Sunday, May 17, 2009

Sairus Salikin - Bab Rahsia Sembahyang (3)


Pengajian Sairus Salikin karangan Allamah Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani
Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam al-Banjari
*Catatan dibawah adalah catatan bebas ana ketika menghadiri majlis pengajian Syeikh. Apa yang ana catatkan disini tidak merangkumi keseluruhan syarahan Syeikh melainkan bahagian-bahagian yang sempat dicatat oleh ana. Oleh itu, kemungkinan berlakunya kekurangan dan kelemahan semasa mencatat tidak dapat ana elakkan. Justeru, ana memohon berbanyak kemaafan sekiranya catatan ini tidak dapat menyampaikan maksud sebenar Syeikh ketika mensyarahkan bab ini. Sudah tentu syarahan Syeikh yang sebenar lebih meluas isi kandungannya dan lebih jelas penerangannya.Untuk itu, ana menggalakkan agar para pembaca yang membaca catatan ana ini menghadirkan diri ke majlis pengajian Syeikh untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas serta maksud sebenar butir-butir kandungan yang disampaikan oleh Syeikh. Adapun, tujuan ana mencatatkan sebahagian dari syarahan Syeikh adalah untuk memudahkan ana mengingati kembali apa yang telah disyarah oleh Syeikh.





Pada membicarakan sembahyang Jumaat
1. Jemaah dilarang melangkah bahu orang yang sedang duduk beriktikaf didalam masjid. Haram hukumnya mengikut sebahagian ulama kecuali dengan meminta izin terlebih dahulu.
2. Untuk imam bersegera naik ke mimbar maka ia dimaafkan. Begitu juga jika ada jemaah yang ingin maju ke saf depan yakni untuk mengisi saf depan yang kosong maka ia dibenarkan untuk melangkah bahu. Tidaklah bersalahan jemaah itu melangkah kerana tidak ada sebab jemaah yang datang awal itu duduk dibahagian belakang sedangkan ia sepatutnya duduk disaf depan bagi mengelakkan ia dilangkah orang lain. Maka jika datang awal, duduklah disaf depan.
3. Kata Syeikh, mempersilakan orang lain supaya duduk di saf depan hukumnya makruh. Dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadah, mendapatkan tempat yang lebih baik adalah sesuatu yang perlu direbut. Perbuatan memberi tempat yang lebih baik kepada orang lain tidak kena pada tempatnya dalam hal-hal bersangkutan ibadah ini. Kenapa perlu beri pada orang lain sedangkan kitalah yang patut mengambil peluang itu. Hal dalam ibadah ini amatlah berbeza dengan makan. Kalau dalam makan, tidak mengapa kita mempersilakan orang lain kerana itulah yang dituntut bahkan sunat kita mengutamakan orang lain.
4. Kata Nabi saw, seandainya manusia tahu kelebihan pahala duduk di saf pertama nescaya kamu berebut-rebut untuk mendapatkan saf pertama itu. Kata syeikh, ini samalah seperti azan. Jika ada orang tahu akan besarnya ganjaran pahala orang yang mengerjakan azan maka nescaya berlumba-lumbalah orang untuk melakukannya.
5. Ulang syeikh lagi, jika orang yang datang awal tetapi duduk dibaris belakang maka jika ada orang yang melangkah bahunya maka orang yang melangkah itu dimaafkan.
6. Tidak makruh melangkah orang yang duduk di pintu masjid sedangkan didalam masjid banyak ruang kosong.
7. Orang yang sedang sembahyang jika dilintasi dihadapnnya maka hukumnya haram. Maksudnya kita melintas didalam lingkungan sejadahnya (atau tempat sujudnya) maka ini haram hukumnya. Sebaiknya kita lalu dibelakangnya. Orang yang sedang bersembahyang kemudian dilintas orang lain dihadapannya maka hendaklah ia membela diri dengan menghadang orang itu dengan tangannya.
8. Kalau orang yang sedang bersembahyang itu tidak meletakkan tanda (supaya orang tidak melintas dihadapannya), maka orang yang melintas itu tidaklah jatuh haram hukumnya melainkan sekadar makruh sahaja.
