Tuesday, February 23, 2010

Himpunan Hadith Modal Insan dan Tasawwuf - Disyarah oleh Dr Zulkifli al-Bakri

*Catatan bebas ana di Surau al-Hijrah Kota Warisan pada 23 Februari 2010
Sesi Pertama: Hadith Modal Insan
Kebahagiaan Haqiqi
Doa terbahagi kepada dua iaitu doa untuk memohon sesuatu hajat dan doa untuk meminta berlindung dari sesuatu seperti sakit, kecelakaan dan sebagainya. Nabi saw menganjurkan umatnya berdoa dari perkara seperti kemungkaran akhlak. Apabila akhlak dan bankrap atau muflis, segala lesen kejahatan akan bermaharajalela dan terpapar. Macam-macam maksiat berlaku didepan mata. Hukuman yang bersandarkan pada syariat Islam dianggap sebagai satu benda yang merbahaya walaupun ia paling berkesan untuk menangani masalah maksiat. Isu sebat diperbesar-besarkan padahal hukuman yang dijalankan belum secara menyeluruh kerana hukuman itu dijalankan dengan beberapa sebatan sahaja. Puak kafir mengatakan isu ini sangat bahaya kerana menganggap Malaysia tidak lagi mengamalkan dasar liberal. Ketahuilah bahawa kemungkaran akhlak yang berleluasa menjadi kehidupan kita semakin tidak seronok. Penurunan akhlak menjadi-jadi saban hari. Jika satu masa dahulu, cerita tentang zina amat sedikit sekali dibicarakan tetapi pada hari ini ianya terlalu berleluasa. Dalam al-Quran ada disebut, jangan kamu hampiri zina kerana ia sungguh keji dan kesudahannya (natijahnya) sangat buruk. Dari segi usul fiqh maksud jangan hampiri itu ialah jangan langsung mendekatinya supaya tidak terjebak atas perlakuannya. Ini menunjukkan betapa bahayanya kesan atas perlakuan ini. Dewasa ini orang menganggap remeh tentang isu sebegini. Ada orang bergurau mengatakan bahawa maksud jauhi dadah itu ialah jauhkan sahaja tetapi menghisapnya tidak mengapa. Mereka bermain-main dengan isu sebegini sedangkan mereka mengetahui natijahnya sangat buruk kepada masyarakat. Saintis membuat kajian tentang kesan akibat dari perbuatan zina. Zina mendatangkan pelbagai macam penyakit seperti mandul, sifilis dan AIDS. Ada seorang Arab pergi ke Eropah. Imannya lemah lalu terjebak dengan zina. Apabila pulang ke negeri Arab, dia insaf dan berkahwin. Sekian lama ia berkahwin namun tetap tidak dikurniakan anak. Apabila dia membuat pemeriksaan kesihatan, didapatinya sel sperma lelaki telah berkurang. Sel itu berkurang kesan dari perbuatan zina yang dilakukannya tempoh hari. Sel sperma menjadi susut kesan dari perbuatan zina. Orang yang membuang bayi hasil dari zina adalah kelompok manusia yang tidak berperikemanusiaan. Orang berkahwin secara syari’i tidak akan melakukan perbuatan sebegini. Dalam al-Quran disebut, Kenapa kanak-kanak dibunuh? Apakah dosanya hingga dibunuh begitu kejam?
Satu kajian yang cukup menggerunkan mendapati bahawa ada perempuan yang berzina atau dirogol pada hampir setiap 17 minit. Kes rogol yang paling tinggi berlaku di Afrika Selatan. Kadar jenayah bab zina terlalu tinggi dan natijahnya ialah kebanyakan mereka menghidap penyakit HIV/AIDS. Penyakit ini hingga kini belum ditemui penawar yang betul-betul berkesan. Anak yang membesar hasil dari perbuatan zina akan berada dalam keadaan tertekan dan terlalu merendah diri. Kemudiannya, mereka akan membetuk perkumpulan mereka sendiri untuk menzahirkan kekuatan. Anak-anak inilah (jika tidak dididik dengan betul) akan merajai kejahatan. Orang yang tidak dapat menguasai nafsu hanya seronok seketika sahaja tetapi bahana kecelakaannya berlanjutan sepanjang hayat. Orang yang suka minum arak akan menjadi lemah sistem pertahanan badannya (antibodi) dan membawa kepada penyakit seperti mati pucuk, kerosakan hati, pankeas dan usus. Sesungguhnya puak atau golongan ini adalah satu puak atau golongan yang sedang mereput dari dalam dan menuju kearah kehancuran jika mereka tidak memperbetulkan diri mereka. Kata Imam Syauqi dari Mesir, Sesungguhnya setiap umat itu bersendikan akhlak. Selagi mana akhlak itu tertegak maka selagi itulah umat terpelihara dan berjaya tetapi bila mana akhlak muflis maka hancurlah umat. Rasulullah saw turut menganjurkan umatnya berdoa agar terhindar dari penyakit yang menggerunkan. Allah tidak menurunkan penyakit melainkan ada penawarnya tetapi penyakit-penyakit yangmenggerunkan ini tidak mempunyai penawar seperti barah dan AIDS. Kata Syeikh, inilah penyakit ‘tunggu nak mati’. Penyakit-penyakit yang menggerunkan ini timbul apabila
1. Adanya unsur maksiat
2. Perbuatan melanggar syariat seperti dizaman Firaun, ada abang berkahwin dengan adiknya lalu ditimpa musibah seperti kaki menjadi bengkok, kepala tidak sempurna, mati awal dan sebagainya.
Penyakit yang lebih parah ialah penyakit hati seperti hasad dengki, dendam kesumat dan sebagainya. Kata pujangga,
Akhlak yang buruk itu azab
Kedengkian itu racun
Mungumpat itu riba
Intai seseorang itu adalah kehinaan

Akal yang sihat berpunca dari tubuh badan yang sihat dan iman yang sihat. Orang sekarang bimbang rezeki tidak mencukupi kerana mereka tidak yakin pertolongan Allah sedangkan orang yang bertaqwa kepada Allah sentiasa bertawakkal kepada Allah lalu Allah memberi jalan pelepasan kepadanya.

Sesi Kedua: Tasawwuf
Muhasabah Imam Asy-Syafi’i terhadap dirinya
Imam Asy-Syafi’i adalah pakar dalam bidang bahasa Arab kerana beliau berguru dengan kabilah Arab yang paling mahir dalam Bahasa Arab. Ketinggian bahasa Arab Imam Asy-Syafi’i dapat dilihat menerusi syair-syair yang dikarangnya yang dihimpun dalam sebuah kitab bernama Diwan Asy-Syafi’i. Seperti kata Imam asy-Syafi’I, muhasabahlah diri sejauhmana kita beramal dengan kitab Tuhan dan sejauh mana kita mengikuti sunnah Nabi Muhammad saw. Orang dulu hebat kerana al-Quran dan Sunnah Nabi saw sentiasa ada bersama mereka. Banyak sunnah Nabi saw yang semakin ditinggalkan orang pada hari ini. Kita sepatutnya menghidupkan (ihya’) kembali sunnah Nabi saw antaranya seperti bersiwak dan mengerjakan solat sunat wuduk seperti mengambil wuduk. Solat sunat ini ramai orang tak buat. Begitu juga solat sunat dua rakaat sebelum subuh. Nabi saw sentiasa menjaga solat sunat ini. Mengerjakan dua rakaat solat sunat subuh ini lebih baik dari dunia seisinya. Kita hendaklah menghidupkan qiamullail kerana inilah perjalanan orang-orang yang soleh. Begitu juga dengan amalan makan berjemaah dalam sau dulang yang semakin dilupai orang. Kata syeikh, ada lebih kurang 60 buah hadith yang diriwayat berkenaan dengan bab makan. Sunnah Nabi saw berjalan bukan dengan cara berlenggang-lenggok tetapi berjalan dengan pantas. Apabila azan dilaung, Nabi saw akan bergegas ke masjid. Bagaimana pula dengan masyarakat pada zaman ini? Adakah terus bergegas ke masjid atau masih duduk selamba diatas kerusi sewaktu azan dilaungkan? Pada hari ini, jarang sekali ibubapa bangun dan memeluk anak-anak mereka ketika menyambut kedatangan/kepulangan anak sedangkan Rasulullah saw berbuat sedemikian ketika menyambut anakandanya, Fatimah az-Zahra. Memakai sarban di kepala adalah sunnah, begitu juga dengan memberi salam. Pada masa ini sangat sedikit orang yang memberi salam kepada orang lain. Tanda akhir zaman ialah apabila orang memberi salam hanya pada yang dikenali sahaja. Banyak sunnah yang berkaitan dengan doa yang dibaca oleh Nabi saw seperti selepas mengambil wuduk, masuk dan keluar tandas dan meletakkan tangan diatas ubun kepala isteri selepas majlis akad nikah disempurnakan tetapi amat sedikit sekali diamalkan umat Islam pada masa ini.
Muhasabahlah diri kita terhadap nafsu dan syahwat. Kita mesti menyalahi syaitan, jangan sampai taat kepada musuh yang paling nyata ini. Muhasabahlah diri kita tentang keluarga dengan makanan. Orang Ansar di Madinah masih mengekalkan tradisi memasak makanan secara besar-besaran di sesuatu tempat lalu diberikan kepada orang ramai secara percuma. Kata syeikh, sepatutnya tradisi ini dipraktikkan di surau-surau untuk dimasak dan dimakan beramai-ramai kerana ia bukan sahaja menjimatkan tetapi juga mendapat keberkatan Allah Ta’ala. Mereka yang suka memberi makan atau menjamu orang akan mendapat limpahan keberkatan dan kekayaan dari Allah Ta’ala. Ada seorang hamba Allah di Makkah asal Tanah Melayu yang sangat gemar menderma. Dermanya mencecah jutaan ringgit. Saban tahun semakin meningkat dermanya. Kekayaannya bertambah kerana Allah Ta’ala melipatgandakan hartanya setiap kali beliau menderma. Maksud makanan halal bukan setakat halal sembelihan sahaja tetapi juga halal dari unsur rasuah, riba, curi, tipu dan sebagainya. Kajian yang telah dibuat oleh penyelidik mendapati bahawa makanan mempengaruhi keadaan tingkahlaku manusia. Salah satu sebab umat Islam tidak dibenar memakan babi ialah supaya tidak ada unsur ‘babi’ dalam diri kita. Unsur babi yang dimaksudkan ialah hilangnya ghirah iaitu hilangnya sifat cemburu yang patut ada dalam diri. Umat Islam juga tidak dibenar memakan binatang buas kerana sifat pemangsa tidak boleh berada didalam diri.
Muhasabahlah diri kita dari banyak berangan-angan (panjang angan-angan). Muhasabahlah diri kita tentang masa. Masa tidak boleh dibazirkan dengan sewenang-wenangnya. Jenayah yang paling besar pada masa ini ialah membazirkan masa. Orang dulu amat sedikit membazirkan masa. Masa mereka banyak dihabiskan dengan berzikir, bertahlil dan sebagainya.

