Monday, November 9, 2009

Syarah khas Permasalahan pertentangan ASWJ dengan Wahabbi - Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 8 Nov 2009

Saiyidina Umar ra menyatakan bahawa kebiasaan orang terjerumus ke dalam kebinasaan kerana mereka tidak mengenal kesesatan. Justeru itu, ulama-ulama mengkaji kejahatan dengan tujuan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya dapat digunakan untuk membentengi diri dari ilmu yang sesat itu. Antara golongan yang termasuk dalam kelompok menyimpang ini ialah golongan Wahabbi. Mereka tidak pernah memakai nama Wahabbi sebaliknya menggunakan istilah lain seperti salafussoleh, usuli, ittiba’ sunnah, Islam progresif dan sebagainya. Kalau setakat perkara cabang sahaja itu bukanlah sesuatu yang memudaratkan tetapi Wahabbi nampaknya turut membawa doktrin yang amat berbahaya kepada umat Islam. Perkara cabang yang dimaksudkan ialah seperti lafaz niat ketika solat dimana golongan ini mempertikatkan qasad yakni menyatakan niat, ta’ara’ yakni fardu dan ta’yin yakni tentukan waktu; perbahasan tentang membaca kalimah Bismillah didalam surah al-Fatihah; menyapu muka setelah selesai solat; berzikir setelah selesai solat dan sebagainya.[1] Perkara cabang sebegini yang dipertikai oleh Wahabbi tidaklah memudaratkan umat Islam melainkan apabila mereka terlalu fanatik atau taksub kepada guru mereka sehingga mula mengkafirkan orang lain maka ia mula menjadi satu masalah besar dan perlu ditangani secara serius. Mereka menjadi fanatik kerana mereka bermula dari keadaan jahil (kosong tanpa ilmu) kemudian apabila mereka memperolehi sedikit ilmu, mereka mula bermegah dengan ilmu yang ada dan kemudian menganggap diri mereka sahaja yang benar. Mereka berguru dengan guru yang sedikit sedangkan ulama-ulama ASWJ berguru dengan ramai masyaikh. Dalam tradisi ASWJ, diantara sebilangan besar guru tersebut maka pasti ada seorang guru yang darjatnya mencapai tahap mursyid yang mampu membimbing dan memberi pencerahan kepada anak muridnya tentang ilmu-ilmu yang benar. Berbalik kepada golongan Wahabbi, kemuncaknya apabila mereka ini mula menyesatkan orang lain. Apabila mereka mula membidaahkan orang lain maka kita perlu bijak menguruskan perselisihan golongan ini supaya tidak mengelirukan orang awam. Berbanding dengan perkara cabang yang menjadi serius apabila mereka mula membidaahkan orang lain, perkara lain yang lebih dahsyat ialah doktrin yang dibawa oleh golongan ini yang berkaitan dengan akidah atau tauhid atau usuluddin.

Golongan ini (Wahabbi) telah menyebarkan bidaah kafir-mengkafir yang dilarang keras oleh Rasulullah saw kerana perbuatan seumpama ini jika tiada alasan yang kukuh boleh mengakibatkan pertumpahan darah yang amat dahsyat kepada umat Islam. Khutbah Nabi saw yang terakhir turut menyentuh tentang perkara ini dihadapan para sahabat yang berhimpun dimana antara isi khutbah baginda saw menyebut bahawa darah umat Islam terpelihara selagi mereka menyebut kalimah syahadah dengan sebenar-benarnya.

ASWJ tidak pernah mengkafirkan orang lain. Imam Abu Hasan al-Asya’ari ketika di akhir-akhir hayat beliau (pada ketika itu sedang terbujur di rumah anak muridnya bernama Zahir Ahmad as-Sahrsi) berkata kepada anak-anak muridnya yang berkumpul disitu, Sesungguhnya aku jadikan kalian saksi bahawa aku tidak mengkafirkan seorang yang solatnya menghadap kiblat. Kata-kata Imam Abu Hasan al-Asya’ari ini menjadi pegangan ulama-ulama ASWJ. Syeikh Muhammad Alawi walaupun pernah dikafirkan oleh ulama Wahabbi tetapi beliau tetap solat di belakang imam Wahabbi. Pokok utama yang dibincangkan oleh golongan Wahabbi ini ialah umat Islam menjadi syirik kerana terlalu mengagungkan Nabi Muhammad saw dan umat Islam juga menjadi syirik kerana bertawassul dengan Nabi Muhammad saw. Nampaknya golongan Wahabbi ini tidak sedar bahawa apabila mereka menjatuhkan syirik keatas hukum bertawassul maka syirik itu berbalik kepada mereka. Merekalah (golongan Wahabbi) inilah yang sebenarnya musyrik kerana bertawassul itu bukanlah perkara syirik. Nabi Adam as setelah memakan buah khuldi telah bertawassul dengan Nabi Muhammad saw memohon kepada Allah Taala agar diampunkan segala dosanya. Bahkan Nabi saw sendiri ada mengajar doa tawassul dengan maksudnya seperti berikut, “Ya Allah, aku memohon dengan orang yang diberi kemuliaanmu”.

