Sunday, August 29, 2010

Syarah Sairus Salikin - Adab-Adab Berdoa

*Catatan bebas ana di USJ pada 29 Ogos 2010

1. Memilih masa untuk berdoa
Contohnya seperti berdoa pada hari Arafah di mana hari itu adalah merupakan hari penganugerahan. Begitu juga dalam bulan Ramadhan di mana terdapat malam Lailatul Qadar. Malam Lailatul Qadar adalah malam di mana hajat dikabulkan. Kita disunatkan mencari-cari malam Lailatul Qadar. Mengikut pengalaman rohaniah alim-ulama, malam Lailatul Qadar ini lazimnya berlaku pada malam ganjil dan sering pula jatuh pada malam Jumaat. Pada ketika itu, khususnya di waktu sahur, kita dianjurkan agar memperbanyakkan amal ibadah dan berdoa. Terdapat 3 tanda pada diri seseorang yang menemui malam Lailatul Qadar iaitu,
a. Air mata sangat mudah turun ketika berdoa
b. Berasa hiba hati
c. Badan menggeletar ketika bermunajat kepada Allah Ta’ala.
Sementara tanda-tanda luaran pula adalah seperti
a. Jika hujan, hujan tidak turun dengan lebat
b. Jika panas, panasnya tidaklah terlalu panas.
c. Di sebelah malam pula, anjing tidak menyalak kerana terlalu ramai malaikat turun.
d. Di sebelah pagi, matahari turun dengan keadaan cahaya yang pucat (tidak panas)
Tanda seseorang itu telah menemui malam Lailatul Qadar ialah amal ibadahnya semakin bertambah hebat pada malam-malam selepasnya. Orang yang menyangka ia telah menemui malam Lailatul Qadar kemudian mengendurkan amal ibadahnya pada malam-malam berikutnya sebenarnya ia belum lagi menemui malam tersebut. Orang yang telah menemui malam Lailatul Qadar akan melipat-gandakan amalan pada malam berikutnya sebagai tanda syukur kepada Allah Ta’ala yang telah mengurniakan padanya anugerah yang tidak ternilai itu. Nabi saw melipat-gandakan amalannya walaupun baginda saw adalah ma’sum. Baginda saw menambah amal ibadahnya sehingga adakalanya sampai bengkak-bengkak kaki baginda saw kerana baginda saw bersyukur kepada Allah Ta’ala yang telah memberikan anugerah yang paling tinggi kedudukannya kepada baginda saw.
Berdasarkan pengalaman rohaniah para alim-ulama, mereka telah menyusun satu jadual atau kaedah bagi menentukan malam Lailatul Qadar
a. Jika puasa mula pada hari Rabu, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 (malam Isnin)
b. Jika puasa mula pada hari Khamis, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 23 (malam Jumaat)[1]
c. Jika puasa mula pada hari Jumaat, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 29 (malam Jumaat)
d. Jika puasa mula pada hari Sabtu, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 21 (malam Jumaat)
e. Jika puasa mula pada hari Ahad, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 (malam Jumaat)
f. Jika puasa mula pada hari Isnin, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 29 (malam Isnin)
g. Jika puasa mula pada hari Selasa, maka malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 25 (malam Jumaat)
Kata Syeikh, penentuan hari-hari tersebut tidak bermakna bahawa amal ibadah pada malam-malam lain diabaikan begitu sahaja. Penentuan hari-hari itu juga bukanlah bermakna malam Lailatul Qadar pasti jatuh pada hari tersebut. Sebaliknya penentuan hari tersebut dibuat dengan tujuan untuk menambahkan amal ibadah pada malam tersebut sementara amal-ibadah pada malam-malam lain tetap dilaksanakan tanpa berkurang sedikit pun. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, tanda orang itu telah menemui malam Lailatul Qadar ialah amal-ibadahnya semakin bertambah pada malam-malam berikutnya. Jika dilihat pada kaedah yang dirangka oleh alim-ulama, nyatalah bahawa ia selari dengan maksud hadith Nabi saw yang menyatakan bahawa carilah malam Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil sepuluh yang terakhir iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Jika dilihat pada kaedah di atas, dapatlah dinyatakan bahawa kebanyakan malam tersebut jatuh pada malam Jumaat diikuti malam Isnin di mana hari Jumaat merupakan hari yang paling mulia diikuti hari Isnin mengikut urutan hari dalam seminggu.
Kata Syeikh, jangan doakan anak ketika sedang marah apabila melihat kenakalan sang anak itu sebaliknya berdoalah pada sebelah malam. Lihat keadaan anak yang sedang tidur dan pada ketika itu pasti akan timbul kasih sayang terhadap dirinya. Apabila melihat keadaan anak yang sedang tidur maka sudah tentu timbul perasaan belas terhadap dirinya. Itulah masa yang paling sesuai untuk mendoakan kesejahteraan sang anak kerana perasaan yang terbit itu adalah perasaan kasih sayang yang sangat ikhlas, tambahan pula berdoa pada waktu malam adalah merupakan waktu terbaik untuk memohon hajat kepada Allah Ta’ala.
Waktu sahur adalah waktu yang sangat sesuai untuk berdoa. Yang dimaksudkan dengan waktu sahur ialah sepertiga (1/3) malam yang akhir. Sepertiga malam yang pertama merujuk kepada jam 7.30 malam hingga 11 malam. Sepertiga malam yang kedua merujuk kepada jam 11 malam hingga 2.30 pagi. Dan sepertiga malam yang akhir merujuk kepada jam 2.30 pagi hingga 6 pagi. Sepertiga malam yang akhir inilah waktu sahur yang paling mustajab untuk berdoa. Pada ketika ini, elok sangatlah kita bangun untuk mengerjakan amal ibadah seperti solat tahajjud dan sebagainya. Wasiat Abuya (Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki), “Hendaklah kalian bangun mengerjakan solat tahajjud walaupun sekadar 2 rakaat sahaja”. Lazimilah diri mengerjakan qiamullail kerana ia merupakan amalan orang-orang soleh yang terdahulu. Orang-orang soleh yang hebat-hebat yang telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada umat Islam amat menitikberatkan amal ibadah di sebelah malam.
Menyingkap semula akan sejarah penurunan wahyu, Nabi saw menerima wahyu berikutnya (selepas wahyu pertama diturunkan) yang berkaitan dengan suruhan untuk bangun mengerjakan amal ibadah di waktu malam (rujuk Surah al-Muddatsir dan Surah al-Muzzamil). Allah Ta’ala menyuruh baginda saw meminta pertolongan kepada-Nya pada waktu malam. Hikmahnya ialah amal ibadah di sebelah malam itu memberi kekuatan rohani kepada baginda saw untuk berdepan dengan cabaran-cabaran getir disebelah siang. Maka atas sebab itulah umat Islam dianjurkan agar mengerjakan amalan di sebelah malam. Ini adalah kerana amalan malam itu menjadi bekal yang sangat ampuh untuk melaksanakan pekerjaan di sebelah siang.

2. Bila ada peluang yang baik seperti ketika berperang di jalan Allah, ketika turunnya hujan kerana hujan itu adalah rahmat Allah[2], selepas sembahyang fardhu terutamanya selepas solat Jumaat[3], doa antara azan dan iqamah, orang yang sedang berpuasa dan sujud ketika sedang solat[4].

3. Berdoa dengan menghadap qiblat dengan mengangkat kedua belah tangan sehingga ternampak ketiak (maksudnya angkat tinggi sedikit) dan hadapkan muka. Sunat menyapu muka selepas berdoa dan selepas solat. Ketika berdoa, mata hendaklah kebawah (jangan angkat pandangan ke atas) kecuali jika berada di hadapan Kaabah.

4. Jangan menjerit-jerit ketika berdoa. Cukuplah dengan mengangkat suara agar orang lain dapat mendengarnya. Contoh, imam membaca doa dan diaminkan oleh makmum yang mendengarnya. Andainya doa tidak didengar oleh makmum disebabkan speaker rosak dan sebagainya maka sunat bagi makmum membaca sendiri doa.

5. Jangan memberatkan diri untuk bersajak dalam doa. Maksud bersajak ini ialah dengan berusaha untuk memastikan agar baris doa untuk mempunyai rima (nada bunyi yang sama di hujungnya) dan kelihatan cantik susunannya. Dikhuatiri dengan usaha memberatkan ini maka makna doa tersebut mungkin tidak menepati dengan isi yang hendak disampaikan. Doa yang utama ialah doa dari al-Quran, Nabi saw, para sahabat, tabi’in dan ulama yang Ariffin.