Sunday, February 21, 2010

Syarah Khas Habib Munzir Fuad al-Musawa

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 17 Februari 2010
Allah bersama hamba-Nya bila hamba-Nya mengingati-Nya. Bibir hamba-Nya yang bergetar menyebut nama Allah akan dimuliakan Allah Ta’ala. Allah menawarkan pengampunan dosa-dosa kita. Allah melipat-gandakan pahala dari 10 kali lebih besar hingga 700 kali lebih besar. Kata Imam Abdullah al-Haddad, “Semua perbuatan-Mu indah wahai Allah. Semua kenikmatan jika disyukuri akan dikurniakan nikmat yang lebih besar lagi sebaliknya semua musibah yang diturunkan tidak lain tidak bukan adalah penghapusan dosa tanpa istighfar.” Lalu perbuatan Allah yang manakah yang dikatakan tidak baik dan bagaimana ada orang boleh bertanya bahawa Allah punya kemurkaan dan menyediakan neraka? Ingatlah Firman Allah Ta’ala yang bermaksud, Rahmatku lebih besar dari kemurkaanku. Sebagai manusia, kita tidak punya apa-apa. Kita hanyalah hamba di sisi Allah Ta’ala. Dikisahkan bahawa ada seorang panglima besar yang memacu kudanya lalu menuju ke tempat orang ramai. Disuruhnya semua orang ke tepi kerana menghalang laluannya. Sehinggalah sampai ke satu tempat dimana seorang ibu tua tidak dapat bergerak ke tepi dengan pantas. Lalu ibu tua itu berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku tahu siapa kamu. Aku lebih kenal kamu wahai Panglima dari mulamu hingga akhirmu”. “Benarkah begitu wahai ibu tua?” Tanya sang panglima kepada ibu tua. “Ya, awalmu adalah air mani dan akhirmu adalah bangkai”. Itulah hakikat manusia. Namun begitu, ditengah-tengahnya (diantara air mani dan bangkai) ada kehidupan sementara yang menjadi gerbang kepada kehidupan yang abadi.
Makhluk yang paling mulia disisi Allah Ta’ala adalah Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Nabi saw ibarat pelita yang terang benderang apabila berhijrah ke Madinah. Hijrah Nabi saw bermula pada awal Rabi’ul Awwal dan sampai di Madinah pada 12 Rabi’ul Awwal. Tarikh Nabi saw sampai di Madinah adalah sama dengan tarikh kelahiran dan kewafatannya. Justeru, tarikh 12 Rabi’ul Awwal sangat bermakna dalam sejarah Islam. Pembuka kebahagiaan yang kekal adalah lahirnya Nabi saw. Barangsiapa yang bersyukur, maka Allah akan menambah kenikmatan sebaliknya barangsiapa yang tidak bersyukur maka Allah akan mencabut kenikmatan dan menggantikannya dengan seksaan. Maka janganlah ada golongan yang melarang orang yang bersyukur kepada Allah atas kelahiran Nabi saw. Orang Ansar sangat sayang kepada Nabi saw dan memberi perlindungan bersungguh-sungguh kepada Nabi saw. Kata mereka kepada Nabi saw,” Andainya kami harus mati kerana Allah dan Rasul-Nya maka kami sanggup mati”. Sabda Nabi saw,”Tanda-tanda orang beriman ialah mencintai kaum Ansar dan tanda-tanda orang munafik ialah membenci kaum Ansar. Orang yang cinta pada Ansae akan dicintai Allah kerana mereka mencintai Nabi saw.”
Kelahiran Nabi saw membawa keberkatan. Seperti Nabi Isa as dan Nabi Yahya as yang diucapkan salam sejahtera pada hari kelahiran, kewafatan dan kebangkitan semula seperti yang disebut didalam al-Quran, Nabi Muhammad saw juga begitu. Bahkan Nabi saw bersabda, “Kehidupan dan kewafatanku adalah rahmat bagi kalian. ”Sahabat bertanya kepada baginda saw, “Kami faham tentang kehidupanmu adalah rahmat bagi kami tetapi bagaimana pula dengan kewafatanmu yang dikatakan rahmat bagi kami?” Jawab baginda saw, “Didatangkan kepadaku amal ibadah kalian, jika amal ibadahmu baik maka Allah akan melimpahkan ganjaran pahala kepadamu dan jika amal ibadahmu buruk maka aku akan beristighfar”. Sebab itu kalau kita melakukan kesalahan atau dosa, hendaklah kita brtaubat dengan segera kerana istighfar kita dibantu oleh istighfar baginda saw. Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala lebih gembira melihat hamba-Nya yang bertaubat dari hamba-Nya yang gembira setelah menjumpai barangnya atau hartanya yang hilang. Dalam satu Hadith Qudsi, Allah Ta’ala berfirman kepada Nabi Daud as, “Betapa Aku rindu kepada orang yang berbuat dosa tetapi kemudiannya mahu balik ke jalan yang lurus dan hangat sambutan-Ku ke atas mereka jika mereka memperbanyakkan ibadah.Wahai Daud, ini adalah perbuatan-Ku pada orang yang berdosa apatah lagi pada orang-orang yang mencintai-Ku.”
Nabi agung yang termulia yang berkuasa di alam semesta iaitu Nabi Muhammad saw mengajar umatnya agar sentiasa bersabar. Qadhi Iyadh dalam kitabnya yang mahsyur berjudul Asy-Syifa’ berkata, Pada satu hari Nabi saw bertanya kepada orang Badwi, “Mahukah kamu ku berikan hadiah padamu?” Badwi itu berkata, “Mahu, tapi apakah ia?” Nabi saw berkata, “Hadiahku ialah hidayah, Tiada Tuhan Selain Allah dan aku adalah Utusan Allah.” Kata Badwi, “Apa buktinya tuan Utusan Allah?” Nabi saw kemudiannya berkata, “Pergilah kamu ke pokok besar itu dan arahkan ia datang ke arahku.” Sebaik sahaja Badwi itu memerintahkan pokok itu pergi ke arah baginda saw, pokok itu segera mengeluarkan akar-akarnya dari dalam tanah hingga debu-debu bertebaran keluar. Pokok besar yang berusia ratusan tahun itu bergerak menuju ke arah baginda saw. Setibanya di hadapan baginda saw, pokok itu mengucapkan salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Setelah itu, Rasulullah saw mengarahkan pokok itu kembali ke tempat asalnya dan pokok itu menurut perintah baginda saw lalu menancapkan semula akarnya kedalam tanah. Takjub Badwi itu melihat kejadian itu lalu ia pun memeluk Islam. Dalam kisah lain yang juga diceritakan oleh Qadhi Iyadh, Nabi saw memerintahkan Usamah menyeru kepada pokok-pokok dan batu-batu agar menghampirinya untuk melindunginya ketika baginda saw hendak membuang air kecil. Lalu kesemua pokok, batu besar dan kecil datang ke arah Nabi saw untuk melindungi tubuh Nabi saw yang mulia. Ketahuilah bahawa Rasulullah saw tidak mahu menggunakan keistimewaan yang dikurniakan Allah atas kemuliaan dirinya untuk tujuan berdakwah. Rasulullah saw boleh sahaja mendoakan kebinasaan atas umatnya yang tidak mahu menuruti jalan dakwahnya tetapi baginda saw tidak berbuat demikian kerana kasih dan sayangnya baginda saw pada umatnya. Pernah satu hari Abu Jahal menggali lubang depan rumah Rasulullah saw dengan harapan Rasulullah saw akan terjatuh dalam lubang itu apabila keluar dari rumahnya. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Setelah Abu Jahal memanggil Rasulullah saw keluar dari rumah, beliau tergamam melihat kehebatan kelibat Rasulullah saw sewaktu keluar dari rumah dan akhirnya beliau sendiri yang jatuh ke dalam lubang yang digalinya. Rasulullah saw tidak berdendam dengan Abu Jahal malah baginda saw sendiri yang membantu Abu Jahal keluar dari lubang itu. Dalam Perang Uhud, rahang Rasulullah saw telah ditembusi panah besi sehingga berdarah pipinya. Fatimah dan Ali berusaha menutup luka di pipi Rasulullah saw. Kata Rasulullah saw kepada para sahabat, Aku sangat bimbang jika darahku jatuh ke tanah kerana jika ia jatuh ke tanah, Allah Ta’ala akan menurunkan bala kepada semua orang termasuk musuh-musuhku. Rasulullah saw amat mengasihi umatnya walaupun kepada musuh-musuhnya kerana generasi selepas mereka boleh jadi akan memeluk Islam.
Ketika bondanya, Aminah hendak melahirkan Rasulullah saw, dilihatnya di langit bahawa bintang-bintang berada dekat ke bumi seakan-akan seperti hampir jatuh. Keesokan harinya, puak Yahudi berteriak, “Celaka kalian orang-orang Yahudi. Semalam telah terbit kelahiran Nabi saw.” Rasulullah saw lahir sebelum terbit fajar Isnin 12 Rabi’ul Awwal. Baginda saw lahir dalam keadaan sujud simbol hamba yang paling dekat kepada Allah Ta’ala. Ketika Rasulullah saw dalam keadaan bayi, beliau disusui oleh Halimah. Halimah pada awalnya tidak mahu mengambilnya kerana Rasulullah saw adalah anak yatim. Namun setelah diberitahu bahawa Rasulullah saw adalah cucu pemimpin Quraisy, Abdul Muttalib, barulah Halimah ingin mengambil Rasulullah saw. Ketika Halimah memegangnya, Rasulullah saw terjaga dari tidurnya lalu tersenyum melihat Halimah. Halimah memeluknya dan timbul perasaan yang sungguh menakjubkan tatkala beliau memeluk tubuh yang sangat mulia itu. Berikutan itu, Halimah tidak meminta apa-apa bayaran dan beliau terus pulang ke rumahnya membawa Rasulullah saw. Dalam perjalanan pulang, setiap batu dan pokok yang dilintasinya akan memberi salam kepada Rasulullah saw.
Dalam peristiwa hijrah ke Madinah, Rasulullah saw ditemani oleh sahabatnya yang mulia, Abu Bakar. Abu Bakar sangat mengasihi Nabi saw dan beliau melindungi Nabi saw setiap masa dalam perjalanan menuju ke Madinah. Beliau sendiri yang memerah susu kambing dan memastikan agar susu itu tidak dicemari oleh debu sebelum diberikan kepada Rasulullah saw. Setelah itu, beliau akan berada dihadapan Rasulullah saw dan adakalanya di belakang Rasulullah saw untuk memastikan tiada ancaman musuh sepanjang perjalanan ke Madinah. Seorang Yahudi yang sedang memetik kurma terlihat Nabi saw yang berjalan bersama Abu Bakar dengan keadaan awan menaungi mereka. Kata Yahudi itu, “Orang ini pastilah Nabi saw dan sahabatnya yang mulia”. Lalu dia memanggil seluruh penduduk Madinah untuk pergi menemui baginda saw dan Abu Bakar ra. Kata Anas bin Malik, Inilah hari yang paling mulia bagi penduduk Madinah. Bondanya, Ummu Sulaim telah mendidik Anas agar sentiasa mencintai Rasulullah saw. Lalu ketika Rasulullah saw sampai di Madinah, Anas berasak-asak bersama orang dewasa untuk melihat Nabi saw. Penduduk Madinah memberi hadiah kepada Nabi saw sempena kedatangan baginda saw ke Madinah. Ummu Sulaim tidak mempunyai apa-apa hadiah untuk diberikan kepada Rasulullah saw tetapi beliau menyerahkan anaknya yang sangat dikasihi iaitu Anas kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw menerima Anas dan menjadikannya sebagai anak angkat. Kata Anas bin Malik, Tahukah kalian apa itu hari Khamis? Hari Khamis ialah hari bermulanya sakit Rasulullah saw. Pada hari itu, Rasulullah saw pergi ke mimbar dan minta sahabat berkumpul. Kata Rasulullah saw, “Bersabarlah kalian atas pelbagai musibah yang akan berlaku sehinggalah kalian berjumpa denganku di telagaku kelak”. Rasulullah saw kemudiannya masuk ke rumah dan tidak ada lagi wasiat selepas itu. Disaat baginda saw sakit, baginda saw meminta air dari 7 sumur. Rasulullah saw berkata kepada Aisyah ra, Bantulah aku ke tempat wuduk. Apabila sampai disitu, baginda saw jatuh pengsan. Kemudian baginda saw terjaga di tengah malam lalu baginda saw bertanya, adakah semua sahabat telah solat. Jawab Aisyah, Belum lagi, mereka masih menunggu dirimu, wahai Rasulullah saw. Baginda saw mengambil wuduk dan jatuh lagi. Kemudian baginda terjaga semula dan bertanya adakah para sahabat telah bersolat. Lalu dijawab Aisyah, Belum lagi dan masih menunggu Rasulullah saw untuk mengimami mereka. Rasulullah saw kemudiannya memerintahkan Abu Bakar agar mengimamkan solat. Rasulullah saw melihat saf sahabat dari tabir rumahnya. Kata Anas bin Malik, “Tidak pernah kulihat pandangan yang sebegitu indah saat Rasulullah saw senyum melihat sahabat waktu itu”. Kata Anas lagi, “Itulah saat akhir aku melihat Rasulullah saw.”
Sebelum wafat, Rasulullah saw sempat bersiwak. Pedihnya sakaratul maut telah menyebabkan Jibril memaling mukanya kerana tidak sanggup melihat wajah Nabi saw yang sedang menghadapi sakaratul maut. Sabda baginda saw, “Kalau beginilah sakitnya sakaratul maut, biarlah aku tanggung sakaratul maut umatku”.Begitulah kasihnya Nabi saw kepada umatnya sehingga ketika menghadapi sakaratul maut pun, baginda masih tetap mengingati umatnya. Para sahabat begitu merasai kehilangan orang yang mereka sangat-sangat kasihi. Setelah wafat, Abu Bakar melihat jasad Nabi saw yang mulia dan menangis diatas dada baginda saw. Ali bin Abi Talib dan Abbas Abdul Muttalib memandikan jasad Rasulullah saw yang mulia sambil menangis. Air menjadi wangi apabila terkena jasad Nabi saw yang mulia itu. Kata Ali, Ya Rasulullah saw, “Engkau wangi sewaktu hidup dan juga sewaktu wafat”. Nabi saw bersabda, “Aku rindu pada saudaraku yang hidup selepasku yang teringin hendak melihat wajahku.” Oleh itu, ketahuilah bahawa majlis membaca maulid seumpama ini adalah tanda kecintaan dan kasih kita kepada baginda Rasulullah saw.

