Sunday, January 31, 2010

Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang selepas solat asar 31 Januari 2010
Kalam Hikmah Abi Madyan
“Tiada bermanfaat suatu amalan yang disertai sifat takabbur, tidak memudharatkan pahlawan yang mempunyai sifat tawadhu’. Jika Allah mendirikan kamu nescaya akan tetap pekerjaan kamu. Jika kamu berdiri dengan sendiri, nescaya kamu akan gugur (tidak kekal). Ya Allah! Fahamkanlah kami tentang-Mu kerana sesungguhnya kami tidak memahami tentang-Mu melainkan dengan pertolongan-Mu”
Apabila muazzin mengumandangkan azan, hendaklah kita menyahut dan menyegerakan langkah ke masjid kerana kita tidak akan berjaya tanpa pertolongan Allah Ta’ala. Kita tidak ada kekuatan jika tidak ada keizinan dari Tuhan. Amatlah jelik jika kita boleh mengerjakan perbuatan lain tetapi pada masa yang sama tidak mampu hendak menunaikan solat atau menghadiri majlis ilmu. Salah satu hizib yang menjadi amalan bacaan para masyaikh ialah hizib saifi. Hizib itu dinamakan sedemikian kerana “ketajaman” hizib ini seumpama pedang. Hizib ini sangat mujarab kepada si pengamalnya. Bagaimanapun disebabkan ‘‘ketajamannya’’ itu maka ia tidak boleh diamalkan sebelum mendapat keizinan dari para masyaikh yang mengamalkannya. Dalam hizib yang disusun oleh Saiyidina Ali bin Abi Talib ini, beliau berkata, “Aku bebaskan diriku dari keupayaanku dan memohon kekuatan dengan kemuliaan Engkau, kerana tidak ada kekuatan melainkan Engkau, Ya Allah.” Kata Syeikh, hizib ini adalah asas pertama bagi orang yang suluk yakni berjalan kepada Allah Ta’ala. Wali Allah, Syeikh Soleh al-Ja’fari yang merupakan Imam masjid Al-azhar adalah merupakan seorang ahli kasyaf. Beliau mengamalkan hizib ini. Pada satu hari seorang masyaikh Syeikh bernama Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani berhajat hendak bertemu dengan Syeikh Soleh untuk meminta amalan hizib itu. Tetapi dalam hatinya beliau berkata, “Aku berasa sungguh malu hendak memintanya kerana malu aku hendak meminta dari seorang wali Allah”. Syeikh Soleh yang dikurniakan ilmu kasyaf dapat membaca isi hati Syeikh Muhammad Ibrahim. Katanya, “Sesungguhnya Saiyidina Ali telah mewasiatkan amalan ini kepada ali keluarganya”. Syeikh Ibrahim apabila mendengar kata-kata Syeikh Soleh berasa sangat lega kerana beliau berketurunan Saiyidina Ali menerusi jalur Saiyidina Hussain. Tentang hizib ini, Imam Abu Hasan asy-Syazuli menganjurkan kita beramal dengannya kerana terlalu banyak khasiat yang terkandung didalamnya. Berbalik kepada cerita Syeikh Soleh wali Allah yang dikurniakan ilmu kasyaf, pernah suatu hari seorang daripada anak muridnya membaca surah al-Kahfi lalu bertemu kepada ayat yang menceritakan keadaan dimana anjing Ashabul Kahfi berada dalam keadaan duduk menghamparkan tangannya. Anak muridnya cuba untuk membayangkan keadaan anjing ini menghamparkan tangannya tetapi tidak berjaya lalu berhajat bertemu Syeikh Soleh. Syeikh Soleh pada ketika itu sedang mengajar. Apabila terpandang kelibat anak muridnya itu, beliau secara spontan mengubah tajuk perbahasan dengan menceritakan tentang bagaimana keadaan anjing itu duduk sambil menghamparkan tangannya. Syeikh Soleh memberikan jawapan tanpa anak muridnya itu sempat bertanya soalan kepadanya. Kata Syeikh, Syeikh Soleh ini adalah wali Allah yang sangat alim dan sentiasa melazimkan diri dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran dan Hadith. Kata Syeikh Soleh, “Sahih Bukhari disisi aku seumpama surah al-Fatihah.”
Selanjutnya kata Ibn Atoillah didalam Hikamnya, Diantara tanda bersandarnya orang-orang dengan amal iaitu bersandar dengan solat, zikir, umrah dan haji dan sebagainya ialah kurangnya pengharapannya kepada Allah ketika dia melakukan maksiat.
Maksudnya mereka menyangka mereka diterima Allah disebabkan amal mereka padahal Allah Ta’ala tidak memandangkan amal mereka kerana Allah Ta’ala tidak berkendakkan amal mereka. Mereka lupa bahawa Allah Ta’ala mengurniakan rahmat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Banyak kesalahfahaman berlaku pada masa ini antaranya ialah seperti
1. Mengkiaskan alam roh dengan alam jasad
Ada orang yang tidak memahami perjalanan alam roh dengan perjalanan alam jasad. Orang yang tidak memahami perkara ini terhijab dengan kebendaan. Justeru akal fikiran mereka dikuasai oleh logik semata-mata. Alam roh berbeza dengan alam jasad. Jika alam jasad terbatas mengikut masa dan tempat, alam roh adalah sebaliknya. Roh bebas dan boleh pergi ke mana sahaja. Sebab itu, ulama berkata roh para alim-ulama akan hadir bersama apabila kitabnya dibaca. Golongan yang menyanggah perjalanan alam roh ini agaknya lupa bagaimana malaikat maut dapat mencabut nyawa ramai manusia dalam sekelip mata secara serentak di tempat yang berbeza-beza. Adakah hal ini dapat dibayangkan oleh akal logik semata-mata?
2. Menyamakan sifat makhluk dengan sifat Allah
Ada segelintir puak yang gagal membezakan sifat makhluk dengan sifat Allah. Kita hendaklah tahu membezakan sifat makhluk dan sifat Allah. Sebab itu kita kena pohon kepada Allah agar Allah Ta’ala memahamkan kita tentang hakikat ketuhanan supaya kita tidak tersalah faham. Kata Saiyidina Ali, “Aku kenal Tuhan dengan Tuhanku (maksudnya kalau Allah tidak mengurniakan kefahaman tentang hakikat-Nya maka kita tidak akan dapat memahaminya)”. Pendidik adalah sangat penting dalam memahami hakikat ketuhanan. Sebab itu kita kena berguru. Kata Saiyidina Ali, “Kalau tidak ada pendidik maka tidak ada orang yang mendidik aku tentang tuhanku”. Allah Ta’ala memiliki nama khusus bagi-Nya. Ada sifat Allah yang tidak boleh disifatkan kepada manusia iaitu nama Allah yang berkaitan dengan kebesaran dan keagungan. Sebaliknya sifat Allah yang berkaitan dengan akhlak boleh disifatkan kepada manusia seperti al-Latif, al-Rahman dan sebagainya. Ada orang banyak beramal tetapi tetap tidak mengenal Tuhan sebaliknya ada orang yang amalannya tidak seberapa tetapi mengenal Tuhan sehingga Allah mengangkat mereka ke darjat tertinggi. Ada dikalangan wali-wali Allah asalnya orang-orang fasiq tetapi kemudiannya diangkat Allah menjadi orang-orang soleh. Antaranya ialah seperti Ibrahim bin Adham dan Fudhail bin Iyadh.
3. Tidak tahu membezakan batas-batas Islam dengan batas kuffar
Ada orang Islam pada masa ini yang suka membesar-besarkan pakaian kuffar. Di al-Azhar sendiri, ramai ulama disana berpakaian moden dari mengenakan jubah.
4. Suka mengekalkan tradisi budaya Barat
Masyarakat pada masa ini suka menggunakan bahasa Inggeris dan cenderung kepada gaya Barat. Kata Syeikh, belajar-belajarlah berbahasa Arab untuk mengambil sunnah Nabi saw. Mulakanlah dengan bahasa perbualan yang mudah.

