Monday, April 19, 2010

Kitab Penawar Hati - Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam

Catatan bebas ana di Masjid Al-Mukarramah pada 17 April 2010
Hadith berkaitan Mahkamah Qadhi Rabbun Jalil
Daripada ‘Adiy bin Hatim ra berkata, Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada seorang jua pun diantara manusia ini kecuali (pada hari qiamat nanti) akan dipercakapi oleh Allah swt (dihadapkan ke Mahkamah Allah swt). Maka pada waktu itu tidak ada orang lain yang sanggup menjadi jurubicara antara keduanya (sebagai orang yang ketiga atau peguam). Lalu orang yang dipercakapi oleh Allah swt tadi akan melihat ke sebelah kanannya maka ia tidak melihat melainkan hanya pahala kebaikan yang pernah ia lakukan ketika berada di dunia dahulu. Dan apabila ia cuba melihat ke sebelah kiri maka ia tidak melihat kecuali hanya balasan perbuatan jahat yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dahulu . Kemudian apabila ia melihat ke hadapan maka ia tidak melihat kecuali hanya api neraka. Maka tanamkanlah rasa takut terhadap api neraka dan jauhilah seksaannya walaupun kalau kamu hanya mampu bersedeqah dengan sebelah buah kurma sahaja”. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim
Hadith berkaitan Berenang di Lautan Peluh
Daripada Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah sar bersabda, “Seluruh manusia akan berdiri di hadapan Tuhan Pencipta Alam ini (pada hari qiamat nanti), sehingga salah seorang di antara mereka ada yang akan tenggelam didalam peluhnya sendiri sampai ke pertengahan telingannya.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Martabat seseorang berbeza-beza mengikut amalan masing-masing. Suasana dihari qaiamat adalah sangat panas. Kata Syeikh, dikata orang bahawa dunia sekarang panas. Jika dari sudut pandangan saintifik, panasnya dunia ini dikaitkan dengan pemanasan global. Tetapi jika mengikut pandangan rohaniah, panasnya dunia ini adalah kerana dosa-dosa manusia. Bahang panas ini tetap terasa walaupun dunia disirami hujan. Ketika dunia hampir kiamat, tiupan sangkakala akan berlaku dua kali. Tiupan pertama akan mencengangkan seluruh manusia manakala tiupan kedua akan mematikan semua makhluk kecuali 10 perkara antaranya sulbi manusia yang sebesar biji gandum. Tiupan kedua ini mengakhiri kisah dunia. Apabila tiupan ketiga berlaku, semua manusia akan dihidupkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar.
Ada 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah Ta’ala yakni dibawah naungan Arasy-Nya yang mulia
1. Pemimpin yang adil
2. Pemuda yang rajin beribadat
3. Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid
4. Orang yang mencintai sahabatnya kerana Allah Ta’ala
5. Lelaki yang digoda untuk berzina tapi ia menahan diri
6. Orang yang menyembunyikan sedeqahnya
7. Orang yang mencucurkan air matanya kerana takut kepada Allah Ta’ala
Kata syeikh, penyakit akhir zaman ialah apabila orang suka kepada benda-benda yang melalaikan seperti menonton TV. Badan menjadi cergas apabila menonton TV tetapi lemah apabila mengikuti pengajian agama. Dunia akhir zaman juga menyaksikan bagaimana lorong-lorong maksiat terbit dengan banyaknya. Jika kita berjaya menahan diri dari melalui lorong-lorong ini, Insyallah kita akan akan dinaungi Allah Ta’ala ketika hari Akhirat kelak. Zina terbahagi kepada banyak peringkat bermula dari zina mata, zina telinga hinggalah ke zina kemaluan. Sebab itulah agama Islam melarang umatnya mendekati zina (maksudnya dari peringkat awal lagi) kerana dikhuatiri akan sampai ke perbuatan terkutuk yang dilarang dalam agama. Pengaruh TV sangat dahsyat. Adakah seseorang itu boleh khusyuk dalam ibadah selepas menonton TV (menonton cerita yang melalaikan dan penuh dengan maksiat)? Pasti ingatan akan terawang-awang kepada jalan cerita TV yang ditontonnya tadi. Sebab itu, disebut bahawa TV ini adalah satu gangguan yang berupa ‘jenayah’ kerana ia boleh mencabut khusyuk dan nikmat munajat. Sabda Nabi saw, Barangsiapa terlihat kecantikan perempuan lalu ia berpaling maka pastilah Allah akan menambahkan khusyuk dalam munajat dan manis dalam iman. Tentang 7 golongan yang mendapat naungan Arasy, Allah Ta’ala membuka peluang kepada semua umat Islam tidak kira dalam apa jua profesi. JIka dalam pemerintahan, sekiranya ia memerintah dengan adil maka pasti ia mendapat naungan Allah Ta’ala. Begitu juga bagi orang miskin yang tidak menjadi pemerintah tetapi disebabkan ia menangis kerana takutkan Allah Ta’ala maka ia juga akan mendapat naungan Allah Ta’ala di hari Akhirat kelak. Orang yang cinta kepada seseorang yang boleh membawanya ke jalan Allah akan mendapat naungan Arasy. Seorang sahabat bernama Sauban ra kelihatan sakit sehingga ditegur Rasulullah saw. Beliau menyatakan bahawa beliau bimbang tidak akan dapat duduk bersama-sama dengan Rasulullah saw didalam syurga (kerana kasihnya pada Rasulullah saw sangat mendalam). Lalu kata Rasulullah saw, Engkau tidak akan kehilangan pandanganmu terhadap diriku.
