Sunday, August 8, 2010

Bab pada menyatakan segala zikir (Sairus Salikin) - Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di USJ9 pada 8 Ogos 2010
Malaikat mencari-cari mana-mana majlis zikir yang ada di muka bumi ini. Malaikat melihat tempat-tempat yang diadakan majlis zikir akan terang bercahaya. Majlis zikir dianggap sebagai satu kebun dari kebun-kebun syurga. Tempat orang-orang yang berzikir di atas muka bumi ini adalah sama seperti kebun-kebun di dalam syurga. Asal dapat hadir sahaja dalam majlis zikir maka seseorang itu sudah memperolehi kelebihan menghadiri majlis apatah lagi jika ia turut sama berzikir.
Berzikir secara beramai-ramai mempunyai kelebihan. Orang yang berzikir secara beramai-ramai akan diliputi oleh para malaikat dan dicucuri rahmat Allah. Hati menjadi tenang dan tetap dengan zikrullah. Masa kita tidak akan kosong apabila berzikir secara berjemaah. Misalnya jika kita berhenti berzikir seketika, kita masih boleh mendengar suara orang lain berzikir. Mendengar orang lain berzikir memberi kesan kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ada orang yang tidak bersetuju berzikir beramai-ramai apatah lagi mengangkat suara. Padahal apabila mengerjakan haji di Makkah, seseorang itu tetap akan mengerjakan zikir secara beramai-ramai dengan mengangkat suara seperti mengucapkan talbiah.
Ketahuilah bahawa Allah membanggakan orang yang berzikir di hadapan para malaikat-Nya. Jangan terburu-buru keluar dari masjid setelah selesai solat Jumaat kerana pada masa itu, rahmat Allah sedang diagih-agihkan kepada umat Islam atas zikirnya, istighfarnya dan sebagainya. Kata syeikh, masyaikhnya iaitu Syeikh Zaini pada saat ia mengajar, tidak pernah sekalipun ia mempedulikan kebesaran sang penuntut ilmu (maksudnya jika berjawatan tinggi atau bergelar) kerana kebesaran itu hanyalah untuk Allah Ta’ala.
Nabi saw juga duduk bersama-sama kelompok para sahabat yang berzikir dengan ikhlas. Pernah satu hari Abu Jahal mengenakan syarat iaitu andainya Nabi saw dapat menyediakan satu majlis zikir khusus untuk orang-orang bangsawan Quraisy sepertinya maka ia akan masuk Islam. Allah Ta’ala kemudiannya memerintahkan Nabi saw agar tidak mempedulikan permintaan orang-orang yang mengenakan syarat untuk masuk Islam.
Ketahuilah bahawa sesuatu yang sangat berguna di dunia dan di akhirat ialah berzikir kepada Allah samada secara beramai-ramai atau bersendirian. Orang yang berzikir secara bersendirian sehingga mengalirkan air mata kerana takutkan Allah Ta’ala termasuk dalam golongan yang dinaungi Arasy. Orang yang berzikir maka syurgalah untungnya. Terlalu banyak kelebihan orang yang duduk berzikir. Antaranya ialah seperti mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna bagi orang yang duduk berzikir setelah selesai solat subuh berjemaah hingga terbit matahari lalu ia mengerjakan solat sunat isyraqi.
Berzikir melemahkan semangat cinta kepada dunia di dalam hati. Orang yang memperbanyakkan zikir akan merasa ringan terhadap dunia. Mereka tidak akan terpengaruh dengan harta dunia kerana merasakan bahawa harta dunia ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan ganjaran akhirat. Ketahuilah bahawa zikir yang banyak akan membuahkan harta yang sangat banyak di akhirat kelak.
Orang yang sentiasa berzikir tidak akan didekati syaitan dan dunia. Tatkala umat Islam lupa atau lalai seketika untuk berzikir maka di saat itulah syaitan dan dunia akan menyelinap masuk. Oleh itu perbanyakkanlah zikir dan lazimilah diri untuk menghadiri majlis zikir.
Zikir yang paling afdhal ialah kalimah La Ilaha Illallah. Ini adalah kerana zikir ini disebut-sebut oleh Nabi saw dan juga nabi-nabi lain. Ada orang suka berselisih pendapat tentang amalan mana yang lebih afdhal sedangkan mereka sendiri belum pun beramal dengan mana-mana amalan pun. Dalam hal ini, Syeikh membawa satu kisah. Kisahnya tentang Amar dan Zaid. Salah seorang diantara mereka bercadang untuk membuat kebun manakala yang seorang lagi berminat hendak mengembala kambing. Lalu berkatalah si pemilik kebun, andaikata kambingmu masuk di dalam kebunku siapakah yang akan dipersalahkan? Lalu si pengembala kambing menyalahkan pemilik kebun kerana tidak memagar kebunnya manakala si pemilik kebun menyalahkan si pengembala kambing kerana tidak menjaga kambingnya dengan baik. Akhirnya mereka berdua bergaduh dan perkara ini sampai kepada kadi. Kadi lalu bertanya, “ Di mana kambing dan kebun yang diperkatakan?” Rupanya mereka baru merancang sahaja, belum lagi memulakannya.
