Hadith musalsal terlalu banyak jenisnya. Ada yang diriwayatkan oleh baginda saw dalam keadaan berdiri maka seperiwayat lain pun begitu juga. Ada yang diriwayat oleh baginda saw dengan cara menggenggam janggut, ada yang meletakkan tangan di atas kepala dan sebagainya maka seperiwayat lain pun perlu mengikut teknik dan cara yang diriwayat oleh baginda saw itu bagi menyampaikan silsilah sanad kepada baginda saw. Kita kena tahu teknik atau cara bagaimana Rasulullah saw meriwayatkan sesuatu hadith kepada para sahabat. Ada juga hadith yang bersandarkan perbuatan Nabi saw misalnya dengan memasukkan manisan kedalam mulut sahabat. Ada pula yang diriwayatkan berasaskan ucapan tertentu misalnya ucapan baginda saw seperti "Aku kasih akan engkau" atau yang diriwayatkan dengan cara menyampaikan ayat-ayat tertentu. Ada juga yang berasaskan masa atau peristiwa tertentu misalnya ketika hari raya atau hari asyura. Hadith ini boleh dibaca pada hari-hari lain tetapi untuk meriwayatkannya bagi menyambungkan salasilah kepada baginda saw maka ia perlulah dibaca pada waktu yang disebutkan itu. Ada juga yang berasaskan tempat misalnya musalsal yang diriwayat oleh ahli Makkah atau ahli Madinah. Maksud diriwayat oleh ahli Makkah atau ahli Madinah ialah periwayat itu berada di Makkah atau di Madinah ketika meriwayat hadith tersebut. Musalsal ini disambung dari satu generasi ke generasi berikutnya hinggalah sampai kepada kita pada hari ini. Hadith yang mula-mula dibaca pada hari ini ialah hadith ar-rahmah al-musalsal bil awwaliyyah maksudnya hadith galakan berkasih-sayang, musalsal riwayat yang pertama. Bil awwaliyyah maksudnya ialah hadith yang pertama kali kita dengar pada hari ini pada ketika bertemu dengan guru lalu dimulai dengan hadith ini, tidak dengan hadith-hadith lain. Hadith sebegini disebut hadith bil awwaliyyah haqiqi. Adapun jika hadith ini pernah diperdengarkan oleh guru kita di tempat-tempat lain tetapi ditempat ini, ia baru pertama kali diperdengarkan maka hadith ini disebut hadith bil awwaliyyah idhafi. Setiap kali apabila kita meriwayatkan hadith ini maka kita hendaklah menentukan samada ianya haqiqi atau idhafi. Syeikh telah menerima hadith yang pertama ini dari beberapa orang masyaikh (sekitar 40 orang) samada secara haqiqi atau idhafi, secara sama' yakni mendengar, riwayah yakni guru membaca hadith dan penerima mendengarnya, qira'ah yakni penerima membaca hadith didepan guru, munawalah yakni hadith diambil dari isi kitab tanpa dibaca hadith tersebut dihadapan guru dan ijazah yakni hadith yang diijazah oleh guru. Dalam rantaian sanad hadith pertama ini, semua masyaikh menyebut bahawa inilah hadith yang pertama didengar dari gurunya maka sebab itulah hadith ini digelar musalsal bil awwaliyyah. Salah satu nama besar yang terdapat dalam rantaian sanad hadith ini ialah Syeikh Hasan Masyat. Setelah wafat, beliau dikebumikan di kawasan perkuburan al-Ma'la yang juga merupakan kawasan pemakaman Sayyidah Khadijah ra. Telah menjadi kebiasaan kerajaan Arab Saudi iaitu dalam tempoh tertentu, jasad-jasad yang telah dikebumi di situ akan dipindah ke tempat lain. Ketika kubur Syeikh Hasan digali didapati jasadnya masih utuh. Mana-mana jasad yang didapati masih utuh setelah digali tidak akan dipindah ke tempat lain sebaliknya kekal dimakam di situ. Jasadnya utuh