Tuesday, May 18, 2010

Syarahan Khas sempena Maulidur Rasul dan Hari Hol Syeikh Abdul Qadir al-Jailani 1431 H

*Catatan bebas ana di Masjid Negara pada 15 Mei 2010

Prof Dr Ahmed Umar Hasyim
1. Berzikir adalah sebaik-baik bekal.
2. Dengan berzikir, hati akan menjadi tenang.
3. Bertaubatlah kepada Allah.
4. Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki. Rezeki akan hampir kepada kita jika kita menginfak harta kepada orang miskin.
5. Keamanan tidak akan tercapai jika umat Islam tidak bertaqwa.
6. Sungguh mengaibkan apabila Baitul Maqdis dihina oleh pelampau-pelampau yang mengkhianati orang-orang Islam.
7. Pertolongan tidak akan turun jika umat Islam tidak menolong agama Allah.
8. Jadilah hamba yang sentiasa beribadah kepada Allah.
Prof Dr Ahmad Obaid al-Kubaisi
1. Nabi Muhammad saw diberi gelaran “orang yang paling dipercayai” Allah Ta’ala. Allah menyetujui apa sahaja yang dikatakan baginda saw.
2. Allah memberi gelaran Rahman dan Rahim kepada Nabi saw. Gelaran ini tidak diberikan kepada Nabi-nabi lain.
3. Allah memberi gelaran ini kepada Nabi saw sebagai kurnia atau hadiah Allah Ta’ala kepada baginda saw.
4. Rahmat Allah kepada baginda saw ada tiga iaitu
a. Diturunkan kitab al-Quran dimana didalamnya mengandungi surah al-Fatihah dan akhir surah al-Baqarah
b. Apa sahaja yang diminta baginda saw maka Allah akan kabulkan
c. Rahmat Allah yang berupa syafaat disimpan di Hari Akhirat kelak.
5. Adalah sangat celaka jika seseorang itu tidak masuk syurga kerana Allah memberi rahmat yang begitu luas kepada umat Nabi Muhammad saw. Seseorang boleh masuk syurga dengan mengucap kalimah La Ilaha Illallah, seseorang boleh masuk syurga dengan membuang duri yang berada di atas jalan agar orang lain tidak tercedera dan sebagainya.
6. Kita hendaklah taat dan patuh pada perintah Allah dan Rasul-Nya.
7. Apa yang datang dari Rasulullah saw hendaklah kita mengambilnya. Ketika Saiyidina Muaz bin Jabal sedang solat, Rasulullah saw memanggilnya. Muaz tidak menjawab panggilan sebaliknya terus mengerjakan solat. Habis solat, baru Muaz menjawab panggilan Nabi saw. Kata baginda saw, “Bila aku panggil, kamu kena jawab”. Maka kita hendaklah mendahulukan Rasulullah saw dari perkara-perkara lain.
Syeikh Afeefuddin al-Jailani
1. Seramai 20,000 orang hadir pada malam ini dengan hati yang satu iaitu mencintai Allah dan Rasul-Nya. Mudah-mudahan Allah Ta’ala mengabulkan doa kita pada hari ini.
2. Tidak ada kata-kata yang lebih menggembirakan dari kata-kata yang diucap oleh baginda saw iaitu sesungguhnya seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya. Maka dengan sebab itu, hendaklah kita kasih pada Rasulullah saw, para sahabat dan wali-wali Allah agar kita dapat bersama-sama dengan mereka di Hari Akhirat kelak. Amin

Monday, May 17, 2010

40 Hadith Kelebihan Ilmu dan Ulama - Disyarah oleh Syeikhuna Tuan Guru Haji Muhammad Syukeri bin Unus dan dihurai oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi


*Catatan bebas ana di Pusat Pengajian Ba 'Alawi pada 15 Mei 2010 waktu dhuha
Syeikhuna Tuan Guru memulakan pembahasan dengan menghuraikan namanya. Namanya, Muhammad Syukeri bin Unus bin Ali bin Abdul Rasyid bin Hasan al-Banjari. Dengan nama Muhammad Syukeri itu, mudah-mudahan diri ini sentiasa bersyukur kepada Allah Ta’ala. Unus pula didalam bahasa Kalimantan ertinya bagus manakala dalam bahasa Arab ia bererti jinak yakni uns ertinya kejinakan dengan Tuhan. Yunus pula adalah nama seorang Nabi Allah iaitu Nabi Yunus as. Ali bererti tinggi manakala Abdul Rashid pula membawa maksud memberi petunjuk kepada orang lain.
Hadith 1 berkaitan dengan kelebihan orang alim melebihi kelebihan orang yang beribadat
Allah Ta’ala beserta para malaikat dan segala penghuni langit dan bumi, semuanya memohon kebaikan kepada manusia yang mengajar kebaikan kepada manusia yang lain. Orang alim dikenali oleh semua penghuni langit dan bumi sehinggakan semut didalam lubang dan ikan bilis di lautan pun kenal dan mencintai orang alim. Bahkan mereka mendoakan orang alim ini agar sentiasa mendapat kebaikan. Maka atas sebab itu, kita jangan malas mencari ilmu. Mengaji itu perlu berterusan dan tempoh mengaji itu sangat lama seperti kata Nabi Daud as, “ibarat memakai kasut besi hingga putus kasut besi itu”. Sekiranya kita membaca manaqib Syeikh Nawawi Banten, kita akan dapat mengetahui bahawa Syeikh Nawawi tidak memakan ikan. Sebabnya ialah ia tidak sampai hati untuk memakan ikan yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada manusia. Sebab itu kata syeikh sambil berseloroh, orang Jawa tidak makan ikan sebaliknya hanya makan tempe dan tauhu sahaja.
Selain ikan, semut juga memohon keampunan buat manusia. Jika kita kaji cara hidup semut ini, kita akan dapat lihat semangat gotong-royong semut yang sangat luar biasa. Apabila ia berjumpa sesuatu makanan, ia akan mengkhabarkannya pula kepada rakannya yang lain. Semut binatang yang mulia kerana ia tidak tamak. Rasa kekitaan dan kebersamaan dalam diri ini semut ini sangat tinggi. Semut juga mempunyai perancangan dalam hidup. Pada satu hari pernah Nabi Daud as bertanya kepada seekor semut tentang pemakanannya. Kata semut, “Aku hanya memakan sebutir gandum dalam masa setahun”. Untuk membuktikan kata-katanya, semut itu meminta Nabi Daud as meletakkannya didalam sebuah botol bersama-sama dengan sebutir gandum. Selepas setahun, Nabi Daud as membuka penutup botol dan baginda terkejut apabila melihat semut itu hanya memakan setengah sahaja dari butir gandum itu. Kata semut, Aku bimbang tuan terlupa hendak membuka penutup botol ini lalu aku tinggalkan separuh butir lagi buat bekalan di masa akan datang”. Begitulah hebatnya perancangan semut.
