Monday, July 19, 2010

Bab pada menyatakan segala zikir (Sairus Salikin) - Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 11 Julai 2010

Segala sesuatu itu berkarat. Begitu juga iman. Untuk itu, iman perlu digilap agar jadi bersih dan cemerlang. Yang menggilapkan iman ialah zikir. Orang yang berzikir adalah oang ‘hidup’ manakala orang yang tidak berzikir ibarat orang yang mati. Sabda Nabi saw dengan maksudnya, “ Jangan jadikan rumah kamu itu kubur. Jadikan rumah kamu itu hidup dengan berzikir”. Orang yang kaya jika berzikir akan menambahkan lagi keberkahan kekayaannya. Allah mengingatkan hamba-Nya agar mencari rezeki tetapi pada masa yang sama jangan mengabaikan zikir. Zikir tanda syukur kepada Allah ta’ala. Tidak berzikir tanda kufur iaitu tidak berterima kasih kepada Allah Ta’ala. Hati perlu di’berus’ dengan zikrullah. Kelebihan zikir ialah ia boleh menutup atau menampung kekurangan yang ada. Zikir adalah satu amalan yang sangat berkesan dalam mencuci hati. Bila hati menjadi bersih maka mudahlah ‘nur’ masuk ke dalam badan. Ini adalah kerana hati merupakan raja kepada diri. Maka atas sebab itulah, zikir sangat penting dalam amalan tariqat. Dalam tariqat yang muktabar, ada 3 perkara yang menjadi amalan di mana amalan ini merupakan keperluan makanan rohani yang seimbang. Tiga perkara tersebut ialah istighfar, salawat dan tahlil.
Orang munafik tidak upaya berzikir dengan banyak. Atas sebab itu, memperbanyakkan zikir boleh melepaskan diri dari sifat munafik. Bersahabatlah dengan orang yang banyak berzikir. Orang yang banyak berzikir ini boleh memberi perangsang kepada kita untuk berzikir. Zikir mengandungi banyak manfaat. Antaranya ialah seperti,
1. Mengingatkan orang-orang yang lalai. Perbuatan seseorang yang berzikir boleh mengingatkan orang lain untuk mengingati Allah.
2. Amalan zikir itu lebih baik dari berperang sabil dan menderma emas dan perak. Ayat ini jangan pula disalah tafsir. Maksud ayat ini ialah hanya untuk menyatakan akan kelebihan mengerjakan amalan zikir bukannya dengan meninggalkan amalan berjihad di jalan Allah dan mengeluarkan harta ke jalan Allah.
3. Allah memberi ganjaran yang lebih baik kepada orang yang berzikir dari orang yang meminta.
4. Zikir menghilangkan akhlak mazmumah (tercela) di dalam hati. Zikir yang dibimbing oleh guru yang mursyid boleh membantu menghilangkan penyakit hati yang ada pada diri seseorang.
Kelebihan berzikir secara berjemaah
Allah berbangga dengan hamba-Nya yang mengerjakan amalan zikir secara berjemaah di hadapan para malaikat. Allah memerintah malaikat agar pergi melihat hambanya yang berzikir secara berjemaah. Kata para malaikat apabila mengadap Allah, “Kami melihat mereka memohon syurga walaupun mereka tidak pernah melihat syurga. Andaikata mereka melihat syurga nescaya akan bertambah kuatlah zikir mereka . Mereka juga memohon perlindungan dari api neraka walaupun mereka tidak melihatnya. Andaikata mereka melihat api neraka nescaya akan berteriaklah mereka dengan lebih kuat untuk memohon agar dijauhi darinya. Ada juga golongan yang tidak berzikir tetapi berada di kawasan itu. Adakah mereka termasuk juga?” Firman Allah Ta’ala, “Aku ampunkan semua itu”.
Amalan zikir dapat menggantikan kejahatan dengan kebaikan. Besar dosa akan digantikan besar pahala di hari Qiamat. Mereka yang tidak menyelitkan majlis zikir dan salawat dalam satu perhimpunan akan menyesal pada hari Akhirat. Oleh itu, kita hendaklah membentuk suasana majlis atau perhimpunan agar diisi dengan zikir. Satu majlis zikir menghapuskan dua juta tempat perhimpunan kejahatan. Duduk berzikir menghapuskan dosa kecil (dosa besar perlu istighfar dan bertaubat). Zikir mampu menyatukan pelbagai bangsa manusia. Sekelompok manusia dari pelbagai bangsa duduk berzikir untuk mengharap redha Allah Ta’ala. Orang yang banyak berzikir akan diperlihatkan tempat yang akan didudukinya di syurga kelak ketika hayatnya di dunia lagi atau diperlihatkan oleh orang lain akan kedudukan dirinya di syurga kelak. Sebab itu, mereka yang banyak berzikir akan tersenyum ketika menghadapi saat-saat kematian.
