Monday, March 22, 2010

Sairus Salikin Bab Rahsia Zakat disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 21 Mac 2010 (kuliah dhuha)

Syarat-syarat yang zahir itu lima perkara
1. Niat – ikut bahasa arab, sedeqah juga dirujuk sebagai zakat sedangkan dalam bahasa melayu, sedeqah itu bermakna berbuat baik. Orang yang wajib membayar zakat fitrah ialah orang yang hidup dalam ‘dua masa’. Maksud dua masa disini ialah orang yang hidup di akhir Ramadhan dan awal Syawal. Jika dia membayar zakat pada awal Ramadhan dan kemudian meninggal dunia sebelum awal Syawal maka zakatnya itu menjadi sedeqah. Jika seorang bayi lahir selepas maghrib awal Syawal maka tidak wajib warisnya mengeluarkan zakat atas bayi itu. Waris kepada orang yang telah membayar awal yang kemudiannya meninggal dunia tidak boleh menuntut balik pemberian zakat itu sebaliknya pemberian itu dianggap sedeqah. Solat tidak boleh didahulukan[1] sebelum waktunya sedangkan zakat boleh didahulukan sebelum waktunya. Zakat perlu dilihat dari sudut harta yang boleh berkembang. Oleh itu, zakat perlu dikeluarkan hatta oleh seorang bayi dimana waris perlu mengeluarkan zakat untuk dirinya. Begitu juga dengan harta anak yatim yang perlu dikeluarkan zakat ke atas harta itu oleh si warisnya kerana harta tersebut boleh berkembang biak. Harta zakat tidak boleh dipandang dari segi pemiliknya tetapi berdasarkan kepada harta yang boleh dikembangkan.
2. Wajib segerakan pemberian zakat bila cukup nisab dan haulnya. Haul perlu dihitung mengikut kiraan tahun Hijrah.
3. Hendaklah dikeluarkan zakat yang ‘ain. Maksud ‘ain disini ialah mengeluarkan zakat emas atas harta emas bukannya atas harta perak dan sebagainya.
4. Jangan dipindahkan zakat ke negeri lain (kecuali jika kawasan negeri itu tiada orang miskin atau ada asnaf dari negeri lain yang datang ke negeri itu untuk menerima zakat). Kata Syeikh, kalau nak bersedeqah sunat maka eloklah ia disembunyikan dari pengetahuan orang ramai tetapi kalau nak membayar zakat, eloklah diwar-warkan kepada orang ramai dengan tujuan untuk memberitahu kepada orang ramai tentang kewajipan membayar zakat. Salah satu hikmah mewar-warkan pembayaran zakat ialah masyarakat akan membantu menjaga keselamatan si pembayar zakat supaya beliau boleh mengeluarkan zakat pada tahun-tahun yang berikutnya kerana agihan atas zakat itu dapat diberikan kepada orang faqir dan miskin di sesuatu kawasan. Sedeqah sunat juga boleh diwar-warkan jika orang yang meminta sedeqah itu menjual air mukanya kerana memerlukan duit yang amat sangat atau untuk acara-acara tertentu seperti bantuan kepada orang Islam di negara lain dan sebagainya.
5. Membahagi zakat itu kepada segala yang maujud. Maksudnya mengagihkan zakat kepada lapan asnaf.
Mengikut mazhab Abu Hanifah, orang yang wajib mengeluarkan zakat fitrah ialah orang yang memiliki harta nisab yang mencukupi. Orang yang tidak tidak cukup harta nisab tidak wajib mengeluarkan zakat. Ini berbeza dengan mazhab Syafi’i dimana yang wajib keluar zakat fitrah adalah orang yang ada harta untuk keluar makan di pagi raya. Dalam mazhab Abu Hanifah, orang yang memiliki harta nisab yang mencukupi wajib melaksanakan korban pada Hari Raya Qurban.
Adab-adab batin dalam zakat
Salah satu adab batin ialah dengan memahami makna sebab diwajibkan zakat. Ada 3 makna dimana salah satunya ialah menyempurnakan rukun Islam. Orang yang menyempurna zakat itu merasa bertuah kerana berjaya menunaikan rukun Islam atas sebab berhasilnya dirinya bertauhid pada Allah Ta'ala dan melawan nafsunya dari terlalu cinta pada harta.
Soal-jawab zakat
1. Seorang mempunyai rumah sewa yang dibeli dengan harga RM 165,000 dan kemudian menyewanya dengan nilai RM 300 sebulan. Soalan, adakah zakat perlu dikeluarkan disebabkan rumah itu dijadikan sewaan? Jawab: Tidak wajib ikut mazhab Syafi’i. Cuma kata syeikh jika seorang itu mempunyai 30 buah rumah dan mempunyai keuntungan bersih tahunan yang cukup nilai nisab dan haulnya maka wajiblah dia berzakat.
2. Zakat boleh diberikan kepada orang yang berhutang untuk tujuan pembinaan madrasah.


[1] Kecuali jamak taqdim yang diharuskan itupun perlu diniat pada sembahyang fardhu yang pertama

No comments:

Post a Comment