Hadith 2 berkaitan dengan kehebatan orang alim
Seorang alim sangat ditakuti syaitan sebab si alim tahu bagaimana hendak melawan syaitan dan boleh memberi bimbingan serta menyelamatkan orang lain dari godaan syaitan. Ini berbeza dengan abid (ahli ibadah) yang menghabiskan waktunya untuk beramal ibadah. Tidak seperti orang alim, sang abid ini tidak dapat memberi bimbingan kepada orang lain malah boleh disesatkan oleh syaitan. Seorang alim lebih ditakuti syaitan dari 1000 orang ahli ibadat. Ini adalah kerana orang alim boleh memperbetulkan amalan ahli abid. Orang alim yang tidur itu lebih ditakuti syaitan dari abid yang sedang beribadat.
Hadith 3 berkaitan dengan ilmu yang mengangkat martabat manusia
Orang yang paling mulia disisi Allah Ta’ala ialah orang alim. Ini adalah kerana orang alim memiliki ilmu. Ilmulah yang mengangkat martabat atau darjat seseorang itu bukannya harta atau pangkat/jawatan. Harta dan pangkat hanya bermusim, apabila hilang harta atau pangkat maka hilanglah rasa hormat masyarakat kepada seseorang itu. Sedangkan orang yang alim, semakin meningkat usianya semakin dihormatilah dirinya oleh masyarakat. Kata syeikh, pernah seorang bekas menteri mengadu kerana orang tidak datang berkunjung ke rumah semasa hari raya selepas ia tidak berjawatan. Ini berbeza dengan keadaan ketika beliau berjawatan dimana melimpah orang datang membanjiri rumahnya.

Monday, May 3, 2010

Ya Bunayya - Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Salak Tinggi pada 1 Mei 2010
Memperdalami ilmu agama
Kita disuruh mencari ilmu. Ilmu fardu ain perlu dipelajari. Ilmu fardu ain adalah syarat mutlak untuk masuk syurga. Ketua keluarga mesti tahu ilmu ini dan berkewajipan untuk mengajar tanggungannya. Ilmu fardu ain ini merangkumi ilmu fiqh, ilmu tauhid dan ilmu tasawwuf. Ilmu fiqh merujuk kepada aturan ibadah, ilmu tauhid merujuk kepada mengenal tuhan yang kita sembah dan ilmu tasawwuf merujuk kepada pembersihan hati (akhlak) dan cara-cara untuk menjaga pahala (hindarkan diri dari perasaan ujub, riya’ dan sebagainya). Hari ini, suasana ilmu telah terbalik. Ilmu fardu kifayah lebih dahulu dipelajari berbanding ilmu fardu ain. Ibubapa lebih susah hati jika anaknya tidak pandai geografi tetapi tidak berasa sedemikian jika anaknya tidak pandai membaca Surah al-Fatihah. Begitu juga ada ibubapa yang tidak menutup aurat sedangkan anaknya menutup aurat. Ini adalah satu penyakit didalam masyarakat. Ketahuilah bahawa tanggungjawab ketua keluarga yakni bapa adalah sangat berat.
Jangan buang masa
Hari ini ramai orang tidak tahu membezakan istilah rehat, makan angin dan buang masa. Jika seseorang itu tahu tugas dan tanggungjawab maka pastilah dia akan merasakan bahawa masa tidak cukup baginya. Tidak ada istilah buang masa dalam dirinya. Istilah buang masa sepatutnya tidak ada dalam diri. Ini berbeza dengan rehat. Manusia memerlukan rehat untuk mengembalikan kecergasan diri. Orang yang dahagakan ilmu tidak akan membuang masa begitu sahaja. Kata Syeikh, kalau gurunya mengajar (Syeikh Zaini), orang akan datang ke dewan solat utama seawal pagi untuk mendapatkan tempat duduk dibarisan yang paling hadapan. Ini adalah kerana bilangan penuntut yang datang menadah kitab sangat ramai, sekitar 15,000 orang. Biasanya Syeikh Zaini akan mengajar pada pukul 9 pagi hari Sabtu. Penuntut yang ingin mendapat barisan hadapan perlu datang sebelum subuh. Begitulah adab penuntut yang benar-benar ingin mencari ilmu. Orang yang tahu nilai ilmu akan berasa kecil akan pengorbanannya. Apalah sangat pengorbanannya jika dibandingkan dengan ilmu yang hendak didapatinya. Kata Imam asy-Syafi’i, ada 6 syarat untuk mendapat ilmu (menjadi orang alim)
1. Orang itu perlu ada persediaan otaknya – ada akal
2. Perlu ada sifat tamak – ghairah untuk menuntut ilmu
3. Sabar
4. Kena ada belanja
5. Kena ada guru yang pandai dan dedikasi (guru yang arif dan boleh beri petunjuk)
6. Panjang masa (waktu yang panjang untuk belajar)
Imam asy-Syafi’i bersila didepan gurunya, Imam Malik selama 14 tahun. Imam Nawawi tiap-tiap akan membaca sekurang-kurangnya 24 kitab. Kitab yang dikarangnya memenuhi satu almari. Ada seorang ulama besar satu masa dahulu ketika kecilnya pernah tidak lulus mengaji selama lima tahun. Gurunya marah kepadanya dan ia merajuk lalu lari kedalam hutan. Didalam hutan dia terlihat air menitik dari atas menimpa sebongkah batu. Batu itu berlubang ditengahnya. Lalu ia berkata kepada dirinya, jika setitik air ini mampu melubangkan batu yang keras ini maka tentu saya juga boleh berbuat demikian. Pengajarannya ialah kita tidak boleh berputus asa dalam menuntut ilmu. Berputus asa adalah satu penyakit yang perlu dijauhi.

Hadith Peristiwa Akhir Zaman - Disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana Salak Tinggi pada 1 Mei 2010
Kemewahan membawa bahaya. Kemiskinan juga membawa bahaya. Tetapi dari sudut umat, kemewahan itu lebih teruk dari kemiskinan. Ketika sahabat bersama-sama Rasulullah saw didalam masjid, masuk Mus’ab bin Umair dengan keadaan memakai sehelai kain sahaja. Kain itu pula bertampung dengan kulit. Apabila melihat keadaan Mus’ab, Nabi saw menitiskan air mata kerana terkenangkan kisah silam Mus’ab ketika beliau belum memeluk Islam. Ketika di Makkah, Mus’ab hidup dalam keadaan yang sangat mewah. Beliau dimanjakan ibunya dan diberikan segala kemewahan oleh ibunya. Kalau dia memakai wangian, wangiannya dapat dikenal oleh orang lain kerana bukan calang-calang orang yang boleh memakai wangian yang sedemikian rupa. Kalau dia berjalan, ada khadam yang akan mengiringinya. Kalau selendangnya terjatuh, dia akan membiarkan orang lain mengambilnya. Tetapi selepas dia meletakkan tangannya di atas Rasulullah saw untuk memeluk Islam dia telah diberi kata dua oleh ibunya samada hendak bersama Rasulullah saw tanpa sebarang kemewahan atau meninggalkan Islam dan kembali hidup bermewah-mewahan. Mus’ab memilih untuk bersama Rasulullah saw. Semenjadi dari itu, berubahlah hidupnya. Beliau hidup dalam keadaan sangat sederhana. Apabila orang Ansar memeluk Islam, Rasulullah saw menghantar Mus’ab berhijrah ke Madinah. Mus’ab menjadi guru di Madinah. Tidak lama selepas Nabi saw berhijrah ke Madinah, Perang Badar berlaku. Mus’ab memegang bendera Muhajirin kerana Mus’ab merupakan salah seorang sahabat yang paling awal berhijrah ke Madinah. Dalam Perang Uhud, Mus’ab sekali lagi diberi kepercayaan memegang bendera Muhajirin. Dalam Perang Uhud, kedua-dua tangan beliau telah dicantas musuh sehinggalah beliau menemui syahid. Apabila Rasulullah saw melihat jenazah Mus’ab, Rasulullah saw berasa hiba. Kain yang menutup jenazahnya tidak cukup sehingga bahagian kakinya terpaksa ditutup dengan daun-daun kayu. Sangat berbeza keadaannya ketika beliau hidup mewah di Makkah dengan keadaannya ketika beliau syahid. Sebab itulah ketika menziarahi pemakaman syuhada, umat Islam hendaklah memberi salam secara khusus kepada 3 orang yang telah syahid disini iaitu Hamzah bin Abdul Muttalib (Penghulu orang-orang yang syahid), Mus’ab bin Umair dan Abdullah bin Jahsy. Ini adalah kerana jasa-jasa mereka yang sangat besar kepada umat Islam. Sahabat-sahabat hidup dalam keadaan yang sangat sederhana tetapi amal ibadat mereka sangat hebat. Mereka mengkhatam al-Quran sekurang-kurangnya seminggu sekali tetapi umat pada zaman ini belum tentu mampu mengkhatam al-Quran seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Sebab itulah penyair Arab ada berkata,
Bukan hari raya dengan memakai baju baru
Tetapi raya itu apabila amalannya bertambah
Bukan hari raya dengan berkenderaan baru
Tetapi raya itu dengan dosa-dosanya terampun
Zaman sekarang, makanan terlalu mewah. Makanan boleh didapati dengan mudah sehinggakan adakalanya berbuang begitu sahaja. Sedangkan sahabat tidak mempunyai jadual makanan. Sahabat-sahabat tidak mengambil kisah tentang pakaian dan makanan. Kata Aisyah ra, “Kami isteri-isteri Nabi saw, 3 bulan tidak bernyala dapur. Apa yang kami makan hanyalah kurma dan air sejuk”. Zaman sekarang, jangankan manusia berpakaian malah rumah pun turut berpakaian. Manakan tidak, rumah dipakaikan tirai atau langsir. Nabi saw telah mengetahui keadaan umat zaman ini sebab itulah bila ditanya oleh sahabat tentang kehidupan, Nabi saw menyatakan bahawa keadaan dalam serba sederhana lebih baik untuk beramal dari keadaan hidup mewah seperti yang dialami oleh umat zaman tetapi amalannya sangat sedikit. Maka atas sebab itu, kita perlu berkorban ke jalan Allah. Kita perlu mengorbankan kemewahan jika kemewahan itu menjadi penghalang kita untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Kata Imam Ibn Atoillah, “Kalau engkau tidak bertindak dengan cara luarbiasa maka bagaimana Allah hendak menganugerahkan kita sesuatu yang luarbiasa?” Orang-orang kaya mencapai cita-cita mereka kerana mereka berani mengambil risiko, membuat keputusan drastik dan sanggup mengorbankan kesenangan jangka pendek untuk mengecap kekayaan jangka panjang. Ketahuilah bahawa Islam sampai kepada kita pada hari ini menerusi alim-ulama yang sanggup belayar jauh untuk datang ke sini. Mereka telah mengorbankan segala kesenangan dengan meninggalkan harta benda dan anak isteri mereka untuk menyebarkan agama Islam kepada kita. Mereka mempunyai jiwa-jiwa yang nekad untukmenyebarkan agama Islam yang suci ini.
Hadith berikutnya ialah tentang rasuah yang berleluasa di akhir zaman. Bagaimana hendak membezakan rasuah dengan pemberian? Yang disebut sebagai rasuah itu ialah apabila pemberian itu dilakukan dengan hajat kepada sesuatu (ada udang di sebalik batu). Nabi saw mengirim seorang sahabat menjadi amil zakat. Selesai mengerjakan tugasnya, sahabat pulang dan berjumpa Nabi saw. Sahabat memberitahu Nabi saw tentang hasil kutipan zakat dan pemberian yang diterimanya. Lalu Nabi saw bertanya, Jika engkau tidak bertugas sebagai amil, adakah pemberian itu akan diberikan kepada engkau?. Maksudnya disini ialah jika pemberian itu diberikan atas jawatan dan kedudukannya sedangkan jika ia tidak memegang jawatan itu tidak mungkin ia mendapatnya maka pemberian itu mengandungi unsur rasuah. Sesuatu pemberian itu disebut rasuah sekiranya ia mengandungi unsur kezaliman atau penindasan kepada orang lain atau mengkhianati negara (apabila ada sabit sesuatu yang merugikan orang ramai dan negara).

Keistimewaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Ampang pada 30 April 2010
Hari Jumaat adalah hari dimana kita digalakkan memperbanyakkan salawat ke atas Rasulullah saw. Pada hari Jumaat, nama baginda saw disebut dan dijulang berulang-kali khususnya didalam solat Jumaat, khutbah Jumaat dan sebagainya. Itu adalah merupakan tanda Allah sentiasa mengangkat martabat dan menjulang nama Nabi saw. Atas sebab itu, ulama menyatakan bahawa hari Jumaat adalah hari Rasulullah saw. Malangnya, masih ada golongan yang tergamak mencalit arang dengan melakukan penghinaan ke atas Nabi saw dan ahli keluarga baginda saw. Orang-orang yang memusuhi Nabi saw telah ada semenjak dari zaman dahulu lagi. Musuh-musuh Nabi saw bukan sahaja terdiri dari kalangan manusia tetapi juga jin dan syaitan. Setiap Nabi pasti ada penyokong (khadam) dan musuhnya. Ada yang ditaqdirkan menjadi musuhnya dan ada pula yang menyadi penyangganya (penyokongnya). Sebab itulah kita perlu sentiasa berdoa agar sentiasa berada dalam kelompok yang menjadi penyokong Nabi saw. Maka atas sebab itu jugalah, para ulama bersungguh-sungguh menulis kitab untuk menyerlahkan kemuliaan haqiqat Nabi saw dengan harapan agar sentiasa berada dalam kedudukan sebagai khadam atau penyokong kepada Junjungan Besar Nabi saw. Ada manusia yang tidak berasa malu dengan Nabi saw. Mereka ini sanggup mentohmah Nabi saw dimana salah satu darinya ialah dengan cara mentohmah ibubapa Nabi saw.
Ketahuilah bahawa Nabi saw mempunyai khususiat (keistimewaan). Allah swt menganugerahkan keistimewaan kepada Nabi saw yang tidak dianugerahkan kepada manusia lain termasuk para Nabi dan Rasul. Perkara ini perlu diketahui dan dihebohkan kepada masyarakat. Ini adalah kerana hari ini ada orang yang tidak kenal Nabi saw dan sanggup menyamakan Nabi saw dengan manusia biasa. Ini adalah kerana kejahilan mereka yang tidak menyetahui khususiat yang ada pada Nabi saw. Orang yang tidak kenal Nabi saw tidak akan memuliakan Nabi saw. Hanya orang yang kenal Nabi saw akan memuliakan baginda saw. Apabila kita mencintai Nabi saw dan perasaan cinta itu bertambah dari masa ke semasa maka iman kita juga akan bertambah dari masa ke semasa. Orang yang tidak kenal Nabi saw tidak akan mempedulikan Nabi saw. Ini berbeza dengan orang yang mencintai Nabi saw. Orang yang mencintai Nabi saw akan beria-ria terhadap Nabi saw, membacakan salawat dan maulid dan sentiasa berasa rindu hendak menziarahi Nabi saw. Ketahuilah bahawa mencintai Nabi saw itu adalah wajib. Pengetahuan tentang Nabi saw juga adalah wajib. Setiap sesuatu perkara yang menyempurnakan sesuatu yang wajib maka hukumnya juga adalah wajib. Justeru mempelajari khususiat Nabi saw itu hukumnya wajib.
Imam Abu Hasan asy-Syazuli pernah berhadapan dengan pemuka Muktazilah. Pemuka muktazilah ini menyatakan bahawa Jibril lebih mulia daripada Rasulullah saw. Alasannya ialah JIbril adalah guru Nabi saw. Lalu dijawab oleh Imam Abu Hasan asy-Syazuli, “Rasulullah saw adalah manusia tetapi bukan manusia biasa. Baginda saw tersembunyi seperti permata-permata yaqut di antara batu-batu”. Selepas itu, Imam Abu Hasan asy-Syazuli tertidur dan bermimpi bertemu Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw kepadanya, “Allah mengampunkan dosamu dan juga orang-orang yang berkata sepertimu”. Ketahuilah bahawa amal yang paling ampuh ialah menjadi pendokong Nabi saw. Walau sebagaimana fasiqnya seseorang itu, Nabi saw tidak akan melaknat orang itu. Ini berbeza dengan orang yang saleh mengerjakan ibadat tetapi pada masa yang sama membenci Nabi saw maka orang ini dilaknat oleh baginda saw. Ketika dizaman baginda saw, ada seorang lelaki yang amat gemar meminum arak. Setiap kali bertembung dengan Nabi saw, beliau akan dihukum oleh baginda saw kerana meminum arak. Sehinggalah sahabat menyatakan bahawa orang ini patut dilaknat oleh Nabi saw. Lalu dijawab oleh baginda saw,” Jangan engkau laknat dia kerana dia cinta Allah dan Rasul-Nya”. Dalam tulisan Qadhi Iyadh, ada diceritakan tentang kisah seorang raja di Khurasan. Raja ini mempunyai banyak kuda dan askar. Pada satu hari, raja ini melihat askar dan kudanya berbaris. Raja ini kemudiannya berkata, Kalaulah Rasulullah saw masih hidup nescaya akan aku arahkan askar dan kuda ini membantu Rasulullah saw. Apabila raja ini meninggal dunia, ada orang telah bermimpi bertemu raja ini. Kata raja, “Sesungguhnya dosaku telah diampunkan kerana niat aku yang ingin membantu Rasulullah saw”. Apa sahaja yang mempunyai hubung kait dengan Nabi saw tidak boleh dipandang remeh walaupun ia berkaitan dengan adat seharian. Sebagai contoh, Nabi saw gemar memakan labu. Maka sahabat seperti Anas bin Malik apabila melihat Nabi saw gemar pada labu kemudiannya turut menggemari labu. Begitu juga labah-labah yang pernah menjadi tentera Nabi saw. Apabila melihat Nabi saw suka kepada labah-labah maka sahabat seperti Abu Bakar turut menyukai labah-labah.

