Sunday, August 8, 2010

Tausyiah Habib Hassan bin Muhammad Salim al-Attas sempena Sambutan Hari Hol Sayyidah Khadijah al-Kubra

*Catatan bebas ana di Kompleks al-Jenderami pada 31 Julai 2010

Pada malam ini kita menghadiri Hari Hol Sayyidah Khadijah. Kenapa kita menyambut hari hol ini? Kenapa umat Islam di tempat-tempat yang lain juga membuat majlis seumpama ini? Tidak syak lagi, bahawa majlis seumpama ini diadakan bukan sekadar memperingati Sayyidah Khadijah sebagai isteri baginda Rasulullah saw tetapi adalah kerana beliau adalah isteri yang amat-amat dicintai oleh baginda Rasulullah saw. Rasulullah saw sangat mencintai Sayyidah Khadijah. Tidak kira siapa yang berada di hadapannya, samada Aisyah atau isteri-isterinya yang lain, Rasulullah saw tetap akan mengenangkan Khadijah dan menceritakan kisahnya kepada mereka. Sabda Rasulullah saw, “Sesungguhnya Allah swt telah menanamkan rasa mahabbah di dalam qalbu-ku tentang Khadijah”. Justeru, pada malam ini, kita menyambut ulang-tahun kewafatan seorang yang sangat-sangat dicintai Rasulullah saw. Baginda saw pernah bersabda bahawa perasaan cinta itu bukanlah dibuat-buat sebaliknya telah ditanam oleh Allah swt.
Ketahuilah bahawa cinta itu adalah sesuatu mulia dan suci. Rasulullah saw pernah bersabda, “Barangsiapa yang bercinta antara satu sama lain dan merahsiakannya kerana akhlak dan tingkahlakunya dan tidak berbuat dosa dan melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan mati kerana cintanya maka dia masuk syurga”. Khalifah Yazid bn Abdul Malik pernah membeli seorang hamba bernama Hababah dengan harga 100,000 dinar. Beliau sangat menyayangi Hababah namun begitu dengan taqdir Allah, Hababah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Cinta Yazid yang sangat mendalam menyebabkan dia tidak sanggup mengebumikan jenazah Hababah. Jenazah Hababah terbujur berhari-hari sehinga ditegur oleh saudaranya yang bernama Maslamah. Akhirnya beliau akur dan mengebumikannya. Disebabkan beliau terlalu mencintainya, beliau sanggup menggali kubur Hababah semata-mata untuk menatap wajah Hababah. Setelah dipujuk agar mengebumikannya semula, Yazid setuju namun selepas itu beliau tidak keluar-keluar lagi dari biliknya. Pada hari 18, beliau meninggal dunia.
Seorang tabib ditugaskan untuk merawati seorang pemuda yang sedang sakit. Tabib itu berasa hairan kerana bermacam ubat pernah diberikan kepada pemuda itu namun penyakitnya tidak beransur sembuh. Hinggalah pada satu hari, tabib itu meminta dibawakan kepadanya senarai nama-nama gadis di kampung itu. Tabib itu kemudiannya menyebut nama-nama gadis di hadapan pemuda itu. Sampai pada satu nama, berubahlah keadaan pemuda itu dan beransur-ansur menjadi sihat. Kata tabib itu kepada sang ayah, Carilah perempuan ini dan kahwinkanlah ia dengan anakmu. Inilah yang dinamakan mahabbah.
Kenapa Rasulullah saw terlalu cinta kepada Khadijah? Khadijah adalah manusia pertama yang beriman kepada Rasulullah saw. Khadijah adalah orang pertama yang membenarkan seruan Nabi saw ketika orang lain mendustakannya. Khadijah membantu perjuangan Nabi saw dengan seluruh hartanya. Walaupun Rasulullah mempunyai ramai isteri namun zuriat baginda saw datang dari Fatimah, anak kesayangan baginda saw hasil perkongsian hidupnya dengan Khadijah. Abu Nasr al-Sarraj pernah berkata, “Orang yang bercinta cukup taat kepada orang yang dicintainya”. Begitulah keadaannya isteri yang cinta pada suaminya akan taat pada suaminya dan sebaliknya. Ketaatan Khadijah begitu luarbiasa. Apabila turun ayat pertama, Khadijah terus membenarkannya. Inilah tanda mahabbah dan cinta beliau kepada Rasulullah saw. Kata habib, orang yang banyak isteri mungkin boleh berlaku adil pada pakaian, harta dan sebagainya tetapi tidak mungkin boleh berlaku adil dengan cinta. Pasti di kalangan isteri-isterinya itu, ada seorang yang paling dicintainya yang boleh menggetarkan perasaan hatinya tatkala berhadapan dengannya. Kata habib lagi, Kamu tidak mampu berkata-kata tentang cinta kerana mahabbah itu datang daripada Allah. Kata Habib Umar al-Khatib, seorang ulama asal Singapura, “Apabila suami isteri kuat mahabbahnya maka mudahlah mereka mendapat zuriat”. Ketahuilah bahawa mahabbah akan mendatangkan rahmat yang luarbiasa.
