Monday, December 7, 2009

Syarah Hikam Abi Madyan - Bab Ilmu yang paling bermanfaat - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad

*Catatan bebas ana di Taman TAR Ampang pada 6 Disember 2009
“Ilmu yang paling bermanfaat ialah mengetahui hamba dengan hukum perhambaan dan ilmu yang paling tinggi ialah mengetahui seseorang akan keesaan Allah swt”
Setinggi-tinggi ilmu ialah ilmu tauhid. Ilmu inilah yang menjadi penentu kedudukan kita disisi Allah Ta’ala. Semua orang Islam mengaku hamba Allah tetapi ia hanyalah sekadar ucapan lidah sahaja. Ini adalah kerana jika benar orang Islam mengaku bahawa mereka adalah hamba Allah maka sudah tentulah mereka menjauhi segala perbuatan yang dimurkai Allah swt. Pada satu masa dahulu, ada seorang wali Allah namanya Bisyru al-Hafi yang asalnya berada dalam keadaan jahil. Beliau merupakan anak bangsawan yang hidup dengan segala kemewahan dan sering berfoya-foya. Pada suatu malam ketka beliau sedang berseronok di kediamannya, datanglah seorang yang tidak dikenali mengetuk pintu rumahnya. Pembantu rumahnya bertanya, Siapakah yang berada diluar? Orang yang berada diluar itu tidak menjawab sebaliknya mengembalikan satu soalan, Adakah tuan yang berada didalam rumah ini seorang yang merdeka atau hamba? Pembantu rumahnya menjawab, Sudah tentulah tuan punya rumah ini adalah seorang yang merdeka. Mendengar jawapan itu maka orang di luar rumah itu pun berkata, Patutlah dia membuat perkara-perkara yang dibenci Allah Ta’ala kerana dia tidak bertuan. Tuan punya rumah itu seakan faham apa yang disampaikan oleh orang itu. Beliau segera keluar dari rumah dengan keadaan tidak berkasut serta tidak menutup kepala untuk mendapatkan lelaki tadi. Beliau berjaya menemui lelaki tersebut dan kemudiannya lelaki itu memintanya bertaubat. Beliau kemudiannya bertaubat bersungguh-sungguh dan selepas itu menjadi wali besar. Bagi mengenang peristiwa taubat itu, beliau tidak lagi memakai kasut ketika berjalan kemana-mana. Pada satu hari, sedang ia berjalan disekitar kota Baghdadm terjumpalah ia dengan secarik kertas yang tertulis didalamnya kalimah Allah. Beliau mengambil kertas tersebut dan menyimpannya. Dengan wang sebanyak 4 dirham, beliau membeli wangi-wangian dan membersihkan kertas yang dijumpainya tadi. Wangian itu kemudiannya disapu pada kertas tersebut. Pada malamnya beliau bermimpi. Dalam mimpinya itu, Allah berfirman, Oleh kerana engkau mewangikan nama Aku maka Aku mewangikan nama engkau.
Seorang wali Allah yang dikenali sebagai pemidato hebat asalnya bukanlah seorang pemidato yang baik. Wali Allah yang bernama Mansur al-Wa’iz tidak begitu fasih berkata-kata. Pada satu hari, beliau terjumpa kertas yang mengandungi kalimah Bismillah. Bagi menjaga kehormatan dan kesucian kalimah tersebut, beliau menelan kertas itu. Asbab dari kejadian itu maka Allah Ta’ala telah memuliakannya dengan mengurniakannya kehebatan berkata-kata. Lidahnya fasih dan mampu mempesonakan para pendengar.
Ketahuilah bahawa martabat yang paling tinggi ialah martabat ubudiyyah iaitu perhambaan. Menjadi hamba adalah tujuan sebenar kita ini diturunkan ke muka bumi. Ulama menyatakan bahawa ilmu yang paling bermanfaat ialah ilmu untuk mengenal sifat hamba. Ilmu tersebut terbahagi dua iaitu ilmu zahir yakni syariat dan ilmu batin yakni tariqat. Ilmu zahir merujuk kepada ilmu yang mengarahkan penuntutnya agar menjunjung titah perintah Allah Ta’ala dengan seluruh anggota jasadnya. Kegagalan masyarakat zaman ini menghayati ilmu ini telah menyebabkan ramai yang berada dalam keadaan jahil. Natijahnya, ramai yang keliru tentang amalan yang patut dilakukan dan amalan yang patut ditinggalkan. Mendalami ilmu tariqat tidak bermakna membelakangkan ilmu syariat sebaliknya ilmu tariqat itu gunanya ialah untuk mengukuhkan lagi ilmu syariat yakni amalan anggota jasadnya. Wali Allah yang sangat masyhur, Abu Yazid al-Bistami mendapat khabar bahawa disatu kampung tinggal seorang wali. Dengan penuh tawadhuk, beliau mengajak anak muridnya mengikuti beliau berkunjung kerumah orang yang dikatakan wali itu. Tujuannya ialah untuk mendapat berkat dari wali tersebut. Setibanya beliau dirumah orang itu, beliau terlihat orang yang dikatakan wali itu telah meludah kea rah kiblat. Beliau langsung mengajak murid-muridnya balik tanpa bertemu dengan orang yang dikhabarkan wali itu. Apabila ditanya oleh anak muridnya, beliau menjawab, Masakan orang ini layak dipanggil wali jikalau sunnah yang sebegini asas pun tidak dapat dipeliharanya.
