Tuesday, October 26, 2010

Syarah Khas Habib Muhammad bin Soleh al-Attas

*Catatan bebas ana di Ba' Alawi pada 23 Oktober 2010

Ketahuilah bahawa tidak ada kebanggaan dalam dunia ini melainkan majlis yang memuji Allah Ta’ala. Marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Ta’ala yang mentaufiqkan kita supaya bersyukur kepada-Nya. Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala memberi keizinan untuk kita bertemu di sini. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said bin Khudri, Muawiyah bin Abi Sufyan meriwayatkan bahawa pada satu hari Rasulullah saw keluar dari rumah dan bertemu para sahabat. Rasulullah saw bertanya kepada sahabat tentang perkara yang sedang dilakukan mereka pada ketika itu. Tanya Rasulullah saw, “Kenapa kamu duduk macam ini?” Jawab sahabat, “Kami hanya menyebut nama Allah bersama-sama”. Rasulullah saw bertanya semula berulang kali hinggalah akhirnya Rasulullah saw berkata, “Ini adalah satu anugerah besar dari Allah Ta’ala. Tentang perbuatan berhimpun menyebut nama Allah itu maka Rasulullah saw menyatakan bahawa telah datang Jibril as untuk memberitahu bahawa sesungguhnya Allah berbangga dan gembira melihat hamba-hamba-Nya yang telah diberi nafsu dan syahwat tetapi masih boleh berzikir mengingati-Nya.

Allah Ta’ala berbangga dengan amalan zikir hamba-hamba-Nya. Memperbanyakkan zikir secara beramai-ramai amat dibanggakan Allah malah Allah menyebut nama hamba-Nya di hadapan para malaikat. Ketahuilah bahawa dengan kehadiran kita semua maka kita telah menghidupkan sunnah Nabi saw. Kehadiran kita di sini sudah dijamin Allah Ta’ala sebagaimana dalam satu hadith Qudsi dimana Allah berfirman bahawa, “Aku duduk bersama-sama dengan orang yang menyebut nama-Ku beramai-ramai”. Maksud hadith ini menandakan bahawa Allah ada bersama-sama kita tatkala kita berhimpun beramai-ramai untuk mengingati-Nya. Rasulullah saw menganjurkan kita duduk dalam majlis zikir. Rasulullah saw ada bersabda bahawa andainya seseorang itu lalu di taman-taman syurga maka hendaklah ia segera duduk di situ. Jangan terlalai atau terleka sebaliknya rebutlah peluang untuk duduk di situ kerana terdapat rahsia yang kita tidak tahu tentangnya di sisi Allah Ta’ala. Dalam hadith yang lain, Rasulullah saw menyebut tentang anugerah yang dikurniakan Allah Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya yang duduk berzikir. Anugerah tersebut berupa ketenangan dan rahmat. Malah mendapat kemuliaan di sisi Allah Ta’ala kerana Allah menyebut-nyebut namanya dan para malaikat mengembangkan sayap ke atasnya. Sementara dalam satu hadith Qudsi dinyatakan bahawa barangsiapa mengingati Allah maka Allah akan mengingatinya. Barangsiapa yang duduk dalam jemaah untuk mengingati Allah maka Allah akan mengingatinya dalam jemaah tersebut. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Allah Ta’ala memerintahkan para malaikat mencari majlis-majlis zikir. Apabila malaikat bertemu dengan majlis zikir maka ia akan memanggil malaikat-malaikat yang lain. Mereka akan mengembangkan sayap hingga ke langit. Allah Ta’ala bertanya kepada mereka apakah mereka sudah berjumpa dengan majlis zikir. Lalu berkata para malaikat, “Ya kami sudah berjumpa dengannya.” Allah berfirman, “Apa yang mereka pohonkan?” Lalu para malaikat berkata, “Mereka memohon syurga”. Allah berfirman, “Adakah mereka pernah melihat syurga-Ku?” Lalu para malaikat menjawab, “Belum wahai Tuhan”. Allah berfirman, “Andai kata mereka diperlihatkan syurga maka sudah tentu mereka akan lebih bersungguh-sungguh mengerjakan zikir”. Kata malaikat lagi, “Mereka juga memohon perlindungan dari-Mu”. Allah berfirman, “Apa yang mereka pohonkan?” Malaikat menjawab, “Mereka memohon perlindungan agar dijauhkan dari api neraka”. Allah berfirman, “Adakah mereka sudah melihat neraka?” Malaikat menjawab, ‘Belum wahai Tuhan”. Allah berfirman, “Seandainya mereka diperlihatkan neraka sudah tentu mereka akan lebih bersungguh-sungguh memohon agar dijauhkan darinya”. Lalu berkatalah salah satu malaikat, “Tadi ada seorang datang ke tempat zikir tetapi ia tidak berzikir sebaliknya berhajat untuk bertemu dengan ahli majlis zikir”. Maka Allah Ta’ala berfirman, “Ketahuilah bahawa Aku mengampunkan dosa kesemua orang yang berada dalam majlis itu walaupun dia tidak turut serta berzikir dalam majlis itu”.