Hikam Ibn Atoillah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Pusat Pengajian al-Jazari Bukit Indah Ampang pada 29 Januari 2010
Seorang lelaki bertanya kepada Junaid as;
Apakah ilmu yang paling berguna? Jawabnya, “Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah swt dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu.”
Kita perlu mencari ilmu yang menyampaikan diri kita kepada Allah. Ilmu yang dipelajari perlu diamalkan. Dalam ilmu tasawwuf, ilmu itu perlu diamalkan kerana tanpa amalan, maksud ilmu tidak akan sampai kedalam diri. Bacalah sebanyak mana buku pun tetapi jika tidak beramal maka ia tetap tidak akan berhasil. Orang yang membaca kitab zikir tetapi tidak mempraktikkannya maka sia-sia sajalah kitab yang dibacanya itu. Ahli tasawuf mencari ilmu disebelah siangnya dan beramal disebelah malamnya. Adab dalam mempelajari sesuatu ilmu ialah kita tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya ilmu kita masih belum cukup dan mempelajari sesuatu ilmu itu hendaklah dilakukan secara bertahap (peringkat demi peringkat).
Kata Syeikh, ilmu lain seperti ilmu fiqh tidak boleh dipelajari jika diri tidak bersedia dengan ilmu itu. Ini adalah kerana ilmu ini akan mendatangkan bala kepada si penuntutnya jika ia tidak bersedia menguasai dirinya di landasan yang betul. Orang yang tidak bersedia dengan ilmu ini akan didatangkan sifat takabbur dalam diri kerana apabila mempelajari ilmu ini, ia akan sentiasa berasa dirinya lebih hebat dari orang lain. Apatah lagi apabila ia berjaya mematahkan hujah atau debat orang lain apabila mengeluarkan sesuatu hukum atau pandangan lalu ia sebenarnya telah dikuasai oleh nafsu dan syaitan dan mula bermegah-megah dengan dirinya sendiri. Imam Malik jika dalam soal ilmu fih amat pantang sekali ditanya oleh orang lain yang memulakan soalan dengan “Jika diandaikan….”. Kata Imam Malik, “Inilah kerja ahli fiqh yang suka melebih-lebihkan dalil-dalil dan andaian.” Tambah Imam Malik, “Aku lebih suka jika yang bertanya itu melebihkan zikir dan bertasbih dari bertanya soalan yang bukan-bukan.”
Belajar fiqh memerlukan kekuatan mental untuk mengelakkan diri dari dipengaruhi oleh sikap takabbur. Selain itu, orang yang belajar ilmu fiqh perlu berhati-hati ketika mengeluarkan pendapat dan tidak boleh dikuasai denganpemikiran mereka sendiri yang kelak boleh membinasakan umat. Sebab itu disarankan agar kita membuat persiapan diri untuk belajar ilmu mengenal Allah terlebih dahulu. Selain ilmu fiqh, ilmu hadith juga bukanlah ilmu yang mudah untuk dikuasai. Bahkan dikalangan para sahabat bukan semua sahabat yang berjaya menghimpunkan kesemua hadith Nabi saw. Ini adalah kerana ada sahabat yang hanya bersama Nabi saw disebelah siang sahaja manakala ada sahabat yang berada bersama Nabi saw pada masa-masa tertentu sahaja. Dikalangan isteri baginda saw, Aisyah ra[1] adalah merupakan periwayat hadith dikalangan wanita yang paling banyak meriwayat hadith. Walaubagaimanapun, hadith yang diriwayat Aisyah ra kebanyakannya adalah berkenaan dengan pekerjaan dan pengucapan Nabi saw ketika berada dirumah bukannya di luar rumah. Justeru, ada hadith ketika Nabi saw berada di luar rumah tidak diriwayat oleh Aisyah ra. Rasulullah saw selepas bermusafir dan pulang ke Madinah tidak akan terus kembali ke rumahnya sebaliknya akan menunaikan solat terlebih dahulu di Masjid Nabawi dan berjumpa dengan para sahabatnya. Setelah menyelesaikan urusan umatnya, barulah baginda saw pergi kerumah anaknya, Fatimah ra untuk bertanyakan khabar mereka sekeluarga.[2] Selepas itu, barulah baginda saw berjumpa dengan para isterinya. Contoh bagaimana ada hadith yang pernah didengar oleh sesetengah sahabat tetapi tidak pada sahabat lain ialah kisah Abu Bakar ra dengan Fatimah ra. Selepas Nabi saw wafat, Fatimah datang menuntut harta peninggalan Rasulullah saw dari Abu Bakar. Abu Bakar menolak permintaan Fatimah menyebabkan Fatimah terkilan dan diriwayatkan oleh ahli sejarah bahawa semenjak peristiwa itu Fatimah tidak pernah bertegur sapa dengan Abu Bakar sehinggalah beliau wafat enam bulan selepas kewafatan ayahandanya, Rasulullah saw. Abu Bakar tidak memenuhi permintaan Fatimah kerana beliau patuh kepada hadith Nabi saw yang menyatakan bahawa harta yang ada tidak boleh diberikan kepada ahli keluarganya. Sabda Nabi saw, “Tidak boleh waris dan mewarisi dan apa yang ditinggalkan adalah sedeqah.” Kenapa Nabi saw menyebut sedeqah? Ini adalah kerana Nabi saw hanya “wafat” pada zahirnya sedangkan hakikatnya Nabi saw tidak wafat sebaliknya hanya berpindah dari alam fana’ kea lam baqa’. Inilah perkara yang gagal difahami oleh sesetengah orang. Sebab itu, tidak ada iddah bagi isteri-isteri Nabi saw dan mereka kekal menjadi isteri Nabi saw selama-lamanya. Mereka diharamkan berkahwin selepas kewafatan Nabi saw kerana Nabi saw bukannya “wafat” tetapi hanya “berpindah”. Kewafatan Nabi saw tidak sama seperti manusia biasa. Jasad Nabi saw tidak terjejas bahkan berbau harum walaupun selepas dua hari baginda saw meninggalkan alam fana’.[3] Tentang hadith tersebut, Fatimah tidak pernah mendengarnya sebaliknya Abu Bakar telah diwasiat oleh Rasulullah saw. Walaubagaimanapun, kisah ini telah dijadikan hujah oleh puak syiah yang menyatakan bahawa sahabat telah mengkhianati keluarga Rasulullah saw.
Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawadhu’, sentiasa bermujahadah, menjaga sir (rahsia), muraqabah zahir, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntutnya, memencilkan dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara’, memuliakan wali-wali Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.
Kata Ibn Atoillah, Sesiapa yang melihat rahsia hamba Allah tetapi mereka belum berakhlak dengan akhlak Rahman maka apa yang dilihat itu akan mendatangkan fitnah dan bala kepada mereka yang belum diketahui akhir hujung mereka.
Kata syeikh, orang yang suka mendoakan kebinasaan orang lain adalah orang yang belum mencapai tahap akhlak Rahman walaupun dia seorang ulama besar dari segi zahirnya. Mana mungkin seseorang yang bergelar ulama tergamak mendoakan kebinasaan orang lain sedangkan beliau sendiri belum pasti bahawa kemungkinan orang yang didoakannya itu akan bertaubat kemudian hari atau bertaubat sebelum ia mati.
Wali-wali Allah kebanyakannya kasyaf. Mereka dibukakan hijab oleh Allah Ta’ala tetapi mereka tidak pernah mendoakan kebinasaan orang lain sebaliknya membantu memberi peringatan kepada mereka. Seorang wali Allah bernama Syeikh Abdul Salam al-Fadhl al-Hasani ketika sedang membaca khutbah terpandang seorang lelaki muda masuk kedalam masjid. Apabila kelibat lelaki itu masuk kedalam masjid, Syeikh Abdul Salam terus menukar tajuk topik khutbah kepada peringatan tentang keutamaan mengerjakan solat subuh dan dosa sekiranya meninggalkan solat subuh. Rupanya Syeikh Abdul Salam dapat membaca isi hati pemuda itu yang telah terlajak waktu subuh hari itu.
Tentang perihal melihat aib orang lain, Nabi saw pernah berdoa agar aib umatnya tidak diperlihatkan kepada orang lain sebaliknya cukuplah hanya Allah Ta’ala, baginda saw dan si pelaku itu sahaja yang mengetahuinya. Lalu Allah Ta’ala berfirman, Sesungguhnya mereka adalah umat engkau dan mereka adalah hamba Aku. Oleh itu, ia (aib) adalah antara Aku dengan dia sahaja sebab Aku yang paling kasih pada mereka. Dengan sifat Rahman, Allah Ta’ala tidak menzahirkan aib pada orang lain.
Tokoh-tokoh besar tasawwuf bukanlah orang yang meninggalkan urusan dunia. Junaid al-Baghdadi yang digelar penghulu ahli tasawwuf yang wafat ketika sedang membaca al-Quran adalah seorang pengeluar kaca yang sangat terkenal di seluruh Baghdad. Beliau membekalkan kaca untuk keperluan penduduk Baghdad pada waktu itu. Pekerjaan beliau ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak memencilkan diri dari masyarakat dan tasawwuf itu juga bukanlah dengan hanya duduk bertasbih sebaliknya urusan dunia dan akhirat itu perlu diseimbangkan. Sebelum beliau memulakan pekerjaannya, beliau akan menurunkan sedikit tirai di biliknya bagi membolehkan dirinya menunaikan solat sunat terlebih dahulu. Lazimnya beliau akan menunaikan solat sebanyak 400 rakaat sebelum memulakan kerjanya.
Kata syeikh sebelum mengakhiri majlis, apabila kita sayang pada seseorang itu maka gugurlah adabnya. Nabi saw sangat sayang kepada hamba yang juga merupakan anak angkatnya iaitu Zaid bin Harithah. Hubungan antara Nabi saw dengan Zaid sangat rapat kerana Nabi saw sangat sayangkan kepadanya. Begitu juga dengan anak Zaid iaitu Usamah dimana Nabi saw sangat sayang kepadanya. Kata Syeikh, Usamah ini kulitnya hitam sedangkan ayahandanya berkulit putih. Dalam satu peristiwa Nabi saw hendak bertolak ke Mudzalifah, Nabi saw tidak berangkat selagi Usamah tidak menunjukkan mukanya. Apabila Usamah muncul barulah Nabi saw bertolak ke Mudzalifah. Ketika Usamah muncul, ada yang berbisik-bisik menyatakan kenapa Rasulullah saw beria-ria menunggu budak kecil yang berkulit hitam ini. Hal itu telah menyinggung perasaan Rasulullah saw kerana Rasulullah saw sangat menyayangi keluarga Zaid. Sebab itu kata Syeikh, sesiapa yang membenci kekasih Kekasih Allah maka dia membenci Kekasih Allah. Oleh itu berhati-hatilah dan jagalah percakapan kita kerana orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya akan diazab di dunia dan di akhirat.

[1] Aisyah ra merupakan wanita yang paling cerdik dizamannya. Nabi saw menggelarnya ‘orang yang diberi taufik oleh Allah Ta’ala”
[2] Adab yang diajar oleh Nabi saw iaitu seorang suami/bapa hendaklah mengambil berat terhadap anaknya terlebih dahulu baru isterinya kerana hubungan bapa dengan anak tidak akan terputus sampai bila-bila
[3] Nabi saw wafat pada hari Isnin dan dimaqaman pada hari Rabu

Sunday, January 24, 2010

Sairus Salikin - Rahsia Haji dan Rahsia Zakat disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 24 Januari 2010

Sambungan Rahsia Haji
Fasal pada menyatakan segala sunat yang dikerjakan tatkala kembali dari safar

Nabi saw apabila mendaki tempat yang tinggi akan bertakbir dan apabila menuruni ke tempat yang lebih rendah akan bertasbih. Adab ketika pulang dari bermusafir, hendaklah si musafir itu memberitahu waktu kepulangannya kepada ahli keluarganya agar ahli keluarga dapat membuat persiapan menyambutnya. Pulang dalam keadaan mengejut atau dalam waktu yang tidak sesuai seperti di tengah malam adalah sangat tidak digalakkan kerana ia menyusahkan ahli keluarga kecuali kepulangannya itu telah diberitahu awal-awal lagi. Hikmah memberitahu kepulangan si musafir kepada ahli keluarga ialah agar memberi masa kepada ahli keluarga untuk mengemas rumah dan membuat persediaan bagi menyambut si musafir tadi. Ketika Nabi saw bermusafir bersama para sahabat yang lain, baginda saw akan singgah di satu tempat terlebih dahulu dalam perjalanan pulang ke rumah. Ditempat persinggahan itu yang jaraknya kira-kira 5 km dari rumahnya, baginda saw akan menghantar wakil untuk memaklumkan kepada ahli keluarga masing-masing tentang kepulangan mereka. Baginda saw pernah bersabda, Bersikat rambut perempuan yang kusut masai dan sempat perempuan mencukur ari-arinya. Tujuannya ialah supaya si isteri sempat berhias menyambut kepulangan suaminya yang bermusafir dari jauh.
Puteri Rasulullah saw iaitu Fatimah ra apabila mendapati tahu kepulangan ayahanda yang dikasihinya akan segera mencari anaknya Hasan dan Husain. Beliau akan memandikan mereka berdua dan memakaikan wangi-wangian ke atas diri mereka. Nabi saw apabila sampai di Madinah tidak akan terus pulang ke rumah sebaliknya akan singgah dulu di Masjid Nabawi. Baginda saw akan mengerjakan solat sunat dua rakaat dan sujud syukur. Cucunda baginda saw iaitu Hasan dan Husain akan menunggu nendanya sehingga selesai mengerjakan solat. Mereka berdua akan memeluk baginda saw dalam keadaan bersih dan wangi (setelah dimandi dan diwangi oleh bonda mereka, Fatimah ra). Inilah adab yang dianjurkan oleh Rasulullah saw ketika pulang dari musafir yang boleh mengeratkan hubungan kasih sayang dalam keluarga.
Apabila pulang ke rumah, setelah memberi salam maka bacalah Ayatul Kursi dan Surah al-Ikhlas. Hikmah membaca ayatul Kursi ialah menolak sebarang benda/makhluk (tetamu yang tidak diundang) yang mengiring kita dalam perjalanan pulang ke rumah manakala hikmah membaca surah al-Ikhlas ialah mengundang rezeki masuk ke dalam rumah. Sewajarnya apabila pulang dari menunaikan haji di Makkah maka akhlak seseorang itu hendaklah lebih baik dari sebelumnya. Kerja-kerja yang melalaikan yang sering dilakukan sebelum menunaikan haji tempoh hari perlu ditinggalkan sepenuhnya. Sebagai seorang yang bergelar haji, seseorang itu hendaklah
1. Menghimpun bekalan sebanyak mungkin untuk negeri akhirat
2. Menghimpun amal sebanyak mungkin untuk bertemu dengan Allah swt jika diizinkan allah Ta’ala untuk naik haji buat kali berikutnya
Kata Syeikh, sebab itulah orang-orang dahulu kala akan ber’pantang’ 40 hari selepas pulang menunaikan haji. Mereka akan mengenakan jubah, melilit sarban, menukar nama (kepada yang lebih baik), menziarahi saudara dan taulan dan menjaga solat berjemaah di masjid agar semangat beribadah ketika menunaikan haji tempoh hari dapat dijaga dan dikekal berterusan. Tanda seseorang itu mendapat haji mabrur ialah apabila terdapat perubahan pada akhlaknya dimana akhlaknya menjadi semakin baik dari masa ke semasa.