Syarah Kanzul Minan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana pada 24 April 2010
Seperti kata Syeikh ra, Apabila nyata hak Subhana wa Ta’ala tiada tinggal sertanya yang lainnya yakni mengisyarat Syeikh dengan dia kepada sehingga-hingga sampai orang-orang yang salik dan ialah sehingga yang dikehendaki segala Ariffin dan nyata maqam fana’ yang menghapuskan padanya segala rusum (lukisan) akwan (makhluk) dan menghilangkan ilmu dan maklum maka tiada tinggal padanya melainkan al-Hayy al-Qayyum[1]
Allah adalah yang hak maka yang lain selain-Nya adalah batil. Apabila telah zahir atau nyata al-haq didalam benak hati maka tidak akan tinggal lagi selainnya dalam hati orang-orang yang telah mencapai maqam musyahadah. Apabila seseorang itu telah melihat Allah maka inilah kelazatan yang tidak ada bandingannya. Inilah yang disebut sebagai pengalaman atau perasaan dzauq bagi orang-orang yang telah sampai ke maqam ini. Kata ulama, ilmu sebegini tidak dapat ditulis diatas kertas kerana ilmu ini dicampak ke dalam benak hati orang-orang yang mengalaminya yang tidak dapat mengungkapkannya dalam bentuk kata-kata. Orang-orang yang tidak merasai dzauq seperti mana orang-orang yang telah mencapainya tidak akan dapat memahaminya. Orang ini akan memandang orang-orang yang telah merasai pengalaman sebegini dengan pandangan yang buruk bahkan mereka mentohmah pengalaman itu sebagai sesuatu yang menyesatkan. Padahal orang-orang yang merasai pengalaman dzauq itu tidak lagi berhajat kepada makhluk kerana mereka telah berhimpun dengan Allah. Kata Imam Ali Zainal Abidin, “Sesungguhnya aku telah menyembunyikan permata-permata ilmu yang aku miliki yang tidak akan kuceritakan pada sebarangan orang supaya orang-orang itu tidak akan menimbulkan fitnah dan membahayakan orang-orang yang telah mengalaminya. Jikalau aku menzahirkanya dan menerangkannya kepada orang ramai maka pasti aku dikatakan penyembah berhala. Dan orang-orang Islam dikalangan fuqaha akan menghalalkan darahku. Bahkan mereka akan menghalalkan darah ahli-ahli tasawwuf padahal mereka tidak sedar bahawa ia telah diiktiraf oleh pembesar-pembesar fuqaha”. Pembesar fuqaha yang dimaksudkan adalah seperti Imam Ahmad bin Hanbal yang menyuruh anaknya bergaul dengan ahli tasawwuf. Katanya, “Hendaklah engkau bergaul dengan ahli tasawwuf kerana mereka itu telah menggapai satu kedudukan yang kami tidak mencapainya. Martabat itu tidak akan dapat kamu capai melainkan kamu bersahabat dengan mereka”.
Imam Ali Zainal Abidin berkata bahawa para fuqaha menghukum berdasarkan zahir kerana mereka tidak memahami rahsia-rahsia atau hikam-hikam yang hanya dapat difahami oleh orang-orang yang jernih hatinya. Abdullah bin Abbas pernah berkata, “Jikalau aku mentafsir al-Quran dengan jalan sedemikian maka sudah pasti halkum aku akan dipotong. Begitu juga dengan Abu Hurairah, salah seorang sahabat besar. Kata Abu Hurairah dalam Sahih Bukhari, “Aku menghafaz hadith dan meriwayat hadith Nabi saw dalam dua bejana ilmu. Satu bejana itu aku sebarkan ke khalayak ramai manakala yang satu lagi jika aku sebarkan nescaya halkum aku akan dipotong kerana ketidakfahaman orang-orang memahaminya. Dua maqam yang perlu dicapai oleh seseorang yang ingin sampai ke taraf Arif Billah ialah fana’ dan baqa’. Fana bererti hilang selain Allah. Allah tidak akan mengurniakan makrifah kepada orang-orang yang mensyirikkan-Nya. Sebab itu Allah Ta’ala berfirman kepada Nabi Daud as, “Kosongkanlah hatimu supaya Aku dapat duduk didalamnya”.[2] Baqa’ pula adalah haqiqat makrifatullah. Mereka kekal keberadaaan mereka bersama Allah setelah kosong hati mereka selain dari Allah. Rabiatul Adawiyah ketika ditanya orang apakah amalan doa yang menyampaikan dirinya kepada Allah Ta’ala lalu berkata, “Ya Allah! Aku memohon dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menghalang aku sampai kepada-Mu”. Imam Abd Salam as-Masyis memesan kepada Imam Abu Hasan Asy-Syazuli akan menyucikan dirinya dari berhala. Berhala yang dimaksudkan disini adalah KASIH SELAIN DARI ALLAH TAALA. Ini selaras dengan doa Nabi Ibrahim as yang memohon agar keturunannya dijauhkan dari penyembahan berhala. Imam al-Ghazali berkata bahawa maksud berhala dalam doa Nabi Ibrahim itu adalah berhala mahabbah selain Allah.
Maqam tertinggi orang-orang yang salik ialah maqam baqa’. Kehendak orang-orang yang arif billah ialah mencapai maqam fana’ kemudiannya baqa’ bersama Allah. Jazbah ialah suatu anugerah dari Allah. Jazbah ini perlu dipohon dari Allah Ta’ala. Jazbah ini diumpamakan seperti orang yang lewat bertolak tapi sampai lebih dahulu dari orang yang bertolak lebih awal darinya. Pengalaman jazbah ini pernah berlaku kepada Sayyidi Ibrahim al-Rasyid, murid akhir Sayyid Ahmad Idris (Rujuk kisah pertemuan Sayyidi Ibrahim al-Rasyid dengan Sayyid Ahmad Idris dalam manaqib Sayyid Ibrahim al-Rasyid yang ditulis oleh Tuan Guru Yang Mulia Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki). Sayyid Ahmad Idris dikurniakan maqam yang tinggi di sisi Allah Ta’ala. Pernah suatu hari, ada orang yang baru pulang dari pasar membeli daging menunaikan solat jemaah dibelakangnya. Selepas solat, ia pun pulang kerumah dan memberikan daging itu kepada isterinya untuk dimasak. Anehnya, daging itu tidak mahu menjadi lembut sebaliknya keras seperti ketika dibelinya tadi. Lalu dia menceritakan peristiwa tersebut kepada Sayyid Ahmad Idris. Kata Sayyid Ahmad Idris, “Sesungguhnya orang-orang yang solat dibelakang kami tidak akan disentuh dengan api neraka”. Maka atas asbab itulah, daging yang dibelinya tidak menjadi lembut kerana api tidak boleh membakarnya. Orang pernah bertanya kepada Sayyid Ahmad Idris, “Bagaimanakah kelak engkau akan dapat mengenal murid engkau di Padang Mahsyar?” Jawab Sayyid Ahmad Idris, “Yang akan mengenalkanku dengan muridku ialah menerusi amalan zikir La Ilaha Illallah Muhammad Rasul Allah fi kulli lamhatin wa nafasin ‘adadama wasi a’hu ‘ilmullah”. Berbalik kepada cerita Sayyid Ibrahim al-Rasyid tadi, beliau dikurniakan ma’rifah tidak sampai beberapa jam selepas beliau diijazah oleh gurunya, Sayyid Ahmad Idris. Kata Sayyid Ahmad Idris, “Sesungguhnya tidak ada yang berasa kepenatan setelah beberapa jam mengamalkan zikir ini”.
