Monday, May 11, 2009

Sairus Salikin - Bab Rahsia Sembahyang (2)

Pengajian Sairus Salikin karangan Allamah Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani
Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam al-Banjari
*Catatan dibawah adalah catatan bebas ana ketika menghadiri majlis pengajian Syeikh. Apa yang ana catatkan disini tidak merangkumi keseluruhan syarahan Syeikh melainkan bahagian-bahagian yang sempat dicatat oleh ana. Oleh itu, kemungkinan berlakunya kekurangan dan kelemahan semasa mencatat tidak dapat ana elakkan. Justeru, ana memohon berbanyak kemaafan sekiranya catatan ini tidak dapat menyampaikan maksud sebenar Syeikh ketika mensyarahkan bab ini. Sudah tentu syarahan Syeikh yang sebenar lebih meluas isi kandungannya dan lebih jelas penerangannya.Untuk itu, ana menggalakkan agar para pembaca yang membaca catatan ana ini menghadirkan diri ke majlis pengajian Syeikh untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas serta maksud sebenar butir-butir kandungan yang disampaikan oleh Syeikh. Adapun, tujuan ana mencatatkan sebahagian dari syarahan Syeikh adalah untuk memudahkan ana mengingati kembali apa yang telah disyarah oleh Syeikh.




Ketika berhadap dengan Allah, kita hendaklah bersedia dengan apa yang kita miliki. Pertama, mulut. Perkataan kita hendaklah menyatakan bahawa kita menghadapkan diri pada Allah Taala.
Kedua, badan. Badan kita hendaklah menghadap Allah Taala. Ketiga, hati. Hati hendaklah dikosongkan tentang perkara-perkara selain dari Allah Taala.
Kata Syeikh, hamba Allah yang sujud menyangka dia sujud untuk menghampirkan diri kepada Allah padahal sujudnya itu mengundang satu dosa. Dosanya itu pula jika dialihkan pada satu negeri akan membinasakan seluruh penduduk negeri itu. Jadi, bagaimana pula sujud itu boleh mengundang dosa? Jawabnya, sujud itu tidak mentakzimkan dan mentasbihkan Allah Taala. Hatinya ketika sujud masih lagi membesarkan hal-hal dunia. Dia menyangka mendapat pahala tetapi sebenarnya mendapat dosa. Sujudnya itu bukan diniatkan kerana Allah Taala tetapi dengan mengharap sesuatu yang tersirat didalam hatinya.
Tidak semua diantara kita boleh khusyuk didalam sujud. Adakalanya kita mengikut nafsu atau hati tertakluk kepada dunia. Jadi, sebenarnya perbuatan itu mendekatkan kita kepada seksa. Tentang hal ini, jangan pula langsung tidak perlu sujud kerana berpendapat bahawa untuk apa perlu sujud jika sujud itu akan mengakibatkan dosa. Jadi, sebenarnya kita perlu banyak belajar. Belajar tentang sujud yang benar. Caranya ialah dengan mentakzimkan diri sepenuh-penuhnya kepada Allah Taala dengan menyatakan, Ya Allah, Sesungguhnya pendengaranku, penglihatanku, otakku, hatiku tunduk kepada Engkau Ya Allah.
Apabila kita membaca tahiyat (awal dan akhir), ingatlah kita pada Nabi kerana bacaan tahiyat itu berkait-rapat dengan peristiwa Nabi saw bertemu Allah Taala. Nabi memuji Allah dengan melihat Allah. Allah Taala memberi salam ke atas Nabi dan Nabi juga memberi salam dengan tidak lupa menyertakan umatnya didalam salamnya. Begitulah cinta dan kasihnya Nabi pada umatnya. Oleh itu, hadirkanlah dan bayangkanlah rupa Nabi dan anggaplah salam yang kita ucapkan itu adalah salam yang berhubung terus kepada Nabi. Kata Syeikh, sebahagian ulama mendengar Nabi menjawab salam ketika mereka mengucapkan salam keatas Nabi didalam bacaan tahiyat. Kenapa salam yang diucapkan itu dikatakan salam langsung kepada Nabi? Kerana salam itu jika dilihat pada maksud adalah merujuk kepada lafaz yang kedua bukan yang ketiga (ghaib).
Kata Syeikh, diantara tanda-tanda doa yang diqabul ialah doa itu hendaklah disertakan dengan seluruh muslimin-muslimat. Ini bagi menunjukkan kita adalah seorang hamba Allah yang sentiasa berlapang dada dan jauh dari sifat merasa gembira apabila orang Islam yang lain berbuat dosa. Kita hendaklah mendoakan agar semua umat Islam diampunkan dosa-dosa mereka. Sifat syamatah iaitu berasa seronok apabila tengok orang berbuat dosa adalah sifat yang dilarang. Kita hendaklah menjauhi sifat ini. Hikmahnya, bila kita mendoakan orang lain, sebenarnya kita juga telah mendoakan untuk diri kita sendiri. Mendoakan kesejahteraan untuk orang lain bererti mendoakan kesejahteraan untuk diri sendiri jua. Kenapa kita perlu mendoakan rahmat bagi Nabi saw sedangkan Nabi saw itu sudah luar biasa kebaikannya? Jawabnya, apabila kita mendoakan kesejahteraan kepada Nabi saw maka darjat baginda diangkat naik. Apabila darjat baginda meningkat naik maka kita sebagai umatnya juga turut akan mendapat kesejahteraan. Apabila Nabi saw hebat maka umatnya juga adalah hebat. Itulah sebabnya dikatakan kebaikan kita berdoa kepada Junjungan Nabi saw itu sebenarnya akan kembali juga kepada kita. Kita juga akan mendapat kesejahteraan dari Allah Taala kerana mencintai Rasulullah saw. Apalagi diakhir zaman ini, kurangnya guru-guru mursyid yang boleh membimbing anak murid. Para ulama sepakat menyatakan bahawa amalan yang boleh menggantikan kekurangan guru mursyid itu ialah dengan membaca salawat ke atas Nabi saw. Salawat akan membimbing kita dengan rahmat Allah swt. Sebab itu acara-acara tariqah dan majlis ilmu diperbanyakkan dengan bacaan salawat kerana rahmat Allah turun dengan banyaknya dan seterusnya membimbing (irsyad) manusia.
Selesai tahiyat maka kita akan memberi salam. Apabila kita beri salam, kita sebenarnya memberi salam kepada malaikat, jin dan manusia yang berada disisi kita. Kita bersyukur kepada Allah Taala kerana telah berjaya menyempurnakan sembahyang. Tetapi pada masa yang sama kita perlu malu kepada Allah Taala kerana sembahyang yang kita lakukan itu banyak kekurangannya. Maka dengan kekurangan yang ada itu, kita akan cuba dan sentiasa berusaha memperbaikinya. Sembahyang ini adalah ibarat hadiah yang kita berikan kepada Allah Taala. Takut-takut juga hadiah yang kita berikan atau persembahkan itu terlalu banyak kekurangan. Itulah sebabnya kita harus berazam untuk mempersembahkan hadiah yang terbaik.
Kita hendaklah berasa takut kepada Allah tentang sembahyang yang kita lakukan. Takut-takut kalau sembahyang itu mengundang kemurkaan Allah Taala kerana tidak sempurna. Tetapi pada masa yang sama kita perlu berharap kepada Allah Taala. Kerana sebagai manusia, kita terlalu banyak kelemahan. Oleh itu kita berharap agar sembahyang yang kita lakukan itu diterima Allah Taala kerana itulah yang terbaik yang kita mampu lakukan. Harap-harap sembahyang kita itu diterima Allah Taala tetapi pada masa yang sama kita berazam untuk melakukan yang lebih baik.
Kata Syeikh, sembahyang yang tidak baik akan menjadi 'pemukul' yang akan memukul kita kerana hati kita lalai ketika sembahyang. Sifat orang yang beruntung dalam sembahyang ialah
1. Khusyuk
2. Memelihara kekhusyukan sembahyang iaitu dengan membuat yang terbaik dan mengibaratkannya seperti hadiah yang paling baik yang pernah kita persembahkan.
3. Sentiasa menghadirkan hati agar sentiasa khusyuk.
4. Khusyuk itu dikekalkan sehingga diluar sembahyang.

Pada membicarakan adab-adab sembahyang berjemaah

Adab hendaklah dijaga dengan baik oleh imam mahupun makmum. Imam hendaklah disukai makmum. Imam mestilah berbudi pekerti, akhlak yang mulia dan mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Bila ada makmum yang benci atau suka pada seseorang imam maka hendaklah dihitung dari sudut majoriti. Walaubagaimanapun, dalam Islam, majoriti itu tidaklah mutlak kerana orang-orang yang soleh itu tetap diutamakan. Makruh jadi imam jika makmum lebih baik (fasih) bacaannya. Tetapi walaupun makmum lebih fasih, imam itu masih lagi boleh jadi imam. Imam ini dipanggil imamatul mafdhul. Makruh jadi imam jika makmum lebih faqih dalam ilmu fiqh dari imam.
Untuk azan, hendaklah didahulukan dengan wudhu. Makruh azan tanpa wudhu. Makruh juga menghimpunkan imam dan muazzin. Maksudnya, dialah imam dan dialah juga yang azan. Hikmahnya supaya pahala itu dibahagi-bahagikan kepada yang lain.
Ada yang kata tugas imam itu lebih afdhal. Ini adalah berdasarkan kepada tanggungjawabnya keatas makmum. Ada yang kata tugas bilal itu lebih afdhal. Ini adalah kerana ia menyeru orang lain datang ke masjid untuk sembahyang berjemaah.
Imam hendaklah menjaga waktu sembahyang. Sembahyang perlu dilakukan awal waktu kecuali waktu isyak yang boleh dilewatkan. Bila jadi imam, hendaklah sempurnakan wudhu, jaga penampilan akhlak dan peribadi kerana ini penting untuk menjaga hati makmum.
Merapatkan saf ialah dengan cara tumit bertemu tumit dan bahu bertemu bahu. Apabila ini tidak berlaku, maka 'cedera'lah saf. Saf menggambarkan kesatuan ummah. Rosak saf bererti pecahlah kesatuan. Bila kesatuan pecah maka mudahlah syaitan masuk.

No comments:

Post a Comment