Wednesday, November 25, 2009

Majlis periwayatan hadith sempena malam Hari Arafah

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 25 November 2009
Muqadimah
Malam ini adalah malam kepada hari Arafah. Beruntunglah kepada sesiapa yang beramal pada malam ini kerana setiap amalan yang dilakukan pada malam Arafah maka Allah Ta’ala akan menggandakan 10, 000 ganjaran lebih banyak dari malam-malam yang lain. Amalan tradisi guru kami (guru Syeikh) pada malam yang mulia ini ialah dengan membaca beberapa hadith. Tujuannya adalah untuk mengambil berkat pada malam yang mulia ini disamping menghubungkan pertalian nasab dengan guru-guru kami sehinggalah sampai ke Junjungan Besar Rasulullah saw yang sudah tentunya ilmu baginda adalah bersumber dari Allah Ta’ala. Selain itu, telah menjadi amalan tradisi guru kami (guru Syeikh) iaitu mengkhatam kitab Shahih Bukhari pada hari tasyriq.
Kita harus sedar bahawa tradisi ilmu yang sejati yang sebenar adalah berasaskan kepada pengambilan ilmu dari guru ke guru dan dari mulut ke mulut. Di zaman baginda saw, para sahabat duduk mengelilingi Nabi saw untuk mendengar hadith yang dibacakan oleh Rasulullah saw. Mana-mana sahabat yang tidak berkesempatan untuk duduk didalam majlis tersebut akan mengambil hadith dari mereka yang telah duduk didalam majlis itu. Para sahabat sentiasa berusaha memperuntukkan masa untuk mendengar hadith yang keluar dari mulut baginda saw yang mulia. Bagi para sahabat yang sibuk dengan urusan pentadbiran seperti Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq, mereka akan meluangkan masa untuk meriwayatkan hadith dari para sahabat yang sentiasa duduk didalam majlis Nabi saw seperti Abu Hurairah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya ilmu itu diterima secara talaqqi. Inilah tradisi ilmu dalam Islam. Adapun ilmu fiqh itu diambil dengan jalan mempelajarinya dari seorang guru bukan sekadar menghafalnya sahaja. Sebab itulah Imam Ahmad bin Hanbal walaupun telah menghafal sejuta hadith tetapi meluangkan masa untuk duduk di majlis gurunya iaitu Imam asy-Syafi’I bagi mendengar hadith yang berkaitan dengan ilmu fiqh dan mempelajarinya. Bahkan Imam Ahmad bin Hanbal mengajak orang lain untuk belajar fiqh dengan Imam asy-Syafi’i. Maknanya disini ialah ilmu fiqh itu perlu dipelajari dengan guru yang diiktiraf tahap keilmuannya. Dalam hal ini, Imam Ahmad bin Hanbal mengiktiraf keahlian Imam asy-Syafi’i dalam bidang fiqh apatah lagi Imam asy-Syafi’i adalah guru beliau yang utama.
Pada hari ini, kita dapat lihat betapa kefahaman masyarakat telah menyimpang. Hari ini orang menganggap bahawa ilmu itu boleh dipelajari tanpa berguru. Ketahuilah bahawa para ulama telah berpesan bahawa sesiapa yang berguru tanpa syeikh maka ia sebenarnya berguru dengan syaitan. Hari ini jurusan ilmu itu telah dipecah-pecah. Keahlian ilmu seseorang adalah secara mengkhusus. Kini amat sukar mencari ulama yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu. Semua ini adalah kerja-kerja golongan yang memusuhi Islam yang tidak mahu umat Islam menguasai pelbagai bidang. Malangnya umat Islam terikut-ikut pula dengan pendekatan golongan ini. Mereka mendabik dada dengan pelbagai gelaran atau pengiktirafan akademik yang mereka perolehi walhal ianya hanyalah satu bidang sahaja yang secara mengkhusus bukannya pelbagai bidang. Sedangkan ilmuwan Islam zaman dahulu menguasai pelbagai bidang dalam satu-satu masa.