Hadith berkaitan Kedalaman Jurang Api Neraka
Daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata, Adalah kami (pada suatu hari) bersama-sama dengan Rasulullah saw, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh dengan keras, lalu beliau bersabda, “Tahukah kamu suara apakah ini?” Kami menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui”. Lalu Nabi saw bersabda, “Ini adalah suara sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak 70 tahun yang lalu, maka batu itu terus saja jatuh menuju dasar neraka dan baru pada saat ini ia sampai ke dasarnya. Maka dari itu kamu mendengar suara jatuhnya”. Hadith riwayat Muslim.
Tidaklah dapat dibayangkan tempat kemurkaan Allah Ta’ala yang dalamnya sedemikian rupa. Api neraka yang paling ringan panasnya pun boleh mendidihkan otak di kepala apatah lagi api neraka yang paling panas. Neraka bukan sahaja dalam tetapi sangat luas. Keistimewaan umat Nabi Muhammad saw ialah kesemua umat Nabi saw layak untuk masuk ke dalam syurga kecuali mereka-mereka yang tidak dikehendaki Allah Ta’ala. Kepada umat Nabi saw, rahmat Allah mendahului kemurkaan-Nya. Sesungguhnya orang-orang di kalangan umat Nabi saw yang tidak mengambil peluang untuk membuat persediaan masuk ke syurga Allah adalah orang-orang yang sangat rugi. Sebab itulah di akhirat kelak, para malaikat berasa hairan melihat adanya di kalangan umat Nabi saw yang tidak merebut peluang yang disediakan kerana keistimewaan yang diberikan kepada umat Nabi saw begitu banyak. Umat Nabi saw diberi kelebihan malam Lailatul Qadar, solat sunat isyraq yang ganjarannya seumpama pahala haji dan umrah yang sempurna dan sebagainya. Sehinggakan ketika peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Nabi Musa as sendiri pun teringin hendak menjadi umat Nabi Muhammad saw kerana keistimewaan yang diberikan Allah ke atas umat ini tidak terkira banyaknya. Mengikut aqidah ASWJ, kelompok manusia di hari Akhirat kelak terbahagi kepada 3 iaitu
1. Yang pasti masuk syurga – Para Nabi dan Rasul dan orang-orang yang telah disebut namanya sebagai ahli syurga.
2. Yang pasti masuk neraka – Golongan yang telah disebut namanya dalam al-Quran sebagai penghuni neraka seperti Firaun, Abu Lahab dan sebagainya.
3. Yang tidak tahu ketentuannya - Kelompok manusia yang akan ditimbang amalannya terlebih dahulu. Keputusan akhirnya terserah kepada Allah Ta’ala. Kalau Allah memaafkannya maka itu adalah atas adil-Nya dan kurnia-Nya kepada orang itu dan orang itu akan dimasukkan ke dalam syurga berdasarkan amalannya.