Kita harus sedar dan faham bahawa ulama-ulama dahulu tidak pernah memberatkan perkara-perkara seperti tawassul ini. Hukum bertawassul hanya dibicarakan didalam kitab fiqh itupun dibahagian solat istisqa’ sahaja. Ianya berkaitan dengan peristiwa Saiyidina Umar ra yang bertawassul dengan bapa saudara Nabi saw iaitu Saiyidina Abbas ra bagi memohon kepada Allah Taala supaya hujan diturunkan. Begitu juga dengan bab menziarahi makam Nabi saw yang hanya dibicarakan didalam kitab fiqh bahagian haji iaitu ketika menziarahi makam Nabi saw di Madinah. Kedua-dua perkara ini hanya dibicara dalam kitab fiqh sahaja tetapi golongan Wahabbi ini telah membesar-besarkan perkara cabang ini sehingga mengaitkannya dengan aqidah dan seterusnya mula mengkafirkan orang lain. Golongan Wahabbi memperbesarkan hukum bertawassul dan menziarahi kubur lalu mengaitkannya dengan akidah. Kata mereka, perbuatan bertawassul dan menziarahi kubur itu samalah seperti orang kafir menyembah berhala. Inilah antara salah faham terbesar mereka. Mereka tidak sedar bahawa ASWJ memuliakan guru mereka dengan mencium tangan mereka (ulama-ulama), menziarahi makam-makam wali-wali Allah dan bertawassul itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk memohon keberkatan sebagaimana Allah Taala mengurniakan keberkatan kepada ulama-ulama dan wali-wali tersebut.

Kata sebahagian besar ulama, Wahabbi sebenarnya adalah Khawarij. Ibn Abidin, seorang imam Mazhab Hanafi yang berasal dari Syam menegaskan bahawa Wahhabi adalah Khawarij. Pendapatnya ini didasarkan kepada tindakan golongan ini yang sentiasa mempertikaikan keputusan raja atau sultan sehingga menimbulkan perpecahan masyarakat. Wahabbi turut menyatakan bahawa Allah Taala duduk diatas Arasy. Tentang perkara ini marilah kita rujuk kembali kepada kata-kata Saiyidina Ali ra. Kata Saiyidina Ali ra, Allah menciptakan Arasy adalah untuk menyerlah dan menzahirkan kudrat dan kekuasaan-Nya sebab Arasy adalah makhluk Allah yang paling besar. Penciptaan Arasy yang sebegitu besar menunjukkan bahawa penciptanya adalah Maha Besar yakni Allah Taala. Bila disebut tentang Arasy maka mesti disandarkan sekali kalimah al-Azhim yang bermakna Yang Agung. Allah Taala berbangga dengan penciptaan Arasy. Saiyidina Ali ra adalah orang yang paling faham tentang isi kandungan al-Quran. Beliau juga faham tentang penciptaan Arasy kerana Allah Taala mencipta Arasy itu bukanlah bermakna bahawa Allah Taala duduk diatas Arasy sebaliknya hanya untuk menzahirkan kekuasan-Nya. Kalau Allah Taala duduk diatas Arasy bermakna Allah Taala berhajat pada Arasy sedangkan Allah Taala tidak berhajat kepada sesuatu. Adakah kita layak menyanggah pandangan Ali ini sedangkan keilmuan Ali diiktiraf oleh Nabi saw dan seorang lagi sahabat besar yang terkenal dengan ketinggian ilmunya iaitu Abdullah bin Abbas? Orang pernah bertanya Ali tentang apa yang beliau dapat setelah berdamping sekian lama dengan Nabi saw. Jawab Ali, Aku tidak mempunyai harta tetapi aku dikurniakan kefahaman terhadap isi kandungan al-Quran yang tidak dapat dikecapi oleh orang lain. Nabi saw pernah bersabda, Aku adalah bandar ilmu (rumah hikmah). Sesiapa yang berkehendakkan hikmah maka hendaklah mendatangi pintunya terlebih dahulu. Yang dimaksudkan pintu itu ialah Saiyidina Ali ra. Keluasan ilmu Ali diiktiraf oleh Abdullah bin Abbas. Pada suatu malam selepas Isyak, kedua-dua sahabat besar berbincang mengenai ilmu di tepi Baqi’. Saiyidina Ali memulakan perbincangan dengan bertanya kepada Abdullah tentang makna huruf ‘ba’ dalam kalimah Bismillah. Abdullah kemudiannya menghuraikannya mengikut pemahamannya dalam masa lebih 30 hingga 40 minit. Selepas itu Abdullah pula bertanya Ali tentang perkara yang sama. Ali pun mentafsirkannya sehingga bilal mengumandangkan azan Subuh. Perbincangan tersebut sebenarnya masih belum selesai. Abdullah ibn Abbas kemudiannya memanggil anak muridnya dan berkata kepada mereka, Ketahuilah bahawa sesiapa yang mengambil ilmu dari aku maka sebenarnya ia hanya mendapat 1/10 ilmu sedangkan sesiapa yang mengambil ilmu dari Ali maka sebenarnya ia mendapat 9/10 ilmu. Ilmu aku ibarat cawan yang mengambil air dari lautan. Cawan itu ialah aku manakala lautan itu ialah Ali.

