Sunday, October 4, 2009

Mafahim Yajibu an-Tusohhah - Syarah oleh Syeikh Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 4 Oktober 2009
Apabila seseorang itu dibantu oleh orang lain tetapi kemudiannya orang yang membantunya itu dilawannya maka dapatlah dikatakan bahawa orang ini adalah orang yang tidak tahu mengenang budi. Begitulah juga dengan orang yang dibantu oleh Allah, diberi kurnia oleh Allah tetapi orang ini dengan sewenang-wenangnya melakukan maksiat dan lalai dari mengingati Allah Ta’ala maka orang ini dikatakan kafir nikmat. Tidaklah jatuh hukum orang ini sebagai kafir yang disebabkan keluar dari agama Islam melainkan apabila ia menghalalkan sesuatu perbuatan yang telah diharamkan. Sebagai contoh, zina itu adalah perkara yang telah diharamkan dan dinyatakan di dalam al-Quran. Jika ada orang menyatakan bahawa zina itu adalah perkara yang menjadi ikhtilaf ulama maka inilah yang dikatakan sebagai menghalalkan sesuatu yang telah haram. Dalam keadaan ini, orang yang menyatakan sedemikian tergolong sebagai orang yang kafir. Kita perlu membezakan antara kafir nikmat dan kafir sebenar. Untuk membezakan perkara tersebut maka kita perlu tahu lafaz yang terkandung didalam al-Quran dan Hadith. Sebagai contoh, dalam satu sabda Nabi saw ada berbunyi begini, Sesiapa yang meninggalkan solat secara sengaja maka orang itu adalah kafir. Untuk memahami maksud hadith ini, kita perlu mengetahui makna lafaznya. Kata Syeikh, jika hanya mengambil makna zahir sahaja maka sudah pasti ramailah orang menjadi kafir kerana terlampau banyak sekali orang meninggalkan solat. Itu belum dikira dengan solat-solat yang pernah ditinggalkan ketika dalam usia muda atau ketika berada dalam keadaan jahil. Adakah dengan meninggalkan solat sebegitu rupa maka sudah boleh dikatakan sebagai kafir? Sebenarnya maksud sebenar hadith tersebut ialah seseorang itu dikatakan kafir apabila ia meninggalkan solat dan pada masa yang sama memandang hina, mencaci dan mengambil mudah tentang solat.
Maka atas sebab itu, kita perlu kenal kesesatan. Dengan mengenal kesesatan, kita dapat mengetahui yang mana yang haq dan yang mana yang batil. Sebab itulah ulama besar, Imam Ahmad Rifai bermunajat kepada Allah agar dipertunjukkan kepada dirinya jalan yang haq dan jalan yang batil. Doanya berbunyi begini, Ya Allah Ya Tuhanku, perlihatkan kepadaku yang hak dan yang benar dan yang sebenar-benar hak itu supaya aku boleh mengikutinya dan yang batil dan yang salah dan yang sebenar-benar batil itu supaya aku boleh menjauhinya. Wahabbi adalah contoh yang paling jelas pada masa ini. Sesiapa yang tidak mengenalinya pasti akan terjebak kedalamnya. Tanpa ilmu, sukar seseorang itu hendak menentukan samada Wahabbi itu termasuk dalam kelompok Ahlus Sunnah wal Jamaah atau tidak. Ini adalah kerana Wahabbi tidak pernah mengaku dirinya Wahabbi sebaliknya turut menyatakan berada didalam kelompok Ahlus Sunnah wal Jamaah. Bahkan orang yang berada dalam kelompok ini menyatakan bahawa beliaulah yang paling kuat berpegang pada ajaran al-Quran dan Hadith. Anehnya, pada masa yang sama dia menolak mazhab sedangkan mazhab empat itulah yang merupakan teras didalam kelompok Ahlus Sunnah wal Jamaah. Tentang permasalahan kelompok sedemikian, Imam al-Ghazali pernah menyatakan kalau kita kata tuhan itu bertangan, bermata dan sebagainya lalu apa bezanya kita dengan penganut berhala? Inilah kesalahfahaman golongan ini yang gagal memahami secara sahih makna lafaz yang terkandung didalam al-Quran dan Hadith. Ini jauh berbeza dengan penghayatan para sahabat, tabi’in, tabi’in tabi’in dalam memahami dan menghayati makna sebenar al-Quran dan Hadith dimana mereka memahaminya secara sahih dan bersungguh-sungguh menghayati makna tersebut. Imam Asy-Syafi’I walaupun berbangsa Arab Quraisy yang amat mahir dalam Bahasa Arab tetap berusaha untuk mendalami lagi bahasa tersebut bagi memastikan setiap makna lafaz yang terkandung didalam al-Quran dan Hadith sampai kedalam dirinya. Beliau masuk ke kawasan pendalaman dan berguru