Sunday, September 27, 2009

Mafahim Yajibu an-Tusohhah - Disyarah oleh Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 27 September 2009 (disebelah malam). Sebarang kekurangan dalam catatan ini adalah atas kelemahan ana jua.
Mereka yang hidup pada zaman Nabi saw mendakwa bahawa Nabi Muhammad saw pernah bersabda,
“Sesungguhnya Malaikat, Nabi Isa as dan ‘Uzair berada didalam neraka”.
Meka dengan itu, Allah swt menurunkan firman-Nya,
“Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperolehi kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu”. (Surah al-Anbiya ayat 101)
Golongan yang mendakwa Nabi saw menyatakan bahawa Malaikat, Nabi Isa as dan ‘Uzair itu berada dalam neraka tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk mengajak orang-orang Yahudi dan Nasrani supaya tidak beriman dengan Nabi Muhammad saw. Dengan menyebarkan pandangan tersebut maka mereka akan menganggap bahawa Nabi saw mengkafirkan Nabi-Nabi dari kalangan Yahudi (merujuk kepada ‘Uzair) dan nasrani (merujuk kepada Nabi Isa as). Perbezaan orang Islam dengan orang Kristian ialah orang Islam beriman dengan semua Nabi yang diutuskan cuma setiap Nabi itu mempunyai kedudukan dan kemuliaan masing-masing[1] sedangkan orang Kristian hanya beriman dengan Nabi Isa as tetapi kufur dengan Nabi Muhammad saw.
Orang yang berada pada zaman mutakhir ini tidak boleh mencerca orang-orang yang terdahulu. Perbuatan memfitnah, mengutuk dan mengaibkan orang-orang terdahulu khususnya ulama-ulama dahulu adalah perbuatan yang sangat keji. Ada kelompok pada masa ini yang menyangka mereka adalah sarjana besar tidak segan-segan mengkritik ulama-ulama dahulu dengan menyatakan pemikiran ulama dahulu tidak standing dengan mereka. Apakah mereka menyangka keilmuan mereka sudah cukup tinggi jika hendak dibandingkan ulama-ulama dahulu apatah lagi seperti Imam al-Ghazali, Imam as-Suyuthi dan Imam Nawawi? Ulama-ulama jangan dijadikan musuh apatah lagi ulama-ulama yang telah diakui ketinggian ilmunya. Ingatlah bahawa Allah Ta’ala tidak memerangi orang-orang yang berzina atau minum arak sebaliknya memerangi orang-orang yang mencaci dan menyakiti wali-wali Allah. Janganlah kita menyangka apabila kita mempunyai title Dr atau ijazah PhD maka ia sudah boleh dianggap lesen untuk menyerang ulama-ulama terdahulu dengan cara tidak bermaruah. Apakah title Dr atau PhD yang dimiliki hasil pengajian di universiti-universiti yang dipimpin oleh pemuka-pemuka orientalis itu lebih tinggi kedudukannya dari ulama-ulama yang menadah kitab secara bersanad dan bersambung hingga ke Junjungan baginda Rasulullah saw? Kata syeikh, orang yang mengaji dengan orientalis di universiti-universiti Barat itu tidaklah layak untuk mengkritik ulama kerana mereka tidak mempunyai kelayakan dalam bidang mentafsir al-Quran dan Hadith. Kita tidak menyatakan bahawa ulama itu maksum tetapi apabila kita mengkaji hasil tulisan ulama terdahulu, ianya perlulah dilakukan dengan penuh adab. Ini adalah penting supaya orang awam tidak memandang hina kepada ulama. Ada golongan yang suka mencari-cari kesalahan ulama dan memperbesar-besarkan kesalahan ulama sehingga menyebabkan masyarakat mula sangsi dengan kredibiliti ulama tersebut sedangkan kata Syeikh, segala kebaikan yang ada pada ulama itu sudah cukup untuk menghapuskan (kafarah) segala kesalahan yang telah beliau lakukan. Sepatutnya kebaikan-kebaikan ulama itulah yang perlu dicanangkan supaya masyarakat boleh mencontohi segala kebaikan yang dilakukan oleh ulama tersebut. Golongan yang suka membuka aib ulama ini adalah sangat jahat kerana mereka membawa masyakarat berada dalam kekeliruan dan memandang serong kepada kerja ulama. Seperti yang disebut tadi, ulama bukanlah maksum tetapi membuka kesalahan ulama adalah satu perbuatan yang sangat tidak beradab apatah lagi jika menghentam ulama dengan cara yang tidak sewajarnya. Kata Imam Malik ra dan Umar bin Abdul Aziz ra, setiap pendapat itu boleh diterima dan ditolak melainkan kalam empunya kubah itu (dengan merujuk kepada Rasulullah saw). Maksudnya segala pendapat selain dari kalam Rasulullah saw boleh dipertimbang samada diterima atau ditolak tetapi biarlah dengan cara yang beradab apatah lagi jika pendapat itu datangnya dari seorang ulama.
Masyarakat sekarang bukan sahaja tidak segan-segan mengkritik ulama tetapi juga ahli masjid seperti imam, bilal, siak dan sebagainya. Padahal kedudukan imam itu adalah yang ketiga selepas Rasul dan Nabi. Nampaknya masyarakat sekarang tidak mengetahui kedudukan para imam sehingga menganggap bahawa kedudukan imam itu sama tarafnya seperti orang-orang biasa. Ingatlah bahawa imam itu adalah satu anugerah kepada masyarakat setempat. Segala kebaikan yang ada pada imam itu melambangkan segala kebaikan yang ada pada masyarakat dikawasan itu. Ia samalah seperti pemimpin. Pemimpin itu adalah anugerah Allah. Keadilan pemimpin adalah berit-rapat dengan rakyat. Kalau rakyatnya terdiri dari orang-orang saleh maka Allah Ta’ala akan mengurniakan pemimpin yang adil. Kalau rakyat fasiq maka Allah Ta’ala akan mengurniakan pemimpin yang zalim. Kata Imam Abu Hanifah ra, kalau kamu mendapat pemimpin yang zalim maka beristighfarlah banyak-banyak dan mohon taubat kepada Allah agar diampun segala dosa kita. Di zaman Saiyidina Ali menjadi khalifah, ada rakyatnya datang berjumpa dengannya mengadu keadaan masyarakat yang huru-hara. Rakyat membuat perbandingan diantara zaman Ali dengan zaman Nabi saw. Kata Saiyidina Ali, Di zaman Rasulullah saw, rakyatnya seumpama aku tetapi di zaman aku menjadi khalifah ini, rakyatnya adalah seumpama kamu (yakni suka mencari-cari kesalahan orang lain).
