*Catatan bebas ana di al-Jazari pada 26 Julai 2009
Salah satu nama Malam Nisfu Sya'ban ialah Lailah al-Takfir yang bermaksud malam penghapusan dosa. Sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Sya'ban, Allah akan menghapuskan dosanya selama setahun. Malam ini merupakan malam kafarah dosa. Malam Nisfu Sya'ban juga dikenali dengan nama Lailah al-Ijabah yang bermaksud malam diperkenankan permohonan. Malam Nisfu Sya'ban merupakan salah satu dari lima malam yang dimustajabkan doanya. Nama lain seterusnya bagi Malam Nisfu Sya'ban ialah Lailah al-Hayah. Kenapa dinamakan Lailah al-Hayah? Ini adalah kerana pada malam itu, Allah menghidupkan hati orang menghidupkan malam tersebut. Kelak hatinya tidak bingung ketika berhadapan dengan sakaratul maut. Hatinya tidak akan lupa untuk menyebut dua kalimah syahadah. Hatinya tidak bingung ketika menjawab soalan Munkar dan Nakir. Hatinya tidak terpinga-pinga ketika dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak. Dan hatinya pasti akan dapat mengikut kelompok orang-orang yang berada disebelah kanan bukannya disebelah kiri. Tentang pentingnya orang yang hatinya hidup ini, diriwayatkan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah memecat seorang pegawainya yang pernah bekerja dengan al-Hajjaj, seorang penguasa yang terkenal dengan sikapnya yang zalim. Pegawai itu bertanya kepada Umar kenapa beliau dipecat sedangkan beliau hanya bekerja dengan al-Hajjaj dalam tempoh yang singkat sahaja. Lalu jawab Umar, walaupun engkau bekerja dengannya sekadar separuh hari sahaja, ia sudah cukup untuk merosakkan amalan-amalan yang soleh. Maksudnya disini, bergaul dengan orang-orang yang zalim bukan sahaja mematikan hati tetapi juga merosakkan segala amalan-amalan kebaikan. Satu lagi nama Malam Nisfu Sya'ban ialah 'Id al-Malaikah yang bermaksud Hari Raya Malaikat. Ini adalah kerana malaikat menyambut hari raya mereka pada malam ini. Satu lagi malam hari raya bagi malaikat ialah malam Lailatul Qadar.
No comments:
Post a Comment