6. Berdoa dengan tadharruk, khusyuk dan rahbah. Makna tadharruk ialah dengan menyatakan papanya dan sangat hajatnya. Makna khusyuk ialah dengan merendahkan diri dan menghinakan diri. Makna rahbah ialah khauf (takut). Ketahuilah bala yang diturunkan Allah ke atas seseorang itu sebenarnya adalah tanda cinta Allah terhadap orang itu. Apabila bala turun maka orang akan bersungguh-sungguh untuk meminta kepada Allah. Bala yang diturunkan Allah sebenarnya memberi ruang kepada seseorang itu untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ketahuilah bahawa bala dan afiat itu kedua-duanya adalah rahmat Allah.

7. Berdoa dengan optimis (yakin bahawa doa pasti diperkenankan Allah Ta’ala)[5]. Apabila berdoa seseorang itu mesti mempunyai kekuatan dalam diri dengan menghadirkan hati.

8. Mengulang-ulang doa

9. Memulakan doa dengan al-Fatihah dan Salawat. Sebaik-baiknya kapit doa dengan Puji-Pujian kepada Allah dan Salawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw (kapit disini bermaksud mula dengan puji-pujian kepada Allah Ta’ala dan Salawat ke atas Nabi saw dan akhirinya juga dengan puji-pujian kepada Allah Ta’ala dan Salawat ke atas Nabi saw). Salawat yang dibaca pasti diterima Allah Ta’ala walaupun dibaca oleh orang yang fasiq. Berusahalah untuk menghayati doa agar sampai rasa dzauq dalam diri. Dengan cara itu, hati akan lebih terkesan ketika berdoa. Salah satu caranya ialah dengan mempelajari Bahasa Arab untuk memahami isi kandungan doa.

10. Adab batin iaitu bertaubat dari perkara maksiat dan kembalikan sesuatu yang bukan haknya atau yang dizaliminya.

[1] Kata Syeikh, gurunya iaitu Sayyid Abu Hasan Ali an-Nadwi wafat pada hari Jumaat tanggal 23 Ramadhan (malam Lailatul Qadar)
[2] Air hujan adalah berkat. Sebab itu orang dulu-dulu membuat air penawar dari air hujan yang turun khususnya pada malam Jumaat.
[3] Berdoalah banyak-banyak pada masa ini kerana rahmat Allah turun dengan banyaknya pada waktu itu.
[4] Apatah lagi jika sujud pada malam Lailatul Qadar ditambah pula jika malam itu jatuh pada malam Jumaat maka bertambah hampirlah doa itu dikabulkan.
[5] Samada disegerakan atau disimpan di Hari Akhirat

Syarah Kanzul Minan

*Catatan bebas ana di Ampang pada 22 Ogos 2010
Dan masuk Saiyidina Ali di dalam masjid Basrah maka didapatnya umpama 100 halaqah orang yang duduk mengajar maka adalah ia berhenti pada satu halaqah yakni keliling orang mengajar ditanyakan orang yang mengajar degan satu soal kemudian ditegahkan dia daripada mengajar. Demikianlah hingga kepada halaqah Hasan Basri. Maka melihat ia orang muda baik kelakuannya maka ia bahawasanya aku bertanya akan dikau umpama ku tanya akan mereka itu. Jika engkau jawab akan pertanyaanku dengan barang yang berpatutan aku tetapkan dikau dan jika tiada ku tegahkan dikau seperti ku tegahkan mereka itu. Maka kata ia tanya olehmu apa yang ditanya bagimu. Maka katanya, apa yang milik akan agama? Jawabnya iaitu waraq. Dan katanya, apa yang membinasakan dia? Katanya, tamak. Maka katanya, duduk olehmu maka seumpama kamu patut duduk mengajar dan inilah neraca yang memberi manfaat yang diketahui dengan dia orang yang salik akan mudarat daripada manfaat maka bahawasanya kasih akan dunia kepala kesalahan. Maka barangsiapa ada padanya segala kesalahan maka betapa ia melepaskan orang lain daripada ombak bala.
Tamak adalah pembinasa agama manakala waraq membolehkan seseorang itu berhati-hati dalam menguruskan makanan, harta dan sebagainya. Pernah satu hari, Sufyan bin Tsauri mengajar di hadapan 3 orang anak murid. Apabila datang murid keempat, Sufyan berhenti mengajar. Apabila ditanya orang tentang hal itu maka katanya, “Andai kata Umar melihat aku maka pasti ia membubarkan majlisku ini kerana aku tidak layak mengajarnya. Apabila masuk murid yang keempat, aku bimbang aku didatangi dengan sifat riak dengan menyatakan telah ramai orang datang belajar denganku”. Para ulama tidak memikirkan soal syurga sebaliknya sibuk memikirkan husnul khatimah. Kita hendaklah sentiasa mengutamakan sifat khauf dan raja’. Kata Saiyidina Abu Bakar, “Akhirat kelak, andai Allah berkata bahawa semua orang masuk neraka kecuali seorang sahaja masuk syurga maka aku berharap akulah orangnya dan andainya Allah berkata semua orang masuk syurga kecuali seorang sahaja masuk neraka maka aku berharap bahawa aku bukanlah orangnya. Kita hendaklah berdoa agar dijauhkan daripada 3 perkara yang memudaratkan iaitu
1. Bersahabat dengan orang yang alim tetapi lalai
2. Bersahabat dengan sufi yang jahil
3. Berdamping dengan penceramah yang menghiasi ceramahnya dengan niat hendak memperkotak-katikkan orang yang jahil.

Syarah I'tiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah

*Catatan bebas ana di Ampang pada 22 Ogos 2010
Tiada yang berhajat kepada sesuatu tempat melainkan makhluk. Allah tidak menyerupai makhluk. Allah merupakan zat yang wujud tanpa sebarang permulaan dan tidak ada sesiapapun yang bersama dengan-Nya. Makhluk pula wujud dari tiada kepada ada. Allah tiada pengakhiran kewujudan-Nya. Selepas binasa makhluk, Allah kekal baqa’. Allah tidak bertempat. Kalau Allah bertempat maka sudah pasti ada sesuatu di bawah dan di atasnya. Inilah yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada mazhab yang empat. Alim ulama besar seperti Imam al-Ghazali dan Imam As-Suyuti yang telah mencapai tahap keintelektualan yang sangat tinggi juga berpegang kepada mazhab. Imam Suyuti bertemu Rasulullah saw sebanyak 73 dalam keadaan jaga. Beliau sangat dihormati oleh rajanya. Pernah pada satu hari, seseorang berjumpa dengannya untuk menyelesaikan masalah dengan bertemu raja. Kata Imam As-Suyuti kepada orang itu, “Bukan aku tidak mahu menolong kamu tetapi aku ini sentiasa berhimpun dengan Rasulullah saw. Aku bimbang jika aku bertemu dengan raja maka ia menjadi sebab yang menghalang aku dari berhimpun dengan Rasulullah saw”. Tentang ulama besar al-Azhar iaitu Imam Soleh al-Ja’fari, pernah seorang bermimpi bertemu Rasulullah saw lalu baginda saw berkata kepadanya, “Engkau pesan kepada anak aku (iaitu Imam Soleh al-Ja’fari) supaya dia bersungguh-sungguh bermujahadah agar dapat berhimpun dengan Imam As-Suyuti”. Ketahuilah bahawa orang yang tidak mahu mengikuti mazhab adalah orang yang sombong, tidak tawaduk dan tidak hormat kepada para ulama. Orang sekarang sudah tidak segan-segan mengaku mujtahid padahal Al-Quran dan Hadith belum tentu dihafalnya. Pernah seseorang bertemu Syeikh Soleh al-Ja’fari dan dengan megahnya beliau berkata, “Aku tidak perlu lagi pada mazhab”. Terpegun Syeikh Soleh mendengar kata-kata lelaki itu. Lalu ia berkata, “Baguslah begitu. Rupanya ada orang pada zaman ini sudah tidak perlu mengikut mazhab lagi. Adakah kamu menghafal Al-Quran?” Merah padam muka lelaki itu apabila ditanya oleh Syeikh Soleh. Lelaki itu menggeleng kepala. Kata Syeikh Soleh, “Tidak ada orang yang paling zalim melainkan ia menipu kepada Tuhannya”. Salah seorang guru kepada ulama besar Imam Abu Hanifah ialah Imam Ja’far Sadiq. Beliau digelar Sadiq kerana kebenarannya. Imam Ja’far Sadiq tidak pernah mengasaskan mazhab Syiah sebaliknya Syiah lah yang menyandarkan namanya untuk kepentingan mereka.[1] Kata Imam Abu Hanifah tentang gurunya itu, “Andainya tiada perhimpunan aku dengan Imam Ja’far Sadiq selama 2 tahun maka binasalah aku”.
[1] Dalam kitab Tabaqat ada dinyatakan bahawa dua orang lelaki soleh yang dibala atau diuji dengan pengikut yang jahat ialah Imam Ja’far dan Imam Ahmad Hanbal.

