Tuesday, January 12, 2010

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 9 Januari 2010. Catatan ini ditulis pada bahagian pertengahan syarahan tuan syeikh (ana masuk lewat dalam majlis)
Seseorang itu hanya layak digelar muhaddith apabila mereka menjadi ahli yang mengetahuai selok-belok ilmu hadith dengan mendalam dan menghafaz sejumlah besar hadith. Syeikh Ahmad Siddiq al-Ghumari, seorang muhaddith besar pernah diundang oleh Syeikhul Azhar datang kerumahnya. Bersama-sama mereka ialah seorang lagi muhaddith besar yang bernama Syeikh Abdul Hayy al-Kattani. Tokoh ini pernah berguru dengan 700 orang ulama besar dizamannya. Dalam perjumpaan tersebut, Syeikhul Azhar sangar memuliakan kedua-dua orang tetamunya itu memandangkan kedua-duanya adalah muhaddith besar. Ketika makan bersama, Syeikhul Azhar tidak menggunakan sudu dan garpu yang merupakan amalan atau protokol rasmi kerajaan. Antara mereka bertiga, Syeikh Ahmad Siddiq adalah yang paling muda tetapi beliau sangat dihormati kerana ketinggian ilmunya. Ketika ditanya tentang permasalahan hadith kepada Syeikhul Azhar, syeikhul besar itu menjawab bahawa beliau telah menyelidik masalah hadith itu dengan membaca dan menghafaz kitab Jami’ul Kabir yang berjumlah 20 jilid kesemuanya (setiap satu jilid mencecah 500 mukasurat). Rupanya Syeikhul Azhar itu juga adalah seorang muhaddith besar.
Ahli muhaddith termasuk dalam golongan orang-orang yang membesarkan ilmu. Kata syeikh, al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw. Al-Quran dinamakan mukjizat kerana ia mampu melemahkan manusia. Tidak ada seorang pun yang berupaya mengarang walau satu ayat seperti yang terkandung didalam al-Quran. Jika al-Quran merupakan mukjizat terbesar baginda saw maka karomah terbesar bagi para wali ialah ilmunya. Disisi para wali, ilmu adalah karomah yang paling mulia bukannya hal-hal yang mencarik adat. Mukjizat yang mencarik adat adalah merupakan satu kemuliaan kepada para Nabi dan Rasul. Ianya merupakan anugerah Allah Ta’ala kepada mereka. Begitu juga dengan karomah yang mencarik adat yang terjadi dikalangan para wali. Ia merupakan anugerah Allah kepada mereka. Apapun hal-hal yang mencarik adat ini bukanlah satu keperluan melainkan anugerah Allah Ta’ala kepada mereka atas kemuliaan mereka. Tanpa hal-hal mencarik adat pun, para Nabi dan Rasul serta wali tetap berada dalam kelompok atau golongan yang menjadi Kekasih Allah. Sufi besar, Syeikh Abu Yazid al-Bustami diriwayatkan pernah berjalan di atas air dan terbang di udara. Karomahnya itu telah menimbulkan rasa takjub masyarakat yang telah menyaksikannya. Lalu Syeikh Abu Yazid berkata, Apalah yang engkau kagum sangat dengan aku padahal maqam aku hanyalah maqam itik dan burung sahaja. Orang tertanya-tanya akan karomah Imam Abu Hasan asy-Syazuli. Mereka beranggapan bahawa karomahnya tentu lebih hebat dari anak muridnya. Ini adalah kerana karomah anak muridnya sangat hebat dimana air kencingnya boleh bertukar menjadi emas. Namun, kata Imam Abu Hasan apabila ditanya oleh orang ramai, Karomah aku ialah apabila aku berjalan, aku tidak ditelan bumi. Sepatutnya dengan segala macam bentuk dosa yang telah aku lakukan maka selayaknyalah bumi menelan aku. Apa yang hendak ditekankan disini ialah bukannya karomah yang mencarik adat tetapi karomah yang paling mulia disisi para wali Allah ialah ilmu. Para nabi dan rasul diperkuatkan dengan mukjizat. Mukjizat itu bukanlah satu keperluan atau syarat yang wajib ada pada mereka tetapi tidak lebih dari anugerah Allah Ta’ala atas sebab kemuliaan mereka. Begitu juga dengan para wali Allah. Bahkan mereka tetap tergolong dalam kelompok kekasih Allah biarpun mereka tidak memiliki karomah. Nabi disangga(disokong) oleh sifat maksum. Sifat ini adalah anugerah Allah yang memelihara mereka dari melakukan dosa kecil dan besar. Hikmah adanya sifat ini kepada mereka ialah agar umat dapat mencontohi mereka. Sekiranya, mereka tidak maksum, bagaimana umat hendak mencontohi mereka.
Salah satu cabang penting dalam mentafsir ayat-ayat al-Quran ialah dengan memahami ilmu balaghah. Dalam ilmu balaghah, ada ayat yang diawal (taqdim) dan ada ayat yang diakhirkan (takkhir). Tafsiran keatas sesuatu ayat al-Quran tidak boleh dilakukan dengan cara menterjemahnya secara bulat-bulat. Sebagai contoh, dalam ayat (dengan maksudnya) yang terkandung dalam kitab tafsir Indonesia seperti berikut, Dan sesungguhnya Zulaikha telah mempunyai keinginan terhadap Yusuf dan Yusuf juga berkeinginan untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada Zulaikha jika tidak ada pertolongan dari Tuhan. Terjemahan ini adalah tidak tepat kerana tidak menepati disiplin ilmu balaghah. Jika dilihat pada terjemahan tersebut, ia seperti membawa makna bahawa Yusuf juga berkeinginan untuk berzina sedangkan perbuatan itu tidak mungkin dilakukan oleh seorang Nabi yang sifatnya maksum. Terjemahannya yang betul adalah seperti berikut, Sesungguhnya Zulaikha telah berkeinginan dengan Yusuf, kalau tidak ada pertolongan Tuhan maka Yusuf pun begitu juga.






No comments:

Post a Comment