Tuesday, February 16, 2010

40 Hadith Keistimewaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 14 Februari 2010
Kata Sayyid Abbas Alawi al-Maliki, Kalau duduk di Madinah, walaupun dengan hanya memakan kekacang, makanan itu tetap terasa sungguh enak kerana jasad Nabi saw yang mulia berada di bumi ini. Nabi saw tidak sama langsung dengan manusia biasa. Allah Ta’ala memuliakan Nabi saw semenjak dari alam roh lagi bahkan ketika jasad Adam belum dimasukkan roh. Allah menabal Nabi saw sebagai Nabi ketika Adam berada dalam keadaan diantara roh dan jasad. Sedangkan Nabi-nabi lain dilantik setelah roh dimasuk ke dalam jasad. Para Nabi dan Rasul berikrar bahawa Nabi saw adalah Nabi dan Rasul bagi segala Nabi dan Rasul. Nabi Isa yang akan turun pada akhir zaman akan membawa syariat Nabi saw. Nabi saw tidak serupa dengan makhluk lain. Bondanya, Aminah as menyatakan, “Aku tidak pernah berasa bahawa aku sedang mengandungkan satu kandungan melainkan setelah aku terputus haid. Kandunganku tidak berasa berat.” Nabi saw tidak pernah menyakiti sesiapa pun hatta ketika berada dalam kandungan bondanya yang dikasihi.
Adab menyahut panggilan azan ialah dengan membaca salawat ke atas Nabi saw. Orang yang menyatakan bahawa perbuatan membaca salawat selepas azan sebagai satu perkara bidaah sebenarnya tergolong dalam kelompok orang yang telah merendahkan darjat baginda saw sedangkan Allah Ta’ala telah mengangkat darjat Nabi saw. Orang sebegini sangat rendah darjatnya dan perangainya tidak ubah seperti Yahudi dan Nasrani yang sentiasa berusaha menurunkan darjat Nabi saw. Imam Abu Nuaim dalam kitabnya yang mahsyur berjudul Dalail Nubuwwah menceritakan bahawa Jubir bin Mut’im apabila sampai di Syam pernah bertemu dengan seorang paderi. Paderi itu bertanya kepadanya, “Boleh tak kamu tunjukkan padaku yang mana satu rupa Nabi kamu?” Paderi itu membawanya ke sebuah bilik yang mengandungi banyak patung. Kata Jubir, “Tidak ada patung yang menyerupai Nabi saw disini.” Kemudian paderi itu membawanya ke bilik lain yang lebih besar dan lebih banyak patung. Terkejut Jubir apabila didapatinya didalam bilik itu ada patung yang mirip wajah baginda saw dan sahabat besar Abu Bakar ra. Kata Jubir, “Sebelum aku tunjuk patung itu kepadamu, ada lebih baik kamu menunjukkan patung itu kepadaku.” Paderi itu kemudiannya menunjukkan patung yang mirip menyerupai wajah Nabi saw dan juga patung yang mirip dengan rupa Abu Bakar. Kata paderi itu, “Inilah wajah Nabi mu dan ini pula adalah wajah sahabat yang menggantikan Nabi mu setelah baginda wafat.” Kata Syeikh, maka betullah bahawa orang Yahudi dan Nasrani ini mengenali Nabi saw seperti mereka mengenali anak-anak mereka berdasarkan isi kandungan yang terdapat dalam kitab Injil dan Taurat yang menceritakan tentang kedatangan nabi akhir zaman.
Kata Syeikh, jangan tinggalkan doa selepas azan dikumandang kerana doa ini adalah sebab untuk kita mendapat syafaat Nabi saw di akhirat kelak. Syeikh Soleh al-Ja’fari[1], seorang wali Allah dari Sudan berhajat hendak kembali ke Sudan setelah tamat tempoh mengajarnya di al-Azhar, Mesir. Pada malamnya, beliau bermimpi Sayyidah Zainab al-Kubra anak kepada Sayyiduna Ali bin Abi Talib. Dalam mimpi itu Sayyidah Zainab berkata, "Sampai hati engkau hendak meninggalkan kami di Mesir". Sejak mimpi itu, Syeikh Soleh tidak jadi meninggalkan Mesir. Karomahnya apabila isteri dan keluarganya menghadapi masalah di Sudan, Syeikh Soleh akan terpacul dihadapan rumah.
Nabi saw dijaga Allah Ta’ala. Tidak ada orang yang layak menjaga Nabi saw sebab itu Allah Ta’ala mewafatkan orang-orang terdekatnya. Allah Ta’ala memelihara dan mendidik Nabi saw. Yatimnya Nabi saw bukan bermaksud yatim dari segi ketiadaan ibubapa tetapi yatimnya Nabi saw bererti keunggulan. Nabi saw ibarat permata yang sangat bernilai. Sebab itu Allah Ta’ala menjaga Nabi saw. Nabi saw terlalu cintakan Allah Ta’ala sehingga orang Arab Jahiliyyah mengatakan baginda saw sesat. Ketika hilang rasa diri yakni fana’, Nabi saw tenggelam terhadap Allah Ta’ala. Mustaqim yang disebut dalam surah al-Fatihah dan Surah Yaasiin itu adalah jalan Muhammad (jalan yang lurus).

[1] Kata Syeikh, anaknya yang bernama Syeikh Abdul Ghani adalah syeikhul futuh kepada syeikh dimana syeikh telah menerima ilmu darinya.

Syarah Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

* Catatan bebas ana di Taman TAR pada 14 Februari 2010
Kalam Hikmah
Barangsiapa menuntut bagi dirinya hal atau maqam maka dia berada jauh dari jalan-jalan mu’amalah bersama Tuhannya
Orang yang memohon kepada Allah untuk mendapat kasyaf, keramat dan sebagainya maka hakikatnya orang ini adalah jauh dari jalan Allah Ta’ala. Apa yang patut dibuat oleh orang itu sebagai hamba Allah ialah dengan menumpukan perhatian pada ketaatan terhadap Allah Ta’ala bukannya meminta hal-hal sampingan yang lain. Meminta benda-benda sampingan sedemikian adalah kerana nafsu bukannya kerana Allah Ta’ala. Jangan terpedaya dengan desakan nafsu. Konon zahirnya adalah ibadat tetapi batinnya sebenarnya penuh dengan maksiat kerana amal ibadahnya bukan kepada Allah Ta’ala. Orang yang benar-benar ‘ubudiyah tidak akan meminta sesuatu bagi dirinya kerana mereka memahami hakikat diri mereka sebagai hamba. Allah Ta’ala memberi peringatan kepada Nabi saw satu perkara sahaja iaitu berdiri bagi Allah dengan beramal, meninggalkan maksiat dan bermujahadah. Inilah intipati perhambaan seseorang kepada Allah Ta’ala. Dan inilah tugas utama Rasulullah saw iaitu melakukan sesuatu kerana Allah Ta’ala. Tidak ada habuan untuk nafsu kita sebaliknya semuanya semata kerana Allah Ta’ala. Kalau ini tidak ada dalam diri maka ubudiyah kita akan cedera. Imam Raslan al-Dimasyqi berkata, “Orang yang ditawan oleh kasyaf dan mukasyafah dan beramal untuk merebut maqam tertentu adalah terpenjara oleh kehendak nafsunya.” Apabila orang memuji kita maka binasalah diri kita. Ini adalah kerana kita memberi ‘makanan’ kepada nafsu dan akhirnya nafsu menguasai kita dan merosakkan diri kita. Imam Ato’illah berkata, “Keinginan engkau untuk mengetahui perkara keaiban tentang diri engkau dan kelemahan diri engkau adalah lebih baik dari keinginan untuk mengetahui perkara ghaib seperti kasyaf, tersingkap hijab dan sebagainya.”
Ketahuilah bahawa jamuan nafsu itu adalah puji-pujian. Semakin banyak jamuan pada nafsu semakin lemahlah kita. Musuh paling dahsyat ialah nafsu. Sabda Nabi saw, “Sebesar-besar musuh kamu ialah nafsu.” Diri kamulah yangmengajak kamu ke lembah kebinasaan. Sahabat akhirat yang menunjuk kamu ke jalan akhirat lebih baik dari diri kamu sendiri. Orang-orang soleh yang mengekang kebuasan nafsu lazimnya akan dicerca sedangkan jika dibuka tabir haqiqat, pasti umat akan berterima kasih kepada orang-orang ini kerana menunjuk jalan yang benar. Sibuk terhadap dunia tidak akan berhimpun dengan sibuk terhadap akhirat. Begitu juga urusan dengan makhluk tidak akan berhimpun dengan urusan dengan Khalik. Allah Ta’ala sengaja meletakkan dugaan untuk menguji hamba-Nya samada mengutamakan urusan makhluk atau urusan Khalik. Tanyalah pada diri sendiri apakah yang kita kejar dan cari selama hidup ini. Adakah kita condong kepada dunia atau akhirat? Condong kepada dunia adalah satu bala dan musibah, oleh itu insaflah dan kaji diri semula. Para sahabat juga berniaga tetapi mereka tidak pernah berenggang dengan Nabi saw. Kalau kita kaya tetapi jauh dari Tuhan, apakah yang kita dapat?
Kalam Hikmah
Orang yang bahagia ialah orang yang berputus asa daripada kesukaannya melainkan kesukaan dari sisi Tuhannya
Apa-apa nikmat yang ada semuanya hakikat dari Allah Ta’ala.