Imam Abu Hasan al-Syazuli berkata, Sesiapa yang tidak hadir untuk mengerjakan solat secara berjemaah maka jangan dipedulikan orang yang sedemikian itu sekiranya orang ini mendakwa mereka adalah wali atau kekasih Allah. Mana mungkin orang sebegini layak dipanggil wali kerana sunnah Nabi saw tidak dijaga dengan baik. Nabi saw tidak pernah meninggalkan solat berjemaah. Berdasarkan kenyataan Imam Abu Hasan ini maka dapatlah disimpulkan bahawa antara syarat seorang itu boleh digelar sebagai wali ialah apabila beliau melazimkan dirinya dengan solat lima waktu secara berjemaah. Seperti yang dinyatakan tadi, tariqat tidak pernah meminggirkan syariat. Tariqat menjadikan penuntutnya semakin kuat beribadah. Imannya juga bertambah sepanjang masa. Nabi saw beribadah sehingga menitis darah ke paras kakinya. Melihat kejadian itu, Aisyah berkata kepada baginda saw, Ya Rasulullah, kenapa engkau begitu kuat beramal sedangkan dosa engkau telah pun terampun? Nabi saw lalu menjawab, Wahai Aisyah, adakah salah aku menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah Ta’ala yang telah mengurniakan segala macam nikmat kepadaku? Para wali Allah yang lain juga begitu. Mereka beribadah sehingga menimbulkan kerisauan orang lain yang melihat mereka. Imam Abdullah al-Haddad beribadah dengan tidak berhenti-henti sehingga merisaukan nendanya. Bagi mengurangkan kerisauan nendanya, Imam Abdullah al-Haddad pun mengurangkan ibadahnya. Adapun ibubapa zaman sekarang risau melihat anaknya tidak menunaikan solat. Kata para ulama, orang yang umurnya mencecah usia 40 tahun tetapi masih meninggalkan solat maka syaitan akan menyapu mukanya dan menganggap orang itu sebagai temannya.
Para kekasih Allah melazimi diri mereka dengan mengerjakan ibadah tanpa henti. Semakin bertamah umur mereka maka semakin bertambah kuatlah mereka beribadat. Iman mereka juga bertambah sepanjang masa. Ketika di alam kubur, iman dan pahala mereka akan terus bertambah. Ini adalah kerana mereka telah meninggalkan sunnah yang baik seperti madrasah, sekolah dan ilmu yang dimanfaatkan oleh satu generasi ke generasi berikutnya. Makam Nabi saw bertambah kerana ramainya umat Islam yang membaca hadith, mengajar solat dan mengajar haji. Nabi saw adalah pencetus segala kebaikan, oleh itu makamnya diangkat. Orang yang membaca Yasin dan menghadiahkan bacaan tersebut kepada si mati akan mendapat pahala yang sempurna sama seperti pahala bacaan yang dihadiahkan kepada si mati. Begitu juga dengan orang yang mengajar zikir atau apa jua ilmu yang benar kepada orang lain akan mendapat pahala yang sempurna sama seperti si penerimanya. Ulama berfatwa bahawa sesiapa yang menyatakan kedudukan Nabi saw berkurang selepas wafatnya baginda saw maka hukum ke atas orang itu adalah kufur. Makam orang biasa tidak sama dengan makam Nabi saw. Makam orang biasa boleh berkurang sekiranya orang ini mempunyai saham didalam tempat-tempat maksiat.
Ilmu tariqat adalah satu ilmu yang membawa penuntutnya berjalan di atas Sunnah Rasulullah saw. Wali-wali Allah sentiasa berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan akan berasa cemburu kepada yang lain sekiranya tidak dapat melakukan kebaikan. Para sahabat akan berasa terkilan jika tidak dapat membantu Nabi saw. Apabila Rasulullah saw tidak mengizinkan Ali pergi berperang, maka kecewalah Ali. Malah ada yang memerlinya dengan mengatakan bahawa Nabi saw sudah tidak sayang lagi kepadanya. Menyedari akan hal itu, Nabi saw memanggil Ali dan menyatakan kepada Ali seperti berikut, Engkau dengan aku ibarat Musa dengan Harun. Ketika mukjizat bermunajat di Tursina, Harun akan menjaga Bani Israel. Aku ini ibarat Musa sementara engkau itu ibarat Harun. Apabila aku pergi berperang maka engkau tinggal disini menjaga Madinah.
Ketahuilah bahawa untuk masuk ke hadrat Allah Ta’ala maka seseorang itu perlulah suci zahir dan batin.Ibarat orang yang ingin masuk kedalam istana berjumpa raja, kenalah seseorang itu mempersiapkan diri terlebih dahulu. Untuk menyucikan zahir dan batin, lafaz bukan sahaja melalui lidah tetapi juga hati. Hati kena menyucikan dan membesarkan Allah Ta’ala dari perkara-perkara lain. Ada orang bersolat tetapi hatinya tidak seronok kerana ingatan hatinya ditumpukan kepada perkara lain selain Allah Ta’ala. Sedangkan solat di sisi Nabi saw menjadi penyejuk mata hati baginda saw. Kata baginda saw, Keseronokan aku bukan kepada pergerakan solat tetapi atas sebab khusyuk dan khuduknya solat itu.

No comments:

Post a Comment