dengan orang Arab dusun untuk mempelajari bahasa Arab yang asli kerana bahasa itulah yang paling tepat dengan makna lafaz yang terkandung didalam al-Quran dan Hadith. Tidak hairanlah apabila beliau berjaya menguasai bahasa Arab dengan amat baik sehingga berjaya memahami makna lafaz al-Quran dengan sedalam-dalamnya. Kata Syeikh, ikhtilaf yang terjadi dikalangan ulama sebahagian besarnya adalah berhubung dengan perbezaan pendapat dalam memahami lafaz-lafaz yang terkandung didalam al-Quran. Imam-imam besar juga tidak terkecuali dalam hal ini. Dalam permasalahan fiqh tentang batal atau tidak wuduk seseorang apabila bersentuh antara lelaki dan wanita, Imam as-Syafi’i memberi pandangan yang berbeza dengan Imam Abu Hanifah. Imam Asy-Syafi’i menyatakan bahawa wuduk itu terbatal apabila ‘bersentuh’ kulit lelaki dengan kulit perempuan yang bukan muhrim antara keduanya sedangkan Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa wuduk itu terbatal apabila berlakunya jimak. Menurut Imam Abu Hanifah, wuduk tidak terbatal jika sekadar berlaku persentuhan. Pandangan Imam Asy-Syafi’i dalam hal ini berdasarkan kepada makna lafaz didalam al-Quran. Imam asy-Syafi’i membuat penelitian terhadap makna lafaz ‘sentuh’ yang disebut didalam al-Quran. Kata beliau, perkataan ‘sentuh’ tidak pernah disebut sebagai ‘jimak’ didalam al-Quran, oleh itu sentuh dan jimak adalah dua perkara yang berbeza. Penguasaan Imam asy-Syafi’i dalam bahasa Arab ini dalam memahami makna lafaz al-Quran dan Hadith ini bertepatanlah dengan sabda Nabi saw, Akan lahir/muncul seorang alim dari bangsa Quraisy dimana ilmunya akan memenuhi seluruh muka bumi. Kata sesetengah ulama, orang alim dari bangsa Quraisy itu adalah merujuk kepada Imam asy-Syafi’i. Diriwayatkan bahawa Imam asy’Syafi’i bermusafir ke merata-rata tempat untuk menimba ilmu. Maka atas sebab itu, pada kubah makamnya terdapat satu binaan kapal kecil sebagai simbol yang menandakan betapa Imam Asy-Syafi’i telah merantau ke merata tempat untuk mendalami ilmu pengetahuan. Kesannya, sehingga ke hari ini ghalibnya hampir seluruh pelusuk dunia pasti ada pandangan/pendapat Imam asy-Syafi’I di kawasan tersebut.
Masalah dalam memahami makna lafaz juga pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw. Ianya berlaku ketika sahabat Rasulullah saw, Khalid al Walid diutuskan kepada kaum Bani Jazimah untuk mengajak mereka kepada Islam. Ketika bertemu, kaum Bani Jazimah menyatakan bahawa mereka telah memeluk Islam dan tidak mahu meletakkan senjata mereka kerana khuatir akan keselamatan mereka. Khalid pula berpendapat mereka belum masuk Islam dan perihal mereka menyatakan keislaman mereka bukanlah atas kerelaan mereka.Atas sebab itu Khalid telah berijtihad untuk memerangi mereka. Apabila berita ini sampai kepada baginda Rasulullah saw, baginda saw tidak bersetuju dengan perbuatan Khalid malah memohon kepada Allah Ta’ala agar berlepas diri dari perbuatan Khalid itu. Ini adalah kerana ucapan yang menyatakan bahawa “kami adalah Islam” itu adalah sahih dan tidak perlulah berburuk sangka tentangnya. Tentang buruk sangka ini, pernah Saiyidina Umar al-Khattab menghantar satu surat kepada Abu Musa al-Asha’ari. Isi surat itu antaranya menyatakan, “Kami menghimpun mengikut zahir sahaja, hanya Allah Ta’ala yang mengurus benak hati seseorang itu. Maksud isi surat tersebut ialah supaya tidak berburuk sangka dengan orang lain dan tentang isi hati seseorang itu samada ikhlas atau tidak, hanya Allah Ta’ala sahaja yang mengetahuinya. Maka atas dasar itu jugalah kita janganlah menyangka kita ini terlebih Islam dari orang lain kerana mungkin orang lain itu amalannya berlipat-lipat kali ganda lebih banyak dari kita.
Tentang peristiwa Khalid itu, beliau kemudiannya dimaafkan oleh baginda saw. Dalam satu sabda Nabi saw, Sebaik-baik hamba Allah dan sebaik-baik saudara bagi sesebuah keluarga ialah Khalid ibn Walid ra. Dia adalah salah seorang daripada pedang-pedang Allah yang dihunus oleh Allah Ta’ala untuk menghadapi orang-orang kafir dan munafik.