Fasal pada menyatakan segala adab naik haji yang halus-halus dan segala adab haji yang batin
1. Pergi haji dengan duit yang halal. Kalau seseorang itu pergi dengan duit haram maka Allah akan menjawab “Engkau tidak diucapkan Selamat Datang” ketika beliau mengucapkan talbiah. Belanja haji juga hendaklah dilebihkan. Hikmahnya ialah seseorang itu mungkin boleh membantu saudara Islam yang lain ketika menghadapi kesulitan disana. Selain itu, belanja lebih juga boleh digunakan untuk menampung keperluan harian selepas pulang dari menunaikan haji.
2. Pekerjaan haji dan umrah jangan dicampur-aduk dengan perniagaan. Ketika beribadah, eloklah dielakkan diri dari terlibat dengan perniagaan. Tujuannya ialah supaya ibadah dapat ditumpukan sepenuhnya. Tidaklah salah untuk berniaga cuma pahalanya mungkin berkurang kerana pemikiran bercampur-aduk dengan urusan dunia. Bagi orang yang mengambil upah haji, hendaklah menjaga niat dengan seelok-eloknya. Jangan berniat kerana hendak mengambil upah sebaliknya berniatlah kerana hendak menunaikan haji (upah haji). Maksudnya disini ialah haji itu sebagai tujuan utama bukannya duit atau upah itu. Syeikh menganjurkan jemaah menggunakan istilah badal haji bukannya upah haji kerana itu lebih tepat dan sesuai. Badal haji bermaksud kita mengerjakan haji untuk orang lain. Hikmah badal haji ini ialah 3 orang akan masuk syurga asbab dengan satu badal haji iaitu orang yang berwasiat, orang yang meluluskannya dan orang yang melaksanakannya.
3. Membawa belanja yang banyak. Belanja yang banyak bukan bererti boros sebaliknya diguna untuk membantu orang lain. Jangan berseronok-seronok dengan pakaian dan makanan tetapi bersederhana. Belanja disebut boros jika ia diguna untuk tujuan sendiri tetapi jika diguna untuk tujuan kebajikan maka ia adalah sifat yang sangat terpuji. Tanda orang itu mulia ialah apabila ia sangat baik ketika dalam perjalanan. Kata Saiyidina Umar ra, orang itu dikatakan betul-betul baik jika ia baik ketika bermusafir. Jika ia hanya baik dirumah atau bersama rakan maka ia belum tentu baik secara keseluruhannya. Tetapi jika ia baik ketika bermusafir maka itulah tanda orang yang benar-benar mulia. Hati budi seseorang itu hanya akan terzahir apabila kita bermusafir dengannya. Bukan senang untuk seseorang itu berbuat baik ketika dalam perjalanan apatah lagi jika ia membabitkan soal kewangan. Sebab itu, seseorang itu dikatakan mulia jika ia tidak pernah berkira dalam soal kewangan dan sentiasa menghulurkan bantuan ketika berada dalam keadaan musafir. Kata Syeikh, tanda haji mabrur itu terbahagi kepada dua iaitu luaran dan dalaman. Luaran menzahirkan segala perkataan yang baik-baik dan sentiasa memberi makan kepada orang lain manakala dalaman ialah menyempurnakan rukun dan syarat ibadah haji.
4. Tinggalkan rafas, fusuq dan jidal. Rafas merujuk kepada cakap-cakap lucah yang berkaitan dengan usaha menaikkan syahwat. Fusuq berkait-rapat dengan perihal sesuatu yang terkeluar dari ketaatan misalnya melakukan perbuatan maksiat. Orang yang melakukan dosa ketika berada di Tanah Suci akan digandakan dosanya manakala orang yang melakukan kebaikan akan digandakan pahalanya sebanyak 100, 000 pahala kebajikan. Jidal merujuk kepada perihal berkelahi dan berebut sesuatu ketika mengerjakan haji. Sebab itulah para jemaah dinasihatkan supaya banyak bersabar dan tidak banyak mengadu ketika berada di Tanah Suci.
5. Orang yang berjalan kaki dianugerahi dengan banyak pahala kebajikan. Kata Syeikh, ketika bermusafir, solat qasar itu lebih baik dari tamam manakala jika berpuasa maka lebih afdal si musafir itu berpuasa kecuali berhadapan dengan masyaqqah.
6. Kalau berkenderaan masa berhaji maka janganlah berkenderaan dengan memakai tandu atau pelana yang besar atau bermewah-mewah seperti memakai kusyen[1] untuk tujuan keselesaan kerana ia bukan sahaja menyempitkan ruang laluan tetapi juga boleh menerbitkan sifat riak dan takabbur. Selain itu, penggunaan tandu dan pelana yang besar boleh menyakitkan binatang yang ditunggang.
7. Orang yang berhaji disunatkan dalam keadaan tawaduk. Apabila masuk sahaja ke dalam Makkah, maka laksanakan terus tawaf tanpa menghiraukan debu-debu pada badan. Sesungguhnya keadaan diri yang berdebu itu akan menerbitkan rasa tawaduk didalam diri dihadapan Allah Ta’ala. Lain pula keadaannya bila menziarahi Madinah. Apabila sampai di Madinah, jemaah hendaklah berehat dahulu dan membersihkan diri dan pakaian lalu memakai wangi-wangian. Ini adalah kerana di Madinah, para jemaah akan menziarahi Kekasih Allah.
8. Bertimbang rasa dengan binatang kenderaan. Jangan membebankan binatang tunggangan dengan bebanan yang diluar kemampuannya. Jangan bersenang-senang di atas binatang dan jangan sakiti hatinya. Jangan jadikan tunggangan itu sebagai kerusi (maksudnya berbicara dengan orang lain dalam tempoh yang lama tanpa turun darinya)
9. Syiar orang haji ialah menyembelih binatang yang dibawa. Belilah binatang yang mahal harganya. Jangan berkira sangat ketika membeli binatang untuk dibuat korban kerana setiap wang yang dilaburkan akan diganti dengan pahala kebajikan.
10. Belanja dengan hati yang rela, senang dan redha. Andai berlaku kesulitan maka terimalah dengan hati yang lapang. Setiap duit yang dibelanja akan diganti oleh Allah ta’ala samada berupa pahala atau harta.
Rahsia Zakat
Jumhur memahami ayat 34 dalam surah at-Taubah dengan menyatakan bahawa seseorang yang menyimpan harta wajib mengeluarkan zakat apabila cukup haul dan nisabnya. Sementara sahabat Nabi saw iaitu Abu Zar al-Ghifari berpendapat bahawa harta atau duit tidak boleh disimpan sama sekali. Di zaman pemerintahan Saiyidina Usman, Abu Zar telah ditangkap dan dibuang negeri kerana pendapat-pendapat beliau yang bersalahan dengan pendapat jumhur. Faham Abu Zar ini kemudiannya menjadi pegangan kepada golongan sosialis yang menyatakan bahawa tidak ada istilah hak milik individu.
Beberapa perkara yang perlu diketahui tentang zakat
1. Hamba tidak wajib membayar zakat kerana segala usahanya adalah untuk tuannya. Maka tuannya perlu mengeluarkan zakat.
2. Anak yatim dan budak kecil perlu mengeluarkan zakat (dkeluarkan oleh warisnya) kerana hartanya boleh berkembang.
3. Hutang panas iaitu aliran tunai yang kerap berjalan dan hutang yang sering keluar masuk perlu dikeluarkan zakat ke atasnya sebaliknya hutang lapuk tidak perlu dikeluarkan zakat keatasnya melainkan si penghutang telah menjelaskan hutang lapuk tersebut.
4. “Benda yang berpisah tak boleh berkumpul” – Syeikh merujuk ayat ini dalam urusan zakat binatang. Kata Syeikh, binatang yang dimilik oleh tuan yang berlainan tidak boleh dikumpul untuk tujuan zakat. Sebagai contoh, A memiliki 10 ekor unta manakala B memiliki 15 ekor unta. A dan B tidak boleh menghimpunkan binatang mereka untuk mengeluarkan zakat.
5. Orang yang membela ayam tidak wajib mengeluarkan zakat binatang sebaliknya jika ia menjadikan penternakan ayam itu sebagai satu perniagaan maka ia wajib mengeluarkan zakat perniagaan apabila cukup haul dan nisabnya.
6. Pelajar yang memiliki biasiswa tidak boleh menerima zakat kerana ia mempuynyai sumber pendapatannya sendiri sebaliknya pelajar yang diberi pinjaman pelajaran boleh menerima zakat kerana statusnya sebagai orang yang berhutang.
7. Anak sendiri yang hendak melanjutkan pelajaran tidak boleh diberikan zakat sebaliknya diberikan nafkah.
8. Orang miskin yang bermusim boleh menerima zakat. Maksud bermusim disini ialah pada bulan-bulan tertentu, ia mengalami kesempitan wang. Misalnya dalam bulan Januari, beliau mengalami kesusahan untuk membeli barangan sekolah anaknya maka ia boleh menerima zakat. Sebaliknya dalam bulan yang lain, jika beliau mempunyai wang yang banyak maka ia perlu mengeluarkan zakat apabila cukup haul dan nisabnya.
9. Ibu tua yang mendapat jaminan dari anaknya yang berkemampuan tidak boleh menerima zakat.
Sabda Nabi saw, tanda akhir zaman ialah orang kaya terhutang pada orang fakir yakni merujuk kepada pemberian zakat yang tertunggak. Kata Syeikh, hal ini berlaku antara sebabnya ialah haul dihitung mengikut taqwim masehi bukannya taqwim hijriyyah.

[1] Boleh diguna jika dalam keadaan uzur

Monday, January 18, 2010

Khatam Hadith 40 Mutiara Nabawi sesi petang - Syarah Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 16 Januari 2010
Sunan ad-Daruqutni
Matan hadith diriwayat oleh Ibn Abbas ra,
Sesungguhnya Nabi saw mengutus Mu’az ra ke Yaman, maka baginda saw berpesan kepadanya; Kamu akan mendatangi kaum ahli kitab. Maka serulah mereka kepada penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Sekiranya mereka telah mentaatimu dengan suruhan tersebut, ajarlah pula kepada mereka bahawa Allah memfardhukan kepada mereka solat lima waktu sehari semalam, jika mereka telah mengikutnya maka ajarkan kepada mereka bahawa Allah telah memfardhukan sedekah (zakat) ke atas mereka yang diambil daripada yang kaya dan dihulurkan kepada yang miskin dari kalangan mereka. Jika mereka telah mentaati kamu dengan ajaran tersebut maka janganlah kamu mengambil harta mereka yang paling baik (tetapi ambillah harta mereka yang pertengahan) dan takutilah do’a orang yang dizalimi, kerana do’a mereka tidak terhijab. Berkata Ya’qub dan Abbas bin Yazid, Kerana sesungguhnya tidak ada diantara do’anya dan Allah suatu hijab pun.

Tarikh Baghdad karangan al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi
Matan hadith diriwayat oleh Jabir ra,
Diantara rumahku dan mimbarku adalah suatu taman dari taman-taman syurga

Tarikh Damsyik karangan al-Hafiz ibn Asakir[1]
Matan hadith yang diriwayat oleh Ibn Abbas ra,
Rasulullah saw merupakan manusia yang paling pemurah dengan kebaikan sifat pemurahnya lebih ketara pada bulan Ramadhan. Sesungguhnya Jibril as menemui baginda saw pada setiap tahun dalam bulan Ramadhan. Berkata Asy-Syahami, Pada setiap malam bulan Ramadhan hinggalah pada akhirnya, Jibril as (datang untuk) membacakan al-Quran kepadanya. Apabila Jibril as menemui Rasulullah saw, maka baginda saw akan menjadi manusia yang lebih pemurah dengan kebaikan daripada angin yang menghembus.
Kata ulama, kedatangan Jibril as ini kepada Nabi saw adalah merupakan satu sunnah bagi kita dimana kita harus bersifat pemurah apabila didatangi orang-orang yang saleh dan mulia.

Kitab Asy-Syifa karangan al-Qadhi Iyadh al-Yahsubi
Matan hadith yang diriwayat oleh Anas bin Malik,
Bahawa Nabi saw telah didatangkan seekor buraq pada malam baginda saw diperjalankan (isra’) dalam keadaan telah sedia untuk ditunggangi dengan kekang dan pelana, maka buraq tersebut menjadi liar sehingga Rasulullah saw susah untuk menunggangnya. Lalu Jibril as berkata kepadanya, adakah terhadap Nabi Muhammad saw kamu buat seperti ini? Tiada seorang pun yang menunggangmu yang lebih mulia kepada Allah daripada baginda saw. Katanya, Maka berjurai-jurailah peluh buraq itu.[2]

Musnad Asy-Syihab al-Qudha’i
Matan hadith yang diriwayat oleh Ummu Salamah,
Tidaklah Rasulullah saw keluar dari rumahku pada waktu pagi melainkan baginda saw mengangkat kepalanya ke langit dan membaca; “Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon perlindungan denganmu agar tidak sesat atau menyesatkan, tidak terpesong atau memesongkan, tidak menzalimi atau dizalimi, tidak menjadi bodoh atau diperbodohkan”.