Selain suka mencari kesalahan ulama, golongan ini juga suka membidaahkan orang. Sebagai contoh ada menganggap bahawa ulama membesar-besarkan kitab salawat lebih dari al-Quran sedangkan iktiqad ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah tidak pernah menyatakan ada kitab lain yang berkedudukan lebih tinggi dari al-Quran. Contoh lain ialah seperti membaca talqin. Kat Syeikh, golongan yang suka membidaahkan orang ini menganggap bacaan talqin itu sebagai bidaah. Mereka terlupa bahawa ada perkara lain yang lebih besar yang perlu ditegur seperti perbuatan duduk diatas kubur dimana Nabi saw ada menyebut (lebih kurang maksudnya) punggung orang yang duduk atas kubur itu lebih elok dibakar dan perbuatan orang-orang perempuan yang datang kekubur dengan keadaan yang tidak beradab seperti tidak menutup aurat. Kata Syeikh, apakah bacaan talqin itu tidak didengar oleh ahli kubur sedangkan sepatu orang yang meninggalkan kawasan kubur pun dapat didengarinya?
Kata Syeikh sebelum mengakhiri syarah, janganlah kita terlibat dengan kelompok orang yang suka mencerca ulama dan orang-orang yang saleh. Pemerintah yang sangat alim pada satu masa dahulu yang bernama Imam Nuruddin al-Zinki ketika memerintah di Syam sentiasa mempertahankan ulama. Apabila ada orang mencaci ulama, beliau akan berada didepan sekali mempertahankan ulama yang dicaci itu. Katanya, Sesungguhnya ulama itu mempunyai kelebihan/kebaikan yang boleh mengkafarahkan segala kesalahannya. Imam Nuruddin memenjarakan orang-orang yang berani mencaci ulama kerana adalah tidak wajar ulama diaibkan sebegitu rupa. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh pemerintah supaya rakyat tidak sewenang-wenangnya mengkritik ulama dengan cara yang tidak beradab.

[1] Ada Nabi yang dapat berkata-kata dengan Allah Ta’ala dan ada yang diangkat darjat kedudukan mereka.

Periwayatan hadith beserta sanadnya - kitab al-anwar al-nabawiyyah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 27 September 2009 (kuliah dhuha)
Kitab Sunan al-Hafiz Abi Daud
Abi Daud merupakan ulama besar di zamannya. Lidahnya tidak pernah putus menyebut hadith Nabi saw. Pernah satu ketika seorang ulama besar berhajat hendak mengucup lidah Abi Daud. Ini adalah kerana lidah Abi Daud dipenuhi dengan kemuliaan. Lidahnya bersinar kerana sentiasa membicarakan hadith Nabi saw. Kitab hadith yang dikarang oleh Abi Daud ini termasuk dalam Sunan Sittah yakni kitab besar hadith yang enam. Kedudukannya selepas kitab hadith yang dikarang oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim. Kitab ini kemudiannya disyarah oleh ulama-ulama besar selepasnya. Antaranya ialah seperti Imam Saharanfurriy yang mengarang kitab Bazlul Majhud dan Syeikh Yasin Isa al-Fadani yang menulis kitab syarah mencecah sehingga 24 jilid (Kata Syeikh, ada diantara jilid tersebut telah diambil tanpa izin oleh pihak Wahabbi).Hadith yang diriwayatkan pada hari ini adalah berbunyi seperti berikut,
“Aku adalah penghulu (sayyid) anak ‘Adam, Orang yang pertama yang akan dibangkitkan daripadanya oleh bumi, orang pertama yang memberikan syafaat dan orang pertama yang diizinkan memberikan syafaat.”
Nabi saw memanggil dirinya dengan panggilan Sayyid yang bermakna tuan. Jadi bagi kita sebagai umat Nabi saw, adalah sunat memanggil Nabi saw dengan menyertakan panggilan Sayyid. Bagaimana ada orang boleh berkata bahawa panggilan Sayyid ini adalah suatu perkara bidaah sedangkan ia terang-terang adalah sunnah Nabi saw? Orang yang memanggil Nabi dengan panggilan Sayyid akan mendapat pahala kerana ia sunnah. Sebaliknya orang yang tidak memanggil Nabi saw dengan panggilan Sayyid tidaklah berdosa cuma ia termasuk dalam golongan yang tidak disukai. Sahabat memangil Nabi saw dengan panggilan Sayyid maka kita sepatutnya mencontohi sahabat. Amat aneh sikap masyarakat pada zaman ini apabila tidak memuliakan Nabi saw dengan memanggil baginda dengan gelaran yang bersesuaian dengan kedudukan baginda saw. Panggilan Sayyid terhadap baginda saw dikatakan sebagai bidaah sedangkan panggilan Dato, Datin, Tan Sri dan Tun yang menjadi kemegahan masyarakat zaman ini tidak pula dianggap bidaah. Begitu juga dengan majlis pengijazahan yang dilakukan oleh ustaz-ustaz kepada anak muridnya dianggap satu perkara bidaah tetapi ijazah yang disampaikan di universiti-universiti tidak pula dianggap bidaah. Nabi saw adalah penghulu anak ‘Adam. Bagindalah orang yang pertama yang akan dibangkitkan di hari Akhirat. Kata Imam ad-Darimi, Bangkitnya Nabi saw itu akan diiringi oleh 70, 000 malaikat. Selepas Nabi saw dbangkitkan, sahabat besar baginda Abu Bakar akan dibangkitkan, diikuti dengan Umar, kemudian diikuti dengan orang-orang yang dikebumikan di Baqi’, kemudian diikuti dengan orang-orang yang dikebumikan di Ma’la, kemudian diikuti dengan orang-orang yang dikebumikan di Ta’if dan selanjutnya. Salah seorang sahabat besar Nabi saw yang dikebumikan di Baqi’ ialah Uthman bin Affan. Beliau juga adalah merupakan menantu Nabi saw. Nabi saw sangat memuliakan Uthman. Pernah satu hari Abu Bakar datang ke rumah Nabi saw dalam keadaan Nabi saw tidak memakai baju. Langsung dijemputnya Abu Bakar masuk ke rumah. Selepas itu datang pula Umar, juga terus dijemput masuk oleh baginda saw. Selepas itu datang pula Uthman. Nabi saw tidak membenarkan Uthman masuk sebelum baginda mengenakan bajunya. Abu Bakar dan Umar berasa kecil hati kerana dari segi hubungan kekeluargaan, mereka adalah mertua Nabi saw sedangkan Uthman cuma menantu baginda saw. Kata baginda saw, Aku memuliakan Uthman kerana penghuni langit amat malu kepadanya maka aku juga berasa malu dihadapannya. Ada beberapa pengajaran yang boleh didapati disini. Ianya berkaitan dengan adab orang yang berkunjung dan orang yang dikunjungi. Orang yang dikunjungi (tuan rumah) perlu bertanya kepada orang yang datang berkunjung tentang pengenalan diri mereka. Orang yang berkunjung pula mesti mengenalkan diri mereka. Orang yang berkunjung tidak boleh berada di hadapan pintu sebaliknya disisi pintu. Tujuannya ialah memberi masa kepada tuan rumah dan ahli keluarganya untuk bersiap atau mengelak dari terpandang aurat tuan rumah dan ahli keluarganya. Sekiranya pintu tertutup, orang yang berkunjung perlu mengetuk pintu sebanyak 3 kali. Jarak masa untuk setiap ketukan pintu itu ialah kira-kira kadar dua rakaat solat sunat untuk setiap satu ketukan. Ramai orang salah kaedah dimana mereka mengetuk 3 kali sekaligus. Hikmah megetuk pintu dengan kadar begitu ialah untuk memberi masa kepada tuan rumah untuk mempersiapkan diri. Kemungkinan tuan rumah pada masa itu sedang mengerjakan solat atau berada didalam bilik air. Kata Syeikh, Sayyid Muhammad Alawi Maliki jika pulang pada waktu malam dari musafir tidak akan terus ke Makkah. Beliau sebaliknya akan menginap di Jeddah kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya di tengah malam. Begitulah cara orang alim menjaga adab-adab mereka. Begitu juga dengan azan dan iqamah. Azan dan iqamah perlu dijarakkan sedikit supaya memberi masa kepada orang ramai datang ke masjid. Ada ulama berpendapat jarak masa antara azan dan iqamah itu adalah sekitar kadar 4 rakaat solat. Selain itu, adab fiqh masjid juga perlu dijaga. Seorang ulama besar bernama Syeikh Ali Khawas yang menjadi guru kepada Imam Abdul Wahab Sya’rani tidak akan tergesa-gesa datang awal ke masjid. Kata beliau, aku takut jika aku tidak dapat menjaga adab-adab didalam masjid sekiranya aku datang awal. Alim-ulama sangat menjaga adab dalam masjid. Ini adalah kerana Allah Ta’ala melimpahkan rahmat-Nya bagi orang-orang yag menjaga adab dalam masjid. Sebaliknya untuk menjaga adab ini bukanlah mudah. Sekiranya adab tidak dijaga maka penghuni masjid itu tidak akan dirahmati Allah Ta’ala dan inilah yang sangat-sangat dibimbangi oleh para ulama. Guru kepada Imam Abdul Wahab Sya’rani ini dikurniakan ilmu laduni. Gurunya itu sebenarnya bekerja dengan mengambil upah menjahit kasut di hadapan Masjid al-Azhar. Imam Abdul Wahab pula menjadi Syeikhul Azhar pada masa itu. Beliau dianggap pemimpin Mazhab Fiqh dikala itu tetapi suka memandang sinis terhadap orang-orang yang berada diluar Masjid al-Azhar termasuklah gurunya itu.Pada satu hari, gurunya itu menegurnya, Sudahlah Abdul Wahab. Perbetulkan masalah kamu dahulu. Kamu itu hanya menjadi tunggangan isteri kamu bila berada di rumah. Tersentak Imam Abdul Wahab apabila gurunya itu berkata demikian. Memang benar apa yang dikata oleh gurunya itu tetapi bagaimana gurunya itu tahu sedangkan beliau tidak pernah menceritakan perkara itu kepada sesiapa pun. Kata gurunya, Aku tahu apa yang kamu tak tahu. Oleh itu janganlah kamu membanggakan diri dengan ilmu kamu itu. Semenjak dari itu, Imam Abdul Wahab berhajat hendak bergurukan dengan gurunya itu. Gurunya bersedia menerima tetapi memberi syarat yang sangat berat untuk dilaksanakan. Syaratnya ialah beliau perlu membakar kesemua buku karangannya sebelum berguru dengannya. Kata gurunya, Aku tidak mahu engkau bersandar semata-mata kepada kitab sebaliknya aku mahu engkau bersandar semata-mata kepada pemilik kitab iaitu Allah swt.[1]
Seorang lagi ulama besar yang dikurniakan ilmu laduni dizamannya ialah Sayyid Ahmad Badawi. Ulama besar ini telah dituduh menyebar ajaran sesat. Lalu penguasa menghantar ulama untuk menyiasat sejauh mana kebenaran tuduhan itu. Apabila ulama itu bertemu dengan Sayyid Ahmad Badawi, dengan bersahaja Sayyid berkata kepadanya, Sebelum kamu membetulkan aku, betulkanlah dahulu mushaf al-Quran dirumah kamu. Ada kesilapan pada sekian baris di sekian mukasurat… Syeikh yang datang mengunjungi Sayyid Ahmad Badawi terkejut dengan kata-katanya itu. Beliau segera balik ke rumah dan didapatinya apa yang dikatakan oleh Sayyid Ahmad Badawi adalah benar. Sebelum ini, beliau tidak penah perasan sehinggalah diberitahu oleh Sayyid Ahmad Badawi.
Seorang lagi ulama besar dalam ilmu hadith ialah Imam al-Hafiz al-Tirmizi. Beliau berasal dari Tirmiz dan merupakan anak murid kepada Imam Bukhari. Kata sesetengah ulama, mata Imam Tirmizi buta kerana terlalu banyak menangis selepas gurunya, Imam Bukhari wafat. Gurunya, Imam Bukhari adalah ulama besar dizamannya. Kata-katanya menjadi tauladan kepada orang lain. Kata Imam Bukhari, Tidak alim seseorang itu jika ia tidak meriwayatkan ilmu dari gurunya, rakan seperjuangannya atau muridnya. Itulah ciri ulama sejati yang sentiasa berusaha mengambil ilmu tanpa mengira usia dan pangkat. Adakalanya ilmu itu dimiliki oleh mereka yang berusia jauh lebih muda, oleh itu kita perlu berusaha mendapatkannya. Ini juga secara tidak langsung menunjukkan kebesaran Allah Ta’ala bahawa ilmu Allah Ta’ala itu sangat luas sehingga tidak mampu diambil kesemuanya oleh manusia. Kata Syeikh, ulama yang sejati ialah ulama yang tidak hanya pandai bercakap tetapi turut mendengar yakni menambil ilmu dari orang lain. Tanda orang itu celaka sebelum dia dilahirkan lagi ialah apabila dia suka bercakap tetapi tidak suka mendengar. Ulama-ulama yang sangat kasihkan pada Nabi saw akan melazimkan diri mereka dengan mambaca hadith-hadith Nabi saw. Dengan membaca hadith, nur hadith akan mendampingi orang yang membacanya. Kalau kita suka kepada hadith itu menandakan kita mencintai dan mengasihi tuan punya hadith iaitu baginda Rasulullah saw. Janganlah kita berasa jemu atau bosan membaca hadith. Ulama besar betul-betul menjaga adab ketika membaca hadith. Imam Malik pada satu ketika pernah berpeluh-peluh membaca hadith. Setelah selesai membaca hadith, beliau ditegur kenapa beliau jadi begitu. Kata Imam Malik, Aku berpeluh kerana menahan kesakitan yang amat sangat akibat disengat kala jengking sebanyak 16 kali. Aku menahan kesakitan itu kerana aku tidak mahu memutuskan hadith yang aku baca. Begitulah hebatnya para ulama menjaga adab ketika membaca hadith-hadith Nabi saw. Mereka memelihara hadith Nabi saw sedemikian rupa kerana mereka benar-benar mengasihi dan mencintai Nabi saw.

