Sunday, August 30, 2009

Manaqib Sayyidah Khadijah al-Kubra - al-Muhaddith Dr Sayyid Muhammad Alawi al Maliki al Hasani - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin

* Catatan bebas ana di Masjid Taman TAR Ampang pada 30 Ogos 2009
Nabi Muhammad saw pada awalnya tidak berhajat untuk beristeri. Sebab itulah Nabi saw dilamar oleh isterinya, Sayyidah Khadijah ra. Faham Kristian yang menyatakan bahawa perkahwinan itu tidak mulia kerana tidak memelihara syahwat tertolak kerana Nabi saw berkahwin bukan dengan atas tujuan tersebut sebaliknya atas dasar sunnah. Sebelum berkahwin dengan Nabi saw, Khadijah pernah berkahwin dengan dua orang lelaki iaitu Atiq dan Abu Halah. Khadijah dikurniakan beberapa orang anak hasil perkahwinan itu. Dalam majlis pernikahan baginda saw dengan Khadijah ra, salah seorang juru cakap di pihak Khadijah ra ialah Waraqah bin Naufal yang merupakan sepupu kepada Khadijah ra. Waraqah adalah seorang yang sangat alim dan tidak pernah menyembah berhaka. Apabila Waraqah wafat, Nabi saw pernah bermimpi melihat Waraqah memakai baju putih. Kata ulama, Sesiapa yang bermimpi melihat seseorang itu memakai baju putih maka ia adalah ahli syurga manakala jika memakai baju hitam maka ia adalah penghuni neraka. Ketika Nabi saw berkahwin dengan Khadijah ra, ada juga yang berasa hasad kerana tidak dapat memperisterikan Khadijah. Perkara hasad ini adalah satu kebiasaan bagi orang yang dikurniakan nikmat. Makin banyak nikmat yang dikurniakan maka makin ramailah pendengkinya. Sesetengah ulama berkata bahawa orang pertama yang masuk Islam secara mutlak ialah Khadijah ra. Ini adalah kerana beliaulah orang pertama yang ditemui oleh Nabi saw selepas Nabi saw menerima wahyu yang pertama di Gua Hira'. Sebaik ditemui dan diceritakan oleh Nabi saw maka Khadijah terus membenarkan kata-kata Nabi saw. Walaubagaimanapun sesetengah ulama membahagikan orang-orang yang masuk Islam di peringkat paling awal seperti berikut; orang lelaki yang mula-mula masuk Islam ialah Abu Bakar ra, orang perempuan yang mula-mula masuk Islam ialah Khadijah ra dan kanak-kanak yang mula-mula masuk Islam ialah Ali ra. Selepas Nabi saw berkahwin, Khadijah lah yang menyiapkan segala kelengkapan Nabi saw untuk beruzlah. Nabi saw dicampakkan perasaan kasih sayang untuk menyendiri daripada hiruk-pikuk dan kesibukan manusia. Tujuannya ialah untuk menumpukan hati dan meningkatkan rasa kasih kepada Allah Ta'ala. Uzlah ini samalah maknanya dengan iktikaf (bahasa fiqh) atau khalwat (bahasa tasawwuf). Iktikaf ini adalah sunat muakkad sebab Nabi saw tidak pernah meninggalkannya khususnya dalam 10 hari terkahir dalam bulan Ramadhan. Imam Syafi'i pernah berkata, Aku kagum melihat orang meninggalkan iktikaf (sedangkan Nabi saw tidak pernah meninggalkannya). Dengan beriktikaf, Nabi saw bertafakkur tentang kerajaan bumi dan langit. Nabi saw menumpukan perhatian terhadap matlamatnya dan menghadap Tuhannya dalam keadaan tenang dan terlepas dari segala ikatan dan kesibukan. Sebab itulah kita juga dituntut untuk beriktikaf kerana amalan tersebut sangat besar hikmahnya. Seperti yang disebut tadi, Khadijah lah yang menyediakan kelengkapan suaminya yang tercinta untuk bersendirian di Gua Hira'. Jika dirasakan pemergian Nabi saw terlalu lama, Khadijah akan mendaki Jabal Nur untuk meninjau keadaan Nabi saw. Khadijah tidak akan menegur Nabi saw jika didapati baginda saw sedang tenggelam dalam uzlahnya sebaliknya setelah memastikan Rasulullah saw berada dalam keadaan baik, Khadijah kemudiannya turun semula dari gua lalu pulang kerumahnya. Kata Syeikh, bukannya mudah hendak menuruni Jabal Nur