Monday, May 4, 2009

Sairus Salikin - Bab Rahsia Sembahyang (1)




Masjid al-Falah USJ 9



Kitab Sairus Salikin Jilid 1



Pengajian Sairus Salikin karangan Allamah Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani
Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam al-Banjari
*Catatan dibawah adalah catatan bebas ana ketika menghadiri majlis pengajian Syeikh. Apa yang ana catatkan disini tidak merangkumi keseluruhan syarahan Syeikh melainkan bahagian-bahagian yang sempat dicatat oleh ana. Oleh itu, kemungkinan berlakunya kekurangan dan kelemahan semasa mencatat tidak dapat ana elakkan. Justeru, ana memohon berbanyak kemaafan sekiranya catatan ini tidak dapat menyampaikan maksud sebenar Syeikh ketika mensyarahkan bab ini. Sudah tentu syarahan Syeikh yang sebenar lebih meluas isi kandungannya dan lebih jelas penerangannya.Untuk itu, ana menggalakkan agar para pembaca yang membaca catatan ana ini menghadirkan diri ke majlis pengajian Syeikh untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas serta maksud sebenar butir-butir kandungan yang disampaikan oleh Syeikh. Adapun, tujuan ana mencatatkan sebahagian dari syarahan Syeikh adalah untuk memudahkan ana mengingati kembali apa yang telah disyarah oleh Syeikh.



Bab Rahsia Sembahyang (syarah menggunakan buku jilid 1)
Persyaratan awal sebelum sembahyang ialah
1. Menghadirkan hati
2. Memahami makna yang kita baca
3. Mentakzimkan Allah
4. Rasa takut kepada Allah
5. Mengharapkan kepada Allah
6. Malu kita kepada Allah
Selanjutnya, kita perlu memahami persyaratan ketika sembahyang
1. Menghadirkan diri dalam hati. Apabila azan dilaungkan, kita akan merasakan gegak-gempita seperti berlakunya hari kiamat. Orang-orang ariffin apabila azan dilaungkan akan merasa takut dan menggeletar. Mendengar azan itu adalah satu seruan yang perlu diberi perhatian serius kerana azan itu adalah seperti satu panggilan menghadap Allah sama seperti keadaannya di hari Kiamat dimana kita semua akan menghadap Allah swt.
2. Ketika bersuci, kita hendaklah menghadirkan diri supaya hati kita turut disucikan. Bukan sekadar zahir sahaja yang disucikan. Hati disucikan dengan cara bertaubat dan bersungguh-sungguh mensucikan diri dari akhlak-akhlak mazmumah dan sifat-sifat yang tercela.
3. Tentang perkara menutup aurat, pada zahirnya menutup aurat itu adalah menutup sesuatu yang keji dari pandangan manusia tetapi dari segi batinnya pula, ia menutup segala sifat kecelaan dan keaiban. Adalah amat penting untuk menghilangkan hati dari sifat kecelaan.
4. Adapun menghadap kiblat itu, hendaklah berlaku zahir dan batin berhadap kepada Allah Taala. Maksud batin ialah hati yang berhadap kepada Allah Taala bukannya makhluk lain atau apa-apa selain dari Allah Taala. Syeikh menganjurkan agar kita membaca doa-doa berikut sebelum memulakan sembahyang bagi melahirkan rasa khusyuk. Sebelum membaca doa-doa ini, hendaklah kita membaca Surah An-Nas (rujuk dibawah)
a. Doa pertama, maksudnya ialah; Ya Allah, perbaikilah cara kami menghadap Engkau
b. Doa kedua, maksudnya ialah; Ya Allah, kurniakanlah kepada aku sembahyang seafdhal-afdhal yang Engkau kurniakan pada hambamu yang soleh