Nabi saw berkahwin dengan Khadijah ketika Nabi saw berusia 25 tahun manakala Khadijah berusia 40 tahun. Kenapa Nabi saw berkahwin dengan Khadijah? Allah mentaqdirkan Rasulullah saw berkahwin dengan janda yang pernah melalui alam perkahwinan sebanyak dua kali dan mempunyai dua orang anak. Apa hikmahnya disini? Hikmahnya luarbiasa. Rasulullah saw telah menjalani kehidupan sejak kecil dalam keadaan yatim piatu. Ayahandanya, Abdullah wafat sebelum Rasulullah saw lahir. Bondanya, Aminah wafat ketika Rasulullah saw berusia 6 tahun. Ketika Aminah sedang tenat, beliau memeluk tubuh Rasulullah saw dengan erat. Sehinggalah apabila sampai pada saat wafatnya, beliau tetap memeluk erat tubuh Rasulullah saw. Perlahan-lahan Ummu Aiman melepaskan pelukan Aminah lalu mengambil Rasulullah saw. Sejak itu, Ummu Aiman menjaga Rasulullah saw. Berbalik kepada kisah Khadijah, perkahwinannya dengan Rasulullah saw telah memberikan satu perasaan yang luar biasa kepada baginda saw. Khadijah yang usianya lebih tua memberikan kasih sayang yang sangat luar biasa kepada Rasulullah saw. Khadijah bukan sahaja menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri tetapi juga bertindak sebagai seorang penasihat yang peranannya seperti seorang ibu. Semua ini ada dalam diri Khadijah.
Rasulullah saw pernah tinggal bersama-sama dengan bapa saudara Abi Talib yang hidup dalam keadaan yang sangat sederhana. Setelah dewasa, bapa saudaranya bernama Hamzah mengambil Jaafar (anak Abi Talib) untuk menjaganya manakala Rasulullah saw mengambil Ali (anak Abi Talib juga) untuk menjaganya. Sebelum berkahwin dengan Khadijah, Rasululah saw pernah hidup dengan mengembala kambing. Selepas berkahwin dengan Kadijah, segala perniagaan dan harta Khadijah diserahkan kepada baginda saw untuk diuruskan. Kuntungan Khadijah semakin berlipat kali ganda. Setiap kali untung diperolehi, Rasulullah saw akan memberi sedeqah dan bantuan kepada faqir miskin. Khadijah gembira kerana hartanya diagih-agihkan kepada orang miskin. Sehinggalah pada hari beliau wafat, Rasulullah saw terpaksa meminjam wang untuk membeli kain kafan untuk menutup jenazah Khadijah. Sesungguhnya inilah akhlak yang luar biasa yang dizahirkan oleh kedua pasangan suami isteri yang mulia ini. Apabila mereka mendapat kekayaan dengan senang hati mereka memberikannya kepada orang lain.
Rasulullah saw mempunyai sembilan orang isteri tetapi Rasulullah saw memperolehi zuriat hasil perkahwinannya dengan Khadijah. Semua anak Rasulullah saw wafat kecuali Khadijah. Ketika anak lelakinya, Abdullah wafat, ada seorang lelaki Quraisy berkata kepada Rasulullah saw dengan menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak akan mempunyai zuriat. Lalu turun surah al-Kautsar yang mencela lelaki Quraisy itu. Zuriat Rasulullah saw tidak terputus sebaliknya berkembang biak menerusi anaknya yang bernama Fatimah. Orang Quraisy sentiasa memandang rendah pada golongan perempuan. Salah satu sebab Rasulullah saw berkahwin banyak adalah untuk menunjukkan kepada golongan Quraisy bahawa baginda saw tidak membenci orang perempuan. Pada satu hari Habib Ahmad Muhammad Muhdhor menghadiri solat Jumaat di Makkah. Pada hari itu, imam membaca khutbah yang agak panjang manakala masa solatnya dipendekkan. Selesai solat, Habib Ahmad menegur imam itu dengan katanya, “Engkau tidak ikut sunah. Nabi saw khutbahnya pendek tetapi solatnya panjang”. Terus dia menempeleng imam itu. Polis kemudiannya berusaha menangkapnya. Habib Ahmad lari ke dalam Ma’la. Pada masa itu makam Sayyidah Khadijah mempunyai kubah. Habib Ahmad menyusup masuk ke dalam maqam Sayyidah Khadijah. Sekumpulan polis itu juga masuk ke dalamnya untuk mencarinya. Apabila masuk, mereka gagal menemuinya. Berulang kali mereka keluar masuk kawasan pemakaman itu tetapi tetap tidak berjaya menemuinya. Setelah itu mereka pun pulanglah ke tempat mereka. Tiga hari selepas itu, keluarlah Habib Ahmad dari maqam Sayyidah Khadijah. Keadaannya selepas keluar dari maqam menjadi sangat luarbiasa. Apa sahaja yang dituturkannya pasti akan dikaitkan dengan nama Sayyidah Khadijah. Selepas keluar dari kawasan pemaqaman itu, beliau telah menulis satu qasidah yang masyhur tentang Sayyidah Khadijah. Pada satu hari selepas solat, beliau melihat anak-anak cucunya memenuhi barisan saf dikiri dan kanan. Pada ketika itu, dia tahu bahawa saat wafatnya semakin hampir. Tiga hari selepas itu, ia pun kembali ke rahmatullah.

No comments:

Post a Comment