Monday, March 29, 2010

Adab-adab Salikin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 28 Mac 2010, waktu dhuha

Tanda-tanda murid yang sodiq
1. Sodiq ialah murid yang benar, percaya, yakin dan menyempurnakan janji dengan syeikhnya.
2. Kazib ialah murid yang berdusta, pembohong dan tidak menyempurnakan janji taat setia dengan syeikhnya.
Berkata Daud al-Toei[1],
Diantara tanda murid yang sodiq dari kalangan penuntut ilmu zahir ialah dia tidak menyibukkan diri untuk ikut serta dalam perbahasan sesuatu ilmu dan tidak suka berjidal (berdebat). Bahkan murid yang sodiq ialah murid yang menghadiri majlis ulama’ dalam keadaan merasakan dirinya tidak mengetahui walau sedikit pun tentang apa yang diperkatakan oleh ulama tersebut. Keadaan ini wajib dikekalkan sehinggalah murid tersebut sampai ke tingkatan seorang rijal[2] dan dia diizinkan untuk bercakap bagi menghindarinya daripada terjerumus kedalam sifat-sifat buruk yang terhasil daripada perbuatan tersebut seperti riya’, ‘ujub dan takabbur.
Beliau juga berkata,
Diantara tanda murid yang sodiq ialah dia tidak melangkah walau selangkah untuk memenuhi keinginan nafsunya kerana berasa malu terhadap Allah Ta’ala.

[1] Beliau merupakan murid kepada Imam Abu Hanifah. Beliau pernah menjadi mufti majlis Imam Abu Hanifah. Daud al-Toei tidak pernah makan makanan yang perlu dikunyah. Beliau tidak mahu membuang masa dengan mengunyah makanan. Katanya apabila ditanya oleh anak muridnya, “Masa untuk mengunyah itu aku boleh gunakan untuk membaca 50 ayat al-Quran”. Beliau menghabiskan masanya dengan mengerjakan amal ibadah sehinggakan beliau tidak sedar atap rumahnya telah bocor. Beliau hanya mengetahuinya itupun setelah ditegur oleh anak saudaranya yang baru pertama kali memasuki rumahnya. Ketika mensyarahkan bab ini, Syeikh teringat pesanan terakhir yang disampaikan oleh masyaikhnya, Syeikh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, “ Tidak ada lagi yang tinggal melainkan ikhlas.”
[2] Orang yang mantap dalam suluk

Syarah Kanzul Minan Hikam Abi Madyan - Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang 28 Mac 2010 waktu dhuha

Kitab yang bernama Kanzul Minan ‘Ala Hikam Abi Madyan ra
Kanzul Minan bererti perbendaharaan anugerah. Minan adalah jamak bagi minna yang bererti banyak anugerah. ‘Ala Hikam Abi Madyan[1] merujuk atas syarah kata-kata hikmah, yakni kata-kata hikmah yang dikurnia Allah kepada Abi Madyan ra.
Menterjemahkan dia al-‘Abd al-Faqir al-Fani’ Daud Abd Allah Fathani (semoga Allah mengampunkan dosanya dan kedua ibubapanya, Amin)
Al-Fani’ bermaksud yang binasa dan ia adalah sifat makhluk sedangkan al-Baqi’ adalah sifat Allah yang bermakna kekal.
Hai Tuhanku, Jadikan oleh-Mu akan zahir kami berhias dengan syariat dan batin kami berpakai dengan tariqat
Kata Syeikh, zahir ikut syari’at dan batin ikut tariqat. Inilah langkah yang perlu dilalui oleh ahli sufi untuk mencapai maqam haqiqat. Sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya maka mereka akan mencapai haqiqat yakni kefahaman sesuatu perkara dalam perjalanan tariqat menuju jalan Allah. Kata Imam Malik ra, “Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh iaitu fiqhul asghar[2] dan fiqhul akbar[3] tetapi tidak belajar ilmu tasawwuf maka mereka adalah fasiq[4]. Sesiapa yang belajar tasawwuf tetapi tidak belajar fiqh dan tauhid maka mereka adalah kafir zindiq. Sesiapa yang menghimpunkan antara keduanya (fiqh, tauhid) dan tasawwuf maka benarlah ia menjadi ahli muhaqqiqin dalam perjalanan menuju kepada Allah. Nabi saw bersabda,
“Wali-wali Allah melihat kepada batin dunia di saat manusia melihat zahir dunia”
Sebab itu antara doa para masyaikh berbunyi seperti berikut,
“Ya Allah, Ya Tuhanku, Perlihatkanlah kepadaku sesuatu perkara itu akan haqiqat perkara itu”
Sebab utama masyaikh berdoa sedemikian agar tidak tertipu dengan kepalsuan yang ditonjolkan secara zahir (lahiriah) sepanjang hidupnya. Orang yang beristiqamah atas jalan tariqat akan diberi air (minuman) yang mencurah-curah oleh Allah Ta’ala kedalam benak hati mereka tanpa ada sebarang perantaraan. Mereka dikurnia ilmu ladunni. Ilmu ini adalah ilmu yang tidak ada batasnya. Ini berbeza dengan orang yang mengambil ilmu dari kitab. Ilmu dari kitab ada batasnya sebab ilmu itu terhad pada bilangan buku atau bilangan mukasurat yang dibacanya. Ilmu Nabi saw tidak ada batasnya disisi makhluk Allah kerana Allah telah berfirman kepada Nabi saw,
Katakanlah wahai Muhammad dan aku ijazahkan kepadamu dengan berkata, “Tuhanku, tambahkanlah bagiku ilmu”
Tentang keluasan ilmu Nabi saw, seorang sahabat bernama Huzaifah ibn Yaman berkata, pernah suatu hari Nabi saw berkhutbah dari Subuh hingga ke Isyak. Nabi saw berkhutbah tentang peristiwa akhir zaman dan memperincikan satu-persatu tentang keadaan manusia hingga ke hari kiamat termasuklah keadaan pemimpin yang zalim.
Supaya benderang atas kami beberapa cahaya haqiqat dan jadikan oleh-Mu akan ma’ani pohon kayu La Ilaha Illallah Muhammad Rasul Allah itu tetap lagi biasa pada kami hingga mendatangkan buahnya pada tiap-tiap ketika dengan kurnia tuhannya.
Semua perkara atas muka bumi ini adalah bersumber daripada kalimah La Ilaha Illallah Muhammad Rasul Allah. Pohon ini hendaklah hidup dan berbuah didalam hati kita.
Dan masakkan buah kayu ini hingga bersedap memakan dengan dia dan hingga kami bahagikan padanya akan segala saudara
Menjadi kelaziman kepada wali Allah untuk tidak memakan buah seorang diri melainkan berkongsi dengan segala ikhwan. Kerana itu mereka akan mengajak anak-anak murid mereka menanam pohon kayu itu sebelum disiram oleh mereka (wali Allah). Inilah wawasan wali Allah yang mursyid dan murabbi. *Pohon kayu ini adalah untuk orang awam.
Dan dijiruskan oleh-Mu akan dia daripada beberapa sungai kurnia dan ehsan hingga kami merasa akan manis buah kayu la hawla wa la quwwata illa billah
Kalimah La Ilaha Illallah Muhammad Rasul Allah adalah pohon syariat. Pohon ini hendaklah dibiarkan berbuah. Setelah itu, tanam pula pohon tariqat iaitu la hawla wa la quwwata illa billah. Pohon ini adalah tempat dimana kita bersandarkan segala kekuatan kepada Allah Ta’ala.
Dan hingga kami bahagikan daripada bendaharaan ini dan kami lengkapkan sekalian dan kami tentukan akan tiap-tiap hati yang khusyuk tiada daya bagiku dan tiada kuat bagiku adalah pada aku itulah dan harap sejahtera.
Pohon tariqat dibahagikan kepada orang-orang yang telah mencapai kesempurnaan dalam syariat mereka. Pohon ini hanya dikongsi dengan orang-orang yang telah merasai buah dari pohon La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah. Orang yang benak hatinya tidak layak merasai buah ini. Sahl al-Tasturi memilih orang tertentu sahaja belajar tentang pohon ini. Untuk belajar pohon tariqat ini, Sahl akan menjempt anak muridnya yang terpilih datang ke rumahnya. Beliau akan mengunci pintu rumah dan meletakkan kunci diatas pahanya. Begitu juga dengan wali Allah yang lain seperti Sayyid Ahmad Idris ra. Beliau hanya mengajar pohon tariqat ini selepas waktu Isyak kepada murid-murid yang khawass sahaja. Kata Syeikh, kita harus sedar dan faham bahawa untuk memahami sesuatu perkara bukanlah atas kecerdikan atau kekuatan kita melainkan itu semua datangnya dari Allah Ta’ala. Dalam Hizib Saifi, Sayyiduna Ali ra ada menyebut,
“Ya Allah, Sesungguhnya aku membebaskan diriku dari keupayaan dan kekuatanku.”
Inilah syarat untuk masuk belajar ilmu tasawwuf. Untuk belajar ilmu ini, kita hendaklah masuk dalam keadaan yang faqir. Inilah yang telah berlaku kepada Imam Abu Hasan asy-Syazuli ra ketika hendak berguru dengan Imam Abd Salam bin Masyis. Sebelum bertemu dengan Imam Abd Salam bin Masyis, Imam Abu Hasan telah bermusafir sehingga ke Iraq untuk mencari guru mursyid. Sesampai disana, Imam Ahmad Rifa’i baru sahaja meninggal dunia. Imam asy-Syazuli berjumpa dengan anak murid Imam Ahmad dan menerima ijazah darinya. Kata anak murid Imam Ahmad Rifa’i, “Engkau bersusah-payah datang ke Iraq untuk mencari wali qutub sedangkan wali qutub it ada didalam negeri engkau.” Terkejut Imam Asy-Syazuli mendengar kata-kata anak murid Imam Ahmad Rifa’i. Beliau bergegas pulang sehinggalah ia bertemu dengan Imam Abd Salam bin Masyis. Imam Abd Salam bin Masyis tinggal didalam gua di atas sebuah bukit. Diriwayatkan beliau tidak pernah mempunyai anak murid atau pengikut melainkan Imam asy-Syazuli sahaja. Imam Asy-Syazuli pada ketika itu telah pun mencapai kemahsyuran sebagai professor yang sangat terkenal dalam dunia ilmiah. Untuk berguru dengan Imam Abd Salam, beliau sanggup mengenepikan segala kemahsyuran dan naik ke puncak bukit dengan penuh tawaduk. Beliau mengambil wudhuk dan menanggalkan seliparnya untuk berjalan naik ke atas. Di tengah jalan, dia bertemu dengan Imam Abd Salam. Imam Abd Salam menyambutnya dan menyebut nama keturunannya sehingga sampai ke Sayyiduna Ali ra seolah-olah beliau sudah kenal lama dengan Imam Asy-Syazuli (Kata Sayyid Ahmad Idris, amalkanlah salawat al-muzhib al-nisyaan untuk mengingat peristiwa alam roh, penyaksian atas Allah dan agar diri tidak lalai dari menyebut kalimah syahadah). Imam Abd Salam berkata kepada Imam Asy-Syazuli, “Oleh kerana engkau naik ke gua aku dengan pakaian faqir maka aku pakaikan engkau dengan pakaian ma’rifah”. Kata syeikh, untuk faham tentang ilmu tasawwuf ini, seseorang itu mestilah datang dalam keadaan faqir agar mendapat kurnia dari Allah Ta’ala. Kata ulama, “Tanggalkan akal engkau dan datanglah (untuk belajar). Hikmahnya ialah supaya si penuntut ilmu tidak membangkang perjalanan tasawwuf. Imam Abd Wahab asy-Sya’rani, syeikhul Azhar yang sangat mahsyur pernah berguru dengan seorang ahli khawass yang kerjanya bertukang kasut dihadapan al-Azhar yang sangat terkenal itu. Ahli khawass menyuruh Imam Abd Wahab asy-Sya’rani membakar kesemua buku-bukunya. Inilah perkara yang paling sukar hendak dilakukan oleh Imam Abd Wahab. Kata ahli khawass, “Engkau mesti bakar semua kitab engkau supaya engkau tidak menyandar ilmu engkau pada kitab tetapi menyandar kepada Allah Ta’ala semata-mata”.[5]
Hai orang-orang yang gemarkan berjalan kepada Allah yang berkehendak akan merasai dengan dzauq manis ma’rifah. Jangan engkau mengenderai didalam jalan kepada Allah melainkan dengan kenderaan zul (hina) dan iftiqar (berkehendak) dan jangan engkau mengambil bekal kepadanya didalam padang ini melainkan dengan taqwa dan inkisar (pecah hati). Maka tatkala demikian itu adalah engkau orang yang melentangkan diri bagi nafahat lagi berjalan bagi yang terlebih hampir jalan ahli muamalat (orang yang berurusan dengan Allah) lagi berhias bagi turun fidh yakni limpah pemberian rahmat daripada Tuhan yang memberi akan beberapa pemberian
Untuk mengikuti jalan yang paling hampir menyampaikan diri kepada Allah Ta’ala, kenderaan yang hendak diguna adalah kenderaan zul dan iftiqar manakala bekal yang perlu dibawa ialah taqwa dan inkisar. Firman Allah dalam Hadith Qudsi, “Aku bersama dengan orang yang pecah hatinya kerana Aku”.
Telah muwafaqat segala masyaikh atas mentakzimkan dan membesarkan dia[6] dan mereka itu beradab pada hadapannya dan adalah radiallahu anhu sangatlah elok rupanya lagi bersih tubuhnya lagi banyak tawadhu’ lagi zahid akan dunia lagi wara’ lagi adalah muhaqqiq ilmunya. Sanya telah menghimpunkan atas baik kelakuannya dan baik perangainya dan karamatnya amat banyak. Maka adalah suatu hari lalu ia atas himar dan harimau memakan dia setengah tubuhnya dan empunyanya itu melihat ia akan dari jauh tiada kuasa hampir akan dia maka berkata Syeikh ra bagi empunya himar, “Mari kita pergi kepadanya”. Dan berkata ia, “Pegang olehmu dengan telinganya dan pakaikan dia akan ganti tempat himar engkau selama hari hidupnya”. Maka mengambil empunya himar itu akan telinga harimau dan ditunggangnya akan dia dan duduk ia kerjakan pekerjaannya hingga mati harimau itu beberapa tahun dengan karamat Syeikh ra.






