Monday, March 29, 2010

Adab-adab Salikin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 28 Mac 2010, waktu dhuha

Tanda-tanda murid yang sodiq
1. Sodiq ialah murid yang benar, percaya, yakin dan menyempurnakan janji dengan syeikhnya.
2. Kazib ialah murid yang berdusta, pembohong dan tidak menyempurnakan janji taat setia dengan syeikhnya.
Berkata Daud al-Toei[1],
Diantara tanda murid yang sodiq dari kalangan penuntut ilmu zahir ialah dia tidak menyibukkan diri untuk ikut serta dalam perbahasan sesuatu ilmu dan tidak suka berjidal (berdebat). Bahkan murid yang sodiq ialah murid yang menghadiri majlis ulama’ dalam keadaan merasakan dirinya tidak mengetahui walau sedikit pun tentang apa yang diperkatakan oleh ulama tersebut. Keadaan ini wajib dikekalkan sehinggalah murid tersebut sampai ke tingkatan seorang rijal[2] dan dia diizinkan untuk bercakap bagi menghindarinya daripada terjerumus kedalam sifat-sifat buruk yang terhasil daripada perbuatan tersebut seperti riya’, ‘ujub dan takabbur.
Beliau juga berkata,
Diantara tanda murid yang sodiq ialah dia tidak melangkah walau selangkah untuk memenuhi keinginan nafsunya kerana berasa malu terhadap Allah Ta’ala.

[1] Beliau merupakan murid kepada Imam Abu Hanifah. Beliau pernah menjadi mufti majlis Imam Abu Hanifah. Daud al-Toei tidak pernah makan makanan yang perlu dikunyah. Beliau tidak mahu membuang masa dengan mengunyah makanan. Katanya apabila ditanya oleh anak muridnya, “Masa untuk mengunyah itu aku boleh gunakan untuk membaca 50 ayat al-Quran”. Beliau menghabiskan masanya dengan mengerjakan amal ibadah sehinggakan beliau tidak sedar atap rumahnya telah bocor. Beliau hanya mengetahuinya itupun setelah ditegur oleh anak saudaranya yang baru pertama kali memasuki rumahnya. Ketika mensyarahkan bab ini, Syeikh teringat pesanan terakhir yang disampaikan oleh masyaikhnya, Syeikh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, “ Tidak ada lagi yang tinggal melainkan ikhlas.”
[2] Orang yang mantap dalam suluk

No comments:

Post a Comment