Imam Abu Barakatil Dardi juga memohon jazbah dari Allah Ta’ala dengan mengarang Asma’ul Husna. Beliau memohon, “Kurniakan kami wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dengan tarikan tasawwuf yang dengannya kami boleh mendahului orang yang berjalan lebih dahulu dari kami”. Ketahuilah bahawa ilmu Islam tidak sama dengan ilmu-ilmu yang berasaskan aqal. Dengan jazbah seseorang boleh menjadi alim dalam tempoh yang singkat. Jazbah adalah kurniaan Allah kepada mereka. Contoh jazbah yang paling jelas ialah umur umat Muhammad yang tidak panjang berbanding umat-umat terdahulu tetapi dapat mendahului umat-umat terdahulu.
Ilmu-ilmu selain dari Allah hendaklah dihilangkan. Ilmu ahli tasawwuf adalah jernih kerana ia bermanfaat dan tidak memberi mudarat kepada diri seseorang.
Zikir haqiqi ialah dengan kekuatan dan keupayaan dari Allah Ta’ala. Inilah zikir yang menyampaikan diri kepada Allah. Kata Sayyid Ahmad Idris kepada murid-muridnya, “Hendaklah engkau fana’kan diri engkau dalam zikir sehingga yang diingati adalah Allah semata-mata”.
Pernah diriwayatkan satu hari rumah Imam Ali Zainal Abidin terbakar ketika dia sedang mengerjakan solat. Orang menegurnya, “Kenapa engkau tidak sedar yang rumah engkau sudah terbakar?” Jawab Imam Ali Zainal Abidin, “Api yang lebih besar lebih melalaikan aku dari api yang kecil ini”. Imam Ali pernah pengsan berulang-kali ketika mengambil wudhu’. Apabila ditanya muridnya beliau berkata, “Tidakkah kamu tahu dengan siapa aku hendak mengadap?” Kata Aisyah, “Rasulullah saw bergurau dengan kami. Tetapi sebaik Bilal mengumandangkan azan, wajab baginda saw berubah seolah-olah tidak mengenali kami lagi”.
maka adalah matahari siang hari itu apabila nyata tiada tinggal dilihat segala bintang demikian lagi apabila naik terang matahari ma’rifat maka hilanglah segala asar yang kauniah[3] dan tiada dipandangnya melainkan wahidul ahad maka berjauh-jauhan antara dua matahari itu matahari siang jatuh dan hilang dan demikian matahari ma’rifat tiada hilang dan tiada berpaling matahari siang hari didapat akan dia dengan mata kepalanya dan matahari ma’rifat didapat dengan mata hati dan ia menerangkan segala jisim dan ini menerangkan akan segala rahsia (sirr hati).
Terlalu jauh perbezaan matahari makrifat dengan matahari dilangit. Matahari makrifat tidak akan tenggelam selepas terbit bahkan sinarnya akan bertambah setiap masa.
Dan hasilnya bahawasanya orang yang salik itu apabila mengambil pada perjalanan kepada tuhannya dan bersungguh-sungguh ia pada berjalannya dan beradab serta syeikhnya pada zahir batinnya diputuskan segala ‘awalim hingga hampir dengan sampai kepada maksudnya daripada segala ‘awalim itu maka pertama yang diputuskan alam mulk dan iaitu barang yang didapat akan dia dengan mata kepala daripada segala ajsam dan lainnya maka dinamakan dia alam al-nafs kemudian maka alam malakut dan iaitu barang yang didapat akan dia dengan mata hati dan dinamakan dia alam al-qalb kemudian maka alam jabarut dan iaitu dinamakan dia alam arwah kemudian maka alam lahut dan dinamakan dia alam as-sirr dan padanya hilang nama dan segala musamma dan tiada dilihat disinar itu melainkan tuhan yang wahidul ahad dan inilah sehingga-hingga fana’ dan daripadanya kembali orang yang ‘arif itu kepada baqa’ dan jadi ia mursyid yakni yang menunjukkan muridin
Beza roh dengan jisim ialah roh baqa’ sedangkan jisim fana’. Haqiqat roh – semakin hari semakin kuat. Ini berbeza dengan haqiqat jasad – semakin hari semakin lemah.