Berbalik kepada tujuan kita meriwayat hadith, ianya adalah untuk menghubungkan nasab ruhhi yang menyampaikan kita kepada Allah Ta’ala. Inilah yang dinamakan sanad. ‘Ayah-ayah’ dalam rantaian sanad inilah yang menjaga roh kita. Jika kanak-kanak memerlukan bimbingan orang-tuanya, maka begitu jugalah kita yang memerlukan bimbingan ilmu dari ‘ayah-ayah’ dalam rantaian sanad. Ketahuilah bahawa didalam hayat kita, kita sebenarnya memerlukan 3 orang guru. Pertamanya ialah ayah yang telah melahirkan kita. Keduanya ialah ayah yang telah mengahwinkan kita. Ketiganya ialah ayah yang membimbing roh kita, memilih makanan untuk roh kita dan menegur kesilapan kita yang kita tidak sedari. Kebiasaannya, orang hanya mempunyai guru pertama dan kedua sahaja sedangkan guru ketiga itulah yang sangat penting kerana beliaulah yang membimbing kita dunia dan akhirat. Sebab itu kita perlu sentiasa sedar dan ingat siapa ‘ayah’ kita yang sebenarnya yang dapat membimbing kita dunia dan akhirat. Ini adalah kerana kelak bila kita dibangkitkan di hari akhirat, kita akan mengikut ‘imam’ kita yang telah memberi petunjuk jalan kepada kita ketika di dunia. Orang yang mengenal Allah Ta’ala tidak akan memandang pada nikmat dunia. Dunia adalah penjara bagi orang mukmin sedangkan orang kafir menganggap dunia sebagai syurga mereka. Kenapa disebut penjara bagi orang mukmin? Kerana banyak larangan yang perlu dipatuhi oleh orang Islam yang mukmin, yang beriman dan bertakwa kepada Allah Ta’ala.
Ketahuilah bahawa orang Islam itu masuk syurga secara berjemaah. Orang Islam akan berhimpun dahulu sebelum masuk syurga. Orang Islam akan masuk syurga bersama-sama dengan orang yang mereka kasihi. Sebab itulah kita kena tahu siapa kawan kita, rakan kita dan taulan kita. Hadith menyatakan bahawa manusia ketika di Padang Mahsyar akan dikumpulkan mengikut agama sahabat mereka, taulan mereka dan kekasih mereka. Kata Imam Ghazali ra, kalau hendak mengetahui hakikat diri kita maka kenallah diri kita itu melalui orang yang berada disekeliling kita. Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala telah meletakkan keserasian diantara hamba-hambanya. Sebab itu bukan semua orang boleh serasi dengan yang lain. Ada yang suka, ada yang benci dan sebagainya. Ada hadith menyatakan jikalau seorang munafik masuk kedalam satu majlis dimana didalam majlis itu ada 100 orang soleh dan kemudian masuk lagi seorang munafik didalam majlis tersebut, maka si munafik itu pasti akan duduk disebelah orang munafik yang mula-mula masuk tadi. Begitu juga jika orang soleh masuk dalam majlis orang munafik pasti akan duduk disebelah orang soleh. Sebab itu ditekankan sekali lagi bahawa kita perlu betul-betul kenal siapa rakan kita. Jika kita duduk disebelah orang soleh maka solehlah kita. Ketahuilah bahawa tidak ada rakan yang paling mulia yang memikirkan urusan kita hingga akhirat melainkan orang-orang soleh.
