Sunday, September 13, 2009

Periwayatan hadith beserta sanadnya - kitab al-anwar al-nabawiyyah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Taman TAR Ampang pada 13 September 2009
Secara zahir, hadith yang mempunyai rantaian yang lebih pendek adalah lebih tinggi martabatnya. Sebagai conth, hadith yang mempunyai 10 perawi dalam satu rantaian adalah lebih tinggi berbanding dengan hadith mempunyai 20 perawi dalam satu rantaian. Ini adalah kerana jarak periwayat dalam rantaian lebih dekat dengan baginda Rasulullah saw. Hadith yang lebih pendek rantaiannya disebut ‘ali manakala yang lebih panjang disebut nazil. Walaubagaimanapun sekiranya, 20 perawi itu semuanya sahih-sahih belaka berbanding dengan 10 perawi maka hadith yang diriwayatkan oleh 20 perawi itu adalah lebih kuat. Dalam kitab ini, kebanyakan sanad yang ada didalamnya adalah merupakan periwayat dari negara Syam. Syam merupakan sebuah negara yang diberkati Allah swt. Apabila disebut tentang Syam maka ia meliputi kawasan-kawasan disekitarnya seperti Jordan dan Baitul Maqdis. Termasuk didalam kawasan yang diberkati ini ialah Masjidil Aqsa yang terletak di Baitul Maqdis. Masjidil Aqsa mendapat keberkatan dunia dan akhirat. Yang disebut dengan keberkatan dunia ialah kawasan ini dilimpahkan dengan panorama yang indah, tanaman yang tumbuh subur, sungai dan air yang enak serta suasana yang sangat nyaman. Yang disebut dengan keberkatan akhirat ialah kawasan masjidnya yang dianggap suci. Ini berbeza dengan Masjidil Haram yang hanya memiliki keberkatan akhirat sahaja. Masjidil Haram tidak dianugerahkan dengan keberkatan dunia sebab itulah kawasannya gersang. Sungguhpun demikian, Masjidil Haram dikurniakan keberkatan akhirat yang menjadikan kawasan ini lebih mulia berbanding dengan Masjidil Aqsa. Masjidil Haram menjadi tempat tumpuan utama untuk orang ramai berebut-rebut mencari keberkatan akhirat. Masjidil Haram dan kawasan Makkah menjadi suci dan mulia kerana ia merupakan tempat tumpuan bagi umat Islam mengerjakan ibadat dan menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah. Hikmah Masjidil Haram dan Makkah tidak dianugerahkan keberkatan dunia ialah supaya umat Islam tidak datang kesini untuk tujuan melancong sebaliknya menumpukan perhatian untuk mengerjakan ibadah semata-mata.
Pada masa ini Makkah dan seluruh kawasan Arab Saudi telah diperintah oleh Raja Arab Saudi. Tidak ada satupun negara didunia ini yang dinamakan berdasarkan nama rajanya tetapi di Arab Saudi, nama negara ini diambil bersempena dengan nama rajanya iaitu Raja Saud. Kata Syeikh, Raja Arab Saudi ketika meninggal tidak dikebumikan di Ma’la atau Baqi’ yang merupakan dua tanah perkuburan yang paling suci bagi umat Islam sebaliknya dikebumikan di Riyadh. Kenapa beliau tidak dikebumi di salah satu tanah perkuburan suci itu? Ini adalah kerana ketika hidupnya, beliau mencaci orang-orang soleh dan menganggap sunnah-sunnah Nabi saw sebagai bidaah. Perkuburan Ma’la dan Baqi’[1] adalah dua kawasan perkuburan yang paling suci kerana disinilah isteri-isteri Nabi saw, para sahabat dan kebanyakan wali-wali Allah dikebumikan. Ahli-ahli kubur yang akan dibangkitkan mula-mula sekali selepas Rasulullah saw dan para sahabat besar seperti Umar dibangkitkan ialah Ma’la dan Baqi’ dan Taif dan kemudiannya barulah tempat-tempat lain. Nabi saw juga mensyafaatkan orang-orang yang meninggal di Madinah. Sebab itu ada ulama besar yang telah meninggalkan jawatan lalu berhijrah ke Madinah semata-mata kerana bercita-cita untuk meninggal dunia lalu dikebumikan di Madinah. Diriwayatkan ada seorang ulama besar dari Yaman yang telah melepaskan jawatan Mufti untuk tinggal dan menghabiskan hayatnya di Madinah. Jika tidak berpeluang untuk tinggal di Madinah atau di Makkah maka kita mesti bercita-cita untuk dikebumikan di tempat orang-orang soleh dikebumikan. Walaupun dalam feqah Imam Syafi’i, disebut makruh memindahkan jenazah ke satu tempat yang jauh tetapi dalam soal untuk dikebumikan berdekatan dengan kawasan orang-orang yang soleh maka itu bukanlah satu perkara yang makruh. Berjiran dengan kubur orang-orang yang soleh adalah sangat digalakkan supaya kita mendapat tempias nikmat orang-orang soleh.
Kenapa Imam Shafi’i menyatakan memindahkan jenazah ke tempat yang jauh adalah sesuatu perbuatan yang makruh? Ini adalah kerana perbuatan memindahkan jenazah itu boleh menyakiti jenazah. Kata Syeikh, sedangkan duduk dalam kereta selepas berkhatan pun terasa amat menyakitkan inikan pula dengan keadaan jasad yang baru sahaja melepasi sakaratul maut yang diibaratkan keadaannya seperti dicincang dengan beratus-ratus mata pedang. Oleh itu, perjalanan yang jauh tentu sahaja menyakitkan jenazah. Tetapi seperti yang disebutkan tadi sekiranya niat untuk memindahkan jenazah untuk dikuburkan di tempat terdapatnya orang-orang yang soleh maka itu diperbolehkan. Diriwayatkan pada satu hari, Nabi Isa as dan pengikutnya melewati kawasan perkuburan Sam bin Nuh. Kata pengikutnya, Wahai Nabi Isa, bolehkah kamu menghidupkan Sam anak Nabi Nuh ini untuk menceritakan pada kami tentang keadaan mati? Nabi Isa as lalu menuruti kemahuan pengikutnya. Selepas Sam bin Nuh dihidupkan, beliau menyatakan bahawa kesakitan yang dialaminya akibat dari sakaratul maut masih terasa sehingga sekarang biarpun beliau telah mati kira-kira 5,000 tahun yang lalu. Selanjutnya Nabi Isa as bertanya kepada Sam, kenapa rambutmu beruban sedangkan orang pertama yang beruban ialah Nabi Ibrahim[2] iaitu manusia dari beberapa generasi selepasmu? Jawab Sam, Aku beruban kerana tertekan setelah berjiran dengan kubur orang-orang yang fasik. Setiap hari aku mendengar orang-orang fasik ini menjerit kerana diseksa dan atas sebab itulah aku beruban.
Ulama besar bernama Saiyidina Ibrahim ar-Rasyid dikebumikan di Ma’la. Pemerintah pernah mencuba hendak memindahkan jasadnya ke tempat lain tetapi gagal. Ketika menggali kuburnya didapati jasadnya dalam keadaan seperti sedang membaca al-Quran. Jasadnya lalu dikebumikan semula. Kata Syeikh, banyak lagi karamah wali-wali Allah disembunyikan oleh pihak Wahabbi. Ini adalah kerana mereka tidak percaya dengan perkara-perkara karamah ini. Berbalik kepada cerita Syam tadi, orang-orang Syam dikatakan tidak suka kepada Saiyidina Ali ra sedangkan orang-orang Iraq merupakan penyokong kuat Saiyidina Ali ra. Disebabkan perbuatan orang Syam yang tidak menyukai Ali itu, orang-orang Iraq meminta Ali berdoa agar penduduk Syam dilaknat Tuhan. Kata Saiyidina Ali ra, “Jangan kamu mencderca ahli Syam kerana ramai diantara mereka adalah wali Abdal!”. Maksud Abdal disini ialah berubah atau berganti. Ada kira-kira 40 orang Wali Abdal pada satu-satu masa. Apabila meninggal wali abdal ini, maka ia akan diganti dengan wali abdal yang lain. Disebut abdal juga kerana kumpulan wali ini asalnya terdiri dari orang-orang yang fasiq tetapi kemudiannya berubah akhlak mereka menjadi baik lalu diangkat martabat mereka menjadi orang-orang yang soleh. Contoh golongan ini ialah Ibrahim Adham dan Fudhail bin Ayyad.
