Sunday, November 22, 2009

Syarah Khas Kebesaran Bulan Zulhijjah

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 21 November 2009

Orang yang tidak bertaqwa tidak akan membesarkan syiar-syiar agama dan memuliakan ulama’. Membesakan syiar agama itu termasuklah dengan mengadakan sambutan atau majlis bagi mengingati sesuatu hari yang melibatkan peristiwa penting dalam taqwim Islam. Salah satu kelompok manusia yang termasuk dalam golongan orang-orang yang tidak bertaqwa ialah kelompok yang suka membidaahkan orang lain. Tentang syiar agama, ada hari-hari yang perlu dibesarkan. Ada diantara hari-hari tersebut yang dimustajabkan doa. Bulan Zulhijjah adalah antara bulan yang perlu dibesarkan oleh umat Islam kerana didalamnya mengandungi hari-hari yang dimustajabkan doa. Antara hari yang dimustajabkan doa ialah seperti hari raya aidil adha (disebelah malamnya) dan hari tarwiyyah iaitu malam ke-8 Zulhijjah. Tarwiyyah ini ialah merujuk kepada hari dimana Nabi saw menyiapkan makanan untuk duduk di Mina selepas selesai wuquf di Arafah.
Jadi bagaimana caranya untuk kita membesarkan hari-hari tersebut yang ada kaitannya dengan syiar agama? Untuk membesarkannya maka ia adalah ijtihad kita. Orang yang seronok mengadakan majlis bagi menyambut hari-hari penting dalam taqwim Islam adalah orang-orang yang bertaqwa. Malangnya pada zaman ini, ramai orang tidak mengambil berat tentang hal ini. Mereka akan berikan seribu alasan untuk tidak mengadakannya. Sebaliknya jika melibatkan kepentingan diri misalnya mengadakan kenduri kahwin, sambutan harijadi dan sebagainya, tidak pula menjadi alasan bagi mereka. Tidak kurang juga segelintir masyarakat yang mengkritik sambutan hari-hari penting dalam Islam dengan alasan bidaah bahkan ada juga yang berkira untuk menghulurkan sumbangan atau mengungkit-ungkit sumbangan yang diberikan padahal sambutan yang diadakan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk mengingatkan dan memberi kesedaran kepada umat Islam tentang sesuatu peristiwa yang telah berlaku dalam taqwim Islam. Ingatlah sabda Nabi saw yang berbunyi seperti berikut, “Jangan kamu batalkan sedeqah kamu dengan mengungkit-ungkit pemberian kamu dan sakitkan hati orang yang meminta”.
Dalam bulan Zulhijjah, didalam 10 hari pertamanya mengandungi hari-hari penting dalam Islam seperti Hari Arafah, Idul Adha dan Tasyriq. Kita kena faham betul-betul tentang hari Arafah. Hari Arafah jatuh pada 9 Zulhijjah. Lazimnya orang menganggap orang yang wuquf sahaja meraikannya. Andaian ini tidak betul. Umat Islam dimana sahaja patut meraikannya. Kemuliaan bukan sahaja diberikan kepada orang yang berwuquf tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang melakukan ketaatan pada hari itu. Allah Ta’ala memandang sesiapa sahaja orang Islam yang melakukan ketaatan pada hari itu. Hari Arafah itu bukanlah diraikan kerana tempatnya sebaliknya kerana kemuliaan hari tersebut di sisi Allah Ta’ala. Kesalahfahaman masyarakat tentang hal ini samalah seperti masalah memahami azab kubur. Ada orang mempertikaikan tentang azab kubur dimana jasad yang hilang atau tidak dimasukkan didalam kubur tidak diazab. Sebenarnya yang dimaksudkan dengan azab itu adalah azab di alam barzakh bukan didalam kubur. Apabila disebut dengan alam barzakh maka tidak kiralah samada jasad itu ada atau tidak maka ia pasti akan menerima balasan samada balasan berupa nikmat atau balasan berupa azab. Kesalahfahaman masyarakat juga berlaku ketika menyambut hari raya Idul Adha. Sepatutnya Idul Adha inilah yang dibesarkan lebih dari hari raya Idul Fitri tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ini adalah kerana masyarakat menganggap bahawa Idul Adha itu hanya berkaitan dengan orang yang pergi haji sahaja. Maka atas sebab itu, kita hendaklah memanggil hari raya korban itu sebagai hari raya Idul Adha bukannya hari raya haji supaya kesalahfahaman itu tidak berulang.