Ketahuilah bahawa orang-orang yang berkasih-sayang di dunia belum tentu akan berkasih-sayang di akhirat kecuali orang-orang yang soleh. Didalam kitab Ihya Ulumuddin, ada dikisahkan seorang lelaki yang sedang mandi di Sungai Dajlah Iraq. Disatu tebing yang lain, ada seorang lelaki sedang membaca Surah Yasin. Apabila sampai kepada ayat وَٱمۡتَـٰزُواْ ٱلۡيَوۡمَ أَيُّہَا ٱلۡمُجۡرِمُونَ yang bermaksud "Dan berpisahlah kalian (dari orang-orang mukmin) pada hari ini wahai orang-orang yang berdosa" maka lelaki yang sedang mandi tadi mati serta-merta kerana terlalu takut mendengar ayat itu. Sebab itulah ketika di akhirat kelak ada orang yang akan menangis selama 40 tahun kerana berpisah dengan orang-orang yang mereka kasihi disebabkan kefasikan, kemunafikan dan kekufuran. Kita kena sentiasa beringat tentang hal ini. Seperti yang disebut tadi, orang Islam akan masuk syurga secara berjemaah. Mereka akan berhimpun bersama-sama dengan orang-orang yang mereka kasihi. Orang-orang soleh ketika hendak melangkah masuk syurga akan memastikan rakan-rakan mereka akan masuk sekali. Orang soleh layak memberi syafaat kepada orang lain dan sudah tentulah syafaat itu diberikan kepada orang-orang yang hampir dengannya. Sebab itulah kita kena sentiasa berada dekat dengan orang soleh mudah-mudahan kita ini menjadi salah seorang dari rakannya. Kita juga kenalah memastikan harta-benda kita diberikan kepada siapa. Jika harta-benda kita disalurkan kepada orang-orang soleh mudah-mudahan orang-orang soleh itu akan membantu kita di akhirat kelak kerana pernah membantunya ketika di dunia walaupun dengan bantuan berupa seteguk air minuman. Nabi saw pernah bersabda, Jamulah dan berilah makan kepada orang-orang soleh. Pada masa yang sama kita tidak boleh membiarkan ahli keluarga kita berada didalam kejahilan. Kejahilan ahli keluarga kita akan menyebabkan kita ditarik sama. Ada orang alim yang dalam perjalanan masuk syurga bersama rakan-rakannya yang berjumlah 40, 000 orang. Ketika hendak melangkah masuk, beliau ditahan oleh isterinya yang dalam perjalanan ke neraka. Isterinya mengadu kepada suaminya itu kenapa membiarkan dirinya jahil ketika di dunia dahulu. Disebabkan aduan itu maka si suami yang alim tadi dihumban kedalam neraka bersama-sama isterinya.
Periwayatan hadith (bermula dari mukasurat 55 kitab Empat Puluh Mutiara Nabawi)
Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik
[1]
Masyaikh Syeikh telah menerima hadith ini di Damsyik dari Syeikh Masjidil Haram Makkah al-Mukarramah asy-Syeikh Muhammad al-Arabi bin at-Tabani al-Hasani al-Idrisi al-Makki (wafat pada tahun 1390 H). Beliau merupakan syeikh besar yang menguasai pelbagai disiplin ilmu. Ayahanda kepada masyaikh syeikh iaitu Syeikh Sayyid Alawi Maliki (ayahanda kepada Syeikh Sayyid Muhammad Alawi Maliki) turut menguasai pelbagai disiplin ilmu. Beliau mampu mengajar 10 orang murid yang membuka kitab yang berbeza-beza disiplin ilmunya dalam satu-satu masa. Beliau boleh mengenalpasti kesalahan yang dilakukan oleh setiap anak murid yang mengelilinginya itu dan menegurnya ketika sedang mendengar murid-muridnya membaca kitab yang berlainan secara serentak! Begitulah hebatnya ulama-ulama Islam satu masa dahulu. Hari ini amat sukar untuk mencari ulama yang benar-benar dapat menguasai pelbagai disiplin ilmu.
Mudah-mudahan dengan membaca hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik ini, ianya dapat menghubungkan kita kepada Imam Malik sehinggalah sampai ke Rasulullah saw. Imam Malik berada didalam kandungan ibunya selama 3 tahun. Beliau matang didalam kandungan ibunya. Kata Imam Abdullah Ibn Mubarak, pada satu hari Imam Malik membaca hadith. Ketika membaca hadith itu, dilihatnya Imam Malik berpeluh seperti menahan kesakitan. Setelah selesai membaca hadith, Imam Abdullah bertanya kepada Imam Malik, Kenapa tuan berpeluh? Kata Imam Malik, Aku menahan kesakitan akibat disengat 16 kali oleh kala jengking. Imam Malik begitu mengasihi Nabi saw sebab itu setiap kali beliau membaca hadith maka beliau akan membacanya sehingga habis walaupun dalam keadaan kepayahan. Imam Malik apabila hendak membaca hadith akan membersihkan dirinya terlebih dahulu. Beliau akan berwangi-wangian memakai pakaian dan sarban yang indah lalu duduk diatas kerusi yang hanya dikhususkan untuk membaca hadith. Ketika hendak membacanya, beliau akan membakar gaharu sehingga wangian itu tersebar memenuhi ruang.