Tentang doa amalan bulan Ramadhan yang diijazahkan ini, doa-doa ini adalah merupakan amalan para ulama dan ahli-ahli soleh. Doa-doa yang diamalkan oleh para sahabat dan wali-wali Allah selain dari doa Rasulullah saw adalah merupakan amalan yang tidak bertentangan dengan sunnah bahkan tujuan utamanya tidak lain dan tidak bukan adlaah mendapat restu dari Allah swt. Para sahabat dan wali Allah meminta restu dari Allah swt pada setiap masa dan ketika. Ada golongan yang berpendapat bahawa mengamalkan doa selain dari doa yang diajar Rasulullah saw adalah satu perbuatan bidaah dan tidak termasuk dalam sunnah. Tetapi golongan ini terlupa bahawa Nabi saw tidak pernah mendoakan cucunya Husain dan Hasan berjaya dalam peperiksaan seperti orang sekarang yang mendoakan kejayaan anak-anak mereka dalam peperiksaan UPSR, PMR dan sebagainya. Jika demikian maka perbuatan mendoakan anak-anak agar berjaya dalam peperiksaan seperti yang sering diamalkan oleh orang-orang zaman sekarang harus dianggap bidaah dan tidak mengikut sunnah kerana Nabi saw tidak pernah berbuat demikian. Maka atas sebab itu janganlah kita terlalu cepat mengkritik atau melampaui batas dengan mengatakan ini bidaah dan itu bukan sunnah. Amalan berdoa selagi ia tidak mendatangkan dosa maka ia diperbolehkan bahkan sangat digalakkan walaupun doa itu tidak diajar oleh Baginda saw. Diriwayatkan pernah seorang sahabat bertahmid di belakang Rasulullah saw ketika dalam solat. Sehabis solat, Rasulullah saw bertanya tentang ucapan sahabat tadi. Sahabat tadi berkata, Aku mengucapkan segala pujian-pujian memuliakan Allah swt, adakah itu bersalahan wahai Rasulullah? Rasulullah saw menjawab, Tidak, bahkan lebih dari 30 malaikat berebut-rebut hendak mencatatkan pahala kebaikan kamu. Dalam satu peristiwa lain, Nabi saw memberikan hadiah kepada orang Arab Badwi kerana beliau berdoa kepada Allah swt dengan kata-kata pujian yang sangat indah walaupun doa yang dibacanya itu tidak pernah diajar oleh Nabi saw. Jadi dengan itu jelaslah bahawa ada doa yang tidak diajar oleh Nabi saw tetapi diamalkan oleh para sahabat untuk mendapat restu dari Allah swt.
Tentang amalan Lailatul Qadar, disebut bahawa Nabi saw adalah umpama yaqut yang menghimpunkan permata tentang haqiqat arasy. Nabi saw merupakan tempat kesucian simpanan arasy dan permata makhluk ciptaan Allah Ta’ala dan galian rahsia yang terdapat di Lauh Mahfuz. Tentang maksud ini, Syeikh menghuraikan seperti berikut,
Sesungguhnya diri Nabi saw itu adalah diri yang termulia, paling agung bahkan lebih mulia dari Arasy, Lauh Mahfuz, Kursi dan Baitul Maamur. Ilmu pada Lauh Mahfuz adalah berpunca dari Rasulullah saw. Sebab itu ada disebut dalam qasidah burdah Imam Busiri ra yang menyatakan bahawa segala ilmu di Lauh Mahfuaz adalah merupakan ilmu dari Rasulullah saw. Allah menciptakan sekalian makhluk dengan tujuan untuk berkhidmat dan memberi kemudahan kepada Rasulullah saw. Sebagai contoh, bulan berkhidmat kepada Nabi saw. Apabila Nabi saw mengisyaratkan jarinya ke arah bulan maka bulan pun terbelah. Sayyidina Abbas yang merupakan bapa saudara Nabi saw pernah menyatakan, "Tanda kenabian engkau yang menyebabkan aku berminat masuk Islam ialah ketika engkau masih dalam buaian lagi. Ketika itu, engkau bermain-main dengan bulan. Jari engkau menunjuk ke arah bulan lalu bulan mengikut arah jari engkau." Jawab baginda saw, "Benar katamu wahai bapa saudaraku. Tatkala aku bersedih, bulanlah yang menghiburkan hatiku."
Kata Syeikh sebelum menutup majlis, peristiwa Lailatul Qadar itu tidak akan terzahir melainkan atas kehendak Allah swt. Pada berlakunya peristiwa itu, rahmat Allah swt tersebar luas.


[1] Di Baqi’, seramai 10,000 orang sahabat (termasuk isteri-isteri Nabi saw) telah dikebumikan disini
[2] Manusia pertama yang beruban ialah Nabi Ibrahim as. Banyak sunnah kita mengikut Nabi Ibrahim as. Antaranya ialah seperti berkhatan dan menjamu orang.

No comments:

Post a Comment