Berkenaan dengan kebesaran bulan Zulhijjah ini, Allah Ta’ala membesarkan bulan ini dengan bersumpah keatas waktu Fajar Idul Adha seperti dalam firman-Nya didalam surah al-Fajr. Tentang surah al-Fajr ini, ada satu kisah dimana Nabi saw juga ada menyebut tentang kelebihan surah ini. Kisahnya bermula ketika Rasulullah saw menegur perbuatan Muaz bin Jabal ra yang membaca surah yang panjang dalam solat. Muaz sebelum itu telah mengimamkan para sahabat. Disebabkan Muaz membaca surah yang panjang, ada seorang sahabat yang mengambil keputusan untuk keluar dari jemaah (mufaraqah). Perbuatannya itu dikritik oleh sahabat yang lain sehingga mengatakan beliau seorang munafik. Lalu berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah saw. Rasulullah saw lalu bertanya kenapa beliau keluar dari jemaah? Lelaki itu menjawab, Dia (Muaz) telah memanjangkan bacaan. Rasulullah saw kemudiannya memanggil Muaz dan menegur Muaz, Kenapa engkau melakukan fitnah sehingga orang ini mufaraqah? Sepatutnyya bacalah surah yang panjangnya sekadar surah al-Fajr. Maka disini dapatlah kita simpulkan bahawa sebaik-baik bacaan surah dalam solat jemaah itu adalah sekira-kira dengan kadar surah al-Fajr panjangnya.
Berbalik kepada kebesaran bulan Zulhijjah, Rasulullah saw menganjurkan umat Islam merebut ganjaran pahala untuk melakukan amal soleh bermula dari 1 hingga 10 Zulhijjah. Ini adalah kerana Allah Ta’ala bersumpah dengan 10 malam terawal dalam bulan Zulhijjah. Dalam satu hadith yang diriwayat oleh Imam Tirmidhi dengan maksudnya seperti berikut, Sesiapa yang bangun malam dan beribadah dari salah satu malam bermula dari 1 hingga 10 Zulhijjah maka beliau akan memperolehi ganjaran pahaja seumpama pahala ibadah pada malam Lailatul Qadar. Kesimpulannya disini ialah kita perlu merebut ganjaran pahala ini dengan melakukan ibadah pada malam-malam tersebut. Ini adalah kerana malam tersebut tidak dirahsiakan bahkan Rasulullah saw menyebutnya dengan jelas. Berbeza dengan malam Lailatul Qadar dimana umat Islam perlu ‘mengintai-intai’ dan mencarinya kerana ia dirahsiakan.
Satu lagi peristiwa penting yang ada kaitan dengan 10 Zulhijjah ialah peristiwa Nabi Musa as berkata-kata dengan Allah Ta’ala. Dalam persiapan baginda untuk bertemu dengan Allah Ta’ala, baginda telah berpuasa sepanjang bulan Zulqaedah. Nabi Musa as kemudiannya merasa tidak selesa dengan bau mulutnya dan mengambil keputusan untuk bersugi. Rupanya perbuatan Nabi Musa as itu ditegur Allah Ta’ala. Mulut orang-orang yang berpuasa itulah yang amat disukai Allah Ta’ala. Walaupun zahirnya ia busuk tetapi batinnya ia wangi disisi Allah Ta’ala. Atas sebab itu, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as agar menambah hari puasanya kepada 10 hari. Maka pada 10 Zulhijjah, barulah Nabi Musa as dapat bertemu dan berkata-kata dengan Allah Ta’ala. Nabi Musa as diangkat darjatnya kerana baginda dapat berkata-kata dengan Allah Ta’ala ketika berada di dunia. Baginda digelar Kalimullah[1] kerana mukalamah atau dapat berkata-kata dengan Allah Ta’ala. Perlu dinyatakan disini bahawa Nabi Musa as hanya dapat berkata-kata sahaja. Baginda tidak dapat melihat Allah Ta’ala. Satu-satunya makhluk Allah yang dapat berkata-kata dan melihat Allah Ta’ala ketika berada di dunia tidak lain tidak bukan ialah Junjungan Besar Rasulullah saw. Baginda saw mendapat kedua-dua maqam iaitu mukalamah (berkata-kata dengan Allah