Seseorang yang berada dalam satu perhimpunan yang melalaikan lalu ia berzikir maka ia akan mendapat pahala sebilang-bilang segala manusia dan binatang. Seseorang yang berzikir ketika berada di pekan akan mendapat nur di hari Qiamat. Kedua-dua tempat tersebut adalah tempat yang sangat susah untuk mengerjakan zikir. Justeru, bagi sesiapa yang upaya melakukannya maka ia mendapat ganjaran pahala yang sangat besar dari Allah Ta’ala. Berzikir beramai-ramai mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya ialah seperti mendatangkan semangat kepada seseorang untuk berzikir dan menarik orang yang lalai dan malas untuk mengerjakan zikir bersama-sama. Orang yang lalai dan malas pasti akan berasa segan jika tidak berzikir apabila duduk bersama-sama dalam satu majlis zikir. Bahkan orang yang mendengar orang lain berzikir juga akan mendapat pahala jika duduk bersama-sama dalam majlis tersebut.

Syarah Khas Israk dan Mikraj - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Dar al-Maliki pada 9 Julai 2010
Iman adalah membenarkan (tasdiq) apa-apa yang dibawa Nabi saw tanpa ada sebarang keraguan dan syak wasangka. Peristiwa Isra’ dan Mikraj adalah satu peristiwa yang wajib diimani walaupun ianya berlaku di luar jangkauan akal manusia. Seseorang itu perlu mempunyai iman yang kental dan keyakinan yang tulus terhadap kudrat Allah Ta’ala. Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj, Abu Bakar as-Siddiq telah membenarkan kata-kata Nabi saw sehingga beliau mendapat gelaran As-Siddiq dari Allah Ta’ala. Apapun, bukan semua manusia meyakini peristiwa ini. Di zaman Rasulullah saw, ada yang menjadi murtad kerana imannya yang begitu nipis. Orang kafir pula bertambah kufur kerana yakin bahawa Rasulullah saw membawa cerita dusta kepada mereka. Sebaliknya orang-orang yang kental imannya akan menjadi semakin teguh imannya apabila mendengar kisah ini. Begitu juga yang berlaku pada hari ini. Ramai yang engkar kepada peristiwa ini apabila mereka mula membuat andaian sendiri sehingga menjahanamkan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jumaah (ASWJ) yang meyakini sesuatu mukjizat yang dikurniakan kepada para nabi. Sesungguhnya mukjizat memang bertentangan dengan adat kebiasaan kerana ia merupakan kurniaan Allah kepada para nabi. Kepada para wali Allah, mereka dikurniakan karamah. Allah Ta’ala mengurniakan karamah kepada Asif Barkhayya seorang wali Allah yang mampu memindahkan istana Ratu Balqis dari negeri Yaman ke negeri Syam dalam tempoh yang singkat. Dan Allah Ta’ala juga telah memendekkan masa perjalanan Nabi saw dari Makkah ke Baitul Maqdis kerana ia merupakan kurniaan mukjizat Allah Ta’ala kepada Nabi saw. Malangnya peristiwa ini menjadi ujian bukan sahaja kepada manusia di zaman Rasulullah saw tetapi juga kepada manusia di zaman ini apabila ada di kalangan manusia yang mengengkarinya. Dalam hal sebegini, ASWJ sepakat menyatakan bahawa apabila akal bertentangan dengan naqal yakni Al-Quran dan Hadith maka tolaklah akal.