kerana ketika hayatnya beliau melazimkan dirinya dengan mengkhatam al-Quran sebanyak mungkin. Beliau juga adalah seorang hafiz. Begitu juga dengan jasad Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki yang menghafaz al-Quran sejak usianya 7 tahun. Jasadnya kekal dimakam di kawasan pemakaman al-Ma'la. Tokoh berikutnya yang namanya terdapat dalam rantaian sanad hadith ini ialah Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori. Beliau merupakan Syeikhul Islam mazhab Syafi'i. Ketika menuntut ilmu, jika beliau tidak mempunyai wang maka beliau akan menjadikan kulit-kulit tembikai sebagai makanannya untuk meneruskan hidup. Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori menuntut ilmu bukanlah untuk mencari kesenangan atau kekayaan dunia tetapi untuk meneruskan perjuangan ulama' dalam usaha menjaga umat Nabi Muhammad saw supaya umat tidak berada dalam kesesatan. Pernah suatu hari, Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori didatangi oleh seorang buta. Orang buta ini memohon didoakan oleh Syeikh Zakaria al-Ansori agar menyembuhkan penyakit butanya dengan tujuan memudahkannya beribadat. Syeikh Zakaria bersetuju tetapi dengan syarat orang buta itu tidak kembali semula ke kampungnya selepas sembuh. Syeikh Zakaria tidak membenarkan orang buta itu kembali ke kampung kerana bimbang orang buta itu akan menghebahkan kepada penduduk kampung tentang doanya yang telah dimakbulkan Tuhan. Begitulah tawaduknya wali-wali Allah yang tidak mahu diri mereka dibesar-besarkan oleh orang ramai. Dengan diizinkan Allah Ta'ala, penyakit buta orang tersebut akhirnya sembuh setelah di doa oleh Syeikh Zakaria. Malangnya, orang buta itu tidak patuh pada syarat tersebut. Hatinya begitu kepingin untuk pulang ke kampung. Akhirnya sebaik beliau menjejakkan kaki di kampung, matanya kembali menjadi buta. Tokoh besar berikutnya ialah Imam Ibn Hajar al-Asqalani. Pada hari kewafatan beliau, ada ulama bermimpi tentang perihal orang yang akan membuka pintu maqam Rasulullah saw. Dalam mimpinya, beliau melihat Imam Ibn Hajar membuka pintu tersebut. Sebaik terjaga dari tidur, beliau mendengar berita kewafatan Imam Ibn Hajar. Berpandukan dari mimpi tersebut, tahulah beliau bahawa Imam Ibn Hajar telah berpindah ke alam baqa' lalu berhimpun dengan Rasulullah saw. Ulama besar seterusnya ialah Sufian bin Uyaynah. Beliau merupakan ulama Hijjaz yang mengekalkan tradisi ulama di zamannya. Dalam hadith yang pertama ini, maksud hadith menyuruh kita berkasih-sayang. Maksud berkasih-sayang ialah kita tidak mencaci atau mengeji orang yang jahil dan fasiq sebaliknya kita menarik mereka ke arah kebaikan dan mendoakan mereka agar mendapat hidayah Allah Ta'ala. Inilah sifat sejati orang yang menuntut ilmu. Hadith kedua ialah berkaitan dengan ucapan perkataan 'a'uzubillah hi minash shaitan nir rajim yang diucap oleh setiap perawi dalam hadith ini. Salah satu nama besar dalam rantaian sanad hadith ini ialah Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani. Beliau berasal dari Padang, Indonesia. Gurunya berjumlah sekitar 1000 orang. Beliau digelar musnid dunya kerana banyak menghimpunkan hadith termasuklah sanadnya. Pada satu hari Jumaat, beliau bermimpi bertemu Rasulullah saw. Jumaat berikutnya, beliau meninggalkan alam yang fana' dan berpindah ke alam baqa'. Satu lagi nama