Monday, October 12, 2009

Ucaptama Wacana Pemikiran Prof Dr Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki - Disampai oleh anakandanya Sayyid Ahmad dan tamb. murid kanannya Habib A Rahman

* Catatan bebas ana di Auditorium Muzium Kesenian Islam pada 11 Ogos 2009 jam 9.00 pagi
Ucaptama Sayyid Ahmad
Perkara penting yang berkait-rapat tentang aqidah
Persoalan kenapa kita perlu menisbahkan dengan Imam Abu Hasan al-Asy’ari
Kita menisbahkan dengan Imam Abu Hasan al-Asy’ari kerana beliau adalah penyumbang yang sangat besar dalam mengumpulkan nas dan dalil dari sahabat, tabi’in, dan tabi’in tabi’in tentang perkara-perkara aqidah.
Ada golongan yang memfitnah Imam Abu Hasan al-Asy’ari kerana menisbahkan namanya dengan aqidah ASWJ. Golongan ini tidak faham bahawa Imam Abu Hasan al-Asy’ari hanyalah seorang khadam yang mengumpul dan menyusun semula nas dan dalil tentang aqidah dari golongan yang terdahulu.Kita mengikut Imam Abu Hasan al-Asy’ari berasaskan sumbangan besar beliau dalam aqidah ASWJ, tidak lebih dari itu.
Kenapa guna istilah ASWJ?
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa yang sangat dekat dengan hak itu ialah perilaku para sahabat. Kita perlu menjadikan mereka role-model kerana merekalah yang sebenarnya digelar salafussoleh yang mempelopori ASWJ. Perkataan salafi pula adalah merujuk kepada golongan sahabat, tabi’in dan tabi’in tabi’in. Jadi salafi yang digunapakai untuk merujuk golongan tertentu pada masa ini perlu ditolak.
Tentang Imam Maturidi yang merupakan seorang lagi tokoh besar dalam ASWJ, beliau hanya berbeza pendapat dalam beberapa perkara cabang sahaja. Hakikatnya beliau adalah pendokong ASWJ.
Sabda Rasulullah saw, Segolongan besar umatku tidak akan sepakat dalam perkara batil.
Yang dimaksudkan dengan segolongan besar umat itu ialah ASWJ. ASWJlah yang mewakili umat Islam terbesar pada hari ini. Ibnu Rusyd pernah menyatakan, Tidakklah seseorang itu mengkritik umat Islam ASWJ melainkan orang itu adalah orang-orang yang bodoh.
Sayyid Muhammad Alawi lebih membenarkan ayat al-Quran dari mentakwilkannya seperti ayat yang berkaitan dengan “tangan Allah”. Sayyid Muhammad tidak mentakwilkan tangan Allah seperti yang ditakwil oleh golongan lain yang menyatakan bahawa tangan itu mungkin bermaksud kuasa dan sebagainya sebaliknya beliau mengekalkan maksud ayat tanpa mentakwilkannya.
Tentang penggunaan hadith dhaif untuk tujuan beramal, seperti yang dibahas oleh Sayyid Ahmad, hadith ini boleh diamalkan dalam masalah-masalah fadhail dengan tujuan untuk meningkatkan motivasi atau menaikkan semangat dalam mengerjakan sesuatu ibadah. Tetapi dalam bab-bab aqidah, kita tidak boleh beramal dengan hadith dhaif.
Satu lagi masalah pokok yang melanda umat Islam pada hari ini ialah isu mengkafirkan orang. Sayyid Muhammad berpendapat adalah sangat bahaya bagi satu golongan yang kerjanya suka mengkafirkan orang lain. Perkara inilah kemudiannya yang mencetuskan kepada perkara lain yang boleh menjatuhkan imej umat Islam seperti teroris dan radikal. Mengkafirkan orang lain adalah benih permulaan kepada siri rentetan perkara negatif lain seperti kekejaman, keganasan dan sebagainya yang wajar dijauhi.
Jadi siapa sebenarnya yang boleh mengkafirkan atau menjatuhkan kafir pada orang lain? Hanya orang tertentu yang mempunyai kedudukan atau autoriti tertentu sahaja yang boleh berbuat demikian. Sebab itulah keputusan mengkafirkan orang ini bukanlah boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Masalah seterusnya ialah tentang perkara bidaah. Masalah bidaah bukan masalah aqidah sebaliknya ia banyak dibicarakan dalam bab feqah. Dalilnya, ulama-ulama dahulu tidak ada menyentuh perkara bidaah ini apabila menyusun kitab tauhid. Bab-bab seperti ziarah kubur dan tawassul tidaklah dibicarakan dalam kitab tauhid. Dalam bertawassul, tidak pernah berlaku pengagungan makhluk seperti yang didakwa oleh setengah pihak. Tawassul menurut ASWJ tidak pernah menyamakan makhluk dengan Tuhan. Para sahabat sendiri tidak menentang apabila diadakan majlis memuji Rasulullah saw kerana mereka tahu bahawa perkara itu bukanlah sesuatu yang bersalahan malah mendatangkan keberkatan dan rahmat dari Allah Ta’ala kerana memuji dan mengasihi kekasih-Nya.

