Monday, January 18, 2010

Khatam Hadith 40 Mutiara Nabawi sesi petang - Syarah Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 16 Januari 2010
Sunan ad-Daruqutni
Matan hadith diriwayat oleh Ibn Abbas ra,
Sesungguhnya Nabi saw mengutus Mu’az ra ke Yaman, maka baginda saw berpesan kepadanya; Kamu akan mendatangi kaum ahli kitab. Maka serulah mereka kepada penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Sekiranya mereka telah mentaatimu dengan suruhan tersebut, ajarlah pula kepada mereka bahawa Allah memfardhukan kepada mereka solat lima waktu sehari semalam, jika mereka telah mengikutnya maka ajarkan kepada mereka bahawa Allah telah memfardhukan sedekah (zakat) ke atas mereka yang diambil daripada yang kaya dan dihulurkan kepada yang miskin dari kalangan mereka. Jika mereka telah mentaati kamu dengan ajaran tersebut maka janganlah kamu mengambil harta mereka yang paling baik (tetapi ambillah harta mereka yang pertengahan) dan takutilah do’a orang yang dizalimi, kerana do’a mereka tidak terhijab. Berkata Ya’qub dan Abbas bin Yazid, Kerana sesungguhnya tidak ada diantara do’anya dan Allah suatu hijab pun.

Tarikh Baghdad karangan al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi
Matan hadith diriwayat oleh Jabir ra,
Diantara rumahku dan mimbarku adalah suatu taman dari taman-taman syurga

Tarikh Damsyik karangan al-Hafiz ibn Asakir[1]
Matan hadith yang diriwayat oleh Ibn Abbas ra,
Rasulullah saw merupakan manusia yang paling pemurah dengan kebaikan sifat pemurahnya lebih ketara pada bulan Ramadhan. Sesungguhnya Jibril as menemui baginda saw pada setiap tahun dalam bulan Ramadhan. Berkata Asy-Syahami, Pada setiap malam bulan Ramadhan hinggalah pada akhirnya, Jibril as (datang untuk) membacakan al-Quran kepadanya. Apabila Jibril as menemui Rasulullah saw, maka baginda saw akan menjadi manusia yang lebih pemurah dengan kebaikan daripada angin yang menghembus.
Kata ulama, kedatangan Jibril as ini kepada Nabi saw adalah merupakan satu sunnah bagi kita dimana kita harus bersifat pemurah apabila didatangi orang-orang yang saleh dan mulia.

Kitab Asy-Syifa karangan al-Qadhi Iyadh al-Yahsubi
Matan hadith yang diriwayat oleh Anas bin Malik,
Bahawa Nabi saw telah didatangkan seekor buraq pada malam baginda saw diperjalankan (isra’) dalam keadaan telah sedia untuk ditunggangi dengan kekang dan pelana, maka buraq tersebut menjadi liar sehingga Rasulullah saw susah untuk menunggangnya. Lalu Jibril as berkata kepadanya, adakah terhadap Nabi Muhammad saw kamu buat seperti ini? Tiada seorang pun yang menunggangmu yang lebih mulia kepada Allah daripada baginda saw. Katanya, Maka berjurai-jurailah peluh buraq itu.[2]

Musnad Asy-Syihab al-Qudha’i
Matan hadith yang diriwayat oleh Ummu Salamah,
Tidaklah Rasulullah saw keluar dari rumahku pada waktu pagi melainkan baginda saw mengangkat kepalanya ke langit dan membaca; “Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon perlindungan denganmu agar tidak sesat atau menyesatkan, tidak terpesong atau memesongkan, tidak menzalimi atau dizalimi, tidak menjadi bodoh atau diperbodohkan”.

