Tuesday, April 6, 2010

Syarah Kanzul Minan Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 4 April 2010 waktu dhuha
Dan sungguhnya kelakuan sekaliannya pada faham didalam kitab yang diturunkan atas sekalian hati yang suci daripada aghyar dan lagi barang yang dinaqal daripada Sayyidi Abi al-Abbas al-Mursi ra pada firman Allah Ta’ala yakni dikeluarkan yang hidup daripada yang mati dan dikelarkan yang mati daripada yang hidup. Katanya seperti manusia mengerjakan dosa maka didapat akan dia dengan minta uzur dan inkisar maka ini hidup dan iaitu minta uzur keluar ia daripada yang mati iaitu dosa dan seorang pula mengerjakan taat dan dirobohkan dia dengan ujub dan bermegah-megah maka ini mati iaitu ujub dikeluar daripada yang hidup dan iaitu taat.
Imam as-Suyuti didalam kitabnya yang mahsyur al-Itqan fi Ulumul Quran menyatakan syarat yang paling sukar untuk menjadi mufassir ialah seseorang itu mestilah dikurniakan ilmu muwahabbah. Ilmu ini adalah merupakan satu anugerah yang diperolehi setelah mereka mengamalkan ilmu yang mereka pelajari lalu dinatijahkan ke atas diri mereka satu ilmu yang tidak boleh didapati dari suratan tetapi terpahat didalam benak hati mereka. Ianya berlaku apabila hati mereka menjadi jernih ketika mereka bersunyi-sunyian dengan Allah Ta’ala. Ilmu muwahabbah adalah nur (cahaya) yang dipancar Allah Ta’ala. Kata seorang mufassir yang mahsyur, Imam Abdullah Mas’uddin, “Sesungguhnya ilmu itu bukan dengan periwayatan yang banyak atau pengkahataman kitab yang banyak tetapi ilmu itu sbenarnya adalah nur (cahaya) yang dicampakkan Allah Ta’ala ke dalam benak hati hamba-Nya. Kata ulama, kefahaman tentang sesuatu itu adalah melalui malaikat yang diberikan kepada sahabatnya yakni orang-orang yang bersahabat dengan malaikat. Maksud orang-orang yang bersahabat dengan malaikat ialah orang-orang yang duduk didalam majlis ilmu. Didalam majlis ilmu terdapat malaikat-malaikat yang menghembus kefahaman kepada orang-orang yang duduk didalamnya. Malaikat bersama-sama dengan penuntut ilmu. Guru syeikh iaitu Syeikh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki akan berasa sangat marah apabila ada orang yang mempermain-mainkan penuntut ilmu. Bahkan Syeikh Sayyid Muhammad sangat memuliakan penuntut ilmu dan membelanjakan mereka. Kata Syeikh, “Tahukah tuan-tuan apa sebabnya kita buka majlis dengan membaca salawat? Apakah sir atau rahsianya?” Jawabnya ialah, apabila salawat dibacakan maka malaikat Jibril akan hadir bersama kita. Kata ulama, tugas Jibril as telah selesai apabila Rasulullah saw wafat. Apabila Rasulullah saw wafat, baginda saw diberi pilihan samada hendak hidup di bumi atau dilangit. Rasulullah saw kemudiannya memilih untuk duduk dengan sahabat-sahabat yang mempunyai darjat yang tinggi disisi Allah Taa’ala. Lalu kata Jibril as, “Inilah kali terakhir aku menjejakkan kaki ke bumi”. Walaubagaimanapun, kata Imam as-Suyuti, “Jibril as tetap turun dengan membawa kefahaman/ma’rifah kepada orang-orang yang dikehendaki”. Apabila seseorang itu wafat dalam keadaan berwudhu’ seperti dalam solat atau ketika membaca al-Quran maka sabda Nabi saw, “Jibril as akan bersama dengannya menyaksikan perpisahan roh dengan jasad”. Ketahuilah bahawa qasidah/madah yang dibaca adalah merupakan jalan yang paling hampir kepada Allah Ta’ala. Kata Syeikh Yusuf Ismail al-Nabhani, “Jalan yang paling hampir kepada Allah ialah dengan membaca puji-pujian kepada Rasulullah saw atau mendengarnya kerana ia mampu menggapai mahabbah dan kasih kepada Rasulullah saw. Orang Arab sangat menghargai puji-pujian. Sebab itulah al-Quran diturunkan dengan tujuan untuk melemahkan bahasa syair orang-orang Arab. Sabda Nabi saw, “Kata-kata yang indah lebih menikam perasaan diri dari dihujan anak-anak panah”. Anak panah hanya sakitkan zahir tetapi kata-kata mampu menyayatkan hati. Ketika pembukaan kota Makkah, Nabi saw menghimpunkan penduduk Makkah di Tanah Haram. Kemudian Nabi saw bertanya, “Apakah pandangan kamu terhadap aku? Agak-agak kamu apakah yang akan aku buat hari ini?” Kata penduduk Makkah, “Kami rasa kamu akan melakukan kebaikan wahai saudara yang mulia anak kepada keturunan yang mulia”. Kata Nabi saw, “Pergilah kerana aku bebaskan kalian. Tetapi jika kalian bertemu dengan si polan dan si polan maka bunuhlah mereka sekalipun mereka berlindung di balik kiswah Ka’abah”. Kata Syeikh, Nabi saw kecualikan beberapa orang dari pengampunan walaupun orang itu duduk didalam Ka’abah. Maksudnya disini, Nabi saw memaafkan orang-orang menyakiti jasadnya tetapi tidak hatinya. Perkara yang paling dibenci baginda saw ialah orang-orang yang mencacinya. Maka atas sebab itu kata ulama, tidak ada perkara yang paling mulia melainkan orang-orang yang memuji Nabi saw. Jibril as berada dengan orang-orang yang memuji baginda saw. Ketika Nabi saw bersama dengan sahabat, terdengarlah seorang sahabat bernama Hasan ibn Tsabit sedang memuji Nabi saw didalam masjid. Umar al-Khattab menegur Hasan, “Tidakkah di hadapan Nabi saw engkau mendendangkan syair (kerana dibuat dldalam masjid) ini satu perbuatan yang salah atau ganjil?” Kata Nabi saw kepada Umar, “Biarkanlah Hasan. Sesungguhnya Allah Ta’ala akan menolong Hasan ibn Tsabit selagi mana Hasan ibn Tsabit memuji aku”. Abu Bakar juga seperti Umar pada mulanya. Abu Bakar menyangkakan majlis memuji Nabi saw itu satu perkara yang tidak bagus. Peristiwa itu berlaku di rumah Aisyah. Pada ketika itu, ada orang Habsyah sedang menari, bermain senjata dan berkompang. Rasulullah saw kelihatan tidur disebelah Aisyah. Abu Bakar kemudiannya menyergah Aisyah dengan berkata, “Adakah syaitan dibunyi didalam rumah ini?” Nabi saw bangun dari tidur dan berkata, “Biarkanlah mereka kerana hari ini adalah hari kegembiraan”. Majlis memuji Nabi saw mengundang roh-roh para aulia untuk hadir bersama-sama. Sebab itulah majlis sebegini mempunyai nilai rohani yang sangat tinggi.
Kata syeikh, berapa ramai yang keluar mati dari hidup yakni terbit ujub atau maksiat selepas melakukan taat seperti solat dan berapa ramai pula yang keluar hidup dari yang mati iaitu terbitnya taat selepas bertaubat melakukan dosa. Nabi saw selepas mengerjakan solat akan berada dalam keadaan inkisar (pecah hati), malu dan hina serta beristighfar banyak-banyak selepas solat. Inilah adab yang diajar oleh baginda saw dan sepatutnyalah kita mengikuti langkah sebegini. Sayyidi Abbas al-Mursi yang dikurniakan ilmu ladunni pernah diuji oleh seorang sultan dizamannya. Sultan yang bernama Sultan Yaakub ingin melihat kebijaksanaan Sayyidi Abbas. Beliau menyediakan dua ekor ayam dimana salah satunya disembelih dan satu lagi tidak disembelih. Kedua-duanya dimasak gulai. Kemudian beliau meminta pembantunya memanggil Sayyidi Abbas masuk dan menjamah makanan. Sayyidi Abbas berkata kepada pembantu itu, “Engkau angkatlah ayam ini kerana ayam ini tidak disembelih. Kalaulah gulai ini tidak bercampur dengan ayam itu, nescaya gulai ini akan ku makan.” Pada masa itu, terlihatlah kehebatan batin Sayyidi Abbas di kacamata Sultan Yaakub. Sebab itu kata ulama benda-benda yang brcampur halal dengan haram maka hukumnya adalah haram. Begitulah juga dengan pemakaian cincin suasa yang bercampur emas dan perak. Kata syeikh, salah satu sebab utama hati terhijab atau hati menjadi mati ialah kerana makanan. Makanan menentukan samada seseorang itu boleh menjadi waraq atau tidak.