[1] Syu’aib nama dirinya, Maghribi negerinya, Bijadiyah tempat kediamannya dan TIlmizani tempat quburnya.
[2] Merujuk kepada fiqh ilmu zahir seperti solat, puasa dan sebagainya
[3] Merujuk kepada ilmu tauhid. Kitab tauhid yang paling awal ditulis adalah al-Fiqhul Akbar. Kitab ini ditulis oleh Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah adalah seorang tabi’in yang pernah belajar dengan para sahabat termasuk Anas bin Malik ra. Anas ra adalah sahabat yang paling akhir wafat. Imam Abu Hanifah telah meriwayatkan sebuah hadith yang sangat mahsyur dari Anas bin Malik ra dengan maksudnya, “Menuntut ilmu adalah kefardhuan ke atas setiap orang Islam”. Kata Syeikh, ramai orang tidak faham dengan maksud hadith ini malah ada yang menambah perkataan muslimin dan muslimat (maksudnya menuntut ilmu adalah kefardhuan keatas setiap orang muslimin dan muslimat). Langkah menambah perkataan ini tidak tepat kerana Nabi saw menyebut muslimin sahaja yang mencakupi keseluruhan umat Islam. Muslimin yang disebut didalam hadith itu ibarat wajah yang mewakili keseluruhan jasad. Nabi saw dianugerahi Jawami’ Kalim dimana ucapan baginda saw ringkas tetapi padat dan penuh makna. Nabi saw tidak bercakap meleret-leret kerana para sahabat benar-benar memahami apa yang disampaikan oleh baginda saw. Ada juga pihak yang langsung tersalah tafsir maksud hadith diatas dimana mereka beranggapan bahawa menuntut ilmu adalah fardhu ke atas lelaki sahaja (kerana penggunaan perkataan muslimin). Alasan inilah yang digunakan oleh puak tertentu sehingga mereka melarang keras golongan wanita menuntut ilmu padahal menuntut ilmu itu wajib atas setiap orang Islam.
[4] Kata syeikh, ketahuilah bahawa taat dan maksiat itu terbahagi kepada dua. Taat terbahagi kepada zahir seperti solat, puasa dan sebagainya dan batin seperti redha, mahabbah dan sebagainya manakala maksiat juga terbahagi kepada dua iaitu maksiat zahir seperti judi dan sebagainya dan maksiat batin seperti riak, takabbur dan sebagainya. Kata ulama, jauhilah maksiat apa yang zahir dan apa yang batin.
[5] Dalam satu kisah lain yang disampaikan Syeikh, ada seorang ulama nahu namanya Sibawaih. Beliau sangat leka menulis sehingga tidak mempedulikan isterinya. Sehinggalah pada satu hari, isterinya membakar kesemua kitab Sibawaih kecuali satu kitab yang bernama al-Kitab. Kata ulama, ada hikmahnya kitab-kitab itu dibakar kerana jika tidak dia tidak akan habis-habis menulis kitab nahu.
[6] Dia yang dimaksudkan disini ialah pengarang kitab Hikam ini iaitu Syeikh Abi Madyan

Monday, March 22, 2010

Kitab Kesempurnaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 21 Mac 2010
Bentuk tubuh Nabi saw seperti yang diriwayatkan oleh Ali ibn Abi Talib, al-Hasan ibn Ali dan Jabir ibn Samurah dapatlah dirumuskan seperti berikut,
1. Tubuh Nabi saw adalah sederhana besarnya
2. Dada dan perut Nabi saw adalah sejajar
3. Kata Syeikh, setiap binatang yang menjadi tunggangan Nabi saw tidak berubah jasadnya dari segi fizikalnya yang sentiasa kelihatan muda dan tidak pernah sakit berkat ditunggang oleh Nabi saw. Ibu susuan Nabi saw iaitu Halimah ketika hendak datang mengambil Nabi saw untuk disusuinya ketika Nabi saw masih bayi bergerak dengan sangat perlahan kerana binatang tunggangannya lembap pergerakannya. Setelah Nabi saw menaiki tunggangan itu, dengan serta-merta binatang tunggangan Halimah menadi cergas malah rombongan Halimah terpaksa pula mengearnya dari belakang. Kambing-kambing di kampung Halimah menadi gemuk dan mengeluarkan susu yang banyak berkat kehadiran Nabi saw di kampung itu.
4. Tubuh Nabi saw tidak gemuk. Amalan Nabi saw ialah makan sehari dan lapar sehari (diulang secara selang-seli) dengan tujuan untuk menyempurnakan maqam sabar dan syukur iaitu sabar bila berlapar dan bersyukur bila menikmati hidangan. Nabi saw hanya makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
5. Kulit Nabi saw adalah putih kemerahan dan ini disepakati oleh para ulama secara mutawatir. Barangsiapa menyatakan bahawa kulit Nabi saw adalah hitam maka hukumnya adalah kufur.
6. Mata Nabi saw hitam pekat dan inilah secantik-cantik mata. Anehnya orang sekarang berlumba-lumba hendak mencantikkan mata dengan warna lain seperti biru atau hijau.
7. Bahu Nabi saw bidang menandakan bahawa tubuh Nabi saw sangat gagah perkasa.
8. Apabila baginda saw berpaling, seluruh badannya ikut berpaling. Ini adalah tanda betapa Nabi saw sangat tawaduk apabila bercakap dengan seseorang. Kata syeikh, orang yang tidak memandang muka orang yang bercakap dengannya adalah tanda orang-orang yang takabbur. Apabila kita bercakap dengan seseorang hendaklah kita memandang muka orang itu. Hikmahnya supaya orang itu berasa dihargai walaupun apa yang dicakapnya itu mungkin tidak seberapa. Ketahuilah bahawa bahasa badan (body language) lebih berkesan dari bahasa lisan (lidah) kerana dari situ seseorang akan tahu samada ia disukai atau tidak oleh orang lain. Takabbur tidak dapat disembunyikan samada menerusi percakapan atau pergaulan/perbuatan. Orang yang bersifat takabbur akan dizahirkan menerusi kedua-duanya. Kata ulama, Sesungguhnya kalam/ucapan/lafaz yang keluar dari mulut seseorang pada hakikatnya adalah berdasarkan dari hati. Ini termasuklah lisan lidah atau lisan perbuatan. Ramai orang boleh menarik perhatian orang lain dengan menggunakan lisan lidah. Sabda Nabi saw, “Sesungguhnya bayan (penerangan menerusi lidah) boleh mensihir orang yang mendengar”. Maksudnya disini ialah betapa percakapan seseorang itu yang mahir berkata-kata boleh memukau atau mempersona orang-orang yang mendengar. Pada hari ini, lisan lebih banyak tertumpu kepada kepetahan berkata-kata yang tidak bersandarkan kepada kebenaran ilmu. Kata syeikh, lisan perbuatan adalah lisan yang sangat sukar hendak dilaksanakan. Lisan perbuatan bererti sesuatu perbuatan itu boleh berkata-kata. Sebagai contoh perbuatan yang boleh diterjemah dalam bentuk dakwah untuk menarik perhatian orang ramai. Lisan perbuatan Nabi saw telah berjaya menarik ramai orang kafir Quraisy memeluk agama Islam. Contoh lisan perbuatan Nabi saw ialah baginda saw meringkaskan khutbah Jumaat tetapi memanjangkan solat Jumaatnya. Sabda Nabi saw, “Tanda ketidak-faqihan (ketidak-aliman) seseorang itu ialah apabila khutbahnya panjang dan solatnya pendek”.
9. Nabi saw mempunyai khatam nubuwwah yang terletak diantara belikat Nabi saw tetapi condong disebelah kiri. Seluruh Nabi dan Rasul Allah mempunyai cop mohor masing-masing yang letaknya diatas tangan kanan mereka. Hanya baginda saw mempunyai cop mohor yang terletak diantara belikat baginda saw.
10. Nabi saw mempunyai hati yang paling pemurah. Nabi saw mengambil berat masalah umatnya dan semua orang mendapat pembelaan Nabi saw. Berbeza dengan keadaan masyarakat pada zaman ini yang mementingkan diri sendiri, tidak ada perasaan belas dan kasih pada orang lain dan tidak mahu mengambil tahu hal-ehwal umat Islam dan ini merupakan satu musibah besar kepada umat Islam. Sabda Nabi saw, “Sesiapa yang tidak prihatin perihal umat Islam maka ia bukan di kalangan kami”. Kata syeikh, jangan ambil remeh tentang frasa “bukan di kalangan kami" seperti yang disebut dalam hadith tersebut kerana kesannya cukup dahsyat. Umat Islam seharusnya berasa amat bimbang jika kelak tidak dapat berhimpun dengan baginda saw di Hari Akhirat sedangkan semua Nabi dan Rasul berada di bawah panji baginda saw. Kata syeikh, ada orang yang taat beribadah dan melazimkan diri dengan mengerjakan umrah tetapi tidak mahu mengambil tahu hal umat Islam. Jika ada ulama bersifat seperti ini maka binasalah umat Nabi saw. Umat akan jadi jahil jika ulama bersikap mementingkan diri sendiri. Sebab itulah ulama kena fikir masalah umat. Lazimkanlah diri dengan sentiasa mengambil berat hal umat Islam terutamanya dalam urusan yang bersangkutan dengan hidup berjiran, menziarahi orang sakit dan mengambil bahagian dalam menyembahyangkan jenazah.
11. Nabi saw tidak pernah bercakap bohong dan pandangan Nabi saw semuanya benar belaka kerana Nabi saw adalah maksum. Nabi saw tidak pernah bercakap bohong kerana sifat Nabi adalah as-Siddiq.
12. Perangai Nabi saw tidak sombong bahkan senang digauli.

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 21 Mac 2010

Sumber pengambilan ilmu tafsir ada 4 dan salah satunya ialah naqal daripada nabi saw. Maksud naqal ini ialah apa sahaja yang ditafsir oleh Nabi saw. Naqal Nabi saw merupakan darjat yang pertama dala rujukan tafsir. Para mufassir akan melihat hadith Nabi saw terlebih dahulu sebelum merujuk kitab lain apabila menulis tafsir. Tidak semua ayat al-Quran ditafsir Nabi saw kerana para sahabat lazminya memahami makna ayat kecuali jika ayat itu benar-benar tidak difahami. Imam as-Suyuti ada menulis sebuah kitab yang dikenali dengan nama Ad-Durr Al-Manthur Fi Tafsir Bil-Ma'thur yang menghimpunkan hadith-hadith Nabi saw yang berkaitan dengan tafsir al-Quran.

Sairus Salikin Bab Rahsia Zakat disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 21 Mac 2010 (kuliah dhuha)

Syarat-syarat yang zahir itu lima perkara
1. Niat – ikut bahasa arab, sedeqah juga dirujuk sebagai zakat sedangkan dalam bahasa melayu, sedeqah itu bermakna berbuat baik. Orang yang wajib membayar zakat fitrah ialah orang yang hidup dalam ‘dua masa’. Maksud dua masa disini ialah orang yang hidup di akhir Ramadhan dan awal Syawal. Jika dia membayar zakat pada awal Ramadhan dan kemudian meninggal dunia sebelum awal Syawal maka zakatnya itu menjadi sedeqah. Jika seorang bayi lahir selepas maghrib awal Syawal maka tidak wajib warisnya mengeluarkan zakat atas bayi itu. Waris kepada orang yang telah membayar awal yang kemudiannya meninggal dunia tidak boleh menuntut balik pemberian zakat itu sebaliknya pemberian itu dianggap sedeqah. Solat tidak boleh didahulukan[1] sebelum waktunya sedangkan zakat boleh didahulukan sebelum waktunya. Zakat perlu dilihat dari sudut harta yang boleh berkembang. Oleh itu, zakat perlu dikeluarkan hatta oleh seorang bayi dimana waris perlu mengeluarkan zakat untuk dirinya. Begitu juga dengan harta anak yatim yang perlu dikeluarkan zakat ke atas harta itu oleh si warisnya kerana harta tersebut boleh berkembang biak. Harta zakat tidak boleh dipandang dari segi pemiliknya tetapi berdasarkan kepada harta yang boleh dikembangkan.
2. Wajib segerakan pemberian zakat bila cukup nisab dan haulnya. Haul perlu dihitung mengikut kiraan tahun Hijrah.
3. Hendaklah dikeluarkan zakat yang ‘ain. Maksud ‘ain disini ialah mengeluarkan zakat emas atas harta emas bukannya atas harta perak dan sebagainya.
4. Jangan dipindahkan zakat ke negeri lain (kecuali jika kawasan negeri itu tiada orang miskin atau ada asnaf dari negeri lain yang datang ke negeri itu untuk menerima zakat). Kata Syeikh, kalau nak bersedeqah sunat maka eloklah ia disembunyikan dari pengetahuan orang ramai tetapi kalau nak membayar zakat, eloklah diwar-warkan kepada orang ramai dengan tujuan untuk memberitahu kepada orang ramai tentang kewajipan membayar zakat. Salah satu hikmah mewar-warkan pembayaran zakat ialah masyarakat akan membantu menjaga keselamatan si pembayar zakat supaya beliau boleh mengeluarkan zakat pada tahun-tahun yang berikutnya kerana agihan atas zakat itu dapat diberikan kepada orang faqir dan miskin di sesuatu kawasan. Sedeqah sunat juga boleh diwar-warkan jika orang yang meminta sedeqah itu menjual air mukanya kerana memerlukan duit yang amat sangat atau untuk acara-acara tertentu seperti bantuan kepada orang Islam di negara lain dan sebagainya.
5. Membahagi zakat itu kepada segala yang maujud. Maksudnya mengagihkan zakat kepada lapan asnaf.
Mengikut mazhab Abu Hanifah, orang yang wajib mengeluarkan zakat fitrah ialah orang yang memiliki harta nisab yang mencukupi. Orang yang tidak tidak cukup harta nisab tidak wajib mengeluarkan zakat. Ini berbeza dengan mazhab Syafi’i dimana yang wajib keluar zakat fitrah adalah orang yang ada harta untuk keluar makan di pagi raya. Dalam mazhab Abu Hanifah, orang yang memiliki harta nisab yang mencukupi wajib melaksanakan korban pada Hari Raya Qurban.
Adab-adab batin dalam zakat
Salah satu adab batin ialah dengan memahami makna sebab diwajibkan zakat. Ada 3 makna dimana salah satunya ialah menyempurnakan rukun Islam. Orang yang menyempurna zakat itu merasa bertuah kerana berjaya menunaikan rukun Islam atas sebab berhasilnya dirinya bertauhid pada Allah Ta'ala dan melawan nafsunya dari terlalu cinta pada harta.
Soal-jawab zakat
1. Seorang mempunyai rumah sewa yang dibeli dengan harga RM 165,000 dan kemudian menyewanya dengan nilai RM 300 sebulan. Soalan, adakah zakat perlu dikeluarkan disebabkan rumah itu dijadikan sewaan? Jawab: Tidak wajib ikut mazhab Syafi’i. Cuma kata syeikh jika seorang itu mempunyai 30 buah rumah dan mempunyai keuntungan bersih tahunan yang cukup nilai nisab dan haulnya maka wajiblah dia berzakat.
2. Zakat boleh diberikan kepada orang yang berhutang untuk tujuan pembinaan madrasah.


[1] Kecuali jamak taqdim yang diharuskan itupun perlu diniat pada sembahyang fardhu yang pertama

