Monday, March 1, 2010

Musalsal Bil Ru'yah disyarah oleh Musnid Syam Syeikh Muhammad Mu'taz as-Subaini

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 28 Februari 2010
Kata Syeikh Mu’taz, musalsal ini adalah musalsal yang jarang didapati pada hari ini. Untuk meriwayat hadith ini, seseorang itu hendaklah mendengar guru bercakap sambil memandang wajah guru. Anak-anak kecil juga boleh meriwayatkan hadith ini. Ibubapa boleh menuliskan nama mereka di atas kertas sanad ini kerana di masa akan datang dia boleh boleh pula meriwayatkannya kepada orang lain. Untuk golongan wanita, mereka boleh meriwayatnya pada mahram sahaja kerana musalsal ini adalah dengan cara memandang. Sesungguhnya inilah cara bagaimana ahli-ahli hadith meriwayat hadith dengan penuh adab dan ketelitian ketika meriwayat. Faedah meriwayat hadith musalsal ini ialah hadith tersebut diriwayat berdasarkan sifat atau perbuatan yang khusus. Matan hadith ini membawa maksud betapa Rasulullah saw terlalu rindu hendak melihat umatnya. Ketika Rasulullah saw bersama para sahabat masuk ke kawasan Baqi’, Rasulullah saw berkata, “Alangkah rindunya kepada saudara-saudaraku” (Nabi saw mengulanginya sebanyak 3 kali). Lalu para sahabat bertanya, ‘Apakah kami ini bukan saudara engkau?” Kata Nabi saw, “Bahkan kamu adalah saudaraku. Sesungguhnya saudaraku adalah umatku yang datang selepas aku, beriman dengan aku tetapi tidak pernah melihat aku”. Ketahuilah bahawa Nabi saw sentiasa merindui kita.
Dapatkah kita bayangkan betapa Nabi saw terlalu rindu pada kita tetapi adakah kita berusaha untuk melihat Nabi saw. Kita terlalu lalai, berdosa dan banyak abaikan sunnah, alangkah ruginya kita. Oleh itu ambillah peluang untuk meriwayat hadith ini. Ijazahkanlah pula musalsal ini kepada orang yang boleh dipercayai yang bijaksana. Fahamkanlah maksud hadith betul-betul kerana pernah terjadi satu masa dahulu, ada orang yang gagal memahamkan hadith. Sebagai contoh, ada orang yang salah faham maksud hadith yang menyebut, Apabila hendak mendirikan solat, hendaklah tenang dan lapang tetapi dia memahamkan maksud hadith itu seperti berikut, Apabila hendak mendirikan solat hendaklah bawa pisau dan tikus (sepatutnya tenang dan lapang kerana salah faham istilah Arab). Lalu bertahun-tahun solatnya tidak betul kerana salah membaca hadith. Ada juga yang salah membaca hadith ketika diatas mimbar khutbah misalnya ketika menyebut orang mukmin adalah bijak dan tidak bercakap bohong tetapi difaham istilah itu dengan makna bekas yang ada kapas (salah faham istilah Arab).
Sebenarnya isu maulid telah lama selesai dibahaskan tetapi anehnya masih ada puak yang menentang maulid. Ulama besar seperti Imam as-Suyuti ada membicarakan hal maulid dalam sebuah kitab khas bertajuk Husnul Maqsid fi Hukm al-Maulid yang membicarakan tentang niat yang baik dalam membicarakan bagusnya amalan maulid. Begitu juga dengan Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Imam Ahmad Nasruddin ad-Dimasyqi dan Imam Jazari (Syeikhul Qari) dimana masing-masing adalah menulis tentang maulid dan memberikan dalil-dalil keharusan mengadakan maulid. Imam Abul Khattab berasal dari Andalusia pergi ke Syam dan berjumpa Sultan Muzaffar yang merupakan menantu kepada Sultan Salahuddin al-Ayubi pada kurun ke-7 H. Sultan Muzaffar ada membina masjid lalu menamakannya dengan nama baginda. Di Syam, Imam Abul Khattab menyaksikan sendiri bagaimana rakyat disana menyambut Maulid secara besar-besaran. Imam Abul Khattab kemudiannya menulis kitab dan memberinya kepada Sultan Muzaffar. Sultan Muzaffar menghadiahkan 1000 dinar emas kepadanya. Kata Imam Abul Khattab, Inilah sebenarnya raja yang wajib kita ikuti. Kata Imam Ibn Kathir pula, “Bahawasanya Sultan Muzaffar seorang raja yang alim, berakal bijak dan berkorban untuk agama. Baginda meninggal ketika dikepung oleh tentera Perancis di Palestin.
Al-Hafidz Imam Nasruddin al-Dimasyqi memberi dalil maulid berdasarkan hadith Bukhari (martabat muallaq). Dalam hadith itu disebut betapa Abu Lahab yand dicela Allah dalam Surah al-Masad telah diringankan azabnya pada hari Isnin kerana dia bergembira dengan kelahiran Nabi saw. Kerana terlalu gembira dengan kelahiran Nabi saw, beliau telah memerdekakan hambanya bernama Thuwaibah. Imam Nasruddin al-Dimasyqi ada mengarang syair tentang peristiwa itu,
Jikalau Abu Lahab yang kafir jelas datang celaan Allah kerana dia menentang Nabi saw
Sehingga datang (ayat dalam) surah al-Masad, Celakalah Abu Lahab dan dia kekal dalam neraka
Maka datang dari Sahih Bukhari, tiap-tiap hari Isnin, dia diringan dari azab.
Lalu kata Syeikh, Jika Abu Lahab yang diringan azab dalam neraka kerana bergembira dengan kelahiran Nabi saw, apatah lagi kita yang merupakan umatnya yang sentiasa merasa gembira dengan kelahiran Nabi saw. Mudah-mudahan kita semua mendapat pelepasan dari azab dan bumi keseluruhannya menyaksikan apa yang kita lakukan pada malam ini.

1 comment:

  1. kirenye..hadis musalsal tu adlh hadith yg bsambung smpailah kpd Rasulullah SAW kan?..dan taraf hadith ni sahih..betol ke?.. syukran

    ReplyDelete