5. Untuk mendapat khusyuk dan tunduk kepada Allah, buangkan segala kebesaran , kemegahan dan rasa/sifat takbur. Jika perasaan ini masih wujud ketika sembahayang maka kita tidak akan dapat merasa nikmat khusyuk. Ingatkanlah didalam hati bahawa zahir dan batin kita ‘dilihat’ oleh Allah Taala. Allah senantiasa tahu apa yang ada didalam hati kita. Syeikh memetik kata Imam Hasan al-Basri ketika memberi komentar terhadap masyarakat dizamannya. Katanya,
Orang ramai yang beriman tetapi iman mereka tidak sampai ketingkatan ‘yaqin’
Maksudnya, Kita tidak bersungguh-sungguh melakukan ibadah dan masih bermalas-malasan mengerjakan ibadah kerana belum sampai kepada tingkatan ‘yaqin’.
Dizaman Imam Nawawi, ada orang alim yang bertasbih sehingga mencapai 100, 000 sehari kerana beliau sudah mencapai tingkatan yaqin. Segala amalan dilakukan bersungguh-sungguh dan memanfatkan segala masa yang ada. Jadi bagaimana kita boleh lalai hati kita dihadapan Allah Taala? Jika dengan manusia, boleh pula kita membuat perancangan yang rapi. Jika kita berjumpa raja atau orang kenamaan, boleh pula kita membuat persediaan berhari-hari tetapi apabila menghadap Allah Taala, tidak pula kita berazam untuk melakukan yang terbaik.
6. Sebab itulah kita perlu berasa malu kepada Allah Taala. Malu kerana tiap-tiap hari dalam sembahyang, kita berikrar dengan Allah Taala bahawa sembahyang kita, ibadat kita dan hidup serta mati kita yang kita baca dalam iftitah tetapi adakah kita memang betul-betul telah memenuhi ikrar tersebut. Untuk menebus malu iu, kita hendaklah sentiasa memohon ampun dan maaf kepada Allah Taala. Kita buat yang terbaik dihadapan Allah Taala. Ibaratkan bahawa kita sembahyang sambil disaksikan oleh orang-orang yang saleh. Sudah pasti kita akan berasa bimbang untuk membuat salah kerana pasti akan ditegur. Dengan cara itu, kita akan sentiasa memperbaiki amalan sembahyang kita. Jangan kita ibaratkan diri kita dihadapan orang kafir atau kanak-kanak kerana mereka tidak mengerti apa-apa. Oleh itu, kita tidak akan dapat memperbaiki amalan sembahyang sebaliknya sembahyang kita pun akan menjadi ‘lebih kurang’ sahaja.
7. Apabila kita mengangkat takbiratul ihram, ianya bermakna kita telah meng’haram’kan segala yang halal dilakukan sebelum ini. Misalnya, jika sebelum ini kita boleh makan tetapi dalam sembahyang kita tidak boleh makan. Dan ianya berlanjutan sehinggalah kita selesai memberi salam. Itulah sebabnya ia dinamakan ihram iaitu mengharamkan perkara-perkara yang boleh dilakukan tetapi tidak boleh dilakukan ketika sembahyang. Konsep ini samalah seperti mengerjakan haji dimana jemaah mengenakan pakaian ihram. Ketika memakai ihram, jemaah diharamkan mengerjakan perkara-perkara yang terlarang yang sebenarnya boleh dilakukan ketika di luar ihram.
8. Ketika sembahyang, hendaklah kita masukkan dahulu ‘kebesaran’ Tuhan. Kita hendaklah menafikan segala kebesaran yang lain termasuklah duit, pangkat, harta dan sebagainya agar kita mendapat khusyuk. Pernah tak kita menghitung jumlah takbir kita yakni Allahuakbar didalam sembahyang dalam satu hari? Tidak pernah bukan. Sedangkan perkara lain kita ambil berat misalnya baki SMS, baki duit dalam bank tetapi soal sembahyang kita tidak ambil berat. Sepatutnya kita renung dan ambil tahu tentang sebutan Allahuakbar supaya kosong hati kita dari membesarkan perkara-perkara lain selain dari Allah Taala. Kalimah Allahuakbar akan membunuh nafsu dan sifat takbur jika dihayati bersungguh-sungguh. Dengan itu barulah sembahyang kita boleh khusyuk.
Kata Syeikh, apabila terlihat sesuatu yang menggerunkan atau mengejutkan kita, hendaklah mengucapkan Allahuakbar terlebih dahulu diikuti dengan surah-surah lain seperti ayat Kursi dan sebagainya. Ini adalah kerana apabila kita menyebut kalimat tersebut bermakna kita menafikan segala benda-benda lain kerana tiada yang lebih besar melainkan Allah Taala.
9. Membesarkan perkara lain selain dari Allah adalah termasuk dalam perkara syirik. Kata Syeikh, syirik ini terbahagi kepada dua iaitu
a. Syirik jali (terang) – orang yang secara zahir menyekutukan Allah seperti menyembah patung/berhala
b. Syirik khafi (samar) – Orang yang secara halus menyekutukan Allah seperti mengerjakan sembahyang dengan mengharapkan mendapat pujian dan penghargaan dari orang lain bukannya hendak mendapatkan keredhaan Allah Taala.
10. Apabila kita membaca “bahawasanya sembahyangku dan ibadatku dan hidupku dan matiku dalam Iftitah, maka hendaklah kita ‘fana’kan segala apa yang ada pada diri kita kerana semua yang ada itu adalah pinjaman dari Allah Taala. Maksud fana’ disini ialah kita tidak memiliki apa-apa kerana semuanya adalah milik Allah Taala.
11. Kita hendaklah menghilangkan perasaan/ingatan yang menyebabkan kita tidak khusyuk ketika sembahyang seperti teringat-ingat akan aurat perempuan dan perkara maksiat. Syeikh menganjurkan kita membaca doa yang dimuatkan didalam buku Bekal Akhirat m/s 108 - rujuk doa dibawah (ana belum memiliki buku ini).