Ketahuilah bahawa setiap inci perjalanan Nabi saw mengandungi rahsia dan iktibar dan ianya hanya diketahui oleh orang-orang yang dibukakan pintu hatinya oleh Allah Ta’ala. Ada orang yang dibukakan pintu hatinya tentang ilmu-ilmu dunia seperti mempunyai kemahiran untuk membaiki kereta, menemui ramuan ubat dan sebagainya tetapi belum tentu mereka dibukakan pintu hati mereka untuk memahami peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini. Sebagai contoh, tidak ramai yang tahu bahawa kefarduan solat lima waktu telah diperintah Allah Ta’ala dalam peristiwa ini. Dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini, setiap perjalanan Nabi saw mempunyai hikmah tersendiri. Nabi saw bertemu Nabi Adam di langit pertama. Pertemuan ini memberi peringatan kepada Nabi saw tentang peristiwa Nabi Adam as yang berpindah dari syurga ke bumi akibat perbuatan khianat. Nabi Adam dikhianati Iblis sehingga baginda terpaksa berpindah dari tempat yang mulia ke tempat yang lebih rendah darjatnya. Begitu juga yang berlaku kepada Nabi saw apabila baginda saw dikhianati oleh kaum kafir Quraisy sehingga menyebabkan baginda saw berpindah dari Makkah, sebuah kota suci ke Madinah yang asalnya hanya sebuah kota biasa.
Di langit kedua, Nabi saw bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya. Pertemuan ini memberi peringatan kepada Nabi saw tentang tipu helah orang Yahudi yang berusaha hendak menghapuskan Nabi Isa dan Nabi Yahya. Nabi Isa kemudiannya diangkat ke langit manakala Nabi Yahya dibunuh. Nabi saw juga berhadapan dengan ancaman Yahudi yang sentiasa berusaha hendak membunuhnya. Di langit ketiga, Nabi saw bertemu Nabi Yusuf. Pertemuan ini mengingatkan peristiwa pengkhianatan adik-beradik Nabi Yusuf yang berusaha hendak membunuhnya. Nabi Yusuf kemudiannya mengampuni kesalahan adik-beradiknya. Nabi saw juga begitu apabila kerabatnya sendiri memusuhinya seperti Abbas bin Abdul Muttalib (bapa saudara) dan Aqil bin Abi Talib (sepupu) tetapi mereka kemudiannya mengikut perjalanan Nabi saw dan Nabi saw memaafkan kesalahan mereka.
Di langit keempat, Nabi saw bertemu Nabi Idris. Nabi Idris berkeahlian di dalam bidang penulisan. Pertemuan ini memberi peringatan kepada Nabi saw bahawa Islam akan berkembang menerusi mata pena (penulisan). Nabi saw kemudiannya mempunyai jurutulis yang menghantar surat kepada Raja Rom, Kisra dan sebagainya untuk tujuan dakwah Islam. Di langit kelima, Nabi saw bertemu Nabi Harun. Nabi Harun amat disayangi oleh kaumnya, Bani Israil. Begitu juga dengan Nabi saw di mana selepas peristiwa pembukaan kota Makkah, baginda amat disayangi oleh semua orang Quraisy.
Di langit keenam, Nabi saw bertemu Nabi Musa. Nabi Musa dimusuhi oleh pemerintah iaitu Firaun. Nabi saw juga kemudiannya dimusuhi oleh penguasa Makkah iaitu Abu Jahal dan pemimpin Madinah iaitu Abdullah bin Ubai. Di langit ketujuh, Nabi saw bertemu Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim pada ketika itu sedang duduk mengadap Baitul Makmur yang diibaratkan seumpama Kaabah di langit. Nabi saw kelak kemudiannya berjaya membersihkan Kaabah dari sebarang unsur berlaha Jahiliyah.

Syarah Khas Kitab "Melihat Nabi saw dan 100 Kaedahnya" - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Dar al-Maliki pada 8 Julai 2010
Rasulullah saw merupakan wasilah (perantara) yang menghubungkan antara kita dengan Allah Ta’ala. Justeru itu, kita tidak boleh memisahkan diri kita dari Rasulullah saw, jika tidak kita akan terpisah dengan Allah Ta’ala. Kata ulama, “Sesungguhnya engkau ya Rasulullah saw adalah pintu Allah bagi setiap manusia”. Maksudnya disini ialah orang yang hendak gapai redha Allah mestilah gapai redha Nabi saw dahulu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa syurga ini terletak di bawah telapak kaki Nabi saw. Ini adalah kerana nama Nabi saw sendiri bermaksud al-Hasyir iaitu seorang manusia yang akan dihimpunkan seluruh makhluk dibawah telapak kakinya. Pada hari ini, kita ditimpa musibah. Manusia tidak kenal Nabi saw dengan sebenar-benar pengenalan.