Sunan at-Tirmidhi
Matan hadith yang diriwayat oleh Yahya bin Ya’mur,
Orang pertama yang membicarakan tentang taqdir di Basrah ialah Ma’bad al-Jahni. Beliau berkata, Maka saya dan Hamid bin Abdul Rahman al-Himyari pun bertolak hingga sampai ke Madinah. Kami berkata, Jika kami sempat bertemu dengan seorang daripada sahabat Nabi saw, kami akan bertanya pandangannya tentang taqdir. Beliau berkata, Maka kami sempat bertemu dengan Abdullah bin Umar ra yang sedang keluar dari masjid. Beliau berkata, Maka aku dan sahabatku mengelilinginya. Beliau berkata. Aku merasa sahabatku mewakilkan aku untuk bercakap, maka akupun berkata, Wahai Aba Abdul Rahman! Sesungguhnya telah muncul suatu kaum yang membaca al-Quran dan mengumpulkan ilmu tetapi mereka tidak mempercayai taqdir dan menganggap semua perkara itu berlaku begitu sahaja. Beliau berkata, Jika kamu bertemu dengan mereka, khabarkan kepada mereka bahawa aku lepas tangan daripada mereka (tidak terlibat dalam permasalahan mereka) dan mereka berlepas tangan daripadaku.[3] Demi zat yang Abdullah bersumpah dengannya! Jika salah seorang daripada mereka menafkahkan emas setinggi gunung Uhud, pasti tidak diterima daripadanya, hinggalah dia beriman dengan qadar yang baik dan yang buruk. Yahya berkata; Kemudian semasa sedang berbual-bual, maka dia mula untuk membaca hadith Nabi saw lalu berkata, telah berkata Umar bin al-Khattab ra, ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah saw, tiba-tiba datang seorang lelaki yang berpakaian amat putih dan amat hitam rambutnya, tidak kelihatan pada dirinya kesan sedang bermusafir dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya, hinggalah dia berada berdekatan dengan Nabi saw. Kemudian dia menyandarkan lututnya kepada lutut baginda saw lalu berkata, Wahai Muhammad! Apakah itu Iman? Sabda Rasulullah saw, Iman itu ialah kamu beriman dengan Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan qadar yang baik dan yang buruk. Tanya lelaki itu lagi, Apakah pula Islam? Sabda baginda saw, Penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan. Kata lelaki itu lagi, Apakah pula Ihsan? Sabda baginda saw, Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya maka sekiranya kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihat kamu.[4] Dalam semua jawapan baginda saw, dia berkata, Benarlah engkau! Umar ra berkata, Maka kami berasa hairan dengannya, dia bertanya , dia pula membenarkannya. Dia bertanya lagi, Bilakah berlakunya qiamat? Jawab baginda saw, Tidaklah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Dia bertanya lagi, Maka apakah tanda-tandanya? Jawab baginda saw, hamba-hamba akan melahirkan tuannya (majikannya), engkau akan lihat orang-orang miskin, tidak beralas kaki, bertelanjang, mengembala kambing menjadi kaya-raya dan berlumba-lumba memperindahkan bagunan. Berkata Umar ra, Maka Nabi saw menemuiku tiga hari selepas peristiwa tersebut. Baginda saw bersabda, Wahai Umar! Adakah kamu tahu siapakah si penyoal tersebut? Itulah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.[5]

Sunan an-Nasa’i yang dinamakan dengan al-Mujtaba
Matan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra,
Bahawa seorang lelaki memasuki masjid ketika Rasulullah saw sedang berdiri berkhutbah. Maka dia mengadap Rasulullah saw sambiri berdiri dan berkata, Wahai Rasulullah! Banyak harta benda yang telah musnah dan jalan-jalan untuk mencari penghidupan telah terputus, berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami. Rasulullah saw mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdo’a, Ya Allah! Turunkanlah hujan kepada kami! Turunkanlah hujan kepada kami! Seterusnya Anas ra berkata, Demi Allah! Kami tidak nampak sama sekali walau sekelompok awan di langit dan tidak ada diantara kami dan juga Bukit Silah walau sebuah rumah dan bangunan (menutup penglihatan kami). Maka tiba-tiba muncul sekelompok awan seperti perisai. Apabila awan itu telah berada ditengah-tengah langit lalu hujan pun turun. Anas ra berkata, Demi Allah! Kami sekali-kali tidak melihat matahari selama enam hari. Katanya lagi, Kemudian pada suatu hari masuk seorang lelaki kedalam masjid dari pintu itu pada hari Jumaat berikutnya. Pada ketika itu, Rasulullah saw sedang berkhutbah. Lelaki itu mengadap baginda saw sambil berdiri lalu berkata, Wahai Rasulullah! Semoga Allah melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atasmu. Banyak harta benda yang telah musnah (akibat hanyut dibawa air) dan jalan-jalan untuk mencari penghidupan telah terputus. Berdo’alah kepada Allah agar air hujan itu ditahan dari turun kepada kami. Maka Rasulullah saw mengangkat kedua belah tangannya lalu berdo’a, Ya Allah! Turunkanlah hujan disekeliling kami dan janganlah Engkau turunkannya ke atas kami, Ya Allah! Turunkanlah hujan ke atas gunung-ganang, bukit-bukau, lembah-lembah dan ladang-ladang tempat tumbuhnya pokok pokok. Anas ra berkata, Akhirnya hujan pun berhenti dan kami keluar dan berjalan dibawah sinar matahari. Syarik ra bertanya, Aku bertanya kepada Anas ra, Adakah dia lelaki yang (datang) pertama dahulu (yang memohon diturunkan hujan)? Jawabnya, Bukan.

Sunan Ibn Majah
Matan hadith yang diriwayat oleh Umar al-Khattab ra,
Saya masuk ke dalam rumah Rasulullah saw yang ketika itu sedang berada di atas tikar. Saya berkata, Maka saya pun duduk dan ketika itu baginda saw hanya memakai kain sarung tanpa memakai baju. Saya lihat kesan tikar tersebut di rusuk baginda saw, saya juga melihat terdapat sedikit gandum yang beratnya lebih kurang segantang di satu sudut didalam bilik dan kulit yang telah disamak serta yang belum disamak tergantung. Maka dengan tiba-tiba air mata saya mengalir. Baginda saw bertanya, Apakah yang membuatkan engkau menangis, wahai anak al-Khattab? Maka saya menjawab, Wahai Nabi Allah! Kenapa tidak saya menangis? Tikar ini telah berkesan dirusukmu dan rumahmu ini tidaklah saya melihat didalamnya melainkan apa yang telah saya lihat, sedangkan raja Kisra dan Kaisar sekarang ini berada di taman buah-buahan dan sungai-sungai, sedangkan engkau adalah Nabi Allah dan insan pilihannya, tetapi ini sahaja harta yang engkau miliki. Baginda saw bersabda, Wahai anak al-Khattab! Apakah kamu tidak redha bagi kita kesenangan di akhirat nanti sedangkan kesenangan mereka di dunia sahaja? Saya berkata, Ya!