Wednesday, March 10, 2010

Hadith Modal Insan dan Tasawwuf - Disyarah oleh Dr Zulkifli al-Bakri

*Catatan bebas ana di Kota Warisan pada 9 Mac 2010 selepas solat maghrib

Hadith Modal Insan
Muhasabah Diri
Dewasa ini banyak hal atau perkara yang melibatkan aib orang lain. Adakalanya kita dapat melihat betapa masyarakat berasa seronok mentajrih atau menghina manusia lain. Ketahuilah bahawa aib pada diri kita lebih banyak dari pujian. Aib ada dua iaitu
1. Aib yang perlu ditutup
2. Aib yang perlu ditegur seperti tidak menutup aurat. Aib sebegini perlu ditegur.
Menjaja aib orang hukumnya berdosa. Imam Ali ra berkata, “Aku tengok orang itu hebat tetapi apabila dia mendedahkan aib orang lain maka aibnya akan terdedah sehingga ke dalam biliknya sendiri”. Zaman sekarang, teknologi seperti Internet telah dijadikan medium untuk mendedahkan aib orang lain. Saiyidina Umar al-Khattab ketika menjadi khalifah sentiasa meninjau kehidupan rakyatnya. Pada satu malam beliau terlihat ada 5 hingga 6 orang sedang meminum arak ketika melewati sebuah rumah. Melihatkan kejadian itu, Saiyidina Umar melompat masuk ikut tingkat lalu bertempik didalam rumah itu. Penghuni rumah itu terkejut melihat kelibat Umar. Ada yang lari lintang-pukang dan ada yang terus hilang mabuknya kerana takut melihat susuk tubuh Umar. Seorang daripada mereka berjaya ditangkap. Kata Umar kepada penghuni rumah itu, “Kamu akan dihukum atas kesalahan kamu”. Kata penghuni rumah itu, “Saya bertaubat tidak akan buat lagi selepas ini. Tetapi sebenarnya saya hanya salah sekali sahaja sedangkan Amirul Mukminin salah tiga kali”. Terkejut Umar mendengar kata-kata penghuni rumah itu. “Bagaimana pula aku boleh salah tiga kali sedangkan kamu salah sekali sahaja?” Tanya Umar kehairanan. Kata penghuni rumah itu, “Saya hanya salah sekali iaitu meminum arak tetapi Amirul Mukminin salah tiga kali iaitu pertama, masuk dengan tidak memberi salam sedangkan Allah menyuruh kita memberi salam; kedua, masuk tanpa meminta izin sedangkan Allah berfirman, Wahai orang-orang beriman, jangan kamu masuk sebelum kamu memberi salam dan ketiga, tidak masuk ikut pintu seperti kebiasaannya tetapi masuk ikut tingkap”. Kata Umar, “Baiklah, kali ini kamu aku lepaskan kerana aku membuat tiga kesalahan sedangkan kamu membuat satu kesalahan”. Banyak kisah lepas telah membuktikan betapa orang-orang yang aib kemudiannya menjadi orang yang hebat. Salah satu kisahnya berlaku di zaman Rasulullah saw. Seorang wanita berzina sehingga melahirkan anak tetapi dia kemudiannya bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan meminta Rasulullah saw menjalankan hukuman rejam ke atas dirinya. Disebabkan dia masih menyusukan bayinya, hukuman keatasnya ditangguh selepas beliau habis tempoh menyusukan bayinya. Ketika sampai pada hari rejam itu, seorang sahabat mengangkat batu yang besar lalu memaki hamun wanita itu. Perbuatan sahabat itu ditegur Rasulullah saw. Kata Rasulullah saw, “Perempuan itu sudah pun bertaubat nasuha dan nilai taubatnya melebihi amalan 70 orang”. Sahabat selanjutnya meminta Rasulullah saw menceritakan kedudukan wanita itu di hari akhirat. Kata Rasulullah saw, “Wanita itu sekarang sedang berenang didalam sungai-sungai syurga”. Ketahuilah bahawa orang-orang jenis ini mempunyai kesungguhan didalam cita-cita mereka. Ada orang yang perwatakannya kusut masai dengan pakaiannya berdebu dan dari jenis yang murah. Orang ini kebiasannya dihalau orang ketika hendak meminta makanan. Tetapi orang ini apabila ia bersumpah, maka ia akan melaksanakan sumpahnya dengan bersungguh-sungguh. Orang jenis ini sentiasa mendapat kemuliaan disisi Allah Ta’ala. Amatlah aneh dengan kehidupan masyakarat pada masa ini dimana masyarakat dimasa dahulu lebih banyak menyibukkan diri dengan melihat aib diri sendiri bukannya melihat aib orang lain. Syeikh terkenangkan pertemuannya dengan seorang pelajar Arab yang sedang mengambil PhD. Pelajar itu menceritakan pengalamannya mendapat e-mel dari rakan yang lain. E-mel itu ada kaitan dengan perihal muhasabah diri dan ianya berbunyi seperti berikut, “Kalau saya masuk syurga, apa yang saya akan buat…” Lalu si penulis berfantasi dengan menyatakan bahawa apabila dia masuk syurga, dia ingin sekali bertemu dengan penghulu sekalian manusia iaitu Rasulullah saw, melihat betapa benarnya sahabat Abu Bakar as-Siddiq, mendampingi kehebatan Umar al-Khattab, melihat kelembutan Uthman bin Affan, menyaksikan kepahlawanan Ali bin Abi Talib, bertemu dengan imam dan professor zuhud Abu Zar al-Ghifdari, bertemu dengan pahlawan Islam terbilang Khalid al-Walid, bertemu dengan tokoh yang membuka kota Baitul Maqdis Salahuddin al-Ayyubi, bertemu dengan faqih seperti Imam Asy-Syafi’i, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad Hanbal dan seterusnya bertemu dengan pakar hadith Imam Bukhari. Tetapi di akhir kalimah didalam emelnya itu dia menyebut, “Tapi layakkah saya masuk syurga dengan amalan yang kurang, lalai dan sibuk dengan urusan yang sia-sia?” Kata Syeikh, aib manusia ini memang tak pernah selesai. Sebab itu antara kerja yang paling sukar atau paling payah bagi kita untuk melaksanakannya ialah dengan memuhasabah diri sendiri. Tabiat manusia secara semulajadinya amat sukar hendak keluar dari kepompongnya. Sebagai contoh, orang yang tabiatnya suka minum kopi amat payah hendak bertukar selera dengan meminum air lain seperti teh dan sebagainya. Tabiat ini menjadi sebati dalam diri. Untuk keluar dari zon ini sangat payah. Syeikh teringat dengan satu artikel yang dibacanya yang bertajuk Morning Person. Artikel itu menceritakan bagaimana orang hebat bangun pagi. Orang hebat lazimnya bangun awal pagi. Bangun awal pagi sangat besar hikmahnya kerana pada waktu itulah manusia berada dalam keadaan yang benar-benar cergas. Maka atas sebab itu, kita hendaklah mengubah tabiat kita dengan bangun awal pagi dan memanfaatkan waktu tersebut dengan kerja-kerja yang berfaedah. Jangan sia-siakan waktu itu. Contohilah orang yang sentiasa yang berbuat baik. Orang yang berbuat baik tidak pernah rugi sebaliknya orang yang berbuat jahat pasti rugi. Orang yang baik biasanya akan dibenci orang. Orang yang baik akan dibenci dengan jawatannya sekali. Aib orang yang baik ini lebih suka disensasikan orang. Sahsiah yang paling banyak dibincang orang ialah tentang Nabi Muhammad saw. Orang pertama yang mengkritik dan mencerca Nabi saw ialah bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Lahab sehingga turun ayat yang mencela Abu Lahab. Kritikan yang dilempar oleh puak kafir terhadap baginda saw tidak langsung merendahkan darjat baginda saw sebaliknya menyerlahkan lagi kehebatan Rasulullah saw.
Abu Laits al-Samarqandi berkata bahawa ada tiga kelompok manusia yang doanya tidak akan diterima iaitu
1. Orang yang memakan makanan yang haram seperti daging babi (kecuali darurat) atau dari sumber yang haram seperti riba, rasuah, judi dan sebagainya
2. Orang yang suka mengumpat. Kata syeikh, janganlah bersekongkol dengan orang yang suka mengumpat atau terlibat dengan unsur-unsur mengumpat yang disebarkan melalui media, akhbar dan Internet. Kata ulama, siapa yang mengumpat bagi pihak kamu maka akhirnya dia akan mengumpat atas diri kamu.
3. Orang yang didalam hatinya ada perasaan hasad dengki kepada orang Islam yang lain. Kata syeikh, tidak perlu seseorang itu berdengki pada orang kaya kerana adakalanya kekayaan itu datang secara tiba-tiba (tanpa sengaja). Tidak dinafikan bahawa kekayaan itu datang dengan hasil usaha atau kudrat manusia bekerja tetapi seperti kata Imam al-Ghazali, “Kalau rezeki itu datang berdasarkan kekuatan maka sudah tentu burung ciak dan pipit tidak akan dapat menjamah makanan kerana burung helang lagi kuat dari mereka”. Justeru, kita hendaklah beriman bahawa setiap rezeki termasuk kekayaan datang dari Allah Ta’ala. Kata Imam al-Ghazali lagi, rezeki itu ada pelbagai jenis. Ada rezeki milik, ada rezeki pakai dan ada rezeki makan”. Kata Syeikh, orang yang dikurniakan rezeki milik yakni duit yang banyak belum tentu dikurniakan rezeki makan kerana orang jenis ini selalunya kedekut mengeluarkan belanja untuk makan. Selanjuntya kata syeikh lagi, orang yang suka berhasad dengki pasti rugi.
Kata ahli hikmah, empat perkara siapa yang ada pada dirinya maka diharamkan padanya kebaikan. Empat perkara tersebut ialah
1. Orang yang angkuh terhadap orang bawah. Maksud orang bawah ini samada pekerja bawahannya atau orang miskin. Pernah berlaku satu masa dahulu di Tanah Arab, dua orang kawan baik mengambil keputusan membawa haluan masing-masing. Seorang berhijrah ke bandar manakala seorang lagi menetap di kampung. Yang tinggal di bandar menjadi kaya-raya manakala yang tinggal di kampung berada dalam keadaan miskin. Satu hari, si kaya datang menziarahi kawannya di kampung. Si miskin menjamu si kaya roti kering. Si kaya memperlekehkan kawannya itu dengan membuang air kecil diatas roti itu. Si kaya pulang semula ke bandar. Tidak berapa lama kemudian, si kaya jatuh bankrap dan pulang ke kampung. Si miskin menjamu si kaya dengan makanan yang sama iaitu roti kering beserta air kosong. Si kaya makan dengan lahapnya, katanya, “Sedap sungguh roti ini walau dicicah dengan air sejuk”. Kata si miskin, “Sebenarnya itulah roti yang engkau kencing diatasnya dahulu”. Sebab itu kata syeikh, jangan sekali-kali kita menghina makanan.
2. Orang yang derhaka pada ibubapa. Orang yang taat dan berbuat baik kepada ibubapa maka Allah akan menggantikannya dengan anak-anak yang taat dan berbuat baik pula pada dirinya. Kata Imam Syafi’i dalam syairnya, “Berbuat baiklah kamu pada ibubapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik pada kamu pula”. Bagaimana pula jika kita tidak sempat berbuat pada ibubapa yang telah meninggal dunia? Kata Syeikh, perbanyakkan istighfar, tunaikan apa sahaja kesukaannya yang tidak menyalahi syarak, tunaikan ibadah puasa dan haji yang dtinggalkannya, perbanyakkan sedeqah dan amal jariah dan berbuat baiklah dengan rakan-rakannya.
3. Orang yang menghina orang asing atau pengembara. Dalm satu kisah yang diriwayat oleh Abu Said al-Khudri ra, pada satu hari para sahabat keluar bermusafir. Mereka sampai ke satu kampung dan memohon kebenaran penduduk kampung untuk menerima mereka sebagai tetamu. Namun penduduk kampung menolak permintaan mereka. Sahabat kemudiannya mendirikan khemah di luar kampung. Hinggalah ke malam hari, penduduk kampung dalam melawat mereka lalu bertanya, “Ada tak sesiapa diantara kalian yang boleh merawat ketua kami. Ketua kami dipatuk ular”. Kata seorang sahabat, “Boleh”. Lalu sahabat pergi berjumpa dengan ketua kampung yang sedang membiru wajahnya menahan kesakitan. Sahabat membaca surah al-Fatihah dan menghembus pada bahagian yang sakit. Dengan izin Allah, sakit yang dideritai oleh ketua kampung itu sembuh seperti sediakala. Ketua kampung menghargai jasa sahabat yang berjaya mengubatinya dan dihadiahkan kepada rombongan sahabat itu se’lembah’ kambing.
4. Orang yang hina orang miskin kerana kemiskinannya
Tasawwuf
Adab orang yang soleh

Ibrahim bin Adham pada satu ketika pernah tinggal didalam istana. Pada satu hari, beliau nampak seorang tua berjalan di padang pasir. Lalu beliau memerintahkan pengawalnya memanggil orang tua itu masuk ke dalam istana. Ibrahim bin Adham kemudiannya bertanya kepada lelaki tua itu, “Pakcik dari mana dan hendak ke mana pula?” Jawab lelaki tua itu, “Pakcik dari Balagh (Iraq) dan hendak ke Makkah”. Ibrahim bin Adham terpegun melihat orang tua itu yang sanggup berjalan kaki dari Iraq menuju ke Makkah. Ibrahim bin Adham menjamu orang tua itu makan. Sehabis sahaja mereka menikmati hidangan, Ibrahim bin Adham berkata kepada pakcik itu, “Pakcik bolehkah saya mengikuti pakcik berjalan ke Makkah?” Orang tua itu membenarkannya. Orang tua itu memegang tangannya dan Ibrahim bin Adham terasa badannya seperti melayang-layang. Di sepanjang perjalanan, orang tua itu memberitahu Ibrahim bin Adham, lokasi-lokasi yang mereka lalui seperti Basra, Kufah dan sebagainya sehingga sampai ke Madinah. Setibanya di Madinah, mereka mengerjakan solat dan kemudiannya mereka bergerak menuju ke Makkah dan akhirnya ke Baitul Maqdis. Setibanya di Baitul Maqdis, orang tua itu berkata kepada Ibrahim bin Adham, “Nampaknya pertemuan kita sampai disini sahaja. Kita berpisah selepas ini”. Orang tua itu berlalu pergi meninggalkan Ibrahim bin Adham keseorangan. Jika sebelum itu, perjalanan dirasakannya begitu singkat apabila bersama dengan orang tua itu, kini Ibrahim bin Adham terpaksa berjalan bersendirian untuk pulang ke tempat asalnya. Kata Ibrahim bin Adham, “Seorang lelaki tidak akan mencapai darjat orang-orang soleh sehinggalah dia menempuh enam rintangan,
1. Hendaklah dia mengunci pintu kemuliaan dan membuka pintu kehinaan[1]
2. Hendaklah dia mengunci pintu nikmat dan membuka pintu kesempitan[2]
3. Hendaklah dia mengunci pintu kerehatan dan membuka pintu kesungguhan[3]
4. Hendaklah dia mengunci pintu tidur dan membuka pintu berjaga malam[4]
5. Hendaklah dia mengunci pintu kekayaan dan membuka pintu kefakiran[5]
6. Hendaklah dia mengunci pintu cita-cita dan membuka pintu persediaan untuk mati”



[1] Kita hendaklah menghinakan diri dengan memperbanyakkan sujud. Apabila sujud, kepala kita separas dengan kaki. Pada ketika itulah kita berada sangat hampir dengan Tuhan
[2] Kita perlu bersyukur atas nikmat Tuhan kerana setiap sesuatu itu adalah dari Tuhan
[3] Rehat yang sebenar ialah apabila mati manakala tempat rehat yang sebenar ialah apabila di akhirat kelak. Oleh itu, beramallah bersungguh-sungguh ketika hayat masih dikandung badan
[4] Perbanyakkanlah masa untuk berjaga bagi mengerjakan amal ibadah dan beristighfarlah di waktu pagi
[5] Jangan kedekut untuk bersedeqah kerana Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang tak dapat difikir oleh akal manusia