Hari ini ramai yang menyembah dan sujud kepada Allah tetapi yang menyembah dan sujud hanya jasad. Sedangkan hati yang merupakan tempat pandangan Allah tidak pernah sujud kepada Allah Ta’ala. Keadaan ini ibarat seorang manusia yang membawa jasadnya yang kosong tanpa roh. Maka Allah tidak akan menerima ibadat seperti ini. Allah tidak akan menerima amal ibadat yang tidak disertai dengan hati yang tunduk kepada Allah Ta’ala. Ibadah hendaklah dilakukan secara zahir dan batin. Ibadah memerlukan pengenalan yang sebenar-benarnya. Kata ulama, awal agama ialah mengenal Allah. Atas sebab itu Imam al-Ghazali pernah berkata, “Tidak sah ibadat seseorang melainkan mereka mengenal apa yang disembah”. Maka kita sebagai abid hendaklah mengenal ma’bud (yang diibadati) iaitu Allah Ta’ala. Maka kata ulama selanjutnya, “Tidak akan kenal ma’bud engkau melainkan engkau kenal penghulu engkau yakni Rasulullah saw”.
Ketahuilah bahawa tidak ada seorang pun yang mampu memahami zat Allah. Ini adalah kerana ceteknya dan lemahnya akal seseorang tentang hakikat ketuhanan. Pengetahuan seorang hamba terhadap Tuhannya adalah selemah-lemah akal dari memahaminya. Justeru, akal tidak disediakan untuk mengenal hakikat Allah. Maka atas sebab itu, cerdik akal seseorang itu bukanlah penentu untuk seseorang itu mengenal Allah. Jika cerdik akal menjadi penentu maka kenapa ramai orang cerdik menjadi sesat manakala orang bodoh pula mendapat hidayah? Lalu hidayah dan sesatnya seseorang itu bukan bergantung kepada kecerdikan akal tetapi kepada kekuatan rohani. Andai kata akal itu menjadi penentu kesesatan dan hidayah maka tidak mungkin ramai yang menjadi sesat pada zaman ini. Tetapi kenapa ramai orang menjadi sesat dan murtad pada zaman ini?
Merujuk kepada peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Allah tidak membersihkan akal Nabi saw tetapi Allah membersihkan hati Nabi saw. Sebelum isra’ Nabi saw dibelah dadanya dan dicuci rohnya. Allah Ta’ala tahu hambanya yang lemah tidak dapat menggapai makrifat maka Allah menciptakan satu makhluk dan menyempurnakan makhluk itu yakni Nabi Muhammad saw. Dengan kesempurnaan Nabi saw dan kecantikan Nabi saw maka manusia dapat mengenal kesempurnaan dan kecantikan Nabi saw. Walaubagaimanapun, kesempurnaan Nabi saw tidak bermakna sama dengan kesempurnaan Allah. Apa yang dimaksudkan disini ialah Allah meletakkan syarat bahawa jikalau seseorang itu hendak mengenal Allah maka seseorang itu mestilah mengenal kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad saw terlebih dahulu. Begitu juga jika hendak Allah mengasihi dirinya maka hendaklah dia mengasihi kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad saw.