Sunan at-Tirmidhi
Matan hadith yang diriwayat oleh Yahya bin Ya’mur,
Orang pertama yang membicarakan tentang taqdir di Basrah ialah Ma’bad al-Jahni. Beliau berkata, Maka saya dan Hamid bin Abdul Rahman al-Himyari pun bertolak hingga sampai ke Madinah. Kami berkata, Jika kami sempat bertemu dengan seorang daripada sahabat Nabi saw, kami akan bertanya pandangannya tentang taqdir. Beliau berkata, Maka kami sempat bertemu dengan Abdullah bin Umar ra yang sedang keluar dari masjid. Beliau berkata, Maka aku dan sahabatku mengelilinginya. Beliau berkata. Aku merasa sahabatku mewakilkan aku untuk bercakap, maka akupun berkata, Wahai Aba Abdul Rahman! Sesungguhnya telah muncul suatu kaum yang membaca al-Quran dan mengumpulkan ilmu tetapi mereka tidak mempercayai taqdir dan menganggap semua perkara itu berlaku begitu sahaja. Beliau berkata, Jika kamu bertemu dengan mereka, khabarkan kepada mereka bahawa aku lepas tangan daripada mereka (tidak terlibat dalam permasalahan mereka) dan mereka berlepas tangan daripadaku.[3] Demi zat yang Abdullah bersumpah dengannya! Jika salah seorang daripada mereka menafkahkan emas setinggi gunung Uhud, pasti tidak diterima daripadanya, hinggalah dia beriman dengan qadar yang baik dan yang buruk. Yahya berkata; Kemudian semasa sedang berbual-bual, maka dia mula untuk membaca hadith Nabi saw lalu berkata, telah berkata Umar bin al-Khattab ra, ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah saw, tiba-tiba datang seorang lelaki yang berpakaian amat putih dan amat hitam rambutnya, tidak kelihatan pada dirinya kesan sedang bermusafir dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya, hinggalah dia berada berdekatan dengan Nabi saw. Kemudian dia menyandarkan lututnya kepada lutut baginda saw lalu berkata, Wahai Muhammad! Apakah itu Iman? Sabda Rasulullah saw, Iman itu ialah kamu beriman dengan Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan qadar yang baik dan yang buruk. Tanya lelaki itu lagi, Apakah pula Islam? Sabda baginda saw, Penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan. Kata lelaki itu lagi, Apakah pula Ihsan? Sabda baginda saw, Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya maka sekiranya kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihat kamu.[4] Dalam semua jawapan baginda saw, dia berkata, Benarlah engkau! Umar ra berkata, Maka kami berasa hairan dengannya, dia bertanya , dia pula membenarkannya. Dia bertanya lagi, Bilakah berlakunya qiamat? Jawab baginda saw, Tidaklah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Dia bertanya lagi, Maka apakah tanda-tandanya? Jawab baginda saw, hamba-hamba akan melahirkan tuannya (majikannya), engkau akan lihat orang-orang miskin, tidak beralas kaki, bertelanjang, mengembala kambing menjadi kaya-raya dan berlumba-lumba memperindahkan bagunan. Berkata Umar ra, Maka Nabi saw menemuiku tiga hari selepas peristiwa tersebut. Baginda saw bersabda, Wahai Umar! Adakah kamu tahu siapakah si penyoal tersebut? Itulah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.[5]

Sunan an-Nasa’i yang dinamakan dengan al-Mujtaba
Matan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra,
Bahawa seorang lelaki memasuki masjid ketika Rasulullah saw sedang berdiri berkhutbah. Maka dia mengadap Rasulullah saw sambiri berdiri dan berkata, Wahai Rasulullah! Banyak harta benda yang telah musnah dan jalan-jalan untuk mencari penghidupan telah terputus, berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami. Rasulullah saw mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdo’a, Ya Allah! Turunkanlah hujan kepada kami! Turunkanlah hujan kepada kami! Seterusnya Anas ra berkata, Demi Allah! Kami tidak nampak sama sekali walau sekelompok awan di langit dan tidak ada diantara kami dan juga Bukit Silah walau sebuah rumah dan bangunan (menutup penglihatan kami). Maka tiba-tiba muncul sekelompok awan seperti perisai. Apabila awan itu telah berada ditengah-tengah langit lalu hujan pun turun. Anas ra berkata, Demi Allah! Kami sekali-kali tidak melihat matahari selama enam hari. Katanya lagi, Kemudian pada suatu hari masuk seorang lelaki kedalam masjid dari pintu itu pada hari Jumaat berikutnya. Pada ketika itu, Rasulullah saw sedang berkhutbah. Lelaki itu mengadap baginda saw sambil berdiri lalu berkata, Wahai Rasulullah! Semoga Allah melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atasmu. Banyak harta benda yang telah musnah (akibat hanyut dibawa air) dan jalan-jalan untuk mencari penghidupan telah terputus. Berdo’alah kepada Allah agar air hujan itu ditahan dari turun kepada kami. Maka Rasulullah saw mengangkat kedua belah tangannya lalu berdo’a, Ya Allah! Turunkanlah hujan disekeliling kami dan janganlah Engkau turunkannya ke atas kami, Ya Allah! Turunkanlah hujan ke atas gunung-ganang, bukit-bukau, lembah-lembah dan ladang-ladang tempat tumbuhnya pokok pokok. Anas ra berkata, Akhirnya hujan pun berhenti dan kami keluar dan berjalan dibawah sinar matahari. Syarik ra bertanya, Aku bertanya kepada Anas ra, Adakah dia lelaki yang (datang) pertama dahulu (yang memohon diturunkan hujan)? Jawabnya, Bukan.

Sunan Ibn Majah
Matan hadith yang diriwayat oleh Umar al-Khattab ra,
Saya masuk ke dalam rumah Rasulullah saw yang ketika itu sedang berada di atas tikar. Saya berkata, Maka saya pun duduk dan ketika itu baginda saw hanya memakai kain sarung tanpa memakai baju. Saya lihat kesan tikar tersebut di rusuk baginda saw, saya juga melihat terdapat sedikit gandum yang beratnya lebih kurang segantang di satu sudut didalam bilik dan kulit yang telah disamak serta yang belum disamak tergantung. Maka dengan tiba-tiba air mata saya mengalir. Baginda saw bertanya, Apakah yang membuatkan engkau menangis, wahai anak al-Khattab? Maka saya menjawab, Wahai Nabi Allah! Kenapa tidak saya menangis? Tikar ini telah berkesan dirusukmu dan rumahmu ini tidaklah saya melihat didalamnya melainkan apa yang telah saya lihat, sedangkan raja Kisra dan Kaisar sekarang ini berada di taman buah-buahan dan sungai-sungai, sedangkan engkau adalah Nabi Allah dan insan pilihannya, tetapi ini sahaja harta yang engkau miliki. Baginda saw bersabda, Wahai anak al-Khattab! Apakah kamu tidak redha bagi kita kesenangan di akhirat nanti sedangkan kesenangan mereka di dunia sahaja? Saya berkata, Ya!

Musnad Imam Ahmad bin Hanbal
Matan hadith yang diriwayat oleh Anas bin Malik ra,
Rasulullah saw apabila berkhutbah pada hari Jumaat, baginda saw akan menyandarkan belakangnya kepada sebatang tunggul tamar. Setelah orang yang mendengar khutbah menjadi semakin ramai, baginda saw bersabda, Binalah untukku sebuah mimbar. Baginda saw mahu memperdengarkan khutbahnya kepada orang ramai. Maka mereka pun membina mimbar yang mempunyai dua mata tangga. Maka baginda saw berpindah dari batang kayu tersebut ke mimbar.
Kata al-Hasan, maka Anas bin Malik ra menceritakan kepadaku bahawa dia mendengar tunggul tamar itu menangis seperti esakan anak kecil. Katanya, tangisan itu berterusan hinggalah Rasulullah saw turun dari mimbar lalu menuju kepada tunggul tamar tersebut. Maka baginda saw memeluknya dan tunggul tamar itu pun diam.
Ibn Hibban menambah, al-Hasan al-Basri ra apabila menceritakan hadith ini, beliau akan menangis. Kemudian beliau berkata, Wahai hamba Allah! Tunggul tamar merintih kerinduan terhadap baginda saw kerana kedudukan baginda saw disisi Allah maka kamu lebih berhak untuk merindui pertemuan dengan baginda saw daripadanya.
Kata Syeikh, orang pertama berkhutbah diatas mimbar ialah Nabi Ibrahim. Justeru, berkhutbah diatas mimbar adalah merupakan sunnah Nabi Ibrahim as. Tentang tunggul tamar itu, tunggul itu menangis kerana berpisah dengan Nabi saw (setelah Nabi saw berpindah ke mimbar).
Pada mimbar tersebut dinyatakan bahawa terdapat dua mata tangga. Ketika Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, beliau berkhutbah di mata tangga kedua. Beliau tidak berkhutbah di tempat duduk Rasulullah saw kerana memuliakan Rasulullah saw. Ketika Umar menjadi khalifah, beliau berkhutbah di mata tangga pertama dan tidak berkhutbah ditempat Rasulullah dan Abu Bakar kerana memuliakan mereka berdua.
Para sahabat sangat memuliakan Nabi saw sehingga setiap tempat atau barang peninggalan baginda saw dijaga dengan baik. Malangnya ada segelintir umat manusia pada hari ini langsung tidak menghormati peninggalan Rasulullah saw sedangkan ulama ada menyebut bahawa sesiapa yang kencing di atas tempat peninggalan Rasulullah saw maka hukumnya adalah kufur. Sebagai contoh, pada ketika ini, bangunan tandas telah dibina di atas tapak rumah Rasulullah saw. Apakah mereka tidak tahu bahawa tapak rumah Rasulullah saw adalah kawasan yang sangat mulia kerana disitu pernah berlaku peristiwa penurunan wahyu seperti surah al-Mudatsir dan surah al-Muzammil? Kata Syeikh, orang yang mengubah rumah Nabi saw ini sesungguhnya adalah orang yang paling keji dan paling hina.

[1] Kitab ini terdiri dari 30 jilid kesemuanya. Ibn Asakir mempunyai 1000 orang guru. 70 orang daripadanya adalah wanita. Ulama besar yang termasuk dalam sanad kitab ini ialah Syeikhul Kabir Muhyiddin Ibn Arabi yang digelar Kibritul Ahmar (Emas Merah). Ada orang cuba hendak membakar maqamnya tetapi maqamnya dipelihara Allah Ta’ala. Orang itu akhirnya ditelan bumi.
[2] Buraq berpeluh kerana kehebatan Nabi saw
[3] Ulama menisbahkan pendapat Abdullah bin Umar ini dengan menyatakan bahawa golongan qadariah menjadi kufur jika menganggap semua perkara berlaku secara spontan
[4] Ahli sufi mengaitkannya dengan maqam musyahadah iaitu yakin sepenuhnya terhadap Allah Ta’ala. Kata Imam Abul Hasan asy-Syazuli, Kami tidak memerlukan dalil kerana cukup dengan melihatnya sahaja (yakni melihat sesuatu dengan pandangan mata hati)
[5] Dalil ulama yang menyatakan bahawa seseorang itu boleh bertemu dengan Jibril