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 13 Fenruari 2010
Tujuan mengajar dan menulis ilmu tafsir ialah untuk berpegang kepada tali yang kukuh. Sesiapa yang memegangnya akan mempunyai hubungan dengan Allah Ta’ala. Ini adalah kerana apabila ia mengetahui perintah dan larangan yakni hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran maka Allah Ta’ala akan memeliharanya. Ada ulama yang tidak berani mentafsir al-Quran kerana kerja-kerja mentafsir ini amatlah berisiko tinggi dan memerlukan keahlian yang sangat tinggi dalam bidang ini. Kerja-kerja pentafsiran bukan setakat memahami makna lahiriah maksunya harfiah tetapi makna yang tepat yang menggambarkan maksud sesuatu ayat itu. Sebab itu, kerja-kerja mentafsir ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang terpilih sahaja dan semua orang boleh faham tentang ilmu ini. Ilmu dunia sentiasa berkembang dan maju. Saintis pada zaman ini lebih hebat berbanding zaman dahulu. Ini berbeza dengan ilmu akhirat dimana kehebatan ulama zaman silam begitu terserlah dengan kitab-kitab mereka sentiasa menjadi rujukan ulama-ulama pada masa ini. Kata Syeikh, amat sukar ulama-ulama pada masa ini menandingi kehebatan ulama silam seperti Imam as-Suyuti, Imam al-Ghazali dan Imam asy-Syafi’i. Dalam bidang ilmu tafsir pula, ulama silam seperti Ibnu Syahid telah menulis tafsir sehingga 1000 jilid. Ahli agama pada hari ini perlu insaf atas kekerdilan diri kerana jika dibanding dengan ulama dahulu kita umpama kanak-kanak kecil sahaja. Ketahuilah bahawa setiap hari, ilmu-ilmu Islam akan merosot dan berkurangan. Ulama pada masa ini hanya menumpu pengkhususan dalam sesuatu bidang sahaja. Ini berbeza dengan ulama dahulu yang menguasai pelbagai bidang. Sayyid Ahmad Zaini Dahlan misalnya menguasai lebih 120 bidang ilmu. Sayyid Ahmad Siddiq al-Ghumari[1] menghafaz 100, 000 buah hadith. Beliau mengajar hadith di Masjid Saiyidina Husain, Mesir dengan cara imlak. Satu hadith yang diajarnya itu dikupas dengan cara mendatangkan 100 riwayat yang seumpama dengan hadith tersebut. Sebenarnya ada ulama yang menguasai pelbagai ilmu tetapi mereka ini lebih gemar beruzlah dan tidak keluar menonjolkan diri di khalayak ramai.
Kata adik kepada Sayyid Ahmad Siddiq yang bernama Sayyid Abdul Aziz Siddiq al-Ghumari, “Sesungguhnya jalan-jalan ilmu telah terputus pada zaman ini”.[2]
Pada zaman Saiyidina Ali ra menjadi khalifah, beliau pernah melawat masjid Jame’ di Basra untuk melihat perkembangan ilmu disana. Ada 100 halaqah pengajian diadakan dimasjid itu. Saiyidina Ali bertanya semua tenaga pengajar yang mengajar dalam halaqah disitu. Saiyidina Ali tidak berpuashati dengan tahap keilmuan mereka lalu dia membubarkan 99 majlis halaqah. Hanya 1 halaqah sahaja yang tidak dibubarkannya setelah mendapati tenaga pengajarnya benar-benar berkelayakan. Tenaga pengajar tersebut ialah seorang pemuda yang sangat alim yang bernama Hasan al-Basri. Saiyidina Ali ra mengiktiraf ilmu yang ada dalam diri Hasan al-Basri.[3] Pada zaman dahulu,ramai orang cuba menghindarkan diri dari mengajar dalam majlis ilmu kerana mereka sangat takut hendak mengajar. Bukannya mereka tidak berkelayakan tetapi mereka sangat berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat kerana bimbang pendapat itu boleh mengelirukan umat. Salah seorang ulama besar yang pada mulanya keberatan hendak mengajar ialah Imam Junaid al-Baghdadi. Beliau belajar dengan bapa saudaranya, Sarriy al-Saqati, ulama yang sangat alim yang tidak pernah meletakkan badannya diatas tilam selama berpuluh tahun. Imam Junaid kemudiannya telah diijazah oleh bapa saudaranya untuk mengajar tetapi Imam Junaid tetap keberatan untuk menjadi pengajar kerana merasakan dirinya tidak layak. Sehinggalah pada satu hari, beliau bermimpi berjumpa Nabi saw dan Nabi saw mengarahkannnya untuk pergi mengajar. Esoknya dia pergi berjumpa dengan bapa saudaranya dan alangkah terkejutnya dia apabila bapa saudaranya menegur sebelum sempat beliau memberitahu mimpinya. Kata bapa saudaranya, “Rupanya kamu hendak mengajar hari ini itupun setelah diperintah oleh Nabi saw”. Halaqah pengajian Imam Junaid mendapat sambutan hangat sehinggakan orang Kristian pun turut datang menadah kitab dihadapannya. Pada satu hari, datang orang Nasrani bertanya kepadanya tentang apa yang dimaksudkan dengan ayat, “Takutlah firasat orang mukmin”. Kata Imam Junaid sambil menundukkan kepala, “Islamlah engkau kerana sudah sampai masanya engkau memeluk Islam.” Terkejut orang Nasrani itu mendengar kata Imam Junaid kerana dapat membaca isi hatinya pada waktu itu.
Seperti yang disebut tadi, ada orang yang benar-benar berilmu tetapi tidak suka menonjolkan diri. Bahkan tidak ada sesiapapun yang mengetahui keistimewaan mereka. Uwais al-Qarni langsung tidak dipedulikan oleh kabilahnya tetapi keistimewaan Uwais al-Qarni telah diketahui oleh Khalifah Umar dan Ali setelah diceritakan perihal Uwais oleh Rasulullah saw sebelum baginda saw wafat. Khalifah Umar dan Ali sentiasa mencari Uwais al-Qarni sehinggalah pada satu hari, satu kabilah Yaman datang. Orang biasa tidak mengenal keistimewaan Uwais tetapi Umar dan Ali telah mengetahuinya lalu bertemu dengannya. Kepada Uwais, mereka memohon istighfar untuk mereka (padahal kedua-duanya telah pun dijanjikan syurga, begitulah tawaduknya Khalifah Umar dan Ali). Uwais kemudiannya mendoakan untuk kedua-duanya kemudiannya dia berkata, “Kamu berdua tidak pernah melihat Nabi saw”. Terkejut mereka berdua apabila Uwais berkata sedemikian sedangkan mereka adalah antara sahabat yang paling dekat dengan Nabi saw. “Bagaimana pula dengan Abu Bakar[4]?”, tanya mereka kepada Uwais. “Abu Bakar yang paling rapat dengan Nabi saw pun hanya dapat melihat bayang baginda saw sahaja”, kata Uwais. Takjub Umar dan Ali mendengar kata-kata Uwais. Selepas itu, Uwais menghilangkan diri kerana Umar dan Ali telah menzahir kemuliaannya.[5] Umar dan Ali kemudiannya pergi menemui Aisyah dan menceritakan kepada Aisyah tentang apa yang disebut oleh Uwais. Kata Aisyah, “Benar kata Uwais. Aku pun begitu juga melainkan pada satu hari, aku memasuki bilik Nabi saw tanpa meminta izin darinya. Nabi saw sedang beruzlah pada waktu itu. Sebaik aku masuk ke biliknya, aku melihat Nabi saw sedang duduk dengan keadaan cahaya baginda saw sampai ke Arasy Allah. Itulah hakikat Nabi saw yang aku tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata”.
Muaz bin Jabal ra datang menziarahi maqam Nabi saw dan menangis di maqam baginda saw apabila teringat pesanan Nabi saw yang berbunyi, “Allah suka kepada orang yang bertaqwa yang tersembunyi martabat ketaqwaannya." Orang seperti ini tidak ada sesiapa pun yang mempedulikannya. Orang sebegini cakapnya tidak diberi perhatian oleh orang lain tetapi disisi Allah Ta’ala kedudukannya adalah sebagai kekasih Allah. Nabi saw menganjurkan umatnya agar berkasih-sayang dan menggunakan kalimah-kalimah mahabbah. Pernah satu hari Nabi saw memanggil Umar dengan panggilan Ya Ukhayya bukannya akhi yang bererti saudaraku. Kata Syeikh, panggilan ukhayya itu lagi dzauq dari akhi. Ketahuilah bahawa agama Islam bukan bererti tunduk dan patuh tetapi kerana mahabbah (kasih sayang). Nabi saw mengajar umatnya agar sentiasa tawaduk. Sebagai contoh, Nabi saw pernah meminta Umar memasukkan dirinya dalam doa Umar ketika Umar meminta izin dari baginda saw untuk mengerjakan umrah. Padahal Nabi saw adalah kekasih Allah yang mencapai maqam yang tertinggi di sisi Allah Ta’ala tetapi dengan sifat tawaduk baginda saw, baginda saw tetap berhajat memohon Umar mendoakan untuk dirinya. Ulama-ulama besar sentiasa merindui Nabi saw. Imam Malik bermimpi berjumpa Nabi saw setiap malam. Imam Abbas al-Mursi menyatakan bahawa dirinya tidak pernah terhijab dari Rasulullah saw semenjak 40 tahun yang terkemudian dalam hayatnya dan jika Rasulullah saw hilang dari kotak ingatannya maka jangan mengira dirinya dikalangan orang Islam yang sempurna imannya. Kata Syeikh, orang yang rindukan kekasihnya pasti akan berjumpa dengan kekasihnya (walau dalam mimpi).

[1] Keluarga al-Ghumari yang tinggal di Maghribi sangat hebat dalam dunia Islam khususnya dalam bidang hadith. Ayahandanya mempunyai 6 anak lelaki dan 5 darinya adalah muhaddith. Sayyid Ahmad digelar sebagai as-Suyuti pada zamannya. Kata Syeikh, Allah Ta’ala telah memilih keluarga ini memahami rahsia-rahsia hadith Nabi saw.
[2] Maksudnya ilmu yang boleh dikatakan sebagai ilmu yang sebenar
[3] Hasan al-Basri dibesarkan didalam rumah Nabi saw tetapi tidak pernah bertemu baginda saw kerana baginda saw pada waktu itu telah wafat. Bondanya menjadi hamba kepada Ummu Salamah, salah seorang isteri Nabi saw. Ketika bondanya tidak ada dirumah, Ummu Salamah pernah memberikan susunya kepada Hasan al-Basri apabila dia kelaparan. Kata ulama, dengan setitik susu yang diberi oleh Hasan al-Basri maka dia menjadi ulama besar.
[4] Kata guru Syeikh yang bernama Syeikh Dr Jundah Mahdi, hubungan Nabi saw dengan Abu Bakar sangat rapat bahkan tidak ada hijab antara Abu Bakar dengan baginda saw. Abu Bakar bebas berjumpa Nabi saw pada bila-bila masa. Baginda saw pernah bersabda, Manusia yang paling amanah dengan aku, yang membenarkan aku, yang membantu aku dan yang menguruskan aku ialah Abu Bakar. Kalau aku hendak mencari kekasih yang terpahat cintanya sudah pasti aku memilih Abu Bakar tetapi hakikat cintaku adalah Allah Ta’ala.”
[5] Kata Syeikh, sebab itulah maqam Uwais ada di merata tempat kerana tidak diketahui dimana sebenarnya dia tinggal