9. Sunat bagi lelaki duduk disaf hadapan sedangkan bagi perempuan sunat duduk disaf belakang.
10. Tiga perkara kalau manusia tahu akan pahalanya, nescaya mereka akan berebut mendapatkannya ialah
a. Pahala orang yang azan
b. Pahala orang yang duduk disaf hadapan
c. Pahala bagi orang yang datang awal untuk sembahyang Jumaat
11. Jemaah yang duduk didalam masjid kalau imam sudah naik ke atas mimbar untuk berkhutbah maka haram baginya sembahyang (sembahyang sunat). Adapun orang yang baru masuk kedalam masjid ketika imam naik mimbar maka sunat dikerjakannya sembahyang dua rakaat samada tahiyatul masjid atau qabliah jumaat atau qadha sembahyang subuh.
12. Qadha terbahagi kepada dua iaitu qadha wajib segera dan qadha tidak wajib segera. Qadha wajib segera merujuk kepada sembahyang yang luput dengan kesengajaan. Misalnya seseorang itu telah mendengar azan subuh tetapi sambung tidur balik apabila terjaga maka subuhnya terlepas. Lalu ia wajib qadha subuh dengan segera. Begitu juga dengan keadaan orang sekarang yang mengutamakan kerja lebih dari sembahyang sehingga menaiki bas sebelum waktu sembahyang subuh. Apabila sampai di pejabat, waktu subuh pun sudah habis, oleh itu wajib baginya qadha segera. Qadha tidak wajib segera merujuk kepada sembahyang yang luput dengan tidak sengaja. Sebenarnya qadha ini pun wajib disegerakan kerana kita masih berhutang kepada Allah swt. Contoh qadha ini ialah apabila seseorang tertidur dan tidak sedar waktu sembahyang telah terlepas misalnya waktu Subuh. Ketika terjaga jam sudah pukul 8.00. Bagi mengelakkan terlewat sampai ke pejabat maka beliau boleh mengerjakan qadha itu kemudian.
13. Jika mengerjakan sembahyang ketika imam naik mimbar maka eloklah diringkaskan sembahyang itu dengan melaksanakan yang wajib sahaja. Ini supaya kita boleh memberi perhatian kepada khutbah. Ketika khutbah, dengar baik-baik isi kandungannya. Jangan buat perkara lain termasuklah bertasbih, membuat lakaran-lakaran jari kepada karpet atau mengepung semut (bermain-main dengan semut yang melintasi hadapan kita).
14. Tetapi jika masjid terlalu luas atau speaker rosak sehingga kita tidak dapat mendengar apa-apa teks khutbah maka sunat bagi kita berzikir secara perlahan-lahan (hanya kita sahaja yang mendengar).
15. Selesai sembahyang Jumaat, sunat bagi kita membaca al-Fatihah 7 kali, al-Ikhlas 7 kali, Al-Falaq 7 kali dan An-Nas 7 kali sebelum berkata-kata. Dengan ini, kita akan terpelihara dari kejahatan dan gangguan syaitan dari Jumaat pertama hinggalah ke Jumaat kedua. Selepas itu, lazimilah diri dengan membaca doa murah rezeki dan bebas hutang.







16. Sunat juga bagi kita mengerjakan sembahyang sunat ba’diah lepas Jumaat samada 2 atau 4 atau 6 rakaat.
17. Sunat lepas sembahyang Jumaat, kita mengekalkan tempat duduk didalam masjid hingga ke sembahyang Asar malah duduk sehingga sembahyang Maghrib itu terlebih afdhal.
18. Kata Syeikh, nak buat ibadah zaman sekarang ini kena merayu-rayu. Kalau tak kena gaya, mungkin orang tak datang padahal ganjaran pahala buat ibadah sangatlah besar. Contohnya, kalau panggil buat tahlil, hanya segelintir sahaja yang datang tapi kalau bab konsert dan perkara maksiat yang lain, berebut-rebut pula orang yang datang bahkan berbayar pula.
19. Kata Imam al-Ghazali, Barangsiapa Asar didalam masjid tempat ia mengerjakan solat Jumaat maka adalah pahala baginya seperti pahala haji dan barangsiapa yang tetap tempat duduknya didalam masjid hingga ia mengerjakan sembahyang maghrib maka adalah bahagian pahala baginya seperti pahala haji dan umrah.
