Monday, September 7, 2009

Kitab al-Ayatul Mufassolat fi al-Ahadithil Musalsalat - Disyarah dan diijazah oleh pengarangnya Syeikh Muhammad Husni Ginting al-Langkati al-Azhari

*Catatan bebas ana di Pejabat PERSIDAM, Seksyen 13 Shah Alam pada 7 September 2009. Mohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan.
Syeikh menghuraikan tentang latar belakangnya. Ayahandanya bernama Muhammad Hayat. Lahir di Kabupaten Langkat, Sumatera Utara. Dahulunya kabupaten ini berada dalam wilayah yang sama dengan kesultanan melayu tetapi kini terpisah menjadi dua negara berbeza. Kata Syeikh, ramai ulama besar lahir di Langkat khususnya ulama yang beraliran tariqat Naqsyabandiah Khalidiyyah. Pujangga ternama yang bernama Tengku Amir Hamzah juga berasal dari wilayah ini. Pusara Tengku Amir Hamzah ini terletak di Tanjung Pura, Langkat. Syeikh lahir pada tahun 1400 Hijriyyah dan kini berusia 30 tahun mengikut kiraan kalendar Hijriyyah. Syeikh pernah mendapat pendidikan di Sekolah Mustafawiyyah di Mandailing. Sekolah ini dibuka pada tahun 1912 Masehi. Pengasasnya merupakan anak murid kepada ulama besar Makkah iaitu Syeikh Mukhtar Atarid dan Syeikh Khatib Minangkabau. Pengasas sekolah ini juga pernah mengajar di Masjidil Haram. Syeikh lalu berangkat ke Mesir untuk melanjutkan pengajian dan pada masa yang sama turut mengikuti pengajian di Makkah sewaktu musim haji. Kini Syeikh menetap di Mesir. Kata Syeikh ketika mengupas hadith musalsal bil awwaliyyah, seorang guru yang pertama sekali perlulah membacakan hadith musalsal bil awwaliyyah untuk memberikan kasih sayang antara guru dengan anak muridnya. Dengan cara itu , barulah guru akan memberi ilmu dengan seikhlasnya. Kenapa murid sekarang tidak belajar dengan ikhlas? Salah satu sebabnya ialah kerana tidak ada kasih-sayang. Sang guru pada waktu ini rata-rata mengajar kerana duit manakala murid pula belajar semata-mata kerana berkehendakkan sijil dan kelulusan. Ini berbeza dalam sistem pondok. Dalam sistem pondok, guru tidak mengajar kerana mengharapkan balasan duit manakala anak murid tidak belajar kerana mengharapkan balasan sijil dan kelulusan. Guru dan murid mengajar dan belajar kerana ikhlas terhadap ilmu. Kata Syeikh, sistem pondok ini jangan diabaikan. Ramai orang terlupa bahawa sistem pondok inilah yang telah membebaskan negara dari dijajah dan tidak terpengaruh dengan nilai-nilai sistem Barat. Sebenarnya kasih-sayang ini bukan hanya antara guru dengan murid tetapi dengan semua orang. Dengan cara itu, barulah Allah Ta’ala mengasihi kita. Dalam hadith musalsal bil awwaliyyah ini, syeikh menyebut beberapa biografi periwayat. Kata Syeikh, amat penting menyebut biografi periwayat ini kerana semua periwayat yang ada dalam rantaian sanad ini adalah alim-alim belaka. Beliau memetik kata setengah ulama yang menyatakan seperti berikut,
“Ingatlah, Sesungguhnya dengan menyebut nama-nama orang yang saleh akan menurunkan rahmat Allah Ta’ala”
Antara nama periwayat yang disebut oleh Syeikh ialah
1. Syeikhuna al-Allamah al-Musnid Ahmad Damanhuri bin Arman al-Bantani – Beliau wafat pada tahun 1426 H. Kuburnya terletak di Ma’la berdekatan dengan kubur Syeikh Yasin Fadani. Beliau selalu menghadirkan diri dalam majlis ilmu Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki. Walaupun dalam keadaan sakit , beliau tetap datang untuk mengaji dengan Syeikh Muhammad Alawi.
2. Allamah Musnid Husin Abdur Rahim al-Falimbani – Beliau datang ke Makkah sewaktu usianya 7 tahun dan terus menetap di Makkah. Kata Syeikh, ulama besar ini masih hidup.
3. Allamah Musnid Muhammad Husni Tamrin Ja’fari al-Banjari al-Indonesi al Makki – Beliau merupakan murid khusus Syeikh Yasin Fadani. Beliau pulang ke Kalimantan untuk mengantikan Kiyai Ijai. Kata Syeikh, ulama besar ini masih hidup.