Sunday, August 22, 2010

Sambutan Hol Sayyidah Khadijah ra dan Huraian Kitab 60 Hadith Kelebihan Aali Bait di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 21 Ogos 2010

*Catatan bebas ana di Taman TAR pada 21 Ogos 2010
Tidak ada lidah yang mampu mengungkap keindahan syurga. Syurga merupakan nikmat Allah yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya dengan nikmat yang tidak terbatas, tidak pernah dilihat di dunia, tidak pernah di dengar dan tidak pernah terlintas di dalam hati. Allah menciptakan syurga sebagai balasan kepada ahlinya. Segala sesuatu yang berada di dalam syurga dijadikan khadam kepada ahlinya. Ketahuilah bahawa penghuninya adalah lebih mulia dari tempat yang dihuni. Jika syurga tidak mampu diungkap dengan lidah apatah lagi ahlinya. Antara penduduk syurga itu ialah Sayyidah Khadijah ra. Para ulama berusaha menulis qasidah tentang Sayyidah Khadijah tetapi mereka belum tentu dapat menyempurnakan hak Sayyidah Khadijah kerana ketinggian dan kemuliaannya pada haqiqatnya tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Justeru dengan sebab itu, kita perlu memohon keizinan dan kemaafan kepada Sayyidah Khadijah takut-takut kita tersalah sebt tentang ketinggian dan kemuliaan Sayyidah Khadijah di sisi Allah Ta’ala.
Khadijah adalah ahli keluarga Nabi saw. Mengingati hari kewafatan orang yang mulia apatah lagi insan seperti Khadijah adalah bertepatan dengan perintah Rasulullah saw dimana hubungan orang yang hidup dengan orang yang mati tidak terputus. Inilah yang menjadi pegangan iktiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ketahuilah bahawa antara nikmat yang Allah kurniakan kepada kita yang tidak ada tolok bandingnya ialah apabila kita berpegang teguh kepada iktiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Inilah nikmat batin yang berkali-kali ganda nikmatnya berbanding dengan nikmat zahir. Nikmat zahir terbatas kerana ia hanya dinikmati di atas dunia sedangkan nikmat batin dinikmati dunia dan akhirat. Ketahuilah bahawa apabila hubungan antara yang hidup dengan yang mati tidak terputus maka itu bermakna bahawa Sayyidah Khadijah tahu bahawa kita meraikan sambutan ini untuk mengingatinya. Kenapa Sayyidah Khadijah menjadi salah seorang insan terpilih yang diadakan sambutan hol ke atasnya? Hal ini adalah berkaitan dengan kitab yang dibicarakan pada petang ini iaitu Kitab 60 Hadith Kelebihan Aali Bait yang ditulis oleh Imam As-Suyuti.
Imam as-Suyuti menganggap orang yang tidak mencintai keluarga Nabi saw adalah orang yang telah mati. Mati yang dimaksudkan disini ialah mati hati. Ketahuilah bahawa manusia itu dinamakan insan adalah kerana rohnya bukan kerana jasadnya. Hakikat roh inilah yang membezakan diri manusia dengan binatang. Perbezaan antara yang hidup dengan yang mati bukan pada jasad atau jisim tetapi atas sebab roh. Jasad orang-orang mulia seperti Khadijah, Imam Syafi’I dan sebagainya sudah tiada di atas dunia tetapi namanya terus hidup. Para ulama walaupun telah bersemadi sekian lama namun kedudukan mereka di hati umat Islam tetap tersemat di dalam jiwa. Nama mereka sentiasa disebut-sebut seolah-olah mereka masih hidup di atas muka bumi.
Orang yang mempunyai perasaan kasih terhadap ahli keluarga Nabi saw adalah orang-orang yang ‘hidup’ sebaliknya orang yang tidak mempunyai perasaan kasih terhadap Ahlul Bait maka ia seolah-olah telah mati. Hatinya mati dan tidak dipandang Allah Ta’ala. Hukum mencintai keluarga Nabi saw adalah wajib. Dalam surah al-Syuura ayat 23, Allah memerintah Nabi saw supaya memberitahu umatnya bahawa Nabi saw tidak meminta sebarang upah untuk menyampaikan Islam dan menguruskan hal-ehwal umat Islam tetapi meminta umatnya mengasihi ahli keluarganya.
Setiap kali Nabi saw bermusafir dan pulang semula ke Madinah, Nabi saw tidak akan terus pulang ke rumah. Sebaliknya baginda saw akan berjalan menuju ke masjid dan menunaikan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu. Selepas itu, baginda saw akan bertemu dengan para sahabat dan mendengar serta menguruskan masalah mereka terlebih dahulu. Selepas selesai semuanya barulah Nabi saw berjumpa keluarganya. Nabi saw akan menziarahi anaknya dahulu iaitu Fatimah. Setelah selesai menziarahi Fatimah barulah Nabi saw mengunjungi isteri-isterinya. Ulama pernah berbeza pendapat dalam menentukan darjat kemuliaan antara isteri baginda saw iaitu Aisyah dengan anakanda baginda saw iaitu Fatimah. Aisyah dianggap sebagai wanita yang paling alim dan cerdik di zamannya. Banyak hadith diriwayatkan beliau. Namun dalam hal ini, ilmu bukanlah penentu kemuliaan seseorang. Ulama berpendapat bahawa Fatimah lebih mulia dari Aisyah kerana didalam tubuhnya ada benih Rasulullah saw.
Nabi saw sanggup mengorbankan kepentingan dirinya untuk umatnya. Buktinya, apabila balik dari musafir, baginda akan terus ke masjid dan berjumpa dengan para sahabat terlebih dahulu sebelum bertemu dengan ahli keluarganya. Nabi saw berdakwah bukan untuk imbuhan dunia dan baginda saw cuma meminta satu sahaja dari umatnya iaitu mengasihi ahli keluarganya. Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq pernah berkata, “Hendaklah kalian memerhatikan wasiat Nabi saw terhadap ahli keluarganya”. Tujuannya ialah supaya umat Islam mengasihi dan menghormati keluarga Nabi saw. Umat Islam perlu menyempurnakan hak-hak ahli keluarga Nabi saw.
Maksud berpegang kepada Ahlul Bait seperti yang dinyatakan dalam hadith Nabi saw ialah berpegang dengan ulama di kalangan Ahlul Bait kerana merekalah yang benar-benar memahami selok-belok agama dan sunnah. Tentang ada di kalangan Ahlul Bait yang fasiq dan jahil maka kita tetap perlu memuliakan mereka dan berusaha mengajak dan mendoakan mereka agar kembali ke jalan Allah. Walau bagaimana fasiq atau jahilnya mereka namun hakikatnya mereka tetap berketurunan Rasulullah saw. Maka atas sebab itu, kita perlu menghormati mereka sebagai tanda kasih kita kepada Rasulullah saw. Menghormati Ahlul Bait itu bukanlah atas sebab ketinggian ilmu atau solehnya mereka tetapi atas sebab mereka itu adalah berketurunan Rasulullah saw.
Imam Syafi’i (berdarah keturunan Abdul Muttalib) sangat menghormati Ahlul Bait ketika beliau bertugas di Yaman. Imam Syafi’I sentiasa melazimkan diri menghadiri majlis-majlis mereka. Jika beliau dijemput Ahlul Bait, beliau tidak sekali-kali akan menolaknya. Jika ada di kalangan raja yang berketurunan Ahlul Bait maka kita kasih kepadanya bukan atas sebab darjatnya sebagai raja tetapi atas sebab darahnya yang berketurunan dengan Rasulullah saw. Nabi saw pernah bersabda, “Siapa yang merendahkan dirinya kepada orang kaya disebabkan kekayaan orang kaya itu maka hilanglah 2/3 agamanya”. Maka atas sebab itulah hormatnya kita pada seseorang itu bukan atas sebab statusnya sebagai raja atau orang kaya tetapi atas sebab orang itu mempunyai hubungan dengan Rasulullah saw.
Orang yang membenci ahli keluarga Nabi saw walaupun mengerjakan amalan yang banyak tidak akan dimasukkan ke syurga. Sebab itu ulama berkata bahawa rahsia amalan seseorang itu sampai kepada Allah Ta’ala ialah apabila seseorang itu mencintai Rasulullah saw dan ahli keluarganya. Berbalik kepada Sayyidah Khadijah, insan mulia ini telah menolong umat Islam dunia dan akhirat. Ketika di dunia, hartanya dilaburkan ke jalan Allah Allah. Beliaulah orang pertama yang menanam saham di jalan Allah. Di akhirat kelak, umat Islam mengharapkan syafaat darinya kerana kedudukan dan kemuliaannya di sisi Allah ta’ala. Oleh kerana itu, kita perlu mengingati sambutan sebegini dan hadir dalam majlisnya.

Syarah Hikam oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR pada 14 Ogos 2010
Ahli tasawwuf bersungguh-sungguh mengajar anak murid mereka agar memelihara hati dan memastikan hati tidak buta. Hati hendaklah sentiasa dilimpahi dengan nur Allah Ta’ala. Hati orang yang kufur akan terdinding dari cahaya iman. Oleh kerana itu, kita perlu berusaha untuk capai cahaya apatah lagi apabila berada di dalam bulan Ramadhan ini. Semua orang bertemu bulan Ramadhan tetapi belum tentu mereka dapat menyempurnakan hak-hak bulan Ramadhan. Ibarat orang berkahwin, berkahwin itu mudah. asal akad nikah sahaja sudah cukup. Tetapi yang payahnya ialah bagaimana hendak menyempurnakan hak sebagai suami dan hak sebagai isteri. Ketahuilah bahawa Ramadhan itu ada haknya. Kalau tersalah atau tersilap menyempurnakannya maka ia akan memberi mudarat kepada kita. Pahala dalam bulan Ramadhan berkali-kali ganda namun kita jangan sekali-kali mengabaikan perkara dosa. Jika pahala diganda untuk amal kebajikan maka dosa juga begitu. Atas sebab itu, kita jangan mengambil mudah tentang bab dosa khususnya dalam bulan Ramadhan. Tujuannya ialah agar hak bulan Ramadhan itu dapat disempurnakan sepenuhnya.
Ramai para sahabat beribadat di Tanah Haram tetapi rumah mereka dibina di kawasan Tanah Halal. Abdullah bin Abbas ra ditawarkan tanah di kawasan tanah haram untuk didirikan rumahnya namun beliau menolak. Dia menolaknya kerana bimbang berbuat dosa di Tanah Haram. Ini adalah kerana dosa jika dilakukan di Tanah Haram akan menimbun berkali ganda sama seperti pahala yang akan ditambah berkali ganda jika melakukan amal kebajikan. Sebab itu, orang yang berada di Tanah Haram seperti mereka yang mengerjakan solat di Masjidil Haram perlu berhati-hati takut-takut jika tidak berjaya menyempurnakan hak tempat suci itu. Mereka perlu tahu bahawa bukan sahaja pahala yang akan digandakan tetapi juga dosa jika perkara-perkara maksiat atau yang ditegah syarak berlaku di kawasan itu.
Apa caranya untuk kita mengetahui bahawa awal Ramadhan yang kita kerjakan itu mendapat rahmat Allah? Caranya ialah dengan melihat amal kebajikan kita di akhir Ramadhan. Kalau amalan kita makin berkurang maka itu tandanya Allah tidak memandang amalan kita. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani ra mentafsir maksud Ramadhan seperti berikut,
R (huruf ra’) – Redha Allah, M (huruf mim) – Mahabatullah (kasih Allah), D (huruf dhod) – Jaminan Allah terhadap orang yang menyempurnakan hak-hak Allah Ta’ala, A (huruf alif) – Ulfatullah (Kemesraan Allah Ta’ala) dan N (huruf nun) – Nurullah (Cahaya Allah).
Jadi, mereka yang dipandang Allah akan bercahaya wajah mereka disinari dengan cahaya Allah Ta’ala.
Dekat atau jauhnya seseorang itu kepada Allah adalah mengikut keyakinan dan terikatnya hati mereka dengan duniawi, syahwat, makhluk dan khayalan yang meragukan. Berapa banyak masa dan harta yang telah kita habiskan untuk perkara-perkara yang hanya bersifat khayalan? Ketahuilah bahawa semua itu hanyalah perkara-perkara yang tidak kekal. Dari kita membelanjakan wang atau harta ke tempat-tempat yang hanya bersifat khayalan maka adalah lebih baik kita melaburnya untuk membina sekolah atau perkara-perkara yang dituntut dalam agama. Kata Saiyidina Umar al-Khattab, “Hisablah kamu sebelum kamu dihisab”.
Janganlah kita bersandar pada sesuatu yang mubham yakni perkara yang masih samar-samar. Terikatnya hati pada khayalan menyebabkan hati terhijab. Jadi bila masa cahaya hendak sampai pada hati sekiranya ia sentiasa terhijab? Hati kita hendaklah sentiasa bersama Allah walaupun jasad kita bersama makhluk. Janganlah hanya jasad sahaja bersama Allah sedangkan hati bersama makhluk. Maksudnya disini ialah tergamakkah seseorang itu sebagai makhluk dan hamba-Nya yang diberi rezeki oleh-Nya setiap hari tetapi kemudiannya menghadapkan dirinya kepada dunia bukannya kepada Allah. Maka murkalah Allah Ta’ala. Ketahuilah bahawa Allah Maha cemburu. Macam mana pedihnya hati seseorang itu apabila kekasihnya berpaling dari dirinya dan bersama dengan orang lain maka begitulah juga Allah Ta’ala. Adakah patut seseorang itu memalingkan hatinya dari Allah Ta’ala sedangkan jasadnya di beri makan dan kehidupan oleh Allah Ta’ala?
Ketahuilah bahawa ayat-ayat Allah itu menjadi penggilap kepada hati tetapi kenapa ada orang yang berkali-kali membacanya namun masih bersifat hasad dengki, buruk sangka dan lain-lain lagi? Semua ayat al-Quran adalah elok belaka. Orang yang dirinya masih diselimuti dengan sifat mazmumah itu tidak akan disinari cahaya walaupun berkali-kali membaca al-Quran. Ini adalah kerana hatinya menjadi kotor disebabkan perbuatannya sendiri. Sebab itulah hati kena bersih dan berkilau agar dapat limpahan dan hembusan Allah Ta’ala. Contoh hati yang hidup ialah apabila ia melihat atau mendengar atau membaca ayat-ayat al-Quran maka hatinya akan menjadi sejuk dan bergetar-getar.
Hati umpama istana. Jika didalamnya dipenuhi dengan harta dunia dan makhluk maka dimana kedudukan Allah di dalam hati? Allah swt tidak akan duduk di dalam hati sekiranya ada benda lain bersama.[1] Ulama sangat menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak mahu disabitkan dengan ahli bidaah. Pernah satu hari, seorang ulama menangis menjelang hari wafatnya. Lalu anak muridnya kehairanan dan bertanya, “Kenapa tuan menangis sedangkan tuan seorang yang alim?” Kata ulama itu, “Bukan sebab itu aku menangis. Aku menangis kerana pernah satu hari aku bersalam dengan ahli bida’ah. Aku bimbang di hari akhirat kelak, aku berhimpun dengannya”.
[1] Maksudnya bukanlah Allah duduk menempati di dalam hati tetapi yang dimaksudkan disini ialah ingatan terhadap Allah tidak mungkin tercapai jika hati terikat pada perkara lain

Sunday, August 8, 2010

Majlis khatam Manaqib Sayyidah Khadijah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

* Catatan bebas ana di Ampang pada 8 Ogos 2010
Setiap hari cinta Rasulullah saw kepada Khadijah semakin bertambah. Rasulullah saw memberi sepenuh perhatian kepada keluarga dan sahabat handai Khadijah. Baginda saw sering memberi hadiah kepada mereka. Menyebut-nyebut nama Khadijah yakni memuji-muji Khadijah adalah satu sunnah kerana Nabi saw sendiri sering menyebut-nyebut nama Khadijah. Justeru, sambutan hari hol yang diadakan untuk mengingati Sayyidah Khadijah adalah juga merupakan satu sunnah. Rasulullah saw juga sentiasa memanjangkan cerita tentang Khadijah tanpa rasa jemu atau bosan.
Di Makkah, para ulama Makkah bersama-sama dengan gabenor akan berhimpun di Masjidil Haram lalu keluar menerusi pintu Babussalam dan bergerak menuju ke Ma’la. Di Ma’la, penjaga maqam telah sedia menanti dan akan membukakan pintu maqam untuk majlis seterusnya. Perhimpunan kemudiannya diadakan di dalam maqam Khadijah dimana majlis bermula dengan bacaan Yasin, tahlil dan sebagainya. Selepas itu, bermulalah bacaan Yasin dan tahlil dari rumah ke rumah mereka secara bergiliran.