Dan hasil daripadanya bahawasanya orang yang salik itu apabila disucikan zahirnya dan batinnya dan jernih hatinya daripada segala aghyarnya[1] dengan jalan tariqat al-Muhammadiyyah nescaya bersihlah cermin hatinya daripada kekeruhan kauniyah[2] dan hapuslah daripadanya segala karat tulis nafsiyyah[3] maka jadi ahli ia ketika itu hatinya bagi tempat turun limpah nur ar-Rabbaniyyah dan jadi ahlilah ia bagi musyahadah[4] dan mukalamah[5] maka fahamlah ia daripada al-Quran barang yang tiada mafhum oleh orang yang lainnya dan turunlah pada hatinya makna asrari ditentu akan dia dan dapatnya akan hukum rabbaniyyah kerana inilah ‘Arif Ibn Atha’Illah, “Selesaikan[6] olehmu akan hatimu daripada segala aghyar, dipenuhkan akan dia dengan ma’rifah dan asrar dan tiada tertentu hai saudaraku akan turun ini dengan al-Quran tetapi didapat yang demikian itu oleh orang yang arif didalam hatinya daripada tiap-tiap akwan[7] yakni mengenal ia akan tuhannya pada tiap-tiap zar daripada akwan kerana tiada suatu itu melainkan dan tiada menyeru akan dikau kepada maula dengan lidah halnya dan munajatlah engkau didalam sirr engkau jika ada engkau daripada ahlil asrar dengan fasih perkataannya dan adalah pada tiap-tiap suatu baginya tanda yang menunjukkan atas bahawasanya ia Tuhan yang Esa.
Kata Syeikh, al-Quran akan terus ‘turun’ tetapi turun yang dimaksudkan disini bukanlah turun 30 juzuk kerana ia telah lama selesai tetapi maksudnya disini ialah kefahamannya yang terus turun. Imam al-Ghazali berkata, Kalau seseorang itu tidak dikurniakan nur maka orang itu tidak akan mampu berjalan di atas jalan yang lurus. Ada masyaikh yang fana’ pada nama dan sifat. Mereka sentiasa ‘melihat’ sifat Allah walaupun pada saat menyebut nama orang yang menziarahinya. Kata Syeikh, pati segala ilmu yang menemannya ketika berada didalam kesunyian ialah ilmu tasawwuf. Kata syeikh lagi, manfaatkan masa yang ada untuk belajar ilmu tasawwuf. Kita sekarang sudah tidak mempunyai banyak masa kerana barokah masa telah dicabut.
Dan kerana inilah berkata setengah daripada ‘ariffin bermula jalan kepada Allah Ta’ala itu dengan sekira-kira nafas segala makhluk dan lagi kata yang lain pula bermula jalan kepada Allah Ta’ala dengan sebilang-bilang zarratil maujudat maka tiada di suatu zarah itu melainkan ia menunjukkan jalan kepada maulanya.
Ada wali Allah bermimpi Abu Yazid al-Bistami. Dalam mimpi itu, dilihatnya Abu Yazid berada di bawah arasy. Allah Ta’ala berfirman kepada malaikat, “Adakah kamu kenal orang yang diletakkan dibawah Arasy ini? Ketika seluruh makhluk menuntut apa yang Aku sediakan, Abu Yazid pula mencari Aku dan merasai nikmat sebelum orang lain menemuinya”. Kata syeikh, ketahuilah bahawa pandangan orang-orang Arif adalah ibrar yang menyampaikan kepada haqiqat Allah Ta’ala. Sebagai contoh, apabila melihat kekayaan makhluk maka ia akan mengingati kekayaan Allah.
[1] kotorannya
[2] Alam dan makhluk
[3] Tulisan nafsu yang bertakhta didalam hati
[4] Allah melihat kita dan kita melihat Allah
[5] Allah berbicara dan kita menjawab dengan ma’rifah. Selepas itu barulah kita memehami isi al-Quran. Selain al-Quran yang diturunkan kepada manusia, ilham, nafaat juga diturunkan.
[6] Kosong dan bersihkan
[7] Pengetahuan terhadap Allah setelah melihat makhluk

No comments:

Post a Comment