Monday, November 30, 2009

Titisan Hujan Lautan Sufi pada bab takrif tasawwuf - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 29 Nov 2009
Takrif tasawwuf itu terlalu banyak sehingga ada ulama menyatakan bahawa takrifnya sahaja menjangkau 2000 jenis pentakrifan. Untuk belajar takrifnya sahaja sudah memakan masa bertahun-tahun. Kupasannya pula ada yang mencecah sehingga 20 jilid kitab, itupun belum selesai sepenuhnya. Makna tasawwuf itu terbahagi kepada dua. Pertama dari aspek lughah dan kedua dari aspek istilah. Dari aspek lughah, tasawwuf itu bermakna bebas atau bersih dari sebarang kotoran zahir dan batin, maksiat zahir dan batin. Maksiat zahir adalah maksiat anggota badan seperti mata, telinga, perut dan kemaluan manakala maksiat batin adalah maksiat hati yang merujuk kepada ujub, takabbur, riak, sum’ah, hasad dengki dan sebagainya. Orang yang mempraktikkan ilmu tasawwuf ini dipanggil ahli sufi. Dari segi istilah pula, tasawwuf merujuk kepada hakikat orang-orang yang berada di pengakhiran perjalanan mereka menuju kepada Allah Ta’ala. Inilah perjalanan yang diidamkan oleh orang-orang salik. Dalam perjalanan ini, ia melibatkan proses fana’ dan baqa iaitu menghilangkan diri (fana) seterusnya kekal (baqa) bersama Allah Ta’ala. Kita hendaklah memasukkan atau mengisikan hati kita semata-mata hanya Allah Ta’ala. Didalam hati para Nabi dan Rasul, yang ada hanyalah Allah Ta’ala. Ingatan mereka hanya terhadap Allah Ta’ala. Kata ulama, sesungguhnya setiap makhluk itu ada tanda kekuasaan Allah Ta’ala. Diri kita ini perlu kita kaji sedalam-dalamnya. Allah swt menyuruh kita agar mengkaji diri kita. Sebab itulah ada disebut oleh para ulama bahawa sesiapa yang mengenali dirinya maka ia mengenal Tuhannya. Sesiapa yang tahu dirinya hina maka tahulah juga ia bahawa Allah Ta’ala lah Tuhan Yang Maha Mulia. Sesiapa yang tahu dirinya miskin maka tahulah juga ia bahawa Allah Ta’ala lah Tuhan Yang Maha Kuasa. Kata para ulama lagi, hendaklah kamu berfikir kejadian Allah Ta’ala tetapi janganlah kamu memikirkan zat Allah. Haram hukumnya (memikirkan zat Allah) kerana akal manusia tak terjangkau untuk memikirkannya. Zat Allah itu hanya Allah Ta’ala sahaja yang mengetahuinya. Maqam orang awam seperti kita ialah apabila kita melihat makhluk Allah maka kita akan dapat melihat kekuasaan Allah Ta’ala. Tak terhitung oleh kita tentang betapanya banyaknya makhluk Allah. Kita melihat kekuasaan Allah Ta’ala dengan cara memandang yang banyak yakni makhluk kemudian membawa kepada yang satu yakni Allah Ta’ala. Untuk sampai kepada Allah Ta’ala kita memerlukan wasilah. Wasilah ini ialah dengan mendapatkan syafaat dari orang-orang yang hampir dengan Allah Ta’ala. Maqam selanjutnya ialah maqam siddiqin atau maqam nabiyyin. Berada di maqam ini bererti melihat Allah dahulu kemudian baru melihat makhluk. Golongan ini tidak boleh melihat Allah menerusi perantaraan makhluk. Mereka adalah muqorrobin (yang sangat dekat kepada Allah Ta’ala) dan tidak memerlukan wasilah. Para Nabi dan Rasul mengenal Allah bukan melalui perantaan makhluk. Sebab itulah apabila mereka mengenal Allah menerusi makhluk maka Allah Ta’ala mentakdirkan perpisahan antara mereka dengan orang yang mereka kasihi. Nabi Ibrahim as terlalu mengasihi anaknya, Ismail lalu Allah mengalihkan kasih sayangnya itu kepada kasih sayang yang hakiki iaitu kepada Allah Ta’ala apabila Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya. Nabi Ibrahim patuh kepada arahan Allah dan berjaya memusatkan hatinya kepada Allah Ta’ala lalu Allah angkatkan darjatnya ke maqam Khalilullah (Kekasih Allah) kerana kasihnya baginda kepada Allah Ta’ala melebihi sekalian makhluk walaupun anaknya sendiri. Nabi Yaakub as juga sangat mengasihi anaknya, Yusuf. Baginda melihat kecantikan Allah Ta’ala menerusi kecantikan anaknya, Yusuf sedangkan baginda tidak patut melihat Allah menerusi perantaraan. Lalu Allah Ta’ala takdirkan perpisahan Nabi Yaakub as dengan anaknya, Yusuf supaya Nabi Yaakub belajar mengenali Allah Ta’ala tanpa perantaraan Yusuf.
Pada satu ketika, Rasulullah saw juga terlalu mengasihi Aisyah. Sehingga pernah ditanya oleh sahabat tentang siapa yang baginda kasihi lalu baginda jawab, Aisyah. Selepas itu, tanya sahabat, siapa lagi yang Rasulullah saw kasihi. Jawab baginda saw, bapanya iaitu Abu Bakar As-Siddiq. Baginda saw mengucapkan hal ini selepas kewafatan Khadijah ra. Apabila Rasulullah saw mengasihi Aisyah secara berlebih-lebihan sedangkan hatinya sepatutnya tertumpu kepada Allah Ta’ala semata-mata maka ditakdirkan Aisyah difitnah berlaku sumbang dengan sahabat sehingga menyebabkan hati baginda saw mula tawar terhadap Aisyah. Sehinggalah pada satu ketika, Nabi saw menghantar Aisyah ke rumah bapanya. Pada pandangan ahli sufi, peristiwa itu sangat besar hikmahnya kerana asbab peristiwa itu telah memberi kesedaran kepada baginda saw bahawa hatinya sepatutnya ditumpukan sepenuhnya kepada Allah Ta’ala bukannya kepada makhluk ciptaan-Nya.
Dengan sebab itu, kita kenalah usahakan hati kita agar sentiasa tetap kepada Allah Ta’ala bukannya kepada makhluk. Ahli sufi besar, Rabiah Adawiyyah berkata, Aku jadikan Engkau Ya Allah teman berbicara dengan hati aku. Kata Rabiah lagi, Aku izinkan jasadku ini ditumpangi oleh makhluk tetapi tidak pada hatiku. Hatiku ini kuberikan kepada Allah semata-mata. Begitu juga dengan wali Allah yang lain. Ada wali Allah berkata, Aku bercakap dengan manusia selama 30 tahun. Mereka sangka aku bercakap dengan mereka walhal aku berbicara dengan Allah. Begitulah juga dengan hati kita. Kita hendaklah mendidik hati kita agar sentiasa bersama dengan Allah Ta’ala walaupun pada ketika itu ketika sedang berurusan dengan masyarakat atau berhubung dengan orang yang kita kasihi. Setiap detik kita hanyalah ditumpukan kepada Allah Ta’ala. Janganlah kita duduk beruzlah atau bersuluk seorang diri tetapi hati kita teringat kepada makhluk.
Ketika Nabi saw wafat, tidak ada seorang pun di kalangan sahabat yang berani tampil ke hadapan untuk mengimamkan solat jenazah baginda saw yang mulia. Sahabat besar, Abu Bakar as-Siddiq berkata, Nabi saw adalah imam dunia dan akhirat. Ketika hayat baginda, Nabi saw tidak pernah meninggalkan solat jemaah melainkan jika ada urusan benar-benar penting.[1] Nabi mengimamkan solat jemaah. Walaupun Nabi saw sentiasa bersama-sama dengan para sahabat dan sibuk dengan urusan namun hati baginda saw tidak pernah lupa mengingati Allah Ta’ala. Nabi saw telah merasai kelazatan bersama Allah Ta’ala. Baginda saw mendapat anugerah dan nikmat yang tidak dikecapi oleh mana-mana makhluk lain di atas dunia iaitu melihat Allah Ta’ala. Hatinya telah terpaut semata-mata kepada Allah Ta’ala. Maka atas sebab itu, Nabi saw sebenarnya mampu untuk tidak berkahwin tetapi demi untuk meraikan umatnya serta menjadikan syariat dan sunnah untuk umatnya maka baginda saw berkahwin. Hal yang sama juga berlaku kepada penghuni syurga. Tidak ada nikmat yang lebih besar bagi penghuni syurga melainkan setelah melihat Allah Ta’ala. Nikmat melihat Allah Ta’ala adalah nikmat yang maha besar sehinggakan lupa terhadap nikmat-nikmat lain yang Allah Ta’ala kurniakan kepada penghuni syurga seperti nikmat bidadari, makanan, kesenangan dan sebagainya.
Ulama tauhid berkata, Setelah melihat Zat Allah Ta’ala, mereka lupa segala nikmat yang lain. Maka terlalu rugilah puak-puak Muktazilah atau yang seumpama dengannya yang mengengkari nikmat melihat Allah Ta’ala di akhirat kelak dan mengengkari syafaat. Ketahuilah bahawa sesiapa yang mengikuti fahaman puak-puak ini maka menjadilah ia golongan yang sebesar-besar kerugian dan menyesal dengan tidak berkesudahan. Imam al-Ghazali berkata, orang yang berada di alam barzakh seperti berpaut pada pohon kayu. Tamsilan ini menunjukkan bahawa orang-orang yang telah mati mengharapkan bantuan dari orang-orang yang masih hidup. Maka atas sebab itu, doa, sedeqah, tahlil dan talqin yang dihadiahkan oleh orang yang masih hidup akan sampai kepada mereka. Amalan yang tidak sampai kepada mereka (orang yang berada di alam barzakh) adalah amalan maksiat. Puak-puak seperti Muktazilah dan yang sehaluan dengannya adalah golongan yang sangat rugi kerana menyempitkan rahmat Allah Ta’ala. Nabi saw berkata, Allah swt memiliki 100 rahmat. Allah menurunkan satu rahmat ke bumi yang berupa hujan, kekayaan, kasih sayang dan sebagainya. Rahmat selebihnya Allah simpan untuk akhirat. Kalaulah orang-orang kafir ini tahu tentang perkara ini, nescaya mereka tidak akan putus asa untuk mendapatkannya. Ahuls Sunnah Wal Jamaah meyakini akan adanya syafaat. Syafaat ini adalah pertolongan yang bukan sahaja diperlukan ketika berada di dunia tetapi juga di akhirat dan ianya berlaku dengan izin Allah Ta’ala. Di akhirat, manusia memohon syafaat dari orang-orang yang dekat dengan Allah Ta’ala. Mereka berjalan 1000 tahun untuk bertemu dengan Nabi Adam as bagi memohon syafaat tetapi ditolak oleh Nabi Adam yang berkata diriku, diriku. Kemudian mereka berjalan lagi selama 1000 tahun untuk bertemu Nabi Nuh as kerana mengandaikan Nabi Nuh mampu memberi syaafaat kepada mereka. Anggapan mereka Nabi Nuh boleh memberi syafaat memandangkan baginda adalah Nabi yang paling lama menjadi Rasul (hampir 1000 tahun) tetapi sebaik bertemu Nabi Nuh berkata baginda tidak dapat membantu. Lalu mereka berjalan lagi selama 1000 tahun untuk bertemu dengan Nabi Musa tetapi seperti Nabi-nabi sebelumnya, baginda juga tidak dapat membantu sehinggalah mereka bertemu oleh Nabi Muhammad saw lalu baginda saw memberi syafaat kepada mereka.
Janganlah kita menjadi ahli zahir yang memahami al-Quran dan Hadith secara zahir sahaja bukannya dengan pandangan mata batin (basirah). Ahli zahir tidak dapat memahami al-Quran dan Hadith dengan betul maka jadilah mereka golongan yang keliru ketika mana mereka mentafsirkan al-Quran dan Hadith. Sebagai contoh, mereka menyatakan bahawa si tunang itu boleh dilihat dari atas ke bawah manakala emas dan sutera itu tidak haram dipakai oleh lelaki. Mereka membawakan dalil yang berkaitan dengannya padahal mereka tidak memahami apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan Hadith secara batin.
Seperti yang disebut sebelum ini, fana’ bermaksud lebur atau melenyapkan diri agar dapat bersama (baqa) dengan Allah Ta’ala. Ketika Nabi Yahya as dilarikan orang, ayahandanya Nabi Zakaria as sedang mengerjakan solat. Hati Nabi Zakaria as terikat kepada Allah Ta’ala. Baginda tidak menyedari anakandanya dilarikan orang. Begitulah kehidupan para kekasih Allah dimana hatinya tertumpu semata-mata kepada Allah Ta’ala. Setiap kali hati mereka terhijab selain dari mengingati Allah Ta’ala maka pasti ada yang menjadi korban. Nabi Ibrahim as diangkat darjatnya menjadi Khalilullah (Kekasih Allah) kerana baginda berjaya mengalihkan kasihnya dari anakandanya Ismail kepada Allah Ta’ala. Kata Allah Ta’ala kepada Nabi Daud as, Kosongkanlah hati engkau supaya Aku duduk didalamnya. Maksud Aku duduk didalamnya disini ialah supaya hati Nabi Daud sentiasa menghadirkan ingatan terhadap Allah Ta’ala.
Kita kena menyucikan Allah Ta’ala dahulu dengan cara membersihkan hati kita selain dari Allah swt. Selepas itu barulah kita membesarkan Allah Ta’ala. Orang yang hatinya tertumpu semata-mata kepada Allah Ta’ala akan dipakaikan dengan perangai malaikat. Sebab itulah kita jangan berasa hairan apabila wali-wali Allah tidak makan atau minum, tidak tidur dan beribadat sepanjang masa kerana rohnya telah menguasai jasad. Ini adalah kerana mereka telah memakai perangai malaikat. Kekuatan rohani mereka berada di tahap tertinggi. Adapun kita ini, jasad yang menguasai roh. Ketahuilah bahawa akan sampai satu masa nanti bahawa makanan dan minuman kita hanyalah zikir kepada Allah Ta’ala. Bilakah masa itu? Ianya ialah ketika Dajjal dan kuncu-kuncunya menguasai dunia. Pada saat itu, makanan orang mukmin ialah dengan mengucapkan Subhanallah. Maknanya akan sampai satu masa nanti dimana yang mengenyangkan manusia bukanlah makanan tetapi zikir kepada Allah Ta’ala. Biar mati jasad jangan mati roh. Setelah roh menguasai jasad maka makanan roh telah mengenyangkan jasad.
Nabi saw dipakaikan dengan perangai malaikat. Sebab itulah Nabi saw mampu berpuasa selama beberapa hari tanpa makan atau minum (maksudnya berpuasa tanpa berbuka). Pernah satu ketika di penghujung Ramadhan, para sahabat mencuba berpuasa seperti Nabi saw tetapi tidak berjaya. Di akhir Ramadhan sehingga masunya Syawal, mereka tidak terdaya lagi untuk berpuasa lalu mereka berbuka dan merayakan AidilFitri. Kata Nabi saw, jangan kamu cuba ikut aku kerana aku bukan seperti kamu (seperti yang dinyatakan didalam Shahih Bukhari). Ini adalah kerana keistimewaan Nabi saw tidak ada pada manusia lain. Kata baginda saw, Aku tidur malam dalam keadaan Allah Ta’ala memberi aku makan dan minum maka aku kenyang sehingga keesokan paginya. Nabi saw tidak perlu kepada makanan tetapi baginda tidak boleh hidup jika tidak membaca al-Quran, tidak berzikir atau tidak bersolat. Roh Nabi saw menguasai jasad baginda saw yang mulia. Ibn Qayyim al-Jauziah pernah berkata satu roh itu kekuatannya boleh mengalahkan beratus-ratus askar. Kisah bagaimana menteri Nabi Sulaiman bernama Asif bin Barqiya boleh membawa istana Ratu Balqis yang mempunyai 80 buah bilik itu dari Yaman ke Syam dengan sekelip mata adalah contoh kekuatan roh yang sangat luar biasa. Kekuatan roh ini adalah lebih hebat dari kekuatan jin. Sayangnya kekuatan rohani ini tidak ada pada umat Nabi saw. Rohani umatnya dizaman ini adalah kosong dan rendah martabatnya. Kata ulama, manusia dikatakan insan bila ada roh (dikuasai oleh roh). Tanpa roh, jatuhlah tarafnya kepada binatang. Inilah peranan tasawwuf untuk memartabatkan semula roh sehingga sampai ke taraf ‘malaikat’ iaitu dengan mempunyai kekuatan rohani yang luar biasa. Ahli sufi mengenali Allah bukan kerana akal semata-mata tetapi melalui hati yang pernah melihat Allah Ta’ala (maqam musyahadah). Bila telah melihat-Nya, maka ahli sufi tidak memerlukan lagi dalil. Orang yang tidak melihat Allah dengan mata hati berhajat pada dalil. Keadaan ini samalah seperti orang yang memerlukan peta untuk sampai kepada sesuatu lokasi. Sedangkan ahli sufi ibarat orang yang tidak memerlukan peta untuk sampai ke sesuatu lokasi kerana hatinya telah dapat ‘melihat’ lokasi yang dimaksudkan.
[1] Diriwayatkan baginda saw meninggalkan solat jemaah sebanyak 17 kali kerana gering, urusan pentadbiran dan urusan perbaikan masyarakat

No comments:

Post a Comment