Tuesday, October 19, 2010

Syarah Khas Habib Soleh al-Jufri sempena Majlis Hol Imam al-Haddad

*Catatan bebas di Masjid Shah Alam pada 16 Oktober 2010

Ketahuilah bahawa yang paling berharga dan yang paling mahal yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya ialah yaqin. Orang yang dikurniakan yaqin mempunyai darjat yang tinggi disisi Allah Ta’ala. Para Rasul diutus mempunyaikan kalimat yaqin iaitu dengan menyerah segala-galanya kepada Allah Ta’ala. Ketahuilah bahawa datangnya rasa susah dan sedih itu adalah disebabkan kurangnya yaqin. Kurangnya yaqin berlaku apabila sandaran diletakkan kepada sesuatu fana’. Ada yang bersandar kepada harta benda sedangkan harta benda itu pasti akan meninggalkannya. Apabila bersandar pada sesuatu yang fana’ maka hati akan berubah apabila sesuatu yang fana’ itu berubah. Ada juga yang bersandar pada makhluk padahal semua itu adalah sandaran secara sementara. Itulah sumber kesusahan , malapetaka dan kesedihan kepada manusia.

Ketahuilah bahawa Rasul diutus untuk menanamkan perasaan yaqin kepada diri manusia. Yaqin itu ialah dengan bersandar kepads Zat Yang Maha Kuasa. Jika manusia bersandar pada Allah Ta’ala maka hidupnya penuh ketenangan dan kebahagiaan. Sejarah menyaksikan betapa Firaun bersandar pada kekuasaannya, Qarun pada kekayaannya manakala kaum Aad dan Tsamud pada kekuatan mereka. Padahal sandaran mereka itu umpama sarang labah-labah di dalam rumah. Ketahuilah apabila kita menanam kalimah yaqin di dalam hati kita maka kita akan berjaya. Ucaplah kalimah La Ilaha Illallah dan lenyapkanlah sandaran terhadap makhluk maka Allah akan berikan ketenangan. Nabi saw pernah bersabda bahawa orang-orang yang mengucapkan bahawa Allah adalah Tuhanku dan betapa ia istiqamah terhadap ucapannya dan kehidupannya adalah berdasarkan kepada kalimah La Ilaha Illallah maka itulah tanda orang-orang yang istiqamah di jalan Allah. Maka akan datang padanya para malaikat untuk mendampingi dirinya dan melindungi dirinya. Lalu tercabutlah dari hatinya rasa takut dan khuatir. Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala menjanjikan syurga kepada orang-orang yang hatinya yaqin kepada Allah Ta’ala.

No comments:

Post a Comment