Sunday, January 17, 2010

Khatam kitab hadith 40 Mutiara Nabawi sesi dhuha - Syarah Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR Ampang pada 16 Januari 2010
Shahih Ibn Khuzaimah
Matan hadith yang diriwayat oleh Abdullah bin Amru adalah seperti berikut;
Apabila kamu mendengar azan dilaungkan maka hendaklah dijawab seperti mana yang dilaungkannya, kemudian bersalawatlah kamu keatasku kerana sesungguhnya sesiapa yang bersalawat keatasku satu salawat maka Allah bersalawat keatasnya dengan sepuluh salawat. Kemudian mintalah kepada Allah untukku akan al-wasilah, sesungguhnya ia merupakan satu darjat didalam syurga yang tidak diberi melainkan bagi seseorang hamba dari hamba-hamba Allah. Maka sesiapa yang meminta untukku al-wasilah wajiblah baginya syafaatku.
Hadith ini juga diriwayat dalam dua jalur iaitu satu menerusi jalur Abu Tahir dan satu lagi menerusi Abu Harun.
Ada 3 perkara yang perlu dilakukan untuk dapat syafaat dari baginda saw,
1. Menjawab seruan azan
2. Mengucap salawat ke atas baginda saw
3. Mengucap doa permohonan wasilah untuk Nabi saw
Kitab ad-Doa’ karangan At-Thabrani[1]
Imam at-Thabrani adalah seorang ulama hadith besar. Pada satu hari beliau menziarahi makam Rasulullah saw bersama dua orang sahabat yang lain yang juga merupakan ulama hadith besar. Ketiga-tiga ulama hadith ini datang ke Madinah tanpa membawa bekalan duit dan berada dalam keadaan lapar. Lalu mereka mengadap makam Nabi dan salah seorang dari mereka berkata, Wahai Rasulullah, kami ini tetamu engkau dan lapar, takkanlah tetamu seperti kami ini tak dijamu. Lalu mereka pun tertidur. Tiba-tiba datang seorang Alawi (keturunan Saiyidina Ali) bersama anaknya membawa hidangan makanan. Alawi itu bertanyakan nama mereka. Kata Alawi itu, Aku tertidur malam tadi dan bermimpi Rasulullah saw. Dalam mimpi itu, Rasulullah saw menyuruhku membawa makanan ke raudhah dan menyebut nama orang yang meminta makanan ini. Ternyata permintaan mereka bertiga tidak dihampakan apabila mereka dijamu hidangan yang dibawa oleh Alawi itu.
Matan hadith dalam kitab ini seperti yang diriwayat oleh Mu'az bin Jabal,
Pada suatu hari Rasulullah saw memegang tanganku lalu bersabda; Wahai Mu'az! Demi Allah! Sesungguhnya aku amat mengasihi kamu. Maka Mu'az ra berkata, Aku tebus bapa dan ibuku untukmu wahai Rasulullah! Dan aku juga demi Allah amat mengasihi kamu. Lalu Rasulullah saw bersabda, Aku mewasiatkan kamu wahai Mu'az! Jangan sekali-kali kamu meninggalkan setiap kali selepas solat membaca,
Ya Allah! Bantulah aku untuk mensyukurimu, mengingatimu dan melakukan sebaik-baik ibadat kepadamu.
Shahih Ibn Hibban
Matan hadith seperti berikut (riwayat Aisyah ra),
Telah wafat Rasulullah saw dan baginda saw meninggalkan kami sedikit gandum. Maka kami sentiasa memakan daripada gandum tersebut hingga jariah kami menimbangnya. Maka tidak lama selepas itu, gandum itu pun habis. Sekiranya jariah tersebut tidak menimbangnya, aku masih mengharapkan gandum itu masih ada dan lebih banyak lagi.
Kata Syeikh, kalau gandum itu tidak ditimbang maka gandum itu kekal hingga hari kiamat. Inilah antara peninggalan mukjizat Rasulullah yang dapat dilihat hingga ke hari kiamat jika ia tidak ditimbang oleh jariah itu.
Kitab al-Mustadrak karangan Imam al-Hakim
Matan hadith seperti berikut (riwayat Jarir bin Abdullah ra),
Telah didatangkan kepada Nabi saw seorang lelaki yang gementar ketakutan (kerana kehebatan Nabi saw). Berkata Jarir bin Abdullah ra, Maka baginda saw bersabda kepadanya, bertenanglah sesungguhnya aku (seperti kamu juga) anak seorang perempuan Quraisy yang memakan daging kering di Makkah ini. Kemudian Jarir bin Abdullah ra membaca firman Allah Ta’ala,
Dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azab-Ku.
Kata Syeikh, apabila pergi ke negara Arab, jagalah mulut dan hati kerana dikhuatiri kita terumpat atau terkeji wali-wali Allah disana. Janganlah kita mengumpat atau mengeji orang-orang yang berpakaian compang-camping kerana wali Allah seperti Uwais al-Qarni juga seperti itu. Beliau yang merupakan penghulu tabi’in mencari makan ditempat sampah dan berebut makan dengan anjing. Allah menyembunyikan wali-wali Allah sebagaimana Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadar. Allah hanya menunjukkan wali-wali-Nya kepada orang yang benar-benar telah sampai kepada-Nya sahaja.
Syarah as-Sunnah karangan al-Imam al-Baghawi
Matan hadith ini adalah seperti berikut (riwayat Saiyidina Ali bin Abi Talib ra),
Rasulullah saw tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah tetapi mempunyai tubuh badan seperti mana orang-orang yang sederhana. Rambutnya tidak terlampau lurus dan tidak terlampau berketak-ketak tetapi beralun-alun (ikal). Badannya tidak gemuk dan wajahnya tidak terlalu bulat dan tidak terlalu bujur, putih kemerah-merahan, matanya sangat hitam (kerana mempunyai mata yang luas), bulu keningnya panjang, tulang-tulang sendinya besar (seperti dua pergelangan tangan, siku dan lutut), berdada bidang (menunjukkan kekuatan dan keberaniannya), tidak berbulu lebat, mempunyai satu barisan bulu yang nipis diantara dada dan pusatnya, kedua tangan dan kakinya lebar (tetapi lembut); apabila berjalan, baginda saw berjalan dengan gagah seolah-olah sedang menuruni tanah curam, apabila berpaling kearah seseorang maka baginda saw akan memaling seluruh badannya (tidak seperti orang yang sombong dan takabbur yang memandang sambil lewa atau menyorot dengan mata sahaja), diantara kedua-dua bahunya terdapat khatam al-nubuwwat (tanda kenabian) dan baginda saw merupakan penutup segala Nabi, manusia yang paling dermawan, paling dipercayai percakapannya, paling berlemah-lembut dan paling mulia pergaulannya (pendapat lain keturunannya). Sesiapa yang memandang sekali imbas akan nampak kehebatannya dan sesiapa yang telah bergaul dengannya akan merasai sifat kasih yang mendalam terhadapnya. Berkata orang yang mensifatkannya, Aku tidak pernah melihat sebelum mengenali baginda saw dan selepasnya orang yang sepertinya.
Hadith diatas diriwayatkan oleh Saiyidina Ali bin Abi Talib. Kata Syeikh, puteri Rasulullah saw iaitu Fatimah mendapat keistimewaan yang tidak dimiliki oleh wanita lain. Beliau tidak pernah mengalami haid. Hikmahnya ialah supaya beliau dapat menandingi kehebatan ibadah kaum lelaki. Selain itu, beliau juga tidak boleh dimadukan. Nabi saw melarang Ali dari memadukan puterinya. Ketika Ali berhajat hendak berkahwin dengan anak perempuan Abu Jahal, Nabi saw berkata, mana mungkin anak seorang musuh Allah berhimpun dengan anak kekasih Allah. Ali berkahwin dengan wanita lain selepas Fatimah wafat. Anak Ali dengan wanita lain dibinkan atas nama wanita itu sedangkan anaknya dengan Fatimah dibinkan atas namanya.
Kitab Nawadir al-Usul karangan al-Hakim al-Tirmidzi
Matan hadith berbunyi berikut (riyawat Abdullah bin Mas'ud),
Allah menganugerahkan cahaya kepada orang yang mendengar hadith daripada kami, lalu dia menyampaikan sebagaimana dia mendengar daripada kami. Maka sesungguhnya berkemungkinan orang yang disampaikan lebih memahami daripada orang yang mendengarnya.
Kitab al-Samti wa Adabi al-Lisan karangan Ibn Abi Dunya
Matan hadith berbunyi berikut (seperti yang diriwayat oleh Abdullah al-Jadali)
Aku bertanya Aisyah tentang akhlak Rasulullah saw. Maka beliau berkata, Baginda saw merupakan seorang manusia yang mempunyai sebaik-baik akhlak, baginda saw bukanlah orang yang keji dan tidak melakukan perkara yang keji. Baginda saw juga bukanlah seorang yang gemar memekik-mekik didalam pasar dan tidak membalas kejahatan yang dilakukan kepadanya tetapi baginda saw suka memaafkan dan berdamai.
Kitab Amal al-Yaum wal Laylah karangan Ibn as-Sunni
Matan hadith yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah ra berbunyi berikut,
Apabila seseorang kamu mendatangi tempat tidurnya maka hendaklah dia mengibas kain alasnya dari dalam kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui apa yang bersembunyi didalamnya sejak ditinggalkannya. Kemudian hendaklah dia membaca, “Dengan nama Tuhanku! Aku letakkan rusukku dan dengan kuasa-Mu aku mengangkatnya jika Engkau mencabut nyawaku maka rahmatilah ia dan jika Eengkau bebaskannya maka peliharalah ia sebagaimana Engkau memelihara hamba-Mu yang soleh”.
Kata Syeikh, doa ini sangat dihayati oleh ahli sufi. Ahli sufi melihat segala perbuatan mereka sebagai perbuatan Allah. Bagi mereka, manusia tidak mempunyai apa-apa kekuatan melainkan kekuatan yang diberi oleh Allah Ta’ala. Keadaan ini disebut sebagai fana’ fil af’al.
Kitab Hilyat al-Awliya’ karangan Abi Na’im al-Isfahani
Matan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah ra,
Tidaklah Rasulullah saw meninggalkan dirham dan juga dinar, hamba lelaki mahupun perempuan. Berkata salah seorang daripada keduanya, Baginda saw juga tidak meninggalkan seekor kambing mahupun seekor unta.
Kitab Dalail al-Nubuwwat karangan al-Imam Abi al-Qasim Ismail al-Isbahani
Matan hadith yang diriwayatkan oleh Abi Imamah al-Bahali seperti berikut,
Dikatakan: Wahai Rasulullah! Apakah dia permulaan perihal kenabian kamu? Jawabnya: Doa Nabi Ibrahim as (supaya Allah melahirkan dari kalangan zuriatnya seorang Nabi yang Agung), berita gembira yang disampaikan oleh Nabi Isa as (kepada umatnya mengenai kebangkitanku pada akhir zaman), dan cahaya yang dilihat oleh bondaku (ketika melahirkanku) keluar daripadanya sehingga menerangi istana-istana di negara Syam.
Kitab Fawa’id Tammam karangan al-Imam Abu al-Qasim Tammam bin Muhammad al-Razi
Matan hadith yang diriwayat oleh Abi Hurairah ra seperti berikut,
Nabi saw ditanya; Bilakah diwajibkan kepada kamu kenabian? Jawab baginda saw; Diantara penciptaan Adam dan tiupan ruh kedalam jasadnya. Semoga Allah merahmati ke atas kedua-duanya.
Kitab Musnad Abi Ya’la al-Musali
Matan hadith yang diriwayat oleh Aisyah ra berbunyi berikut,
Fatimah ra datang berjalan menemui Rasulullah saw, caranya berjalan seperti Rasulullah saw berjalan, lalu baginda saw bersabda, Selamat datang puteriku! Dan baginda saw mempersilakan Fatimah duduk di sebelah kanannya atau dikirinya. Baginda saw membisikkan kepadanya suatu cerita, maka tiba-tiba Fatimah ra menangis. Kemudian baginda saw membisikkan kepadanya suatu cerita lalu, Fatimah ra ketawa. Aku berkata, Aku tidak pernah melihat seperti hari ini dimana kesedihan lebih dekat daripada kegembiraan, apakah yang dibisikkan oleh Rasulullah saw kepadamu? Fatimah ra berkata, Aku sekali-kali tidak akan membuka rahsia Rasulullah saw.
Setelah baginda wafat, aku bertanya kepada Fatimah lagi. Maka Fatimah ra berkata, Rasulullah saw bersabda, Sesungguhnya Jibril as mendatangi (pada setiap tahun). Maka dia membentangkan al-Quran kepadaku sekali. Dan sesungguhnya beliau telah datang kepadaku pada tahun ini lalu membentangnya kepadaku dua kali. Dan aku tidak melihat ajalku melainkan ia telah pun tiba. Sebaik-baik orang yang mendahului bagimu ialah aku dan kamu adalah orang pertama dari ahli keluargaku yang akan menyusuliku. Maka aku menangis kerana berita itu. Kemudian baginda saw bersabda; Apakah kamu tidak redha menjadi penghulu perempuan orang-orang yang beriman, ataupun penghulu perempuan umat ini? Fatimah berkata, Maka aku pun ketawa.
Kitab Dalail al-Nubuwwat karangan al-Imam al-Baihaqi
Matan hadith yang diriwayat oleh Yazid bin Abi A’bid seperti berikut
Aku melihat kesan pukulan di paha Salmah, lalu aku bertanya, Wahai Aba Muslim! Pukulan apakah ini? Jawabnya, Ini ialah pukulan yang mengenaiku dalam peperangan Khaibar. Maka aku menemui Rasulullah saw lalu baginda saw menghembusnya sebanyak tiga kali. Maka aku tidak merasa kesakitannya lagi hingga saat ini.
Kitab as-Sunnah karangan Ibn Abi A’sim asy-Syaibani
Matan hadith yang diriwayat oleh Abdullah bin ‘Amru;
Sesungguhnya tempat perjanjian (pertemuan) kamu ialah dikolamku, penjangnya sama seperti lebarnya. Sesungguhnya luas seperti diantara Makkah dan Ailah (bandar berhampiran Syam), terdapat padanya cawan-cawan (banyaknya) seperti bintang-bintang (dilangit), minumannya lebih putih daripada perak, sesiapa yang minum airnya sekali minum tidak akan merasai kehausan selepasnya selama-lamanya.