20. Kata Syeikh, zaman sekarang ini, perangai orang sangatlah aneh. Banyak orang kaya pergi ke haji dan umrah untuk melancong. Lalu tidak ada kesan ibadah yang dibawa balik maka jadilah ia satu pekerjaan yang sia-sia. Orang pertengahan pula pergi haji untuk berniaga. Lalu tidak ada juga kesan ibadah yang dibawa balik melainkan sia-sia jua. Orang yang alim pula pergi ke Makkah untuk dikira-kira jumlah hajinya. Lalu tidak ada kesan ibadah yang dibawa baik melainkan sifat riak sahaja. Manakala orang faqir pergi ke Makkah dengan keadaan meminta-minta.
21. Kata Syeikh lagi dengan memetik kata ahli sufi besar Junaid al-Baghdadi, orang yang soleh berubah setiap kali tapi orang yang riak tidak pernah berubah. Maksudnya, orang yang soleh itu sentiasa berubah untuk mendapatkan pahala yang lebih besar. Ini berkait-rapat dengan keadaan orang yang duduk didalam masjid. Banyak manfaatnya apabila duduk didalam masjid. Besarlah ganjaran pahala bagi orang yang beriktikaf didalam masjid kerana boleh diniatkan untuk bermacam-macam perkara kebaikan. Antaranya;
a. Niat iktikaf
b. Niat pahala mengaji
c. Niat untuk duduk dengan orang yang baik-baik/soleh
d. Niat untuk duduk jauh dari orang-orang yang tidak baik dan cintakan maksiat
e. Niat untuk tunggu waktu solat jemaah. Kata syeikh, pahala menunggu itu sama seperti pahala orang yang sentiasa dalam keadaan sembahyang.
22. Didalam masjid, hendaklah jangan bercakap hal-hal dunia atau sia-sia. Tumpukan untuk hal-hal akhirat dan carilah bekalan akhirat sebanyak yang mungkin. Hari Jumaat eloklah kita fikirkan hal akhirat. Eloklah kita ‘servis’ jiwa (rohani) kita pada hari itu.
23. Disunatkan kita mengikuti malis ta’lim atau majlis ilmu yang diadakan dimasjid pada hari Jumaat.
24. Pada hari Jumaat, ada satu waktu yang mustajab untuk berdoa. Tetapi waktu itu dirahsiakan Allah Taala. Kita hendaklah mengintai-intai waktu itu sama seperti kita mengintai malam Lailatul Qadar. Kenapa Allah sembunyikan waktu itu? Hikmahnya ialah supaya kita rajin beribadat. Fitrah manusia kalau dah tahu (sesuatu perkara itu) maka langsung kerja itu tidak dlakukan dengan bersungguh-sungguh. Ini sangatlah berbeza dengan orang yang dibukakan hijab oleh Allah Taala. Orang yang dibukakan hijab, ibadahnya langsung tidak berkurang sebaliknya makin bertambah. Ini sebagai tanda kesyukurannya kepada Allah Taala yang telah mengurniakan kepadanya segala macam kelazatan munajat kepada Allah Taala (dengan hijabnya dibuka).
25. Sungguh kata Syeikh, zaman akhir zaman ini banyak perkara terbalik berlaku. Apabila orang buat maksiat, orang tidak berasa pelik malah boleh terima pula tetapi jika ada orang yang buat taat/zikir maka ramai orang yang berasa pelik.
26. Setengah ulama berkata waktu mustajab pada hari Jumaat itu ialah
a. Pada ketika terbit matahari
b. Pada ketika gelincir matahari (hampir Zohor)
c. Pada ketika azan
d. Pada ketika khatib naik mimbar
e. Pada ketika manusia berdiri hendak memulakan solat
f. Pada akhir waktu asar (pada waktu ikhtiar). Kata Syeikh, waktu asar terbahagi lima iaitu waktu ula, waktu jawas, waktu ikhtiar (1 jam sebelum terbenam matahari), waktu makruh dan waktu haram.
g. Pada sebelum masuk matahari (beberapa minit sebelum maghrib. Digalakkan selawat ketika menunggu sebelum terbenamnya matahari.