Monday, February 8, 2010

Kitab Penawar Hati - Disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara pada 6 Feb 2010
Hadith 1: Pertanyaan Allah tentang umur, ilmu, harta dan anggota badan
Pertanyaan Allah tentang umur
Semua makhluk akan ditanya apa pekerjaan mereka termasuklah para Nabi. Adalah amat menyedihkan jika orang yang dikurniakan umur panjang mensia-siakan hidupnya dengan memperbanyakkan tidur dan membuat kerja-kerja yang tidak mendatangkan manfaat. Orang yang cerdik, tidurnya adalah satu ibadat. Tidurnya adalah tidur orang yang soleh. Tidur menjadi ibadat apabila ia membaca surah-surah atau ayat-ayat yang dianjurkan oleh Rasulullah saw sebelum tidur.
Pertanyaan Allah tentang ilmu
Dari mana ilmu yang kita dapat dan sejauhmana ilmu itu telah kita amalkan? Imam Nawawi ra berkata, amalan sunat sangat banyak dan hendaklah dikerjakan. Amalan sunat ini hendaklah dilakukan dengan sempurna sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dengan cara itu barulah kita benar-benar beramal dengan ilmu tentang sunnah yang telah disampaikan kepada kita. Contohnya, kita hendaklah menunaikan sunnah beriktikaf didalam masjid didalam bulan Ramadhan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Ataupun berpuasa Isnin dan Khamis sekurang-kurangnya sekali seumur hidup atau mengerjakan solat sunat tasbih sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan sebagainya. Ilmu akan ditanya Allah Ta’ala. Kebanyakan penghuni neraka masuk ke neraka bukan disebabkan kejahilan mereka tetapi adalah kerana mereka tidak mengamalkan ilmu yang telah disampaikan kepada mereka. Apabila dimasukkan ke dalam neraka, mereka merintih kerana menyesal tidak beramal dengan ilmu yang telah disampaikan.
Pertanyaan Allah tentang harta
Ada dua perkara yang akan ditanya iaitu dari mana harta diperolehi dan ke mana ia dibelanjakan. Kalau dibelanjakan untuk jalan kebajikan tetapi harta yang dibelanjakan itu diperolehi dari jalan rasuah maka harta tersebut tidak dikira sebagai kebajikan.
Pertanyaan Allah tentang anggota badan
Allah Ta’ala akan tanya kita kemana nikmat yang telah Ia berikan kepada kita di hari Akhirat kelak. Tangan kita guna untuk apa? Mulut kita makan benda apa? Kaki kita bergerak ke mana? Dan seterusnya. Maka atas sebab itu, kita hendaklah menjaga kelakuan dan perbuatan kita dengan sebaiknya kerana setiap anggota badan kita akan menjadi saksi dan berbicara di hadapan Allah Ta’ala. Apabila berbicara di hadapan Allah Ta’ala, anggota badan tidak akan berdusta. Imam al-Ghazali berkata, Hendaklah kita bermuhasabah setiap hari sebelum kita tidur. Fikir apa yang telah kita buat disiang hari sejak dari pagi. Kemudian, pohonlah kepada Allah dan mintalah kepada Allah agar mengurniakan yang lebih baik untuk esok harinya dan bertaubatlah kepada Allah tentang segala keburukan yang telah kita lakukan pada hari itu. Kita hendaklah berazam untuk menambah amal ibadah dan melakukan kebajikan di masa akan datang. Tidur[1] itu adalah satu alat untuk kita berazam melakukan yang lebih baik esok harinya.

Hadith 2: Siapa teman setia kita yang bersama dengan kita sampai ke kubur?
Teman kita didalam liang kubur ialah amalan kita. Adik-beradik, isteri, anak-anak hanya menghantar kita sehingga ke liang kubur sahaja, selepas itu mereka pun balik ke rumah masing-masing. Harta-benda semuanya sudah ditinggalkan kepada waris manakala kita didalam kubur hanya berbantalkan tanah sahaja. Didalam al-Quran, banyak ayat yang menceritakan perihal keadaan penghuni alam kubur dan neraka. Semuanya menyesal kerana banyak melakukan dosa dan perkara sia-sia. Nabi saw bersabda, Orang yang paling bijak ialah orang yang senantiasa menghitung diri dan banyak bekerja untuk kehidupan setelah mati. Kata Imam al-Ghazali ra, Orang yang bijak ialah orang yang memilih yang kekal dari yang fana’ dan memilih yang panjang dari yang pendek. Jangan tertipu dengan diri sendiri. Firaun tertipu dengan dirinya sehingga mengaku Tuhan kerana beliau tidak pernah sakit sepanjang hayatnya. Orang yang bijak ialah orang yang sanggup hidup dalam kesusahan walau beratus tahun di dunia untuk mengecap kenikmatan selama-lamanya di akhirat kelak. Kata Imam al-Ghazali ra, Orang yang bijak akan menggunakan dunia untuk pekerjaan akhirat. Syeikh Zakaria Kandahlawi ra menyatakan bahawa kebaikan dunia itu ialah untuk bekalan di akhirat. Maksudnya, kebaikan dunia itu kita gunakan untuk jalan Allah.
Tiga perkara yang sampai kepada si mati ialah
1. Sedeqah – seperti mendirikan pondok pengajian, masjid dan sebagainya kerana selama mana ia dipakai selagi itulah orang yang mendirikannya atau menyumbang ke arahnya akan mendapat pahala.
2. Ilmu yang bermanfaat – orang yang mengajar ilmu akan mendapat pahala kerana ilmu itu diturunkan pula oleh anak muridnya kepada generasi berikutnya. Imam asy-Syafi’i wafat pada tahun 204 H tetapi hingga ke hari ini ia masih ‘berkata-kata’ kerana umat Islam mempelajari kitabnya.
3. Anak yang soleh yang mendoakan kita (termasuk anak angkat)
Tanpa ketiga-tiga perkara ini, kita akan jadi ‘miskin’ didalam kubur.
Hadith 3: Seringan-ringan seksaan dalam neraka
Api neraka merupakan tempat berhimpunnya kemurkaan Allah Ta’ala. Di hari Akhirat kelak, manusia terbahagi kepada 3 golongan mengikut ASWJ iaitu
1. Orang yang terus (pasti) masuk neraka seperti Firaun dimana namanya disebut didalam al-Quran
2. Orang yang pasti masuk syurga seperti para Nabi dan sepuluh sahabat yang telah dijanjikan syurga keatasnya
3. Orang yang tidak pasti samada syurga atau neraka. Orang yang beriman tetapi melakukan dosa maka ia terpulang kepada Allah Ta’ala dimana jika Allah mengampun kesalahannya maka ia akan terus masuk syurga tetapi jika Allah berkira dengannya maka ia akan dihisab dan jika ada kesalahan maka ia akan dimasukkan ke dalam neraka mengikut kadar kesalahannya.
Kata syeikh, jadikanlah amalan membaca Allahumma ajirni minannar (Ya Allah, lindungilah aku dari api neraka) sebanyak tujuh kali (kerana ada 7 pintu neraka) setiap kali selepas solat. Seksa yang paling ringan dalam neraka ialah seorang yang diletakkan dibawah tapak kakinya bara api neraka sehingga mendidih otak di kepalanya dan dia menyangka dialah yang paling teruk seksaannya padahal itulah seksaan yang paling ringan dalam neraka.
Hadith 4: Perihal mengambil harta orang lain
Jika tidak bertaubat atau minta halal dari orang yang diambilnya maka seseorang itu boleh terjerumus kedalam api neraka. Hak milik orang lain walau setakat kayu miswak hendaklah dijaga sebaik-baiknya kerana jika disalah guna maka tempatnya di api neraka. Kita juga hendaklah sentiasa warak supaya jauh dari benda-benda yang diharam. Ini termasuklah menjaga akhlak kita. Pada satu hari Aisyah berasa sangat cemburu kepada Safiyyah Binti Uyay kerana berkahwin dengan Rasulullah saw. Aisyah berkata kepada Rasulullah saw, Eloklah tuan berkahwin dengannya (sebab Safiyyah rendah orangnya). Lalu Rasulullah saw menjawab, Jagalah mulutmu kerana air liurmu jika dicampur dengan tujuh air lautan sekalipun pasti akan berubah rasanya. Maksudnya disini ialah benda yang tidak elok walaupun sedikit tetapi jika dicampur dengan benda yang elok dan suci tetap akan merosakkan benda yang elok itu. Sebab perkara mengumpat ini boleh membawa kepada kebinasaan.
Ada lima perkara yang perlu dijaga oleh orang Islam iaitu
1. Agama – keluar darinya maka dihukum murtad
2. Harta – tidak boleh mengambil harta orang lain
3. Darah – tidak boleh menyakiti orang lain
4. Maruah – tidak boleh menjatuhkan harga diri orang lain termasuk mengumpat atau menuduh orang lain berzina tanpa bukti yang kukuh
5. Nasab – tidak boleh merosakkan keturunan dengan berzina
Dalam kitab Bustanul Ariffin yang ditulis oleh Imam Nawawi ra, ada diceritakan kisah seorang lelaki yang bermimpi bertemu gurunya. Gurunya sangat alim tetapi hanya setelah setahun meninggal dunia barulah lelaki itu dapat bermimpi bertemu gurunya. Kata lelaki itu, Rindu sungguh hendak bertemu dengan tuan. Kata gurunya dalam mimpi, Saya baru sahaja habis bicara selama setahun. Bicara itu adalah kerana saya pernah mengambil sedikit bahagian kayu ketika berjalan dipasar untuk dijadikan cungkil gigi. Saya mematahkan sesedikit bahagian kayu itu tanpa meminta keizinan tuannya. Dalam satu kisah lain, ada seorang lelaki setelah selesai menulis surat, beliau pun melekatkan surat itu pada debu-debu yang berada di dinding rumah jirannya dengan tujuan untuk mengeringkan dakwat pada surat itu. Pada sebelam malamnya, beliau bermimpi dan terdengar suara berkata padsanya, Tidakkah kamu takut debu itu akan menyoal kamu kelak? Pada satu hari Nabi saw bertanya kepada sahabat, Tahukah kamu siapakah orang yang sebenar-benarnya paling rugi? Nabi saw kemudiannya bersabda, Orang yang paling rugi ialah orang yang berpuasa, solat, zakat dan sedeqah tetapi terpaksa menyerahkan pahalanya kepada orang yang dianiayainya, orang yang diumpatnya dan orang yang diambil hartanya sehingga dia tidak memiliki apa-apa lagi pahala.
Kata ulama, syarat taubat ada 3 (dosa antara makhluk dengan Allah) iaitu
1. yang lepas - disesali,
2. yang sedang berlaku - dijauhi dan
3. yang akan datang – berazam untuk tidak melakukannya
Jika kita ada dosa dengan makhluk maka perlu tambah satu lagi iaitu minta dihalalkan dan redha dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini.
Hadith 5: Siapa orang yang muflis
Orang yang muflis ialah orang yang tertipu dengan amalannya tanpa menjaga akhlaknya. Pahala amalannya kelak akan dituntut oleh orang yang dianiayai, disakiti atau yang difitnahnya.
Hadith 6: Menghadapi sakaratul maut
Aisyah bangga dengan 3 perkara
1. Nabi saw wafat diatas pahanya
2. Air matanya jatuh diatas wajah Nabi saw
3. Air liurnya berada didalam mulut Nabi saw (ketika Nabi saw berada dalam keadaan gering, baginda saw menggunakan kayu miswak[2] milik Aisyah. Kayu tersebut agak keras lalu digigit oleh Aisyah untuk dilembutkan)
Nabi saw berasa panas ketika di ambang sakaratul maut. Nabi saw meletakkan tuala yang direndam air diatas dadanya untuk meredakan kepanasan. Jika Nabi saw berasa panas sedangkan baginda saw adalah kekasih Allah lalu bagaimanakah keadaan kita kelak ketika berhadapan dengan sakaratul maut? Kata Nabi saw, barangsiapa di akhir kalamnya menyebut La Ilaha Illallah, maka orang itu pasti masuk syurga. Maka kita hendaklah melembutkan lidah kita dengan senantiasa menyebut kalimah ini sekurang-kurangnya 100 kali setiap pagi dan petang. Dalam kitab tazkiratul Qurtubi, ada diceritakan tentang keadaan seorang peniaga ketika diambang maut. Disebabkan beliau sentiasa melaungkan harga promosi jualannya, maka laungannya itu terbawa-bawa sehingga ke nafasnya yang terakhir. Para aulia sangat risau dengan kesudahan hayat mereka. Sebab itulah, mereka memperbanyakkan zikir. Khalifah Harun al-Rasyid di hari keputeraannya telah menganugerahkan pelbagai bintang kebesaran kepada rakyatnya. Hanya ada seorang rakyatnya yang tidak meminta apa-apa dari khalifah. Lalu khalifah bertanya kepadanya, Tidakkah kamu mahu meminta apa-apa dariku? Kata lelaki itu, Adakah tuanku boleh pastikan aku boleh mengucap kalimah La Ilaha Illallah di akhir hayatku kelak? Khalifah terdiam.
Kata ulama, Raya yang sebenar bukanlah raya dalam ertikata sambutan secara zahir tetapi raya setelah berjaya menuturkan kalimah La Ilaha Illallah ketika di ambang maut. Imam al-Ghazali ra berkata, Usaha untuk mencapai Husnul Khatimah ada dua iaitu doa dan kerja. Ianya umpama kita dikejar harimau dimana kita berdoa untuk selamat dari harimau dan berlari untuk mengelak dari diterkam harimau. Ada para aulia yang mati dalam keadaan mudah. Lalu dibahas oleh ulama adakah mereka lebih mudah wafat dari baginda saw. Kata ulama, Nabi saw boleh wafat dengan mudah kerana baginda saw adalah kekasih Allah tetapi baginda wafat dengan cara sedemikian agar mendapat pahala yang lebih. Ini samalah dengan kehidupan baginda saw dimana baginda saw boleh hidup dengan senang tetapi baginda saw memilih jalan sederhana agar dikurniakan pahala yang sempurna untuk bekalan di akhirat. Seseorang akan diperlihatkan kedudukannya di akhirat sebelum mati. Orang yang dimasukkan kedalam syurga akan diperlihat dengan pandangan syurga lalu ia mati dalam keadaan tersenyum dan tenang manakala orang yang dimasukkan kedalam neraka akan berasa sedih. Malaikat akan turun untuk menghiburkan penghuni syurga sebelum ia meninggal dunia. Kata malaikat, Jangan kamu bersusah hati kerana kami akan menjaga keluargamu dan kamu akan masuk syurga dengan tenang. Syed Qutb dalam syairnya sebelum dia digantung menyebut,
Saudaraku bila kita mati (syahid), kita akan berjumpa kekasih-kekasih kita
Aku sudah pun nampak lambaian daun-daun syurga
Burung-burung syurga berkicauan menyambut selamat datang
Untung sangatlah negeri yang kekal abadi

