Monday, October 12, 2009

Wacana Pemikiran Prof Dr Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki tentang bab aqidah - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Auditorium Muzium Kesenian Islam pada 11 Oktober jam 9 pagi
Pemikiran yang benar ialah pemikiran yang bersumberkan al-Quran dan Hadith bukannya falsafah-falsafah yang songsang. Pada hari ini, kita akan mengupas pemikiran al-Alim al-Allamah al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki dari sudut aqidah. Sayyid Muhammad berpegang teguh kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Kita juga perlu berdoa kepada Allah Ta’ala supaya kita sentiasa dipelihara Allah Ta’ala dan berada pada landasan ASWJ. Aqidah kita perlu dimantap dan digilap dari masa ke semasa. Tauhid itu tidak hanya cukup dengan mengkhatam kitab-kitab tauhid sekali-sekala atau sekadar belajar untuk beberapa ketika sebaliknya perlu dimantapkan dengan kadar yang berterusan. Tauhid berkaitan dengan iman. Kita perlu ingat bahawa iman itu perlu sentiasa diperbaharui. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi saw, “Kalian perlu perbaharui iman kalian”. Apakah caranya untuk memperbaharui iman ini? Caranya ialah dengan memahami makna La Ilaha Ilallah supaya hakikat keimanan dihayati sepenuhnya. Itulah kalimah yang perlu dihayati sedalam-dalamnya bagi memantap dan mematangkan keimanan kita. Memperbaharui iman itu juga bermakna kita sentiasa memastikan iman kita bertambah bukannya berkurang. Iman mesti bertambah dan mantap setiap hari sehinggalah kita bertemu Allah Ta’ala.
Sayyid Muhammad semenjak kecil bahkan semenjak dari dalam perut bondanya telah beriktiqad dengan aqidah ASWJ. Ini adalah kerana ayahandanya, nendanya dan moyangnya yang merupakan imam dan khatib di Makkah semuanya beriktiqad dengan aqidah ASWJ. Aqidah ASWJ ini jugalah yang dipegang oleh jalur keturunannya yang mulia sehinggalah sampai kepada cucunda baginda saw iaitu Hasan kemudian menantu baginda iaitu Ali dan kemudiannya baginda saw. Sayyid Muhammad juga adalah seorang pejuang iktiqad ASWJ yang sejati. Beliau memastikan iktiqad ini tersebar luas ke seluruh pelusuk dunia. Beliau sentiasa memastikan kesucian iktiqad ASWJ dan sangat menekankan kepentingan aqidah ASWJ ini. Walaupun beliau digelar muhaddith kerana keahliannya dalam bidang hadith namun ini tidaklah bermakna bahawa beliau tidak mempunyai keahlian dalam bidang-bidang lain. Boleh dikatakan hampir semua bidang ilmu-ilmu Islam dikuasai oleh ulama besar dari Makkah ini. Ini adalah kerana beliau tidak sekadar menimba ilmu di kuliah universiti sebaliknya turut mengikuti halaqah pengajian ulama-ulama besar di Masjidil Haram. Dengan mengikuti halaqah pengajian tersebut, Sayyid Muhammad menimba seberapa banyak ilmu yang mungkin dari ulama-ulama terkenal di Makkah. Berbeza dengan ilmu di kuliah yang agak terbatas mengikut bidang tertentu, ilmu yang diperolehi di halaqah pengajian sangat banyak dan meluas kandungannya. Ini termasuklah ilmu aql dan naql.Sayyid Muhammad berjaya menguasai ilmu-ilmu yang dipelajarinya dalam halaqah pengajian dan dengan ilmu-ilmu itulah dimanfaatkannya untuk mematahkan hujah-hujah golongan bidaah. Sehinggalah sampai pada satu peringkat dimana tidak ada seorang pun yang mampu berhujah dengan beliau dalam bahasan ilmu. Keilmuan beliau yang sangat meluas itu menyebabkan rumahnya menjadi tumpuan ulama-ulama dari seluruh dunia lebih-lebih lagi dalam musim haji. Ulama besar, Habib Abdul Kadir as-Seggaf pernah berkata, tidaklah lengkap seseorang itu mengerjakan haji jika tidak bertawaf di rumah Sayyid Muhammad. Maksudnya disini, seseorang yang berkunjung ke tanah Suci pasti akan mengunjungi rumah Sayyid Muhammad untuk menimba ilmu darinya.
Ada golongan yang memahamkan aqidah secara songsang dan sesat yang akhirnya membawa kepada kekufuran. Ini berlaku apabila seseorang itu menyamakan sifat Allah dengan sifat manusia. Orang Yahudi mendakwa mereka beriman dengan Allah Ta’ala kerana mereka percaya dengan kewujudan Allah Ta’ala. Begitu juga dengan Nasrani. Kedua-dua golongan ini marah jika ada yang memanggil mereka sebagai kafir. Tetapi mereka tetap dianggap kufur kerana mensyirikkan Allah Ta’ala. Kunci aqidah ASWJ yang sebenar ialah beriman dengan menyatakan bahawa Allah Ta’ala tidak menyerupai sesuatu pun yang ada di langit dan di bumi dan Allah Ta’ala itu Maha Mendengar dan Maha Melihat. Tidak ada satu pun yang dapat menyerupai Allah Ta’ala termasuklah pentadbiran-Nya, perbuatan-Nya dan zat-Nya. Kita beriman bahawa sesungguhnya Allah Ta’ala tidak boleh dinisbahkan dengan sifat-sifat makhluk. Kata ulama, menisbahkan walau satu sifat Allah Ta’ala dengan satu sifat makhluk membawa kepada kekufuran. Mensyirikkan Allah Ta’ala samada dari segi sifat mahupun zat-Nya membawa kepada kekufuran. Pendengaran Allah Ta’ala tidaklah sama dengan pendengaran manusia. Manusia berhajat kepada gegendang dan cuping telinga untuk mendengar sedangkan Allah Ta’ala tidak berhajat ke atas sesuatu pun untuk mendengar. Hajat bererti lemah. Manusia berhajat kerana manusia itu lemah. Pendengaran manusia terbatas sebaliknya pendengaran Allah Ta’ala tidak terbatas.