4. Allamah Muhaddith Asy-Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh al-Qahari – Beliau mengkhatam kutubusittah. Beliau menolak fahaman Wahabbi dan kesannya beliau dikeluarkan dari Makkah.
5. Allamah al-Muhaddith Muhammad bin Muhammad Awamah al-Halbi – Beliau merupakan ulama muhaddith di Madinah. Beliau merupakan anak murid kepada ulama besar Syeikh Abu Fattah al-Ghudah.
6. Allamah al-Muhaddith Musnid Asy-Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani al-Makki – Beliau lahir pada 1315 H dan wafat pada 1410 H. Beliau memiliki banyak karamah. Kata Syeikh, beliau digelar As-Suyuthi pada zamannya. Ini adalah kerana beliau menghasilkan karya dalam semua lapangan ilmu. Beliau meriwayat banyak hadith dari ramai ulama dan ramai pula yang meriwayat hadith darinya.
7. Asy-Syeikh Abu Abdullah Muhammad bin Ali as-Sanusi – Kata Syeikh, keturunan Syeikh ini pernah menjadi raja di Libya sebelum dijatuhkan oleh Muammar Gaddafi. Kata Syeikh lagi, ratu terakhir kerajaan ini masih lagi hidup bernama Fatimah. Beliau merupakan satu-satunya ratu yang masih hidup dan meriwayat hadith. Kata Syeikh, sangat elok berjumpa dengannya jika berkunjung ke Madinah bagi meriwayatkan hadith yang tarafnya ‘ali al-awwali.
8. Al-Hafiz As-Sayyid Abu Al-Faid Muhammad al-Murthada az-Zabidi – Merupakan ulama besar yang hafiz dan mengamalkan tariqat. Beliau berpegang kepada mazhab Hanafi dan meninggal dunia kerana penyakit taun. Makamnya terdapat di Mesir.
9. Asy-Syeikh Abul Mahasin Muhammad bin Khalil al-Qauqoji – Beliau merupakan musnid Syam. Wafat pada tahun 1305 H dan dikuburkan di Ma’la.
Hadith musalsal yang kedua agak istimewa kerana ia mengandungi dua musalsal dalam satu hadith. Pertama, musalsal dari segi periwayatnya yang semuanya mashab Syafi’iyyah dan kedua, musalsal dari segi periwayatnya yang terdiri dari ulama fuqaha’. Antara nama ulama besar yang dikupas secara ringkas oleh Syeikh ialah
1. Al-Musnid al-Faqih As-Sayyid Abdur Rahman bin Ismail bin Yahya bin Amar al-Ahdal – Beliau merupakan ulama besar yang berasal dari satu kawasan yang bernama Ahdal di Yaman. Kata Syeikh, Ahdal dikenali sebagai tempat yang banyak melahirkan ulama-ulama besar dari Yaman.
2. Ibn Hajar al-Asqalani – Beliau mrupakan ulama besar yang sangat alim sehingga setengah ulama menyatakan bahawa tidak ada satu kesalahan pun tercatat dalam kitab karangannya yang sangat masyhur iaitu Fathul Bari. Bahkan puak Wahabbi yang lazimnya gemar mengkritik karya ulama mazhab ASWJ juga tidak dapat mencari sebarang kesalahan didalam kitab Fathul Bari itu.
Beberapa perkara lain yang turut disampaikan oleh Syeikh ketika mengijazahkan hadith musalsal yang lain;
1. Tentang penambahan perkataan Sayyidina dalam bersalawat atau membaca doa maka ia sangat digalakkan. Kata Syeikh, ia berkaitan dengan adab. Menambah Sayyidina itu adalah adab kita dengan Rasulullah saw. Apabila adab kita terjaga maka secara automatik syarak juga akan terpelihara.
2. Ketika mengijazah hadith musalsal memakai serban, kata Syeikh, eloklah melazimkan diri dengan memakai serban. Kerana dengan memakai serban itu boleh menghilangkan perasaan riak dalam diri.
3. Kata Syeikh, walaupun seseorang itu menghafal al-Quran tetapi adalah lebih baik jika ia melihat mushaf al-Quran. Ini adalah kerana dengan melihat mushaf, ia akan dapat ganjaran pahala memegang dan melihatnya.
4. Ketika mengijazahkan hadith musalsal memegang kepala sambil mengkhatam surah al-Hasyr, kata Syeikh, dengan memegang kepala ini, Insyallah ia akan menjadi penawar atau ubat bagi segala penyakit kecuali mati.
5. Ketika mengijazah hadith musalsal bi sufiyyah, Syeikh berpesan tentang kepentingan menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu adalah satu fardhu. Jadi bagi seorang sufi, menuntut ilmu itu adalah satu kewajipan dan hendaklah ia menuntutnya dengan bersungguh-sungguh. Ilmu yang dituntut hendaklah diambil dari para ulama.

No comments:

Post a Comment