[1] Masyaikh Syeikh meriwayatkan kitab ini dari gurunya al-Mursyid az-Zahid, Muhammad Sa’id bin as-Syeikh Abdul Rahman al-Burhani. Gurunya itu memakai kunyah al-Burhani yang menunjukkan bahawa meeka berketurunan wali Allah dan dizahirkan kewalian mereka. Mereka dapat memberikan dalil yang nyata bagi membuktikan dakwaan bahawa mereka adalah wali Allah

Wednesday, January 13, 2010

Syarah Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 10 Januari 2010

Kalam hikmah
Allah telah menjadikan hati ahli dunia sebagai tempat bagi kelalaian dan was-was, dan hati orang yang ‘Arifin sebagai tempat bagi mengingati Allah swt dan tempat berjinak-jinak dengan Tuhannya.
Hati hanya mempunyai satu muka atau satu arah atau satu wajah. Hati kita mesti terikat semata-mata pada khalik. Hati kita kita juga tidak boleh terikat pada akhirat kerana akhirat juga adalah makhluk Allah. Kita kenalah pastikan diri kita dari dijajah oleh dunia dan makhluk. Tujuan kita dicipta adalah untuk menghambakan diri kepada Allah Ta’ala sedangkan hati ahli dunia menghambakan diri kepada makhluk. Hati orang-orang yang kenal Allah akan bergetar kerana kerinduan yang amat mendalam kepada Allah Ta’ala. Badan orang-orang yang berzikir bergoyang kesan dari getaran yang sangat kuat terhadap Allah Ta’ala. Saiyidina Ali menyatakan kesedihan apabila melihat masyarakat dizamannya yang jauh dari perjalanan para sahabat. Beliau mengeluh melihat keadaan tabi’in. Katanya,
Sesungguhnya kami para sahabat bangun dari tidur dalam keadaan kusut masai kerana bangun malam dan sibuk beribadat di tengah malam. Dan tidaklah kami jejakkan kaki untuk menunaikan solat subuh di Masjid Nabawi melainkan kami merasa pasir-pasir di Masjid Nabawi berada dalam keadaan basah disebabkan air mata kami. Apabila kami berzikir,badan kami seumpama pokok yang ditiup angin yang sangat kencang.
Jasad para sahabat bergoyang dengan kuat ketika berzikir kerana hati mereka bergetar ketika menyebut nama Allah. Apapun, keadaan ini adalah menurut pandangan orang-orang ‘Arif. Sedangkan orang-orang feqah menghukum keadaan ini sebagai makruh (merujuk kepada keadaan menggoyangkan badan ketika berzikir). Dalam kitab Bidayatul Hidayah, Imam al-Ghazali menyebut perihal jadual orang-orang salik. Sesungguhnya, orang-orang salik itu tidak mempunyai masa rehat. Tidak ada istilah rehat bagi orang salik walau sesaat samada untuk berbicara dan berbuat perkara yang melalaikan melainkan dipenuhi masa mereka dengan ketaatan dan amal ibadat yang berterusan.
Kita hendaklah bersahabat dengan orang-orang yang boleh memberi kesedaran kepada kita, yang boleh meniupkan semangat juang dan menggalakkan kita untuk mengerjakan ibadat dan ketaatan yang luar biasa. Seorang masyaikh sejati tidak perlu memberi khutbah atau syarah dengan panjang lebar kerana amal ibadah mereka sudah memadai kepada masyarakat untuk mencontohi perjalanan hidup mereka. Sabda Nabi saw, Yang banyak mencorakkan hidup seseorang itu adalah sahabat. Isteri kita adalah sahabat kita. Isterilah yang banyak mencorak pemikiran hidup kita kerana dialah orang yang paling dekat dengan kita. Dalam tariq perjalanan Allah Ta’ala, ikhwan atau persaudaraan adalah sangat penting. Sebab itu amat penting bagi kita memilih sahabat yang baik. Kita hendaklah mengkaji dan menyelidiki siapa yang menjadi sahabat kita.
Kita juga mesti mencari guru mursyid dan murabbi yang boleh bertindak menjadi pembimbing kehidupan kita ke jalan yang lurus. Imam Fakhruddin al-razi berkata wajib bagi orang yang mencari jalan Allah mendapatkan guru musrsyid (ahli jalan tersebut) untuk membimbingnya.
Kalam hikmah
Khauf ialah cemeti yang menghalau dan menegah. Ia menghalau kepada ketaatan dan menegah daripada maksiat.
Allah Ta’ala suka kepada kalimah faqir. Inilah kalimah yang dibanggai oleh orang-orang ‘Arif. Imam Atoillah bertawassul dengan sifat faqir.Si Faqir berbekalkan dengan kehinaan dalam perjalanan menuju kea rah Ta’ala. Ketahuilah bahawa sedeqah itu hanya bagi orang faqir. Anugerah dari Allah Ta’ala tidak akan datang melainkan kita berada dalam keadaan faqir.

Syarah Khas sempena lawatan Habib Umar bin Hafiz ke Malaysia 2010

*Catatan bebas ana di Masjid Al-Falah USJ pada 10 Januari 2010
Syarah Khas Habib Hasan, Singapura
Ketahuilah bahawa kehidupan di muka bumi ini hanyalah sementara. Apabila dipanggil oleh malaikat maut maka terputuslah segala tanggungjawab di dunia. Alhamdulillah, sehingga kini masih banyak umat Rasulullah saw yang tidak jemu-jemu memuji dan mencintai Rasulullah saw. Mengapa Rasulullah saw diberi penghormatan sedemikian rupa? Rasulullah saw juga seorang manusia tetapi kenapa baginda saw dimuliakan Allah swt? Ketahuilah bahawa tidak ada seorang Nabi pun yang mendapat kemuliaan seperti Nabi Muhammad saw. Dalam al-Quran, Allah memuji Nabi saw. Allah dan para malaikat bersalawat ke atas Nabi saw. Baginda saw ketika kecilnya menjadi yatim piatu lalu berhijrah dari Makkah ke Madinah dengan linangan air mata. Dengan penuh kesabaran, baginda saw berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Atas pengorbanan Rasulullah saw terhadap agama dan umatnya maka sewajarnyalah kita bersalawat sebanyak-banyak kepada Junjungan besar Rasulullah saw. Jika kita tidak bersalawat ke atas Nabi saw maka rosaklah kehidupan kita. Nabi saw sangat mengasihi umatnya. Ketika roh baginda hendak keluar dari halqum, Nabi saw merasai kesakitan sakaratul maut. Kata Nabi saw kepada malaikat yang berada di sisinya, Kalau inilah kesakitan yang dirasai oleh umatnya (kesakitan sakaratul maut) maka himpunkanlah segala kesakitan umatku. Biarlah aku yang menanggung kesemuanya.