Ketahuilah bahawa majlis kita adalah umpama majlis Rasulullah saw. Majlis dimana didalamnya ada zikir dan majlis ilmu. Zikir adalah perkara yang sangat baik, begitu juga dengan majlis ilmu. Apa lagi jika ianya digabungkan bersama. Sabda Rasulullah saw, “Aku diutuskan untuk membimbing, mengajar dan memberi petunjuk”. Bertuahlah kita kerana dapat menghadiri majlis seumpama majlis Rasulullah saw di mana pengisiannya penuh dengan inayah dan petunjuk serta Allah menyebut nama-nama ahlinya. Andai kata salah seorang dijemput bertemu raja maka apakah persediaannya? Maka sudah tentulah ia akan membuat persiapan yang rapi samada dari segi pakaiannya, ucapannya dan segalanya dijaga sebaik mungkin. Dirinya akan sibuk dengan persiapan-persiapan agar ia dapat mempersembahkan yang terbaik kepada sang raja. Begitu jugalah dalam majlis ini. Kita perlu menjaga adab kerana kita sedang menghadap Allah Ta’ala. Allah Ta’ala tahu apa yang terkandung didalam zahir dan batin kita.

Zikir ada banyak jenis. Ada zikir dengan lidah, ada zikir dengan hati (sirr). Sebaik-baik zikir ialah kedua-duanya yakni lidah disertakan dengan hati. Orang yang beramal dengan zikir sirri akan sentiasa merasakan Allah melihatnya dan berasa malu untuk mengerjakan maksiat. Zikir sirri dihayati apabila ia membayangkan keagungan Allah dan memahami erti nama-nama Allah. Sebaik-baik zikir adalah dengan menyebut dengan lidah dan menghadirkan hati dengan penuh pemahaman. Dengan itu barulah zikir berfungsi dalam hidup kita. Orang yang berjaya menghayati zikir akan memperoleh ketenangan dan rahmah dari Allah Ta’ala. Zikir yang sempurna mendatangkan ketenteraman dan ketenangan. Kita hendaklah yaqin dan taarud bahawa jiwa kita diserahkan semuanya kepada Allah. Dia merahsiakan pemberiannya tetapi Dia tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya pulang dengan tangan yang kosong. Sebab itu apabila ada majlis-majlis zikir, ajaklah orang lain untuk datang bersama-sama. Agama-agama lain walaupun telah diketahui batil sifatnya namun mereka tetap menjayakan majlis mereka dengan bersungguh-sungguh. Agama kita yakni Islam adalah agama yang benar maka hendaklah kita lebih bersungguh-sungguh menjayakan majlis lebih dari mereka. Kita sepatutnya lebih seronok dan berasa berbahagia kerana agama kita adalah agama yang benar. Kita sepatutnya mengajak lebih ramai orang untuk hadir bersama. Rasulullah saw bersabda bahawa seseorang yang mengajak orang lain untuk membuat ketaatan maka ia akan memperoleh ganjaran pahala atas amalan baiknya. Dalam hadith yang lain, Rasulullah saw ada bersabda bahawa Allah Ta’ala akan memberi anugerah masuk syurga tanpa hisab bagi mereka yang bertemu bukan dengan alasan dunia tetapi dengan berkasih sayang kerana Allah Ta’ala. Mudah-mudahan Allah mensucikan zahir dan batin kita, melimpahkan rahmat dan bertemu Rasulullah saw, ahli keluarga dan para sahabat. Ketahuilah bahawa kelebihan zikir yang paling utama ialah kita tidak akan berpisah dalam majlis zikir melainkan diampunkan Allah Ta’ala semuanya.

No comments:

Post a Comment