Mencari syeikh hukumnya wajib termasuklah dikalangan pembesar-pembesar ulama walaupun mereka telah mencapai tahap mujtahid mutlak. Dalam perjalanan menuju Allah ta’ala, mereka memerlukan seorang Syeikh. Apatah lagi ‘kanak-kanak kecil’ seperti kita yang memerlukan bimbingan seorang Syeikh. Ketahuilah bahawa pengalaman rohani adakalanya menjadi hijab kepada kita. Ini adalah kerana kita menyangka bahawa kita telah sampai padahal tidak. Sebab itulah kita memerlukan seorang syeikh untuk mentafsir apa-apa yang telah berlaku terhadap diri kita. Nabi saw setelah didatangi Jibril ketika berada dalam Gua Hira’ telah meminta nasihat dari Waraqah bin Naufal. Nabi saw menceritakan pengalamannya kepada Waraqah dan Waraqah membenarkan cerita Nabi saw dan berkata bahawa sesungguhnya Jibril telah datang bertemu baginda saw seperti Jibril bertemu para nabi sebelumnya. Pernah suatu hari Sayyidina Ali ra berjalan di kota Madinah dan bertemu dengan orang gila. Sayyidina Ali lantas menghormatinya. Kata Sayyidina Ali ra, Orang ini adalah guru aku kerana telah mengajarkan aku mengenal perbezaan anjing jantan dan betina”. Inilah adab belajar iaitu menghormati guru. Kata Sayyidina Ali, “Aku adalah hamba kepada orang-orang mengajar aku walau satu huruf. Kalau dia mahu dia boleh menjadikan aku khadamnya dan boleh menjualkan aku kepada sesiapa yang dikehendakinya”. Kata Imam Ahmad bin Hanbal, “Manusia bersama syeikh-syeikh mereka”. Andai kata syeikh mereka tidak ada, tidaklah dapat diketahui bagaimana agaknya mereka hendak menumpang hidup. Lihatlah bagaimana hubungan sahabat dengan Nabi saw dan hubungan tabi’in dengan para sahabat. Imam Abdul Aziz ad-Dabbagh berkata, “Seseorang itu tidak mengenal Allah melainkan mereka kenal Rasulullah saw. Seseorang itu tidak mengenal Rasulullah saw melainkan mereka kenal syeikh mereka”. Kata ulama, sesiapa yang lupa pada syeikh mereka maka mereka berada di jurang kebinasaan yang begitu nyata. Ini adalah kerana mereka menjauhkan diri dari pintu Rasulullah saw. Pintu Rasulullah saw adalah syeikh manakala pintu Allah adalah Rasulullah saw. Kata Sayyidina Abu Bakar ra kepada Rasulullah saw, “Aku tidak boleh memutuskan ingatanku padamu walau aku berada didalam tandas sekalipun”. Bertambah rapat hubungan kita dengan syeikh maka bertambah rapatlah hubungan kita dengan Allah (makrifatullah).
Awalim bererti kewujudan alam. Alam ada beberapa jenis seperti alam muluk, alam malakut, alam jabarrut dan alam lahut. Beza alam muluk dengan alam malakut ialah alam malakut hanya boleh dilihat dengan mata hati (basirah) bukannya mata kasar. Kata ulama, apabila satu huruf itu bertambah maka bertambah jugalah makna. Jadi, alam malakut itu bertambah hurufnya berbanding alam muluk maka ia lebih luas dari alam muluk. Ketika Nabi saw turun ke bumi dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj, baginda saw nampak orang memekik dan diselubungi dengan keadaan asap. Kata Jibril as, Itulah keadaan syaitan yang menyelubungi hati-hati manusia. Orang-orang salik tidak memerlukan alam malakut. Mereka tidak mempedulikan kecantikan alam malakut. Bahkan mereka fana’ segala alam yang tersebut untuk melihat Allah.
Kata Syeikh Soleh al-Ja’fari, orang-orang salik akan dibuka gambaran palsu dimana mereka akan menyangka bahawa mereka telah sampai haqiqat makrifat Allah padahal tidak. Ketahuilah bahawa setiap titisan hujan, Allah akan mewakilkannya dengan malaikat. Ketika hujan turun di Masjidil Haram, ada orang yang pergi mengambil air hujan disitu. Kata Sayyid Alawi al-Maliki, “Orang itu mengambil berkat atas berkat”.
[1] Al-Hayy al-Qayyum bererti yang hidup dan yang berdiri.
[2] Maksud disini ialah agar hati Nabi Daud as sentiasa tetap pada Allah Ta’ala
[3] Asar kauniah ialah kesan-kesan makhluk

Syarah I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Ampang pada 24 April 2010
Dalil yang diterima dalam ilmu tauhid ialah dalil qat’ie. Disebut dalil ini sebagai dalil qat’ie kerana ia memutuskan bangkangan orang. Ulama menyatakan bahawa khabar wahid (ahad) tidak boleh dipakai dalam ilmu tauhid. Yang boleh dipakai ialah khabar mutawatir. Menolak hadith mutawatir hukumnya kafir. Cara penyampaian al-Quran dari Nabi saw kepada sahabat kemudian kepada tabi’in seterusnya tabi’ tabi’in sehinggalah ke generasi hari ini adalah secara tawatur. Atas sebab itu, isi kandungan al-Quran adalah disepakati dan disampaikan oleh sahabat yang mutawatir. Sementara hadith disampaikan dalam dua cara iaitu samada ahad atau tawatur. Hadith ahad merujuk kepada hadith yang diriwayat oleh seorang atau dua orang sahabat manakala tawatur diriwayatkan oleh ramai sahabat. Berkenaan dengan hadith ahad, sahabat besar seperti Umar al-Khattab ra akan meneliti terlebih dahulu sesuatu khabar yang disampaikan kepadanya dari Nabi saw. Umar ra akan meminta orang yang menyampaikan khabar itu membawa 4 orang saksi bagi menguatkan keyakinannya. Jika tiada saksi, Umar ra akan meminta orang itu bersumpah dengan nama Allah bagi memastikan khabar itu benar-benar datang dari Rasulullah saw. Hadith yang dimulakan dengan sumpah ini juga disebut sebagai musalsal sumpah (musalsal bil qasam) dimana setiap perawi akan bersumpah dengan nama Allah ketika membacakan matannya. Tujuannya ialah untuk menjaga ketulenan hadith Nabi saw.