Syarah Khas Habib Soleh al-Jufri, Indonesia
Hujan pada hari ini adalah hujan rahmat. Apabila bani Adam mem buat amal yang baik maka Allah akan turunkan rahmat ke atas muka bumi. Apabila bani Adam membuat amal jahat dan tidak menjalankan perintah Allah Ta’ala maka amalan kejahatan bani Adam ini akan dicatat oleh malaikat lalu Allah akan menurunkan azab. Oleh itu, masing-masing diri kita ini wajar memikul tanggungjawab untuk memperbaiki segala amalan kita. Sesuatu kaum tidak akan diazab sekiranya kaum itu sentiasa membesarkan Nabi saw. Jika kita mengikuti segala sunnah dan amal yang dianjurkan oleh baginda saw, ini bermakna Rasulullah saw akan sentiasa hadir dalam diri kita dan Allah Ta’ala tidak akan mengazab diri kita. Isilah hati kita dengan tawadhuk dan kasih sayang sesama umat. Sebagai umat Muhammad saw, kita hendaklah istiqamah melaksanakan perintah Allah dan membetul atau memperbaiki setiap amal ibadah kita. Kita hendaklah berbuat baik kepada faqir miskin dan taat kepada Allah Ta’ala. Sekiranya setiap muslim menjalankan apa yang disuruh oleh Rasulullah saw maka Allah Ta’ala akan memberi kejayaan kepada diri kita. Kalau kita tidak mengeluarkan diri kita dari penyakit hati, tidak taat kepada perintah Allah dari segi lisan, perbuatan dan segala kehidupan maka kita adalah tergolong dalam kelompok yang memusuhi Islam, semoga Allah melindungi kita dari perkara ini.
Kalau memang benar kita cinta kepada Allah maka kita hendaklah saling tolong-menolong kerana Allah. Masing-masing antara kita hendaklah melihat antara satu sama lain. Lihatlah lisan kita, lihatlah mata kita dan lihatlah segalanya, adakah kita sudah memperbaikinya? Sentiasalah kita berusaha untuk memperbaiknya termasuklah akhlak dan hubungan kita dengan orang lain. Inilah namanya nusratullah. Maka Allah akan memberikan nusrat dan rahmat-Nya kepada kita.
Syarah Khas Syeikh Abdul Karim, Australia
Tiada hadiah yang paling baik kepada umat di dunia ini melainkan kalimah La Ilaha Illallah. Jika kita berterima kasih kepada Allah maka Allah akan menurunkan lebih banyak rahmat-Nya ke atas kita. Kalimah La Ilaha Illallah apabila dimizankan dengan segala makhluk Allah maka kalimah tersebut adalah lebih berat lagi. Kita hendaklah meletakkan rasa kasih-sayang kepada Rasulullah saw dan ahli keluarganya. Kita hendaklah sentiasa mencintai Rasulullah saw dan para sahabat baginda saw. Kita juga hendaklah mencintai sunnah baginda saw. Seharusnya kita menanamkan rasa cinta anak-anak kita dan ahli keluarga kita kepada Rasulullah saw. Bagaimanana kita hendak menghadapi hari akhirat dan adang mahsyar jika kita tidak menunjukkan kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah saw?
Syarah Khas Syeikh Abdul Fattah
Keimanan menjadi sempurna apabila kita melengkapkan kecintaan kita kepada Rasulullah saw. Anas bin Malik menyatakan bahawa ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, bersinarlah cahaya lalu menyelubungi seluruh Madinah. Tatkala ketika wafatnya baginda saw, Madinah diselubungi dengan kegelapan. Para sahabat berasa sangat sedih dengan kewafatan baginda kerana wafatnya baginda bererti terputuslah wahyu. Saiyidina Abu Bakar menangis kerana terlalu rindukan Rasulullah saw. Bilal datang menziarahi maqam Nabi saw apabila terlalu merindui baginda saw. Bila Bilal melaungkan azan, maka teringatlah para sahabat akan kenangan mereka bersama Rasulullah saw. Begitulah mendalamnya perasaan cinta para sahabat terhadap Rasulullah saw.
Syarah Perdana Habib Umar bin Hafiz
Segala puji bagi Allah yang telah memberikan hidayah kepada kita. Allah Ta’ala telah memberi taufik dan rahmat kepada kita pada mala mini. Maha Suci Allah yang Maha Kaya yang tidak memerlukan kita semua. Kalau Allah Ta’ala berpaling dari kita maka kita takkan mampu berdoa dan berzikir. Bila mana Allah Ta’ala berpaling, maka kita akan tercampak kedalam kelalaian. Bersyukurlah kita ke hadrat Allah Ta’ala kerana telah menghimpunkan kita disini. Dalam keadaan Allah tidak memerlukan kita disaat kita memerlukan Allah maka marilah kita bersama-sama memperbaharui janji kita kepada Allah Ta’ala. Dengan memperbanyakkan ucapkan kalimah La Ilaha Illallah. Kalau Allah swt memberikan seseorang akan dunia dan seisi kandungannya tetapi orang itu tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah maka orang itu adalah orang yang paling celaka. Apabila Allah tidak memberikan dunia tetapi memberikan kalimah syahadah kepada seseorang bahkan orang itu sentiasa berada dalam keadaan teruji maka inilah orang yang berada dalam keadaan bahagia. Jadi bagaimana dengan kita? Semua itu adalah anugerah Allah Ta’ala. Bila mana langit dan bumi diletakkan di atas neraca dan ditimbang dengan kalimah La Ilaha Illallah ternyata kalimah ini lebih berat. Itulah janji kita semasa kita berada didalam alam arwah lagi. Allah berkata didalam al-Quran, Bukankah aku telah mengambil janji dari kamu agar tidak menyembah selain dari aku termasuk syaitan. Kita hendaklah berdoa kepada Allah semoga kita dimatikan dalam keadaan beriman kepada Allah Ta’ala.
Adalah sangat menghairankan tatkala seseorang itu apabila berhadapan dengan sakaratul maut tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah walhal beliau sedang ditalqin oleh orang yang ada disekelilingnya. Dia tidak mampu mengucapkan kalimah syahadah tetapi boleh menyebut dan mengingati perkara lain. Sebenarnya, perkara yang mencegah beliau dari mengucapkan kalimah syahadah ialah ketidaksempatan beliau untuk bertaubat terhadap semua perkara-perkara haram yang telah dilakukan dalam sepanjang kehidupannya. Akan tetapi lain pula ceritanya bagi seorang sahabat besar seperti BIlal. Ketika di ambang maut, Bilal langsung tidak berasa sedih sebaliknya gembira kerana inilah peluang baginya untuk berhimpun semula dengan Rasulullah saw dan para sahabat yang lain yang terlebih dahulu wafat sebelumnya. Sesungguhnya manusia itu meninggal berdasarkan kepada kehidupan dan amalan dirinya di dunia. Kalimah La Ilaha Ilallah yang diucapkan itu perlu masuk terus kedalam hati.Kenapa perlu masuk kedalam hati? Ini adalah kerana hati berhubung terus dengan Tuhannya. Setelah kita memperbaharui perjanjian, maka bersedialah kita dengan curahan rahmat Allah Ta’ala. Selain itu, hendaklah kita sentiasa bertaubat atas segala dosa yang telah kita lakukan. Beristighfarlah kepada Allah Ta’ala dan mintalah ampun kepada Allah atas setiap dosa kecil dan besar. Berazamlah dengan bersungguh-sungguh agar tidak kembali kepada dosa lampau.
Ketika Saiyidina Abu Bakar berada dalam keadaan sakit, beliau sentiasa bermimpi bertemu Rasulullah saw. Sebab-sebab kewafatannya ada dua iaitu sebab zahir dan sebab batin. Sebab zahir ialah makanan yang beliau makan ada bercampur dengan racun manakala sebab batin ialah kerinduan yang teramat sangat terhadap Rasulullah saw. Sehinggakan tiap-tiap hari beliau asyik bertanyakan hari ini hari apa dan seterusnya dengan harapan dirinya dapat meninggal dunia pada hari Isnin sama seperti hari wafatnya Rasulullah saw. Apapun Abu Bakar telah ditakdirkan wafat pada hari Selasa sama seperti hari beliau dilantik menjadi khalifah umat Islam setelah wafatnya baginda Rasulullah saw. Telah menjadi kebiasaan Abu Bakar ketika menjadi khalifah, beliau akan berjalan-jalan melihat kehidupan rakyat. Pada satu hari beliau terdengar salah seorang rakyatnya berkata bahawa Abu Bakar tidak akan lagi memerah susu untuk mereka kerana sibuk dengan urusan khalifah. Sebaik mendengar kata-kata itu, beliau terus bertemu dengan rakyatnya lalu menyatakan, Aku akan memerah susu untukmu sama seperti ketika aku belum menjadi khalifah.
Umar al-Khattab ketika ditusuk dengan tombak memerintahkan anaknya, Abdullah berjumpa Aisyah untuk meminta dari Aisyah agar dirinya dapat disemadikan di rumah Aisyah disebelah maqam Rasulullah saw apabila wafat kelak. Dalam keadaan parah, Umar menggagahkan dirinya untuk menunaikan solat. Sekembalinya Abdullah kepadanya, Umar tidak sabar-sabar untuk mendegar jawapan dari anaknya. Kata Abdullah, Aisyah mengizinkan Umar disemadikan dirumahnya. Aisyah berkata, Tempat itu sebetulnya aku sediakan untuk diriku tetapi akan aku dahulukannya untuk Umar. Kata Umar setelah mendengar jawapan itu, Sesungguhnya tidak ada yang lebih gembira bagiku bila mendengar jawapan ini. Ketika Uthman dikepung oleh musuhnya, Ali mengirimkan anakandanya, Husain untuk memberikan air kepada Uthman. Uthman bermimpi melihat Rasulullah saw dan mengadu kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw berkata kepada Uthman, Aku boleh berdoa untuk kesejahteraanmu atau kamu boleh berbuka puasa denganku selepas ini (pada waktu itu Uthman berpuasa). Uthman memilih untuk berbuka puasa dengan Rasulullah saw. Maka pada malam itu, beliau dibunuh oleh musuhnya. Begitu juga dengan Ali. Pada malam sebelum hari beliau dibunuh, beliau mendongak ke langit dan melihat bintang-bintang diatasnya. Bintang-bintang itu memberi petunjuk kepadanya bahawa beliau akan dibunuh pada esok harinya. Pada malam itu beliau bermimpi bertemu Rasulullah saw dan mengadu kepada baginda saw. Rasulullah saw berkata kepada Ali, Adakah kamu hendak aku mendoakan kesejahteraan untukmu atau kamu hendak berbuka puasa denganku. Ali memilih untuk berbuka puasa dengan Rasulullah saw. Maka keesokan harinya, Ali ditusuk dengan tombak ketika sedang menunaikan solat subuh. Ali melarang anakandanya Hassan menyeksa orang yang membunuhnya. Nabi saw pernah bersabda, Orang yang paling celaka pada zaman dahulu ialah orang yang membunuh unta Nabi Salleh dan orang yang paling celaka pada zaman ini ialah orang yang telah membunuh Ali.
Ketika Hassan sakit tenat, beliau memberitahu kepada adiknya, Husain, Aku tahu siapa yang meracuni aku akan tetapi aku memaafkannya. Hassan menangis kerana khuatir beliau tidak dibangkitkan di tempat ayahanda dan nendanya dibangkitkan padahal beliau bukanlah orang lain tetapi merupakan cucunda Rasulullah saw. Tentang Husain pula, ketika beliau keluar untuk meneruskan perjalanan, dia telah bertembung dengan Abdullah bin Abbas. Kata Abdullah, Engkau akan dibunuh jika engkau keluar dari sini. Kata Husain, Aku tidak mahu darahku membasahi bumi Madinah ini. Ketika dibunuh, darah Husain membentuk kalimah “Adakah kamu yang membunuh aku menyangka akan mendapat syafaat dari Rasulullah saw?”
Anas bin Malik berkata, Ketika Ali sedang tidur, Rasulullah saw datang mengunjungi Fatimah. Fatimah menyambutnya sementara Husain datang menghampiri Rasulullah saw dan meminta minuman dari baginda saw. Nabi saw kemudiannya pergi memerah susu dan memberinya pada Husain. Hassan cuba mendahului Husain untuk mendapatkan susu tersebut tetapi dicegah oleh Nabi saw. Nabi saw mencintai kedua-dua cucunya itu tetapi dia memberikannya kepada Husain kerana Husain terlebih dahulu meminta minuman darinya. Kata Rasulullah saw, Wahai Anas, Sesungguhnya aku dan keluarga ini akan berada di hari kiamat di tempat yang satu.
Ketahuilah bahawa nama-nama yang disebutkan sebelum ini adalah nama-nama besar dalam Islam. Oleh itu, berusahalah kita untuk mencintai dan mencontohi mereka.