Tentang mazhab pula, golongan Wahabbi menganjurkan amalan tidak bermazhab. Kata mereka, apa perlunya bermazhab sedangkan yang betulnya ialah ikut langsung amalan Nabi saw. Persoalannya, adakah imam mazhab berempat itu tidak mengikut Nabi saw? Adakah kita terlebih arif atau terlebih faham tentang amalan Nabi saw berbanding dengan imam mazhab berempat itu? Kita perlu tahu bahawa kita sebenarnya memang pun dan telah pun mengikut Nabi saw menerusi kefahaman imam mazhab berempat itu. Adakah kita merasakan diri kita terlebih hebat dari Imam asy-Syafi’i yang tidak pernah rasa kenyang selama 16 tahun? Layakkah kita mempertikai kewibawaan Imam asy-Syafi’I sedangkan ilmunya bertebaran ke seluruh pelusuk dunia. Bahkan Nabi saw pernah bersabda, Jangan kalian mencaci bangsa Quraisy kerana kelak akan muncul ulama dari bangsa ini yang ilmunya meliputi seluruh dunia. Ulama menisbatkan maksud hadith ini dengan Imam Asy-Syafi’i kerana beliau berbangsa Quraisy dan ilmunya tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Kehebatan Imam asy-Syafi’i dalam bidang ilmu sewajarnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Beliau menghafal kitab-kitab yang dipelajarinya. Kebiasaannya, setelah beliau membaca satu kitab maka beliau akan mula menghafalnya dengan menutup kitab yang dibacanya itu. Adakah gurunya yakni Imam Malik juga layak untuk dipertikaikan keilmuannya? Imam Malik berada didalam kandungan ibunya selama 3 tahun. Imam Malik belajar dengan 900 orang ulama. 300 darinya adalah tabi’in manakala selebihnya adalah tabi’in tabi’in. 70 ulama besar pada waktu itu mengiktiraf kewibawaan Imam Malik sebagai ulama yang sangat alim dalam bidang ilmu.

Dalam menangani permasalahan Wahabbi ini, kita sebagai kelompok ASWJ perlu menyorot kembali peristiwa kemenangan umat Islam satu masa dahulu. Umat Islam pada satu masa dahulu berjaya kerana mereka menjaga imej dan ketrampilan diri masing-masing. Apabila imej dan ketrampilan dijaga maka kehebatan umat Islam terserlah. Sebab itulah ketika dalam peperangan, umat Islam pada masa dahulu amat menjaga ketrampilan diri kerana ketrampilan diri ini mampu melemahkan musuh. Dalam peperangan, tidak ada tentera Islam yang beruban. Semuanya kelihatan muda belaka. Golongan tua yang hendak menyertai peperangan akan menginaikan rambut mereka. Gigi pula sentiasa kelihatan bersih hasil dari amalan bersiwak. Tujuannya ialah untuk melemahkan musuh dimana musuh menyangka mereka berhadapan dengan pasukan perang yang sangat kuat fizikalnya dan muda pula! Maka umat Islam pada hari ini patut mencontohi kejayaan generasi terdahulu. Umat Islam pada hari ini perlu menjaga ketrampilan diri dengan cara itu barulah kehebatan Islam kembali terserlah.



[1] Kata syeikh, perkara cabang sebegini juga menimbulkan perbezaan pendapat dikalangan ulama ASWJ tetapi tidaklah sampai tahap mengkafirkan orang lain. Sebagai contoh ulama besar yang digelar Sultan dalam bidang Fiqh iaitu Syeikh Izzudin bin Abdul Salam pernah berbeza pendapat dalam hal sampai atau tidak pahala bacaan orang hidup yang dihadiah kepada si mati. Syeikh Izzudin dalam hal ini mengatakan bahawa pahala tersebut tidak sampai. Walaubagaimanapun ini adalah pendapatnya sahaja.

No comments:

Post a Comment