Sebenarnya, apabila kita tertengok aurat perempuan, hendaklah kita alihkan cepat-cepat pandangan kita ke tempat lain. Dengan mengalihkan pandangan itu, Allah akan mengurniakan kepada kita kelazatan munajat dan khusyuk kepada Allah. Babak-babak kejahilan semasa muda dahulu jangan diimbas-imbaskan balik. Ingatkan sahaja didalam diri ini tentng ibadah yang hendak dilakukan supaya kita sentiasa mendapat kurnia dan redha Allah Taala. Pandangan hidup kita hendaklah dibetulkan sepanjang masa.Khusyuk ini tidak boleh dibeli di kedai kerana ia adalah satu proses sepanjang hayat.
12. Syaitan adalah makhluk Allah. Tugasnya adalah menganggu manusia dari melakukan kebaikan dan ibadah. Oleh itu, kita perlu meminta perlindungan dari Allah Taala supaya terpelihara dari godaan syaitan. Maka kita hendaklah bersungguh-sungguh memohon perlindungan dari Allah Taala. Lalu mungkin orang bertanya,
Kenapa dijadikan syaitan untuk menganggu manusia?
Lalu hikmahnya, bila kita me’lawan’ syaitan dan apabila kita menang dalam perlawanan itu, hati kita akan berasa puas. Barulah kemenangan atau sesuatu pekerjaan kita itu menjadi bermakna. Ibarat dua pasukan bola yang bertanding. Jika hanya satu pasukan sahaja yang bermain, tentu ia tidak memberi sebarang makna kerana tiada daya tarikan disebabkan tiada daya saingan. Dan Allah pun hendak menguji hamba-hamba-Nya, yang mana yang bersungguh-sungguh dan yang mana yang lalai. Dengan wujudnya syaitan ini, kita pasti kena minta perlindungan dari Allah Taala. Jadi permohonan perlindungan kepada Allah ini menjadikan kita lebih ‘dekat’kepada Allah. Oleh itu, syaitan sebagai musuh yang diciptakan oleh Allah menjadikan kita lebih sayang, lebih dekat dan lebih taat kepada Allah Taala kerana kita akan sentiasa mengharap dan meminta perlindungan dari Allah Taala.
13. Dalam bacaan sembahyang, kita hendaklah memahami makna setiap bacaan itu. Kita hendaklah belajar memahami makna (at-tafahum), dengan cara itu barulah kita khusyuk dalam sembahyang. Kata syeikh, membaca surah pendek lebih afdal dari membaca sebahagian surah yang panjang yang panjang ayatnya sama dengan surah pendek tadi. Ini adalah kerana membaca surah pendek, maksud keseluruhan surah itu akan dapat difahami dan dihayati berbanding dengan membaca sebahagian dari surah panjang yang maksudnya belum tentu sampai. Apatah lagi jika imamnya tidak mahir berbahasa Arab maka dikhuatiri beliau menyambung atau memutus bahagian surah yang tidak sepatutnya menjadikan makna bacaan lari dari maksud yang sebenar. Apabila makna bacaan gagal dihayati maka sembahyang tidak akan khusyuk.
14. Makna Alhamdu didalam surah al-Fatihah mempunyai makna seperti berikut;
a. Puji qadim bagi qadim
Maksudnya Allah memuji Allah, oleh itu pujiannya kembali kepada Allah
b. Puji qadim bagi hadis