Bab pada menyatakan segala zikir (Sairus Salikin) - Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di USJ9 pada 8 Ogos 2010
Malaikat mencari-cari mana-mana majlis zikir yang ada di muka bumi ini. Malaikat melihat tempat-tempat yang diadakan majlis zikir akan terang bercahaya. Majlis zikir dianggap sebagai satu kebun dari kebun-kebun syurga. Tempat orang-orang yang berzikir di atas muka bumi ini adalah sama seperti kebun-kebun di dalam syurga. Asal dapat hadir sahaja dalam majlis zikir maka seseorang itu sudah memperolehi kelebihan menghadiri majlis apatah lagi jika ia turut sama berzikir.
Berzikir secara beramai-ramai mempunyai kelebihan. Orang yang berzikir secara beramai-ramai akan diliputi oleh para malaikat dan dicucuri rahmat Allah. Hati menjadi tenang dan tetap dengan zikrullah. Masa kita tidak akan kosong apabila berzikir secara berjemaah. Misalnya jika kita berhenti berzikir seketika, kita masih boleh mendengar suara orang lain berzikir. Mendengar orang lain berzikir memberi kesan kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ada orang yang tidak bersetuju berzikir beramai-ramai apatah lagi mengangkat suara. Padahal apabila mengerjakan haji di Makkah, seseorang itu tetap akan mengerjakan zikir secara beramai-ramai dengan mengangkat suara seperti mengucapkan talbiah.
Ketahuilah bahawa Allah membanggakan orang yang berzikir di hadapan para malaikat-Nya. Jangan terburu-buru keluar dari masjid setelah selesai solat Jumaat kerana pada masa itu, rahmat Allah sedang diagih-agihkan kepada umat Islam atas zikirnya, istighfarnya dan sebagainya. Kata syeikh, masyaikhnya iaitu Syeikh Zaini pada saat ia mengajar, tidak pernah sekalipun ia mempedulikan kebesaran sang penuntut ilmu (maksudnya jika berjawatan tinggi atau bergelar) kerana kebesaran itu hanyalah untuk Allah Ta’ala.
Nabi saw juga duduk bersama-sama kelompok para sahabat yang berzikir dengan ikhlas. Pernah satu hari Abu Jahal mengenakan syarat iaitu andainya Nabi saw dapat menyediakan satu majlis zikir khusus untuk orang-orang bangsawan Quraisy sepertinya maka ia akan masuk Islam. Allah Ta’ala kemudiannya memerintahkan Nabi saw agar tidak mempedulikan permintaan orang-orang yang mengenakan syarat untuk masuk Islam.
Ketahuilah bahawa sesuatu yang sangat berguna di dunia dan di akhirat ialah berzikir kepada Allah samada secara beramai-ramai atau bersendirian. Orang yang berzikir secara bersendirian sehingga mengalirkan air mata kerana takutkan Allah Ta’ala termasuk dalam golongan yang dinaungi Arasy. Orang yang berzikir maka syurgalah untungnya. Terlalu banyak kelebihan orang yang duduk berzikir. Antaranya ialah seperti mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna bagi orang yang duduk berzikir setelah selesai solat subuh berjemaah hingga terbit matahari lalu ia mengerjakan solat sunat isyraqi.
Berzikir melemahkan semangat cinta kepada dunia di dalam hati. Orang yang memperbanyakkan zikir akan merasa ringan terhadap dunia. Mereka tidak akan terpengaruh dengan harta dunia kerana merasakan bahawa harta dunia ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan ganjaran akhirat. Ketahuilah bahawa zikir yang banyak akan membuahkan harta yang sangat banyak di akhirat kelak.
Orang yang sentiasa berzikir tidak akan didekati syaitan dan dunia. Tatkala umat Islam lupa atau lalai seketika untuk berzikir maka di saat itulah syaitan dan dunia akan menyelinap masuk. Oleh itu perbanyakkanlah zikir dan lazimilah diri untuk menghadiri majlis zikir.
Zikir yang paling afdhal ialah kalimah La Ilaha Illallah. Ini adalah kerana zikir ini disebut-sebut oleh Nabi saw dan juga nabi-nabi lain. Ada orang suka berselisih pendapat tentang amalan mana yang lebih afdhal sedangkan mereka sendiri belum pun beramal dengan mana-mana amalan pun. Dalam hal ini, Syeikh membawa satu kisah. Kisahnya tentang Amar dan Zaid. Salah seorang diantara mereka bercadang untuk membuat kebun manakala yang seorang lagi berminat hendak mengembala kambing. Lalu berkatalah si pemilik kebun, andaikata kambingmu masuk di dalam kebunku siapakah yang akan dipersalahkan? Lalu si pengembala kambing menyalahkan pemilik kebun kerana tidak memagar kebunnya manakala si pemilik kebun menyalahkan si pengembala kambing kerana tidak menjaga kambingnya dengan baik. Akhirnya mereka berdua bergaduh dan perkara ini sampai kepada kadi. Kadi lalu bertanya, “ Di mana kambing dan kebun yang diperkatakan?” Rupanya mereka baru merancang sahaja, belum lagi memulakannya.
Pada masa ini telah ada fahaman yang menyusup di kalangan umat Islam. Kata mereka, apa perlunya berzikir banyak-banyak sedangkan yang patut dilakukan ialah mengerjakan ibadah banyak-banyak dan mencegah kemungkaran. Golongan ini mengambil contoh seperti berikut, Ada seorang raja yang memerintahkan rakyatnya untuk membersihkan istana. Rakyatnya tidak mengendahkan permintaan raja itu sebaliknya lebih suka memuji-muji kebaikan dan kebesaran raja. Jadi golongan yang berfahaman sebegini mengaitkan kisah ini dengan mereka yang suka berzikir. Qias golongan yang berfahaman sebegini telah menghina orang yang berzikir. Mana boleh disamakan kisah tersebut dengan orang yang berzikir kerana orang yang berzikir mempunyai kelebihannya.
Orang yang munafik tidak akan mampu untuk memperbanyakkan zikir. Zikir yangbanyak adalah tanda orang yang beriman. Orang yang berjihad akan berjaya bila ia memperbanyakkan zikir. Orang berjihad tanpa berzikir ibarat kenderaan yang kehabisan minyak. Ulama menyifatkan sahabat Nabi saw seperti berikut, “Di waktu siang, mereka gagah menunggang kuda melawan musuh manakala di waktu malam mereka menangis kerana takutkan Allah”.
Zikir yang banyak mendatangkan kelebihan dan kekuatan rohani. Orang yang berpegang teguh dengan kalimah La Ilaha Illallah tidak akan gentar ketika berada di alam qubur dan Padang Mahsyar. Ketahuilah bahawa zikir La Ilaha Illallah itu menggugurkan dosa orang yang hidup dan yang mati. Kata syeikh ketika memetik pendapat masyaikhnya iaitu al-Allamah Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, “Lazimilah diri dengan bangkit mengerjakan sembahyang tahajud walaupun hanya dua rakaat.” Orang yang merasa kemanisannya pasti akan menambah bilangan rakaat pada malam-malam berikutnya.
Amalan zikir tasbih, tahmid dan takbir juga terlalu banyak kelebihannya. Pernah satu hari Nabi saw memanggil bapa saudaranya iaitu Abbas lalu berkata, “Mahukah kamu hadiah yang akan aku berikan?” Kata Abbas, “Sudah tentu”. Hadiah yang dimaksudkan ialah dengan mengerjakan solat sunat tasbih pada tiap-tiap malam. Atau jika tidak mampu mengerjakan tiap-tiap malam maka lakukanlah sekali seminggu. Atau jika tidak mampu mengerjakannya sekali seminggu maka lakukanlah sekali sebulan. Atau jika tidak mampu mengerjakannya sekali sebulan, maka lakukanlah sekali setahun. Jika tidak mampu mengerjakannya sekali setahun maka lakukanlah sekali seumur hidup.
Pernah orang bertanya Hassan al-Basri kenapa beliau menggunakan tasbih untuk berzikir? Lalu dijawab Hassan al-Basri, “Supaya aku boleh mengingati Allah dengan hatiku, lidahku dan segala anggotaku” (maksudnya hati beliau dapat ditumpukan sepenuhnya kepada Allah Ta’ala).
Ruas-ruas jari juga boleh digunakan untuk menghitung zikir. Nabi saw menyuruh menggunakan ruas-ruas jari agar ruas-ruas jari ini kelak menjadi saksi di Hari Akhirat bahawa kita pernah menggunakannya untuk berzikir. Walaupun ada kalanya hati tidak khusyuk ketika berzikir namun ia tetap mendatangkan faedah kepada orang yang berzikir itu. Ini adalah kerana mulutnya yang berzikir itu tetap menerima ganjaran manakala hatinya lama-kelamaan pasti akan menjadi khusyuk dan turut berzikir sama.
Sesi Soal-Jawab (antara yang sempat dicatat)
Soal
Seorang membeli tanah pada tahun 2000 dengan harga RM 30,000. Pada tahun 2010, harga tanah itu melambung kepada RM 500,000. Tanah itu kemudiannya hendak dijual. Jika dalam tempoh tanah itu hendak dijual ia telah cukup haulnya maka berapakah nilai yang perlu dizakat?
Jawab
Jika mengikut pandangan yang asal iaitu Imam Syafi’I, zakat hendaklah dikeluarkan berdasarkan harga beli. Namun Prof Dr Yusuf al-Qardawi pernah memberikan pendapatnya yang menyatakan bahawa harta seperti tanah ini hendaklah dinilai mengikut harga semasa. Bermakna disini lebih baik jika dinilaikan pada harga RM500,000.
Soal
Amalan zikir mana yang hendak didahulukan? Ratib al-Haddad, al-Attas dan sebagainya?
Jawab
Bahagi-bahagikanlah amalan itu mengikut waktu-waktu tertentu (pagi, petang, malam dan sebagainya) dan yang penting ialah dengan membacanya setiap hari.
Soal
Adakah orang yang tidak tidur malam lalu terus mengerjakan solat malam dikira tahajud?
Jawab
Solat malam disebut tahajud apabila seseorang itu tidur terlebih dahulu kemudian bangkit untuk mengerjakan solat. Adapun bangun tengah malam atau terus mengerjakan solat tanpa tidur terlebih dahulu adalah termasuk dalam amalan qiamullail. Imam Abu Hanifah solat Isyak dan Subuh dengan hanya satu wuduk sahaja. Ini bermakna sepanjang malam, ia mengerjakan amal ibadah sehingga waktu Subuh.

Soal
Pada hari apakah elok kita menanam tumbuh-tumbuhan?
Jawab
Allah mencipta tumbuh-tumbuhan pada hari Isnin maka eloklah kita mengambil berkat dengan menanam pada hari tersebut. Allah mencipta nur pada hari Rabu, Allah mencipta haiwan pada hari Khamis, Allah mencipta Adam pada hari Jumaat dan selanjutnya. Ada amalan yang elok dilakukan pada hari-hari tertentu, misalnya amalan memotong kuku, elok pada petang Khamis atau hari Jumaat. Nabi saw berbekam pada 17, 19 dan 21 hb iaitu pada ketika ‘bulan turun’.

Tausyiah Habib Hassan bin Muhammad Salim al-Attas sempena Sambutan Hari Hol Sayyidah Khadijah al-Kubra

*Catatan bebas ana di Kompleks al-Jenderami pada 31 Julai 2010

Pada malam ini kita menghadiri Hari Hol Sayyidah Khadijah. Kenapa kita menyambut hari hol ini? Kenapa umat Islam di tempat-tempat yang lain juga membuat majlis seumpama ini? Tidak syak lagi, bahawa majlis seumpama ini diadakan bukan sekadar memperingati Sayyidah Khadijah sebagai isteri baginda Rasulullah saw tetapi adalah kerana beliau adalah isteri yang amat-amat dicintai oleh baginda Rasulullah saw. Rasulullah saw sangat mencintai Sayyidah Khadijah. Tidak kira siapa yang berada di hadapannya, samada Aisyah atau isteri-isterinya yang lain, Rasulullah saw tetap akan mengenangkan Khadijah dan menceritakan kisahnya kepada mereka. Sabda Rasulullah saw, “Sesungguhnya Allah swt telah menanamkan rasa mahabbah di dalam qalbu-ku tentang Khadijah”. Justeru, pada malam ini, kita menyambut ulang-tahun kewafatan seorang yang sangat-sangat dicintai Rasulullah saw. Baginda saw pernah bersabda bahawa perasaan cinta itu bukanlah dibuat-buat sebaliknya telah ditanam oleh Allah swt.
Ketahuilah bahawa cinta itu adalah sesuatu mulia dan suci. Rasulullah saw pernah bersabda, “Barangsiapa yang bercinta antara satu sama lain dan merahsiakannya kerana akhlak dan tingkahlakunya dan tidak berbuat dosa dan melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan mati kerana cintanya maka dia masuk syurga”. Khalifah Yazid bn Abdul Malik pernah membeli seorang hamba bernama Hababah dengan harga 100,000 dinar. Beliau sangat menyayangi Hababah namun begitu dengan taqdir Allah, Hababah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Cinta Yazid yang sangat mendalam menyebabkan dia tidak sanggup mengebumikan jenazah Hababah. Jenazah Hababah terbujur berhari-hari sehinga ditegur oleh saudaranya yang bernama Maslamah. Akhirnya beliau akur dan mengebumikannya. Disebabkan beliau terlalu mencintainya, beliau sanggup menggali kubur Hababah semata-mata untuk menatap wajah Hababah. Setelah dipujuk agar mengebumikannya semula, Yazid setuju namun selepas itu beliau tidak keluar-keluar lagi dari biliknya. Pada hari 18, beliau meninggal dunia.
Seorang tabib ditugaskan untuk merawati seorang pemuda yang sedang sakit. Tabib itu berasa hairan kerana bermacam ubat pernah diberikan kepada pemuda itu namun penyakitnya tidak beransur sembuh. Hinggalah pada satu hari, tabib itu meminta dibawakan kepadanya senarai nama-nama gadis di kampung itu. Tabib itu kemudiannya menyebut nama-nama gadis di hadapan pemuda itu. Sampai pada satu nama, berubahlah keadaan pemuda itu dan beransur-ansur menjadi sihat. Kata tabib itu kepada sang ayah, Carilah perempuan ini dan kahwinkanlah ia dengan anakmu. Inilah yang dinamakan mahabbah.
Kenapa Rasulullah saw terlalu cinta kepada Khadijah? Khadijah adalah manusia pertama yang beriman kepada Rasulullah saw. Khadijah adalah orang pertama yang membenarkan seruan Nabi saw ketika orang lain mendustakannya. Khadijah membantu perjuangan Nabi saw dengan seluruh hartanya. Walaupun Rasulullah mempunyai ramai isteri namun zuriat baginda saw datang dari Fatimah, anak kesayangan baginda saw hasil perkongsian hidupnya dengan Khadijah. Abu Nasr al-Sarraj pernah berkata, “Orang yang bercinta cukup taat kepada orang yang dicintainya”. Begitulah keadaannya isteri yang cinta pada suaminya akan taat pada suaminya dan sebaliknya. Ketaatan Khadijah begitu luarbiasa. Apabila turun ayat pertama, Khadijah terus membenarkannya. Inilah tanda mahabbah dan cinta beliau kepada Rasulullah saw. Kata habib, orang yang banyak isteri mungkin boleh berlaku adil pada pakaian, harta dan sebagainya tetapi tidak mungkin boleh berlaku adil dengan cinta. Pasti di kalangan isteri-isterinya itu, ada seorang yang paling dicintainya yang boleh menggetarkan perasaan hatinya tatkala berhadapan dengannya. Kata habib lagi, Kamu tidak mampu berkata-kata tentang cinta kerana mahabbah itu datang daripada Allah. Kata Habib Umar al-Khatib, seorang ulama asal Singapura, “Apabila suami isteri kuat mahabbahnya maka mudahlah mereka mendapat zuriat”. Ketahuilah bahawa mahabbah akan mendatangkan rahmat yang luarbiasa.
Nabi saw berkahwin dengan Khadijah ketika Nabi saw berusia 25 tahun manakala Khadijah berusia 40 tahun. Kenapa Nabi saw berkahwin dengan Khadijah? Allah mentaqdirkan Rasulullah saw berkahwin dengan janda yang pernah melalui alam perkahwinan sebanyak dua kali dan mempunyai dua orang anak. Apa hikmahnya disini? Hikmahnya luarbiasa. Rasulullah saw telah menjalani kehidupan sejak kecil dalam keadaan yatim piatu. Ayahandanya, Abdullah wafat sebelum Rasulullah saw lahir. Bondanya, Aminah wafat ketika Rasulullah saw berusia 6 tahun. Ketika Aminah sedang tenat, beliau memeluk tubuh Rasulullah saw dengan erat. Sehinggalah apabila sampai pada saat wafatnya, beliau tetap memeluk erat tubuh Rasulullah saw. Perlahan-lahan Ummu Aiman melepaskan pelukan Aminah lalu mengambil Rasulullah saw. Sejak itu, Ummu Aiman menjaga Rasulullah saw. Berbalik kepada kisah Khadijah, perkahwinannya dengan Rasulullah saw telah memberikan satu perasaan yang luar biasa kepada baginda saw. Khadijah yang usianya lebih tua memberikan kasih sayang yang sangat luar biasa kepada Rasulullah saw. Khadijah bukan sahaja menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri tetapi juga bertindak sebagai seorang penasihat yang peranannya seperti seorang ibu. Semua ini ada dalam diri Khadijah.
Rasulullah saw pernah tinggal bersama-sama dengan bapa saudara Abi Talib yang hidup dalam keadaan yang sangat sederhana. Setelah dewasa, bapa saudaranya bernama Hamzah mengambil Jaafar (anak Abi Talib) untuk menjaganya manakala Rasulullah saw mengambil Ali (anak Abi Talib juga) untuk menjaganya. Sebelum berkahwin dengan Khadijah, Rasululah saw pernah hidup dengan mengembala kambing. Selepas berkahwin dengan Kadijah, segala perniagaan dan harta Khadijah diserahkan kepada baginda saw untuk diuruskan. Kuntungan Khadijah semakin berlipat kali ganda. Setiap kali untung diperolehi, Rasulullah saw akan memberi sedeqah dan bantuan kepada faqir miskin. Khadijah gembira kerana hartanya diagih-agihkan kepada orang miskin. Sehinggalah pada hari beliau wafat, Rasulullah saw terpaksa meminjam wang untuk membeli kain kafan untuk menutup jenazah Khadijah. Sesungguhnya inilah akhlak yang luar biasa yang dizahirkan oleh kedua pasangan suami isteri yang mulia ini. Apabila mereka mendapat kekayaan dengan senang hati mereka memberikannya kepada orang lain.
Rasulullah saw mempunyai sembilan orang isteri tetapi Rasulullah saw memperolehi zuriat hasil perkahwinannya dengan Khadijah. Semua anak Rasulullah saw wafat kecuali Khadijah. Ketika anak lelakinya, Abdullah wafat, ada seorang lelaki Quraisy berkata kepada Rasulullah saw dengan menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak akan mempunyai zuriat. Lalu turun surah al-Kautsar yang mencela lelaki Quraisy itu. Zuriat Rasulullah saw tidak terputus sebaliknya berkembang biak menerusi anaknya yang bernama Fatimah. Orang Quraisy sentiasa memandang rendah pada golongan perempuan. Salah satu sebab Rasulullah saw berkahwin banyak adalah untuk menunjukkan kepada golongan Quraisy bahawa baginda saw tidak membenci orang perempuan. Pada satu hari Habib Ahmad Muhammad Muhdhor menghadiri solat Jumaat di Makkah. Pada hari itu, imam membaca khutbah yang agak panjang manakala masa solatnya dipendekkan. Selesai solat, Habib Ahmad menegur imam itu dengan katanya, “Engkau tidak ikut sunah. Nabi saw khutbahnya pendek tetapi solatnya panjang”. Terus dia menempeleng imam itu. Polis kemudiannya berusaha menangkapnya. Habib Ahmad lari ke dalam Ma’la. Pada masa itu makam Sayyidah Khadijah mempunyai kubah. Habib Ahmad menyusup masuk ke dalam maqam Sayyidah Khadijah. Sekumpulan polis itu juga masuk ke dalamnya untuk mencarinya. Apabila masuk, mereka gagal menemuinya. Berulang kali mereka keluar masuk kawasan pemakaman itu tetapi tetap tidak berjaya menemuinya. Setelah itu mereka pun pulanglah ke tempat mereka. Tiga hari selepas itu, keluarlah Habib Ahmad dari maqam Sayyidah Khadijah. Keadaannya selepas keluar dari maqam menjadi sangat luarbiasa. Apa sahaja yang dituturkannya pasti akan dikaitkan dengan nama Sayyidah Khadijah. Selepas keluar dari kawasan pemaqaman itu, beliau telah menulis satu qasidah yang masyhur tentang Sayyidah Khadijah. Pada satu hari selepas solat, beliau melihat anak-anak cucunya memenuhi barisan saf dikiri dan kanan. Pada ketika itu, dia tahu bahawa saat wafatnya semakin hampir. Tiga hari selepas itu, ia pun kembali ke rahmatullah.

