Sunday, June 14, 2009

Tafsir Nurul Ihsan - Tuan Guru Haji Salleh Haji Musa

Tasir Nurul Ihsan Jilid 2 halaman 109.
Puak musyrikin bertanya kepada Nabi saw, bila berlakunya kiamat. Kata Tuan Guru, kiamat ialah anak kunci ditangan Tuhan. Kematian juga adalah anak kunci Tuhan. Budak dalam perut (benih dalam perut) juga adalah anak kunci ditangan Tuhan. Puak musyrikin Makkah terus mendesak Nabi saw tentang bila hari Kiamat akan tiba. Padahal nabi saw tidak tahu tentang perkara itu kerana ia tertakluk hanya pada pengetahuan Tuhan. Tuan Guru menegas sekali lagi bahawa bukan semua perkara diberitahu Tuhan kepada Nabi saw. Kata Tuan Guru, Nabi saw tidak diberitahu tentang bila baginda akan sakit. Jika baginda tahu, pasti baginda boleh mengelaknya. Begitu juga dengan perkara-perkara ghaib yang lain seperti kekayaan, kebajikan dan sebagainya. Sekiranya perkara-perkara ghaib seperti itu diketahui nescaya Nabi saw akan memilih yang baik-baik sahaja, yang untung-untung sahaja bukannya yang tidak bermanfaat, yang rugi dan sebagainya. Hikmah Nabi saw tidak diberitahu sesetengah perkara adalah untuk menunjukkan bahawa Nabi saw adalah makhluk bukannya Tuhan. Tugas Nabi saw bukannya untuk meramal kejadian sebaliknya untuk menakutkan orang-orang kafir tentang balasan neraka dan menyampai khabar gembira kepada orang-orang beriman dengan ganjaran syurga. Contoh khabar menakutkan yang disampaikan oleh Nabi saw ialah tentang penghuni neraka. Nabi saw menceritakan kepada anaknya, Fatimah tentang keadaan penghuni neraka. Ada perempuan yang diikat rambutnya dengan dawai lalu digantung ke atas dengan tangannya tergedik-gedik tanpa kakinya mencecah tanah. Tanya Fatimah, apakah kesalahan yang dilakukan oleh penghuni neraka itu? Jawab baginda, Kesalahan penghuni neraka itu ialah tidak menutup aurat. Kata Tuan Guru, membesarkan perkara-perkara maksiat juga mendekatkan diri ke jurang neraka.
Tuhan menjadikan manusia dari dirinya yang satu yang bernama Adam. Tuan Guru bertanya kepada kami (dengan dialek Kedah), Tok Adam tu bin apa? bin Tanah ka? Kata Tuan Guru, Adam dijadikan dari 60 jenis tanah, 60 jenis air dengan panjangnya 60 hasta. 40 tahun selepas dibentuk, Adam belum diberikan nyawa. Iblis terlebih dahulu masuk kedalam badan Adam meninjau struktur badan Adam. Sebab itu kata Tuan Guru, tabiat manusia itu terdiri dari 60 macam kerana dijadikan dari 60 jenis tanah. Ketika makhluk lain hendak diambil/dipilih untuk dijadikan tempat kediaman manusia maka semuanya menolak sebab makhluk lain tahu bahawa sifat manusia yang suka merosak. Bumi juga asalnya menolak tetapi atas perintah Tuhan, bumi akhirnya terima. Dari Nabi Adam, dijadikan Hawa iaitu isterinya. Hawa itu dijadikan dari tulang rusuk kiri Nabi Adam. Tulang rusuk itu ditarik keluar tanpa Adam merasa sakit sedikit pun. Hikmahnya disini ialah untuk menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Tuhan yang boleh menjadikan manusia samada dari tanah, tulang, air atau apa sahaja. Dijadikan Hawa itu supaya Adam tidak berasa sunyi dan boleh berjinak-jinak dengan isterinya. Pasal apa dijadikan Hawa? Supaya Adam itu tetap hatinya pada Hawa yakni tidak