Kata Imam Sayyid al-Bakari, “Sesungguhnya engkau ya Rasulullah saw adalah pintu bagi seseorang untuk menuju ke hadrat Allah Ta’ala”. Untuk menuju ke hadrat Allah, seseorang mesti masuk ikut pintu Nabi saw. Untuk masuk pintu Nabi saw, seseorang mesti mengikuti pintu ulama. Orang yang belajar ilmu Tauhid iaitu dengan mempelajari sifat wajib, mustahil dan harus belum tentu dapat mengenal Allah. Sebab itu kata masyaikh syeikh, “Belajar sifat 20 itu bukan untuk mengenal Allah tetapi untuk memuaskan hati meyakini kewujudan Allah”. Ramai orang belajar Sifat 20 tetapi belum tentu mereka dapat mencapai kesempurnaan makrifat. Ini adalah kerana yang dipelajari itu adalah berkaitan dengan khabar Allah Ta’ala sedangkan Saiyidina Ali kwh pernah meriwayatkan hadith yang bermaksud, “Tidaklah khabaran/cerita itu sama dengan apa yang dilihat”. Ketahuilah amat bahaya kesannya jika tersalah mensifatkan Tuhan. Ini adalah kerana hadith ada menyatakan bahawa kelak di Padang Mahsyar, akan digambarkan manusia dengan tuhan masing-masing. Jika ketika hidup seseorang itu beriktiqad bahawa tuhan itu bertangan seperti manusia dan sebagainya maka sesatlah ia di Padang Mahsyar kelak. Imam al-Ghazali sebagai seorang mahaguru pernah satu masa merasakan bahawa hakikat ketuhanan tidak mungkin hanya diisi dalam kepalanya sahaja. Lalu beliau meninggalkan kedudukan, jawatan dan jubah kebesarannya sebagai seorang sarjana besar untuk bermusafir mencari hakikat ketuhanan. Akhirnya Imam al-Ghazali menemui satu jalan setelah beliau menempuhi pelbagai jalan iaitu jalan tasawwuf. Ketahuilah bahawa ilmu tauhid itu hanya untuk memenuhkan akal. Apabila akal telah dipenuhi maka hati perlu dimantapkan dan caranya ialah dengan melalui jalan tasawwuf.
Nabi Ibrahim as yakin bahawa Allah Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan. Tetapi kenapa Nabi Ibrahim as memohon kepada Allah agar Allah memperlihatkan kekuasaan-Nya menghidup dan mematikan? Ini adalah kerana walaupun Nabi Ibrahim as mempunyai ilmu dan yakin bahawa Allah boleh menghidup dan mematikan sesuatu namun baginda tetap hendak menenangkan hatinya iaitu dengan melihat Allah. Begitu juga dengan kita. Kita yakin kepada Allah tetapi tetap hendak menenangkan hati kita dengan musyahadah (melihat) Allah. Orang-orang yang benar-benar melihat Allah akan dapat mengecap nikmat yang sempurna. Nabi saw tidak pernah memasuki sekolah tetapi Nabi saw dibawa melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh makhluk. Kita membaca sifat Nabi saw tetapi ianya tidak memadai jika kita tidak memahaminya. Justeru untuk mengenali Rasulullah saw maka ia bukan setakat melalui pemikiran tetapi juga dengan melihatnya. Atas sebab itulah para ulama bermujahadah untuk bersama-sama dengan Rasulullah saw di dalam mimpi mereka. Al-Allamah Sayyid Muhammad Alawi pernah bermimpi bertemu Nabi saw. Dalam mimpinya itu, Rasulullah saw tidak membenarkan beliau mengandam (mengemaskan) janggutnya. Katanya, itu adalah tanda bahawa usianya sudah sampai. Begitu juga dengan Syeikh Soleh al-Jafari. Ketika beliau berhajat hendak mencukur janggutnya maka beliau didatangi Rasulullah saw dalam mimpinya dengan berkata, “Kenapa engkau hendak menyalahi sunnahku?” Dalam peristiwa yang lain, Syeikh Soleh pernah mengunjungi maqam Saiyidina Hussain di Mesir setelah memakan bawang. Setelah itu beliau tertidur dan bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dalam mimpinya itu, Rasulullah saw menegurnya dengan berkata, “Kenapa engkau menziarahi cucuku dengan keadaan mulut berbau?”

Mukjizat Isra’ dan Mi’raj - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Dar al-Maliki pada 4 Julai 2010
Di langit kedua, Nabi saw bertemu dengan Nabi Isa as dan Nabi Yahya as. Nabi Isa dan Nabi Yahya bertubuh tampan. Nabi saw mengibaratkan rupa Nabi Isa dan Nabi Yahya dengan Urwah ibn Mas’ud al-Thaqafi. Urwah adalah duta kepada orang kafir Quraisy yang dihantar untuk membincangkan isi-isi perjanjian Hudaibiyah dengan umat Islam. Urwah telah menyaksikan kehidupan sehari-hari para sahabat dan Rasulullah saw. Beliau melihat sendiri bagaimana para sahabat sangat menghormati, memuliakan dan mengasihi baginda saw sehingga sanggup berebut-rebut untuk mengambil air wudhu Nabi saw dan sebagainya. Urwah kemudiannya memeluk agama Islam.
