangkan kesan dan begitulah selanjutnya. Bagi mengelakkan hati menjadi rosak, ulama-ulama besar menganjurkan supaya sentiasa ingat dalam diri bahawa setiap solat yang dikerjakan adalah solat terakhir yang akan dipersembahkan kepada Allah Taala. Para masyaikh ketika mengimamkan solat lazimnya akan mengingatkan jemaah dengan seruan solat selamat tinggal (solat terakhir) agar setiap jemaah mempersembahkan solat terbaik setiap kali mengerjakannya. Hikmahnya, dengan cara begini, mudah-mudahan kita akan sentiasa berusaha memperbaiki dan memperelokkan ketaatan ibadah kita. Selain dari mempersembahkan solat ‘selamat tinggal’, para salik juga hendaklah sentiasa menanam dalam diri bahawa “Jangan berkata-kata tentang esok hari. Esok adalah suatu perkara yang belum pasti oleh itu manfaatkan masa yang ada untuk membuat ketaatan. Jangan berhajat pada orang lain seperti merebut harta, pangkat dan sebagainya. Apa yang ada ditangan manusia dan yang akan berlaku semuanya adalah aghyar. Aghyar ini merosakkan fikiran manusia kerana ia menjadikan manusia sentiasa berangan-angan dan akhirnya akan membinasakan hati.

Ketahuilah Allah menjaga kita apabila kita menjaga Allah. Maksud kita menjaga Allah ialah kita memelihara agama Islam yakni menjaga syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Terdapat beberapa kisah yang menunjukkan betapa Allah menjaga hamba-hambanya yang sentiasa mengingatinya dan mengurniakan sebesar-besar nikmat kepada hamba-hambanya yang terpilih itu. Kisah tersebut seperti berikut,

Kisah 1

Dalam peristiwa pertemuan antara Nabi Musa dan Nabi Khidir, Nabi Khidir telah membaiki rumah usang tanpa meminta upah padahal sebelumnya beliau telah membocorkan kapal yang cantik-cantik. Perbuatannya itu amatlah menghairankan Nabi Musa as. Lalu Nabi Khidir menjelaskan tentang perbuatannya membaiki rumah usang itu. Katanya, Dibawah rumah usang itu ada harta anak yatim. Ayah mereka adalah seorang yang soleh. Allah Taala mewahyukan kepada diriku agar menjaga rumah ini supaya harta ayah mereka itu tidak terzahir kepada orang lain. Ternyata ayah kepada anak yatim itu merupakan hamba-hamba yang terpilih yang dijaga oleh Allah Taala.

Kisah 2

Sebelum Nabi Muhammad saw dilahirkan, seorang Tubbaq (gelaran raja bangsa Himyar di Yaman) telah mendengar perkhabaran bahawa akan sampai satu masa nanti muncul seorang Nabi akhir zaman. Baginda akan datang ke Madinah dan tinggal disana. Sebaik sahaja Raja Himyar itu mendengar perkhabaran itu, tanpa melengah masa, beliau terus bergerak menuju ke Madinah. Sesampainya disana, beliau mendirikan sebuah rumah. Doanya agar rumah itu kelak akan didiami oleh Nabi akhir zaman seperti yang disebut dalam perkahabaran itu. Rumah yang didirikannya itu kemudiannya diduduki oleh keturunannya sehinggalah sampai satu masa apabila Rasulullah saw berhijrah ke Madinah. Setelah sampai di Madinah, baginda tidak membuat keputusan untuk menginap di mana-mana rumah bagi menjaga hati para sahabat. Baginda membiarkan sahaja unta berjalan dengan perintah Allah Taala sehinggalah unta itu berhenti dan duduk betul-betul dihadapan rumah seorang sahabat bernama Abu Ayub al-Ansari. Dengan berhentinya unta itu maka Nabi Muhammad saw pun tinggallah di rumah Abu Ayub al-Ansari. Rupa-rupanya Abu Ayub al-Ansari itu adalah merupakan keturunan Raja Himyar yang mendirikan rumah tersebut satu masa dahulu. Maka terkabullah hajat raja tersebut apabila Nabi Muhammad saw tinggal dirumah zuriatnya iaitu Abu Ayub al-Ansari.

Untuk mendapat zuriat yang soleh, kita hendaklah mendirikan asasnya iaitu sentiasa menghormati ulama. Dengan menghormati ulama, berkemungkinan besar anak kita atau cucu kita atau cicit kita dan seterusnya akan menuruti jejak ulama iaitu menjadi orang alim. Kita hendaklah berterima kasih kepada ahli keluarga kita yang terdahulu kerana kejayaan kita pada hari ini adalah kerana berkat doa generasi sebelum kita. Selain daripada itu, lazimilah diri kita dengan solat sunat dhuha. Jangan tinggalkan solat sunat ini kerana Allah Taala akan menjaga keturunan kita. Syeikh mewasiatkan agar solat sunat ini jangan ditinggalkan. Jika tidak tahu kaifiat atau doanya maka lakukan sahaja solat sunat tersebut dengan solat yang paling asas iaitu dengan menunaikannya secara 2 rakaat dan cukup dengan membaca al-Fatihah (jika tidak tahu surah yang perlu dibaca). Yang penting kata syeikh ialah dengan menunaikannya. Menyedari akan kepentingan solat sunat ini, sahabat besar iaitu Abdullah Ibn Umar telah mengerjakan solat sunat ini secara berjemaah. Tujuannya ialah supaya tidak ada seorang pun tertinggal dari mengerjakannya. Kata beliau, ini adalah perkara baru dan ini adalah sebaik-baik perkara baru.

Setiap para salik mengharapkan agar Allah menjaga dirinya dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai. Allah menjaga tubuh badan kita untuk melakukan ibadah. Allah menjaga iman kita agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah (kesudahan yang baik). Oleh sebab itu, maka kita hendaklah menjaga Allah yakni menjaga apa-apa yang disayangi Allah dan menjaga para kekasih Allah.



[1] Sebenarnya jika diteliti pada maksud pepatah ini, apabila seseorang itu meninggalkan maksiat maka dengan sendirinya hatinya akan terbuka untuk mengerjakan ibadah kerana hatinya telah dibersihkan dari perkara-perkara yang kotor.

No comments:

Post a Comment