Kata Syeikh, Sesungguhnya orang yang terlalu rindu kepada Allah Ta’ala tidak akan takut menghadapi kematian.



[1] Untuk mudah bangun awal, Syeikh anjurkan amalan membaca empat ayat terakhir dalam surah al-Kahfi. Kata Syeikh, jika niat kita baik, Insyallah badan kita tidak terasa letih ketika bangun awal walaupun disebelah malamnya tidur lewat. Selepas baca empat ayat terakhir dalam surah al-Kahfi, bacalah pula doa, Ya Allah, dengan keberkatan ayat ini, kejutkanlah diriku untuk bangkit awal.
[2] Bagus bersiwak untuk memudahkan ruh keluar dari jasad.

Kesempurnaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR pada 7 Feb 2010
Bentuk tubuh badan Rasulullah saw banyak diriwayat oleh ahli keluarga Nabi saw seperti Ali bin Abi Talib dan khadamnya, Anas bin Malik. Sahabat Nabi saw sangat ramai tetapi bukan semua berada hampir dengan baginda saw dan bukan semua sahabat sentiasa berada disamping Nabi saw. Oleh itu, ahli keluarga dan khadam Nabi saw yang senantiasa berada rapat dengan Nabi saw telah meriwayat segala perbuatan, perkataan dan perihal keadaan anggota tubuh badan Nabi saw untuk disampai kepada sahabat yang lain bagi menzahirkan kecintaan mereka terhadap baginda saw.
Sifat tubuh badan Rasulullah saw
1. Tubuh badan Rasulullah saw sederhana dan sasa
2. Rambutnya tidak terlalu kerinting dan tidak terlalu lurus
3. Jasad Nabi saw adalah pertengahan bertepatan dengan maksud, “Sebaik-baik perkara adalah pertengahan”
4. Kulitnya putih kemerahan (barangsiapa mengatakan kulit baginda saw hitam maka hukumnya adalah kufur kerana menyalahi riwayat hadith yang mutawatir dan disepakati oleh para ulama. Bagi siapa yang mengatakan kulit Nabi saw hitam dengan niat hendak mencaci maka orang itu boleh dihukum bunuh).
5. Baginda saw berjalan dengan cepat – menunjukkan kegagahan dan himmah (keazaman yang sangat tinggi). Kata Syeikh, ahli hadith perlu mencontohi langkah Nabi saw ini.
6. Kata al-Bara’ ibn Azib[1], Allah swt menciptakan Nabi saw berperawakan sederhana. Bahunya bidang dan sasa.
7. Nabi saw memanjangkan rambutnya hingga ke cuping telinga. Imam Abdullah al-Haddad dan Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki pernah menyimpan rambut hingga ke cuping telinga bagi menyempurnakan maksud hadith Nabi saw.
8. Nabi saw memakai pakaian merah. Memakai baju merah bukanlah haram zaati cuma ulama memakruhkan pakaian warna ini (dan ada ulama sampai mengharamkannya) kerana warna merah itu adalah simbol atau warna kegemaran orang-orang fasiq. Oleh itu, pakailah baju merah dengan niat hendak menyempurnakan sunnah Nabi saw bukannya dengan niat hendak mengikut jalan orang-orang fasiq.
9. Nabi saw sangat tampan. Sabda Nabi saw, Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan ia paling tampan dan paling mulia nasab antara kaumnya. Keturunan Nabi saw adalah keturunan yang paling hebat. Keseluruhan jalur nasab baginda saw adalah paling mulia dizamannya sehingga ke Nabi Adam as. Bonda dan ayahanda Nabi saw adalah golongan orang-orang yang mulia. Pernah ulama hadith satu masa dahulu telah mengeluarkan kenyataan bahawa ibubapa Nabi saw adalah kufur. Maka ketika beliau wafat, wajahnya bertukar menjadi hitam. Syeikh Soleh al-Ja’fari, imam Masjid al-Azhar ditangkap ketika mempertahankan ibubapa Nabi saw. Beliau dibawa ke penjara kerana menyatakan ibubapa Nabi saw wafat dalam keadaan Islam ketika mengajar di Masjid Nabawi. Sewaktu lalu di hadapan maqam Nabi saw, Syeikh Soleh Ja’fari mengadu dengan katanya, Inikah kesudahanku akibat mempertahankan ibubapamu wahai Rasulullah. Syeikh Soleh kemudiannya dibebaskan tanpa masuk kedalam sel penjara. Syeikh Soleh bertanya kepada pengawal kenapa beliau dibebaskan. Lalu pengawal itu memberitahu, Majikanku bermimpi Rasulullah saw malam tadi meminta beliau membebaskan engkau kerana engkau telah mempertahankan ibubapamu. Adapun imam Masjid Nabawi yang menyatakan bahawa ibubapa Nabi saw wafat dalam keadaan kufur meninggal dalam keadaan jasadnya terpaksa disokong dengan konkrit. Ini adalah kerana jasadnya telah berpaling dari arah kiblat ketika dimasukkan kedalam liang lihad.
Kita perlu sedar bahawa Nabi saw bukanlah manusia biasa seperti kita. Kata ulama, sesiapa yang menyatakan Nabi saw itu manusia biasa tanpa menyandarkan kistimewaan kepada tubuh baginda saw maka ia tergolong dalam kelompok jahiliyah. Ini adalah kerana orang kafir jahiliyyah memandang Nabi saw seperti mereka memandang manusia biasa tanpa mempunyai apa-apa keistimewaan. Hati mereka terhijab dari melihat kenabian Rasulullah saw. Sedangkan orang-orang yang beriman sentiasa nampak dan menyaksikan tanda-tanda kenabian baginda saw. Kata Umar al-Khattab, aku masuk Islam setelah Nabi saw memandangku dua kali. Pandangannya yang pertama telah mengeluarkan aku dari kekufuran manakala pandangannya yang kedua telah mengisikan iman didalam benak hatiku. Bahkan para wali juga dihijab dengan pakaian kemanusiaan. Kata ulama, kalau diangkatlah hijab tersebut sehingga menampakkan nur cahaya para wali nescaya semua orang akan menyembah wali itu bukannya tuhan. Sahabat adalah orang yang paling kenal dan arif tentang Nabi saw maka dengan sebab itu mereka sangat memuliakan Nabi saw. Adakah kita betul-betul sayang Nabi saw? Lemahnya umat Islam pada hari ini ialah kerana mereka tidak cinta kepada Nabi saw dengan sebenar-benar cinta. Kekuatan umat Islam terdahulu adalah kerana cinta dan rindu yang sangat mendalam terhadap Allah dan Rasul-Nya. Khalid al-Walid melaungkan slogan “Wahai Muhammad, Wahai Muhammad, Wahai Muhammad” ketika berperang menentang pemuka Nabi palsu, Musailamah al-Kazzab. Laungan itu telah mendatangkan kekuatan luarbiasa kepada tentera Islam sehingga musuh melihat mereka seperti singa-singa yang menerkam dalam keadaan lapar.


[1] Sahabat kecil Nabi saw. Beliau lahir sama tahun dengan Abdullah bin Umar. Beliau pernah ikut Nabi saw berperang dalam Perang Ahzab. Beliau wafat pada tahun 72 H.

Kalam Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 7 Feb 2010
Kalam Hikam Abi Madyan,
Tidak dituntut bagimu sesuatu seumpama idhtirar (desakan), dan tiada sesuatu yang lebih segera melimpahkan anugerah-anugerah kepadamu seumpama menghinakan diri dan iftiqar.
Pertolongan Allah Ta’ala datang apabila kita menghampirkan diri kepada Allah Ta’ala dengan cara sentiasa merasakan kekerdilan dan kehinaan diri kita dihadapan Allah Ta’ala. Sifat ujub membinasakan manusia. Inilah faktor kekalahan umat Islam dalam Perang Hunain. Apabila sifat ini hadir dalam diri kita, Allah Ta’ala akan merendahkan martabat umat Islam. Sebaliknya orang yang mengutamakan sifat kehinaan dalam diri maka darjatnya akan ditinggikan Allah Ta’ala. Sifat idhtirar (desakan) dan iftiqar (hajat) akan mendekatkan kita dengan anugerah Allah Ta’ala. Sifat faqir perlu ada didalam diri. Faqir yang dimaksudkan bukanlah faqir dihadapan makhluk tetapi faqir dihadapan Allah. Orang yang sempurna kefaqirannya akan mendapat pertolongan Allah Ta’ala. Ini bersesuaian dengan maksud, “Sesungguhnya sedeqah itu adalah untuk orang-orang faqir”. Jadi, supaya pertolongan Allah sentiasa datang kepada kita maka kita hendaklah berada dalam keadaan faqir dihadapan Allah Ta’ala. Jika kita masih ada lagi perasaan “mempunyai” atau “berkeupayaan” maka ia hanya akan membawa diri kita ke lembah kebinasaan dan kecelakaan diri. Ini adalah kerana sifat takabbur, riyak, suma’ah dan sebagainya yang buruk masih berada dalam benak hati kita. Sebaliknya kita hendaklah sedar dan insaf bahawa segala kepunyaan dan keupayaan itu adalah milik Allah Ta’ala. Semua yang berlaku adalah atas kekuatan Allah Ta’ala bukannya kita.
Para masyaikh dan ulama menggelarkan diri mereka al-faqir kepada Allah iaitu berkehendakkan kepada Allah dengan harapan, mudah-mudahan Allah Ta’ala mengkayakan mereka sehingga mereka tiada lagi berkehendak kepada manusia. Apabila kita banyak kekurangan maka Allah Ta’ala akan melimpahkan anugerah-Nya kepada kita tetapi apabila kita berada dalam keadaan senang maka ramai pula yang akan menolong dan menghampirkan diri kepada kita sehingga menyebabkan kita lalai kepada Allah Ta’ala. Kebiasaannya semasa kita dalam keadaan gawat, kita akan lebih banyak mengingati Allah dan benar-benar hampir kepada Allah untuk memohon pertolongan kerana tidak ada orang yang hendak menolong kita pada waktu itu. Sebaliknya keselesaan akan menyebabkan kita bersandar kepada makhluk. Nabi saw tidak takut umatnya jatuh miskin tetapi Nabi saw takut umatnya menjadi kaya. Kita hendaklah merasakan diri kita seperti dalam keadaan hendak tenggelam didalam lautan kerana pada masa itu harapan kita hanyalah pada Allah Ta’ala. Tidak ada yang boleh beri bantuan kepada kita selain Allah Ta’ala pada waktu itu.
Idhtirar adalah setinggi-tinggi sifat perhambaan. Bila ada sifat ini, Allah akan memelihara, mengurus dan mengawal diri kita. Allah akan menurunkan sifat Rububiyyah untuk menjaga kita. Kasih-sayang Allah dilimpahkan kepada kita. Kalau kita berkehendakkan kekayaan Allah Ta’ala maka kita hendaklah sahihkan kefaqiran kita dihadapan Allah Ta’ala. Apabila kita beramal kita hendak merasakan bahawa diri kita adalah yang paling hina, paling fasiq dan paling kerdil. Kita hendaklah merasakan bahawa keberadaan kita telah menyebabkan doa orang lain tertolak. Kita perlu menyerlahkan sifat kefaqiran bukan menyerlahkan kehebatan yang ada pada diri kita. Satu masa dahulu, ada seorang wali Allah datang ke Makkah untuk mengerjakan haji. Beliau berniat mengerjakan haji untuk bondanya, ayahandanya dan untuk orang-orang yang hajinya tidak diterima Allah Ta’ala. Ketika berada di tempat wuquf, beliau menyempurnakan maksud faqir dengan menyatakan bahawa keberadaan beliau disitu telah menyebabkan doa orang lain tertolak. Maka pada waktu itu, para wali Allah yang lain berpendapat bahawa semua orang yang mengerjakan haji pada waktu itu telah diterima Allah akan amalan mereka atas sebab sahihnya kefaqiran wali Allah tadi dan benar-benar ikhlas di hadapan Allah Ta’ala.
Lazimkanlah diri dengan membaca doa berikut,



Maksudnya
Ya Allah! Fahamkanlah kami tentang-Mu, kerana sesungguhnya kami tidak dapat memahami-Mu melainkan dengan pertolongan-Mu. Hanya kepada-Mu kami sembah dan minta pertolongan. Ya Allah! Janganlah Engkau mencabut keimanan dari hati kami setelah Engkau menunjuknya kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi.
Kalam Hikmah Abi Madyan
Tidaklah orang yang dipakaikan dengan kehinaan lemah seperti orang yang dipakaikan dengan ketinggian kuasa
Orang yang bersifat lemah sebenarnya dipakaikan dengan sifat ubudiyyah sebaliknya orang yang berada dirinya hebat sebenarnya merampas sifat Allah Ta’ala. Orang yang kuat melakukan taat dan kuat melawan nafsu akan dilimpahkan taufiq Allah Ta’ala manakala orang yang kuat fizikalnya tetapi lemah taatnya adalah orang-orang yang celaka kerana menyangka kekuatannya itu adalah miliknya. Kita perlu bermuhasabah dan menilai semula kemana kekuatan kita diarahkan, adakah ke jalan agama atau ke jalan dunia. Ada masyaikh dan ulama yang telah berusia lanjut tetapi masih gagah mengerjakan amal ibadah seperti menulis berjilid-jilid kitab dan melakukan solat malam. Ini adalah kerana Allah menganugerahkan kekuatan rohaniah kepada mereka untuk berkhidmat di jalan Allah walaupun dari segi fizikalnya, tubuh mereka tidaklah gagah seperti tubuh orang muda. Imam Ahmad Hanbal menulis musnadnya yang mencecah 52 jilid. Dari mana datangnya kekuatan beliau menulis padahal pada masa itu, belum ada lagi kemudahan moden seperti hari ini. Anehnya beliau tidak pula melakukan kesilapan dalam penulisan walaupun tanpa kemudahan moden seperti hari ini. Kita harus sedar bahawa apa yang kita ialah Allah bukannya apa yang Allah sediakan. Sebab itu kita kena mujahadah untuk mendapatkan Allah. Jalan untuk sampai kepada Allah terlalu banyak sebanyak nafas yang ditarik dan dihembus keluar dari hidung dan kerongkong. Segala perkara sunat adalah sebab atau jalan untuk sampai kepada Allah manakala mengerjakan fardu itu adalah modalnya. Pada suatu hari, Imam Syafi’i ra pergi ke satu majlis pengkebumian tanpa memakain jubah dan sarban. Kelibatnya tidak disedari oleh orang ramai. Esoknya, orang bertanya kepadanya kenapa beliau tidak hadir padahal beliau memang ada disitu. Begitulah pemikiran orang awam terhadap ilmu dimana mereka hanya nampak luarannya sahaja. Ketahuilah bahawa doa mestilah seiring dengan usaha yang bersungguh yakni mujahadah. Buatlah amal ibadah tanpa mengharapkan anugerah maqam dari Allah Ta’ala.

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 6 Feb 2010
Imam al-Asbahani ra menyatakan bahawa karya paling mulia yang pernah dihasilkan oleh manusia ialah tafsir al-Quran. Sebab itu para ulama berlumba-lumba menulis tafsir. Bila tafsir mereka terhasil, mereka berharap agar mereka mendapat kemuliaan dari Allah Ta’ala kerana berkhidmat dijalan-Nya. Orang-orang yang bergelumang dengan tafsir adalah orang-orang yang sangat mulia. Orang-orang yang bergelumang dengan tafsir bukan sahaja orang yang menulis tafsir tetapi juga orang-orang yang mendengar atau belajar ilmu tafsir. Ini bertepatan dengan sabda baginda saw yang berbunyi, Sesungguhnya sebaik-baik manusia ialah orang yang belajar dan mengajar al-Quran. Apabila seseorang itu dikurniakan nikmat menghafaz dan mahir menghuraikan makna al-Quran maka janganlah ia memandang atau mengatakan nikmat lain lebih besar. Kata Imam Nawawi ra dalam kitabnya yang bernama Tibyan, Sesiapa yang telah dikurniakan Allah Ta’ala kepada mereka nikmat mengetahui rahsia al-Quran kemudian mereka merasakan nikmat orang lain lebih besar dari mereka maka orang-orang ini telah memperkecilkan sebesar-besar nikmat yang telah dianugerah Allah Ta’ala kepadanya. NIkmat al-Quran adalah nikmat yang paling besar dan tidak sebanding dengan nikmat-nikmat yang lain. Ulama ketika menyusun buku-buku diatas mereka meletakkan kitab tafsir di rak yang paling atas diikuti dengan kitab hadith dan kitab-kitab lain. Ini selaras dengan ketinggian dan kemuliaan kitab tersebut yang menghimpunkan segala kelebihan dan memancar pelbagai hikmah Kalam Allah. Salah satu sifat Allah ialah berkata-kata, oleh itu, kalam yang paling mulia ialah Kalam Allah. Jadi apabila kita membicarakan kalam yang paling mulia maka ia sebenarnya merujuk kepada Kalam Allah. Begitu juga dengan doa dimana doa yang paling mulia adalah doa yang terdapat didalam al-Quran. Ini diiikuti dengan doa Nabi saw kerana Nabi saw adalah kekasih Allah yang paling maqbul doanya. Ada seorang sahabat berdoa kemudiannya doanya didengar oleh Nabi saw. Dalam doanya, sahabat itu memohon kepada Allah Ta’ala agar mengurniakan istana putih kepadanya didalam syurga. Lalu Nabi saw menegurnya agar memohon syurga sahaja dan jangan mensifatkan apa-apa didalam syurga (contoh seperti memohon istana putih). Bagi sahabat yang berdoa dengan kata-kata pujian yang indah kepada Allah Ta’ala, Nabi saw memberikan penghargaan kepadanya dengan memberi hadiah yang hebat-hebat seperti emas dan sebagainya. Nabi saw turut menegur sahabat yang berdoa dengan mengkhususkan doa itu untuk dirinya sahaja. Sebaik-baik doa ialah dengan berdoa untuk sekalian umat Islam. Kata baginda saw, perumpamaan doa umum dengan doa untuk diri sendiri adalah seperti langit dengan bumi. Sebab itu para ulama bersungguh-sungguh memohon hajat untuk kesejahteraan umat ketika sujud di akhir rakaat solat ketika mengimamkan jemaah kerana mereka tahu bahawa itulah sebaik-baik doa untuk kesejahteraan umat Nabi Muhammad saw dunia dan akhirat. Dalam sujud yang akhir, mereka akan membacakan doa, “Ya Allah, Ampunkanlah dosa umat Muhammad dan rahmatilah mereka”. Orang-orang yang berdoa didalam sujud di akhir solat lazimnya diangkat menjadi wali abdal. Kata ulama, wali abdal ini terdiri dari 40 orang pada satu-satu masa dan kebanyakannya berhimpun di Syam.
Kata para ulama apabila menghuraikan keadaan sahabat, Di zaman sahabat, ramai orang faqih tetapi sedikit khutaba’ (pemidato). Ini berbeza dengan keadaan umat pada masa ini dimana ramai orang pandai berkata-kata tetapi terlalu sedikit orang yang faqih. Para sahabat tidak suka bercakap banyak sebaliknya mereka lebih suka beribadah. Kata ulama, para sahabat tidak suka kepada 3 perkara iaitu,
1. Mengeluarkan fatwa
Kata para sahabat, sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu maka ia seolah-olah menyembelih orang ramai tanpa menggunakan pisau. Kata Nabi saw, sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu dan kemudiannya fatwa itu betul maka perbuatannya itu tetap dikira salah kerana ia memberi pendapat tanpa mempunyai keahlian didalam bidang itu. Sahabat sangat berhati-hati dalam hal ini kerana tanggungjawabnya sangat berat. Ini adalah kerana orang yang mengeluarkan fatwa dianggap sebagai wakil Allah apabila ia bercakap tentang hukum-hukum agama dan perlu memikul tanggungjawab atas umatnya. Sahabat apabila ditanya tentang sesuatu hukum tidak akan menjawabnya terus sebaliknya meminta sahabat yang lain menjawabnya kerana mereka sangat berhati-hati dalam soal hukum ini.
2. Menerima sedeqah
Para sahabat tidak suka menerima sedeqah dan jika disedeqah kepada mereka, mereka akan memintanya agar barang itu disedeqah sahaja kepada orang lain yang lebih memerlukannya.
3. Menjadi imam
Sahabat tidak suka menjadi imam kerana tanggungjawabnya sangat berat. Imam itu adalah penjamin solat makmum. Kata sahabat, aku benci menjamin orang lain kerana tanggungjawab yang perlu di pikul sangat besar. Pernah berlaku di zaman sahaat dimana sahabat tidak mahu jadi imam. Hatta ketika Nabi saw gering, sahabat tidak mahu menjadi imam sehinggalah Nabi saw memerintahkan Aisyah ra agar memberitahu ayahandanya, Abu Bakar ra untuk memimpin sahabat untuk menunaikan solat.[1]
Jadi, kesimpulannya, para sahabat tidak suka dikenali bahkan menjauhkan diri dari kemahsyuran. Kata mereka, Zaman kami, amal lebih utama dari ilmu (kerana para sahabat semuanya berilmu belaka). Adapun, kita pada hari ini, ilmu lebih utama dari amal. Maka kata syeikh, kepitlah buku atau kitab dan tadahlah kitab di hadapan fuqaha’ dan janganlah tertipu dihadapan khutaba yang hanya pandai bermain kata. Kata Nabi saw, Akan berlaku fitnah terhadap umat aku dimana tidak ada seorang pun yang akan terlepas dari fitnah it melainkan orang-orang yang telah dinugerahkan Allah Ta’ala dengan ilmu.
Said bin Jubir ra berkata, Apabila orang itu sentiasa merasakan dirinya perlu belajar maka ia tergolong dalam kelompok orang yang berilmu. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal sejuta hadith tetapi didalam poket bajunya sentiasa disematkan sebatang pen. Tujuannya ialah untuk mencatit apa yang didengarnya walaupun dari orang yang lebih rendah martabatnya. Adalah menjadi keaiban bagi seorang penuntut ilmu jika tidak membawa pen bersama. Kata Imam Ahmad bin Hanbal, aku akan membawa pen sehingga ke liang lahad. Sesungguhnya sejahil-jahil manusia ialah mereka yang merasakan ilmu mereka telah cukup.
Tokoh besar yang dikaitkan dengan ilmu tafsir dikalangan para sahabat ialah Ibnu Abbas. Ibnu Abbas (Abdullah bin Abbas) dilantik menjadi anggota kabinet kerajaan khlaifah Umar al-Khattab. Kehadiran beliau dalam barisan kepimpinan Umar tidak disenangi oleh sahabat besar lain yang lebih tua darinya[2]. Perkara itu disedari oleh Umar lalu Umar memanggil mereka semua menghadiri satu majlis ilmu. Dalam majlis itu, Ibnu Abbas menunjukkan kebijaksanaannya mentafsir ayat al-Quran hingga mencengangkan para sahabat lain. Semenjak dari itu para sahabat menghormati kewibawaan Ibnu Abbas walaupun usianya sangat muda pada waktu itu.

