Sunday, July 19, 2009

Syarah Khas Isra' dan Mi'raj oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

* Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR pada 19 Julai 2009

Kemuliaan sesuatu majlis dilihat pada sambutannya. Sambutan yang bermakna bagi negara ialah hari kemerdekaan. Bagi seorang manusia, sambutan yang bermakna ialah apabila berkahwin atau dinaikkan pangkat atau menyambut hari ulangtahun perkahwinan dan sebaginya. Kesimpulannya, masing-masing ada hari yang bermakna. Nabi saw juga begitu. Ada hari yang bermakna dan penuh bersejarah yang berlaku kepada baginda saw. Hari yang diingati itu ialah hari berlakunya Isra’ dan Mi’raj. Nabi saw. mengingati malam berlakunya peristiwa itu dengan membaca Surah al-Isra’ setiap malam. Nabi saw begitu mengambil berat tentang peristiwa ini kerana hal-hal yang berlaku sepanjang peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini tidak pernah dikurniakan oleh Allah swt kepada Nabi dan Rasul yang lain. Ini menunjukkan betapa pentingnya peristiwa ini dalam kehidupan baginda saw. Manakan tidak, dalam peristiwa inilah Allah swt menabalkan Nabi saw sebagai kekasihnya. Bersesuaian dengan kedudukan Nabi saw sebagai kekasih Allah swt maka Allah swt juga telah menabalkan umat Nabi Muhammad saw sebagai umat terpilih disisi-Nya. Atas sebab itu, maka wajarlah bagi umat Nabi Muhammad saw mengingati peristiwa ini lalu menghayati dan menanamkan rasa cinta dan kasih sayang kepada baginda saw atas anugerah yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kekasih-Nya dan umatnya. Biarpun umat Nabi Muhammad saw dipandang sebagai umat yang lemah namun wali-wali Allah telah membuktikan bahawa umat Nabi Muhammad saw bukanlah lemah seperti yang pernah disebut oleh Nabi Musa as ketika Nabi saw bertemu dengannya dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Wali-wali Allah berusaha menyukakan hati Rasulullah saw dengan memastikan bahawa umat Nabi Muhammad adalah umat yang dihormati bersesuaian dengan kedudukan sebagai umat terpilih bersama-sama dengan maqam tertinggi yang dikurniakan oleh kepada baginda saw. Mereka melakukan ibadah dengan tidak berhenti-henti, berselawat keatas Nabi saw sebanyak-banyaknya dan mengamal dan menghidupkan sunnah dengan bersungguh-sungguh. Maka usaha-usaha yang telah dilakukan oleh wali-wali Allah ini perlu diteruskan oleh generasi umat Nabi saw pada masa ini. Kita perlu berusaha menambah bilangan saf di masjid kerana itulah yang disukai oleh Nabi saw. Kita perlu melahirkan lebih ramai ulama khususnya bagi menggantikan ulama yang telah meninggal dunia kerana golongan inilah yang memimpin umat Nabi Muhammad saw selepas kewafatan baginda saw. Tergamakkah kita membuatkan Nabi saw berasa sedih apabila masjid dibiarkan kosong atau tidak ada lagi ulama yang boleh memimpin umatnya. Bagaimana kita hendak menjawab kepada Nabi saw apabila Nabi bertanya, mana umatku? Sebagai umat Nabi Muhammad saw, kita hendaklah sentiasa menjaga hati baginda saw. Amalan-amalan kita akan diperlihatkan kepada baginda saw. Nabi saw menjadi saksi setiap perbuatan dan amalan yang dilakukan oleh umatnya. Tidak malukah kita jika Nabi saw melihat kita melakukan perkara-perkara yang mungkar? Bagaimana kita hendak menjawab kepada Nabi saw kelak dan bagaimana pula hendak mendapat syafaat dari baginda saw jika ajaran agama yang dibawa Nabi saw dilanggar atau diengkar? Maka atas sebab itu, kita hendaklah sentiasa berselawat keatas Nabi saw dan tidak lalai dari mengerjakan solat. Sabda baginda saw, setiap selawat dan solat umatku sampai kepadaku.
Kata Syeikh, sangat aneh masyarakat pada hari ini. Ramai orang yang berlumba-lumba mencari kedudukan atau sentiasa ingin berdamping dengan orang-orang kenamaan dengan harapan untuk mendapat pingat, pangkat, kebesaran dan sebagainya tetapi mereka lupa untuk menjadi orang yang paling hampir dengan Nabi saw. Mereka lupa untuk berselawat ke atas Nabi dan melaksanakan ajaran agama yang dibawa oleh baginda saw lalu bagaimana Nabi saw hendak memberi syafaat kelak. Kita sepatutnya melihat kembali dalam diri kita. Apa cara kita hendak berada dekat di sisi Nabi saw? Berapa kali kita peruntukkan masa untuk berselawat kepada Nabi saw? Semua persoalan itu sangat penting jika kita hendak beroleh syafaat dari Nabi saw kelak.
Kata Syeikh, tambah aneh pula apabila ada golongan yang menganggap perbuatan menziarahi maqam Nabi saw itu satu perkara bidaah. Sedangkan kata Syeikh, jika pergi haji tanpa menziarahi maqam Nabi saw maka orang itu sangatlah biadap kerana tidak berterima kasih kepada baginda saw yang telah mengajar cara-cara mengerjakan haji yang disampaikan kepada sahabat sehinggalah pada generasi masa ini. Tergamak golongan ini mengatakan bahawa menziarahi maqam Nabi saw itu satu perkara bidaah sedangkan itulah caranya kita menunjukkan rasa terima kasih, penghargaan dan kecintaan kita kepada baginda saw. Bermacam-macam lagi dakwaan golongan ini tentang perkara-perkara yang dianggap bidaah. Tidak kurang yang mengatakan bahawa perjalanan Nabi saw dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah melibatkan roh sahaja sedangkan kata Syeikh, peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu meliputi roh dan jasad baginda saw. Ini kerana Nabi melihat dan mendengar sepanjang peristiwa itu berlaku. Ada juga yang mengatakan bahawa bacaan lafaz Sayyiduna dalam tasyahhud solat adalah bidaah sedangkan kata Syeikh, Nabi saw memang layak digelar Sayyiduna kerana baginda adalah penghulu kepada segala penghulu.[1]
Kita hendaklah menepis dakwaan dan tohmahan sebegini. Kita hendaklah sentiasa mengingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj kerana dalam peristiwa inilah Allah swt telah melimpahkan pelbagai anugerah yang tidak ternilai kepada kekasih-Nya dan umat kekasih-Nya. Kata Syeikh, pada malam itu, sahabat berhimpun mendengar Nabi saw berbahas tentang peristiwa Isra’ dan Mi’ raj. Nabi saw berbahasa pada malam itu seolah-olah membahagi-bahagikan anugerah yang telah dikurniakan oleh Allah swt. Jika orang sekarang mencari pingat kebesaran, maka pingat itu bukanlah sebesar bahkan hanya milik orang tertentu sahaja. Tetapi anugerah yang dikurniakan Allah swt kepada umat Nabi saw meliputi semua orang dimana ganjaran yang dilimpahkan adalah kepada semua umat Nabi Muhammad saw asalkan tekun mengerjakan suruhan agama yang telah dibawa oleh Nabi saw.



[1] Tentang ulasan lanjut boleh rujuk artikel bertajuk Israk Mikraj daulatkan ketuanan Rasulullah tulisan PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN di Utusan Malaysia. Terbit pada 20 Julai 2009. Boleh dicapai disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

No comments:

Post a Comment