Monday, March 8, 2010

Syarah Khas Maulidur Rasul al-Jenderami 1431 H

*Catatan bebas ana selepas solat maghrib di Kompleks al-Jenderami pada 6 Mac 2010
Syarah Khas Syeikh Afeefuddin al-Jailani
Sahabat yang bernama Abu Zar pernah berkata, “Apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh ahli keluargaku sebenarnya adalah berpuncakan dari dosaku”. Justeru kita seharusnya insaf kerana kemungkaran atau musibah yang melanda umat Islam pada hari ini pada hakikatnya adalah berpunca dari dosa-dosa kita. Para sahabat sangat mengasihi dan mencintai Nabi saw. Mereka tidak pernah memikirkan tentang syurga sebaliknya mereka sentiasa berusaha bagaimana hendak mendampingi Nabi saw kerana kecintaan mereka yang sangat mendalam terhadap baginda saw. Imam as-Suyuti menggelar bulan Rabi’ul Awwal sebagai bulan Rabi’ul al-Anwar kerana bulan kelahiran baginda saw itu dinisbahkan dengan bulan cahaya Rasulullah saw yang membawa rahmat ke seluruh pelusuk alam. Rasulullah saw berpuasa pada hari Isnin sebagai tanda kesyukuran atas lahirnya. Apabila sahabat melihat Rasulullah saw berpuasa pada hari tersebut maka pada minggu berikutnya, seluruh umat Islam di Madinah berpuasa pada hari Isnin kerana kasih dan sayang mereka kepada baginda saw. Ketika Umar ra menjadi khalifah, beliau bersiar-siar bersama Uthman ra dan bertemu dengan seorang budak penggembala kambing. Umar mengujinya dengan meminta budak itu menjualkan seekor kambing kepadanya. Budak itu enggan lalu berkata, “Bagaimana saya hendak menjawab di hadapan Allah Ta’ala dan Rasul-Nya di hari Kiamat kelak (kerana tidak berlaku amanah)?” Begitulah hebatnya umat Islam dizaman Rasulullah saw dan para sahabat kerana mereka patuh dan taat dalam menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya. Uthman ra kemudiannya membeli budak itu dan memerdekakannya. Uthman juga membeli semua kambing yang dibela oleh budak itu lalu memberikannya kepada budak itu sebagai hadiah kerana teguh dengan pendiriannya demi menjunjung titah perintah Allah dan Rasul-Nya.
Seorang tabi’in berada dalam sakaratul maut. Beliau dikunjungi oleh seorang sahabat yang merupakan ahli Baitul Ridwan. Tabi’in meminta kepada sahabat itu untuk memegang tangannya. Kata tabi’in,”Manakah tanganmu yang pernah berbai’ah dengan Rasulullah saw?” sahabat menghulurkan tangannya lalu tabi’in itu mengucupnya. Serentak dengan itu, tabi’in itupun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Begitulah kecintaan para sahabat dan tabi’in kepada baginda saw. Rasulullah saw menjalani kehidupan yang amat sukar sejak dari usia kecil dalam keadaan yatim piatu tetapi keadaan yang sukar itu telah membentuk kemuliaan peribadinya sehingga baginda saw kemudiannya digelar as-Sadiqul Amin iaitu yang paling jujur dan paling dipercayai. Rasulullah saw adalah qudwah hasanah iaitu ikutan terbaik kepada umatnya maka kita sebagai umatnya juga perlulah memberi contoh kepada yang lain.
Syarah khas Kiyai Haji Amir Hamzah
Apalah ertinya jawatan tinggi jika tidak ada sedikit pun kecintaan terhadap Rasulullah saw didalam benak hati. Ketahuilah bahawa ada jalur yang paling cepat ke jalan Allah iaitu dengan mahabbah kepada Rasulullah saw. Caranya ialah dengan menunaikan sunnah Rasulullah saw. Kalau tunggul kurma boleh menangis kerana merindui Rasulullah saw, apatah lagi kita sebagai umatnya. Kita selalu berbuat maksiat dan berbuat zalim, tetapi baginda saw pernah bersabda, “Semua umatku akan masuk syurga”. Oleh itu, cintailah Rasulullah saw lebih dari segala-galanya. Nabi saw berkata kepada para sahabat bahawa akan ada golongan yang tidak akan masuk syurga kerana mencerca orang-orang yang mencintai baginda saw. Sedangkan Allah Ta’ala memuji Nabi saw, justeru Allah mengampunkan dosa orang-orang yang mencintai Nabi saw.
Syarah Khas Dato Sayyid Omar
Sambutan Maulid bukanlah hak orang bawahan atau hak orang atasan tetapi hak semua orang yakni orang yang mengucap kalimah syahadah. Sabda baginda saw, “Semua umatku yang mengucap kalimah syahadah adalah syurga”. Satu lagi sabda Nabi saw ialah, “Orang yang taat aku maka ia beroleh syurga sebaliknya orang yang benci aku maka ia beroleh neraka”. Ketahuilah bahawa syurga diliputi dengan barang-barang yang manusia membenci pada zahirnya sedangkan neraka diliputi dengan barang-barang yang manusia sukai pada zahirnya. Maksudnya manusia lebih suka pada maksiat dan perkara mungkar yang merupakan jalan ke neraka tetapi tidak suka kepada taat dan mengerjakan ibadah yang merupakan jalan ke syurga. Sambutan maulid sangat penting kerana ia mengwujudkan rasa hubb atau kecintaan didalam diri terhadap Rasulullah saw. Hubb boleh merubah peribadi seseorang dengan serta-merta. Kecintaan kepada Rasulullah saw yang mendalam akan mengubah peribadi seseorang dengan sentiasa menjunjung segala sunnah Rasulullah saw. Kekasih yang mencintai kekasihnya akan menjadi berani kerana cinta. Kata Habib, pernah satu malam ketika dia pulang dari mengaji al-Quran, dia bertembung dengan pasangan kekasih yang sedang berfoya-foya di kawasan jirat Cina. Kawasan jirat Cina itu lazimnya dikaitkan dengan perkara-perkara yang menakutkan tetapi cinta yang mendalam telah menjadikan mereka berani berbuat apa sahaja. Umat Islam mencapai kejayaan gilang-gemilang satu masa dahulu kerana mereka berani menegakkan hukum Allah dan sunnah Rasulullah saw. Kita juga pada hari ini perlu berani menegakkan hukum Allah dan beramal dengan sunnah Rasulullah saw. Kata Habib, jika tidak dapat menegakkan hukum secara keseluruhan jangan pula kita meninggalkan kesemuanya.
Para sahabat sangat mengasihi Rasulullah saw. Saiyidina Umar bila berjalan dengan Rasulullah saw akan sentiasa mengawasi keadaaan sekeliling bagi memelihara keselamatan Rasulullah saw. Kata Umar ra, “Kalau Umar mati hanya isterinya sahaja yang akan menangis tetapi kalau Rasulullah saw wafat, seluruh umat Islam akan menangis berdukacita”. Sahabat berkata, “Kami tidak tahu bagaimana hendak menyempurnakan seluruh amalanmu Ya Rasulullah tetapi kami sangat mencintaimu Ya Rasulullah”. Lalu dijawab Rasulullah saw, “Ingatlah bahawa seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya”. Ketahuilah bahawa tidak dijadikan segala sesuatu melainkan dengan sebab Rasulullah saw. Rasulullah saw diutus kepada sekalian alam untuk memberitahu kepada umatnya tentang apa yang perlu diberitahu kepada umatnya tentang segala-galanya seperti yang yang telah diwahyu Allah Ta’ala kepadanya.
Syarah Khas Habib Najib Thoha as-Seggaf
Umat Islam pada masa ini perlu kenal betul-betul Rasulullah saw. Caranya ialah dengan menghayati sirah Rasulullah saw. Biasakanlah diri kita untuk membawa ahli keluarga bersama-sama menghadiri majlis ilmu seperti hari ini agar ahli keluarga kita benar-benar mengenal Rasulullah saw. Pengaruh budaya dari luar sangat dahsyat pada hari ini. Jika kita tidak berhati-hati menangani pengaruh ini dikhuatiri ianya akan menular masuk kedalam rumah kita lalu menjauhkan ahli keluarga dari menuruti ajaran Rasululullah saw, mohon dijauhkan perkara ini dari kita semua. Sebab itulah kita perlu memastikan supaya setiap ahli keluarga kita benar-benar mengenal Rasulullah saw seutuhnya.
Nabi Musa as pernah memohon kepada Allah Ta’ala untuk melihat Allah. Firman Allah, “Tidak mungkin engkau dapat melihat Aku tetapi pandanglah ke arah gunung itu”. Lalu Allah menampakkan zat-Nya disekitar gunung itu hingga hancur-lebur gunung tersebut dan Nabi Musa as kemudiannya tidak sedarkan diri. Nabi Musa as memohon untuk bertemu dengan Allah tetapi Nabi Muhammad saw dipanggil Allah untuk bertemu dengan-Nya. Nabi Musa as disuruh melepaskan sandalnya ketika bertemu Allah tetapi Nabi Muhammad saw diangkat naik bersama-sama dengan sandalnya ketika bertemu Allah Ta’ala. Begitulah keistimewaan Nabi Muhammad saw yang merupakan penghulu bagi segala Nabi Allah swt. Kita harus bersyukur kerana menjadi umat Nabi Muhammad saw kerana baginda saw akan memberi syafaat di hari Akhirat kelak. Ketahuilah bahawa masalah akhirat bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Kita semua akan menghadapinya dan suasana pada hari itu sangat dahsyat. Semua Nabi kecuali baginda saw tidak berani memberi syafaat kerana Allah Ta’ala sangat murka pada hari itu. Ketahuilah bahawa orang kafir memerangi Islam secara halus menerusi rangkaian media, internet dan sebagainya. Mereka tidak berani menentang umat Islam secara fizikal kerana mereka tahu bahawa umat Islam akan bangkit untuk berjihad jika berdepan secara fizikal. Justeru kita hendaklah mengawasi akhlak kita. Akhlak umat Islam pada hari ini sangat dahsyat. Ketahuilah bahaw Nabi saw diutuskan kepada alam ini dengan tujuan untuk menyemprunakan akhlak. Nabi saw memfokuskan akhlak terlebih dahulu. Akhlak yang baik akan menghasilkan hati yang baik.

Tuesday, March 2, 2010

Kalam Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR pada 28 Februari 2010 selepas solat asar
Kalam Hikmah
Seafdhal-afdhal ketaatan ialah memakmurkan waktu dengan muraqabatullah
Muraqabah sangat penting dan ia merupakan satu kewajipan bagi kita. Kata ulama tasawwuf, “Barang siapa yang hatinya merasakan pengawasan Allah ke atasnya maka Allah akan memelihara jasadnya”. Inilah kelebihan ahli zikir yang sentiasa mengingati Allah Ta’ala. Firman Allah Ta’ala dengan maksudnya, “Sesiapa yang menyebut kalimah Tauhid La Ilaha Illallah maka ia akan masuk dalam benteng Aku dan aman dari azab Aku di dunia dan di akhirat”. Allah Ta’ala akan menjaga diri orang yang mengingati Allah dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai-Nya. Lazimnya manusia tidak akan membuat maksiat apabila ada orang melihatnya. Hanya orang yang bersifat binatang sahaja yang tergamak melakukan maksiat dihadapan orang lain. Maka bagi orang yang beriman, mereka beri’tiqad bahawa Allah sentiasa mengawasi segala perbuatan mereka sepanjang masaa. Ketahuilah bahawa muraqabah adalah peringkat asas kepada musyahadah. Tanpa muraqabah, seseorang itu mustahil akan dapat mencapai maqam ihsan yang sempurna. Allah Ta’ala bersama kita sepanjang masa. Jika Allah Ta’ala tidak bersama kita maka kita pun tidak akan dapat hidup di muka bumi ini.
Amalkan tiga kalimah ini terutama ketika hendak tidur pada waktu malam,


Yang bermaksud,
Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah juga menyaksikanku

Kalam Hikmah
Futuwwah ialah tidak sibuk dengan makhluk daripada al-Haq
Orang yang futuwwah tidak akan sibuk dengan makhluk dan tidak akan nampak kejahatan orang lain kerana dirinya sentiasa sibuk dengan Allah Ta’ala. Orang yang futuwwah melihat semua ciptaan Allah baik belaka.
Kalam Hikmah
Futuwwah (orang yang dikuatkan dengan maqam tahqiq dan ta’yid[1]) ialah mereka yang melihat segala keelokan hamba dan ghaib daripada melihat kejahatan mereka
Kalam Hikmah
Barangsiapa ikhlas didalam ibadahnya, nescaya dia terlepas daripada dakwaan dusta
Dakwaan dusta itu timbul daripada sifat munafiq dan menzahirkan sesuatu yang menyalahi apa yang ada didalam batinnya.