Tuesday, January 12, 2010

Syarah Syamail Muhammadiyah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 09 Januari 2010
Martabat ahli hadith ada lima iaitu
1. Penuntut
2. Muhaddith – orang yang mengetahui selok-belok hadith
3. Hafiz – menghafaz 100,000 hadith (sanad dan matan)
4. Al-Hujjah – menghafaz 300,000 hadith
5. Al-Hakim – menguasai hampir kesemua hadith
Imam Ibn Hatim al-Razi menyebut bahawa ahli hafiz akan lahir setiap 40 tahun. Walaubagaimanapun, ada sesetengah ulama berpendapat bahawa kenyataan Imam al-Razi itu adalah merujuk kepada generasi ulama silam kerana pada zaman ini amat sukar sekali untuk menentukan seseorang ulama itu boleh mencapai ke tahap sedemikian rupa. Orang yang mencapai martabat hafiz ini menjadi penghujah dimuka bumi. Kata Imam Ahmad bin Hanbal, tidak ada orang yang paling mulia selain dari ahli hadith. Imam Syafi’i pula menyatakan, Bila aku melihat wajah ahli-ahli hadith, ianya seolah-olah seperti aku melihat wajah Rasulullah saw. Imam Sufyan as-Tsauri ketika melihat seseorang yang menghabiskan usia tuanya tanpa menunjukkan minat untuk duduk didalam majlis hadith berkata, Allah tidak akan membalas terhadap engkau (orang tua itu) sebarang balasan didalam agama. Syeikh Sulaiman al-Abbas (saya tak pasti betul atau tidak nama tokoh ini), berkata, Orang yang tidak mahu didalam didalam majlis hadith maka aku sangat berhajat untuk menempeleng mukanya dengan selipar. Amatlah malang dan hina bagi orang yang tidak berkeinginan untuk belajar ilmu hadith ini.
Nabi Muhammad saw dikurniakan dengan pelbagai mukjizat. Antaranya ialah dari segi struktur tubuh baginda saw. Apabila baginda saw, baginda saw akan kelihatan lebih tinggi dari orang lain. Tetapi setelah selesai bersalam, tubuh baginda saw akan kelihatan sederhana. Nabi saw kelihatan lebih tinggi ketika berjalan kerana tidak ada seorang pun yang lebih tinggi kemuliaannya dari baginda saw. Warna kulit Nabi saw adalah putih kemerahan. Maksud putih kemerahan ini ialah apabila kulitnya disinari matahari maka warna kulitnya akan berubah menjadi merah. Jika tidak disinari matahari, kulit baginda saw berwarna putih. Kata ulama, sesiapa yang mengatakan bahawa kulit Nabi saw hitam maka orang itu adalah kafir kerana menyalahi hadith mutawatir yang diriwayatkan oleh sebilangan besar sahabat, tabi’in dan tabi’in tabi’in.
Hadith yang dibaca pada hari ini ialah tentang bentuk tubuh Rasulullah saw
Daripada Anas bin Malik ra, beliau berkata, Rasulullah saw tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Kulitnya tidak putih seperti kapur, tidak juga hitam. Rambutnya ikal, tidak kerinting dan tidak pula lurus kaku. Baginda saw diangkat menjadi Allah swt (menjadi Nabi) ketika berusia 40 tahun. Baginda saw tinggal di Makkah (sebagai Rasul) selama 10 tahun dan di Madinah selama 10 tahun. Baginda saw wafat ketika berusia 60 tahun. Tidak terdapat di kepala dan janggutnya sampai 20 helai uban.
Kata ulama, tentang tempoh Nabi saw tinggal di Makkah selama 10 tahun dan Madinah juga selama 10 tahun, ianya terkait dengan tiga pendapat berikut,
1. Penurunan surah al-Alaq berlaku ketika Nabi saw belum menjadi Rasul. Dalam tempoh tiga tahun pertama, Nabi saw belum diperintah untuk keluar berdakwah. Maka atas sebab itu, tempoh Nabi saw tinggal di Makkah dihitung setelah baginda saw diangkat menjadi Rasul iaitu tiga tahun selepas Nabi saw menerima wahyu yang pertama itu.
2. Nabi saw berdakwah secara rahsia dalam tempoh 3 tahun terawal ketika tinggal di Makkah. Maka tempoh tersebut tidak dikira sebagai tempoh tahun Nabi tinggal di Makkah, sebab itulah didalam hadith ini ia dinyatakan sebagai 10 tahun sahaja.
3. Hadith ini tidak menyatakan tarikh yang tepat sebaliknya menyebut tempoh tersebut secara anggaran sahaja iaitu ‘sekitar’ atau ‘lebih kurang’.
Dalam hadith diatas, disebut bahawa uban Nabi saw tidak sampai 20 helai. Ada ulama bertanya, kenapa uban Nabi saw sebanyak itu dan kenapa Nabi saw beruban? Lalu dijawab oleh sebahagian ulama yang lain dengan menyatakan, Adapun Nabi saw beruban kerana uban itu menampakkan ketenangan dan memancarkan cahaya (nur) pada diri baginda saw. Manakala ubannya tidak banyak kerana fitrah wanita yang tidak sukakan suaminya beruban banyak. Nabi saw tidak beruban banyak kerana dikhuatiri para isterinya tidak menyukai baginda saw sedangkan perkara ini jika berlaku akan menyebabkan para isterinya menjadi durhaka kepada baginda saw. Isteri-isteri baginda saw tidak boleh durhaka kepada baginda saw kerana hal ini akan menjatuhkan martabat Nabi saw sebagai Rasulullah dan para isteri baginda saw, maka atas sebab itu Allah Ta’ala memelihara baginda saw dengan mengurniakan hanya sedikit sahaja uban di kepala baginda saw yang mulia itu. Selain itu, sifat tidak sukakan kepad rasul adalah bersalahan dengan kemuliaan yang ada pada rasul maka Allah memelihara baginda saw dari terjadinya perkara tersebut.
Nabi saw ada menyimpan janggut. Menyimpan janggut adalah sunnah baginda saw. Pada satu hari, Nabi saw tersenyum melihat seorang lelaki yang mempunyai beberapa helai janggut. Keesokan harinya, Nabi saw tidak lagi tersenyum setelah berjumpa dengan lelaki itu yang telah pun membuang janggutnya. Lelaki itu hairan dan bertanya kepada baginda saw. Lalu Nabi saw menjawab, Semalam aku nampak bidadari bergantungan pada janggutmu sebab itulah aku tersenyum. Hari ini aku tidak tersenyum kerana tiada lagi bidadari bergantungan pada janggutmu.
Ibubapa perlu memaksa anak-anak mereka belajar hadith. Sekiranya kita boleh memaksa anak-anak belajar ilmu alat maka kita juga perlu memaksa anak-anak belajar ilmu hadith. Ibrahim bin Adham berkata, Sewaktu aku kecil, ayahku memaksaku menghafal hadith. Malah ayahku memberi daku hadiah sebanyak 1 dirham sekiranya aku berjaya menghafaz hadith. Ini menunjukkan bahawa ilmu hadith ini sangat penting dalam Islam. Tanpa ahli hadith maka Islam akan terkubur. Anas bin Malik salah seorang periwayat hadith baginda saw pernah didoakan keberkatan hidup oleh baginda saw. Peristiwa itu berlaku ketika Nabi saw tertidur di rumahnya ketika beliau masih kecil. Ketika baginda saw tertidur dalam keadaan berpeluh, ibunya Ummu Sulaim menadah peluh baginda saw untuk dijadikan wangian.[1] Rasulullah saw membenarkan perbuatan Ummu Sulaim itu. Ummu Sulaim selanjutnya meminta Rasulullah saw mengambil anaknya Anas bin Malik menjadi khadamnya. Ummu Sulaim juga meminta Rasulullah saw mendoakan anaknya. Ada 3 perkara yang telah didoakan baginda saw dan kesemua doa tersebut telah dimaqbulkan. Doa tersebut ialah
1. Memanjangkan usia Anas bin Malik. Anas bin Malik berumur panjang sehingga pernah satu hari Anas berkata, Aku berasa bosan kerana hidupku terlalu panjang.
2. Meramaikan anaknya. Anas bin Malik dikurniakan zuriat yang banyak. Disebabkan umurnya yang panjang, beliau berkesempatan mengebumikan 125 orang anak dan cucunya yang terlebih dahulu meninggal dunia sebelumnya.
3. Meluaskan rezekinya. Anas bin Malik dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah. Pokok-pokok didusunnya berbuah dua kali setahun manakala hujan tetap turun di dusunnya walaupun tempat lain menghadapi kemarau.
Anas bin Malik adalah seorang sahabat yang sangat bijaksana. Beliau meminta syafaat dari baginda saw ketika baginda saw masih hidup.[2] Kata baginda saw kepada Anas, Aku akan syafaatkan engkau di hari akhirat kelak. Anas tidak berpuas hati dengan jawapan Rasulullah saw lalu bertanya lagi, Dimana aku hendak bertemu dengan engkau di akhirat kelak wahai Rasulullah? Kata Rasulullah saw, Engkau jumpa aku di mizan. Anas masih tidak berpuas hati lalu bertanya, Kalau aku tidak menemui disitu? Jawab Rasulullah saw, Temui aku di sirat. Anas masih belum berpuas hati lalu bertanya lagi, Kalau aku tidak temu engkau disitu? Jawab Rasulullah saw, Temui aku di Telaga Kautsar. Inilah 3 tempat aku membantu umatku. Nabi saw akan memerhatikan timbangan umatnya di mizan, memimpin tangan umatnya di sirat dan memberi minum kepada umatnya di telaga Kautsar.

[1] Peluh baginda saw dijadikan wangian menunjukkan Nabi saw bukanlah manusia biasa sebaliknya manusia yang paling mulia disisi seluruh umat bani Adam. Orang yang menyatakan Nabi Muhammad sebagai manusia biasa adalah orang yang paling jahil. Inilah sebesar-besar kejahilan.
[2] Hukum minta syaafat dari baginda saw adalah harus

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 9 Januari 2010. Catatan ini ditulis pada bahagian pertengahan syarahan tuan syeikh (ana masuk lewat dalam majlis)
Seseorang itu hanya layak digelar muhaddith apabila mereka menjadi ahli yang mengetahuai selok-belok ilmu hadith dengan mendalam dan menghafaz sejumlah besar hadith. Syeikh Ahmad Siddiq al-Ghumari, seorang muhaddith besar pernah diundang oleh Syeikhul Azhar datang kerumahnya. Bersama-sama mereka ialah seorang lagi muhaddith besar yang bernama Syeikh Abdul Hayy al-Kattani. Tokoh ini pernah berguru dengan 700 orang ulama besar dizamannya. Dalam perjumpaan tersebut, Syeikhul Azhar sangar memuliakan kedua-dua orang tetamunya itu memandangkan kedua-duanya adalah muhaddith besar. Ketika makan bersama, Syeikhul Azhar tidak menggunakan sudu dan garpu yang merupakan amalan atau protokol rasmi kerajaan. Antara mereka bertiga, Syeikh Ahmad Siddiq adalah yang paling muda tetapi beliau sangat dihormati kerana ketinggian ilmunya. Ketika ditanya tentang permasalahan hadith kepada Syeikhul Azhar, syeikhul besar itu menjawab bahawa beliau telah menyelidik masalah hadith itu dengan membaca dan menghafaz kitab Jami’ul Kabir yang berjumlah 20 jilid kesemuanya (setiap satu jilid mencecah 500 mukasurat). Rupanya Syeikhul Azhar itu juga adalah seorang muhaddith besar.
Ahli muhaddith termasuk dalam golongan orang-orang yang membesarkan ilmu. Kata syeikh, al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw. Al-Quran dinamakan mukjizat kerana ia mampu melemahkan manusia. Tidak ada seorang pun yang berupaya mengarang walau satu ayat seperti yang terkandung didalam al-Quran. Jika al-Quran merupakan mukjizat terbesar baginda saw maka karomah terbesar bagi para wali ialah ilmunya. Disisi para wali, ilmu adalah karomah yang paling mulia bukannya hal-hal yang mencarik adat. Mukjizat yang mencarik adat adalah merupakan satu kemuliaan kepada para Nabi dan Rasul. Ianya merupakan anugerah Allah Ta’ala kepada mereka. Begitu juga dengan karomah yang mencarik adat yang terjadi dikalangan para wali. Ia merupakan anugerah Allah kepada mereka. Apapun hal-hal yang mencarik adat ini bukanlah satu keperluan melainkan anugerah Allah Ta’ala kepada mereka atas kemuliaan mereka. Tanpa hal-hal mencarik adat pun, para Nabi dan Rasul serta wali tetap berada dalam kelompok atau golongan yang menjadi Kekasih Allah. Sufi besar, Syeikh Abu Yazid al-Bustami diriwayatkan pernah berjalan di atas air dan terbang di udara. Karomahnya itu telah menimbulkan rasa takjub masyarakat yang telah menyaksikannya. Lalu Syeikh Abu Yazid berkata, Apalah yang engkau kagum sangat dengan aku padahal maqam aku hanyalah maqam itik dan burung sahaja. Orang tertanya-tanya akan karomah Imam Abu Hasan asy-Syazuli. Mereka beranggapan bahawa karomahnya tentu lebih hebat dari anak muridnya. Ini adalah kerana karomah anak muridnya sangat hebat dimana air kencingnya boleh bertukar menjadi emas. Namun, kata Imam Abu Hasan apabila ditanya oleh orang ramai, Karomah aku ialah apabila aku berjalan, aku tidak ditelan bumi. Sepatutnya dengan segala macam bentuk dosa yang telah aku lakukan maka selayaknyalah bumi menelan aku. Apa yang hendak ditekankan disini ialah bukannya karomah yang mencarik adat tetapi karomah yang paling mulia disisi para wali Allah ialah ilmu. Para nabi dan rasul diperkuatkan dengan mukjizat. Mukjizat itu bukanlah satu keperluan atau syarat yang wajib ada pada mereka tetapi tidak lebih dari anugerah Allah Ta’ala atas sebab kemuliaan mereka. Begitu juga dengan para wali Allah. Bahkan mereka tetap tergolong dalam kelompok kekasih Allah biarpun mereka tidak memiliki karomah. Nabi disangga(disokong) oleh sifat maksum. Sifat ini adalah anugerah Allah yang memelihara mereka dari melakukan dosa kecil dan besar. Hikmah adanya sifat ini kepada mereka ialah agar umat dapat mencontohi mereka. Sekiranya, mereka tidak maksum, bagaimana umat hendak mencontohi mereka.
Salah satu cabang penting dalam mentafsir ayat-ayat al-Quran ialah dengan memahami ilmu balaghah. Dalam ilmu balaghah, ada ayat yang diawal (taqdim) dan ada ayat yang diakhirkan (takkhir). Tafsiran keatas sesuatu ayat al-Quran tidak boleh dilakukan dengan cara menterjemahnya secara bulat-bulat. Sebagai contoh, dalam ayat (dengan maksudnya) yang terkandung dalam kitab tafsir Indonesia seperti berikut, Dan sesungguhnya Zulaikha telah mempunyai keinginan terhadap Yusuf dan Yusuf juga berkeinginan untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada Zulaikha jika tidak ada pertolongan dari Tuhan. Terjemahan ini adalah tidak tepat kerana tidak menepati disiplin ilmu balaghah. Jika dilihat pada terjemahan tersebut, ia seperti membawa makna bahawa Yusuf juga berkeinginan untuk berzina sedangkan perbuatan itu tidak mungkin dilakukan oleh seorang Nabi yang sifatnya maksum. Terjemahannya yang betul adalah seperti berikut, Sesungguhnya Zulaikha telah berkeinginan dengan Yusuf, kalau tidak ada pertolongan Tuhan maka Yusuf pun begitu juga.