Di langit ketiga Nabi saw bertemu dengan Nabi Yusuf as. Nama Nabi Yusuf adalah berasal dari kata Asif yang bermaksud sedih. Ini adalah kerana Nabi Yusuf mengalami pelbagai ujian semenjak dari usia kecil seperti berpisah dengan ahli keluarganya dan sebagainya. Nabi Yusuf adalah seorang Nabi yang dikurniakan tubuh badan yang sangat tampan. Baginda dikurniakan Allah separuh ketampanan Rasulullah saw. Rasulullah saw adalah secantik-cantik makhluk Allah. Nabi Daud dikurniakan suara yang merdu tetapi suara Nabi saw jauh lebih merdu dari itu. Kata Imam al-Qurtubi, “Sesungguhnya ketampanan dan kecantikan Nabi saw itu disembunyikan Allah Ta’ala. Jikalau ianya dizahirkan nescaya tidak ada sesiapapun yang berani memandangnya”.
Di langit keempat, Nabi saw bertemu Nabi Idris as. Di langit kelima, Nabi saw bertemu Nabi Harun as. Nabi Harun mempunyai janggut yang panjang sehingga hampr-hampir mencecah pusat. Apapun, janggut mengikut sunnah Nabi saw adalah mengikut ukuran janggut yang dapat dicekak atau digenggam dimana lebihan janggut yang melepasi cekak atau genggam itu hendaklah dipotong. Misai pula tidak boleh disimpan melebihi bibir. Nabi saw pernah menegur Bilal kerana tidak menjaga misainya dengan baik. Ketika minum, misai Bilal termasuk ke dalam susu yang diminumnya dan keadaan itu menyebabkan Nabi saw berasa tidak selesa. Dalam pertemuan Nabi saw dengan Nabi Harun, Nabi saw dapat melihat betapa Nabi Harun adalah seorang Nabi yang lemah-lembut yang sangat disukai kaumnya. Di langit keenam, Nabi saw bertemu Nabi Musa as. Nama Nabi Musa adalah berasal dari bahasa Ibrani yang bermaksud “ditemui di air di celah pokok”.
Di langit keenam, Nabi saw dapat melihat ada nabi-nabi yang mempunyai ramai pengikut, ada yang sedikit pengikut dan ada juga yang tidak mempunyai pengikut. Nabi Nuh dikurniakan usia yang panjang iaitu 950 tahun tetapi hanya mempunyai sedikit pengikut. Pengikut Nabi Musa as adalah yang kedua teramai selepas umat Nabi Muhammad saw. Tempoh dakwah Nabi saw tidaklah lama tetapi baginda saw mempunyai pengikut yang paling ramai. Bilangan para sahabat terlalu ramai sehinggakan tidak ada yang mampu mencatatkan kesemua nama-nama para sahabat. Adalah menjadi harapan Nabi saw agar umat Islam bertambah dari segi kuantiti dan kualiti. Kuantiti merujuk kepada bilangan umat Islam yang semakin bertambah manakala kualiti merujuk kepada iman yang semakin teguh. Sebanyak 70,000 orang dari umat Nabi saw akan memasuki syurga tanpa hisab. Dan setiap dari mereka itu akan membawa pula 70,000 orang untuk masuk syurga tanpa hisab. Dan setiap dari mereka itu pula akan membawa 70, 000 untuk masuk syurga tanpa hisab. Nabi saw kemudiannya bertemu Nabi Ibrahim di langit ketujuh. Nama Nabi Ibrahim bermaksud “bapa yang penyayang”. Peristiwa Nabi saw menziarahi para Nabi ini menunjukkan bahawa perbuatan menziarahi orang-orang alim itu adalah merupakan sunnah Nabi saw. Kata ulama, tidak ada amal yang paling mulia melainkan berdiri di hadapan waliyullah (alim-ulama) walaupun tempohnya sangat singkat iaitu sekadar memerah susu kambing. Berdiri di hadapan waliyullah samada waliyullah itu masih hidup ataupun telah mati adalah lebih afdhal dari perkara amal yang lain. Ini adalah kerana ia menunjukkan tanda kasih kita kepada para ulama. Tanda kita mencintai Rasulullah saw adalah dengan mengasihi para ulama. Tanda kita kasih kepada Allah Ta’ala adalah dengan mengasihi Rasulullah saw.

