Monday, November 9, 2009

Kitab al-Ayatul Mufassolat fi al-Ahadithil Musalsalat - Disyarah dan diijazah oleh pengarangnya Syeikh Muhammad Husni Ginting al-Langkati (sambungan)

*Catatan bebas ana di Shah Alam pada 7 Nov 2009

Tentang isu Wahabbi

Syeikh ada menyentuh sedikit tentang permasalahan isu Wahabbi sebelum memulakan majlis. Kata syeikh, Wahabbi ini tergolong dalam kelompok Khawarij. Kelompok ini sebenarnya telah pun sejak dari zaman Rasulullah saw lagi. Rasulullah saw bersabda, Sesungguhnya akan muncul dari golongan ini, orang-orang yang membaca a-Quran tetapi tidak sampai kepada tenggorok kami. Maksudnya, golongan ini membaca al-Quran tetapi tidak menghayati isi kandungannya.

Tentang amalan

Syeikh menganjurkan pembacaan Hizb Bahr. Kata Syeikh, amalan ini elok diajarkan kepada anak-anak sejak dari usia kecil kerana didalamnya trkandung nama-nama Allah yang Maha Besar.

Tetang hadith musalsal

Kepentingan hadith musalsal ini telah disebut oleh ulama-ulama besar sejak dari dahulu lagi. Antaranya ialah Imam as-Suyuthi yang menyebut tentang kepentingan hadith ini didalam kitabnya yang berjudul Jiyadul Musalsalah. Begitu juga dengan Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang menyebut tentang kepentingan hadith ini didalam kitabnya.

Antara hadith yang diijazahkan oleh Syeikh pada 7 November 2009 di Persidam ialah

1. Hadith musalsal bil awwaliyyah

Maksud hadith ini menganjurkan umat Islam agar kasih-mengasihi antara satu sama lain. Orang yang saling mengasihi antara satu sama lain maka Allah Ta’ala akan mengasihinya. Orang yang saling berkasih-sayang di bumi maka mereka juga akan dikasihi oleh penghuni langit.

2. Hadith musalsal dengan keadaan semua periwayatnya menyambungnya dengan cara tawabiq’ yakni bertanya tentang nama, kunyah[1], tempat, asal dan nisbah dari periwayat sebelumnya.

Hadith yang diriwayatkan telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra berbunyi begini, Wahai Anas, hendaklah kamu berbanyak-banyakkan teman. Sesungguhnya kamu dan teman itu akan saling bertolong-tolongan

3. Hadith musalsal dimana setiap periwayatnya membacakan ayat “marhaban bi habibi qurrota’aini… (sehingga habis)” dan kemudiannya menyapu mata

Hadith ini berbunyi, Sesiapa yang berselawat kepada saya ketika mendengar muazzin mengumandangkan kalimah “Sahaja aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah” kemudian ia mengumpulkan jarinya lalu menciumnya dan menyapu jarinya kepada matanya maka ia tidak akan sakit mata (termasuk rabun) selama-lamanya.

4. Hadith musalsal dimana periwayat berdoa selepas azan

Maksud hadith yang diriwayatkan menyatakan bahawa, Sesiapa yang menjawab setiap azan yang dilaungkan oleh muazzin dan kemudian berselawat ke atas baginda saw maka beliau pasti akan mendapat syafaat baginda saw.

5. Hadith musalsal yang diriwayatkan dalam keadaan jari-jemari disilangkan dengan periwayat sebelumnya

Maksud hadith yang diriwayatkan menyatakan bahawa Allah swt menjadi bumi pada hari Sabtu, gunung pada hari Ahad, pokok pada hari Isnin, makruh memulakan sesuatu perkara pada hari Selasa, cahaya pada hari Rabu, binatang pada hari Khamis dan Nabi Adam pada hari Jumaat (selepas Asar). Maka adalah sangat elok untuk memulakan sesuatu perkara pada hari Rabu kerana pada hari itu Allah menjadikan cahaya. Hadith ini turut diriwayat oleh Abi Hurairah ra.

6. Hadith musalsal bi taqbil al-yadi

Maksud hadith menyatakan bahawa mencium seorang muslim akan tangan dari seorang muslim itu adalah musyofohah. Ciuman seorang muslim adalah sunnah apatah lagi dengan ulama kerana cahaya dari ulama itu akan mengalir kedalam diri kita. Syeikh menyatakan bahawa dalam tradisi Syazuliyyah, mereka akan saling cium-mencium tangan antara satu sama lain kerana masing-masing hendak mengambil berkat sesama mereka. Imam Syazuli bila dicium orang akan tangannya maka beliau akan mencium balik tangan orang yang mencium tangannya kerana hendak mengambil berkat. Tradisi ini samalah seperti tradisi yang menjadi amalan para sahabat seperti Umar ra yang meminta orang lain mendoakan untuk dirinya.

7. Hadith musalsal dimana semua periwayat menulis ‘doa’[2] dan kemudian memasukkannya kedalam poket dan berkata “Aku tulis dan inilah dia dalam poketku”. Maksud hadith ini menyatakan bahawa ‘doa’[3] itu sekiranya diamalkan boleh melembutkan hati orang-orang yang zalim. Doa ini sangat dianjurkan untuk diamalkan khususnya bagi melapangkan diri dari kesusahan.

8. Hadith musalsal dengan maksud hadith yang berbunyi, “Tidak berkumpul satu kaum atas zikir kepada Allah Ta’ala melainkan para malaikat akan melitupi mereka dengan rahmat dan Allah Ta’ala akan menyebut-neyebut mereka itu dengan orang-orang yang berada disisi mereka.” Hadith ini sahih dan diriwayat oleh Imam Muslim dan sampai kepada Abi Hurairah ra.

9. Hadith musalsal bil musyariqah

Hadith ini diriwayat oleh periwayat dari sebelah timur (masyriq). Maksud hadith menyatakan bahawa apabila terangkat bintang di langit maka terangkatlah bencana dari tiap-tiap negeri. Sementara itu dalam satu hadith lain yang diriwayat oleh at-Tabrani menyatakan bahawa bintang yang disebut itu bernama ‘Sariya’. Hadith ini turut diriwayat oleh Imam Abu Hanifah yang berasal dari Kufah. Kata Syeikh, jangan anggap orang Kufah itu semuanya Syiah kerana ramai ulama besar yang ahli dalam bidang ilmu-ilmu Islam seperti nahu, sorof dan sebagainya berasal dari tempat itu.

10. Hadith musalsal al-Masriyyin

Hadith ini diriwayat oleh periwayat yang berada di Mesir. Syeikh meriwayat hadith ini antaranya daripada Syeikhuna al-Allamah al-Faqih asl-Syeikh Ali bin Jum’ah yang didengarnya di Jame’ al-Azhar. Maksud hadith ini adalah seperti berikut,

Maka menjeritlah seorang lelaki dari umatku dihadapan makhluk yang ada pada hari kiamat. Maka dibentangkan kepadanya 99 tulisan. Setiap satu tulisan itu panjangnya saujana mata memandang. Allah berkata kepadanya, Apakah engkau engkarkan walau sedikitpun. Kata lelaki itu, Aku tidak engkar[4] dan itulah dosaku. Allah berkata, Adakah engkau memliki keuzuran dan kebaikan. Kata lelaki itu, Aku tidak memiliki kebaikan. Maka Allah berkata, Bahkan kamu menurut kami memiliki kebaikan. Maka sesungguhnya kamu tidak akan dizalimi pada hari ini. Maka dikeluarkan satu kartu amalannya tentang ucapan kalimah syahadah yang menjadi amalannya ketika dunia lalu diletakkan diatas neraca timbangan dan memberatlah timbangannya itu. Dengan sebab amalannya maka Allah telah menghapuskan segala dosanya yang lalu.

11. Hadith musalsal dimana setiap periwayat bertanyakan umur periwayat sebelumnya ketika meriwayat hadith

Maksud hadith ini menyatakan, Tidak termasuk harga diriku yang menyatakan tentang umurnya kalau dia itu kecil maka dia akan menghinanya dan kalau dia itu tua maka dia akan menyatakan dah tua bangka.

12. Hadith musalsal yang diriwayat dalam keadaan setiap periwayat akan tersenyum

Hadith ini berkaitan dengan kisah orang yang paling akhir masuk syurga. Dikhabarkan dalam kisah ini pelbagai macam kenikmatan yang diperolehi oleh orang yang paling akhir itu ketika masuk ke dalam syurga. Kata Syeikh, itu kisah orang yang paling akhir jadi bagaimana pula dengan orang yang berada dalam kelompok awal masuk syurga. Fitrah manusia apabila kisah-kisah lucu diceritakan maka si pendengar pasti akan ketawa atau tersenyum. Rasulullah saw juga begitu. Baginda saw ketawa bila sahabat ketawa. Baginda saw senyum bila sahabat senyum. Berbalik kepada kisah ini, pengajaran disebaliknya ialah jangan kita menganggap bahawa setiap amalan kita yakni solat kita, puasa kita, sedeqah kita dan sebagainya akan membawa ke syurga sebaliknya kita harus faham bahawa rahmat Allah lah yang membawa kita ke syurga. Kita masuk syurga atas rahmat Allah dan jangan sangka amal kita itu akan dapat memasukkan kedalam syurga.

13. Hadith musalsal yang diriwayat oleh periwayat yang dihadapan namanya bermula dengan Muhammad

Maksud hadith yang diriwayatkan menyatakan bahawa paha itu adalah aurat, lalu “Tutuplah pahamu kerana ia adalah aurat”. Amatlah aneh pada zaman ini apabila ramai orang dengan tidak ada perasaan bersalah langsung memakai seluar pendek dan berjalan di khalayak ramai.

14. Hadith musalsal bil hasan

Maksud hadith ini menyatakan bahawa, “Sebaik yang baik itu adalah akhlak yang baik”

15. Hadith musalsal yang diriwayat dengan maksud hadithnya seperti berikut, Kalau naik bukit bacalah Allahuakbar dan kalau menuruni bukit bacalah Subhanallah. Rasulullah saw membaca Allahuakbar setiap kali menaiki sesuatu tempat dan membaca Subhanallah apabila menuruni sesuatu tempat. Hadith ini tarafnya sahih



[1] Syeikh Husni ketika meriwayat hadith ini menggunakan kunyah Abu Faidh yang sebelum ini digunakan oleh al-Musnid al-Dunya Syeikh Muhammad Yasin Isa al-Fadani. Kata Syeikh, mudah-mudahan Allah Taala mengurniakan keberkatan dengan menggunakan kunyah ulama besar seperti beliau,

[2] Doa tersebut ada dimuatkan didalam buku hadith musalsal yang disusun oleh Syeikh Husni Jinting

[3] Syeikh tidak mengizinkan doa ini digunakan untuk tujuan kejahatan

[4] Di hari akhirat, semua anggota akan berbicara dan menyatakan setiap perbuatan yang dilakukan diatas dunia

No comments:

Post a Comment