Ta’ala) dan musyahadah (melihat Allah Ta’ala). Baginda saw bertemu Allah Ta’ala dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini juga adalah satu peristiwa yang sangat penting dan perlu diingati oleh umat Islam. Seperti yang disebut awal tadi, kita perlu tahu kebesaran sesuatu hari itu dan peristiwa yang berlaku pada hari tersebut. Sebagai contoh, kita perlu tahu akan kebesaran Hari Jumaat. Pada hari itu, Allah Ta’ala mencipta Nabi Adam. Kita perlu tahu bahawa amalan membaca surah as-Sajdah dan surah al-Insaan pada hari Jumaat (dalam solat Subuh) itu ada kaitan dengan kejadian penciptaan Nabi Adam as pada hari tersebut. Kita kena tahu setiap makna ayat dalam kedua-dua surah itu dan menghayatinya bukannya sekadar hendak mengerjakan sujud sejadah sahaja. Dizaman Rasulullah saw, ada seorang sahabat yang meninggal dunia ketika surah al-Insaan diturunkan. Ketika surah tersebut diturunkan, sahabat itu bertempik dan meninggal disitu juga setelah menghayati sedalam-dalamnya maksud ayat tersebut. Amalan Rasulullah saw pada hari Jumaat selepas waktu Asar ialah dengan beruzlah. Nabi saw beruzlah pada waktu itu kerana pada masa itulah doa dimustajabkan. Ini adalah kerana selepas Asar (Jumaat) itulah Allah Ta’ala menciptakan Nabi Adam. Tentang amalan hari Jumaat ini, Imam Ghazali ra telah membahagikan masa yang sesuai untuk menuntut ilmu kepada kepada tiga iaitu
1. Pagi Jumaat
2. Selepas Jumaat
3. Selepas Asar
Selepas Jumaat dan selepas Asar adalah waktu-waktu yang sangat digalakkan untuk mengadakan pengajian ilmu. Tazkirah sebelum Jumaat pula hukumnya adalah makruh. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abi Daud (Sunan Abi Daud), Nabi saw melarang para sahabat membuat halaqah ilmu sebelum solat Jumaat kerana ia boleh mengganggu orang lain beribadah seperti berzikir, membaca al-Quran dan seperkara lain yang menyebabkan hukumnya menjadi makruh ialah kerana ia boleh memecahkan saf. Walaubagaimanapun, Imam Ghazali ra menyatakan hal ini ada pengecualian dalam dua keadaan yang membenarkan tazkirah sebelum Jumaat dijalankan iaitu
1. Apabila ada ulama yang benar-benar mengenal Allah yang berkemampuan untuk mengajar
2. Untuk mengingatkan masyarakat tentang hari-hari kebesaran Allah
Selain dari hari Jumaat, kita juga perlu mengetahui kebesaran hari lain misalnya hari Isnin dimana baginda saw dilahirkan, hari Asyura dan sebagainya.
Tentang kelebihan sepuluh malam terawal bulan Zulhijjah, hayatilah sabda Nabi saw seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ra,
“Tidak ada dari hari-hari, yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat ra bertanya, “Wahai Rasulullah! Dan tidak juga berjihad fi sabilillah (lebih afdhal daripada beramal pada hari-hari ini)?” Rasulullah saw bersabda, “Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya kemudian dia syahid”.
Dalam hadith tersebut, Nabi saw tidak menentukan jenis amal soleh yang dimaksudkan. Hikmahnya ialah untuk membolehkan umat Islam melakukan apa sahaja ibadah pada hari-hari tersebut samada berpuasa, berzikir, bersedeqah, membaca al-Quran dan sebagainya.

[1] Kena tahu bezakan kalim dengan kalam. Ini adalah kerana ada sesetengah orang menggelar Nabi Musa sebagai Kalamullah. Gelaran ini tidak betul. Yang sebetulnya ialah Kalimullah. Kalim – orang yang pernah berkata-kata. Kalimullah – orang yang pernah berkata-kata dengan Allah Ta’ala. Kalamullah – sifat yang berdiri pada zat. Jika Nabi Musa as digelar dengan gelaran Kalamullah maka ia bermakna Musa adalah sifat Allah. Ini adalah salah. Maka dalam hal ini perlulah berhati-hati kerana jika tersilap sebut boleh jatuh kufur.

No comments:

Post a Comment