Khalid berijtihad dalam membuat keputusan. Beliau membuat keputusan bukan mengikut hawa nafsu. Khalid seorang bijaksana dan beliau juga aalah seorang mujtahid. Para sahabat apabila berijtihad tidak pernah didorong oleh hawa nafsu. Diriwayatkan dalam Perang Ahzab, Saiyidina Ali pernah berlawan dengan tentera kafir Quraisy. Tentera kafir itu berjaya menyelinap masuk kedalam kubu orang Islam menerusi parit kecil lalu bertembung dengan Saiyidina Ali. Saiyidina Ali mendapat peluang pertama untuk memancung musuhnya setelah musuh itu terjatuh tetapi beliau menarik tangan musuhnya untuk bangun dan berlawan buat kali kedua. Dalam perlawanan kali kedua itu, Saiyidina Ali akhirnya memancung kepala musuh itu. Sahabat bertanya kepada Saiyidina Ali, Mengapa engkau tidak membunuhnya dalam percubaan yang pertama tadi? Kata Saiyidina Ali, Ketika tentera kafir itu jatuh dia meludah muka aku. Aku tidak membunuhnya kerana bimbang didorong oleh nafsu aku. Sebaliknya aku tarik tangannya untuk berlawan sekali lagi supaya aku dapat membunuhnya kerana Allah Ta’ala. Seperti yang disebut tadi, Khalid al-Walid adalah seorang mujtahid. Bukan mudah untuk seseorang itu mencapai tahap mujtahid. Mujtahid ini adalah satu perkataan keramat dalam Islam. Ramai orang bercita-cita untuk mencapai ke tahap atau maqam tersebut yang dianggap paling tinggi tetapi bukan semudah seperti yang disangkakan. Ulama-ulama besar juga tidak terkecuali dalam mengimpikan maqam tersebut. Imam as-Suyuthi pernah terdetik dihatinya untuk mencapai maqam tersebut. Beliau pada ketika itu telah menghafaz 200, 000 buah hadith dan menulis sejumlah 600 buah kitab. Kata beliau, jika ada orang yang berjaya menghafaz lebih banyak hadith dari aku nescaya akan aku hafaz lebih banyak dari itu. Maknanya, pada waktu itu tidak ada orang lain yang berjaya menghafaz hadith sebanyak yang beliau hafaz. Beliau kemudiannya diuji oleh ulama-ulama besar yang lain untuk mengetahui samada beliau sudah layak untuk bergelar mujtahid yang boleh mengeluarkan hukum dengan hanya berpandukan al-Quran dan Hadith. Setelah diuji, rupa-rupanya beliau masih belum layak untuk bergelar sebagai mujtahid. Begitu juga dengan Imam al-Ghazali. Pernah satu hari beliau mengimpikan martabat mujtahid. Imam al-Ghazali adalah seorang ulama besar yang pada waktu itu sudah bergelar Profesor di-Raja. Beliau meninggalkan jubah profesornya apabila merasakan ilmu-ilmu yang ada pada dirinya tidak membawa ketenangan dalam dirinya. Beliau bermusafir dari Iraq ke Syam. Beliau bersuluk di menara masjid Umawi. Pada satu hari beliau menghadiri satu majlis halaqah pengajian dibawah sebuah qubah masjid dimana kata sesetengah ulama, siapa yang mengajar dibawah qubah itu sudah tentulah ulama yang paling alim sedang mengajar. Beliau mengikuti pengajian ulama di situ sedangkan beliau sendiri sudah mencapai tahap professor dan prnah menyarung jubah kebanggaan seorang sarjana besar stu masa dahulu. Pada waktu itu, beliau berkata kini aku sudah menemui kebenaran haqiqi iaitu melalui jalan tasawwuf. Ketika mengimpikan martabat mujtahid, pada satu malam beliau bermimpi. Dalam mimpinya itu beliau bertemu dengan baginda Rasulullah saw dan imam empat mazhab iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi’i dan Imam Ahmad Hanbal. Keempat-empat imam besar itu mengeluarkan hukum dan fatwa masing-masing. Apabila selesai, mereka keluar mengikut pintu yang berbeza-beza antara satu sama lain. Imam Abu Hanifah menerusi pintunya, Imam Malik menerusi pintunya dan begitu juga yang lain. Bila tiba pada giliran Imam al-Ghazali, beliau terpinga-pinga. Beliau tidak tahu pintu mana yang harus dipilihnya. Lalu berkatalah Rasulullah saw kepadanya, Engkau ikutlah pintu Imam asy-Syafi’i. Sejak dari peristiwa itu, Imam al-Ghazali akur bahawa beliau tidak berjaya untuk sampai ke maqam mujtahid dan kemudiannya mengikut mazhab Imam asy-Syafi’i sehinggalah ke akhir hayatnya. Akhir sekali, Syeikh memetik kata sesetengah ulama yang berbunyi, “Adab itu seumpama tepung sedangkan amal itu seumpama garam. Adab mestilah lebih banyak dari amal.” Jagalah adab dan belajarlah untuk beradab terutamanya apabila hendak memberi pandangan tentang ulama-ulama silam.

No comments:

Post a Comment