Syarah Khas Malam Nisfu Sya'ban - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Rembau pada 26 Julai 2010
Hari ini kita berhadapan dengan mazhab-mazhab sesat. Dahulunya telah ada dan kali ini ia muncul kembali. Fahaman khawarij telah bertapak semula. Begitu juga yang lain seperti muktazilah, jabariah, syiah dan sebagainya. Walaupun golongan ini tidak mendaftarkan fahaman mereka sebagai satu persatuan namun fahaman-fahaman tetap menular dan mempunyai pengikutnya. Pada hari ini juga kita dapat lihat betapa orang terlalu menggunakan aqal berbanding naqal. Mereka menggunakan rasional dengan menyatakan sesuatu perkara itu tidak logik atau tidak masuk aqal. Contoh yang paling mudah ialah peristiwa Nabi Ibrahim as yang dibakar dengan api. Bagi mereka, api yang membakar Nabi Ibrahim itu hanyalah simbolik kemarahan Namrud bukannya api yang sebenar. Padahal Nabi Ibrahim memang dibakar dengan api. Nabi Ibrahim as mempunyai sifat tawakkal yang begitu sempurna. Ketika baginda hendak dibakar, Jibril datang turun ke bumi untuk membantunya. Nabi Ibrahim as menolak bantuan Jibril kerana baginda tidak memerlukan pertolongan dari makhluk. Lalu Jibril bertemu hadrat Allah dan Allah berfirman, “Aku akan menolong engkau (Ibrahim)”. Jibril sekali lagi turun menemui Nabi Ibrahim namun sebelum sempat Jibril berkata-kata, Nabi Ibrahim as terlebih dahuluberkata kepada Jibril, “Cukuplah pengetahuan Allah tentang diriku dari aku memohon dan meminta kepada-Nya”. Begitulah tahap kesempurnaan tawakkal Nabi Ibrahim. Seluruh jiwa dan raganya diserahkan kepada Allah untuk menentukannya.
Imam Ibnul Arabi pernah berhadapan dengan golongan mulhid yang tidak percaya kepada peristiwa Nabi Ibrahim dibakar dengan api. Imam Ibnul Arabi memanggil khadamnya membawa pelita. Kemudian lengan bajunya diletakkan di atas api itu. Dengan taqdir Allah, lengan bajunya tidak terbakar. Kata Imam Ibnul Arabi kepada golongan mulhid, “Nah, sekarang cuba engkau letak baju engkau di atas api ini dan lihat samada terbakar atau tidak?” Sambung Ibnul Arabi, “Ketahuilah engkau bahawa api itu membakar atas sebab kekuasaan Allah”.
Imam Ibnul Arabi pernah dituduh zindiq oleh anak murid Sultanul Fuqaha, Imam Izzudin Abdul Salam. Kisahnya begini, dalam satu pengajian ilmu fiqh, anak-anak murid Imam Izzudin berbincang sesama sendiri tentang kalimah zindiq[1]. Lalu bertanyalah si anak murid kepada Imam Izzudin, “Guruku yang mulia, siapakah zindiq zaman ini?” Imam Izzudin senyap. Kemudian, seorang murid yang lain berkata, “Ibnul Arabi adalah seorang yang zindiq”. Imam Izzudin tidak berkata apa-apa. Sehinggalah sampai pada waktu petang, Imam Izzudin menjemput anak-anak muridnya berbuka dengannya. Melihatkan angin gurunya agak baik pada hari itu, khadam Imam Izzudin memberanikan diri untuk bertanya, “ Wahai Tuan Guru yang mulia, siapakah qutub zaman ini?” Pada mulanya Imam Izzudin tidak mahu menjawab namun setelah didesak berulang-kali maka beliau berkata, “Ketahuilah kamu semua bahawa Qutub pada zaman ini ialah Imam Ibnul Arabi”. Tercenganglah sekalian anak muridnya kerana pada siang tadi, apabila anak muridnya berkata Imam Ibnul Arabi adalah zindiq, dia tidak berkata apa-apa. Apabila ditanya oleh anak muridnya tentang hal itu, Imam Izzudin berkata, “Pagi tadi adalah majlis pengajian ilmu fiqh. Orang fiqh tidak menerima Imam Ibnul Arabi. Sebaliknya malam ini adalah majlis ilmu Ahlillah maka di kalangan kami beliau adalah wali Allah yakni wali Qutub zaman ini”.
Imam Ibrahim al-Laqqani pernah berkata, “Dan para Nabi dan Rasul itu disangga atau disokong oleh Allah Ta’ala dengan mukjizat sebagai kemuliaan. Mukjizat itu adalah anugerah dari Allah Ta’ala.” Selanjutnya ulama ASWJ menambah, “Tidak wajib Nabi dan Rasul mendapat mukjizat (maksudnya mukjizat yang tidak dizahirkan) kerana ada di kalangan mereka yang mukijzatnya tidak dizahirkan.” Begitu juga dengan para wali. Ada di kalangan mereka yang karamahnya tidak dizahirkan. Kata ulama ASWJ, “Sesungguhnya penjagaan diri zahir dan batin Nabi dan Rasul itu adalah secara langsung dari Allah Ta’ala. Kalau Nabi dan Rasul dianiayai maka hal itu tidak boleh dianggap mengurangkan darjat mereka sebaliknya ia adalah satu kemuliaan di sisi Allah Ta’ala. Setiap Nabi dan Rasul adalah maksum. Andai kata mereka tidak maksum maka bagaimana umat hendak mencontohi mereka. Ini adalah kerana setiap perbuatan mereka adalah sunnah.