Tambahan syarah dari murid kanan Sayyid Muhammad – Habib Abdurrahman (saya mohon maaf kerana tidak pasti dengan nama habib ini, harap dapat diperbetulkan jika ada pembalaca lain yang tahu)
Di awal syarahnya, Habib memaklumkan bahawa beliau mula belajar di Makkah pada tahun 1982 dan tinggal disana sehingga tahun 1994. Maknanya beliau berada disana selama 12 tahun untuk menimba ilmu. Walaubagaimanapun kata beliau dengan menyebut pandangan Imam al-Ghazali, tempoh 12 tahun itu adalah satu tempoh yang singkat. Kata Imam al-Ghazali, untuk menimba ilmu itu, masanya adalah panjang agar senantiasa mendapat petunjuk dari tuan guru. Kata beliau apabila membicarakan tentang gurunya,
Sayyid Muhammad adalah seorang yang sangat gigih mempertahankan aqidah ASWJ. Beliau menggambarkan aqidah ASWJ seperti begini;
Ketika Rasulullah saw duduk dalam satu majlis, ahli keluarganya (ahlul bait) duduk di sebelah kanan baginda saw manakala para sahabat duduk disebelah kiri baginda. Lalu datang seorang tetamu, menjemput baginda saw dengan ahli keluarga baginda datang kerumahnya. Tetamu kedua pula datang menjemput baginda saw dengan para sahabat datang kerumahnya manakala tetamu ketiga datang menjemput baginda saw berserta keluarga dan para sahabat datang kerumahnya. Lalu kedudukan ASWJ adalah yang berada ditengah-tengah kelompok itu yang sentiasa berada dalam lingkungan Rasulullah saw, ahlul bait dan para sahabat.
Tentang ziarah maqam, kita meminta atau memohon kepada Allah swt melalui jalur Rasulullah saw dan orang-orang yang dekat dengan Allah swt.
Tentang kitab aqidah. Sayyid Muhammad menganjurkan umat Islam supaya sentiasa mempelajari kitab-kitab aqidah ini dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Kata habib, kitab yang beliau telaah dari peringkat awal ialah Aqidatul Awwam, Jauharatut Tauhid, at-Tahawiyyah dan Ihya Ulumuddin.
Sayyid Muhammad mendidik masyarakat dengan cara mengajak dan berdakwah dalam usaha mempertahankan aqidah ASWJ. Kata Habib, banyak orang yang menumpang aqidah ASWJ tetapi tidak bias memahami ASWJ. Orang yang tidak memahami ASWJ amat mudah menyalahkan orang lain dan mencaci-maki orang lain sedangkan ASWJ tidak begitu. Kata habib, golongan yang suka mentakfirkan orang lain dianggap golongan ‘pancaroba’. Golongan ini amat suka mengkafirkan orang lain tetapi mudah tunduk dengan hujah ASWJ. Apabila dihujat ASWJ, mereka tidak berani lagi mengatakan orang lain sebagai kafir tetapi digelarnya orang itu sebagai pembidaah pula. Jika dihujat lagi oleh ASWJ, mereka tidak akan berani mengatakan orang itu pembidaah sebaliknya hanya mampu mengatakan orang itu sebagai tidak baik sahaja. Cara menyerang golongan ini tidak lain dan tidak bukan ialah dengan akhlak. Sayyid Muhammad menolak hujah dan pandangan orang lain dengan sopan tanpa menyebut nama orang yang membuat kesalahan. Beliau mengikut sunnah Rasulullah saw yang tidak menyebut nama orang yang melakukan kesalahan atau orang yang ditegur dengan baginda ketika berdebat dengan orang lain atau musuhnya. Itulah akhlak yang sejati. Di akhir syarah, habib memetik kata Imam asy-Syafi’i, Aku mampu menang dalam perbahasan jika aku berdebat dengan orang yang pintar tetapi aku tidak upaya menang dengan orang jahil jika aku berdebat dengannya. Orang jahil tidak sekali-kali akan mengaku kalah walaupun ia jahil. Oleh itu, kata habib, berhati-hatilah apabila berhadapan dengan golongan ini.

No comments:

Post a Comment