[1] Aisyah ra adalah isteri Rasulullah saw yang sangat bijaksana. Beliau tidak mahu memberitahu ayahandanya tentang hal itu kerana khuatir menjadi fitnah umat khususnya di kalangan orang-orang munafik yang beranggapan bahawa ayahandanya seorang yang tamakkan jawatan. Lalu Aisyah ra meminta Rasulullah saw memerintahkan Umar ra untuk memimpin sahabat. Kata Aisyah ra, Ayahandaku tidak sesuai menjadi imam kerana ia seorang yang mudah hiba. Rasulullah saw tahu apa yang tersirat di hati Aisyah ra. Lalu Nabi saw berkata, Engkau ini Aisyah ra sama seperti Zulaika (Nabi Yusuf as) yang mengalihkan perhatian orang lain. Wahai Aisyah, aku tahu bahawa engkau tidak membenarkan ayahmu menjadi imam bukan sebab dirinya mudah hiba tetapi sebab engkau bimbang orang akan berkata bahawa ayahmu seorang yang tamakkan jawatan. Apapun, Abu Bakar tetap dipilih untuk memimpin sahabat. Kata Umar ra, Kalau Abu Bakar ditujukkan Nabi saw untuk menguruskan hal agama (dengan menjadi imam), apatah lagi urusan dunia. Oleh itu, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah.

[2] Ramai diantara sahabat ini pernah berjuang didalam Perang Badar. Ahli Perang Badar mendapat perhatian Allah Ta’ala sehinggakan semua dosa mereka diampun Allah Ta’ala.

Tuesday, February 2, 2010

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang pada 31 Januari 2010
Bab Keperluan kepada tafsir
Abu Zar al-Harawi ra meriwayatkan kelebihan al-Quran daripada Sa’id ibn Jubir ra daripada Ibnu Abbas ra, beliau mengatakan,
Orang yang membaca al-Quran tanpa mengetahui pentafsirannya samalah dengan orang Arab yang tidak mengetahui syair
Sa’id ibn Jubir ra adalah murid kepada Abdullah ibn Abbas. Ramai anak murid Abdullah ibn Abbas menjadi ahli tafsir yang hebat-hebat (Abdullah ibn Abbas menjadi ahli tafsir terulung berkat doa Nabi saw keatasnya). Bagi orang Arab, tidak reti membaca syair atau tidak tahu bersyair adalah merupakan satu keaiban bagi mereka.
Mengetahui makna setiap lafaz al-Quran itu adalah sangat penting. Bahkan amat digalakkan mencari orang-orang yang saleh untuk menyembahyangkan jenazah supaya jenazah itu didoakan oleh mereka yang benar-benar mengetahui makna doa yang hendak dihadiahkan kepada si mati. Selain itu, kita juga disunatkan menyaksikan keadaan jenazah dan mendoakan jenazah atas segala kebaikan (apatah lagi jika jenazahnya dizahirkan kebaikannya)
Imam al-Baihaqi ra dan lain-lainnya meriwayatkan hadith marfu’[1] daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata,
I’rablah (tafsirlah) al-Quran dan perhatikan lafaz-lafaznya yang ganjil.
Ibnu al-Anbari ra meriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq ra, beliau berkata,
Mengi’rab satu ayat daripada al-quran lebih saya sukai daripada menghaal satu ayat daripadanya.
Ibnu al-Anbari ra mengetengahkan satu riwayat daripada Abdullah ibn Buraidah ra daripada salah seorang sahabat Nabi saw berkata,
Seandainya aku tahu, apabila aku telah bermusafir selama 40 malam barulah aku boleh meng’irab satu ayat dari al-Quran nescaya aku akan lakukannya.
Imam Syafi’i ra berkelana ke kampung orang-orang Arab Badwi untuk menimba kefahaman bahasa Arab yang asli. Hanya kampung orang Arab Badwi sahaja yang memahami dan menggunakan Bahasa Arab yang asli. Itulah sebabnya orang-orang Arab dibesarkan di kampung orang Arab Badwi. Tujuannya ialah untuk mempelajari Bahasa Arab yang asli. Keadaan ini samalah seperti Nabi saw ketika kecil dimana baginda saw disusu oleh wanita Bani Sa’ad dan dibesarkan di kampung itu. Kata Syeikh, ramai orang Mesir sendiri tidak boleh berbahasa Arab dengan bahasa Arab yang fasih. Satu-satunya kampung yang menggunakan bahasa Arab Quraisy di Mesir ialah Mahallah Abil Hayatim. Kampung ini merupakan tempat kelahiran ulama besar iaitu Ibn Hajar al-Haithami yang merupakan pengarang kitab Tuhfah. Selain kampung itu, ada satu lagi kampung yang berdekatan dengan Manufiyah yang mempunyai penduduk seramai 7000 orang dimana kesemuanya merupakan huffaz belaka.
Jika pendapat Imam Syafi’i bertembung dengan pendapat Imam Abu Hanifah dalam bab berkaitan dengan tafsir al-Quran, maka pendapat Imam Syafi’i lebih banyak dipakai ulama kerana beliau lebih memahami bahasa Arab dan mempelajari bahasa Aab asli yang mirip seperti bahasa al-Quran yang diturunkan. I’rab bukan setakat memahami struktur ayat kerana itu adalah zahirnya sahaja sedangkan i’rab yang sebenarnya ialah menghurai makna al-Quran itu sendiri. Para sahabat sangat mementingkan keperluan memahami ayat-ayat al-Quran. Satu kerugian kepada kita jika kita tidak faham kandungan al-Quran maka atas sebab itu kita hendaklah berusaha menghadirkan majlis-majlis ilmu dan berguru dalam bab ini. Pentingnya majlis ilmu seumpama ini sehingga wali Allah seperti Syeikh Soleh al-Jafari pernah merayu kepada orang ramai agar menghadiri majlis ilmu yang diadakannya.
Ibnu al-Anbari juga meriwayatkan daripada al-Sya’bi beliau menceritakan bahawa Umar ra pernah berkata,
Sesiapa yang membaca al-Quran lalu mengi’rabnya, baginya disisi Allah pahala mati syahid.
Al-Sya’bi merupakan guru kepada Imam Abu Hanifah. Sebelum bertemu al-Sya’bi, Imam Abu Hanifah tidak suka belajar walaupun beliau seorang yang sangat cerdik. Pada satu hari ketika beliau berjalan ke pasar, beliau bertemu dengan al-Sya’bi yang sedang mengajar di hadapan murid-muridnya. Al-Sya’bi berkata kepada Imam Abu Hanifah, Siapa ulama yang engkau pernah temui? Al-Sya’bi kemudiannya menyuruh Imam Abu Hanifah pergi duduk dengan ulama sebab menurutnya Imam Abu Hanifah berpotensi menjadi ulama besar. Pada satu malam, Imam Abu Hanifah bermimpi menggali maqam Nabi saw dan menyusun tulang-tulang Nabi saw. Beliau terjaga dari mimpinya dan kemudian duduk termenung. Beliau risau memikirkan mimpinya kerana beranggapan ia adalah mimpi yang buruk. Sehinggalah pada satu hari beliau didatangi oleh anak murid Ibnu Sirin[2] (tokoh yang sangat mahir dengan ilmu tafsir mimpi). Lalu anak murid Ibnu Sirin itu pun bertanya kepada Imam Abu Hanifah kenapa beliau bermenung sedemikian. Imam Abu Hanifah menceritakan perihal mimpinya. Anak murid Ibnu Sirin berkata, Sesungguhnya itu bukanlah petanda buruk sebaliknya engkau akan menjadi orang penting yang akan menyusun semula hadith-hadith Nabi saw. Semenjak dari itu, Imam Abu hanifah sentiasa melazimkan diri dalam majlis ilmu. Beliau pernah berguru dengan 4000 orang masyaikh. Beliaulah yang telah meriwayatkan hadith yang berbunyi, “Menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap orang Islam” dengan hanya satu perantaraan sahaja untuk menyampaikan dirinya kepada Rasulullah saw iaitu menerusi Anas bin Malik.
Sebelum menutup majlis, sekali lagi Syeikh menekankan kepentingan berguru. Kata Syeikh, sebesar-besar musibah adalah menjadikan kitab sebagai syeikh. Ilmu disisinya seolah tiada yang kemudiannya mengheret si pembaca itu ke lubuk kesesatan. Asal kesesatan ialah apabila mereka bersandar kepada kitab tanpa faham huraian kitab (hanya membacanya sahaja tanpa menghadiri majlis ilmu). Selanjutnya kata syeikh, Jangan ambil ilmu dari orang yang lututnya tidak pernah berlaga dengan lutut para ulama. Sedangkan Nabi saw berlaga lututnya yang mulia dengan lutut Jibril as ketika menghuraikan makna Islam, Iman dan Ihsan.
[1] Marfu’ bererti hadith yang disandar terus kepada Nabi saw. Selain dari marfu’ ialah mauquf dan mursal. Mauquf adalah hadith yang disandarkan kepada sahabat bukannya terus kepada Nabi saw. Sesuatu hadith disebut mauquf apabila si periwayat tidak menyatakan kalimah “Aku mendengar dari Nabi saw”. Mursal bererti hilang dua perawi iaitu sahabat dan Nabi saw dimana hadith tersebut disandarkan terus kepada tabi’in. Hadith mursal yang sanadnya terputus ditolak oleh Imam Syafi’i kecuali hadith yang diriwayat oleh Said bin Musayyib (nama asal bapanya ialah Musayyab). Imam Syafi’i mengenali peribadi Said bin Musayyib maka dengan sebab itu beliau langsung tidak meragui hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyib. Said bin Musayyib adalah seorang ahli ibadah yang pintar dan hebat. Menurut khadamnya, Said bin Musayyib akan sentiasa berada di saf hadapan setiap kali azan dikumandangkan. Said bin Musayyib adalah penghulu tabi’in di Madinah dan beliau sezaman dengan Sa’id bin Jubir.
[2] Anak murid kepada Anas bin Malik