Zat yang berhak dipuji ialah Allah Ta’ala. Kalau ada orang memuji kita maka kita hendaklah mengembalikan pujian itu kepada Allah Ta’ala. Kenapa kita mesti memuji Allah Ta’ala? Ini adalah kerana Allah Ta’ala menjadikan segala kesempurnaan kita, segala kecantikan kita, membuka segala kebaikan kita dan menutup segala keaiban kita. Bayangkan jika Allah Ta’ala membuka keaiban kita, mungkinkah ada orang yang akan memuji kita? Sudah tentu tidak. Sebab itu, segala pujian itu perlu dikembalikan kepada Allah Ta’ala kerana Dialah yang berhak menerima pujian itu. Kita jadi sempurna kerana asbab. Kita jadi sihat sebab ada orang lain tolong jagakan kita, kita jadi pandai kerana ada orang bimbing kita sebaliknya kesempurnaan Allah Ta’ala itu kesempurnaan yang zaati yang tidak ada permulaan dan pengakhiran. Kesempurnaan Allah Ta’ala tiada batasan. Ilmu yang ada dalam diri manusia sangat terbatas dan terikat. Sedangkan ilmu Allah Ta’ala tidak terbatas dan tidak terikat. Manusia terikat dengan jawatan. Ada orang yang memandang hormat pada seseorang itu dengan sebab jawatannya. Apabila bersara dan tidak berjawatan lagi, orang itu langsung tidak diendahkan kerana sudah tidak berkedudukan lagi. Apabila fana’ segala jawatannya maka fana’ jugalah segala kemuliaannya. Sebaliknya orang yang bersandarkan kepada Allah Ta’ala maka orang itu akan memperoleh kemuliaan. Orang yang dimuliakan Allah Ta’ala tidak akan dihina oleh makhluk lain selain Allah Ta’ala. Ulama zaman dahulu adalah contoh terbaik golongan yang mendapat kemuliaan dari Allah Ta’ala. Buktinya ialah nama mereka disebut-sebut sehingga ke hari ini. Ulama-ulama ini mendapat kesempurnaan dan kemuliaan kerana mereka bersandarkan semata-mata kepada Allah Ta’ala. Kita harus sedar bahawa setiap satu perkara itu ada hadnya. Manusia yang mulia kerana kaya ada hadnya. Manusia yang mulia kerana cantik ada hadnya. Ilmu manusia juga asalnya dari jahil kemudian cerdik. Seorang bayi yang keluar dari perut ibunya hanay boleh menangis dan tidak boleh bercakap. Ini menunjukkan keterbatasan manusia sebagai makhluk Allah Ta’ala. Begitu juga dengan kerajaan. Kerajaan menjadi sempurna apabila ditadbir oleh perdana menteri yang cekap. Perdana menteri pula disokong oleh kabinetnya yang komited. Pendek kata setiap sesuatu itu saling memerlukan antara satu sama lain untuk mencapai kesempurnaan kerana kesempurnaan manusia itu ada hadnya, ada batasnya. Sebaliknya Allah Ta’ala Maha Sempurna kerana kesempurnaan-Nya yang zaati.
Nabi saw mengingatkan para sahabat agar menyucikan Allah Ta’ala dari menyerupai segala sesuatu. Aqidah ASWJ menyucikan Allah Ta’ala dari menyerupai makhluk dan menyelamatkan Nabi dan Rasul-Nya. Pernah tak kita terfikir mengapa kita mulakan wirid dengan Subhanallah terlebih dahulu kemudian baru diikuti dengan Alhamdulillah dan Allahu Akbar? Ianya adalah kerana kita perlu mensucikan Allah Ta’ala dari segala sesuatu terlebih dahulu sebelum memuji Allah Ta’ala.
Pada satu hari, Nabi saw pernah ditanya oleh orang kafir seperti berikut, Sifatkanlah Tuhan engkau kepada kami. Nabi saw tidak menjawab soalan itu. Nabi saw menunggu wahyu dari Allah Ta’ala untuk menjawab soalan tersebut. Nabi saw menunggu wahyu dan tidak terus menjawabnya kerana hanya Allah Ta’ala sahaja yang Maha Mengetahui tentang sifat-Nya. Orang kafir menyangkakan tuhan Nabi saw sama seperti tuhan mereka. Mereka beranggapan tuhan itu diperbuat dari emas, perak dan besi mengikut martabat kekayaan penyembahnya. Untuk menjawab soalan orang kafir ini lalu Allah Ta’ala menurunkan wahyu kepadsa Nabi Muhammad saw iaitu Surah al-Ikhlas. Menerusi surah tersebut, Nabi saw menerangkan sifat-sifat Allah Ta’ala. Kesimpulannya, aqidah dalam Islam adalah satu perkara yang sangat penting. Nabi saw ketika di awal permulaan dakwah tidak membincangkan hal-hal berkaitan feqah atau muamalat sebaliknya yang sangat ditekankan ialah bab-bab berkaitan dengan aqidah. Aqidah ini berkait dengan iman. Iman perlu digilap setiap hari. Sedangkan rumah perlu disapu setiap hari untuk dibuang segala kotorannya maka begitulah juga dengan iman. Iman perlu digilap dan dibersih supaya kita dipelihara Allah Ta’ala dan berada pada landasan ASWJ.

No comments:

Post a Comment