sunyi lagi. Kata Tuan Guru, satu lagi hikmah mengapa perempuan itu dijadikan dari tulang rusuk ialah untuk menunjukkan bahawa perempuan itu jika tidak diasuh dengan betul maka hati dan fikirannya akan menjadi bengkok sama seperti fizikal tulang rusuk yang bengkok. Selain itu, tulang sifatnya rapuh maka perempuan juga perlu dijaga hatinya kerana hati mereka mudah rapuh. Sebab itulah lelaki/suami/bapa kena pujuk perempuan/isteri/anak perempuan, membentuk dan mengasuh mereka supaya hati dan fikiran mereka lurus mengikut jalan yang betul dan tidak rapuh yakni tidak teguh pendirian dan mudah ikut-ikutan perkara yang tidak betul. Kata Tuan Guru, oleh kerana perempuan itu dijadikan dari tulang rusuk kiri maka isteri jangan diberi tidur sebelah kanan sebaliknya tidur disebelah kiri. Kelak nanti, isteri tidak patuh pada perintah suami.
Kewajipan isteri ialah taat pada suami. Pada satu hari, ada seorang anak dara berjumpa Rasulullah saw bertanyakan tentang tanggungjawab selepas bernikah. Kata Nabi saw, tanggungjawab isteri sangat berat. Kalau hingus suami meleleh dan minta dijilat maka isteri perlu menjilatnya. Lalu anak dara itu menjawab, kalau macam ini tak perlulah kahwin. Apa sebenarnya yang Nabi saw ingin sampaikan ialah tentang tanggungjawab isteri yang sangat berat. Yang Nabi saw sebutkan tadi hanyalah perumpamaan sahaja. Hakikatnya suami dan isteri hendaklah saling bekerjasama. Suami hendaklah membantu isteri setiap masa. Wajib atas suami memberi makanan yang sudah dimasak, baju yang sudah dijahit, tempat kediaman yang sesuai kepada isteri. Sebagai suami, jangan biarkan diri kita terhutang pada isteri. Sebab itu, setiap hari, suami perlu minta maaf dari isteri takut-takut makanan yang diberikan tidak cukup, pakaian tidak lengkap atau kediaman tidak sempurna. Apabila suami dan isteri tidak bergaduh dan bahagia maka malaikat akan mendoakan rahmat dan keberkatan kepada seisi rumah. Suami isteri mestilah satu hati satu badan. Setelah beberapa lama Adam dan Hawa bersama maka buntinglah Hawa. Adam dan Hawa belum mempunyai pengalaman mengandung dan beranak lalu tidaklah diketahui apa sebenarnya yang berada didalam perut Hawa. Lalu iblis dan syaitan datang kepada Adam dan Hawa untuk menakut-nakutkan mereka. Kata iblis kepada Hawa, Dalam perutmu itu, entah-entah anjing atau kera atau kaldai. Dan barangkali kandunganmu akan keluar ikut mulut atau pecah diperut. Hawa menjadi takut lalu memberitahu kepada Adam. Adam dan Hawa lalu bermunajat bersama-sama memohon ke hadrat Ilahi mohon diberi petunjuk apa yang ada didalam perut dan jika ada anak didalam perut itu maka jadikanlah ia anak yang soleh supaya kami (Adam dan Hawa) boleh mengucapkan syukur sebanyak-banyaknya atas kurnia Allah Taala. Lalu Tuhan perkenan doa tersebut. Sebab itulah suami dan isteri perlu berdoa bersama-sama sama seperti yang dilakukan oleh Adam dan Hawa agar memohon dikurniakan kesejahteraan, kebahagiaan dan zuriat yang soleh dunia dan akhirat.
(* Catatan bebas ana sewaktu menghadiri majlis ilmu Tuan Guru Haji Salleh. Sebarang kesilapan catatan adalah atas kelemahan dan kekurangan ana jua)

No comments:

Post a Comment