Imam Malik sangat rajin menyusun hadith. Pada satu ketika setelah selesai menghimpun hadith, beliau terfikir hendak memberikan nama kepada kitab yang disusunnya itu. Lalu beliau bermimpi bertemu Nabi saw. Dalam mimpinya itu, Nabi saw berkata kepadanya sesungguhnya manusia sepakat diatas kitab ini. Dengan sebab kata-kata Rasulullah saw itu maka Imam Malik menamakan kitab itu Muwatta yang bermaksud kitab yang disepakati. Khalifah Jaafar bin Mansur apabila tahu kitab Imam Malik telah keluar maka terus hendak dijadikan kitab itu sebagai teks perundangan negara. Kitab itu hendak diletakkanya dihadapan Kaabah agar mudah dirujuk oleh sesiapa sahaja. Begitu tawadhuknya Imam Malik setelah mendengar rancangan khalifah itu apabila beliau menyatakan, Aku hanya meriwayatkan hadith dari ulama-ulama yang berada di Hijjaz. Maksudnya beliau merasakan kitabnya itu adalah kecil sahaja kerana hanya meriwayat dari ulama-ulama yang berada di tanah Hijjaz sahaja. Beliau merendah diri dengan menyatakan bahawa kitab yang patut dirujuk ialah kitab yang menghimpunkan hadith yang diriwayat dari ulama didalam dan diluar Hijjaz. Walaubagaimanapun, pada masa itu, kitab beliaulah yang paling lengkap yang layak dirujuk. Imam Malik tidak tidak pernah keluar dari Hijjaz kerana terlalu cintakan bumi Nabi saw. Ketika beliau hendak memulakan majlis membaca kitab al-Muwatta buat kali pertamanya, ada seorang ulama yang duduk di raudhah Nabi saw bermimpi Nabi saw bersama para sahabatnya, Abu Bakar As-Siddiq dan Umar bergegas hendak menuju ke majlis ilmu Imam Malik untuk mendengar bacaan kitab al-Muwatta buat kali pertama. Pada masa yang sama ulama lain turut bermimpi Nabi saw sedang menyarungkan cincin ke jari Imam Malik. Sebaik terjaga dari tidur, beliau melihat Imam Malik sedang membuka majlis membaca kitab al-Muwatta buat kali pertama.
Berbalik kepada matan hadith yang diriwayat oleh Imam Malik, ianya berbunyi begini,
Diberi pilihan diantara dua perkara kecuali baginda saw memilih perkara yang paling mudah daripada kedua-duanya selagi ia bukan merupakan dosa maka sekiranya ia adalah dosa maka bagindalah orang yang paling menjauhkan diri daripadanya dan tidaklah Rasul Allah saw membalas kerana dirinya melainkan jika kehormatan Allah dirobek, maka baginda saw akan menghukumnya kerana Allah.

Hadith yang diriwayat oleh Imam Abu Hanifah
Imam Abdullah ibn Mubarak berkata Imam Abu Hanifah menunaikan solat 5 waktu dengan hanya 1 wudhu. Dalam bulan Ramadhan, Imam Abu Hanifah mengkhatam al-Quran sebanyak 60 kali siang dan 60 kali malam. Itulah karamah yang dikurniakan Allah Ta’ala kepada para kekasih-Nya. Allah Ta’ala memanjangkan masa mereka. Ada ulama yang menulis kitab seperti beliau telah menulis untuk tempoh 400 tahun walhal ia hidup selama 40 tahun berdasarkan kepada ajumlah kitabnya yang terlalu banyak. Imam Nawawi hayatnya berapa puluh tahun sahaja tetapi kitab yang ditulisnya sangat banyak. Sebab itu kita jangan mencerca ulama-ulama dahulu kerana apalah sangat amalan dan sumbangan kita berbanding dengan amalan dan sumbangan ulama terdahulu. Imam Abu Hanifah meninggal dunia didalam penjara kerana tidak mahu menerima jawatan qadhi. Imam Abu Hanifah sangat memuliakan gurunya, Hamad. Imam Abu Hanifah tidak pernah melunjurkan kakinya kearah rumah gurunya walaupun jarak antara rumahnya dengan rumah gurunya diselangi oleh 8 buah rumah kerana beliau sangat menghormati gurunya.
