Ustaz Syawal memulakan majlis dengan menghuraikan kelebihan solat malam. Kisahnya seperti berikut, suatu hari Aswad bertanya pada Aisyah tentang solat malam Rasulullah saw. Kata Aisyah, Nabi Muhammad saw tidur di awal malam dan bangun pada bahagian terakhir malam. Selepas Nabi solat malam, baginda kembali ke tempat tidur dan menyambung semula tidurnya. Ketika bilal mengumandangkan azan, Nabi saw bangun menunaikan solat Subuh. Apabila Nabi saw merasakan perlu mandi maka baginda akan mandi terlebih dahulu dan jika tidak, memadai sekadar mengambil wuduk lalu menyertai para Sahabat menunaikan solat Subuh berjemaah. Pengajarannya disini ialah Nabi saw mengamalkan solat malam kerana didalamnya terkandung banyak hikmah dan manfaatnya. Para Sahabat apabila melihat Nabi saw solat malam, mereka terus mengikutinya mengamalkan solat malam.
Tentang solat yakni merujuk kepada solat jemaah, makmum tidak boleh tertinggal dua rukun dibelakang imam. Jika tidak solatnya tidak sah. Sebagai contoh, ada makmum yang terlalu lama sujud di rakaat terakhir sehingga imam selesai memberi salam. Tentang makna muwafik ialah sempat berdiri bersama imam dan sempat memuatkan fatihah dengan imam. Manakala makna masbuk pula ialah tidak sempat berdiri bersama imam dan tidak sempat memuatkan bacaan fatihah sebaik sahaja masuk dalam saf jemaah.
Seterusnya masuk pada bab yang menyatakan hadith dengan turunnya azab Allah apabila kemungkaran tidak diubah.
Negeri yang paling utama turun bala Allah ialah negeri yang paling banyak kejahatan. Orang yang melihat orang lain berbuat zalim tapi membiarkannya nescaya bala akan turun pada semua orang dan jika mati maka akan dibangkitkan pada hari Qiamat mengikut niat masing-masing. Maksiat itu tidak harus didiamkan. Pemerintah perlu memainkan peranan penting dalam menghapuskan maksiat. Orang-orang agama berperanan menghalang orang dari berbuat maksiat. Cakap mufti atau alim-ulama perlu diikuti kerana jika dilanggar maka bala dari Tuhan akan turun dan mengena samada yang beriman atau tidak. Kita hendaklah menjaga pakaian yakni aurat dengan sebaik-baiknya. Pakaian anak dan isteri perlu dijaga. Kalau sidai kain sekalipun, masih perlu menutup aurat jika ia diluar rumah. Suami dianggap dayus jika tidak menegur isteri yang melanggar hukum. Suami yang membiarkan isterinya berlakon dengan lelaki lain atau menyanyi di khalayak ramai yakni yang bukan muhrim maka suami itu dianggap dayus. Berkaraoke dihadapan khalayak walaupun dalam kenduri kahwin hukumnya haram. Makan riba yang berleluasa, minum arak yang berterang-terangan, judi samada loteri, bertaruh dan lumba kuda di merata-rata adalah dosa-dosa yang boleh mengundang azab Allah. Ini semua hendaklah ditegah oleh pihak berkuasa, ahli agama dan sesiapa sahaja yang berkuasa. Adalah wajib mencegah kemungkaran yang berlaku di kawasan setempat. Maksiat yang didiamkan seolah-olah bermaksud orang-orang disitu meredhainya maka Allah akan mempersoalkan kelak di Akhirat. Bala yang diturunkan oleh Allah termasuklah cuaca yang panas, ekonomi yang tidak menentu, virus atau penyakit, kes ragut yang tak sudah-sudah, tanaman-tanaman yang habis binasa samada kering atau tidak atau menjadi atau diserang haiwan perosak dan banjir.
Bab yang menyatakan hadith yang menyuruh berbuat kebajikan dan mencegah kemungkaran
Segala benda yang baik adalah kebajikan dan orangnya disebut taat. Yang dilarang oleh Allah ialah pekerjaan maksiat dan mungkar. Kerja-kerja dakwah perlu dilakukan oleh semua orang. Dakwah pertama ialah mengajak kepada perkara-perkara yang fardhu. Tidak guna kita bersolat atau berzikir jika keluarga kita tidak diajak bersolat. Menuntut ilmu itu fardhu ain. dakwah kedua ialah dengan melazimkan diri dengan sidang ulama dan berkasih-kasihan sesama masyarakat. Orang muda hendaklah hormat kepada orang tua dan orang tua kasih pada orang muda. Hubungan silaturrahim perlu dikekalkan. Anak-anak hendaklah sentiasa meminta ampun dan maaf dari kedua ibubapa dan wajib berbakti kepada orang tua. Hendaklah menjamu tetamu apabila tetamu datang ke rumah. Hendaklah kita bertegas dengan orang yang tidak suka pada agama, orang yang sombong, orang yang suka bergaduh, orang yang suka berbuat fitnah dan mengumpat, orang yang suka pada perkataan yang lucah dan carut, orang yang suka dengan orang yang jahat dan benci terhadap orang yang berbuat taat, orang yang suka kepada bakhil, orang yang suka kepada tamak dan orang yang suka kepada dunia. Allah akan menghampirkan pada kita seksa dan dera manakala doa kita tidak dikabulkan jika kita tidak mencegah kemungkaran.
No comments:
Post a Comment