Hadith berkaitan majoriti penghuni syurga dan neraka
Daripada Ibnu Abbas ra dan ‘Imran bin Hushain ra daripada Nabi saw, sabdanya, “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan orang-orang yang faqir. Dan aku melihat ke dalam neraka maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada golongan perempuan. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Antara kelompok terawal yang akan masuk syurga ialah kelompok fuqara muhajirin yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dalam keadaan sehelai sepinggang. Ada juga sahabat yang hidupnya sehelai dua pinggang. Maksudnya, kain yang digunakan oleh si suami turut digunakan oleh si isteri. Kisahnya, ada sahabat yang tergesa-gesa pulang ke rumah setelah selesai mengerjakan solat jemaah. Ini adalah kerana dia hendak memberikan kain yang dipakainya kepada isterinya pula untuk menunaikan solat. Para sahabat hidup dalam keadaan faqir kerana tidak mahu terlalai dari mengerjakan amal ibadat. Mus’ab bin Umair adalah seorang sahabat yang syahid dalam Perang Uhud. Beliau adalah salah seorang dari tiga sahabat besar yang gugur dalam Perang Uhud dimana ketiga-tiga nama ini akan disebut dan diberi salam oleh penziarah yang datang berkunjung ke kawasan pemakaman syuhada Perang Uhud. Selain beliau, dua orang lagi ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan Abdullah bin Jahsy. Ketika Perang Uhud berlangsung, Mus’ab memegang panji tentera Islam. Ketika jenazahnya di tempat perbaringan, Rasulullah saw merasa belas apabila melihat keadaan jenazahnya. Kainnya tidak dapat menutupi keseluruhan badannya. Apabila kainnya ditarik ke bawah, mukanya kelihatan dan bila ditarik ke atas, kakinya pula kelihatan. Akhirnya Rasulullah saw memerintahkan agar mukanya ditutup dengan kain manakala kakinya ditutup dengan daun-daun. Rasulullah saw teringat kehidupan Mus’ab ketika Mus’ab belum memeluk Islam. Pada ketika itu, Mus’ab hidup dengan bermewah-mewahan. Beliau seorang yang kacak dan penuh bergaya. Ia memakai wangian yang mahal-mahal sehingga bau wangiannya dikenali oleh orang lain tatkala dia melalui sesuatu kawasan. Apabila selendangnya terjatuh, beliau tidak akan mengutipnya sebaliknya dibiarkan orang lain mengambilnya. Apabila dia memeluk Islam, dia diberi kata dua oleh ibunya samada hendak menuruti Nabi saw tetapi tidak akan diberikan lagi segala kemewahan atau tinggal bersama ibunya dan segala kemewahan akan terus menjadi miliknya. Beliau memilih untuk bersama dengan Nabi saw.
Sahabat pernah berkata kepada Nabi saw, Mungkin dimasa akan datang umat Islam akan semakin rajin beribadat kerana ada banyak kemudahan. Jawab baginda saw, “Tidak, bahkan kamulah yang paling rajin beribadat.” Kemudahan jika disalahgunakan hanya akan melalaikan manusia dari melakukan amal ibadat. Orang yang lalai mencari kekayaan dunia akan menghambat dunia sehingga akhirnya menyesal kerana tidak berkesempatan membuat amal ibadat tatkala ajal datang menjemput. Di hari Akhirat kelak, apabila orang terakhir dikeluarkan dari neraka maka malaikat akan mengumumkan bahawa pintu neraka akan ditutup rapat. Selepas itu penghuni neraka akan mengalami dua seksaan iaitu seksaan zahir dan seksaan batin. Seksaan batin yang dimaksudkan ialah hati mereka hancur lebur kerana tidak ada harapan lagi hendak memasuki syurga. Majoriti orang yang masuk neraka adalah kerana mereka tidak menjaga dua perkara iaitu mulut dan kemaluan.
Tentang penghuni neraka yang majoritinya adalah perempuan. Ia adalah kerana ramai di kalangan mereka yang tidak menunaikan hak suaminya. Diriwayatkan bahawa pada satu hari ketika Rasulullah saw sedang duduk bersama-sama sahabat, datang seekor unta lalu duduk dan sujud dihadapan Rasulullah saw. Unta itu kemudiannya mencium kaki baginda saw. Sahabat berasa tersinggung dengan perbuatan unta itu dan meminta izin dari Nabi saw untuk sujud dan mencium kaki baginda saw yang mulia itu. Nabi saw tidak mengizinkan manusia sujud kepadanya. Sabda baginda saw, “Kalaulah manusia itu dibenarkan sujud kepada manusia yang lain, maka aku akan suruh si isteri sujud pada suaminya.” Begitulah besarnya hak suami kerana tanggungjawab suami terlalu besar . Suami perlu mengajar ilmu agama kepada isteri dan anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment