Sunday, November 22, 2009

Syarah Hikam Abi Madyan - Bab Pantang Nafsu - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Taman TAR, Ampang pada 22 November 2009
Pantang yang perlu dijaga oleh nafsu ialah meninggalkan dakwaan yakni mengaku dirinya yang telah melakukan itu dan ini. Dakwaan nafsu adalah racun yang membunuh. Ada orang yang mendakwa dirinya nabi, imam mahdi dan sebagainya padahal ianya tidak lebih dari dakwaannya sahaja yang telah dikuasai oleh nafsu. Apabila datang dakwa maka datanglah ‘ujub. ‘Ujub adalah sebesar-besar penyakit atau racun. Untuk melenyapkan dakwaan dan sifat ‘ujub ini, wal Allah Hasan bin Basri sentiasa mengecam dirinya. Kata beliau kepada dirinya sendiri, Engkau dihadapan orang macam orang saleh tetapi dibelakang orang, engkaulah yang paling jahat. Bukan satu pekerjaan yang mudah bagi kita untuk menundukkan nafsu dan menguasai diri apabila berada dalam keadaan marah. Hanya baginda Rasulullah saw yang boleh menjadi hakim walaupun dalam keadaan marah kerana baginda saw boleh menguasai dirinya walaupun dalam keadaan sedemikian. Rasulullah saw pernah bersabda, Jikalau Fatimah[1] mencuri maka Fatimah tetap akan dipotong tangannya. Maknanya disini ialah Rasulullah saw tidak pernah membezakan ahli keluarganya dengan orang lain apabila menjatuhkan hukuman tentang sesuatu perkara. Kalau salah tetap salah walaupun dikalangan ahli keluarganya sendiri. Allah Ta’ala mendidik Nabi Muhammad saw supaya memberi peringatan kepada ahli keluarganya dahulu. Hikmahnya disini ialah kalau ahli keluarganya sendiri diberi ancaman atau amaran apatah lagi orang lain. Ini jelas menunjukkan betapa dalam menjatuhkan sesuatu hukuman atau memutuskan sesuatu perkara tidak sepatutnya perasaan pilih kasih itu wujud didalam benak hati. Nabi saw juga turut mengingatkan setiap ahli keluarganya samada ibu saudaranya atau bapa saudaranya agar beramal. Kata baginda, beramallah engkau kerana aku tidak boleh membantu engkau. Peringatan yang sama juga disampaikan oleh baginda saw kepada masyarakat Quraisy. Katanya, Beramallah kamu semua sesungguhnya aku tidak boleh bantu kamu. Maksudnya disini ialah amal ibadah itu tidak mengenal hubungan darah daging. Amal ibadah dinilai berdasarkan ketaatan seseorang itu menjalankan ibadah kepada Allah Ta’ala. Dengan cara ini, dakwah Nabi saw mudah diterima masyarakat kerana Islam itu adil untuk semua orang. Tidak ada pilih kasih atau keutamaan walaupun dikalangan ahli keluarga sendiri.
Saiyidina Umar bin Khattab selepas kewafatan Rasulullah saw memuji-muji keperibadian baginda saw walaupun pada ketika itu beliau masih dalam keadaan kesedihan. Kata beliau tatkala mengingati Nabi saw, Kalau engkau memandang darjat atau taraf engkau maka tidak ada seorang pun diantara kami yang boleh duduk dengan engkau dan berkahwin dengan anak engkau. Tetapi Nabi saw telah menurunkan darjatnya untuk duduk bersama-sama dengan para sahabat dan umat Islam. Nabi saw tidak lupa daratan, tidak pernah terikut dengan dakwaan nafsu dan tidak pernah ‘ujub kerana baginda saw tahu kedudukan baginda saw sebagai makhluk Allah yakni hamba kepada Allah Ta’ala.
Satu lagi sifat yang sangat merbahaya ialah bakhil. Sifat bakhil atau kedekut ini adalah musuh Allah. Sifat bakhil ini adalah fitrah manusia dan ada didalam benak hati manusia tetapi kita hendaklah mengawalnya. Imam Ghazali ra menyatakan bahawa masyarakat dibenarkan untuk mengumpat orang yang mempunyai sfat bakhil ini. Diriwayatkan pada zaman Nabi saw, ada seorang hamba Allah yang sangat rajin beramal sehingga sesiapa yang melihat beliau beramal pasti akan terpegun kerana rajin dan taatnya beliau mengerjakan ibadah. Tetapi sahabat menyatakan orang ini sangat bakhil. Maka dengan sebab kebakhilannya, segala amalan yang dilakukannya luput begitu sahaja. Ketahuilah bahawa 3 perkara yang boleh membinasakan iman iaitu
Sifat bakhil yang ditaati (maksudnya membiarkan hati dan nafsu menurut kehendak bakhil)
‘Ujub dengan diri (tidak mahu mendengar nasihat orang lain, merasakan dirinya sahaja yang paling mulia dan paling hebat)
Mengikut hawa nafsu
Apa faedahnya kita menelan pil taat sedangkan pada masa yang sama kita menelan racun binasa? Ketahuilah bahawa racun adalah lebih kuat dari ubat. Melakukan kebinasaan akan melenyapkan segala ketaatan lalu segala amalan tidak akan dipandang oleh Allah Ta’ala. Berpantang itu adalah lebih besar kesannya berbanding berubat. Ia samalah dengan meninggalkan maksiat yang lebih besar kesannya walaupun melakukan taat yang sedikit. Biar melakukan taat yang sedikit asalkan dapat meninggalkan maksiat yang banyak kerana hakikatnya apabila kita meninggalkan segala maksiat maka kita akan menjadi lebih taat dan melakukan lebih banyak ibadah.
Kenapa orang yang mengaji atau menuntut ilmu itu perlu menghinakan dirinya? Ianya adalah tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk menghilangkan sifat ‘ujub. Kita hendaklah fana’ iaitu melupakan segala kebaikan yang telah kita lakukan. Kalau kita mengingat segala kebaikan yang kita lakukan maka itu bermakna amalan kita tidak diterima Allah Ta’ala. Ini adalah kerana perbendaharaan amalan itu letaknya bukan di bumi tetapi di langit. Kita hendaklah sentiasa mengingatkan segala dosa bukannya amal kebaikan kita. Nikmat taat dan ibadah itu adalah anugerah Allah Ta’ala. Kita boleh bergembira dengan nikmat itu dengan syarat hati kita menyatakan bahawa setiap nikmat itu adalah milik Allah Ta’ala.

[1] Satu-satunya anakanda Rasulullah saw yang masih hidup ketika hayat Rasulullah saw. Anak-anak baginda yang lain wafat ketika Rasulullah saw masih hidup. Fatimah wafat selepas kewafatan Rasulullah saw.

No comments:

Post a Comment