Maksudnya Allah memuji makhluk-Nya yang baru seperti Allah memuji Nabi saw yang hadis tetapi akhirnya pujian itu kembali pada-Nya kerana Nabi saw tu juga adalah ciptaan-Nya
c. Puji hadis bagi qadim
Maksudnya makhluk memuji Allah
d. Puji hadis bagi hadis
Maksudnya makhluk memuji makhluk yang lain misalnya kita memuji Nabi saw dan para anbiya dan aulia yang lain dan pujian-pujian itu akhirnya kembali kepada Allah yang telah mencipta makhluk dan memberi anugerah kepada makhluk-makhluk ciptaan-Nya Hakikatnya, pujian makhluk itu sebenarnya adalah untuk Allah Taala.
Puji-pujian ini boleh menghilangkan sifat takbur kita kerana yang dipuji itu bukannya kita tetapi anugerah Allah. Hakikatnya kita tidak memiliki apa-apa sebaliknya segala pujian dan kebesaran itu adalah milik Allah.
Sebelum menutup majlis pada hari itu, Syeikh menegaskan bahawa dakwah perlu dilakukan secara berterusan. Syeikh memetik kisah Maulana Ilyas Kandahlawi, tokoh dakwah besar yang juga merupakan pemimpin jemaah Tabligh. Maulana Ilyas berjasa besar dalam melaksanakan tugas dakwah. Beliau berdakwah tidak berhenti-henti dan dakwahnya disebarkan ke semua orang disekelilingnya tanpa mengira rupa, paras, darjat atau pangkat. Setiap kali beliau ke masjid, beliau pasti mengajak semua orang yang ditemuinya disepanjang laluannya ke masjid. Dalam perjalanan ke masjid, beliau seringkali melintasi restoran. Dijadikan cerita, beliau mengajak orang ramai yang sedang leka berbual kosong di restoran itu. Orang ramai menolak ajakannya lalu beliau terus menuju ke masjid. Hari berikutnya, beliau mengajak lagi dan sekali lagi ajakannya ditolak. Tiba ke hari seterusnya, beliau mengajak lagi dan kali ini, orang-orang direstoran tidak dapat bersabar lagi lalu ditamparnya Maulana sehingga jatuh tersepuk Maulana ke tanah. Maulana mengesat-ngesat mukanya, membuang debu dan kotoran tanah yang terlekat dimukanya lalu berkata,
Nah, sekarang kalian telah pun menunaikan hajat kalian dengan menumbukku. Sekarang tunaikanlah hajatku pula.
Kata orang di restoran, Apa pula hajat mu?
Jawab Maulana, Hajatku ialah untuk mengajak kamu ke masjid bersama-samaku.
Begitulah hebatnya Maulana Ilyas dalam mengembangkan syiar Islam. Beliau menyebarkan dakwah tanpa rasa gentar kerana tahu dan yakin bahawa Allah swt pasti akan menolong hamba-hamba-Nya yang berusaha menegakkan agama-Nya.

4 comments:

  1. Sungguh sangat berguna bagi kami yg baru belajar, dan terimakasih semuanya.

    ReplyDelete
  2. Ya terima kasih semoga di beri petunjuk yng lurus...daripada allah...atas ilmu ini..

    ReplyDelete
  3. Ya terima kasih semoga di beri petunjuk yng lurus...daripada allah...atas ilmu ini..

    ReplyDelete
  4. salam ustaz mcm mn nak contact ustaz untuk request buat kelas talaqqi dengan kawan-kawan? kami berminat nak belajar kitab ni.

    ReplyDelete