Musnad Imam Ahmad bin Hanbal
Matan hadith yang diriwayat oleh Anas bin Malik ra,
Rasulullah saw apabila berkhutbah pada hari Jumaat, baginda saw akan menyandarkan belakangnya kepada sebatang tunggul tamar. Setelah orang yang mendengar khutbah menjadi semakin ramai, baginda saw bersabda, Binalah untukku sebuah mimbar. Baginda saw mahu memperdengarkan khutbahnya kepada orang ramai. Maka mereka pun membina mimbar yang mempunyai dua mata tangga. Maka baginda saw berpindah dari batang kayu tersebut ke mimbar.
Kata al-Hasan, maka Anas bin Malik ra menceritakan kepadaku bahawa dia mendengar tunggul tamar itu menangis seperti esakan anak kecil. Katanya, tangisan itu berterusan hinggalah Rasulullah saw turun dari mimbar lalu menuju kepada tunggul tamar tersebut. Maka baginda saw memeluknya dan tunggul tamar itu pun diam.
Ibn Hibban menambah, al-Hasan al-Basri ra apabila menceritakan hadith ini, beliau akan menangis. Kemudian beliau berkata, Wahai hamba Allah! Tunggul tamar merintih kerinduan terhadap baginda saw kerana kedudukan baginda saw disisi Allah maka kamu lebih berhak untuk merindui pertemuan dengan baginda saw daripadanya.
Kata Syeikh, orang pertama berkhutbah diatas mimbar ialah Nabi Ibrahim. Justeru, berkhutbah diatas mimbar adalah merupakan sunnah Nabi Ibrahim as. Tentang tunggul tamar itu, tunggul itu menangis kerana berpisah dengan Nabi saw (setelah Nabi saw berpindah ke mimbar).
Pada mimbar tersebut dinyatakan bahawa terdapat dua mata tangga. Ketika Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, beliau berkhutbah di mata tangga kedua. Beliau tidak berkhutbah di tempat duduk Rasulullah saw kerana memuliakan Rasulullah saw. Ketika Umar menjadi khalifah, beliau berkhutbah di mata tangga pertama dan tidak berkhutbah ditempat Rasulullah dan Abu Bakar kerana memuliakan mereka berdua.
Para sahabat sangat memuliakan Nabi saw sehingga setiap tempat atau barang peninggalan baginda saw dijaga dengan baik. Malangnya ada segelintir umat manusia pada hari ini langsung tidak menghormati peninggalan Rasulullah saw sedangkan ulama ada menyebut bahawa sesiapa yang kencing di atas tempat peninggalan Rasulullah saw maka hukumnya adalah kufur. Sebagai contoh, pada ketika ini, bangunan tandas telah dibina di atas tapak rumah Rasulullah saw. Apakah mereka tidak tahu bahawa tapak rumah Rasulullah saw adalah kawasan yang sangat mulia kerana disitu pernah berlaku peristiwa penurunan wahyu seperti surah al-Mudatsir dan surah al-Muzammil? Kata Syeikh, orang yang mengubah rumah Nabi saw ini sesungguhnya adalah orang yang paling keji dan paling hina.

[1] Kitab ini terdiri dari 30 jilid kesemuanya. Ibn Asakir mempunyai 1000 orang guru. 70 orang daripadanya adalah wanita. Ulama besar yang termasuk dalam sanad kitab ini ialah Syeikhul Kabir Muhyiddin Ibn Arabi yang digelar Kibritul Ahmar (Emas Merah). Ada orang cuba hendak membakar maqamnya tetapi maqamnya dipelihara Allah Ta’ala. Orang itu akhirnya ditelan bumi.
[2] Buraq berpeluh kerana kehebatan Nabi saw
[3] Ulama menisbahkan pendapat Abdullah bin Umar ini dengan menyatakan bahawa golongan qadariah menjadi kufur jika menganggap semua perkara berlaku secara spontan
[4] Ahli sufi mengaitkannya dengan maqam musyahadah iaitu yakin sepenuhnya terhadap Allah Ta’ala. Kata Imam Abul Hasan asy-Syazuli, Kami tidak memerlukan dalil kerana cukup dengan melihatnya sahaja (yakni melihat sesuatu dengan pandangan mata hati)
[5] Dalil ulama yang menyatakan bahawa seseorang itu boleh bertemu dengan Jibril

No comments:

Post a Comment