Tujuan kita mempelajari ilmu tauhid ialah untuk mengenal sifat Allah dan sifat segala Rasul. Ramai ulama besar menulis kitab tentang sifat Nabi dan Rasul. Antaranya ialah Imam Jalaluddin as-Suyuti yang menulis kita tentang keistimewaan agung yang Allah kurniakan kepada Nabi saw. Tujuan ulama menulis kitab sedemikian ialah untuk memberi panduan kepada umat Islam agar tidak tersalah mensifat para Nabi. Tersalah mensifat Rasul boleh menyebabkan seseorang menjadi kufur kerana ia merendah-rendahkan martabat para Nabi dan Rasul. Ketahuilah bahawa sumber kebahagiaan adalah tauhid yang sahih. Semulia-mulia ilmu adalah ilmu tauhid. Ini adalah kerana dari ilmu tauhid, terbit ilmu-ilmu yang lain. Sebab itulah ayat-ayat terawal yang diturun di Makkah adalah berkaitan dengan ayat-ayat tauhid. Kata ulama, awal agama itu ialah mengenal Allah Ta’ala. Kata Imam al-Ghazali, “Tidak sah ibadat seseorang jika mereka tidak mengenal Allah Ta’ala”. Kata Syeikh Ibrahim al-Laqqani, “Iman orang-orang yang tidak mengenal Allah Ta’ala tidak akan sunyi dari perasaan yang berbolak-balik yakni perasaan ragu-ragu”. Maka atas sebab itu, kita hendaklah mempelajari ilmu tauhid. Ilmu tauhid wajib dipelajari samada bagi yang berkuasa ataupun tidak. Maksudnya semua orang wajib mempelajarinya. Kitab Jauharatut Tauhid yang yang ditulis oleh Syeikh Ibrahim Laqqani adalah kitab asas dalam ilmu ini. Syeikh Ibrahim adalah seorang ulama besar yang pernah bermimpi berjumpa Nabi saw sebanyak 99 kali. Masyaikh Syeikh belajar kitab ini sebanyak 13 kali dan mengkhatamnya. Apabila diminta mengajarkannya, masyaikh syeikh tidak berani kerana bimbang tidak dapat menghuraikan isi kandungannya secara tepat dan pada masa yang sama takut jika anak muridnya tidak dapat memahaminya. Aneh pula pada hari ini, orang-orang yang tidak berkelayakan berani pula mengajar ilmu tauhid. Imam Khatib al-Baghdadi berkata, “Diantara tanda-tanda berlakunya qiamat ialah apabila ilmu diambil dari orang-orang kecil (saghir)". Ulama menafsirkan makna saghir ini sebagai ahli bidaah. Maka ahli bidaahlah yang ramai mengajar ilmu ini pada hari ini sedangkan mereka sebenarnya tidak berkelayakan. Para ulama yang sejati tidak akan menjaja sesuatu ilmu. Ilmu hadith bukanlah boleh diajar secara sesuka hati di merata-rata tempat. Ini adalah kerana ilmu itu mempunyai kemuliaannya. Ulama besar seperti Imam Malik akan menghukum orang yang membaca hadith dalam keadaan berdiri kerana tidak menjaga adab dan kemuliaannya.
Ilmu tauhid perlu diajar oleh orang yang benar-benar ahli tentangnya. Ilmu ini terlalu rumit dan sukar difahami kerana ia bersangkut paut dengan zat dan sifat Allah dan zat dan sifat Rasul. Apabila ilmu ini tidak mampu dikupas oleh orang-orang yang bukan ahli (ahli bidaah) maka mereka berusaha mengubah metod ilmu ini kononnya ilmu ini boleh dipelajari tanpa perlu berguru. Seolah-olah ilmu tauhid ini bukanlah satu ilmu yang memerlukan seorang yang benar-benar ahli untuk mengupasnya. Perkara ini jika dibiarkan berlaku adalah sangat berbahaya kepada umat Islam. Sikap tidak berhati-hati dalam ilmu tauhid boleh menyebabkan seseorang jatuh kufur. Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa orang jahil yang membahas ilmu tauhid lebih berat dosanya berbanding orang yang berzina dan merompak. Maknanya disini ialah ilmu tauhid yang diajar oleh orang yang jahil lebih berbahaya dari perbuatan berzina dan merompak kerana kesalahfahaman ilmu tauhid ini boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur.
Ilmu tauhid mempunyai banyak nama. Kata ulama, banyak nama atau gelaran itu menunjukkan kemuliaannya. Nama Allah begitu banyak sesuai dengan kemuliaan-Nya. Begitu juga dengan nama Nabi saw yang begitu banyak sesuai dengan kemuliaan baginda saw. Begitu jugalah dengan ilmu tauhid yang merupakan ilmu yang paling mulia. Maka tidak hairanlah ia mempunyai nama yang banyak. Sumber ilmu tauhid adalah berasaskan dalil aqli dan naqli. Sewajarnya seseorang itu perlu mempelajari ilmu mantiq sebelum belajar ilmu tauhid. Ada golongan menyatakan bahawa ilmu mantiq ini adalah sesat sedangkan ilmu mantiq adalah pintu (alat) untuk memahami ilmu tauhid. Hari ini ilmu tauhid menjadi rapuh kerana masyarakat tidak mempunyai asas dalam ilmu mantiq. Ilmu mantiq tidak didedahkan disekolah-sekolah. Walaupun ilmu mantiq ini dicetus dari sekolah Greek namun ini tidak bermakna ia tidak boleh dimanfaatkan oleh umat Islam kerana ia memberi pulangan yang besar kepada Islam. Sejarah Islam telah mencatatkan peristiwa bagaimana umat Islam telah menggali parit ketika dalam Perang Ahzab. Penggalian parit ini telah memecah tradisi perang orang-orang Arab yang lazimnya berperang secara berhadapan. Idea menggali parit ini telah dicetuskan oleh Salman al-Farisi yang bukan berbangsa Arab. Idea ini dipersetujui oleh baginda saw. Ini menunjukkan bahawa idea yang baik yang memberi pulangan kepada umat Islam tidak perlu ditolak sebaliknya wajar dimanfaatkan. Orang Islam kemudiannya saling bersaing untuk menjadikan Salman al-Farisi sebagai sebahagian dari ahli keluarga mereka sehinggalah baginda saw akhirnya berkata bahawa Salman al-Farisi adalah termasuk dalam keluarga ahlul bait. Ketahuilah bahawa dalil aqli perlu digunakan khususnya untuk tujuan dakwah kepada orang bukan Islam. Ulama Asya’irah menggunakan dalil aqli yang berasaskan ilmu mantiq/logik untuk berdakwah kepada orang bukan Islam. Dalil ini digunakan kerana orang bukan Islam sudah pasti tidak akan menerima dalil yang berasaskan al-Quran dan Hadith. Dalil yang berasaskan al-Quran dan Hadith dipersembah atau digunakan kepada orang yang sudah mempercayai kebenaran agama Islam dengan tujuan untuk mengukuhkan keyakinan terhadap Islam. Dalil-dalil aqli inilah yang digunakan oleh ulama-ulama besar satu masa dahulu seperti Imam al-Ghazali dan Imam Abu Hanifah yang menyebabkan ramai orang yang tidak percaya kepada Tuhan kecundang ditangan mereka lalu beriman kepada Allah.