tetapi Khadijah ra berjaya melakukannya kerana beliau bukanlah calang-calang wanita. Kata Syeikh, jika Khadijah ra tidak redha dengan pemergian Nabi saw untuk beruzlah maka sudah tentu wahyu pertama tidak diturunkan di Gua Hira'. Dan disebabkan itulah kita perlu mengingati pengorbanan besar Khadijah ra kerana atas sebab asbab redhanya maka wahyu pertama turun di Gua Hira'. Berbalik cerita iktikaf tadi, salah satu hikmah iktikaf ialah kita mengenang kembali dosa kita lalu bertaubat dan meminta ampun kepada Allah Ta'ala. Kata seorang tabi'en yang merupakan anak murid Saiyidatina Aisyah ra, setitik air mata yang jatuh akan segera disapunya ke seluruh badannya. Ini adalah kerana airmata yang keluar disebabkan takutkan Allah tidak akan disambar oleh api neraka. Seperti yang disebut tadi, amalan iktikaf adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat-sangat dituntut untuk dikerjakannya. Sunat ghairi muakkad pula ialah sunat yang tidak dilakukan secara berterusan oleh Nabi saw. Sebagai contoh, solat sunat sebelum Isya' adalah sunat ghairi muakkad. Sebab itu selepas azan Isya', solat Isya' boleh terus dikerjakan tanpa perlu mendahulukan dengan solat sunat. Lazimnya hal ini berlaku apabila ada majlis ilmu atau syarahan sebelum mengerjakan solat Isya'. Kata Syeikh, Nabi saw pernah terlepas solat subuh. Peristiwa itu berlaku ketika Nabi saw bermusafir dengan sahabat. Nabi saw dan para sahabat yang lain terlajak waktu subuh tanpa disedari sehingga naik matahari. Sebaik terjaga, Nabi saw terus mengambil wuduk dan meminta Bilal azan sebelum mengerjakan solat secara berjemaah. Disinilah timbul 3 pendapat dalam bidang fiqh iaitu adakah azan itu untuk menandakan masuk waktu atau mendirikan solat atau melakukan solat secara berjemaah. Imam Syafi'i pernah memberi dua pendapat iaitu pendapat pertama yang disebutnya ketika berada di Iraq dan pendapat kedua yang disebutnya ketika berada di Mesir. Dalam pendapat pertama, Imam Syafi'i menyatakan bahawa azan itu adalah untuk mendirikan solat manakala dalam pendapat yang kedua, Imam Syafi'i menyatakan bahawa azan itu adalah menandakan masuknya waktu solat. Kedua-dua pendapat ini dipegang oleh ulama. Jadi kata syeikh, jika azan dilaungkan walaupun waktu solat telah lama masuk maka ia bukanlah bersalahan kerana berpegang kepada pendapat Imam Syafi'i yang pertama tadi. Sunat yang lain yang sangat besar hikmahnya dalam bulan Ramadhan ini ialah menjamu orang makan berbuka dan juga makan sahur. Amalan lain yang sangat dituntut ialah memberi infa'. Infa' yang paling besar ialah infa' kepada ahli ilmu. Peranan ahli ilmu sangat besar kerana merekalah yang menjaga Islam dan menjadi pewaris Nabi saw. Sebab itulah ulama sangat sayang kepada anak-anak murid mereka kerana ganjaran infa' kepada ahli ilmu ini berlipat-lipat kali ganda. Manakan tidak, ilmu yang diturun kepada anak murid itu kemudiannya diamal dan diturunkan pula kepada generasi berikutnya dan begitulah seterusnya. Orang kaya turut memainkan peranan dalam kerja-kerja agama ini. Harta yang ada digunakan untuk menyokong kerja-kerja dakwah. Jika orang kaya tahu peranannya dan pendakwah tahu peranannya maka Islam akan terus subur dan berkembang dimana-mana sahaja. Pendakwah wajib berdakwah melainkan jika beliau sudah tidak mampu menyara dirinya. Apabila sampai ke peringkat ini maka orang kayalah yang akan berdosa kerana tidak membantu kerja-kerja dakwah. Kenanglah jasa-jasa Sayyidah Khadijah ra yang telah mengorbankan segala hartanya yang ada kepada baginda saw untuk memastikan dakwah Islam berkembang sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment