Tuesday, October 19, 2010

Syarah kitab Penawar Hati

*Catatan bebas pada 16 Oktober 2010 di Masjid al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara
Hadith berkaitan pendakwah yang malang
Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Harithah radiallahu anhuma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Akan didatangkan seorang lelaki pada hari qiamat nanti lalu dilemparkan ke dalam api neraka sehingga terkeluarlah isi perutnya kemudian lalu ia berpusing (ditengah-tengah unggunan api neraka) seperti berpusingnya seekor kaldai di tempat penggilingan gandum. Para penghuni neraka terkejut melihat kejadian ini lalu mereka segera berhimpun di sekelilingnya sambil berkata kepadanya, Hai Fulan! Mengapa engkau jadi begini? Bukankah dahulu (sewaktu di dunia) engkau suka menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang mereka daripada kemungkaran?” Lalu orang itu menjawab, “Ya benar. Dahulunya saya suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi saya tidak melakukannya dan saya suka melarang orang lain daripada melakukan kemungkaran tetapi saya sendiri melakukannya” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud pendakwah yang malang di sini ialah ia mengajar orang lain tetapi ia sendiri tidak beramal dengan ilmunya. Seorang pendakwah yang menyeru amal makruf nahi munkar mestilah terlebih dahulu mempraktikkannya sebelum menyeru kepada orang lain. Apabila ia mempraktikannya kemudian menyeru pula kepada orang lain maka pahalanya luar biasa berganda. Ini adalah kerana ia mendapat pahala amal ibadah atas amal yang dikerjakannya dan pahala dia mengajar kepada orang lain apabila orang lain mengerjakan apa yang diajarnya. Ia akan mendapat pahala yang sempurna dari setiap orang yang mempraktikkan ajarannya. Inilah yang dikatakan pahala yang luar biasa gandaannya. Sebab itulah apabila berdakwah maka ia perlu mempraktikkannya sekali. Jika tidak kesannya terhadap masyarakat sangat buruk kerana masyarakat mengambil teladan daripadanya. Sebagai contoh, jika ia menyeru orang ramai agar menutup aurat sedangkan isterinya sendiri tidak menutup aurat lalu bagaimana masyarakat hendak menuruti perintahnya kerana ia sendiri tidak mempraktikkannya di kalangan ahli keluarganya sendiri. Itulah sebabnya orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan diseksa terlebih dahulu sebelum penyembah berhala. Apapun ini bukanlah alasan untuk kita tidak mencari ilmu. Ibarat orang tidak mahu menggunakan tenaga elektrik kerana takut terkena kejutan elektrik sedangkan menggunakan tenaga elektrik itu adalah satu keperluan dan mempunyai banyak manfaat kepada kehidupan. Begitu jugalah dengan ilmu. Ilmu wajib dituntuti dan perlu beramal dengannya.
Ilmu mudah diperolehi dan dihayati jika didahulukan dengan niat yang betul. Orang yang berada dalam kelompok ini amat mudah hendak beramal dengan ilmunya. Imam al-Ghazali sentiasa menasihati penuntut ilmunya dalam setiap permulaan kitab-kitab yang ditulisnya. Beliau meminta penuntut ilmu agar menuntut ilmu dengan tujuan untuk mencari keredhaan Allah bukannya untuk tujuan kemegahan dunia. Jika niatnya betul maka segala urusannya akan dipermudahkan Allah Ta’ala. Niat yang betul termasuklah niat untuk menghapuskan kejahilan dan ikhlas apabila menuntut ilmu. Salah satu tanda seseorang itu mendapat keberkatan ilmu ialah apabila ia mengaji dengan orang alim yang beramal dengan ilmunya dan mempunyai hubungan sanad atau rantaian yang sampai kepada Rasulullah saw. Orang yang mengaji dengan sarjana yang tidak beramal dengan ilmunya tidak akan mendapat keberkatan ilmu walaupun gurunya itu menguasai pelbagai jenis bidang ilmu. Sebagai contoh, ia mengaji dengan orientalis. Ini adalah kerana keberkatan ilmu tercabut apabila ilmu itu tidak diamal.

Hadith tentang kenapa doa ditolak
Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu berkata, Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah swt itu baik dan Dia tidak menerima kecuali yang baik juga dan sesungguhnya Allah swt telah menyuruh orang-orang yang beriman dengan apa yang ia suruh kepada sekalian Mursalin (para Rasul) maka Allah swt berfirman (seperti yang disebutkan dalam hadith di atas yang maksudnya), “Hai sekalian Rasul! Makanlah daripada yang baik-baik (yang halal) dan beramallah akan amalan yang baik”. Dan Ia berfirman pula, “Hai orang-orang yang beriman! Makanlah dari segala yang baik yang telah Kami berikan rezeki kepada kamu”. Kemudian Nabi saw menyebut seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut rambutnya, berdebu badannya, mengangkatkan kedua tangannya ke atas langit sambil berdoa, “Ya Rabbi! Ya Rabbi! (Ya Tuhanku), sedangkan makannya dari harta yang haram, minumannya dari harta yang haram, pakaiannya dari harta yang haram dan mulutnya disuapkan makanan yang haram maka bagaimana akan diperkenankan doanya”. Hadith Riwayat Muslim
Doa dimaqbulkan apabila cukup syaratnya tetapi tidak semestinya nyata kesannya di hadapan mata. Nabi Musa as berdoa selama 40 tahun. Hanya selepas itu barulah baginda nampak akan kesan doanya itu. Allah Ta’ala Maha Mengetahui akan waktu yang sesuai untuk hamba-hamba-Nya. Oleh yang demikian kita tidak harus berburuk sangka kepada Allah Ta’ala andainya kesan doa itu tidak nampak secara langsung kerana Allah Ta’ala Maha Mengetahui yang terbaik untuk kita. Doa yang ditolak disebut mardud. Doa ditolak apabila syaratnya tidak cukup. Syarat doa itu dimaqbulkan ialah apabila ia memakan makanan yang halal dan memakai pakaian dari sumber yang halal. Orang yang makan dari sumber yang halal amat mudah hendak beribadah kepada Allah Ta’ala. Orang yang makan benda haram tidak berminat hendak beribadah sebaliknya cenderung untuk berbuat maksiat. Antara sebab doa ditolak ialah jika makanan, minuman, pakaian, tempat kediaman dan kenderaannya berpunca dari sumber yang haram. Apabila bertemu dengan orang yang soleh, mintalah ia mendoakan kita. Salah satu sebab kita menghimpunkan orang ramai membaca Yaasiin dan tahlil ialah dengan harapan ada orang yang soleh duduk dalam majlis itu dan berdoa untuk kita. Mudah-mudahan kita dapat menumpang syafaatnya. Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dalam kitab Sairus Salikin Juzuk Ke-2 ada menyatakan bahawa selagi ada benda haram dalam tubuh kita walaupun dalam kuantiti yang sedikit maka ia masih menjadi sebab mengapa doa kita tertolak. Pernah Umar al-Khattab bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang bagaimana hendak mencari rezeki yang halal. Kata Ubai, “ Wahai Khalifah, pernahkah engkau berjalan di satu padang yang penuh dengan onak duri, rumput tinggi dan jalan yang berlubang?” Umar menjawab, “Ya”. “Lalu bagaimana engkau menempuhinya?” Tanya Ubai semula. “Bila aku melangkah, aku teliti dan apabila aku meletak kaki, aku teliti”, jawab Umar. “Nah, maka begitulah caranya umat Islam mencari rezeki yang halal”, kata Ubai. Atas sebab itu, kita hendaklah berhati-hati mencari rezeki yang halal. Imam al-Ghazali pernah berkata dalam kitabnya Ihya Ulumuddin dengan katanya, “Apalah gunanya dikurniakan usia yang panjang sehingga 200 tahun andai kata pengakhirannya ialah didalam api neraka.” Dengan sebab itu maka berhati-hatilah dalam urusan rezeki kerana ia terkait dengan amal ibadah kita.

Hadith tentang Jauhi Tujuh Pembinasa
Daripada Abu Hurairah radialallahu anhu, Rasulullah saw bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah tujuh pembinasa itu?” Nabi saw menjawab, “ Menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sihir, membunuh jiwa, yang diharamkan oleh Allah swt melainkan dengan kebenaran menurut syarak, memakan harta riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan pertempuran (di waktu berkecamuk peperangan) dan menuduh berzina terhadap perempuan-perempuan mukminah yang baik yang selalu menjaga diri daripada perbuatan yang keji”. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim
Maksud Tujuh Pembinasa di sini ialah dosa besar yang terbesar. Imam Syamsuddin az-Zahabi menyatakan dalam kitab Dosa-Dosa Besar bahawa terdapat 70 macam dosa-dosa besar. Yang disebut sebagai dosa besar ialah sesuatu yang dilarang yang dinyatakan secara terang-terang di dalam al-Quran dan Hadith tanpa sebarang kiasan. Dari sekian banyak dosa besar itu ada 7 dosa yang paling besar. 7 dosa paling besar itu ialah
1. Syirik kepada Allah
2. Sihir – timbul daripada perasaan hasad dengki sampai boleh membunuh orang. Mengikut Mazhab Syafi’i, penyihir boleh dijatuhkan hukuman bunuh jika sabit kesalahan atasnya.
3. Membunuh
4. Memakan harta riba – Dosa ini lebih besar dari dosa orang yang berzina dengan ibunya sendiri
5. Memakan harta anak yatim – Waris atau orang yang menguruskan harta anak yatim perlu amanah
6. Lari dari medan peperangan – Perbuatan ini boleh melemahkan semangat orang lain yang sedang berperang dan menyebabkan kekalahan, sebab itulah ia diletakkan sebagai dosa yang paling besar
7. Menuduh orang yang baik-baik berzina – Perbuatan ini boleh menjejaskan maruah orang lain.
Dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa besar dan dosa kecil. Dosa besar terbahagi kepada dua iaitu dosa kepada Allah Ta’ala dan dosa kepada makhluk lain. Syarat taubat bagi dosa kepada Allah Ta’ala ialah dengan menyesal segala perbuatan yang lalu, menyesal dengan segala perbuatan sekarang dan berazam untuk tidak mengulanginya di masa hadapan. Syarat taubat bagi dosa kepada makhluk ialah dengan menyesal segala perbuatan yang lalu, menyesal dengan segala perbuatan sekarang, berazam untuk tidak mengulanginya di masa hadapan dan minta halal akan segala kesalahan yang dilakukan.
Agama Islam menjaga 5 perkara dimana jika setiap satunya dilanggar maka pelanggarnya akan dihukum,
1. Agama – orang yang mempermainkan agama akan dihukum
2. Nasab – orang yang berzina akan dihukum
3. Harta – orang yang mengambil harta orang lain akan dihukum
4. Darah – orang yang menumpahkan darah orang lain akan dihukum
5. Maruah – orang yang menjatuhkan atau mengaibkan maruah orang lain akan dihukum

Hadith tentang Golongan yang akan disekat dari Telaga Kautsar
Daripada Asma’ binti Abu Bakar As-Siddiq radiallahu anhuma berkata, “Rasulullah saw bersabda, “Ketika aku sedang berdiri di tepi telagaku (telaga Kautsar, iaitu pada hari qiamat nanti) sambil menunggu orang-orang yang datang meminum daripadanya, maka tiba-tiba ada orang-orang yang disekat daripada sampai ke sisiku (ke tepi telagaku). Lalu aku berkata, “Bukankah mereka itu juga dahulunya daripada umatku?” Maka dikatakan orang kepadaku, “Ya benar, tetapi engkau tidak mengetahui bahawa mereka setelah itu kembali ke belakang (berpaling tadah atau meninggalkan ajaranmu)”. Berkata Ibnu Abi Mulaikah (salah seorang di antara perawi hadith), “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada kembali kepada kekufuran atau kami diuji dengan ujian yang berat”. Hadith riwayat Bukhari
Kita perlu memperbanyakkan salawat untuk mendapat syafaat dari baginda saw. Salah satu cara untuk mendapat syafaat baginda saw ialah dengan menjawab azan yang dilaungkan dengan sempurna dan membaca doa selepas azan. Ketahuilah bahawa Nabi saw memberi syafaat ketika baginda di dunia dan di akhirat. Pernah suatu hari baginda saw bercerita di hadapan para sahabat tentang 70, 000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab. Lalu bangun seorang sahabat (catatan ana: kalau tak salah namanya Ukasyah) dan meminta agar dia dimasukkan ke dalam golongan itu. Mendengar permintaan sahabat itu, Nabi saw lalu membenarkannya. Tentang menjawab azan, Syeikh Zainuddin Malibari dalam kitabnya Irsyaadul Ibad ada berkata bahawa orang yang bercakap-cakap ketika azan dilaungkan dikhuatiri akan mati di dalam keadaan yang tidak boleh mengucap. Ketahuilah bahawa azan itu mengajar (mentalqin) kita untuk mengucap. Orang yang menjawab setiap panggilan azan dengan sempurna ibarat melatih dirinya untuk mengucap ketika berhadapan dengan sakaratul maut. Atas sebab itu, apabila berhadapan dengan sakaratul maut, ia tidak menghadapi masalah untuk mengucap apabila ditalqinkan di telinganya ucapan kalimah syahadah.

Hadith tentang kenapa Neraka yang dipilih
Daripada Jabir radiallahu anhu berkata, Rasulullah saw bersabda, “Perumpamaan aku dan perumpamaan kamu adalah seperti seorang lelaki yang duduk berdekatan unggunan api maka banyaklah belalang dan rama-rama (kelkatu) yang menjatuhkan diri ke dalam api itu maka orang itu berusaha sedaya upaya untuk menyekat binatang-binatang tadi supaya jangan sampai jatuh ke dalamnya, Aku (Rasulullah saw) berusaha memegang simpulan kain kamu supaya kamu jangan jatuh ke dalam jurang api neraka namun ramai di kalangan kamu yang masih juga hendak melepaskan diri daripada peganganku”. Hadith riwayat Muslim
Dan dalam hadith yang lain riwayat daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah saw bersabda, “Semua umatku akan masuk ke dalam syurga melainkan orang yang enggan”. Sahabat merasa hairan lalu bertanya, “Ya Rasulullah! Siapa yang tidak suka masuk syurga?” Rasulullah saw menjawab, “Sesiapa yang taat kepadaku bererti dia mahu masuk Syurga dan sesiapa yang menyalahi ajaranku maka orang itulah yang tidak mahu masuk syurga”. Hadith riwayat Bukhari
Nabi saw menyayangi kita lebih daripada ibubapa menyayangi kita. Atas sebab itu maka lakukanlah segala apa yang diperintah oleh baginda saw agar kelak kita akan mendapat pertolongan baginda saw. Nabi saw sangat kasih kepada umatnya. Baginda saw menunggu umatnya di Telaga Kautsar. Ketahuilah apabila Allah merahmati sesuatu umat maka Allah wafatkan Nabi umat itu terlebih dahulu. Baginda saw wafat sebelum umatnya dan baginda saw menungggu umatnya di akhirat kelak. Berbanding Nabi lain seperti Nabi Nuh, umatnya meninggal terlebih dahulu sebelum Nabinya wafat. Ketahuilah bahawa ada bahagian-bahagian badan yang tidak akan disentuh dengan api neraka iaitu bahagian badan yang disapu dengan air mata yang menangis kerana takutkan Allah Ta’ala. Nabi saw pernah bersabda bahawa mana-mana anggota yang terkena air mata yang menangis kerana takutkan Allah pasti tidak akan disentuh dengan api neraka.

No comments:

Post a Comment