[1] Imam Abdul Wahab Sya’rani bertanya kepada gurunya, Syeikh Ali Khawas,” Apakah yang merosakkan perjalanan rohani ? ” Jawabnya Syeikh Ali Khawas,” Adab “. Ditanya lagi, “ Apakah yang membawa kejayaan rohani ? ”.Jawab Gurunya lagi,“ adab “ .

Sunday, September 13, 2009

Periwayatan hadith beserta sanadnya - kitab al-anwar al-nabawiyyah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Taman TAR Ampang pada 13 September 2009
Secara zahir, hadith yang mempunyai rantaian yang lebih pendek adalah lebih tinggi martabatnya. Sebagai conth, hadith yang mempunyai 10 perawi dalam satu rantaian adalah lebih tinggi berbanding dengan hadith mempunyai 20 perawi dalam satu rantaian. Ini adalah kerana jarak periwayat dalam rantaian lebih dekat dengan baginda Rasulullah saw. Hadith yang lebih pendek rantaiannya disebut ‘ali manakala yang lebih panjang disebut nazil. Walaubagaimanapun sekiranya, 20 perawi itu semuanya sahih-sahih belaka berbanding dengan 10 perawi maka hadith yang diriwayatkan oleh 20 perawi itu adalah lebih kuat. Dalam kitab ini, kebanyakan sanad yang ada didalamnya adalah merupakan periwayat dari negara Syam. Syam merupakan sebuah negara yang diberkati Allah swt. Apabila disebut tentang Syam maka ia meliputi kawasan-kawasan disekitarnya seperti Jordan dan Baitul Maqdis. Termasuk didalam kawasan yang diberkati ini ialah Masjidil Aqsa yang terletak di Baitul Maqdis. Masjidil Aqsa mendapat keberkatan dunia dan akhirat. Yang disebut dengan keberkatan dunia ialah kawasan ini dilimpahkan dengan panorama yang indah, tanaman yang tumbuh subur, sungai dan air yang enak serta suasana yang sangat nyaman. Yang disebut dengan keberkatan akhirat ialah kawasan masjidnya yang dianggap suci. Ini berbeza dengan Masjidil Haram yang hanya memiliki keberkatan akhirat sahaja. Masjidil Haram tidak dianugerahkan dengan keberkatan dunia sebab itulah kawasannya gersang. Sungguhpun demikian, Masjidil Haram dikurniakan keberkatan akhirat yang menjadikan kawasan ini lebih mulia berbanding dengan Masjidil Aqsa. Masjidil Haram menjadi tempat tumpuan utama untuk orang ramai berebut-rebut mencari keberkatan akhirat. Masjidil Haram dan kawasan Makkah menjadi suci dan mulia kerana ia merupakan tempat tumpuan bagi umat Islam mengerjakan ibadat dan menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah. Hikmah Masjidil Haram dan Makkah tidak dianugerahkan keberkatan dunia ialah supaya umat Islam tidak datang kesini untuk tujuan melancong sebaliknya menumpukan perhatian untuk mengerjakan ibadah semata-mata.
Pada masa ini Makkah dan seluruh kawasan Arab Saudi telah diperintah oleh Raja Arab Saudi. Tidak ada satupun negara didunia ini yang dinamakan berdasarkan nama rajanya tetapi di Arab Saudi, nama negara ini diambil bersempena dengan nama rajanya iaitu Raja Saud. Kata Syeikh, Raja Arab Saudi ketika meninggal tidak dikebumikan di Ma’la atau Baqi’ yang merupakan dua tanah perkuburan yang paling suci bagi umat Islam sebaliknya dikebumikan di Riyadh. Kenapa beliau tidak dikebumi di salah satu tanah perkuburan suci itu? Ini adalah kerana ketika hidupnya, beliau mencaci orang-orang soleh dan menganggap sunnah-sunnah Nabi saw sebagai bidaah. Perkuburan Ma’la dan Baqi’[1] adalah dua kawasan perkuburan yang paling suci kerana disinilah isteri-isteri Nabi saw, para sahabat dan kebanyakan wali-wali Allah dikebumikan. Ahli-ahli kubur yang akan dibangkitkan mula-mula sekali selepas Rasulullah saw dan para sahabat besar seperti Umar dibangkitkan ialah Ma’la dan Baqi’ dan Taif dan kemudiannya barulah tempat-tempat lain. Nabi saw juga mensyafaatkan orang-orang yang meninggal di Madinah. Sebab itu ada ulama besar yang telah meninggalkan jawatan lalu berhijrah ke Madinah semata-mata kerana bercita-cita untuk meninggal dunia lalu dikebumikan di Madinah. Diriwayatkan ada seorang ulama besar dari Yaman yang telah melepaskan jawatan Mufti untuk tinggal dan menghabiskan hayatnya di Madinah. Jika tidak berpeluang untuk tinggal di Madinah atau di Makkah maka kita mesti bercita-cita untuk dikebumikan di tempat orang-orang soleh dikebumikan. Walaupun dalam feqah Imam Syafi’i, disebut makruh memindahkan jenazah ke satu tempat yang jauh tetapi dalam soal untuk dikebumikan berdekatan dengan kawasan orang-orang yang soleh maka itu bukanlah satu perkara yang makruh. Berjiran dengan kubur orang-orang yang soleh adalah sangat digalakkan supaya kita mendapat tempias nikmat orang-orang soleh.
Kenapa Imam Shafi’i menyatakan memindahkan jenazah ke tempat yang jauh adalah sesuatu perbuatan yang makruh? Ini adalah kerana perbuatan memindahkan jenazah itu boleh menyakiti jenazah. Kata Syeikh, sedangkan duduk dalam kereta selepas berkhatan pun terasa amat menyakitkan inikan pula dengan keadaan jasad yang baru sahaja melepasi sakaratul maut yang diibaratkan keadaannya seperti dicincang dengan beratus-ratus mata pedang. Oleh itu, perjalanan yang jauh tentu sahaja menyakitkan jenazah. Tetapi seperti yang disebutkan tadi sekiranya niat untuk memindahkan jenazah untuk dikuburkan di tempat terdapatnya orang-orang yang soleh maka itu diperbolehkan. Diriwayatkan pada satu hari, Nabi Isa as dan pengikutnya melewati kawasan perkuburan Sam bin Nuh. Kata pengikutnya, Wahai Nabi Isa, bolehkah kamu menghidupkan Sam anak Nabi Nuh ini untuk menceritakan pada kami tentang keadaan mati? Nabi Isa as lalu menuruti kemahuan pengikutnya. Selepas Sam bin Nuh dihidupkan, beliau menyatakan bahawa kesakitan yang dialaminya akibat dari sakaratul maut masih terasa sehingga sekarang biarpun beliau telah mati kira-kira 5,000 tahun yang lalu. Selanjutnya Nabi Isa as bertanya kepada Sam, kenapa rambutmu beruban sedangkan orang pertama yang beruban ialah Nabi Ibrahim[2] iaitu manusia dari beberapa generasi selepasmu? Jawab Sam, Aku beruban kerana tertekan setelah berjiran dengan kubur orang-orang yang fasik. Setiap hari aku mendengar orang-orang fasik ini menjerit kerana diseksa dan atas sebab itulah aku beruban.
Ulama besar bernama Saiyidina Ibrahim ar-Rasyid dikebumikan di Ma’la. Pemerintah pernah mencuba hendak memindahkan jasadnya ke tempat lain tetapi gagal. Ketika menggali kuburnya didapati jasadnya dalam keadaan seperti sedang membaca al-Quran. Jasadnya lalu dikebumikan semula. Kata Syeikh, banyak lagi karamah wali-wali Allah disembunyikan oleh pihak Wahabbi. Ini adalah kerana mereka tidak percaya dengan perkara-perkara karamah ini. Berbalik kepada cerita Syam tadi, orang-orang Syam dikatakan tidak suka kepada Saiyidina Ali ra sedangkan orang-orang Iraq merupakan penyokong kuat Saiyidina Ali ra. Disebabkan perbuatan orang Syam yang tidak menyukai Ali itu, orang-orang Iraq meminta Ali berdoa agar penduduk Syam dilaknat Tuhan. Kata Saiyidina Ali ra, “Jangan kamu mencderca ahli Syam kerana ramai diantara mereka adalah wali Abdal!”. Maksud Abdal disini ialah berubah atau berganti. Ada kira-kira 40 orang Wali Abdal pada satu-satu masa. Apabila meninggal wali abdal ini, maka ia akan diganti dengan wali abdal yang lain. Disebut abdal juga kerana kumpulan wali ini asalnya terdiri dari orang-orang yang fasiq tetapi kemudiannya berubah akhlak mereka menjadi baik lalu diangkat martabat mereka menjadi orang-orang yang soleh. Contoh golongan ini ialah Ibrahim Adham dan Fudhail bin Ayyad.
Tentang doa amalan bulan Ramadhan yang diijazahkan ini, doa-doa ini adalah merupakan amalan para ulama dan ahli-ahli soleh. Doa-doa yang diamalkan oleh para sahabat dan wali-wali Allah selain dari doa Rasulullah saw adalah merupakan amalan yang tidak bertentangan dengan sunnah bahkan tujuan utamanya tidak lain dan tidak bukan adlaah mendapat restu dari Allah swt. Para sahabat dan wali Allah meminta restu dari Allah swt pada setiap masa dan ketika. Ada golongan yang berpendapat bahawa mengamalkan doa selain dari doa yang diajar Rasulullah saw adalah satu perbuatan bidaah dan tidak termasuk dalam sunnah. Tetapi golongan ini terlupa bahawa Nabi saw tidak pernah mendoakan cucunya Husain dan Hasan berjaya dalam peperiksaan seperti orang sekarang yang mendoakan kejayaan anak-anak mereka dalam peperiksaan UPSR, PMR dan sebagainya. Jika demikian maka perbuatan mendoakan anak-anak agar berjaya dalam peperiksaan seperti yang sering diamalkan oleh orang-orang zaman sekarang harus dianggap bidaah dan tidak mengikut sunnah kerana Nabi saw tidak pernah berbuat demikian. Maka atas sebab itu janganlah kita terlalu cepat mengkritik atau melampaui batas dengan mengatakan ini bidaah dan itu bukan sunnah. Amalan berdoa selagi ia tidak mendatangkan dosa maka ia diperbolehkan bahkan sangat digalakkan walaupun doa itu tidak diajar oleh Baginda saw. Diriwayatkan pernah seorang sahabat bertahmid di belakang Rasulullah saw ketika dalam solat. Sehabis solat, Rasulullah saw bertanya tentang ucapan sahabat tadi. Sahabat tadi berkata, Aku mengucapkan segala pujian-pujian memuliakan Allah swt, adakah itu bersalahan wahai Rasulullah? Rasulullah saw menjawab, Tidak, bahkan lebih dari 30 malaikat berebut-rebut hendak mencatatkan pahala kebaikan kamu. Dalam satu peristiwa lain, Nabi saw memberikan hadiah kepada orang Arab Badwi kerana beliau berdoa kepada Allah swt dengan kata-kata pujian yang sangat indah walaupun doa yang dibacanya itu tidak pernah diajar oleh Nabi saw. Jadi dengan itu jelaslah bahawa ada doa yang tidak diajar oleh Nabi saw tetapi diamalkan oleh para sahabat untuk mendapat restu dari Allah swt.
Tentang amalan Lailatul Qadar, disebut bahawa Nabi saw adalah umpama yaqut yang menghimpunkan permata tentang haqiqat arasy. Nabi saw merupakan tempat kesucian simpanan arasy dan permata makhluk ciptaan Allah Ta’ala dan galian rahsia yang terdapat di Lauh Mahfuz. Tentang maksud ini, Syeikh menghuraikan seperti berikut,
Sesungguhnya diri Nabi saw itu adalah diri yang termulia, paling agung bahkan lebih mulia dari Arasy, Lauh Mahfuz, Kursi dan Baitul Maamur. Ilmu pada Lauh Mahfuz adalah berpunca dari Rasulullah saw. Sebab itu ada disebut dalam qasidah burdah Imam Busiri ra yang menyatakan bahawa segala ilmu di Lauh Mahfuaz adalah merupakan ilmu dari Rasulullah saw. Allah menciptakan sekalian makhluk dengan tujuan untuk berkhidmat dan memberi kemudahan kepada Rasulullah saw. Sebagai contoh, bulan berkhidmat kepada Nabi saw. Apabila Nabi saw mengisyaratkan jarinya ke arah bulan maka bulan pun terbelah. Sayyidina Abbas yang merupakan bapa saudara Nabi saw pernah menyatakan, "Tanda kenabian engkau yang menyebabkan aku berminat masuk Islam ialah ketika engkau masih dalam buaian lagi. Ketika itu, engkau bermain-main dengan bulan. Jari engkau menunjuk ke arah bulan lalu bulan mengikut arah jari engkau." Jawab baginda saw, "Benar katamu wahai bapa saudaraku. Tatkala aku bersedih, bulanlah yang menghiburkan hatiku."
Kata Syeikh sebelum menutup majlis, peristiwa Lailatul Qadar itu tidak akan terzahir melainkan atas kehendak Allah swt. Pada berlakunya peristiwa itu, rahmat Allah swt tersebar luas.


[1] Di Baqi’, seramai 10,000 orang sahabat (termasuk isteri-isteri Nabi saw) telah dikebumikan disini
[2] Manusia pertama yang beruban ialah Nabi Ibrahim as. Banyak sunnah kita mengikut Nabi Ibrahim as. Antaranya ialah seperti berkhatan dan menjamu orang.

Monday, September 7, 2009

Kitab al-Ayatul Mufassolat fi al-Ahadithil Musalsalat - Disyarah dan diijazah oleh pengarangnya Syeikh Muhammad Husni Ginting al-Langkati al-Azhari

*Catatan bebas ana di Pejabat PERSIDAM, Seksyen 13 Shah Alam pada 7 September 2009. Mohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan.
Syeikh menghuraikan tentang latar belakangnya. Ayahandanya bernama Muhammad Hayat. Lahir di Kabupaten Langkat, Sumatera Utara. Dahulunya kabupaten ini berada dalam wilayah yang sama dengan kesultanan melayu tetapi kini terpisah menjadi dua negara berbeza. Kata Syeikh, ramai ulama besar lahir di Langkat khususnya ulama yang beraliran tariqat Naqsyabandiah Khalidiyyah. Pujangga ternama yang bernama Tengku Amir Hamzah juga berasal dari wilayah ini. Pusara Tengku Amir Hamzah ini terletak di Tanjung Pura, Langkat. Syeikh lahir pada tahun 1400 Hijriyyah dan kini berusia 30 tahun mengikut kiraan kalendar Hijriyyah. Syeikh pernah mendapat pendidikan di Sekolah Mustafawiyyah di Mandailing. Sekolah ini dibuka pada tahun 1912 Masehi. Pengasasnya merupakan anak murid kepada ulama besar Makkah iaitu Syeikh Mukhtar Atarid dan Syeikh Khatib Minangkabau. Pengasas sekolah ini juga pernah mengajar di Masjidil Haram. Syeikh lalu berangkat ke Mesir untuk melanjutkan pengajian dan pada masa yang sama turut mengikuti pengajian di Makkah sewaktu musim haji. Kini Syeikh menetap di Mesir. Kata Syeikh ketika mengupas hadith musalsal bil awwaliyyah, seorang guru yang pertama sekali perlulah membacakan hadith musalsal bil awwaliyyah untuk memberikan kasih sayang antara guru dengan anak muridnya. Dengan cara itu , barulah guru akan memberi ilmu dengan seikhlasnya. Kenapa murid sekarang tidak belajar dengan ikhlas? Salah satu sebabnya ialah kerana tidak ada kasih-sayang. Sang guru pada waktu ini rata-rata mengajar kerana duit manakala murid pula belajar semata-mata kerana berkehendakkan sijil dan kelulusan. Ini berbeza dalam sistem pondok. Dalam sistem pondok, guru tidak mengajar kerana mengharapkan balasan duit manakala anak murid tidak belajar kerana mengharapkan balasan sijil dan kelulusan. Guru dan murid mengajar dan belajar kerana ikhlas terhadap ilmu. Kata Syeikh, sistem pondok ini jangan diabaikan. Ramai orang terlupa bahawa sistem pondok inilah yang telah membebaskan negara dari dijajah dan tidak terpengaruh dengan nilai-nilai sistem Barat. Sebenarnya kasih-sayang ini bukan hanya antara guru dengan murid tetapi dengan semua orang. Dengan cara itu, barulah Allah Ta’ala mengasihi kita. Dalam hadith musalsal bil awwaliyyah ini, syeikh menyebut beberapa biografi periwayat. Kata Syeikh, amat penting menyebut biografi periwayat ini kerana semua periwayat yang ada dalam rantaian sanad ini adalah alim-alim belaka. Beliau memetik kata setengah ulama yang menyatakan seperti berikut,
“Ingatlah, Sesungguhnya dengan menyebut nama-nama orang yang saleh akan menurunkan rahmat Allah Ta’ala”
Antara nama periwayat yang disebut oleh Syeikh ialah
1. Syeikhuna al-Allamah al-Musnid Ahmad Damanhuri bin Arman al-Bantani – Beliau wafat pada tahun 1426 H. Kuburnya terletak di Ma’la berdekatan dengan kubur Syeikh Yasin Fadani. Beliau selalu menghadirkan diri dalam majlis ilmu Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki. Walaupun dalam keadaan sakit , beliau tetap datang untuk mengaji dengan Syeikh Muhammad Alawi.
2. Allamah Musnid Husin Abdur Rahim al-Falimbani – Beliau datang ke Makkah sewaktu usianya 7 tahun dan terus menetap di Makkah. Kata Syeikh, ulama besar ini masih hidup.
3. Allamah Musnid Muhammad Husni Tamrin Ja’fari al-Banjari al-Indonesi al Makki – Beliau merupakan murid khusus Syeikh Yasin Fadani. Beliau pulang ke Kalimantan untuk mengantikan Kiyai Ijai. Kata Syeikh, ulama besar ini masih hidup.
4. Allamah Muhaddith Asy-Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh al-Qahari – Beliau mengkhatam kutubusittah. Beliau menolak fahaman Wahabbi dan kesannya beliau dikeluarkan dari Makkah.
5. Allamah al-Muhaddith Muhammad bin Muhammad Awamah al-Halbi – Beliau merupakan ulama muhaddith di Madinah. Beliau merupakan anak murid kepada ulama besar Syeikh Abu Fattah al-Ghudah.
6. Allamah al-Muhaddith Musnid Asy-Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani al-Makki – Beliau lahir pada 1315 H dan wafat pada 1410 H. Beliau memiliki banyak karamah. Kata Syeikh, beliau digelar As-Suyuthi pada zamannya. Ini adalah kerana beliau menghasilkan karya dalam semua lapangan ilmu. Beliau meriwayat banyak hadith dari ramai ulama dan ramai pula yang meriwayat hadith darinya.
7. Asy-Syeikh Abu Abdullah Muhammad bin Ali as-Sanusi – Kata Syeikh, keturunan Syeikh ini pernah menjadi raja di Libya sebelum dijatuhkan oleh Muammar Gaddafi. Kata Syeikh lagi, ratu terakhir kerajaan ini masih lagi hidup bernama Fatimah. Beliau merupakan satu-satunya ratu yang masih hidup dan meriwayat hadith. Kata Syeikh, sangat elok berjumpa dengannya jika berkunjung ke Madinah bagi meriwayatkan hadith yang tarafnya ‘ali al-awwali.
8. Al-Hafiz As-Sayyid Abu Al-Faid Muhammad al-Murthada az-Zabidi – Merupakan ulama besar yang hafiz dan mengamalkan tariqat. Beliau berpegang kepada mazhab Hanafi dan meninggal dunia kerana penyakit taun. Makamnya terdapat di Mesir.
9. Asy-Syeikh Abul Mahasin Muhammad bin Khalil al-Qauqoji – Beliau merupakan musnid Syam. Wafat pada tahun 1305 H dan dikuburkan di Ma’la.
Hadith musalsal yang kedua agak istimewa kerana ia mengandungi dua musalsal dalam satu hadith. Pertama, musalsal dari segi periwayatnya yang semuanya mashab Syafi’iyyah dan kedua, musalsal dari segi periwayatnya yang terdiri dari ulama fuqaha’. Antara nama ulama besar yang dikupas secara ringkas oleh Syeikh ialah
1. Al-Musnid al-Faqih As-Sayyid Abdur Rahman bin Ismail bin Yahya bin Amar al-Ahdal – Beliau merupakan ulama besar yang berasal dari satu kawasan yang bernama Ahdal di Yaman. Kata Syeikh, Ahdal dikenali sebagai tempat yang banyak melahirkan ulama-ulama besar dari Yaman.
2. Ibn Hajar al-Asqalani – Beliau mrupakan ulama besar yang sangat alim sehingga setengah ulama menyatakan bahawa tidak ada satu kesalahan pun tercatat dalam kitab karangannya yang sangat masyhur iaitu Fathul Bari. Bahkan puak Wahabbi yang lazimnya gemar mengkritik karya ulama mazhab ASWJ juga tidak dapat mencari sebarang kesalahan didalam kitab Fathul Bari itu.
Beberapa perkara lain yang turut disampaikan oleh Syeikh ketika mengijazahkan hadith musalsal yang lain;
1. Tentang penambahan perkataan Sayyidina dalam bersalawat atau membaca doa maka ia sangat digalakkan. Kata Syeikh, ia berkaitan dengan adab. Menambah Sayyidina itu adalah adab kita dengan Rasulullah saw. Apabila adab kita terjaga maka secara automatik syarak juga akan terpelihara.
2. Ketika mengijazah hadith musalsal memakai serban, kata Syeikh, eloklah melazimkan diri dengan memakai serban. Kerana dengan memakai serban itu boleh menghilangkan perasaan riak dalam diri.
3. Kata Syeikh, walaupun seseorang itu menghafal al-Quran tetapi adalah lebih baik jika ia melihat mushaf al-Quran. Ini adalah kerana dengan melihat mushaf, ia akan dapat ganjaran pahala memegang dan melihatnya.
4. Ketika mengijazahkan hadith musalsal memegang kepala sambil mengkhatam surah al-Hasyr, kata Syeikh, dengan memegang kepala ini, Insyallah ia akan menjadi penawar atau ubat bagi segala penyakit kecuali mati.
5. Ketika mengijazah hadith musalsal bi sufiyyah, Syeikh berpesan tentang kepentingan menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu adalah satu fardhu. Jadi bagi seorang sufi, menuntut ilmu itu adalah satu kewajipan dan hendaklah ia menuntutnya dengan bersungguh-sungguh. Ilmu yang dituntut hendaklah diambil dari para ulama.

Sunday, September 6, 2009

Hadith-Hadith musalsal berkaitan al-Quranul Karim - Disyarah dan diijazah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 6 September 2009

Hadith musalsal terlalu banyak jenisnya. Ada yang diriwayatkan oleh baginda saw dalam keadaan berdiri maka seperiwayat lain pun begitu juga. Ada yang diriwayat oleh baginda saw dengan cara menggenggam janggut, ada yang meletakkan tangan di atas kepala dan sebagainya maka seperiwayat lain pun perlu mengikut teknik dan cara yang diriwayat oleh baginda saw itu bagi menyampaikan silsilah sanad kepada baginda saw. Kita kena tahu teknik atau cara bagaimana Rasulullah saw meriwayatkan sesuatu hadith kepada para sahabat. Ada juga hadith yang bersandarkan perbuatan Nabi saw misalnya dengan memasukkan manisan kedalam mulut sahabat. Ada pula yang diriwayatkan berasaskan ucapan tertentu misalnya ucapan baginda saw seperti "Aku kasih akan engkau" atau yang diriwayatkan dengan cara menyampaikan ayat-ayat tertentu. Ada juga yang berasaskan masa atau peristiwa tertentu misalnya ketika hari raya atau hari asyura. Hadith ini boleh dibaca pada hari-hari lain tetapi untuk meriwayatkannya bagi menyambungkan salasilah kepada baginda saw maka ia perlulah dibaca pada waktu yang disebutkan itu. Ada juga yang berasaskan tempat misalnya musalsal yang diriwayat oleh ahli Makkah atau ahli Madinah. Maksud diriwayat oleh ahli Makkah atau ahli Madinah ialah periwayat itu berada di Makkah atau di Madinah ketika meriwayat hadith tersebut. Musalsal ini disambung dari satu generasi ke generasi berikutnya hinggalah sampai kepada kita pada hari ini. Hadith yang mula-mula dibaca pada hari ini ialah hadith ar-rahmah al-musalsal bil awwaliyyah maksudnya hadith galakan berkasih-sayang, musalsal riwayat yang pertama. Bil awwaliyyah maksudnya ialah hadith yang pertama kali kita dengar pada hari ini pada ketika bertemu dengan guru lalu dimulai dengan hadith ini, tidak dengan hadith-hadith lain. Hadith sebegini disebut hadith bil awwaliyyah haqiqi. Adapun jika hadith ini pernah diperdengarkan oleh guru kita di tempat-tempat lain tetapi ditempat ini, ia baru pertama kali diperdengarkan maka hadith ini disebut hadith bil awwaliyyah idhafi. Setiap kali apabila kita meriwayatkan hadith ini maka kita hendaklah menentukan samada ianya haqiqi atau idhafi. Syeikh telah menerima hadith yang pertama ini dari beberapa orang masyaikh (sekitar 40 orang) samada secara haqiqi atau idhafi, secara sama' yakni mendengar, riwayah yakni guru membaca hadith dan penerima mendengarnya, qira'ah yakni penerima membaca hadith didepan guru, munawalah yakni hadith diambil dari isi kitab tanpa dibaca hadith tersebut dihadapan guru dan ijazah yakni hadith yang diijazah oleh guru. Dalam rantaian sanad hadith pertama ini, semua masyaikh menyebut bahawa inilah hadith yang pertama didengar dari gurunya maka sebab itulah hadith ini digelar musalsal bil awwaliyyah. Salah satu nama besar yang terdapat dalam rantaian sanad hadith ini ialah Syeikh Hasan Masyat. Setelah wafat, beliau dikebumikan di kawasan perkuburan al-Ma'la yang juga merupakan kawasan pemakaman Sayyidah Khadijah ra. Telah menjadi kebiasaan kerajaan Arab Saudi iaitu dalam tempoh tertentu, jasad-jasad yang telah dikebumi di situ akan dipindah ke tempat lain. Ketika kubur Syeikh Hasan digali didapati jasadnya masih utuh. Mana-mana jasad yang didapati masih utuh setelah digali tidak akan dipindah ke tempat lain sebaliknya kekal dimakam di situ. Jasadnya utuh kerana ketika hayatnya beliau melazimkan dirinya dengan mengkhatam al-Quran sebanyak mungkin. Beliau juga adalah seorang hafiz. Begitu juga dengan jasad Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki yang menghafaz al-Quran sejak usianya 7 tahun. Jasadnya kekal dimakam di kawasan pemakaman al-Ma'la. Tokoh berikutnya yang namanya terdapat dalam rantaian sanad hadith ini ialah Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori. Beliau merupakan Syeikhul Islam mazhab Syafi'i. Ketika menuntut ilmu, jika beliau tidak mempunyai wang maka beliau akan menjadikan kulit-kulit tembikai sebagai makanannya untuk meneruskan hidup. Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori menuntut ilmu bukanlah untuk mencari kesenangan atau kekayaan dunia tetapi untuk meneruskan perjuangan ulama' dalam usaha menjaga umat Nabi Muhammad saw supaya umat tidak berada dalam kesesatan. Pernah suatu hari, Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori didatangi oleh seorang buta. Orang buta ini memohon didoakan oleh Syeikh Zakaria al-Ansori agar menyembuhkan penyakit butanya dengan tujuan memudahkannya beribadat. Syeikh Zakaria bersetuju tetapi dengan syarat orang buta itu tidak kembali semula ke kampungnya selepas sembuh. Syeikh Zakaria tidak membenarkan orang buta itu kembali ke kampung kerana bimbang orang buta itu akan menghebahkan kepada penduduk kampung tentang doanya yang telah dimakbulkan Tuhan. Begitulah tawaduknya wali-wali Allah yang tidak mahu diri mereka dibesar-besarkan oleh orang ramai. Dengan diizinkan Allah Ta'ala, penyakit buta orang tersebut akhirnya sembuh setelah di doa oleh Syeikh Zakaria. Malangnya, orang buta itu tidak patuh pada syarat tersebut. Hatinya begitu kepingin untuk pulang ke kampung. Akhirnya sebaik beliau menjejakkan kaki di kampung, matanya kembali menjadi buta. Tokoh besar berikutnya ialah Imam Ibn Hajar al-Asqalani. Pada hari kewafatan beliau, ada ulama bermimpi tentang perihal orang yang akan membuka pintu maqam Rasulullah saw. Dalam mimpinya, beliau melihat Imam Ibn Hajar membuka pintu tersebut. Sebaik terjaga dari tidur, beliau mendengar berita kewafatan Imam Ibn Hajar. Berpandukan dari mimpi tersebut, tahulah beliau bahawa Imam Ibn Hajar telah berpindah ke alam baqa' lalu berhimpun dengan Rasulullah saw. Ulama besar seterusnya ialah Sufian bin Uyaynah. Beliau merupakan ulama Hijjaz yang mengekalkan tradisi ulama di zamannya. Dalam hadith yang pertama ini, maksud hadith menyuruh kita berkasih-sayang. Maksud berkasih-sayang ialah kita tidak mencaci atau mengeji orang yang jahil dan fasiq sebaliknya kita menarik mereka ke arah kebaikan dan mendoakan mereka agar mendapat hidayah Allah Ta'ala. Inilah sifat sejati orang yang menuntut ilmu. Hadith kedua ialah berkaitan dengan ucapan perkataan 'a'uzubillah hi minash shaitan nir rajim yang diucap oleh setiap perawi dalam hadith ini. Salah satu nama besar dalam rantaian sanad hadith ini ialah Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani. Beliau berasal dari Padang, Indonesia. Gurunya berjumlah sekitar 1000 orang. Beliau digelar musnid dunya kerana banyak menghimpunkan hadith termasuklah sanadnya. Pada satu hari Jumaat, beliau bermimpi bertemu Rasulullah saw. Jumaat berikutnya, beliau meninggalkan alam yang fana' dan berpindah ke alam baqa'. Satu lagi nama besar yang disebut dalam rantaian sanad hadith kedua ini ialah Imam as-Suyuthi. Ketika selesai mengajar di Mesir, salah seorang anak muridnya memberitahunya tentang hajatnya yang terlalu ingin melihat Kaabah. Imam as-Suyuthi meminta anak muridnya berpaut di belakang badannya. Anak muridnya memejamkan mata tetapi pada masa yang sama mendengar bunyi tapak kaki gurunya itu. Sebaik sampai pada bunyi tapak kakinya yang ketujuh, beliau membuka matanya dan alangkah takjubnya apabila mendapati dirinya berada betul-betul di depan Baitullah. Anak muridnya langsung mengerjakan umrah dan bertawaf di depan Baitullah. Imam as-Suyuthi tergolong dalam orang-orang yang terpilih. Bumi dilipat dengan izin Allah bagi mereka yang menjadi pilihan Allah Ta'ala sebagaimana bumi dilipatkan oleh Allah Ta'ala dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad saw. Maksud bumi dilipat ialah perjalanan dari satu tempat ke satu tempat menjadi sangat singkat dengan izin Allah Ta'ala. Syeikh turut menyelitkan kisah Umar al-Khattab, sahabat besar Nabi saw yang terkenal dengan kezuhudannya dan keadilannya. Pada satu hari gempa bumi berlaku di Madinah. Umar menghentak kakinya ke bumi seraya berkata, "Apakah aku ini tidak cukup adil?" Sebaik Umar selesai berkata maka bumi pun menjadi senyap. Seorang ulama pernah bermimpi berjumpa Umar setelah Umar wafat. Dalam mimpinya, beliau bertanya Umar, Apa yang dikurniakan Allah kepada engkau?" Jawab Umar, Allah Ta'ala mengurniakan nikmat padaku di alam barzakh. Umar al-Khattab ketika hidupnya adalah seorang yang sangat zuhud. Bajunya hanya sehelai dan terdapat 12 tampalan pada bajunya. Beliau juga sangat mencintai makhluk Allah termasuklah haiwan. Pernah suatu hari beliau melihat seekor burung kecil dipermainkan oleh kanak-kanak. Kerana terlalu kasihankan burung itu, Umar segera melepaskan burung itu. Kata Umar, Dengan sebab inilah, aku dianugerahkan nikmat di alam barzakh. Sebab itulah kita tidak boleh memperkecilkan sesuatu kebaikan walaupun kebaikan itu pada zahirnya sangat kecil kerana rahmat dan redha Allah Ta'ala itu terlalu luas dan boleh berlaku pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja. Janganlah kita menghina atau memandang rendah sesuatu kebaikan walaupun kecil kerana rahmat dan redha Allah Ta'ala itu tetap ada bersamanya. Dalam hadith yang ketiga yang berkaitan dengan musalsal membaca surah al-Fatihah, antara nama besar yang terdapat dalam rantaian sanad ialah Ubai bin Ka'ab. Ubai bin Ka'ab adalah sahabat Rasulullah saw yang sempat bertalaqqi dengan Nabi Muhammad saw sebelum baginda wafat. Beliaulah orang terakhir yang membentangkan al-Quran dan membacanya di hadapan Nabi saw. Atas sebab itu, Khalifah Umar al-Khattab meminta beliau menjadi imam solat tarawih. Kealiman beliau juga diakui oleh sahabat besar yang lain termasuklah Abdullah bin Abbas yang sangat alim dalam bidang tafsir. Abdullah bin Abbas pernah bertalaqqi dengan Ubai bin Ka'ab. Hadith yang keempat ialah musalsal membaca surah as-Saf. Membaca surah ini adalah satu amalan yang disukai Allah Ta'ala.