[1] Dokongan/Sokongan

Monday, March 1, 2010

Musalsal Bil Ru'yah disyarah oleh Musnid Syam Syeikh Muhammad Mu'taz as-Subaini

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 28 Februari 2010
Kata Syeikh Mu’taz, musalsal ini adalah musalsal yang jarang didapati pada hari ini. Untuk meriwayat hadith ini, seseorang itu hendaklah mendengar guru bercakap sambil memandang wajah guru. Anak-anak kecil juga boleh meriwayatkan hadith ini. Ibubapa boleh menuliskan nama mereka di atas kertas sanad ini kerana di masa akan datang dia boleh boleh pula meriwayatkannya kepada orang lain. Untuk golongan wanita, mereka boleh meriwayatnya pada mahram sahaja kerana musalsal ini adalah dengan cara memandang. Sesungguhnya inilah cara bagaimana ahli-ahli hadith meriwayat hadith dengan penuh adab dan ketelitian ketika meriwayat. Faedah meriwayat hadith musalsal ini ialah hadith tersebut diriwayat berdasarkan sifat atau perbuatan yang khusus. Matan hadith ini membawa maksud betapa Rasulullah saw terlalu rindu hendak melihat umatnya. Ketika Rasulullah saw bersama para sahabat masuk ke kawasan Baqi’, Rasulullah saw berkata, “Alangkah rindunya kepada saudara-saudaraku” (Nabi saw mengulanginya sebanyak 3 kali). Lalu para sahabat bertanya, ‘Apakah kami ini bukan saudara engkau?” Kata Nabi saw, “Bahkan kamu adalah saudaraku. Sesungguhnya saudaraku adalah umatku yang datang selepas aku, beriman dengan aku tetapi tidak pernah melihat aku”. Ketahuilah bahawa Nabi saw sentiasa merindui kita.
Dapatkah kita bayangkan betapa Nabi saw terlalu rindu pada kita tetapi adakah kita berusaha untuk melihat Nabi saw. Kita terlalu lalai, berdosa dan banyak abaikan sunnah, alangkah ruginya kita. Oleh itu ambillah peluang untuk meriwayat hadith ini. Ijazahkanlah pula musalsal ini kepada orang yang boleh dipercayai yang bijaksana. Fahamkanlah maksud hadith betul-betul kerana pernah terjadi satu masa dahulu, ada orang yang gagal memahamkan hadith. Sebagai contoh, ada orang yang salah faham maksud hadith yang menyebut, Apabila hendak mendirikan solat, hendaklah tenang dan lapang tetapi dia memahamkan maksud hadith itu seperti berikut, Apabila hendak mendirikan solat hendaklah bawa pisau dan tikus (sepatutnya tenang dan lapang kerana salah faham istilah Arab). Lalu bertahun-tahun solatnya tidak betul kerana salah membaca hadith. Ada juga yang salah membaca hadith ketika diatas mimbar khutbah misalnya ketika menyebut orang mukmin adalah bijak dan tidak bercakap bohong tetapi difaham istilah itu dengan makna bekas yang ada kapas (salah faham istilah Arab).
Sebenarnya isu maulid telah lama selesai dibahaskan tetapi anehnya masih ada puak yang menentang maulid. Ulama besar seperti Imam as-Suyuti ada membicarakan hal maulid dalam sebuah kitab khas bertajuk Husnul Maqsid fi Hukm al-Maulid yang membicarakan tentang niat yang baik dalam membicarakan bagusnya amalan maulid. Begitu juga dengan Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Imam Ahmad Nasruddin ad-Dimasyqi dan Imam Jazari (Syeikhul Qari) dimana masing-masing adalah menulis tentang maulid dan memberikan dalil-dalil keharusan mengadakan maulid. Imam Abul Khattab berasal dari Andalusia pergi ke Syam dan berjumpa Sultan Muzaffar yang merupakan menantu kepada Sultan Salahuddin al-Ayubi pada kurun ke-7 H. Sultan Muzaffar ada membina masjid lalu menamakannya dengan nama baginda. Di Syam, Imam Abul Khattab menyaksikan sendiri bagaimana rakyat disana menyambut Maulid secara besar-besaran. Imam Abul Khattab kemudiannya menulis kitab dan memberinya kepada Sultan Muzaffar. Sultan Muzaffar menghadiahkan 1000 dinar emas kepadanya. Kata Imam Abul Khattab, Inilah sebenarnya raja yang wajib kita ikuti. Kata Imam Ibn Kathir pula, “Bahawasanya Sultan Muzaffar seorang raja yang alim, berakal bijak dan berkorban untuk agama. Baginda meninggal ketika dikepung oleh tentera Perancis di Palestin.
Al-Hafidz Imam Nasruddin al-Dimasyqi memberi dalil maulid berdasarkan hadith Bukhari (martabat muallaq). Dalam hadith itu disebut betapa Abu Lahab yand dicela Allah dalam Surah al-Masad telah diringankan azabnya pada hari Isnin kerana dia bergembira dengan kelahiran Nabi saw. Kerana terlalu gembira dengan kelahiran Nabi saw, beliau telah memerdekakan hambanya bernama Thuwaibah. Imam Nasruddin al-Dimasyqi ada mengarang syair tentang peristiwa itu,
Jikalau Abu Lahab yang kafir jelas datang celaan Allah kerana dia menentang Nabi saw
Sehingga datang (ayat dalam) surah al-Masad, Celakalah Abu Lahab dan dia kekal dalam neraka
Maka datang dari Sahih Bukhari, tiap-tiap hari Isnin, dia diringan dari azab.
Lalu kata Syeikh, Jika Abu Lahab yang diringan azab dalam neraka kerana bergembira dengan kelahiran Nabi saw, apatah lagi kita yang merupakan umatnya yang sentiasa merasa gembira dengan kelahiran Nabi saw. Mudah-mudahan kita semua mendapat pelepasan dari azab dan bumi keseluruhannya menyaksikan apa yang kita lakukan pada malam ini.

Ijazah Dalail Khairat dan Syarah Khas Maulidur Rasul

*Catatan bebas ana di Yayasan Sofa, Rembau pada 27 Februari 2010
Ijazah Kitab Dalail Khairat
Kitab Dalail Khairat adalah sebuah kitab yang sangat istimewa kerana ia mampu menjulang Islam pada kedudukan yang tinggi. Kitab ini menjadi lambang umat Islam mengasihi Nabi saw hingga umat Islam dihormati oleh orang bukan Islam. Dalail Khairat menjadi bukti betapa kita mengasihi Rasulullah saw sebagaimana yang disebut oleh ulama, “Sesiapa yang mengasihi sesuatu maka dia layak menyebut nama kekasihnya”. Imam Abbas al-Mursi berkata, “Jikalah hilang ingatan aku kepada Rasulullah saw walau dalam sekelip mata maka janganlah mengira aku sebagai umat Islam yang sempurna imannya”. Orang yang sentiasa menghampirkan dengan Nabi saw ketika di dunia akan berada hampir dengan Nabi saw ketika di akhirat kelak. Untuk membolehkan Nabi saw mengenal kita maka ucapkanlah salawat ke atas Nabi saw sebanyak-banyaknya sebab malaikat akan menyampaikan salam kita kepada Rasulullah saw. Nabi saw mempunyai ingatan yang sangat kuat. Baginda saw mempu mengingat ayat al-Quran dengan sekali dengar sahaja maka sudah tentu Nabi saw boleh mengingat nama-nama orang yang mengucap salawat keatasnya. Untuk itu, kita hendaklah sentiasa berusaha memasukkan nama kita dalam senarai orang-orang yang pernah diperdengar atau disampaikan salawat kepada baginda saw.Sebagaimana ibubapa yang mengasihi anak yang rajin menziarahinya atau menghubunginya maka begitulah juga dengan baginda saw. Baginda saw akan mengasihi umatnya yang rajin atau sentiasa bersalawat kepadanya. Tidak sepatutnya kita mempersembahkan amalan buruk kepada Nabi saw sehingga baginda terpaksa beristighfar untuk kita sedangkan kita sepatutnya menjadi kebanggaan Rasulullah saw. Rabiah al-Adawiyyah mengerjakan solat sunat sebanyak 1000 rakaat sehari semalam. Bila ditanya kenapa beliau solat sebanyak itu, Rabiah menjawab, “Aku mahu Rasulullah saw berbangga dengan umatnya apabila baginda saw berbual-bual dengan nabi lain. Baginda saw tentu akan bertanya kepada Musa as samada umatnya ada atau tidak yang mampu mengerjakan solat sehingga 1000 rakaat. Jadi aku berusaha hendak memastikan bahawa tiada seorang pun umat Nabi Musa as mampu menandingi umat Nabi Muhammad saw. Tujuanku tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menggembirakan Nabi saw dengan amal ibadah umatnya”.
Kita hendaklah menggembirakan Nabi saw. Jika kita tidak mampu menggembirakan Nabi saw jangan pula kita membuatkan Nabi saw bersedih. Kita kena faham bahawa hubungan kita dengan Nabi saw tidak terputus. Hubungan roh tidak pernah putus. Para masyaikh mempunyai hubungan khusus dengan Nabi saw seperti bermimpi Nabi saw tatkala perasaan rindu terhadap Nabi saw begitu mencengkam. Perasaan kasih itu kemudiannya akan mendatangkan rasa cemburu dan semangat untuk mempertahankan Nabi saw dan agama Islam. Ada ulama yang memohon dipercepatkan ajal kerana terlalu rindu kepada Nabi saw. Para ulama, wali Allah dan sahabat merasakan kematian itu adalah sesuatu perkara yang ringan dan mudah. Mati seumpama hadiah. Ketika dalam keadaan nazak, Bilal al-Habsyi berasa sangat gembira kerana akan berhimpun dengan para kekasihnya iaitu Nabi saw dan para sahabat yang telah mendahuluinya walaupun isterinya merintih kasihan melihat Bilal di ambang maut. Sakaratul maut yang pedih dan sakit itu bertukar menjadi sesuatu yang lazat bagi para aulia kerana tidak sabar hendak berhimpun dengan Rasulullah saw dan para sahabat.
Kita perlu berusaha mencintai Rasulullah saw supaya kasih itu terpahat dalam benak hati kita. Salah satu cara untuk membenihkan rasa cinta kepada Rasulullah saw ialah dengan memperbanyakkan salawat. Sebab itulah para ulama menyusun pelbagai jenis salawat untuk memupuk rasa cinta kepada Nabi saw secara berterusan. Salah satu kitab salawat yang mahsyur ialah Dalail Khairat yang dibaca pada hari ini. Kata Asy-Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Gumhari, dua kitab yang paling mahsyur dibaca selain al-Quran dan Hadith ialah Matan al-Ajrumiyyah[1] dan Dalail Khairat[2]. Kedua-dua kitab ini dibaca oleh orang awam dan khawwas. Pada zaman dahulu, manusia berhimpun membaca kitab Dalail ini. Ada raja yang menulis kitab ini dengan tinta emas dan mengarahkan rakyatnya membaca dan beramal dengan kitab ini. Imam al-Jazuli menyusun kitab ini mengikut hari. Dengan cara itu, ia mengajar umat Islam agar berdisiplin membaca salawat setiap hari. Kata Syeikh Abdul Qadir al-Talidi, “Sebelum kemunculan puak Wahhabi, orang ramai berkerumun membaca kitab ini. Bila muncul puak ini, orang mula menjauhi kitab ini”. Ini adalah satu musibah kerana orang tidak mengambil berat tentang bacaan salawat. Kata syeikh, kita kena kuat menganjurkan majlis salawat dan menghimpunkan umat untuk membacanya. Kita kena asaskan majlis salawat sehingga orang berasa lazat mendengarnya.
Tentang sanad dalam ijazah kitab ini, ahli sufi lebih menggemari dihubungkan kepada sanad yang panjang. Bagi mereka semakin panjang sanad, semakin barokah hubungan dengan rantaian sanad itu kerana mereka dihubungkan dengan ramai periwayat yang alim. Sementara bagi ahli hadith, mereka cenderung kepada sanad yang pendek kerana sanad tersebut lebih diyakini.
Syarah khas Maulidur Rasul Yayasan Sofa
Kata Hasan ibn Thabit, “Aku hairan melihat ramai orang-orang bijak pandai yang mengengkari majlis maulid. Aku hairan melihat mereka yang ada aqal dan taraf kedudukan yang tinggi dalam bidang keilmuan tetapi gagal melihat kecantikan Rasulullah saw dan tidak berdiri memuliakan Nabi saw. Sayyid Abbas Alawi al-Maliki pernah menjadi duta membina kubah Sakhra di Palestin. Ditaqdirkan Allah, beliau berpeluang menyaksikan sambutan Maulid yang diadakan secara besar-besaran kerana pada masa itu bulan Islam adalah bulan Rabiul Awwal. Dalam satu majlis maulid yang dihadirinya, beliau melihat ada seorang lelaki berdiri dari mula sehingga habis bacaan maulid. Maulid yang dibaca ialah Maulid Barzanji. Sayyid Abbas berasa hairan melihat perbuatan lelaki itu lalu dia bertanya setelah selesai majlis. Kata lelaki itu, “Sebelum ini, aku tergolong dalam kelompok orang yang mengengkari amalan maulid. Sehinggalah pada satu malam, aku bermimpi berjumpa Nabi saw. Dalam satu kumpulan maulid, semua ahli kumpulan itu berdiri menyambut Nabi saw sebaliknya aku menjadi lumpuh. Nabi saw berkata kepadaku, “Engkau lumpuh sebab tidak berdiri menghormati aku.” Dengan taqdir Allah, apabila aku bangun pagi, aku tidak dapat menggerakkan kakiku. Puas aku berubat ke sana sini tetapi tidak berhasil. Sehinggalah pada satu hari, aku bernazar sekiranya aku pulih dari penyakit lumpuh ini maka aku akan berdiri dari awal maulid hingga selesai. Pada sebelah malamnya, aku bermimpi bertemu Nabi saw. Dalam mimpi itu, Nabi saw menyapu kakiku yang telah lumpuh. Esok pagi dengan taqdir Allah, kakiku boleh bergerak semula. Semenjak dari itu, aku tidak lupa menunaikan nazarku apabila menghadiri majlis maulid”.
Ketahuilah bahawa Rasulullah saw adalah cahaya. Sebab itulah jasad Rasulullah saw tidak mempunyai bayang. Imam as-Suyuti menyebut bahawa Rasulullah adalah cahaya. Bahkan Nabi saw memohon kepada Allah Ta’ala, “Jadikanlah aku cahaya, Ya Allah”. Apapun hakikat kenabian cahaya Rasulullah saw terlalu luas untuk dimengerti oleh umatnya. Atas sebab itulah Imam Akbar, Ibn Arabi berkata, “Sesungguhnya pengetahuan aku terhadap cahaya Rasulullah saw hanyalah sebesar lubang jarum sahaja. Itu sahajalah makrifah yang dikurniakan kepada aku”.
[1] Kunci untuk memahami Bahasa Arab
[2] Disusun oleh Imam al-Jazuli

Musalsal perawi unggul setiap zaman dan syarah khas Musnid Syam

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 26 Februari 2010 selepas maghrib
Musalsal perawi yang unggul setiap zaman
Syeikh meriwayat hadith ini dari gurunya yang mulia iaitu Syeikh Mahmud Said Mamduh, ahli muhaddith pada zaman ini. Dalam sanad ini, ada beberapa nama gelaran yang perlu diketahui iaitu Sibawaih yang merujuk kepada orang yang pakar dalam bahasa Arab (nahu), Mizjaji iaitu keturunan Nabi saw yang menjadi mufti Hanafi di Yaman dan Ahdal iaitu keturunan Nabi saw yang menjadi mufti Syafi’i di Yaman. Dalam sanad ini juga ada disebut nama Muhammad al-Hanafiah yang merujuk kepada keturunan isteri Ali yang bukannya dari Fatimah ra. Salah satu nama periwayat dalam hadith ini ialah Ali bin Musa al-Redha. Ketika beliau masuk ke Baghdad beliau duduk didalam tabir diatas unta. Apabila sampai di Baghdad, beliau disambut kira-kira 20,000 ahli hadith. Tatkala tabirnya dibuka, ramai orang menjerit melihat wajah ulama besar itu malah ada yang pengsan. Lalu para ulama meminta Ali meriwayat hadith dengan sanad yang sampai ke nendanya iaitu Rasulullah saw. Sanad itulah yang disebut orang dengan nama rangkaian emas. Kata Imam Ahmad bin Hanbal, sanad ini jika dibaca pada orang gila maka penyakit gilanya itu boleh sembuh dengan izin-Nya. Pernah satu ketika, ada seorang raja mewasiatkan agar sanad itu diletakkan didalam kain kapannya. Kemudian ada orang bermimpi raja itu dimana raja itu berkata bahawa Allah telah mengampunkan dosa-dosanya atas berkat sanad tersebut.
Syarah khas Musnid Syam Syeikh Muhammad Mu’taz as-Subaini
Syeikh Muhammad Mu’taz adalah ulama besar di Syam. Beliau digelar Sayyid Muhammad Alawi dengan gelaran al-Alim Allamah Muhaddith Syam. Beliau banyak mengambil ilmu dari ulama Syam, Hijaz, Yaman, Maghribi, Pakisatan dan sebagainya. Gurunya seramai 600 orang. Antaranya Syeikh Abdul Fattah al-Ghudah dan Syeikh Yasin Isa al-Fadani. Beliau merupakan penasihat kepada waqaf manuskrip di Syam.
Bagaimana keadaan para sahabat mencintai Nabi saw? Seorang sahabat bernama Sauban tidak mempunyai apa-apa status, kekayaan dan nasab yang mulia tetapi mempunyai hati yang sangat kasih kepada Rasulullah saw. Beliau tidak sanggup berpisah dengan Nabi saw dan tidak pernah puas memandang Rasulullah saw. Satu hari, Rasulullah saw bertemu Sauban dan melihat Sauban dalam keadaan sedih. Tanya Rasulullah saw, “Adakah engkau ditimpa sakit?” Jawab Sauban, “Tidak. Aku tidak sakit tetapi bila aku rasa rindu, aku rasa sesuatu yang sangat kesepian. Kesepian yang amat aneh. Aku terfikir jika engkau wafat maka engkau sudah pasti ahli syurga. Lalu lidahku berkata, bagaimana pula dengan kedudukanku kelak? Bagaimana kedudukanku dengan engkau kelak? Kalau aku ahli syurga maka aku takkan terputus hubungan denganmu tetapi sudah tentu syurga mu berada di kedudukan yang lebih tinggi. Bagaimana aku boleh melihat engkau ya, Rasulullah?” Disebabkan itu dia menangis dan perasaannya kusut masai. Dia mula merasai derita jika berlakunya perpisahan dengan Rasulullah saw. Lalu turun firman Allah Ta’ala yang berbunyi, “Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya maka ia akan bersama dengan orang yang diberi nikmat Allah Ta’ala”. Kerana itu taat kepada Rasul dan cinta kepada Rasul boleh membawa kita berjiran dengan Rasulullah saw.
Seorang perempuan Ansar kehilangan suaminya, ayahnya dan saudaranya dalam Perang Uhud. Tetapi perempuan itu tidak mempedulikannya sebelum dia dapat memastikan keadaan Rasulullah saw selamat dalam Perang itu. Perempuan itu bertanya kepada para sahabat samada Rasulullah saw selamat atau tidak. Sahabat memberitahunya Rasulullah saw selamat tetapi perempuan itu tidak berpuas hati. Perempuan itu berkata kepada para sahabat, “Bawa aku berjumpa Rasulullah, aku ingin pastikan sendiri samada dia selamat atau tidak”. Lalu sahabat membawanya berjumpa Rasulullah saw dan didapati bahawa Rasulullah saw berada dalam keadaan sihat dan selamat. Kata perempuan itu kepada Rasulullah saw, “Wahai kekasih Allah, semua musibah selain engkau adalah kecil.” Diriwayat satu kisah oleh Bukhari ra, “Ada seorang lelaki datang bertanya Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, bilakah berlakunya kiamat?” Rasulullah saw menjawab, “ Apa yang engkau sediakan untuk hari itu?” Lelaki itu berkata, “Tidak ada apa-apa amalan dan tidak ada sesuatu pun”. Kata Rasulullah saw lagi, “Apu yang kamu sediakan?” Jawab lelaki itu, “Tidak ada apa-apa kecuali cinta aku pada Allah dan Rasul-Nya”. Kata Rasulullah saw, “Maka seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya”.

Majlis Khatam Kitab 40 Hadith Keistimewaan Rasulullah saw

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR Ampang pada 26 Februari 2010 bermula dari pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam
Qarin manusia terdiri dari dua iaitu yang cenderung menyuruh melakukan kebaikan dan yang cenderung menyuruh melakukan keburukan. Adapun Qarin Nabi saw, kedua-duanya menyuruh Nabi saw melakukan kebaikan. Ini adalah kerana Qarin Nabi saw yang cenderung menyuruh melakukan keburukan telah memeluk Islam.
Darah orang yang mencerca Nabi saw hukumnya adalah halal. Sabda Nabi saw, “Sesungguhnya anjing tidak akan menjilat darah orang Islam”. Orang yang mencaci Nabi saw, darahnya akan dijilat anjing. Ulama sepakat menyatakan bahawa orang yang mencaci Nabi saw, hukumannya ialah pancung atau bunuh sahaja. Kita perlu berhati-hati takut-takut jika kita tercaci Nabi saw tanpa sedar, Nauzubillah. Umar al-Khattab ra menghantar surat kepada Abu Musa al-Asy’ari. Dalam surat itu beliau menyatakan bahawa, “Sesungguhnya kami menghukum mengikut zahir.” Urusan batin adalah urusan Allah. Ada ulama yang tercerca Nabi saw secara zahir walhal batinnya tidak berniat begitu. Contohnya, ada ulama menyebut bahawa Nabi saw pernah kalah dalam peperangan (sebagai contoh dalam Perang Uhud) padahal Nabi saw tidak pernah kalah. Ada juga puak yang mencerca Nabi saw dengan mengatakan bahawa Nabi saw adalah seorang anak yatim yang dibela Abu Talib dan kerjanya adalah menggembala kambing (dengan maksud hendak menyindir kerja Nabi saw). Di sisi yang lain, ada yang menyatakan bahawa selendang Nabi saw adalah kotor bahkan ada yang tergamak menyamatarafkan Nabi saw dengan manusia biasa. Dalam kitab asy-Syifa’ karangan Qadhi Iyadh disebut bahawa, Ada seorang yang berpura-pura faqih menyatakan bahawa Nabi saw hidup secara zuhud dalam keadaan “terpaksa”. Ulama berpendapat bahawa ucapan orang yang berpura-pura faqih ini adalah kufur dan patut dihukum bunuh. Nabi saw boleh memilih untuk menjadi sultan sehingga gunung-ganang menawarkan diri untuk menjadi emas tetapi Nabi saw memilih jalan tawadhuk untuk dengan menjadi hamba Allah. Sabda Nabi saw, “Bila aku lapar, aku dapat maqam sabar dan bila aku kenyang, aku dapat maqam syukur”. Hanya orang yang mencaci Nabi saw sahaja yang boleh dihukum bunuh sedangkan orang yang mencaci sahabat tidaklah sampai kepada hukuman bunuh.
Syeikh Yusuf Ismail an-Nabhani berkata, “Cahaya Rasulullah saw adalah sumber bagi makhluk Allah Ta’ala. Dan manusia itu adalah sebahagian dari cahaya Rasulullah saw”. Tentera Nabi saw terdiri dari para malaikat dan nabi. Nabi Isa as berkata kepada pendokong beliau yang dikenali dengan panggilan Hawariyyun menceritakan tentang kedatangan Ahmad (merujuk kepada Nabi saw)[1]. Baginda as menceritakan sifat-sifat Nabi saw. Kata Nabi Isa as, “Ketahuilah bahawa kedudukan aku hatta dibawah seliparnya (Nabi saw) pun aku tidak layak apatah lagi hendak menandinginya tawaduknya Nabi saw”.
Sabda Nabi saw, “Siapa yang mengerjakan haji tapi tidak menziarahi aku maka orang ini tidak ada adab padaku.” Ketika Nabi saw ke Masjidil Aqsa, semua nabi turun dari langit lalu menjadi makmum Nabi saw. Dalam perjalanan Isra dan Mi’raj Nabi saw, baginda saw menziarahi maqam orang-orang saleh. Justeru menziarahi maqam orang-orang saleh ini adalah sunnah Nabi saw. Rasulullah saw menziarahi kubur/maqam Masitah (orang-orang saleh) dalam perjalanan tersebut. Bahkan jadual perjalanan Rasulullah saw itu telah diatur Allah Ta’ala.
Sabda Nabi saw, “Antara kemuliaanku ialah tiada seorang pun melihat auratku dan aku dilahirkan dalam keadaan berkhatan. Kata bondanya, Aminah, “Aku melahirkan Muhammad tanpa sebarang kotoran”. Kata syeikh, cintailah Nabi saw dengan sepenuh hati kerana tidak akan diserlah rahsia kekasih melainkan orang-orang yang mengasihinya sahaja.
Nabi saw diutuskan kepada sekalian makhluk termasuk malaikat. Nabi saw juga dikurniakan keistimewaan dimana bumi menjadi suci untuk menjadi tempat sujud. Sedangkan kaum atau umat lain hanya boleh sujud ditempat khas sahaja seperti di mihrab. Nabi saw tidak menggunakan kunci perbendaharaan yang dikurniakan padanya untuk kegunaan dirinya sebaliknya kunci itu diguna oleh umatnya. Justeru, kunci itu hendaklah digunakan oleh umatnya dengan sebaik-baiknya bagi mengangkat kemuliaan Nabi saw seperti menafqahkan penuntut ilmu dan sebagainya.
Nabi saw dikurniakan mukjizat yang paling banyak berbanding Nabi-nabi lain. Semua makhluk tunduk dan patuh kepada Nabi saw. Berkompang didalam masjid sebenarnya bermula sejak dari zaman Nabi saw lagi bahkan kompang ada dimainkan di dalam Masjid Nabawi ketika hayat baginda saw. Ada sahabat bernazar jika Nabi saw balik dengan selamat dari perang, ia akan berkompang disisi telinga Nabi saw. Ketahuilah bahawa setiap amalan umat Nabi saw akan dipersembahkan kepada Rasulullah saw kecuali orang-orang yang murtad. Ketika Nabi saw membaca ayat yang bermaksud, “(Pada saat itu Allah berfirman)” Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini (hari Kiamat)?” (Allah sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!”, bergerak mimbar yang diduduki Nabi saw kerana Nabi saw berasa sangat takut.
Syurga diharamkan kepada para Nabi lain sebelum Nabi saw memasukinya. Kita perlu bersyukur kerana ditaqdirkan menjadi umat Nabi saw. Satu hari Nabi saw bertemu seorang lelaki memuji Allah Ta’ala. Nabi saw menepuk belakangnya dan berkata, “Sesungguhnya engkau telah bersyukur dengan syukur yang agung disebabkan syukur engkau itu atas sebab nikmat Allah Ta’ala dan menjadi umatku (umat Nabi Muhammad saw).”
[1] Ahli-ahli Kitab mengenal Rasulullah saw sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri

Musalsal memotong kuku hari Khamis dan Ijazah Maulid Barzanji

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 25 Februari 2010
Musalsal memotong kuku pada hari Khamis (sebelum azan maghrib)
Syeikh Mahmud Basyar al-Falaki menyebut bahawa Nabi saw dilahirkan pada 9 Rabiul Awwal walaupun ramai yang berpendapat baginda saw dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal. Apapun kata syeikh, tarikh itu tidak penting kerana sebagai umat Nabi saw, kita tidak menyambut kelahiran Nabi saw pada satu hari itu sahaja tetapi sebenarnya setiap saat. Maka dengan sebab itu, kita dianjurkan untuk mengingati Nabi saw sepanjang masa. Bukankah kita telah diwajibkan Allah Ta’ala untuk mengucapkan salawat keatas baginda saw sekurang-kurangnya setiap kali kita menunaikan solat lima waktu. Cuma dalam bulan Rabiul Awwal inilah kita lebih-lebih lagi mengingati baginda saw dengan mengucapkan salawat sebanyak-banyaknya ke atas junjungan baginda saw. Selain mengingati Nabi saw, kita juga perlu mengamal sunnah kerana perkara itu menjadi bukti cinta kita kepada Rasulullah saw. Salah satu amalan sunnah baginda saw ialah memotong kuku pada hari Khamis seperti yang akan kita lakukan pada petang ini (musalsal memotong kuku pada hari Khamis).
Hadith ini tergolong dalam kelompok hadith yang musalsal yang ganjil yang jarang diriwayat oleh ulama kerana ia perlu dilakukan pada hari Khamis. Ketahuilah bahawa amat besar bezanya memotong kuku tanpa bersambung sanad dengan memotong kuku yang bersambung sanad kerana memotong kuku dengan bersambungnya sanad akan merantaikan atau menghubungkan kita dengan Rasulullah saw. Tentang pentingnya pengucapan salawat, kata Syeikh Umar Hamdan al-Mahrisi – Ulama besar Makkah dan Madinah, “Hendaklah kalian sentiasa mengucapkan salawat ke atas Rasulullah saw kerana amalannya sahih diterima sekalipun kita lalai atau fasiq. Amalan itu dipersembahkan kepada Nabi saw dan diterima Allah Ta’ala. Orang fasiq akan selamat dengan ucapan salawat kerana amalan tersebut diterima Allah Ta’ala atas kemuliaan Nabi saw.” Ketika mana berkurangnya atau merosotnya para murabbi/mursyid di zaman ini maka amalan salawat ke atas Rasulullah saw mampu bertindak sebagai mursyid bagi membawa umat ke jalan Allah Ta’ala. Jangan kita kering dari mengucap salawat ke atas Rasulullah saw.
Terlalu banyak kelebihannya mengucap salawat ini. Istimewanya amalan mengucap salawat ini ialah kerana Allah Ta’ala juga mengucap salawat ke atas Nabi saw sedangkan amalan atau ibadat lain hanya khusus kepada makhluk-Nya sahaja seperti solat, puasa dan sebagainya. Justeru, Allah Ta’ala mengasihi orang yang mengucap salawat ke atas Nabi saw kerana Allah Ta’ala turut mengucap salawat bahkan Allah mendahului makhluk-Nya mengucap salawat ke atas Nabi saw. Allah Ta’ala mengucap salawat ke atas Nabi saw sebelum Nabi saw dicipta. Tidak ada siapa pun yang boleh mengira bila Allah Ta’ala mula mengucap salawat kerana Allah Ta’ala tidak diongkong oleh masa dan tempat. Allah Ta’ala sentiasa mengucap salawat ke atas Nabi saw tanpa berhenti-henti. Jadi jika kita tidak mengucap salawat dan menutup bibir kita dari mengucap salawat maka ia langsung tidak mengurangkan martabat Nabi saw kerana Allah dan malaikat mengucap salawat ke atas Nabi saw. Berapa banyak nama Nabi saw yang seumpama dengan nama Allah? Ketahuilah bahawa Allah memanggil Nabi saw dengan nama-Nya, Rauf dan Rahim. Hanya orang yang beriman akan mengucap salawat ke atas Junjungan Nabi saw. Imam Ali Zainal Abidin berkata, “Alamat atau tanda ASWJ yang sejati ialah dengan memperbanyakkan salawat ke atas Nabi saw.”
Ketahuilah bahawa orang yang pertama sekali menyambut maulid tidak lain ialah Nabi saw sendiri. Nabi saw menyambutnya dengan berpuasa tiap-tiap hari Isnin. Cuma cara sambutannya sahaja yang berbeza dimana kita sebagai umatnya menzahirkan kegembiraan atas kelahiran Nabi saw dengan cara mengadakan maulid dan menjamu makanan. Ini adalah ijtihad ulama. Justeru orang yang anti-maulid adalah orang yang mencerca Nabi saw. Ketahuilah bahawa maulid yang dibaca adalah penzahiran ulama dalam bentuk teks puji-pujian atas kekasihnya yakni Nabi saw. Imam Fakhruddin al-Razi berkata, “Kemuliaan salawat atas Rasulullah saw lebih dari kemuliaan Adam as ketika malaikat sujud kepadanya. Ini adalah kerana Allah tidak sujud kepada Nabi Adam as tetapi Allah Ta’ala mengucap salawat ke atas Nabi saw. Adam as umpama Ka’abah yang menyimpan benih Nabi saw didalam tulang sulbinya. Malaikat disuruh sujud kepadanya bukan kerana batang tubuh Adam as tetapi hakikatnya adalah memuliakan keberadaan Nabi saw didalam jasad Nabi Adam as.
Maulid terlalu banyak fadhilatnya. Terlalu banyak ma’ani, asrar dan sebagainya yang terkandung didalam majlis ini. Tidak diucap salawat atas sesuatu tempat melainkan akan muncul wangi-wangian dari tempat itu lalu naik hingga ke Arasy dan malaikat akan menyatakan bahawa tempat ini dan ini ada mengucap salawat. Tempat yang mengucap salawat itu tidak akan dihancur Allah Ta’ala tetapi dipindah ke dalam syurga Allah.
Pengijazahan kitab Maulid Barzanji
Seperti yang disebut oleh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, “Mengadakan majlis maulid adalah wajib kerana ramai orang tidak kenal Nabi saw”. Wasilah itu samalah dengan qasad dan tujuan. Jika dengan maulid, kita boleh pupuk rasa cinta kepada Nabi saw maka hadir dalam majlis maulid itu adalah wajib. Ketahuilah bahawa setiap perkara yang menyampai kepada yang wajib itu maka hukum perkara itu adalah wajib. Wajib kita berusaha mencintai Nabi saw. Kita kena menyempurnakan iman kita dengan mencintai Nabi saw supaya terhindar diri kita dari tergolong dalam kelompok orang yang fasiq. Orang yang anti-maulid biasanya akan menjaja hadith Nabi saw yang berbunyi, “Tinggalkan dakwaan Nasrani terhadap Nabi mereka, Isa adalah anak Allah. Jangan kamu memuji Nabi saw seperti orang Kristian memuji Nabi isa”. Padahal Nabi saw melarang umatnya memuji baginda saw seperti penganut Kristian memuji Nabi Isa as sebagai anak Tuhan. Umat Islam memuji Nabi saw sebagai Kekasih Allah yang paling mulia dikalangan makhluk-Nya bukannya sebagai anak Allah (seperti yang dilakukan oleh penganut Nasrani). Ramai para sahabat memuji Nabi saw dengan menulis syair-syair yang indah. Sahabat besar bernama Hasan ibn Thabit menulis syairnya yang berbunyi, “Wahai tempat sandaran orang-orang yang memohon pertolongan, penolong, pembantu, pemelihara orang-orang yang memohon perlindungan kepada-Nya…” sebagai puji-pujian ke atas Nabi saw. Kata Syeikh, di pusat manuskrip Mesir sendiri ada sekitar 201 manuskrip maulid yang ditulis oleh ulama-ulama besar yang masih belum dicetak. Banyaknya manuskrip ini menjadi bukti betapa ulama begitu mengasihi Nabi saw sehingga melontarkan banyak bait-bait indah ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.