Mukjizat Isra’ dan Mi’raj - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Dar al-Maliki pada 3 Julai 2010
Selepas menunaikan solat (yang diimamkan oleh Nabi saw), para nabi kemudiannya berbincang tentang hari Qiamat. Perbincangan mereka tentang hari Qiamat menunjukkan betapa hari Qiamat itu sangat penting bagi umat Islam. Hari Qiamat sangat penting kerana ia menjadi penentu samada seseorang itu beroleh kebahagiaan atau sebaliknya. Tarikh bila berlakunya hari Qiamat tidak diketahui oleh sesiapa jua pun melainkan Allah Ta’ala. Apabila Nabi saw ditanya Jibril as tentang bilakah berlakunya hari Qiamat, Nabi tidak menjawabnya sebaliknya Nabi menyerahkan balik pertanyaan itu kepada Jibril as. Lalu Jibril as berkata, “ Tunjukkan padaku alamatnya”. Maka Nabi saw memberikan jawapan tentang alamat Qiamat sahaja. Tidak pernah Nabi saw memberitahu akan tarikh berlakunya hari Qiamat. Justeru jika ada pandangan yang menyebut tentang tarikh berlakunya hari Qiamat adalah pada sekian dan sekian maka pandangan itu adalah dusta kerana Nabi saw sendiri pun tidak pernah menyebut tentang tarikh berlakunya hari Qiamat. Begitu juga dengan pertanyaan dimanakah Allah. Pernah sahabat bertanya Nabi saw tentang perkara itu tetapi tidak menjawabnya. Sebaliknya Nabi saw menjawabnya berdasarkan firman Allah, “Apabila hamba-Ku bertanya dimana Aku maka jawabnya Aku hampir dan dekat kepada orang yang memohon pada-Ku”. Dengan itu, nyatalah bahawa kedua-dua perkara ini iaitu bila berlakunya hari Qiamat dan dimana Allah berada hanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahuinya.
Perbincangan ataupun muzakarah yang berlaku antara para nabi itu menunjukkan bahawa para nabi tetap berkeinginan hendak menuntut ilmu walaupun mereka sebenarnya telah wafat. Ini adalah kerana kecintaan mereka yang begitu mendalam terhadap ilmu. Sementara tradisi ataupun amalan para sahabat dalam majlis ilmu ialah mereka tidak akan berpisah dalam sesuatu majlis melainkan mereka merasai sesuatu makanan dan minuman. Hikmahnya ialah untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain. Kembali kepada peristiwa Isra’, Rasulullah saw kemudiannya berasa haus setelah menempuh perjalanan yang jauh. Ketika dihidangkan minuman oleh Jibril as, Rasulullah saw memilih air susu untuk diminumnya. Pemilihan air tersebut menunjukkan bahawa susu adalah simbol Islam dan juga simbol ilmu. Sebab itulah pernah ulama berkata bahawa sesiapa yang bermimpi meminum susu maka itu tanda mimpi yang baik.
Rasulullah saw kemudiannya dimi’raj dengan menaiki Tangga Rabbani. Bagaimana rupa bentuk tangga ini tidaklah dapat dibayangkan dengan pancaindera. Rasulullah saw dan Jibril kemudiannya sampai pada pintu langit yang pertama yang tertutup. Pintu ini hanya dibenarkan dibuka bagi menyambut kedatangan Nabi Muhammad saw . Di langit pertamalah, Nabi saw bertemu Nabi Adam as. Roh orang-orang yang suci menggembirakan Nabi Adam dan Nabi Adam berdoa agar mereka dimasukkan ke dalam syurga yang tertinggi iaitu Syurga Iliyyin. Manakala roh yang kotor akan dimasukkan ke dalam neraka Sijjin. Kata syeikh, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Muhammad saw melaksanakan 3 perkara berikut,
1. Jangan menyedihkan hati Nabi saw apabila melihat amalan kita. Jangan sampai amalan buruk kita sampai kepada Nabi saw.
2. Berilah kegembiraan kepada Nabi saw dengan mempersembahkan amalan taat kita.
3. Jadikanlah hati Nabi saw agar belas kasih kepada kita.
Kita juga kelak akan berasa gembira jika dipertontonkan dengan amalan baik segala keturunan kita. Dalam hal ini, ianya jelas menunjukkan bahawa Islam tidak memutuskan hubungan antara orang yang hidup dengan orang yang mati. Hanya golongan Muktazilah dan yang sealiran dengannya sahaja yang mengatakan bahawa amalan seorang yang hidup tidak sampai kepada orang yang telah mati. Dengan kata lain, kedua-duanya iaitu yang hidup dan yang mati tidak mendapat manfaat antara satu sama lain. Sedangkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) menyatakan bahawa kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Antara dalil yang menunjukkan bahawa orang yang mati dan orang hidup itu saling memerlukan antara satu sama lain ialah dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu sendiri apabila Allah swt memfardukan 50 waktu solat kepada umat Nabi Muhammad saw. Yang mencadangkan kepada Nabi saw supaya memohon ke hadrat Allah swt agar dikurangkan bilangan waktu itu ialah Nabi Musa as. Nabi Musa as pada waktu itu telah pun wafat tetapi baginda telah memberi bantuan kepada Nabi saw dengan mengemukakan cadangan tersebut. Jadi ini adalah salah satu bukti yang menunjukkan bahawa orang yang telah wafat boleh menolong orang yang masih hidup.
Kenapa solat jenazah disyari’atkan? Tujuannya adalah sebagai petanda bahawa orang yang mati mendapat manfaat dari orang yang masih hidup. Orang yang masih hidup menolong orang yang telah mati dengan melaksanakan solat jenazah di mana dalam solat tersebut mereka memanjatkan doa agar si mati mendapat keampunan dari Allah Ta’ala. Sahabat yang pertama dikebumikan di Baqi’ ialah Uthman bin Maz’un. Nabi saw sangat menyayangi para sahabat. Nabi saw tidak pernah berenggang dengan mereka lebih dari 3 hari. Jika Nabi saw mendapati ada sahabat yang tidak hadir dalam majlis ilmunya lebih dari 3 hari maka baginda saw akan menziarahinya. Baginda saw menziarahi Uthman apabila mendapati Uthman tidak hadir ke majlis ilmunya dalam tempoh tersebut. Nabi mengucup wajah Uthman dan para sahabat melihat air mata baginda saw berbekas di atas pipi Uthman. Uthman kemudiannya wafat dan dikebumikan di Baqi’. Nabi saw kemudiannya memerintahkan sahabat agar mengambil batu besar untuk dijadikan tanda maqam Uthman. Kata baginda saw, dengan adanya tanda batu itu mudahlah baginda saw untuk mengebumikan ahli keluarganya kelak. Batu itu agak besar sehingga para sahabat berkata, sangat hebat jika orang itu mampu melompat ke atasnya. Peristiwa ini menjadi dalil bahawa meletakkan batu nisan sebagai tanda kepada sesebuah maqam bukanlah satu kesalahan.
Jangan kita putuskan hubungan antara orang yang hidup dengan orang yang mati. Jangan biarkan si mati tertunggu-tunggu hadiah surah al-Fatihah dari ahli keluarga dan kerabatnya. Orang yang menyatakan bahawa tidak ada hubungan di antara orang yang hidup dengan orang yang mati bermakna ia juga tidak meyakini peristiwa Isra’ dan Mi’raj kerana dalam peristiwa itu Nabi saw berhubungan dengan para nabi yang hampir kesemuanya telah wafat. Ketahuilah bahawa segala amalan kita diperlihatkan kepada ahli keluarga kita yang telah medahului kita. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Hanbal dengan maksudnya seperti berikut, “Diperlihatkan kepada kamu amalan kaum kerabat kamu yang masih hidup. JIka melihat amalan kebaikan maka mereka berasa gembira. Jika melihat amalan buruk mereka akan berdoa, “Ya Allah, Jangan Engkau matikan mereka sehingga Engkau kurniakan petunjuk sebagaimana Engkau kurniakan petunjuk kepada kami”. Hal ini jelas menunjukkan bahawa ahli keluarga kita yang telah mendahului kita mendoakan kepada kita. Itulah rahsia para ulama menziarahi maqam-maqam para wali dan orang-orang yang soleh. Pada malam Nisfu Sya’aban, Nabi saw menziarahi Baqi’ meninggalkan Aisyah dirumah untuk berada di sisi maqam para sahabat yang kebanyakannya syahid untuk sujud kepada Allah Ta’ala. Justeru tempat tersebut (yakni Baqi’) dinaungi para malaikat yang tidak henti-henti beristighfar kepada Allah Ta’ala lalu Allah menurunkan rahmat-Nya.