Pada masa ini telah ada fahaman yang menyusup di kalangan umat Islam. Kata mereka, apa perlunya berzikir banyak-banyak sedangkan yang patut dilakukan ialah mengerjakan ibadah banyak-banyak dan mencegah kemungkaran. Golongan ini mengambil contoh seperti berikut, Ada seorang raja yang memerintahkan rakyatnya untuk membersihkan istana. Rakyatnya tidak mengendahkan permintaan raja itu sebaliknya lebih suka memuji-muji kebaikan dan kebesaran raja. Jadi golongan yang berfahaman sebegini mengaitkan kisah ini dengan mereka yang suka berzikir. Qias golongan yang berfahaman sebegini telah menghina orang yang berzikir. Mana boleh disamakan kisah tersebut dengan orang yang berzikir kerana orang yang berzikir mempunyai kelebihannya.
Orang yang munafik tidak akan mampu untuk memperbanyakkan zikir. Zikir yangbanyak adalah tanda orang yang beriman. Orang yang berjihad akan berjaya bila ia memperbanyakkan zikir. Orang berjihad tanpa berzikir ibarat kenderaan yang kehabisan minyak. Ulama menyifatkan sahabat Nabi saw seperti berikut, “Di waktu siang, mereka gagah menunggang kuda melawan musuh manakala di waktu malam mereka menangis kerana takutkan Allah”.
Zikir yang banyak mendatangkan kelebihan dan kekuatan rohani. Orang yang berpegang teguh dengan kalimah La Ilaha Illallah tidak akan gentar ketika berada di alam qubur dan Padang Mahsyar. Ketahuilah bahawa zikir La Ilaha Illallah itu menggugurkan dosa orang yang hidup dan yang mati. Kata syeikh ketika memetik pendapat masyaikhnya iaitu al-Allamah Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, “Lazimilah diri dengan bangkit mengerjakan sembahyang tahajud walaupun hanya dua rakaat.” Orang yang merasa kemanisannya pasti akan menambah bilangan rakaat pada malam-malam berikutnya.
Amalan zikir tasbih, tahmid dan takbir juga terlalu banyak kelebihannya. Pernah satu hari Nabi saw memanggil bapa saudaranya iaitu Abbas lalu berkata, “Mahukah kamu hadiah yang akan aku berikan?” Kata Abbas, “Sudah tentu”. Hadiah yang dimaksudkan ialah dengan mengerjakan solat sunat tasbih pada tiap-tiap malam. Atau jika tidak mampu mengerjakan tiap-tiap malam maka lakukanlah sekali seminggu. Atau jika tidak mampu mengerjakannya sekali seminggu maka lakukanlah sekali sebulan. Atau jika tidak mampu mengerjakannya sekali sebulan, maka lakukanlah sekali setahun. Jika tidak mampu mengerjakannya sekali setahun maka lakukanlah sekali seumur hidup.
Pernah orang bertanya Hassan al-Basri kenapa beliau menggunakan tasbih untuk berzikir? Lalu dijawab Hassan al-Basri, “Supaya aku boleh mengingati Allah dengan hatiku, lidahku dan segala anggotaku” (maksudnya hati beliau dapat ditumpukan sepenuhnya kepada Allah Ta’ala).
Ruas-ruas jari juga boleh digunakan untuk menghitung zikir. Nabi saw menyuruh menggunakan ruas-ruas jari agar ruas-ruas jari ini kelak menjadi saksi di Hari Akhirat bahawa kita pernah menggunakannya untuk berzikir. Walaupun ada kalanya hati tidak khusyuk ketika berzikir namun ia tetap mendatangkan faedah kepada orang yang berzikir itu. Ini adalah kerana mulutnya yang berzikir itu tetap menerima ganjaran manakala hatinya lama-kelamaan pasti akan menjadi khusyuk dan turut berzikir sama.
Sesi Soal-Jawab (antara yang sempat dicatat)
Soal
Seorang membeli tanah pada tahun 2000 dengan harga RM 30,000. Pada tahun 2010, harga tanah itu melambung kepada RM 500,000. Tanah itu kemudiannya hendak dijual. Jika dalam tempoh tanah itu hendak dijual ia telah cukup haulnya maka berapakah nilai yang perlu dizakat?
Jawab
Jika mengikut pandangan yang asal iaitu Imam Syafi’I, zakat hendaklah dikeluarkan berdasarkan harga beli. Namun Prof Dr Yusuf al-Qardawi pernah memberikan pendapatnya yang menyatakan bahawa harta seperti tanah ini hendaklah dinilai mengikut harga semasa. Bermakna disini lebih baik jika dinilaikan pada harga RM500,000.
Soal
Amalan zikir mana yang hendak didahulukan? Ratib al-Haddad, al-Attas dan sebagainya?
Jawab
Bahagi-bahagikanlah amalan itu mengikut waktu-waktu tertentu (pagi, petang, malam dan sebagainya) dan yang penting ialah dengan membacanya setiap hari.
Soal
Adakah orang yang tidak tidur malam lalu terus mengerjakan solat malam dikira tahajud?
Jawab
Solat malam disebut tahajud apabila seseorang itu tidur terlebih dahulu kemudian bangkit untuk mengerjakan solat. Adapun bangun tengah malam atau terus mengerjakan solat tanpa tidur terlebih dahulu adalah termasuk dalam amalan qiamullail. Imam Abu Hanifah solat Isyak dan Subuh dengan hanya satu wuduk sahaja. Ini bermakna sepanjang malam, ia mengerjakan amal ibadah sehingga waktu Subuh.

Soal
Pada hari apakah elok kita menanam tumbuh-tumbuhan?
Jawab
Allah mencipta tumbuh-tumbuhan pada hari Isnin maka eloklah kita mengambil berkat dengan menanam pada hari tersebut. Allah mencipta nur pada hari Rabu, Allah mencipta haiwan pada hari Khamis, Allah mencipta Adam pada hari Jumaat dan selanjutnya. Ada amalan yang elok dilakukan pada hari-hari tertentu, misalnya amalan memotong kuku, elok pada petang Khamis atau hari Jumaat. Nabi saw berbekam pada 17, 19 dan 21 hb iaitu pada ketika ‘bulan turun’.

No comments:

Post a Comment