besar yang disebut dalam rantaian sanad hadith kedua ini ialah Imam as-Suyuthi. Ketika selesai mengajar di Mesir, salah seorang anak muridnya memberitahunya tentang hajatnya yang terlalu ingin melihat Kaabah. Imam as-Suyuthi meminta anak muridnya berpaut di belakang badannya. Anak muridnya memejamkan mata tetapi pada masa yang sama mendengar bunyi tapak kaki gurunya itu. Sebaik sampai pada bunyi tapak kakinya yang ketujuh, beliau membuka matanya dan alangkah takjubnya apabila mendapati dirinya berada betul-betul di depan Baitullah. Anak muridnya langsung mengerjakan umrah dan bertawaf di depan Baitullah. Imam as-Suyuthi tergolong dalam orang-orang yang terpilih. Bumi dilipat dengan izin Allah bagi mereka yang menjadi pilihan Allah Ta'ala sebagaimana bumi dilipatkan oleh Allah Ta'ala dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad saw. Maksud bumi dilipat ialah perjalanan dari satu tempat ke satu tempat menjadi sangat singkat dengan izin Allah Ta'ala. Syeikh turut menyelitkan kisah Umar al-Khattab, sahabat besar Nabi saw yang terkenal dengan kezuhudannya dan keadilannya. Pada satu hari gempa bumi berlaku di Madinah. Umar menghentak kakinya ke bumi seraya berkata, "Apakah aku ini tidak cukup adil?" Sebaik Umar selesai berkata maka bumi pun menjadi senyap. Seorang ulama pernah bermimpi berjumpa Umar setelah Umar wafat. Dalam mimpinya, beliau bertanya Umar, Apa yang dikurniakan Allah kepada engkau?" Jawab Umar, Allah Ta'ala mengurniakan nikmat padaku di alam barzakh. Umar al-Khattab ketika hidupnya adalah seorang yang sangat zuhud. Bajunya hanya sehelai dan terdapat 12 tampalan pada bajunya. Beliau juga sangat mencintai makhluk Allah termasuklah haiwan. Pernah suatu hari beliau melihat seekor burung kecil dipermainkan oleh kanak-kanak. Kerana terlalu kasihankan burung itu, Umar segera melepaskan burung itu. Kata Umar, Dengan sebab inilah, aku dianugerahkan nikmat di alam barzakh. Sebab itulah kita tidak boleh memperkecilkan sesuatu kebaikan walaupun kebaikan itu pada zahirnya sangat kecil kerana rahmat dan redha Allah Ta'ala itu terlalu luas dan boleh berlaku pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja. Janganlah kita menghina atau memandang rendah sesuatu kebaikan walaupun kecil kerana rahmat dan redha Allah Ta'ala itu tetap ada bersamanya. Dalam hadith yang ketiga yang berkaitan dengan musalsal membaca surah al-Fatihah, antara nama besar yang terdapat dalam rantaian sanad ialah Ubai bin Ka'ab. Ubai bin Ka'ab adalah sahabat Rasulullah saw yang sempat bertalaqqi dengan Nabi Muhammad saw sebelum baginda wafat. Beliaulah orang terakhir yang membentangkan al-Quran dan membacanya di hadapan Nabi saw. Atas sebab itu, Khalifah Umar al-Khattab meminta beliau menjadi imam solat tarawih. Kealiman beliau juga diakui oleh sahabat besar yang lain termasuklah Abdullah bin Abbas yang sangat alim dalam bidang tafsir. Abdullah bin Abbas pernah bertalaqqi dengan Ubai bin Ka'ab. Hadith yang keempat ialah musalsal membaca surah as-Saf. Membaca surah ini adalah satu amalan yang disukai Allah Ta'ala.
Pertandingan KAMIL antara SRI 2015 di KPI Bangi
-
Sekolah Rendah Islam al Mansoorah telah menyertai pertandingan Kemahiran
Amal Islami (KAMIL) antara SRI di KPI Bangi pada 5 April 2015. Sebanyak
tujuh buah...
9 years ago
No comments:
Post a Comment