27. Kata Syeikh, ingatlah dua perkara ketika berdoa iaitu BERLINDUNG DARIPADA KEMURKAAN ALLAH DAN MENGHARAPKAN KEREDHAAN/RAHMAT ALLAH TAALA. Bukannya dengan minta hal-hal dunia kerana permintaan itu sangatlah kecil.
28. Kata Syeikh lagi, untuk anak-anak, mintalah (berdoalah) kepada Allah Taala ketika mereka sedang tidur. Renungilah mereka tatkala mereka sedang tidur nescaya bercucuranlah air mata kita sehinggalah terlupalah kita akan kenakalan mereka disiang hari. Di kala kita merenung mereka tidur, dengan waktu ketika itu pukul 2 atau 3 pagi, mudahlah airmata kita menitik dan kasih-sayang kita terbit dengan ikhlas. Dikala itu, mintalah kepada Allah Taala yang terbaik untuk anak-anak kita. Syeikh berkata gurunya ketika ditengah malam, akan naik ketingkat atas untuk berdoa buat anak-anak muridnya. Ditengah malam, ketika muridnya sedang lena tidur, guru syeikh akan berdoa bersungguh-sungguh, menangis memohon kepada Allah Taala agar dikurniakan segala kebaikan dan kesalehan untuk anak muridnya.
29. Pada malam Jumaat dan hari Jumaat, elok bagi kita selawat kepada Nabi saw sebanyak yang mungkin. Selawat ini sangat istimewa disisi Allah Taala. Allah memerintahkan kita selawat kepada Nabi saw kerana Allah dan para malaikat turut berselawat ke atas Nabi saw. Perintah selawat ini adalah luar biasa kerana siapa yang melakukannya pasti akan diterima Allah Taala walaupun yang melakukannya adalah orang fasik. Sebab itu dalam doa, teramatlah afhdal jika kita menghimpitkan doa kita dengan memulakan doa dengan selawat dan mengakhirkan doa juga dengan selawat.
30. Orang yang paling dekat dengan Nabi saw ialah orang yang paling banyak selawat. Bagi orang lelaki, orang yang paling banyak selawat akan dikurniakan paling banyak bidadari disyurga. Namun ini bukanlah membelakangkan si isteri kerana nikmat syurga yang paling besar ialah nikmat melihat zat Allah Taala.
31. Dihari Jumaat juga hendaklah memperbanyakkan bacaan al-Quran. Surah yang digalakkan untuk dibaca ialah surah al-Kahfi. Bacalah surah ini pada malam dan hari Jumaat. Apabila surah ini dibaca dimalam Jumaat maka memancarlah nur dari rumah sampai ke Makkah. Kelebihan membaca surah ini ialah dosa si pembaca diampunkan sehingga ke Jumaat berikutnya, terpelihara dari penyakit buah pinggang, barah, sopak dan kusta dan terlepas dari fitnah Dajjal.
32. Sunat membaca surah al-Ikhlas pada malam dan hari Jumaat. Kata Syeikh, kita ini kenalah rasa rindu pada Allah Taala Bila kita rasa rindu, barulah kita buat persediaan terbaik untuk berjumpa Allah Taala. Sebab itu kita kena Tanya pada diri kita, adakah kita sudah bersedia untuk mati? Adakah kita ini tergolong pada orang yang takut mati kerana cintakan harta dunia atau sebaliknya?
33. Para sahabat tatkala berdepan dengan maut tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan kekasih mereka yakni Nabi saw. Saiyidina Usman, r.a khulafa rasyidin yang ketiga, ketika dikepung musuh telah didatangi oleh Nabi saw dalam mimpinya. Nabi bertanya kepadanya samada hendak ditolong melawan musuh atau nak berbuka puasa dengannya. Kata Saiyidina Usman, Sungguh aku ingin berbuka puasa denganmu Ya Rasulullah. Maka Saiyidina Usman dibunuh oleh musuhnya lalu bertemulah Saiyidina Usman dengan kekasihnya, Junjungan Besar Nabi Muhammad saw seperti yang dicita-citanya selama ini. Saiyidina Usman telah lama bersedia untuk mati kerana dia telah menyediakan bekalan secukupnya lalu kita?

No comments:

Post a Comment