Selanjutnya kata Imam Busiri, “Setiap mukjizat yang datang bersama Rasul itu sesungguhnya adalah berhubung dengan cahaya Rasulullah saw”. Malangnya, ada golongan yang menolak Nur Muhammad. Mereka mensabitkan Nur Muhammad dengan martabat tujuh, syiah dan sebagainya. Ini adalah satu musibah kerana umat Islam tidak mengetahui haqiqat yang sebenarnya. Akhirnya umat Islam sudah tidak berani lagi hendak bermaulid dan berzanji kerana takut dicop syiah dan sebagainya. Padahal penyusun maulid berzanji iaitu Imam Jaafar Barzanji itu adalah seorang tokoh mufi mazhab Syafi’i di Makkah. Imam Syafi’i adalah seorang tokoh besar yang sangat teliti dalam sesuatu perkara. Selesai menulis kitab ar-Risalah, beliau akan membacanya semula di hadapan anak muridnya. Beliau membacanya sehingga 70 kali. Pada setiap kali ia mengulang bacaannya jika didapatinya dalam tulisannya ada kesalahan lalu beliau akan membetulkannya. Begitu juga dengan ulama-ulama besar yang lain yang sangat teliti dalam pekerjaan mereka khususnya yang berkaitan dengan ilmu. Mereka akan sentiasa mengulang-ulang pekerjaan mereka. Tujuannya adalah supaya setiap ilmu itu terus lekat dalam hati mereka. Seorang ulama Yaman dikhabarkan membaca kitab Risalah sebanyak 500 kali sehingga mengkhatamkannya. Asy-Syeikh Ahmad Abdullah Bafadhl mengkhatam Sahih Bukhari sebanyak 1000 kali. Kata syeikh, pernah pada satu hari, ulama bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dalam mimpi itu, ulama bertanya kepada baginda saw, “Adakah tuan akan memberi manfaat kepada Imam Asy-Syafi’i disebabkan salawat yang terdapat di dalam kitab ar-Risalah itu?” Lalu dijawab baginda saw, “Dengan salawat itu, aku mendoakan atas dirinya agar ia dapat masuk ke dalam syurga tanpa hisab”.
Rasulullah saw adalah “matahari kemuliaan”. Nabi dan Rasul lain seumpama bintang-bintang di langit yang hanya menzahirkan cahaya bila ketiadaan matahari. Apabila matahari terbit, maka hilanglah bintang-bintang tersebut. Lalu terserlah matahari sahaja iaitu Rasulullah saw. Kata Hassan ibn Tsabit, Tiada makhluk lain yang paling cantik selain dari engkau ya Rasulullah. Engkau bebas, suci dan bersih dari sebarang keaiban. Seolah-olah engkau diciptakan dengan kehendak diri engkau sendiri ya Rasulullah”. Ketahuilah bahawa mala mini adalah malam Nusfu Sya’aban. Malam di mana roh-roh bergembira. Maka pada malam ini, fana’kanlah diri kita jika kita hendak mengetahui rahsia Allah. Hilangkanlah segala perbuatan dan nama kita. Karamkanlah diri kita dengan Zat dan Sifat Allah. Selepas itu, barulah Allah akan membukakan makrifat kepada kita.
Hadapkanlah hati kita kepada Allah walaupun di saat kita sedang bersama dengan makhluk. Kata Rabiah al-Adawiyah, “Aku jadikan hatiku bermesra, berjinak-jinak dengan Allah Ta’ala. Aku izinkan jasadku dimesrai oleh makhluk lain (yakni keluargaku) tetapi hatiku ini hanya untuk Allah”. Suhail al-Tasturi pernah berkata, “Aku berdamping dengan manusia selama 30 tahun. Mereka menyangka aku berkata-kata dengan mereka padahal aku berkata-kata dengan Allah Ta’ala”.
Kita hendaklah husnu zhon (bersangka baik) kepada Allah Ta’ala. Jadikanlah husnu zhon ini sebagai teman kita. Kata Syeikh, berbaik sangkalah kepada Allah nescaya Allah akan mengkabul dan mengangkat darjat kita. Imam Fakhruddin al-Razi pernah menaqalkan pandangan Imam Zamakhsyari tentang perkara syafaat di Malam Nisfu Sya’aban. Katanya, “Pada malam 13 Sya’aban, Nabi saw memohon kepada Allah Ta’ala untuk mensyafaatkan umatnya. Allah memperkenankan permohonan Nabi saw mensyafaatkan sepertiga umat Nabi saw. Pada malam 14 Sya’aban, Nabi saw memohon lagi kepada Allah Ta’ala dan Allah memperkenankan permohonannya mensyafaatkan dua pertiga umatnya. Lalu pada malam 15 Sya’aban, Nabi saw memohon ke hadrat Allah dan Allah memperkenankan permohonannya untuk mensyafaatkan kesemua umatnya. Oleh yang demikian, kita sebagai umat Nabi saw mestilah berterima kasih kepada Nabi saw atas usaha baginda saw mensyafaat pada diri kita. Imam Tirmizi dalam Sunannya meriwayatkan, Anas bin Malik ra memohon syafaat dari Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw, “Aku akan melakukannya, Insyallah di Hari Akhirat kelak”. Maka perbuatan mensyafaatkan orang lain ini adalah satu sunnah. Maka untuk itu, pada malam yang penuh keberkatan bersempena dengan malam kesempurnaan syafaat baginda Rasulullah saw, marilah kita sama-sama berbaiah, berjanji dengan nama Allah bahawa andai kata di kalangan kita kelak ada yang berjaya di hari Akhirat maka hendaklah ia mengapai tangan orang-orang yang tidak berjaya.[2] Ingatlah bahawa hubungan kita adalah dari dunia hingga akhirat. Memohon pertolongan di akhirat adalah lebih penting dari di dunia.

[1] Kata syeikh, kalimah zindiq berasal dari Parsi. Asal katanya ialah zindain yang bermaksud agama perempuan. Ia merujuk kepada sifat perempuan yang tabiatnya suka menyembunyikan sesuatu
[2] Ijazah musyafahah dengan sanad sampai kepada Rasulullah saw