Matan hadith yang diriwayat oleh Imam Abu Hanifah berbunyi berikut,
Bahawa beliau (al-Mughirah bin Syu’bah) pergi bermusafir bersama Rasulullah saw. Maka Rasulullah saw pun pergi menunaikan hajatnya, kemudian baginda saw kembali semula dengan memakai jubah Rom (didalam sahih Muslim jubah Syam) yang mempunyai lengan yang sempit. Maka Rasulullah saw meninggalkannya kerana lengannya sempit. Al-Mughirah ra berkata, Maka aku menjirus air keatas baginda saw daripada bekas yang ada bersamaku. Maka baginda saw berwudhu untuk solat, dan menyapu diatas kedua belah khufnya tanpa menanggalkannya, kemudian baginda saw kehadapan lalu solat.
Hadith yang diriwayat Imam Syafi’i
Salah seorang perawi hadith dalam rantaian sanad ini ialah Syeikh Muhammad Badruddin al-Hasani. Beliau seorang ulama besar dizamannya. Kata Syeikh, Alim Kabir. Beliau menghafaz kitab Sunan Sittah. Ketika berada di Syam, sarban beliau sentiasa menjadi rebutan untuk dikucup oleh orang ramai jika beliau keluar dari rumahnya. Imam asy-Syafi’I adalah ulama besar yang sangat tawadhu’. Kata beliau, Aku mencintai orang soleh walaupun aku bukan orang yang soleh. Kata Imam Ahmad bin Hanbal, Engkau kasihi orang yang soleh padahal engkau sendiri berada dikalangan mereka. Ulama berkata, Imam Syafi’i tidak mati melainkan pangkat atau darjatnya sebagai seorang wali qutub. Ulama-ulama pada masa dahulu saling hormat-menghormati dan berkasih-sayang antara satu sama lain. Mereka sangat menghormati orang soleh kerana mereka tahu orang soleh layak memberi syafaat di akhirat kelak. Sebab itulah kita kena jaga hubungan kita dengan mereka. Mudah-mudahan kasih kita terhadap mereka walaupun mereka telah berada di alam barzakh dan amal kita tidak sehebat mereka akan membolehkan kita dapat bersama-sama berhimpun dengan mereka di akhirat kelak. Kasih kepada ulama ini bukannya boleh dibuat-buat. Ini adalah kerana Allah Ta’ala meletakkan hati seseorang itu agar kasih kepada ulama. Semoga apabila Allah Ta’ala memandang hati para kekasihnya maka kita ini berada didalam hati kekasihnya sebab kasih kita pada para kekasihnya.
Seorang lelaki datang berjumpa Nabi saw untuk bertanya tentang bilakah berlakunya kiamat. Nabi saw bertanya semula kepadanya, Apakah engkau sudah bersedia? Jawab lelaki tadi, Aku tidak bersedia tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya. Lalu Nabi saw bersabda, Ketahuilah kamu bahawa sesungguhnya seseorang itu akan berada bersama dengan orang yang dikasihinya. Mendengar sabda Rasulullah saw itu seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, para sahabat berasa girang. Lalu kata Anas bin Malik, Sesungguhnya aku mencintai Rasul dan para sahabat sekalipun aku tidak beramal seperti mereka.
Seorang perawi yang terdapat didalam rantaian sanad ini ialah Syeikh Ahmad bin Hamzah al-Ramli. Kata Imam Wahab asy-Sya’arani, Syeikh al-Ramli ini sangat alim sehinggakan beliau tidak pernah melakukan perkara makruh selama 40 tahun. Beliau sangat alim sehingga digelar Syafi’i Saghir. Matan hadith yang diriwayatkan oleh Imam asy-Syafi’i adalah seperti berikut,
Masuk seorang orang Arab Badwi kedalam masjid lalu berkata, Ya Allah! Rahmatilah aku dan juga Muhammad dan janganlah Engkau merahmati walau seorang pun orang lain bersama kami. Maka Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya kamu telah menahan perkara yang luas (rahmat Allah). Berkata Abu Hurairah ra: Maka tidak lama setelah dia duduk didalam masjid, dia kencing disalah satu sudut masjid. Maka para sahabat mahu memarahinya tetapi Rasulullah saw menegah mereka, kemudian baginda saw menyuruh mengambil sebuah bekas yang berisi air atau baldi lalu dijirusnya keatas tempat yang di kencing oleh orang Arab Badwi tersebut. Kemudian baginda saw bersabda: Ajarlah kalian dan hendaklah kalian mudahkan dan jangan kalian menyusah-nyusahkan.

[1] Beliau dilahirkan pada tahun 93 Hijrah di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah, yang terletak dekat Kota Himyar jajahan Yaman. Nama lengkap beliau ialah Malik bin Anas bin Abu Amar Al-Asbahi Berasal daripada keturunan Arab yang terhormat dan dimuliakan oleh masyarakat. Datuknya sendiri adalah seorang perawi dan penghafal hadith yang terkemuka. Pakciknya, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tabi‘in yang sempat menghafal hadith daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar, ‘Aisyah binti Abu Bakar, Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum dan dengan beliaulah Malik bin Anas mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadith. Imam Malik rahimahullah mempunyai kecerdasan akal fikiran yang tinggi. Beliau hafaz Al-Quran ketika usianya masih muda. Beliau juga dapat mengingati 29 buah hadis daripada 30 buah hadith yang disampaikan oleh gurunya. Imam Malik juga merupakan pengasas kepada Mazhab Maliki yang berkembang di Morocco, Algeria, Libya dan Palestin. Imam Malik sangat berhati-hati dalam menyelidik sanad dan perawi (periwayat) hadis untuk memastikan kesahihannya. Imam Malik telah menghabiskan umurnya selama 40 tahun untuk menganalisa dan menapis hadis-hadis yang diterima daripada gurunya. Daripada 100,000 buah hadis yang dihafaznya hanya 5,000 buah hadis saja yang diterima sebagai hadis Rasulullah s.a.w. yang sah. Hadis-hadis tersebut disusun dalam sebuah kitab yang diberi nama "Al-Muwatta". yang menjadi bahan rujukan kepada seluruh umat Islam sehinggakan Imam as-Syafi‘e pernah berkata: “Tidak wujud sebuah buku di bumi yang paling hampir kepada al-Quran melainkan kitab Imam Malik ini.” Pada tahun 147H/764M Imam Malik pernah dihukum kerana mengeluarkan fatwa bahawa hukum thalaq yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Abbasiah sebagai tidak sah. Kerajaan Abbasiah di bawah pimpinan Abu Jaafar al-Mansur ( khalifah kedua Bani Abbasiah) telah membuat fatwa sendiri bahawa semua penduduk perlu taat kepada pemimpin dan barangsiapa yang enggan akan terjatuh thalaq ke atas isterinya. Fatwa ini dibuat kerana ketika itu telah berlakunya gerakan menentang khalifah oleh Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah iaitu seorang pemimpin dari Bani Hasyim yang dijanjikan oleh Assafah ( pengasas Kerajaan Bani Abbasiah ) jawatan khalifah selepas kejatuhan Kerajaan Bani Umawiyah. Keengganan Imam Malik menarik balik fatwanya menyebabkan beliau ditangkap dan dipukul oleh Jaafar bin Sulaiman Al-Hasym (gabenor Kota Madinah ketika itu) sehingga tulang bahunya patah dan terkeluar daripada kedudukan asalnya. Kecederaan ini amatlah berat sehinggakan beliau tidak lagi dapat bersolat dengan memegang kedua tangannya di dada, lalu dibiarkan sahaja terkulai di tepi badannya. Imam Malik kemudiannya dibebaskan dari penjara dan beliau terus kembali mengajar di Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia pada 11 Rabiul-Awwal, tahun 179H/796M, ketika berusia 86 tahun (Hijriah). Di antara anak-anak murid beliau yang masyhur ialah ‘Abdarrahman bin al-Qasim al-Tasyri (191H/807M), Ibn Wahhab Abu Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Yahya bin Yahya al-Masmudi (234H/849M).

No comments:

Post a Comment